Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

Rabu, April 10, 2013

Kad diskaun pesara kerajaan

PUTRAJAYA 8 April - Kad diskaun untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilancarkan pada Ogos tahun lalu akan diperluaskan kepada 725,000 pesara kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perluasan kad diskaun atau 1Malaysia Privilege Card tersebut akan membolehkan pesara kerajaan menikmati diskaun istimewa ketika membeli barang atau mendapat perkhidmatan di kedai-kedai yang menyertai program itu.

"Kad diskaun yang diberikan kepada polis dan tentera akan dipanjangkan kepada pesara, jadi boleh gunakan di kedai-kedai terlibat," katanya ketika berucap dalam perjumpaan dengan pesara kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
1Malaysia Privilege Card yang dilancarkan pada tahun lalu membolehkan warga ATM dan PDRM mendapat diskaun antara lima hingga 25 peratus daripada harga belian barangan atau perkhidmatan.

Antara premis yang menawarkan diskaun untuk 1Malaysia Privilege Card ialah syarikat minyak BHP, pasar raya Mydin, kedai makanan segera KFC, Jakel Karpet, LegoLand dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan tidak pernah melupakan kumpulan pesara setiap kali melakukan penyelarasan dalam gaji penjawat sektor awam.

Beliau berkata. kerajaan juga bersedia menambahkan pencen untuk pesara kerajaan sekiranya negara mempunyai hasil yang mencukupi.

"Tidak ada masalah untuk tambah (pencen) tetapi kena cari hasil dan kembangkan ekonomi negara dahulu supaya kita tidak muflis seperti Greece dan Cyprus.

"Malaysia tidak pernah meminta sedekah dari mana-mana pihak. Semasa krisis kewangan 1997 pun, kita menggunakan cara sendiri untuk memulihkan ekonomi," katanya.

Perhimpunan dengan pesara di PICC dihadiri 3,500 pesara dari seluruh negara yang penuh bersemangat.

Setiap pesara juga dilihat bersemangat dalam menyanyikan lagu patriotik Inilah Barisan Kita serta tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan bersalaman dengan Perdana Menteri.

- UTUSAN



Jumaat, Mac 29, 2013

Dapatkan Kit Jom Bertindak sempena PRU13



Menjelang pilihan raya umum ke-13, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan 'Kit Jom Bertindak' bagi membantu rakyat Malaysia menunaikan hak mengundi mereka dengan betul.

Kit yang diperkenalkan melalui laman Facebook perdana menteri pada 18 Mac itu antara lain mengandungi buku panduan mengundi dengan maklumat ringkas dan mudah berkaitan proses itu.

Buku setebal 12 halaman itu memberi panduan langkah demi langkah bagaimana seseorang pengundi perlu menyiapkan diri untuk menunaikan hak mereka dengan cara yang teratur.

Ia mengandungi 10 tajuk berkaitan pengundian termasuk syarat kelayakan mengundi serta cara menyemak status daftar pemilih di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Turut dimuatkan beberapa tips berguna pada hari mengundi termasuk membawa kad pengenalan, hadir di tempat mengundi mengikut masa yang ditetapkan dan memeriksa saluran khas untuk warga emas, orang kurang upaya dan wanita hamil.

Pemilih juga diberi gambaran melalui ilustrasi pelan tempat mengundi serta penerangan ringkas apa yang perlu dilakukan agar proses pengundian berjalan lancar.

Buku itu turut menjawab beberapa persoalan popular berkaitan peraturan baharu yang diperkenalkan SPR seperti status dakwat kekal yang akan digunakan dan kelayakan undi pos selain tindakan lanjut yang perlu diambil jika kad pengenalan hilang sebelum mengundi.

Tata cara menanda kertas undi dengan betul turut diperjelas melalui ilustrasi ringkas kerana cara penandaan yang salah boleh mengakibatkan sesuatu undi itu menjadi undi rosak.

'Kit Jom Bertindak' sedang diedarkan secara percuma dan mana-mana individu berminat boleh memohon melalui laman web www.1Malaysia.com.my.

Selain buku panduan, kit itu turut mengandungi pelekat, pelekat kereta, pen dan pin kolar Jom Bertindak.

- BERNAMA


Sabtu, Mac 16, 2013

Malindo Air Rancang Mula Penerbangan Antarabangsa Menjelang Jun 2013


Model syarikat penerbangan hibrid pertama Malaysia, Malindo Air, merancang memulakan penerbangan antarabangsanya yang pertama menjelang Jun tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata lebih banyak serahan pesawat akan dilakukan dengan permulaan perkhidmatan antarabangsa itu kelak.

"Kami menghampiri sasaran menerima sejumlah 12 pesawat menjelang akhir tahun ini," katanya semasa majlis untuk menyaksikan ketibaan Boeing 737-900ER Malindo Air dari Seattle, AS, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malindo Air akan memulakan penerbangannya yang pertama dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu pada 22 Mac dan Kuala Lumpur ke Kuching pada 23 Mac.

Chandran berkata Boeing 737-900ER itu adalah pesawat pertama beroperasi di Malaysia dan berkapasiti terbang selama lima jam 30 minit tanpa henti dengan muatan 180 penumpang.

"Kami juga sedang mengkaji destinasi domestik yang lain," katanya.Malindo Air kini mempromosikan tambang penerbangan RM38 sehala ke Kuching dan RM68 ke Kota Kinabalu.

"Jualan tiket sangat menggalakkan," katanya.

- BERNAMA


Populariti crepe durian


LEMPENG bukan makanan yang asing di negara ini. Selain lempeng, panggilan lain yang sungguh popular adalah crepe.

Crepe sebenarnya berasal dari Switzerland dan crepe Suzette adalah lempeng yang paling popular dari negara yang memang terkenal dengan pelbagai jenis pemanis mulut dan coklat itu.

Crepe Suzette adalah lempeng kosong yang disajikan bersama buah buahan. Lempengnya akan dimasak dengan alkohol dan buah-buahan dengan teknik masakan yang dipanggil Flambe.

Pada minggu ini saya akan menulis tentang lempeng atau crepe. Topik ini menjadi pilihan kerana kesukaan ramai orang terhadap crepe durian iaitu sejenis pencuci mulut durian yang telah menjadi suatu kegilaan.

Crepe durian telah lama popular dan banyak dijual di merata tempat, tetapi minggu ini saya akan berkongsi sedikit maklumat tentang juadah lempeng ini dan bagaimana ingin membuat crepe yang terbaik.

Crepe durian sebenarnya makanan yang diperbuat daripada kulit lempeng yang di dalamnya diletakkan krim durian.

Ini tidak banyak berbeza dengan lempeng yang biasa kita nikmati dari segi cara pembuatannya kerana adunannya masih diperbuat daripada tepung dan telur, bagaimanapun kulitnya perlulah nipis.

Saya tahu durian merupakan buah yang bermusim dan agak sukar untuk membuat crepe durian ini jika di luar musim buah durian. Tetapi seperti yang saya beritahu crepe ini boleh kita pelbagaikan dan tidak cuma terhad kepada menggunakan durian sahaja sebagai isinya.

Kita boleh mengolah menggunakan apa-apa sahaja inti yang sesuai untuk dicampurkan dengan krim seperti buah pic, strawberi, blueberi atau pisang. Terserah kepada anda jika ada buah-buah lain yang anda suka tetapi pastikan ia sesuai.

Anda juga boleh mencampurkan dengan perasa tambahan seperti coklat, karamel atau sebarang jenis perasa tiruan.

Menggunakan selain buah durian sebagai intinya juga amat sesuai terutamanya pada mereka yang memang tidak suka rasa dan bau durian yang dianggap kuat dan kurang enak.

Bagi mereka yang gemarkan durian sudah semestinya bukan suatu masalah yang besar malah dianggap lebih sedap jika menggunakan durian.

Untuk membuat crepe tidak susah kerana peralatan yang diperlukan sangat minimum. Cuma yang agak sukar adalah teknik membuat dan memasak crepenya sahaja.

Adunan crepe perlu dimesin dan ditapis agar adunannya halus. Jika tidak betul tekniknya, permukaan lempeng anda tidak rata dan tidak nipis seperti yang sepatutnya.

Tahap kemasakan juga perlu diberi perhatian kerana jika terlebih masak sukar untuk melipat crepe dan yang paling ketara sekalitidak boleh terlebih masak kerana warna permukaannya menjadi tidak cantik selepas crepe dilipat.

Kuali yang diperlukan adalah jenis tidak melekat bersaiz 8-10 inci. Gunakan api yang sederhana supaya lempeng masak dengan cantik

Untuk intinya, krim yang paling sesuai adalah jenis topping cream atau krim yang digunakan sebagai aising kek.

Ini jenis krim bukan tenusu yang diperbuat daripada minyak sayuran dan senang dibeli di pasar raya. Rasanya lebih enak berbanding krim putar biasa.

Selepas dipukul terpulanglah pada anda untuk meletakkan apa sahaja perisa seperti durian dan sebagainya.

Jadi kepada penggemar-penggemar crepe bolehlah mencuba resipi crepe durian yang saya kongsikan ini.

Ingat, pelbagaikan perisa intinya jika anda sukar mencari durian ketika ini. Selamat mencuba!

- UTUSAN
 


Isnin, Mac 11, 2013

80,000 unit PR1MA di Lembah Klang

Datuk Seri Najib Razak semalam menjelaskan, rakyat yang memiliki rumah mampu milik menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bukan saja menambah aset, malah dapat meningkatkan nilai kekayaan peribadi.

Perdana Menteri berkata, keuntungan hasil pemilikan kediaman PR1MA terbukti apabila harga ditawarkan dalam lingkungan mampu dibeli kumpulan sasar yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM7,000 sebulan iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran.

Program hasil kekayaan

“Pelaksanaan projek berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai projek untuk memiliki rumah semata-mata, sebaliknya ia boleh dianggap sebagai program menghasilkan kekayaan.

“Jarang ada projek seperti ini. Kalau kita beli kereta hari ini, esok nilainya akan susut, tetapi jika kita dapat rumah PR1MA hari ini, mungkin esok kita bakal mendapat untung 20 hingga 30 peratus. Sebab itu projek ini mendapat sambutan yang cukup hangat,” katanya pada majlis pelancaran Rumah PR1MA Lembah Klang dan PR1MA Alam Damai di Bandar Tun Razak, Cheras, semalam.

Setakat ini, lebih 100,000 unit rumah PR1MA dilancarkan untuk manfaat rakyat berusia lebih 21 tahun, berpendapatan antara RM2,500 hingga RM7,000 dan memiliki sebuah rumah, sama ada bujang atau berkeluarga.

Jumlah berkenaan membabitkan 25,000 di Johor, 11,000 (Negeri Sembilan), 10,000 (Pulau Pinang), 10,000 (Melaka) dan terbaru diumumkan sebanyak 50,000 rumah PR1MA akan dibina di sekitar Lembah Klang.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik; Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat.

Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik bagi warga kota berpendapatan sederhana di sekitar Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan.

Sedia kemudahan

Katanya, daripada jumlah itu, 50,000 unit akan dibina di Lembah Klang menerusi PR1MA, manakala baki 30,000 unit lagi adalah komitmen Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di Wilayah Persekutuan, termasuk Putrajaya dan Labuan.

Mengenai PR1MA Alam Damai, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, projek itu terletak di lokasi strategik kerana boleh diakses dari Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan bakal mempunyai tiga stesen My Rapid Transit (MRT).

Beliau berkata, projek di PR1MA Alam Damai membabitkan 2,078 unit akan dibangunkan secara usaha sama antara PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) dan pemaju swasta iaitu Transgreen Sdn Bhd.

Permohonan rumah PR1MA boleh dibuat di : http://www.pr1ma.my/

- BERITA HARIAN


Recent Posts