Memaparkan catatan dengan label Undang-Undang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Undang-Undang. Papar semua catatan

Khamis, November 27, 2014

Akta Hasutan Kekal



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Perhimpunan Agung Umno bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan dan diperkukuhkan.

Perkara itu dinyatakan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada pagi Khamis.

"Kita akan masuk peruntukan khas untuk melindungi kesucian agama Islam, bahkan agama lain juga tak boleh ditindas.

"Keduanya ialah kita akan masukkan supaya tindakan boleh diambil kepada sesiapa yang menghasut supaya Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia," katanya.

Pengumuman itu disambut sorakan gemuruh dan tepukan perwakilan serta pemerhati yang turut berdiri sebagai tanda sokongan dan bersetuju dengan keputusan kerajaan mengenai akta itu.

Terdahulu, sebelum Najib mengumumkan perkara itu,  ditayangankan klip video berkaitan pelbagai dakyah yang disebarkan melalui media sosial berunsur hasutan termasuk membabitkan aktivis sosial Hishammuddin Rais dan bloger seks, Alvin Tan.

Mengulas lanjut Najib berkata, berdasarkan penelitiannya dua perkara khusus yang akan ditambah itu tidak terkandung dalam Akta Husutan.

Selain itu, Najib yang juga Presiden Umno berkata, beliau percaya keputusan berkenaan akan turut dipersetujui oleh parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Kita mesti menguatkuasakan akta ini secara adil supaya kita benar-benar dapat wujudkan negara Malaysia yang lebih aman, stabil harmoni," katanya.

Gesaan supaya Akta Hasutan dikekalkan turut disuarakan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada Selasa malam.

Hasrat berkenaan turut disambut baik oleh Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ketika menyampaikan ucapan dasar masing-masing pada Rabu.

Sumber : mSTAR

Rabu, November 26, 2014

Mengasingkan peranan dua mahkamah



Oleh Shamrahayu A Aziz
Felo Utama, Pusat Kajian Syriah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Kita mengamalkan sistem dualisme undang-undang. Ia adalah sistem yang mengandungi dua sistem yang sama penting - dua undang-undang dan dua mahkamah. Sistem ini tidak berlaku dengan sendiri, tetapi adalah rekaan dan perbuatan British. Dalam tulisan ini, saya cuba membawa pembaca kepada sejarah perundangan negara mengenai sistem dualisme ini.

Negeri di Tanah Melayu mempunyai sistem mahkamahnya yang tersendiri sebelum campur tangan British. Tanah Melayu hanya mempunyai satu sistem mahkamah iaitu Mahkamah Kadi atau Mahkamah Syariah. Undang-undang yang terpakai pada ketika itu adalah undang-undang Islam. Raja-Raja Melayu, dibantu oleh seorang Mufti adalah hakim, di mana Raja sendiri adalah mahkamah rayuan tertinggi.

Pelbagai undang-undang diperkenalkan oleh British dalam pentadbiran mereka untuk menyusun semula sistem mahkamah tempatan. British memperkenalkan Enakmen Mahkamah 1919, yang mewujudkan susunan mahkamah; Mahkamah Agung - yang terdiri daripada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Hakim (Courts of Judges), Mahkamah Majistret Kelas Pertama, Mahkamah Majistret Kelas Kedua, Mahkamah Kadi/ Mahkamah Penolong Kadi dan akhir sekali, Mahkamah Penghulu.

Enakmen Mahkamah 1919 ini mewujudkan satu sistem mahkamah, di mana Mahkamah Kadi ini telah diletakkan sebagai mahkamah kedua terakhir dalam susunannya.

Pada tahun 1948, British memperkenalkan Ordinan Mahkamah 1948, yang mewujudkan susunan mahkamah yang baharu. Susunan mahkamah yang baharu itu tidak memasukkan Mahkamah Kadi. Ordinan Mahkamah 1948 juga telah memansuhkan semua peruntukan dalam Enakmen Mahkamah itu tahun 1919, kecuali peruntukan mengenai Mahkamah Kadi. Ini bermakna, Ordinan 1948 itu telah memisahkan Mahkamah Kadi daripada senarai mahkamah utama.

Tindakan British ini mewujudkan kerosakan dalam sistem mahkamah tempatan dengan memperkenalkan sistem dua mahkamah yang selari, iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Kadi. Perkara ini tidak dilakukan secara nyata, tetapi British mengambil pendekatan senyap. Walaupun semua peruntukan dalam Enakmen 1919 telah dimansuhkan, peruntukan mengenai Mahkamah Kadi dikekalkan.

Kesan daripada Ordinan 1948 ini, perkara yang tidak membabitkan Islam diletakkan di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil, yang mana undang-undang England dan undang-undang berkanun yang diimport dari India digunakan. Perkara yang Islam dibiarkan dengan Mahkamah Kadi dan undang-undang Islam telah digunakan.

Apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Perlembagaan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid, rejim undang-undang peribumi telah diteruskan. Penekanan khusus tertumpu kepada kedudukan Islam dan orang Melayu. Wakil rakyat Melayu mencuba yang terbaik untuk memelihara nilai asli dan tempatan dalam Perlembagaan kemerdekaan itu. Akibatnya, kedudukan Islam dikekalkan dan sistem undang-undang dan sistem mahkamahnya juga dikekalkan seperti masa pentadbiran British.

Dari satu sudut, pemeliharaan nilai peribumi ini melambangkan pengekalan nilai sedia ada dalam bumi Tanah Melayu dan ia tidak boleh ditarik keluar daripada sistem tanpa memberi kesan yang besar. Justeru, kita mengamalkan dua sistem mahkamah yang selari. Perkara ini dijelaskan lagi dengan pindaan kepada beberapa peruntukan Perlembagaan dan undang-undang lain, seperti Perkara 121 dan Perkara 5 Perlembagaan serta Seksyen 100 Kanun Tanah Negara.

Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa umum. Ia mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk mendengar semua jenis kes, kecuali perkara mengenai undang-undang Islam. Mahkamah Sivil juga perlu menghormati keputusan Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah adalah mahkamah negeri, yang dicipta oleh undang-undang negeri (kecuali dalam hal Wilayah-Wilayah Persekutuan), yang mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dan membuat keputusan ke atas perkara peribadi dan juga jenayah Islam. Undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah adalah undang-undang Islam.

Sekiranya kita mahu mengekalkan dualisme dalam sistem perundangan kita, maka pentafsiran Perlembagaan perlulah dibuat dengan mengambil kira pengasingan sistem undang-undang dan mahkamah ini.

Andainya tidak, ia akan mengecewakan salah satu antara keduanya. Sekiranya ini berlaku, lama kelamaan ia akan mendatangkan kesan buruk bukan sahaja ke atas sistem itu, tetapi juga, lebih serius lagi akan menggagalkan pengisian Perlembagaan Persekutuan sebagai punca kepada sistem itu. Sebagai pilihan, kita boleh gabungkan kedua-dua sistem. Mungkin penggabungan ini lebih baik.

Sumber : Berita Harian

Rabu, November 05, 2014

Pengasuh kanak-kanak di rumah wajib daftar dengan JKM

Pengasuh atau suri rumah yang menerima upah menjaga antara empat dan sembilan orang kanak-kanak di kediaman sendiri, wajib mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Bahagian Kanak-kanak JKM, Arfan Sulaiman berkata, kategori yang dikenali sebagai taman asuhan kanak-kanak (taska) di rumah ini perlu didaftarkan supaya JKM boleh mengawal selia perjalanan taska dan keselamatan kanak-kanak.

"Menurut Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 (Akta 308), pengasuh kanak-kanak terutama suri rumah yang menjaga antara empat dan sembilan anak-anak jiran mereka misalnya, perlu berdaftar dengan JKM.

"Jika pengasuh berdaftar dengan kita, JKM akan memberi latihan yang sewajarnya kepada mereka seperti Kursus Asas Permata Taska," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, permohonan pendaftaran taska di rumah boleh dibuat melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dengan bayaran sebanyak RM50 untuk tempoh lima tahun.

Sehingga September lepas, sebanyak 460 taska di rumah seluruh negara berdaftar dengan JKM dan ia dikendalikan 598 pengasuh melibatkan 2,701 kanak-kanak berusia bawah enam tahun.

Sumber : KOSMO!


Selasa, Februari 11, 2014

Kamera automatik kesan pesalah di lokasi maut

Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mula beroperasi tengah malam tadi di 14 ‘lokasi maut’ bagi mengesan pesalah lalu lintas yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan, berkata bagi fasa pertama AES, sebanyak 14 kamera dipasang di beberapa lokasi yang dikenal pasti di Perak, Selangor,Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Lebih banyak kamera akan dipasang di 817 lokasi dalam fasa kedua yang akan menyaksikan AES dilaksanakan secara menyeluruh.

Beliau berkata, pelaksanaan AES adalah tindakan tegas kerajaan bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya.

“Kamera AES dipasang di kawasan hitam atau lokasi dikenal pasti sebagai lokasi maut yang mencatatkan jumlah kematian tinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Solah berkata, orang ramai boleh menyemak lokasi kamera AES menerusi laman sesawang JPJ di www.jpj.gov.my, dan boleh mengetahui mengenai zon operasi kamera AES melalui papan tanda yang diletakkan di kawasan berhampiran.

“Dengan mengetahui lokasi kamera AES, pengguna jalan raya akan lebih berhati-hati dan memandu mengikut undang-undang. Ini dapat mengurangkan jumlah kematian dan objektif kami adalah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya tercapai dan bukan memberikan kuasa lebih besar kepada JPJ mengeluarkan saman,” katanya.

Papan tanda lokasi kamera AES yang mengesan had laju dapat dilihat antara jarak dua hingga tiga kilometer sebelum lokasi kamera, manakala kamera yang mengesan pesalah trafik lampu isyarat diletakkan antara 50 hingga 500 meter dari persimpangan lampu isyarat.

Solah berkata, imej yang dirakam kamera AES akan dihantar secara automatik ke pusat kawalan AES dan nombor pendaftaran kenderaan direkodkan pangkalan data JPJ, sebelum saman dikeluarkan kepada pemilik kenderaan.

- BERNAMA

Sabtu, Januari 04, 2014

Pembeli rokok haram berdepan denda dan hukuman penjara

Anda boleh dikenakan denda, malah boleh dipenjara walau hanya membuat kesalahan membeli rokok haram, di bawah peraturan baru yang berkuatkuasa Rabu.

Pindaan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 menetapkan bahawa bukan hanya menjual rokok dalam paket yang tidak mempunyai amaran kesihatan kerajaan dan gambar yang menyalahi undang-undang, tetapi membelinya juga menyalahi undang-undang.

Di bawah pindaan yang diwartakan pada Jun lepas, pembeli adalah sama seperti penjual yang mana mereka boleh dikenakan denda maksimum RM10,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya.

Difahamkan peruntukan baru ini bertujuan untuk membanteras kegiatan penyeludupan rokok haram ke negara ini.

Peraturan 15 (4A) Akta menetapkan: "Tiada seorang pun boleh menjual atau menawarkan jualan, membeli atau ada di dalam miliknya sebarang paket atau karton rokok yang tidak dicetak dengan teks-teks yang ditetapkan dan imej amaran kesihatan."

Paket rokok tanpa tanda amaran berkemungkinan besar diseludup masuk dalam negara kerana pengeluar-pengeluar di Malaysia telah mematuhi kehendak-kehendak percetakan yang ditetapkan beberapa tahun sebelum ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata jabatan itu akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan peraturan baru ini.

Katanya hanya kementerian boleh bertindak terhadap pengguna rokok haram.

"Kita akan membantu kementerian itu dalam apa-apa cara yang boleh dan juga meningkatkan perisikan untuk mengenal pasti outlet-outlet (selain dari kedai-kedai) menjual rokok haram," katanya.

Beliau menambah bahawa jabatan itu akan meningkatkan operasi di pintu masuk utama di negara ini untuk mencegah penyeludupan.

Khazali berkata jabatan itu telah merampas lebih 1.6 bilion batang rokok bernilai lebih daripada RM134 juta sejak 2011.

"Sitaan bernilai RM811 juta duti tidak dibayar.

"Kita telah menunjukkan peningkatan dalam usaha membanteras penyeludupan rokok," katanya.

Pada tahun 2011, jabatan ini menyita rokok bernilai RM61.9 juta dan jumlah sitaan telah beransur-ansur berkurangan kepada RM42 juta pada 2012 dan RM31 juta tahun lepas.

"Kita perlukan kerjasama pengguna untuk mengurangkan permintaan bagi rokok ini," katanya.

Pada bulan September, British American Tobacco mendakwa Malaysia merupakan salah sebuah negara dengan tahap tertinggi penggunaan rokok haram di dunia, mengatakan bahawa penyeludup meraih kira-kira RM1 bilion setahun manakala Kerajaan mengalami kerugian sehingga RM2 bilion dalam duti eksais.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dipetik sebagai berkata bahawa industri tembakau menyumbang RM3.52 bilion kepada cukai pendapatan di negara ini pada tahun 2012, berbanding dengan RM3.42 bilion pada tahun 2011.

- mSTAR


Isnin, Oktober 14, 2013

The Herald dilarang guna kalimah Allah



The Herald dilarang guna kalimah Allah

Mahkamah Rayuan sebentar tadi memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguannya - The Herald.

Keputusan itu dibuat tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.

Panel tiga hakim itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Bernama melaporkan mahkamah mendapati bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.

"Mengenai keterangan di hadapan kita juga kami berpuas hati bahawa bahan rujukan yang mencukupi telah dipertimbangkan oleh menteri (dalam negeri) dalam melaksanakan tugas dan kuasa berkanun mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya.

Beliau berkata ia juga penghakiman mahkamah bahawa keadaan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam permit penerbitan Herald melarang The Herald daripada menggunakan kalimah "Allah" tidak melanggar mana-mana hak perlembagaan gereja.

"Ia merupakan dapatan bersama kami bahawa penggunaan nama "Allah" bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian," kata Hakim Apandi yang membaca ringkasan keputusan itu.

Pada 16 Februari 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sini undang-undang, tidak sah dan batal.

- mSTAR

 

Khamis, Oktober 10, 2013

Diskaun Saman AES bermula RM150, Maksimum RM300

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan kadar diskaun baru bagi saman di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ketua Pengarahnya, Datuk Ismail Ahmad berkata kadar tersebut mengikut prinsip semakin lambat tempoh pembayaran dibuat semakin tinggi kadar saman yang perlu dibayar.

"Ia hanya RM150 jika anda membayar saman tersebut dalam tempoh dua minggu daripada saman dikeluarkan dan RM200 dalam tempoh dua minggu selepas itu.

"Mereka yang membayar saman selepas sebulan perlu membayar denda maksimum RM300," katanya kepada pemberita di Putrajaya.

Ismail berkata kadar diskaun tersebut diberikan kepada saman yang dikeluarkan bermula pada 18 September 2013.

- mSTAR


Selasa, Ogos 20, 2013

Bakal Pelatih Wanita PLKN Wajib Jalani Ujian Kehamilan

Semua pelatih wanita kini diwajibkan menjalani ujian kehamilan sebelum menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), kata Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Keputusan itu dipersetujui anggota Jemaah Menteri pada 12 Julai lepas, katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kem PLKN Geo Kosmo di sini, Isnin.

Beliau berkata kumpulan ketiga untuk tahun ini yang memulakan latihan sejak dua hari lepas, bakal menjadi kumpulan pertama menjalani ujian itu.

Menurutnya sekiranya ada pelatih wanita yang positif ujian kehamilan, mereka akan diberi tempoh penangguhan daripada menjalani program itu.

"Keputusan itu dibuat selepas perbincangan dilakukan bersama Kementerian Pertahanan dan hasil kajian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung ujian kehamilan ke atas bakal pelatih PLKN," katanya.

Kajian pada 2011 itu, yang melibatkan 4,500 responden daripada pelatih PLK Ndan ibu bapa, mendapati sebanyak 94 peratus daripada mereka bersetuju ujian itu dilaksana.

Abdul Hadi berkata keputusan itu juga dibuat bagi menjaga keselamatan kandungan pelatih.

Menurut Kementerian Pertahanan, sejak PLKN dilaksanakan dari 2004 hingga kini, terdapat enam kes pelatih melahirkan bayi semasa menjalani program itu.

- BERNAMA


Recent Posts