Memaparkan catatan dengan label Undang-Undang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Undang-Undang. Papar semua catatan

Khamis, Jun 13, 2013

SOP Tahanan Lokap Baru Dilaksana Hujung Jun 2013

Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk tahanan dalam lokap di seluruh negara yang ditambahbaik akan dilaksanakan menjelang hujung bulan ini.

Pengarah Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata polis juga mempertimbangkan untuk menempatkan pegawai perubatan di lokap dan memasang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi (HD) yang akan dipantau sepanjang masa.

"Perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung menempatkan pegawai perubatan masih diteruskan.

"Sementara polis berusaha untuk melaksanakan pendekatan ini di peringkat persekutuan, ia adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing dan ketua polis daerah untuk melakukan persiapan di peringkat mereka," katanya.

Beliau berkata fokus dan keutamaan akan diberikan terhadap pusat tahanan dengan jumlah banduan tertinggi.

Mortadza menjelaskan SOP yang ditambahbaik itu juga akan menyaksikan kerjasama dengan pegawai kebajikan dalam memberikan penjagaan kepada kanak-kanak ketika ibu bapa mereka ditahan.

"Jika banduan mempunyai anak yang tidak dijaga dengan baik, kami akan meminta bantuan daripada jabatan kebajikan.

"Pegawai-pegawai jabatan itu akan melawat tahanan tersebut berdasarkan kes demi kes," katanya.

Beliau berkata, ia merupakan antara cadangan bagi memastikan kebajikan polis dan banduan susulan kontroversi kematian tahanan dalam lokap.

"Kami juga berharap untuk mendapatkan suntikan imunisasi kepada pegawai kami yang ditugaskan di dalam lokap dan melaksanakan kod kesihatan yang lebih ketat demi kebaikan banduan," katanya.

Mengulas mengenai CCTV HD, Mortadza berkata, walaupun terdapat keraguan terhadap pengawasan di dalam lokap, pemasangan kamera tersebut akan memastikan pemantauan yang lebih jelas dan berterusan di pusat tahanan.

"Ia merupakan salah satu cara untuk mengelakkan salah laku oleh anggota polis atau tahanan," katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan pengasingan banduan mengikut jenayah yang dilakukan, Mortadza berkata, polis telah mempertimbangkan cadangan tersebut.

"Cadangan itu akan memerlukan lebih banyak pusat tahanan dan juga anggota polis. Kami perlu mengadakan mesyuarat dengan pelbagai agensi berkaitan sebelum ianya dilaksanakan," katanya.

Kematian terbaru dalam tahanan membabitkan ahli perniagaan Jepun, Nobuhiro Matsushita yang ditemui menggantung diri di sebatang besi di lokap itu kira-kira 4 pagi pada 15 Jun.

Matsushita, 33, ditahan kerana menceroboh masuk sebuah universiti dan mengacukan pisau kepada polis bantuan di sini pada 2 Jun.

Rekod Jabatan Imigresen menunjukkan lelaki tersebut sepatutnya meninggalkan negara pada 18 April selepas berada di sini berberapa bulan kononnya untuk memulakan perniagaan di Malaysia.

Kematian Matsushita dalam tahanan polis merupakan kes keempat sejak kebelakangan ini.

- mSTAR

Portal Berita Tidak Akan Dilesenkan - PM

Kerajaan tidak akan mengambil tindakan melesenkan portal berita di negara ini sebagaimana yang dilakukan oleh -negara jiran, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau bagaimanapun berkata, bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan bahawa mana-mana pihak yang cuba menanam kebencian menggunakan elemen kaum, agama dan bangsa.

“Atau pun memperkecilkan institusi raja dan berperlembagaan, mahu pun cuba ‘subvert’ (menjatuhkan) sistem demokrasi berparlimen boleh diambil tindakan undang-undang yang sedia ada,” katanya pada Malam Kewartawanan Malaysia 2013, di sini malam Rabu.

Baru-baru ini, Singapura menerusi Lesen Pembangunan Media di negara itu mengumumkan peraturan pelesenan bagi laman web berita seperti dikenakan terhadap media tradisional.

Najib berkata, landskap media dan organisasi berita di negara ini mengalami perubahan yang amat pesat, di mana media cetak dan elektronik dilengkapi dengan kehadiran media dalam talian.

Katanya, kepelbagaian dan perbezaan pendapat yang wujud di negara ini sebenarnya harus berakar kepada identiti dan jati diri Malaysia.

“Kebebasan bersuara Malaysia yang membesar daripada akar tradisi jati akan memiliki kebijaksanaan untuk menghakis ketidakpercayaan dan perasaan syak wasangka yang melampau,” katanya.

Beliau menambah, tidak salah untuk berlainan pendapat namun adakah perbezaan pendapat itu membuak-buak sehingga wujudnya ketidakpercayaan dan syak wasangka melampau yang sebenarnya asing daripada budaya Malaysia.

“Untuk demokrasi benar-benar berfungsi seperti yang sepatutnya, rakyat dan pengamal media semestinya berpegang kepada pendirian mulia supaya tiada di antara kita yang menyimpang mahu pun menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, bagi menangani ‘cabaran kematangan’ sebagai sebuah negara bangsa yang semakin dewasa, perjalanan media sosial tidak terus disalahgunakan dan rakyat seharusnya berpegang kepada prinsip dan nilai tanggungjawab terhadap apa jua maklumat yang disiarkan.

"Untuk itu saya ingin lontarkan kepada rakyat dan kalangan pengguna media sosial untuk mencadangkan apakah bentuk kawalan positif yang perlu dilaksanakan bagi memastikan nilai kebertanggungjawaban itu, dan maklumat yang disampaikan tidak melanggar undang-undang.

“Cadangan yang dikemukakan itu biarlah tidak bercanggah dengan Akta Komunikasi dan Multimedia serta Rang Jaminan MSC Malaysia yang menegaskan tiada tapisan terhadap internet," katanya.

Malam Kewartawanan Malaysia menyaksikan 264 bahan penyertaan dari 26 organisasi media cetak dan elektronik yang diadili oleh barisan panel hakim, dan 13 pemenang pelbagai kategori disenaraikan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2012.

Wartawan Berita Harian, Sophia Ahmad dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kajai HKM menerima hadiah berupa wang tunai RM30,000 serta sekeping syiling emas seberat 100 gram bernilai RM16,000.

Wartawan The Star, Isabelle Lai turut merupakan antara penerima anugerah menerusi kategori Kewartawan Alam Sekitar Cemerlang-Petronas, yang menerima hadiah wang tunai RM15,000.

- mSTAR


Ahad, Mei 26, 2013

Denda majikan jika gagal laksana bersara 60 tahun

Majikan yang tidak mengemukakan permohonan penangguhan tetapi gagal melaksana umur persaraan 60 tahun berkuat kuasa 1 Julai ini bakal didenda sehingga RM10,000 mengikut Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib, berkata sehingga tarikh tutup permohonan pada 30 April lalu, kementerian hanya menerima 331 permohonan majikan dan semuanya masih di peringkat penelitian dan semakan.

Sedia timbang penangguhan

Katanya, kementerian bersedia mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan sehingga hujung tahun ini jika majikan mengemukakan alasan munasabah.

Pelaksanaan sudah bermula

“Pelaksanaan umur persaraan 60 tahun secara peraturannya sudah bermula dan kementerian sedar bahawa ramai pihak memerlukan sedikit masa untuk membolehkan peraturan itu dilaksanakan di syarikat atau agensi masing-masing.

“Bagi mereka yang mengemukakan permohonan penangguhan, kementerian akan memberi pertimbangan supaya peraturan itu tidak dilaksanakan sehingga akhir tahun ini,” katanya selepas merasmikan Segmen Job Square dan Government To Youth (G2Y) sempena Festival Belia Putrajaya 2013.

Rang Undang-Undang Akta Umur Persaraan Minimum 2012 diluluskan di Dewan Rakyat pada 27 Jun lalu dan Dewan Negara pada 17 Julai lalu dan diwartakan pada 16 Ogos lalu.

Majikan tak boleh hentikan pekerja

Sehubungan itu, majikan tidak boleh memberhentikan pekerja sebelum mencapai umur persaraan minimum. Bagaimanapun, pekerja boleh membuat pilihan untuk bersara lebih awal menerusi persetujuan dalam kontrak perkhidmatan atau perjanjian kolektif (CA) dengan majikan.

Mengulas pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2012, Ismail berkata, kementerian menerima antara 500 hingga 600 permohonan rayuan daripada majikan.

“Mana-mana pihak yang membuat rayuan dan diluluskan, boleh menangguhkan pembayaran gaji minimum sehingga hujung tahun depan,” katanya.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Mac 29, 2013

Penjawat awam sementara dan kontrak terima faedah Perkeso mulai 1 Mei 2013

Seramai 63,000 anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak akan turut menikmati pelbagai faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 Mei ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan mengambil keputusan itu bagi memastikan kebajikan pekerja dan anggota keluarga mereka turut dijamin di bawah Skim Perlindungan Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat seperti pekerja di sektor swasta.

"Keputusan ini memberi faedah kepada semua pekerja sementara dan kontrak di dalam perkhidmatan awam, termasuk 15,000 pekerja yang sedang berkhidmat di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan taraf sementara dan kontrak sekian lama," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Dr. Subramaniam berkata, Perkeso akan mengambil tindakan serta-merta untuk mendaftar semua pekerja bertaraf sementara dan kontak yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan awam persekutuan/negeri, badan berkanun persekutuan/negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Jemaah Menteri membuat keputusan itu minggu lalu...Dengan ini semua pekerja terbabit secara automatik akan didaftarkan di bawah Perkeso. Perkeso akan menghubungi jabatan dan agensi berkenaan untuk menguruskan pendaftaran ini," katanya.

Dr. Subramaniam berkata, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM30 juta setiap tahun dengan perluasan skim itu.

Katanya, skim bencana pekerjaan akan melindungi pekerja ditimpa kemalangan semasa waktu kerja, kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja dan juga penyakit khidmat.

Skim ilat pula akan memberi perlindungan 24 jam akibat daripada keuzuran atau penyakit dan pencen penakat pula disebabkan oleh kematian kepada pekerja yang menikmati keilatan atau disebabkan oleh penyakit.

Faedah-faedah lain yang turut dinikmati ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat dan kemudahan pemulihan untuk pekerja kembali bekerja.

Semua faedah ini akan diterangkan oleh Perkeso dalam taklimat kepada pekerja terlibat di jabatan dan agensi berkenaan, katanya.

Dalam pada itu Dr. Subramaniam berkata, sebanyak 1,912 majikan, dikesan gagal mendaftar pekerja mereka di bawah Perkeso, tahun lalu.

"Mereka dikenal pasti di bawah Ops Kesan yang dilakukan terhadap 20,003 majikan tahun lalu, dan majoriti daripada mereka ialah majikan sederhana dan kecil.

"Daripadanya sebanyak 1,802 kes didakwa di mahkamah (sivil) kerana gagal mencarum, gagal mendaftar, lewat daftar atau kesalahan-kesalahan berkaitan," jelasnya.

Menurutya bagi kesalahan itu majikan boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

- BERNAMA



Selasa, Mac 19, 2013

Bagaimana Proses Pilihanraya Dilaksanakan



1) Pembubaran Dewan

Apabila Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan, SPR akan menerima pemakluman rasmi yang dihantar oleh Yang DiPertua Dewan atau Speaker kepada SPR. Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR mempunyai tempoh selama 60 hari untuk mengadakan pilihan raya.

2)Persiapan

Bagi tujuan menetapkan tarikh penamaan calon, pengeluaran undi pos, pengundian awal dan tarikh pengundian, SPR akan mengadakan mesyuarat yang dihadiri oleh semua anggota SPR. Sebelum itu, SPR akan mengundang semua wakil kementerian/jabatan/agensi kerajaan dan swasta di peringkat pusat untuk mendapatkan kerjasama mereka dalam membantu SPR mengadakan pilihan raya. Mereka turut dipelawa memberikan pandangan bagi memudahkan SPR menetapkan tarikh-tarikh pilihan raya.

Apabila tarikh tersebut telah ditentukan, SPR akan mengumumkan tarikh-tarikh tersebut dalam media massa. Seterusnya, writ atau surat kuasa akan diserahkan kepada semua Pegawai Pengurus yang akan membantu SPR menguruskan pilihan raya di bahagian-bahagian pilihan raya di mana mereka dilantik. Kebiasaannya, mereka yang dilantik adalah dalam kalangan Pegawai-Pegawai Daerah atau Yang DiPertua Majlis-Majlis Daerah. Pemilihan mereka disebabkan keupayaan mereka mengawal jentera-jentera kementerian/jabatan/agensi kerajaan di peringkat daerah atau kawasan pentadbiran mereka.

Setelah itu, SPR akan mengeluarkan notis memaklumkan tarikh, masa dan tempat penamaan calon selain mempelawa mereka yang berminat untuk hadir menyerahkan pencalonan mereka pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan. Sementara menunggu hari penamaan calon, Pegawai-Pegawai Pengurus akan mengadakan mesyuarat penyelarasan di peringkat bahagian pilihan raya dengan semua wakil kementerian/jabatan/agensi kerajaan dan swasta bagi mendapatkan bantuan dan kerjasama mereka dalam pengendalian urusan pilihan raya yang bakal diadakan. Pegawai-Pegawai Pengurus turut melantik dan melatih petugas-petugas yang akan melaksanakan urusan pilihan raya di Pusat-Pusat Mengundi.

3) Penamaan Calon

Apabila tiba hari penamaan calon, Pegawai-Pegawai Pengurus akan membuka kaunter penerimaan kertas penamaan calon. Kebiasaannya, tempoh penyerahan kertas penamaan calon adalah dari jam 9.00 pagi hingga jam 10.00 pagi. Dalam pilihan raya kali ini, urusan pameran dan bantahan ke atas kertas penamaan calon tidak lagi diadakan. Selain itu, tiada lagi peluang untuk menarik diri dibuka untuk calon selepas muktamadnya penyerahan kertas penamaan pada jam 10.00 pagi. Ini bermaksud, Pegawai Pengurus akan memeriksa kelayakan calon dan kesempurnaan kertas penamaan calon dan memuktadkannya selepas jam 10.00 pagi. Selepas itu, Pegawai Pengurus akan mengumumkan sama ada terdapat pertandingan di bahagian pilihan raya tersebut. Sekiranya terdapat pertandingan, Pegawai Pengurus akan mengumumkan nama calon-calon yang akan bertanding serta tarikh-tarikh pengundian.

4) Tempoh Berkempen

Kempen adalah medium untuk memperkenalkan calon, ideologi politiknya serta pelan perancangan beliau atau partinya untuk membangunkan bahagian pilihan raya di mana beliau bertanding. Tempoh berkempen bermula dari pengumuman terdapatnya pertandingan oleh Pegawai Pengurus pada hari penamaan calon dan berakhir jam 12.00 malam sebelum hari pengundian. Bagi tujuan memastikan kempen dilaksanakan secara aman dan teratur, SPR telah menubuhkan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh ejen-ejen calon yang bertanding. Kempen boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara bagi menjelaskan kepada masyarakat pengundi tentang kelebihan calon agar beliau dipilih mewakili masyarakat setempat dalam pilihan raya tersebut. Tugas PP-KPR adalah bagi memastikan semua jenis medium kempen sama ada secara bersemuka atau melalui bahan kempen tidak menyentuh sensitiviti perkauman atau menjejaskan perpaduan dan permuafakatan masyarakat. Keputusan PP-KPR untuk mengenakan tindakan terhadap sesuatu ceramah atau bahan kempen dilakukan secara bersama oleh semua ahli PP-KPR termasuk oleh ejen-ejen calon yang menganggotai pasukan tersebut.

5) Hari Pengundian

Kebiasaannya, bangunan sekolah akan dijadikan sebagai Pusat Mengundi dan bilik-bilik darjah akan dijadikan sebagai Tempat Mengundi. Kawasan sekitar 50 meter daripada pagar sekolah adalah zon larangan kecuali bagi pengundi dan para petugas. Zon larangan ini disediakan bagi memberikan keselesaan kepada para pengundi. Selain pihak polis yang menguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan pengundi, petugas-petugas yang dibenarkan berada dalam Pusat Mengundi adalah Penyelia Pusat Mengundi, Pemandu Arah Pusat Mengundi, dan Kerani-Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Mereka ini bertugas di luar bilik darjah dengan cara membantu pengundi-pengundi menyemak lokasi Tempat Mengundi mereka, dan menunjukkan lokasi tersebut selain membantu mereka yang uzur dan kurang upaya. Di dalam Tempat Mengundi (bilik darjah) pula, Ketua Tempat Mengundi dan kerani-kerani pengundian ditugaskan melaksanakan proses pengundian. Semasa hari pengundian, semua petugas dikehendaki datang awal bagi mempersiapkan Tempat Mengundi. Ejen-ejen yang dilantik oleh calon juga dibenarkan masuk awal ke Tempat Mengundi. Peranan ejen adalah bagi memerhati perjalanan pengundian. Sebelum Tempat Mengundi dibuka, Ketua Tempat Mengundi akan menutup dan memeteraikan peti undi di hadapan ejen-ejen yang hadir. Pada jam 7.50 pagi, Pusat Mengundi akan dibuka dan para pengundi bolehlah menyemak lokasi Tempat Mengundi mereka di barung SPR. Selepas itu, mereka bolehlah terus ke Tempat Mengundi masing-masing dan beratur di luar Tempat Mengundi tersebut. Sebelum pengundian berlangsung, Ketua Tempat Mengundi akan mengisi butiran buku kertas undi ke dalam Borang 13. Butiran yang diisikan adalah butiran tempat dan Pusat Mengundi selain bilangan serta nombor siri kertas undi yang akan digunakan. Ia merupakan satu prosedur standard bertujuan memastikan kesahihan bilangan kertas undi yang akan diguna pakai dengan kertas undi yang rosak atau tidak dikembalikan. Ejen-ejen calon juga dibenarkan untuk memeriksa kandungan Borang 13 ini. Sejurus sebelum pengundian dimulakan, Ketua Tempat Mengundi akan memberikan taklimat ringkas kepada kerani-kerani pengundian dan ejen calon tentang perjalanan pengundian dan perkara-perkara yang dibolehkan dan tidak boleh dilakukan sepanjang proses tersebut.

6) Proses Pengundian

Sebaik jam 8.00 pagi Tempat Mengundi akan dibuka dan pengundi akan dibenarkan masuk. Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pengundi adalah menyerahkan kad pengenalan dan slip semakan kepada Kerani Pengundian Pertama. Kerani akan menyemak nama pengundi dalam daftar pemilih dan meminta pengundi bergerak ke hadapan Kerani Pengundian Kedua. Kerani Pengundian Kedua akan meminta pengundi meletakkan jari di atas pad yang disediakan untuk proses calitan dakwat kekal. Dakwat kekal dicalitkan di atas permukaan jari telunjuk tangan kiri pengundi. Sekiranya pengundi tiada jari telunjuk, dakwat kekal akan dicalit di mana-mana jari tangan kiri sebelum beralih ke jari tangan kanan sekiranya tangan kiri pengundi tidak mengandungi sebarang jari . Sesudah jari dicalit, Kerani Pengundian Pertama akan meneriakkan nama pengundi untuk disemak oleh ejen-ejen tempat mengundi yang hadir. Ejen-ejen tempat mengundi akan hadir memerhatikan perjalanan proses pengundian daripada bermulanya proses tersebut sehinggalah tamat proses pengiraan undi. Ejen-ejen tempat mengundi turut menggunakan buku daftar pemilih yang sama dengan Ketua Tempat Mengundi, Kerani Pengundian dan Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Selepas nama diteriakkan, pengundi akan diberikan kertas undi oleh Kerani Pengundian Ketiga. Kertas undi ini dicapkan dengan tanda pengenalan Tempat Mengundi. Setelah menerima kertas undi, pengundi bolehlah beredar ke petak undi untuk menandakan kertas undinya. Pengundi perlu menandakan 'X' pada petak disebelah nama calon pilihannya. Seterusnya, kertas undi tersebut perlu dimasukkan ke dalam peti undi. Pengundi perlu segera beredar keluar daripada Tempat Mengundi sebaik sahaja memasukkan kertas undinya ke dalam peti undi. Proses ini akan terus berlangsung sehingga jam 5.00 petang iaitu masa Tempat Mengundi ditutup.

7) Proses Mengira Undi

Sebaik sahaja Tempat Mengundi ditutup, Ketua Tempat Mengundi akan menutup bukaan/mulut peti undi dan memeteraiakannya dengan cara meletakkan perekat keselamatan. Penutupan peti undi ini dilakukan di hadapan ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir. Petugas-petugas pula akan bertindak menyusun semula Tempat Mengundi mengikut susunan proses pengiraan undi. Sebelum kiraan dimulakan, Ketua Tempat Mengundi akan memberikan taklimat ringkas berhubung proses pengiraan undi. Proses pengiraan undi bermula dengan memotong ikatan penutup peti undi dan mengeluarkan kertas undi untuk dimasukkan ke dalam dulang 'Undi Belum Dikira'. Kertas-kertas undi kemudiannya dikira dalam bilangan sepuluh dan diikat dalam bilangan seratus. Proses ini bertujuan mendapatkan bilangan sebenar kertas undi yang berada dalam peti undi untuk direkodkan ke dalam Borang 13. Sekiranya bilangan kertas undi adalah sama atau kurang, proses pemaparan kertas undi boleh dimulakan. Sekiranya berlebihan daripada yang dinyatakan dalam Borang 13, Ketua Tempat Mengundi terpaksa mengambil tindakan seperti yang berikut:

1) memeriksa nombor siri kertas undi bagi memastikan hanya kertas undi dalam turutan nombor siri yang dinyatakan dalam Borang 13 sahaja berada dalam peti undi tersebut. Sekiranya, Ketua Tempat Mengundi menjumpai kertas yang berlainan nombor sirinya, kertas undi tersebut perlulah diketepikan.

2) selain memeriksa nombor siri, Ketua Tempat Mengundi juga boleh memeriksa tanda cap pada kertas undi. Ini kerana cap yang digunakan bagi setiap Tempat Mengundi adalah unik.

Setelah selesai, Ketua Tempat Mengundi akan memohon ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi untuk menandatangani Borang tersebut sebagai tanda memahami tatacara yangdilaksanakan dan berpuas hati dengan pengendalian tatacara tersebut.Kemudian, barulah proses pemaparan kertas undi boleh dimulakan. Proses ini dilakukan oleh kerani-kerani mengira undi dan dilakukan di hadapan ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir. Proses pemaparan kertas undi adalah proses membuka dan memperlihatkan kertas undi kepada ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi yang hadir sebelum dimasukkan ke dalam dulang-dulang bersimbol calon mengikut tanda di atas kertas undi. Apabila selesai proses pemaparan ini, barulah kertas-kertas undi ini dikira mengikut dulang masing-masing. Bilangan kertas undi dalam setiap dulang akan dimaklumkan kepada Ketua Tempat Mengundi. Sekiranya terdapat kertas undi ragu, Ketua Tempat Mengundi akan memutuskannya mengikut Buku Panduan Memutuskan Undi Ragu dan keputusan Ketua Tempat Mengundi adalah muktamad. Maklumat berkaitan bilangan undi yang diperoleh oleh setiap calon akan diisikan ke dalam Borang 14 (Borang Keputusan Undi Bagi Setiap Tempat Mengundi). Salinan Borang 14 yang telah lengkap diisi akan diberikan kepada ejen-ejen tempat mengundi/ mengira undi selepas mereka menandatangani borang tersebut. Ini bermaksud semua pihak mempunyai salinan keputusan yang sama dan tidak boleh diubah lagi.Selepas itu, semua kertas undi akan dimasukkan ke dalam sampul-sampul, dimeterai dan dimasukkan ke dalam peti undi. Peti undi yang telah dimeterai akan di bawa ke Pusat Penjumlahan Rasmi Undi untuk simpanan selamat. Borang 14 pula akan diserahkan kepada Pegawai Pengurus untuk dijumlahkan dengan semua Tempat Mengundi lain dalam bahagian pilihan raya tersebut.

Borang 10 digunakan sebagai akuan identiti orang yang dipercayai oleh pengundi uzur atau OKU yang membantu pengundi tersebut mengundi dalam tempat mengundi

Borang 11 digunakan sebagai akuan kepada pengundi yang maklumat identiti dalam dokumen pengenalan dirinya berbeza sedikit dengan maklumat dalam daftar pemilih.

Borang 13 digunakan oleh KTM mengisi maklumat bilangan kertas undi yang diterima dan digunakan sebagai penyata sebelum proses pengiraan bermula.

Borang 14 digunakan oleh KTM mengisi maklumat bilangan undi yang diterima oleh setiap calon selepas proses pengiraan undi. Salinan borang akan diberikan kepada ejen pengiraan undi (dilantik oleh calon) yang hadir semasa proses pengundian.


8) Penjumlahan Rasmi Undi & Pengumuman Keputusan

Setelah semua Borang 14 dijumlahkan, Pegawai Pengurus akan mengisikan keputusan yang diperoleh setiap calon ke dalam Borang 16 (Borang Keputusan Pertandingan). Akhirnya, Pegawai Pengurus akan mengumumkan keputusan jumlah undi yang diperoleh setiap calon dan pemenang bagi pertandingan tersebut yang seterusnya dipilih menjadi wakil rakyat bagi bahagian pilihan raya tersebut. Selepas keputusan diumumkan, maka selesailah urusan asas pilihan raya.

Sumber : http://www.pru13.gov.my


Sabtu, Mac 16, 2013

Caj Lesen Memandu OKU dimansuh

Berkuat kuasa 14 Mac 2013, orang kelainan upaya (OKU) di seluruh negara yang memiliki lesen motosikal tidak lagi dikenakan bayaran pembaharuan, sebaliknya hanya dikenakan caj nominal RM2.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, sebelum ini, OKU perlu membayar kadar bayaran yang sama seperti pemilik lesen memandu lain iaitu RM20 bagi motosikal dan RM30 untuk kereta.

Bagaimanapun jelas beliau, pemansuhan bayaran pembaharuan lesen memandu kereta untuk OKU hanya berkuat kuasa pada 1 Mei 2013 depan bagi membolehkan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dinaik taraf.

"Selain itu, OKU yang ingin mengambil ujian memandu (Lesen L), bayaran RM10 yang dikenakan (JPJ) sebelum ini dimansuhkan dan mereka boleh (menduduki) ujian secara percuma.

Sumber : KOSMO!



Khamis, Mac 14, 2013

Parlimen Malaysia automatik bubar 30 April 2013

Parlimen bubar secara automatik pada 30 April dan bukan 28 April seperti diuar-uarkan sebelum ini bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dilangsungkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan, tarikh cukup tempoh satu penggal atau lima tahun PRU, dikira berdasarkan tarikh sidang pertama Dewan Rakyat selepas pilihan raya berlangsung, bukan tarikh pilihan raya umum diadakan dan pengiraan berkenaan sudah disahkan penasihat undang-undang suruhanjaya berkenaan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar), berkata Negeri Sembilan akan menjadi negeri pertama yang Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar secara automatik iaitu 27 Mac ini jika Parlimen tidak dibubarkan sebelum itu.

Ramai termasuk pemimpin politik tidak sedar perkara ini hingga buat andaian Parlimen sepatutnya terbubar sendiri 9 Mac lalu. Sidang pertama Dewan Rakyat selepas PRU-12 ialah 28 April 2008, tetapi disebabkan 28 April 2013 jatuh pada Ahad, ia dibawa kepada 29 April dan Parlimen bubar secara automatik 30 April, katanya.

Aziz berkata, sehingga 30 April itu, Perdana Menteri masih berhak bersuara dan segala keputusan kerajaan adalah sah, malah apabila Parlimen dibubarkan, kerajaan sedia ada bertindak selaku kerajaan sementara dan Perdana Menteri boleh membuat keputusan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menolak dakwaan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jumlah pengundi di daerah mengundi (DM) Bestari Jaya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok melebihi penduduk.

Tindakan beliau menyebarkan perkara itu melalui akhbar partinya dilihat tidak ikhlas dan cuba mengelirukan orang ramai, sedangkan SPR memberi ruang kepada mana-mana pihak yang mencurigai daftar pemilih untuk membantah ketika Rang Daftar Pemilih Tambahan suku tahun dipamerkan, katanya dalam satu kenyataan.

Kamaruddin, berkata, DM Bestari Jaya Utara lebih luas dan tidak terhad dalam kawasan pekan Bestari Jaya, sebaliknya bermula dari sempadan Ladang St Andrew dan berakhir di sempadan Kampung Sungai Darah dengan dipisahkan jalan utama Batang Berjuntai-Kuala Selangor.

DM Bestari Jaya Utara mengandungi 18 lokaliti iaitu taman perumahan, kampung tradisi, kuarters kerajaan dan penempatan utama. Kenyataan Menteri Besar Selangor itu dipercayai hanya merujuk Bestari Jaya Utara yang didakwa mempunyai hanya 1,788 penduduk dan ia adalah tidak benar.

Berdasarkan daftar pemilih sehingga Disember 2012, pemilih di DM Bestari Jaya ialah 3,558 orang, peningkatan 1,317 orang berbanding 2006 disebabkan pertambahan sembilan lokaliti baru iaitu taman perumahan, katanya.

Beliau berkata, hasil semakan bagi 2006 ketika Pilihan Raya Kecil DUN Ijok 2007, pemilih di sana 2,241 orang, tetapi perkara itu tidak pernah dibangkitkan atau dibantah ketika Khalid bertanding seterusnya menang kerusi itu.

Sumber : BERITA HARIAN


Isnin, Mac 04, 2013

Dilarang guna suntikan kimia kepada pelanggan

Pengusaha pusat kecantikan dilarang dilarang menyediakan perkhidmatan membabitkan suntikan bahan kimia dan bahan lain termasuk vitamin dalam tubuh pelanggan.

Ketetapan itu adalah sebahagian garis panduan yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kepada pengusaha pusat kecantikan, restoran dan katering bagi memastikan pengendali beroperasi dalam persekitaran terjamin dan menjaga hak serta keselamatan pengguna.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pengendali yang gagal mematuhi garis panduan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perubatan 1971, Akta Pembantu Kesihatan 1977, Akta Jururawat 1950, Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 serta Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2012.
 
Pihak kementerian akan mengedarkan garis panduan kepada 48,000 pengusaha kecantikan di seluruh negara dalam tempoh terdekat," Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Garis panduan itu adalah berikutan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) menerima 3,586 aduan berhubung industri kecantikan sejak tahun 2010," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata pihak kementerian memandang serius berhubung aduan berkenaan.

"Pihak kementerian akan mengedarkan garis panduan kepada 48,000 pengusaha kecantikan di seluruh negara dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata menerusi garis panduan itu, pusat rawatan kecantikan dilarang menyediakan perkhidmatan penyuntikan, pil dan menggunakan cecair kimia kerana ia hanya tertakluk kepada pihak berkuasa Kementerian Kesihatan.

Selain itu, garis panduan turut dikeluarkan kepada pengusaha restoran dan katering selepas TTPM menerima masing-masing satu dan 13 aduan dalam tempoh sama.

“Pengusaha restoran dan katering pula, mereka perlu ikut garis panduan penyediaan makanan lebih bersih," katanya sambil menambah garis panduan berkenaan akan diedarkan kepada semua pemilik pusat kecantikan, katering dan restoran dalam masa terdekat.

Katanya, pemilik yang gagal mempamerkan dan mematuhi garis panduan itu boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Sumber : BERITA HARIAN


Khamis, Februari 21, 2013

Peraturan Perniagaan Dalam Talian berkuatkuasa 1 Julai 2013


Semua perniagaan dan perkhidmatan dalam talian diwajibkan mematuhi Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2013 ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bertujuan menjaga kepentingan pelanggan dan mengelak mereka daripada menjadi mangsa penipuan urus niaga secara elektronik.

Jelasnya, peraturan tersebut mewajibkan peniaga menyediakan maklumat seperti nama, nombor pendaftaran perniagaan, nombor telefon, alamat, e-mel dan ciri-ciri utama barang atau perkhidmatan kepada pelanggan.

“Kerajaan juga tidak benarkan sebarang kos tersembunyi, jadi peniaga perlu meletakkan harga penuh barangan atau perkhidmatan termasuk kos sampingan.

“Selain itu, kaedah pembayaran, terma dan syarat serta anggaran masa penghantaran pesanan pelanggan harus dinyatakan dengan jelas,” katanya pada sidang akhbar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lebih 1.1 juta rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM1.8 bilion dalam pelbagai transaksi dalam talian pada tahun 2010, dan nilai itu dijangka mencecah hampir tiga kali ganda kepada RM5 bilion pada tahun depan.

“Daripada 1.1 juta pembeli dalam talian, 67% mereka berusia antara 15 dan 39 tahun. Dalam tempoh 10 tahun lagi, kumpulan ini bertambah dewasa dan terus menggunakan internet, dan kumpulan baru juga akan mengikutinya.

“Segmen ini berkembang… sebab itulah kementerian berpandangan bahawa sekiranya peraturan terus longgar, lebih banyak penipuan akan berlaku,” katanya ketika mengumumkan pelaksanaan peraturan baru itu dalam satu sidang media di sini pada Rabu.

Sejajar dengan peraturan baru itu, kementerian turut memperkenalkan garis panduan perdagangan elektronik untuk para pengguna bagi mengelakkan daripada ditipu.

Garis panduan itu dijangka akan dipaparkan dalam laman web kementerian di www.kpdnkk.gov.my
 
Sumber : KOSMO!
 

 

Ahad, Februari 10, 2013

Hak untuk hidup anak tak sah taraf

Perkahwinan adalah salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW. Tentunya setiap yang berkahwin inginkan anak sebagai penyambung warisan. Tanpa anak, ada pasangan sanggup bercerai-berai. Lumrahnya, jika tiada anak, isterilah yang dipersalahkan sebagai mandul. Malah suami biasanya mengambil keputusan untuk berkahwin lagi dan ini jarang sekali dipersetujui isteri.

Pasangan bercerai, sama ada sebelum suami berkahwin lagi atau selepas mendapat tahu. Jarang juga pasangan membuat pemeriksaan doktor untuk menentukan siapa sebenarnya yang mandul. Ada juga pasangan yang mengambil jalan lain bagi menyelamatkan perkahwinan iaitu mengambil anak angkat.

Hari ini ramai pasangan yang tidak mempunyai anak memohon untuk mendapatkan anak angkat.

Ada juga yang berpandangan itu bukanlah cara terbaik menyelesaikan masalah, tetapi mungkin menempah masalah lain pula. Apapun alasan, ini jelas menunjukkan bahawa anak penting dalam perkahwinan.

Pasangan suami isteri yang berkahwin sangat menginginkan anak sebagai tanda cinta mereka bersemi dan bersemarak.

Namun, hari ini berapa ramai daripada mereka yang sudah bergelar ibu bapa tahu apakah sebenarnya tanggungjawab mereka dan hak anak itu sendiri?

Hari ini semua perkara perlu diajarkan kepada pasangan muda. Dahulu, ibu bapa berkahwin pada usia yang muda dan menimang cahaya mata tanpa ke klinik ibu mengandung. Mereka hanya bergantung kepada nasihat orang tua serta mengikut pantang larang turun-temurun.

Apabila selamat bersalin, susu badan terus diberikan kepada bayi, apatah lagi kebanyakan ibu tidak bekerja maka penyusuan berlaku secara semula jadi.

Namun hari ini ibu muda diajar bagaimana hendak menyusukan anak dan amat digalakkan menyusu badan. Ramai juga yang memilih untuk tidak menyusu badan kerana tidak mempunyai susu yang banyak atau bekerja.

Kenapa ibu dahulu tidak perlu diajar tetapi melakukan semua perkara sebagai isteri dan ibu melalui teladan yang diperturunkan oleh orang yang lebih tua?

Bagaimanakah pula ibu hari ini mengetahui hak anak sebelum anak tersebut dilahirkan?

Hak utama

Hak anak yang pertama dan utama ialah hak untuk lahir dengan nasab yang sah. Untuk mempunyai hak yang boleh dituntut, seorang anak hendaklah dilahirkan sebagai anak yang sah taraf.

Sah taraf bermakna, ia dilahirkan hasil perkongsian kedua ibu bapanya melalui perkahwinan yang sah.

Jika anak dikandung sebelum pasangan berkahwin secara sah, maka anak tersebut adalah anak luar nikah atau anak yang tidak sah taraf.

Hari ini kelahiran anak luar nikah sangat membimbangkan angkara terpedaya dengan nafsu syaitan menjebak kepada hubungan seks tanpa nikah. Lebih memburukkan keadaan apabila si gadis mengandung lalu cuba membuat pengguguran.

Ada juga yang sanggup lari dari rumah kerana takut atau mahu memastikan keluarga tidak malu atau ada yang menyembunyikan kandungan dan akhirnya melahirkan anak di tempat yang tidak bersih dan tidak selamat. Kemudiannya bayi yang lahir itu ditinggalkan sehingga meninggal dunia.

Dalam Islam janin mempunyai hak untuk hidup dan pengguguran janin (kandungan) hanya dibenarkan bagi tujuan menyelamatkan nyawa ibu. Selain itu, tidak ada alasan atau sebab yang membenarkan pengguguran.

Islam melarang membunuh anak perempuan sebagaimana perbuatan zaman jahiliah. Hak untuk hidup ini termasuk hak untuk dilahirkan sebagai anak sah taraf, yang membawa maksud tentu nasab anak atau anak dinasabkan kepada ayah kandungnya.

Banyak hak yang boleh dituntut oleh anak jika dilahirkan sah taraf. Antara hak utama ialah anak berhak menuntut ia dilahirkan sah taraf.

Dosa ibu bapa

Dalam hal remaja yang melahirkan anak tidak sah taraf, perlu disedari bahawa mereka telah melakukan dosa. Dosa ini pula berkait-kait hingga menjadi panjang. Melakukan zina itu berdosa besar. Apabila mengandung, usaha untuk menggugurkan kandungan adalah berdosa kerana sama seperti membunuh yang juga dosa besar.

Jika melahirkan anak tersebut dalam keadaan yang tidak sihat dan selamat yang akhirnya menyebabkan anak itu meninggal dunia, juga berdosa. Meninggalkan atau mengabai bayi yang baru lahir supaya ia mati juga berdosa.

Janganlah satu dosa ditambah dengan membuat lebih banyak dosa. Sampai masanya kita cuba mencari punca dan jalan penyelesaian yang terbaik untuk ibu, anak dan keluarga demi masa depan umat Islam. Menuding jari mencari kesalahan pihak lain bukanlah penyelesaiannya.

Anak tidak sah taraf tidak berdosa. Yang membuat dosa ialah kedua-dua ibu bapanya. Maka menghukum anak yang lahir itu adalah salah.

Anak tidak sah taraf juga mempunyai hak untuk hidup sama seperti anak-anak yang lain. Tetapi dia tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya, maka semua haknya adalah tanggungjawab ibunya.

Oleh yang demikian, sebagai ibu, remaja hari ini mesti tahu bahawa jika mereka mengambil keputusan untuk mengadakan hubungan seksual di luar nikah yang boleh menyebabkannya mengandung dan melahirkan anak, anak tersebut adalah anak yang suci dan bersih dan berhak hidup seperti anak-anak lain.

Kewajipan

Sebagai ibu walau semuda mana sekalipun, mereka mesti tahu adalah menjadi kewajipannya memastikan anak tersebut selamat dilahirkan, disusukan, diberi nama dan dibesarkan seperti anak-anak sah taraf yang lain.

Sebagai manusia yang melakukan dosa besar, maka hendaklah dia bertaubat dan sedar akan kesalahan diri dan bukan dengan cuba menghalang kelahiran anak tersebut atau memastikan anak tersebut mati.

Jika remaja yang menjadi ibu muda ini tidak mampu memelihara anak tersebut kerana dia sendiri belum bekerja dan terlalu muda, maka tanggungjawab itu jatuh kepada keluarganya.

Jika tidak ada yang mampu, maka menjadi tanggungjawab pihak berkuasa menanggung anak tersebut.

Sumber : UTUSAN


Khamis, Januari 10, 2013

Tindakan Undang-undang Terhadap Penyebar Berita Palsu - SKMM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai tentang bahayanya penyebaran berita palsu menerusi internet dan sistem khidmat pesanan ringkat (sms).

Ini ekoran berita palsu mengenai kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Kami mengambil serius perkara ini. Siasatan sedang dijalankan dan seperti biasa kami bekerjasama dengan polis dan jika didapati melanggar undang-undang, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada," kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

Katanya bawah seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jika didapati bersalah mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan berita tersebut melalui sms atau media sosial kerana berita palsu seperti yang ditulis dalam blog tersebut boleh mengganggu gugat keselamatan negara, kesejahteraan masyarakat dan merupakan pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini," katanya.

- BERNAMA

Jumaat, Januari 04, 2013

506 Majikan Didakwa Atas Pelbagai Kesalahan Pada 2012

Sebanyak 506 majikan di Semenanjung Malaysia telah didakwa dan disabitkan dengan pelbagai kesalahan sepanjang tahun lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Mohd Jeffrey Joakim.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak 80 peratus majikan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 69 Akta Kerja 1955 berikutan kegagalan menjelaskanbayaran kepada pekerja.

"Bayaran itu termasuk tunggakan gaji, gaji ganti, notis penamatan perkhidmatan, faedah penamatan kerja, bayaran baki cuti tahunan dan lain-lain bayaran yang diperintahkan melalui Mahkamah Buruh," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Selain itu sebanyak 103 tindakan pendakwaan telah dikenakan mengikut Akta Pampasan Pekerja 1952 berikutan kegagalan majikan menginsuranskan pekerja asing yang digajikan dan gagal melaporkan kemalangan pekerja asing ke Pejabat Tenaga Kerja, katanya.

Beliau berkata selain kesalahan di bawah dua akta itu, beberapa kesalahan mengikut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 turut direkodkan.

Jeffrey berkata sebanyak lima buah syarikat telah didakwa mengikut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 kerana beroperasi tanpa lesen.

Katanya selain tindakan pendakwaan, sebanyak 461 kompaun telah dikeluarkanJTKSM kepada majikan yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Kerja 1955sepanjang tahun lalu.

"Daripada 461 kompaun yang dikeluarkan itu, 67 peratus daripada majikan dikenakan kompaun kerana gagal melaporkan penggajian pekerja asing dalam tempoh 14 hari dari tarikh penggajian.

"Sebanyak sepuluh peratus majikan pula dikompaun kerana gagal membayar gajidalam tempoh yang ditetapkan dan sembilan peratus lagi dikompaun kerana gagalmemberikan terma dan syarat perkhidmatan kepada pekerja," katanya.

Selain itu katanya mengikut statistik yang direkodkan sejak tahun 2010 sehingga kini, sebanyak RM1.47 juta bayaran kompaun telah dijelaskan oleh majikan.

Jeffrey berkata JTKSM menubuhkan satu pasukan penguat kuasa khas di setiapnegeri bagi tujuan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang perburuhan danmembanteras pelanggaran undang-undang.

- BERNAMA

Khamis, November 15, 2012

Pemandu Lebih Berhemah Selepas Penguatkuasaan AES - JKJR

 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) telah mengubah tingkah laku pengguna jalan raya menjadi lebih berhemah.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Leslie Leon berkata sistem itu bukan bertujuan menghukum pemandu.

"Titik keseluruhan dan matlamat utama adalah kematian yang lebih rendah," katanya.

"Sistem ini memerlukan masa untuk menjadi efektif, tetapi berdasarkan apa yang kita telah melihat terdapat petunjuk yang jelas bahawa pemandu menjaga tingkah laku mereka," katanya pada sidang akhbar selepas taklimat tertutup pada AES untuk NGO di Putrajaya.

Setakat ini, 14 kamera telah dipasang di Perak dan Lembah Klang untuk menangkap kelajuan dan melanggar lampu merah.

Terdapat rancangan untuk memasang 1.093 kamera di 831 lokasi di seluruh negara menjelang tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan berkata sebelum ini, selepas lima minggu, kesalahan trafik turun sehingga 73% di beberapa lokasi manakala lebih daripada 79.000 saman telah dikeluarkan pada 4 November.

Leon menyatakan bahawa AES adalah "Inisiatif tambahan" yang akan dijalankan di samping usaha berterusan seperti mendidik golongan muda mengenai keselamatan jalan raya.

Beliau berkata terdapat purata 19 kematian akibat kemalangan trafik sehari.

"Dari tahun 2001 hingga 2010, kita telah mempunyai 70,000 kematian di jalan raya kami. Kita tidak boleh lari daripada hakikat itu.

"Bagi sesetengah daripada kita ini hanya statistik, tetapi bagi orang-orang yang telah kehilangan seseorang, ia adalah satu tragedi."

Sementara itu, pengarah penguatkuasaan JPJ Jaafar Mohamed berkata mereka meminta nasihat Peguam Negara berikutan penolakan kerajaan Selangor AES.

"Ini adalah satu perkara yang mengikut undang-undang," katanya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri tidak akan membenarkan pelaksanaan AES 'kerana dia mendakwa Menteri Pengangkutan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan untuk memasang kamera

- MSTAR

Sabtu, November 10, 2012

Pengguna boleh tebus rugi barang yang dibeli walaupun ada notis

Pengguna berhak untuk mendapatkan tebus rugi terhadap barangan atau perkhidmatan termasuk di premis perniagaan yang mempamerkan notis "Pertukaran Tidak Dibenarkan" atau "Tiada Pemulangan" jika barang yang diperoleh tidak memenuhi jaminan sepatutnya.

Antara jaminan yang perlu ada ialah mematuhi aspek kualiti, menepati ciri-ciri yang digambarkan dan mampu berfungsi dengan baik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini bermakna peniaga yang meletakkan notis adalah tidak terkecuali daripada tanggungjawab kepada pelanggan yang tidak berpuashati terhadap barangan atau perkhidmatan diberikan.

"Malah peniaga yang meletakkan notis itu juga adalah tidak beretika kerana ia seolah menafikan hak tebus rugi pengguna dan peniaga tidak sepatutnya meletakkan notis sedemikian," katanya pada sidang akhbar mengenai Garis Panduan Pelaksanaan Tebus Rugi Pengguna di Putrajaya.

Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah memperuntukkan kepada pengguna mengenai hak tebus rugi.

Beliau berkata memandangkan kesedaran mengenai tebus rugi di kalangan pembekal, pengilang mahupun pengguna masih kurang, kementerian mengeluarkan garis panduan itu yang antara lain bertujuan memperjelas hak dan tanggungjawab pembekal, pengilang dan pengguna dalam pelaksanaan tebus rugi.

"Hak mendapat tebus rugi bermaksud hak mendapatkan penyelesaian tuntutan atau menerima pampasan bagi barang atau pekhidmatan yang tidak memenuhi jaminan yang dinamakan Gerenti Tersirat dan Gerenti Nyata," katanya.

Ismail Sabri berkata sebagai contoh jika kasut yang baru dibeli telah patah tumitnya atau meja makan yang dibeli mempunyai kaki meja longgar, pengguna berhak mendapatkan gantian atau pembayaran balik.

Bagaimapun hak untuk mendapatkan tebus rugi adalah tertakluk kepada syarat seperti melaporkan kerosakan barang atau kegagalan perkhidmatan kepada pembekal atau pengilang dalam tempoh masa yang munasabah.

Pengguna juga perlu menyimpan resit atau bukti pembelian, menyimpan waranti, berhenti menggunakan barang yang rosak itu sehingga ia dapat dikembalikan kepada pembekal atau pengilang.

Sekiranya peniaga atau penjual masih enggan mematuhi permintaan pengguna yang mempunyai alasan kukuh dan munasabah, pengguna boleh mengambil tindakan menerusi Tribunal Pengguna, katanya.

- BERNAMA


Selasa, Oktober 23, 2012

Iklan Keliru dan Palsu Diambil Tindakan Undang-Undang Mulai 1 Jan 2013

Mulai 1 Januari 2013 sebarang iklan mengelirukan atau palsu disiarkan dalam media cetak atau elektronik, pengiklannya boleh dihadapkan ke mahkamah dan dikenakan hukuman setimpal di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana individu mengeluarkan iklan mengelirukan dan palsu mengenai butiran kuantiti, kualiti, harga, keberkesanan produk dan kebolehdapatan, boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih daripada tiga tahun.

"Bagi pertubuhan pula, boleh didenda tidak lebih RM100,000 bagi kesalahan pertama dan tidak lebih RM200,000 bagi kesalahan kedua," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Garis Panduan Mengelakkan Iklan Palsu dan Mengelirukan di sini, Isnin.

Ismail Sabri berkata, butiran mengenai tindakan ke atas pengiklan terkandung dalam garis panduan yang disediakan oleh Jawatankuasa Pengiklanan berikutan pindaan terhadap Bahagian XIA, Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang diluluskan Parlimen, baru-baru ini.

"Pindaan itu adalah bagi menjelaskan perkara-perkara berkaitan palsu atau mengelirukan bertujuan melindungi pengguna daripada tertipu dengan iklan-iklan tersebut.

Sebanyak 38 kes aduan mengenai iklan telah kami terima setakat hari ini," katanya.

Ismail Sabri berkata jawatankuasa pengiklanan tersebut mendapat kerjasama daripada beberapa kementerian seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya serta dianggotai beberapa ahli akademik dengandipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Yayasan Sumber Maklumat, Dr Zuraidi Ishak.

"Jika iklan berkaitan dengan produk kesihatan, kami akan menyerahkannya kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan. Kami hanya menguruskan iklan produk atau perkhidmatan yang mengelirukan dan bertujuan menipu pengguna," katanya.

Beliau berkata Garis Panduan iklan tersebut akan mengawal selia pengiklan terdiri daripada pemilik barang atau perkhidmatan, agensi pengiklan atau mana-mana pihak yang terlibat dalam usaha penyiaran iklan melalui media cetak atau elektronik.

"Garis panduan ini boleh dijadikan rujukan oleh para pengguna dalam mengenal pasti kandungan iklan palsu atau mengelirukan, selain sebagai rujukan kepada pengiklan agar bertanggungawab sepenuhnya terhadap iklan mereka.

"Iklan yang akan disiarkan mestilah mendapat kelulusan daripada pihak-pihak yang berkaitan," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata perkara yang dilarang seperti dakwaan penyembuhan terhadap penyakit-penyakit kronik dan tatacara penggunaan logo halal juga diterangkan dalam garis panduan itu.

"Beliau berkata kriteria-kriteria turut diambil kira apabila menyatakan terma-terma dan syarat dalam iklan seperti penggunaan bahasa yang ringkas, saiz dan font yang jelas serta kedudukannya yang mudah dilihat oleh pengguna dalam iklan bilboard," katanya.

Menurut Ismail Sabri, buku garis panduan itu akan diedarkan kepada orang ramai mulai hari ini.

- BERNAMA

Jumaat, September 28, 2012

Pemasangan Langsir, Pelekat Di Cermin Kenderaan Adalah Dilarang

MEMASANG langsir dan pelekat pada tingkap kenderaan adalah satu kesalahan dan amalan ini boleh menyebabkan pemilik kenderaan dipenjara jika mereka ditangkap dan didakwa di mahkamah.

Walaupun langsir digunakan untuk melindungi pemandu dan penumpang daripada silau dan haba matahari, ramai yang tidak sedar bahawa memasangnya adalah satu kesalahan.

Pemasangan langsir hanya dibenarkan pada bas, 'caravan' dan van yang digunakan untuk membawa pelajar sekolah.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Yusoff Ayob berkata pemilik kenderaan yang memasang langsir atau pelekat telah melakukan satu kesalahan.

"Kesalahan ini membawa hukuman denda yang berat dan hukuman penjara.

"Ramai yang tidak menyedarinya.

"Kebanyakan mereka yang telah dikeluarkan saman membuat kesalahan kali pertama," katanya.

Yusoff menambah terdapat hanya beberapa saman yang dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berkaitan dengan langsir.

"Pengguna kenderaan dibenarkan untuk menggunakan pelindung cahaya atau tuala pada tingkap kereta untuk menghalang matahari.

"Ini dibenarkan kerana pelindung dan tuala tidak kekal dan boleh dikeluarkan apabila diperlukan. Pelekat dan langsir dipasang kekal dan menghalang pandangan pemandu," kata Yusoff.

Beliau menambah jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 dan / atau penjara tidak melebihi dua minggu untuk kesalahan pertama.

Bagi kesalahan berikutnya, pemandu ingkar boleh didenda tidak melebihi RM1,000 dan / atau penjara tidak melebihi satu bulan.

Kaedah 4(1) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991 memperuntukkan bahawa langsir, bidai atau bahan lain tidak boleh dipasang dalam kenderaan bermotor untuk melindungi bahagian dalam kenderaan itu.

Kaedah 5(1) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-jenis Kaca Tertentu) 1991 memperuntukkan tahap ketelusan cahaya bagi cermin hadapan kenderaan (windscreen) hendaklah melebihi 70 peratus manakala bagi cermin sisi dan belakang kenderaan hendaklah melebihi 50 peratus.

Yusoff berkata pengeluar kereta Malaysia telah menetapkan 15 peratus standard penghalang cahaya, yang membolehkan 85 peratus cahaya matahari memasuki tingkap.

"Kami tidak menerima sebarang aduan berkaitan pemasangan pelekat penghadang cahaya tingkap secara haram daripada pengeluar tempatan. Kami hanya menghadapi masalah ini terhadap kenderaan 'recon' atau diimport," katanya.

- MSTAR

Selasa, September 11, 2012

Lelaki Sabah, Sarawak Bawah 35 Tahun Dilarang Kerja Di Singapura

Rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan bekerja di Singapura kecuali bagi lelaki yang berasal dari Sabah dan Sarawak apabila had umur kelayakan sedia ada dinaikkan kepada 35 tahun.

Peraturan baru itu diperkenalkan sebagai 'hukuman pentadbiran' selepas beberapa siri jenayah dan pergaduhan yang melibatkan masyarakat dari Sabah dan Sarawak di republik itu.

Difahamkan beberapa pembunuhan berprofil tinggi yang melibatkan masyarakt Sabah dan Sarawak di Ang Mo Kio Avenue, Kallang dan juga di Geylang pada tahun-tahun kebelakangan ini menyumbang kepada perlaksanaan peraturan ketat itu.

Pekerja baru berumur bawah 35 tahun dihalang memasuki negara berkenaan manakala kumpulan pekerja dalam lingkungan umar tersebut berhadapan masalah tidak boleh memperbaharui permit kerja selepas tamat tempoh.

Presiden Gagasan Dayak Iban Bersatu Malaysia (GAIU), Sai Malaka berkata, walaupun peraturan itu tidak dibuat secara rasmi oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura, semua permohonan permit kerja oleh lelaki yang berasal dari Sabah dan Sarawak di bawah umur 35 tahun telah ditolak secara automatik.

"Saya merasakan bahawa langkah ini adalah sangat melampau dan diskriminasi terhadap orang Sabah dan Sarawak," katanya.

Tambah Sai, masyarakat Sarawak dan Sabah merupakan pekerja mahir terutamanya dalam sektor minyak dan gas, fabrikasi dan penyelenggaraan kilang.

Katanya lagi sejak peraturan itu berkuatkuasa, ramai rakyat Sarawak dan Sabah yang tidak dibenarkan bekerja di Singapura memilih untuk bekerja di kilang-kilang di Johor, terutamanya di sekitar Pasir Gudang.

"Nasib baik kerajaan membangunkan hab minyak dan gas di Pengerang, Johor. Projek itu kini menyediakan kerja yang amat diperlukan bagi pekerja-pekerja yang menganggur," katanya kepada The Star pada Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Teknologi Negeri, M.Asojan berkata beliau menyedari isu berkenaan yang menggesa agar rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak dapat bekerja di Singapura agar mencari pekerjaan dalam pelbagai industri di Johor.

- mSTAR

Jumaat, September 07, 2012

JPJ Edar Notis Temusiasat Kepada Pesalah Trafik

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula mengedarkan notis temusiasat kepada pesalah trafik yang dikesan semasa Op Selamat 2012, mulai minggu keempat bulan ini.Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata notis-notis itu sedang diproses oleh bahagian penguatkuasa di ibu pejabat dan negeri-negeri.

"Apabila kami menyamar, kami mengambil gambar anda sedang memotong di garisan berkembar, memotong barisan, gagal mematuhi lampu isyarat dan sebagainya.

"Nombor kenderaan kami ada dan daripada nombor kenderaan itu kami dapat pemilik kenderaan. Jadi kami akan panggil mereka untuk ditemusiasat. Kami ada bukti, gambar dan sebagainya. Jadi kami akan keluarkan saman," katanya pada sidang akhbar sempena penutup Op Selamat 2012 dan sambutan Aidilfitri ibu pejabat JPJ di sini Khamis.

Solah berkata sesiapa yang gagal mematuhi notis temusiasat itu boleh disenaraihitam.

Beliau berkata penerima notis boleh berurusan dengan JPJ terdekat untuk ditemusiasat walaupun kesalahan dilakukan di negeri lain.

Menurut statistik penguatkuasaan bergambar yang dilakukan anggota JPJ di seluruh negara yang diedar pada sidang akhbar itu, sebanyak 5,487 kesalahan direkod sepanjang Op Selamat yang bermula 12 sehingga 28 Ogos dengan kesalahan paling tinggi ialah gagal mematuhi lampu isyarat iaitu 2,616 kes.

Selain itu kesalahan memotong barisan (836), tidak memakai topi keledar (804), lain-lain kesalahan (653), menggunakan telefon bimbit semasa memandu (232), tidak memakai tali pinggang keledar hadapan atau belakang (181), memandu di lorong kecemasan (116), memotong di garisan berkembar (41) dan memandu kenderaan berat di lorong laju (lapan).

Dalam perkembangan lain Solah berkata JPJ akan terus membuat pemantauan di kawasan 'hitam' yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan, walaupun bukan pada musim perayaan.

Ditanya sama ada terdapat perancangan untuk menambah lokasi 'blackspot' di negara ini, Solah berkata ia tidak boleh ditambah atau dikurang kerana ia ditentukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (Miros) mengikut kriteria ditetapkan.

Sehingga kini Miros mengenal pasti 246 lokasi 'blackspot' iaitu 96 kawasan dipantau JPJ dan 150 lagi dipantau Polis Diraja Malaysia, katanya.

- BERNAMA

Jumaat, Ogos 31, 2012

Lindungi hak cipta

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

CUBA lihat tudung yang anda pakai, adakah anda tahu siapa pereka asal tudung tersebut? Bagaimana jika anda dituduh sebagai bersubahat dengan penciplak kerana anda tidak tahu sama ada tudung tersebut memang ciptaan asli atau telah ditiru bulat-bulat oleh orang lain? Tentu anda tidak mahu terlibat dengan situasi tersebut bukan?

Persoalannya sekarang siapakah pemilik asal ciptaan tudung tersebut? Adakah anda membeli tudung yang telah mendapat kelulusan pengeluarannya oleh pencipta asalnya.

Bagaimana pula dengan kerepek yang anda makan? Jika anda sendiri mahu menjadi pengusaha kerepek itu adakah anda menjadi pemilik kerepek tersebut?

Persoalan di atas membawa kita pada dua keadaan yang berbeza.

Yang pertama melibatkan pemilikan harta zahir dan yang kedua siapakah yang berhak dikatakan pencipta asal harta tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah (Harta Industri), Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Shamsiah Kamarudin berkata, harta intelek adalah hasil ciptaan minda sama ada dalam bentuk reka cipta, simbol, nama dan reka bentuk yang digunakan dalam perdagangan serta karya sastera dan seni.

Manakala komponennya membabitkan paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi, hak cipta dan susun atur litar bersepadu.

"Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu daripada hak intelek yang bersifat abstrak itu mempunyai hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta," kata Shamsiah yang ditemui di pejabatnya yang terletak di Wisma UOA, Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Shamsiah, ini merupakan satu isu yang perlu diambil perhatian oleh kumpulan sasaran kerana dengan memiliki sesuatu karya, ia mampu memberikan pulangan berganda kepada pemilik berkenaan menerusi strategi pemasaran atau melalui penjualan hak, pelesenan atau francais sehingga ke pasaran peringkat global.

"Untuk mempromosikan sesuatu produk perlulah ada jenama. Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) contohnya perlu mengambil isu cap dagangan ini sebagai sesuatu yang serius kerana jika tersilap langkah atau cuai mengenainya, ia boleh mendatangkan kerugian kembali kepada pereka asal produk," ujarnya.

Tambah Shamsiah, perlindungan diberi bertujuan mengawal dan melindungi ciptaan seseorang.

Maka orang lain tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan hasil kreativiti orang lain dan mendapat keuntungan ke atasnya pula.

Mengenai cap dagangan pula, beliau menerangkan, ia adalah sebarang tanda yang dapat membezakan barangan dan perkhidmatan seseorang peniaga daripada peniaga yang lain seperti perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau kombinasi daripada unsur berkenaan.

Reka bentuk perindustrian pula merangkumi reka bentuk luaran keseluruhan yang memberi penampilan unik pada sesuatu barang atau produk dihasilkan.

Mengenai permohonan dan proses yang dilakukan, katanya, pemeriksaan dipercepatkan daripada enam bulan kepada tiga minggu.

Manakala pemeriksaan biasa ialah 12 bulan dan tempoh perlindungan pula ialah 10 tahun dari tarikh difailkan dan boleh diperbaharui bagi setiap 10 tahun.

- UTUSAN

Isnin, Ogos 27, 2012

Memahami hak dalam Perlembagaan

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

SETIAP kali menjelang pilihan raya umum di negara ini, pelbagai tuntutan dikemukakan kepada kerajaan oleh kaum minoriti melalui parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka, termasuk yang paling lantang, Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong).

Sebagai contoh, Dong Zong menuntut hak mendirikan sekolah menengah dan kolej menggunakan bahasa ibunda mereka atau independent high school setelah gagal dalam tuntutan untuk mendirikan sebuah universiti menggunakan bahasa pengantar Mandarin beberapa tahun lalu.

Kegagalan tuntutan mereka menubuhkan sebuah universiti sedemikian adalah disebabkan ciri institusi berkenaan bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan, seperti yang diputuskan mahkamah.

Namun, sebuah independent high school telah dibenarkan didirikan di Kuantan, Pahang baru-baru ini setelah MCA juga menyokong tuntutan Dong Zong dengan alasan sekolah Cina sedemikian telah wujud di Kuala Lumpur.

"Dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, kaum minoriti menuntut beberapa kemudahan daripada Kerajaan Negeri Sarawak dan sebahagian tuntutan mereka dipenuhi sebelum pilihan raya berkenaan.

"Namun mereka memberikan undi mereka kepada DAP, bukan kepada parti-parti politik yang menyertai kerajaan Sarawak," jelas Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ibrahim Abu Bakar.

Katanya, kaum-kaum minoriti mengemukakan pelbagai tuntutan kepada kerajaan dalam konteks transformasi.

Antaranya, kaum India mengemukakan tuntutan berikut:

n Ditambahkan kouta pengambilan para pelajar India di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

n Ditambah kuota biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada para pelajar India untuk belajar di Malaysia dan di luar Malaysia.

n Ditambah kouta kakitangan India dalam perkhidmatan awam di Malaysia.

n Dibantu dan diberikan peruntukan untuk para peniaga kecil dan sederhana India berniaga di bandar-bandar di Malaysia.

Berdasarkan sistem demokrasi, jelasnya, setiap rakyat Malaysia berhak mendapat haknya sama ada dia berada dalam kalangan kaum minoriti atau kaum majoriti dan hak tersebut telah ditulis dalam Perlembagaan yang dipersetujui oleh pemimpin Melayu, Cina dan India pada zaman sebelum kemerdekaan dan zaman awal kemerdekaan.

"Apa yang mereka setujui dirakamkan dalam Perlembagaan. Mereka layak mendapat hak yang dituliskan dalam perlembagaan itu seperti hak beragama, hak pendidikan agama masing-masing dan hak mendapat pekerjaan pilihan mereka berdasarkan kelulusan dan kehendak mereka,'' jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, kini, kaum minoriti mahu mendapatkan hak-hak yang ditulis dalam Perlembagaan Malaysia sebagai hak kaum majoriti.

''Mereka perlu sedar dan terima hak-hak yang ditulis dalam Perlembagaan sebagai contoh Askar Melayu Diraja adalah hak kaum Melayu kecuali ia dibubarkan dan nama itu tidak lagi digunakan walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan.

"Tanah Rizab Melayu untuk kaum Melayu, bukan untuk kaum Cina dan India. Kalau semua hak kaum Melayu dituntut oleh kaum India dan Cina dan pemimpin Melayu setuju dengan tuntutan sedemikian, maka apa yang tertulis dalam Perlembagaan hanyalah satu sejarah silam di mana Kerajaan Melayu Melaka jatuh dan hilang selepas ditawan Portugis," tegasnya.

Menurutnya, para pemimpin Malaysia berbangsa Melayu, Cina dan India perlu memahami hak-hak masing-masing seperti yang ditulis dalam Perlembagaan bagi menjamin rakyat kaum majoriti tidak terhapus atau terkurang oleh tuntutan kaum minoriti dalam membina negara Malaysia yang maju, aman dan makmur.

Mengulas perkara sama, Pengerusi Biro Politik dan Governans Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, tindakan Dong Zong mempolitikkan isu pendidikan Cina demi kepentingan diri mereka dan pembangkang sepatutnya dihentikan serta-merta kerana ia umpama duri dalam daging dalam usaha perpaduan nasional.

Kata beliau, rakyat Malaysia dan kerajaan sepatutnya tidak mengendahkan tuntutan melampau mereka kerana ia bertentangan dengan kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum sebelum kemerdekaan.

"Dong Zong cuba melahirkan suasana atau persepsi seolah-olah pendidikan kaum Cina dianaktirikan oleh kerajaan sedia ada. Mereka mahu pihak lain melihat bahawa perkara asas seperti pendidikan pun disekat oleh kerajaan yang didominasi orang Melayu.

"Kelakuan sebegini perlu ditangani tegas oleh semua pihak bukan sahaja kerajaan agar integrasi kaum di negara ini bertambah subur. Rakyat Malaysia harus mengutuk pihak yang mempergunakan isu pendidikan dalam membantu pembangkang mendapat undi pada pilihan raya akan datang.

"Sekolah swasta bebas yang ditubuhkan itu akan menjalankan dua peperiksaan besar iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Unified Examination Certificate (UEC). Ini secara jelas menyimpang daripada dasar pelajaran negara," katanya.

Jelas Mohd. Hilmi, sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri, sudah menjadi kewajipan mereka untuk mengangkat sistem pendidikan kebangsaan negara bagi memperkukuh identiti kenegaraan seperti yang dilakukan di Indonesia, Thailand dan Jepun.

Namun jelas beliau, tindakan berbaur politik dan perkauman sempit oleh Dong Zong telah menyimpang jauh daripada agenda penyatuan bangsa Malaysia dan ia hanya akan menyebabkan jalinan kaum di negara ini bertambah renggang serta semangat patriotisme kian pudar dalam kalangan rakyat.

"Mungkin terdapat dalam kalangan rakyat negara ini yang menyangka penubuhan sekolah sendiri berteraskan kaum selari peredaran masa, namun adakah kita sanggup mengorbankan agenda kebangsaan demi memperjuangkan kaum masing-masing," katanya.

- UTUSAN

Recent Posts