Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

Sabtu, Mac 16, 2013

Populariti crepe durian


LEMPENG bukan makanan yang asing di negara ini. Selain lempeng, panggilan lain yang sungguh popular adalah crepe.

Crepe sebenarnya berasal dari Switzerland dan crepe Suzette adalah lempeng yang paling popular dari negara yang memang terkenal dengan pelbagai jenis pemanis mulut dan coklat itu.

Crepe Suzette adalah lempeng kosong yang disajikan bersama buah buahan. Lempengnya akan dimasak dengan alkohol dan buah-buahan dengan teknik masakan yang dipanggil Flambe.

Pada minggu ini saya akan menulis tentang lempeng atau crepe. Topik ini menjadi pilihan kerana kesukaan ramai orang terhadap crepe durian iaitu sejenis pencuci mulut durian yang telah menjadi suatu kegilaan.

Crepe durian telah lama popular dan banyak dijual di merata tempat, tetapi minggu ini saya akan berkongsi sedikit maklumat tentang juadah lempeng ini dan bagaimana ingin membuat crepe yang terbaik.

Crepe durian sebenarnya makanan yang diperbuat daripada kulit lempeng yang di dalamnya diletakkan krim durian.

Ini tidak banyak berbeza dengan lempeng yang biasa kita nikmati dari segi cara pembuatannya kerana adunannya masih diperbuat daripada tepung dan telur, bagaimanapun kulitnya perlulah nipis.

Saya tahu durian merupakan buah yang bermusim dan agak sukar untuk membuat crepe durian ini jika di luar musim buah durian. Tetapi seperti yang saya beritahu crepe ini boleh kita pelbagaikan dan tidak cuma terhad kepada menggunakan durian sahaja sebagai isinya.

Kita boleh mengolah menggunakan apa-apa sahaja inti yang sesuai untuk dicampurkan dengan krim seperti buah pic, strawberi, blueberi atau pisang. Terserah kepada anda jika ada buah-buah lain yang anda suka tetapi pastikan ia sesuai.

Anda juga boleh mencampurkan dengan perasa tambahan seperti coklat, karamel atau sebarang jenis perasa tiruan.

Menggunakan selain buah durian sebagai intinya juga amat sesuai terutamanya pada mereka yang memang tidak suka rasa dan bau durian yang dianggap kuat dan kurang enak.

Bagi mereka yang gemarkan durian sudah semestinya bukan suatu masalah yang besar malah dianggap lebih sedap jika menggunakan durian.

Untuk membuat crepe tidak susah kerana peralatan yang diperlukan sangat minimum. Cuma yang agak sukar adalah teknik membuat dan memasak crepenya sahaja.

Adunan crepe perlu dimesin dan ditapis agar adunannya halus. Jika tidak betul tekniknya, permukaan lempeng anda tidak rata dan tidak nipis seperti yang sepatutnya.

Tahap kemasakan juga perlu diberi perhatian kerana jika terlebih masak sukar untuk melipat crepe dan yang paling ketara sekalitidak boleh terlebih masak kerana warna permukaannya menjadi tidak cantik selepas crepe dilipat.

Kuali yang diperlukan adalah jenis tidak melekat bersaiz 8-10 inci. Gunakan api yang sederhana supaya lempeng masak dengan cantik

Untuk intinya, krim yang paling sesuai adalah jenis topping cream atau krim yang digunakan sebagai aising kek.

Ini jenis krim bukan tenusu yang diperbuat daripada minyak sayuran dan senang dibeli di pasar raya. Rasanya lebih enak berbanding krim putar biasa.

Selepas dipukul terpulanglah pada anda untuk meletakkan apa sahaja perisa seperti durian dan sebagainya.

Jadi kepada penggemar-penggemar crepe bolehlah mencuba resipi crepe durian yang saya kongsikan ini.

Ingat, pelbagaikan perisa intinya jika anda sukar mencari durian ketika ini. Selamat mencuba!

- UTUSAN
 


Isnin, Mac 11, 2013

80,000 unit PR1MA di Lembah Klang

Datuk Seri Najib Razak semalam menjelaskan, rakyat yang memiliki rumah mampu milik menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bukan saja menambah aset, malah dapat meningkatkan nilai kekayaan peribadi.

Perdana Menteri berkata, keuntungan hasil pemilikan kediaman PR1MA terbukti apabila harga ditawarkan dalam lingkungan mampu dibeli kumpulan sasar yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM7,000 sebulan iaitu sekurang-kurangnya 20 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran.

Program hasil kekayaan

“Pelaksanaan projek berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai projek untuk memiliki rumah semata-mata, sebaliknya ia boleh dianggap sebagai program menghasilkan kekayaan.

“Jarang ada projek seperti ini. Kalau kita beli kereta hari ini, esok nilainya akan susut, tetapi jika kita dapat rumah PR1MA hari ini, mungkin esok kita bakal mendapat untung 20 hingga 30 peratus. Sebab itu projek ini mendapat sambutan yang cukup hangat,” katanya pada majlis pelancaran Rumah PR1MA Lembah Klang dan PR1MA Alam Damai di Bandar Tun Razak, Cheras, semalam.

Setakat ini, lebih 100,000 unit rumah PR1MA dilancarkan untuk manfaat rakyat berusia lebih 21 tahun, berpendapatan antara RM2,500 hingga RM7,000 dan memiliki sebuah rumah, sama ada bujang atau berkeluarga.

Jumlah berkenaan membabitkan 25,000 di Johor, 11,000 (Negeri Sembilan), 10,000 (Pulau Pinang), 10,000 (Melaka) dan terbaru diumumkan sebanyak 50,000 rumah PR1MA akan dibina di sekitar Lembah Klang.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik; Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat.

Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan 80,000 unit rumah mampu milik bagi warga kota berpendapatan sederhana di sekitar Lembah Klang dan Wilayah Persekutuan.

Sedia kemudahan

Katanya, daripada jumlah itu, 50,000 unit akan dibina di Lembah Klang menerusi PR1MA, manakala baki 30,000 unit lagi adalah komitmen Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di Wilayah Persekutuan, termasuk Putrajaya dan Labuan.

Mengenai PR1MA Alam Damai, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, projek itu terletak di lokasi strategik kerana boleh diakses dari Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan bakal mempunyai tiga stesen My Rapid Transit (MRT).

Beliau berkata, projek di PR1MA Alam Damai membabitkan 2,078 unit akan dibangunkan secara usaha sama antara PR1MA, Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS) dan pemaju swasta iaitu Transgreen Sdn Bhd.

Permohonan rumah PR1MA boleh dibuat di : http://www.pr1ma.my/

- BERITA HARIAN


9 'Berita Baik' untuk Kakitangan Awam

 PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 'berita baik' sembilan perkara yang dinantikan oleh 1.4 juta kakitangan awam termasuk kenaikan gaji tahunan yang diawalkan dan akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.

Mengumumkan perkara itu di sini hari ini, Najib berkata, kesemua inisiatif yang diumumkan hari ini adalah sebahagian daripada sistem saraan baru iaitu Sistem Saraan Transformatif (SST) - yang menggantikan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dibatalkan tahun lalu.

Antaranya:

- Mulai 1 Januari 2013, pangkat dalam ATM dan PDRM disetarakan dengan perkhidmatan awam iaitu Koperal ATM & PDRM dari gred gaji 17 kepada gred 22; Sarjan ATM dan PDRM dari Gred 27 kepada Gred 29; Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 44; Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 46A; Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dari Gred 48 kepada 52;

- 50,000 pegawai kontrak yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 akan disambung lagi setahun. Kajian menyeluruh akan dilaksanakan kemudian;

- Skim perkhidmatan dari Gred 1 hingga 10, dinaik taraf kepada gred gaji kelayakan masuk PMR. Seramai 166,541 penyandang terima manfaat ini;

- Kerajaan setuju laksana urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat dari tempoh 15 tahun kepada 13 tahun. Ia libatkan seramai 17,000 penjawat awam yang layak;

- Kerajaan setuju luaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi;

-  Seramai 182,434 penjawat awam punyai gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat kenaikan gaji tahunan, semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum ditambah Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak tiga kenaikan gaji tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Januari 2013;

- Sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju beri Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus kepada pegawai yang capai dan punyai gaji maksimum;

- Dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), bagi KGT Gred 1 hingga 11 dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, kerajaan setuju buat tambah baik sebelum akhir 2013 berpandukan prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja relativiti dan pariti perkhidmatan serta "pay for performanca";

- Kerajaan setuju beri semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai 2013. Setiap penjawat awam terima antara RM80 hingga RM320. Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion;

Sumber : SINAR HARIAN



Rabu, Februari 13, 2013

25,500 Unit Rumah PR1MA dibina di Johor

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembinaan 25,500 unit rumah mampu milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di kawasan Iskandar Malaysia di Kulaijaya.

Perdana Menteri berkata pembinaan rumah mampu milik itu di kawasan seluas 157.8 hektar dan siap dalam tempoh tiga tahun itu membabitkan usahasama PR1MA Berhad engan lima pemaju perumahan.

Beliau juga mengumumkan bahawa pemohon yang layak membeli rumah PR1MA di negeri itu akan mendapat potongan harga daripada RM250,000 kepada RM199,000 seunit.

Beliau berkata harga pasaran untuk setiap rumah tersebut adalah sebanyak RM250,000, namun menerusi kerjasama kerajaan dan swasta dalam bentuk sumbangan kemudahan dana oleh kerajaan, projek itu dapat dilaksanakan lebih cepat denganharga yang lebih rendah daripada pasaran.

"Ini merupakan diskaun yang agak besar iaitu dengan pengurangan sebanyak RM51,000 atau potongan lebih 20 peratus melalui sumbangan dana kemudahan yang disediakan oleh kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis cabutan undi rumah mampu milik Nusantara PR1MA di Dewan Raya, Bandar Putra, di sini, Selasa.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar Johor Datuk Abd Ghani Othman, Menteri dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Pengerusi PR1MA Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.

Najib berkata sebanyak 15,500 unit rumah akan dibina dengan oleh syarikat pemaju swasta iaitu Iskandar Waterfront Holding Sdn Bhd di Danga Bay, Plentong dan Masai; Casa Grey City Sdn Bhd di Tebrau, Larkin dan Plentong serta Aturan Prisma Sdn Bhd Sdn Bhd di Larkin.

Manakala Cahaya Bumimas Sdn Bhd pula akan terlibat dengan pembinaan PR1MA diBandar Layangkasa, Pasir Gudang dan Tentu Canggih Holdings Sdn serta PIJProperty Sdn Bhd pula di kawasan Plentong.

Projek tersebut akan dijalankan dengan kerjasama anak syarikat kerajaan negeri Johor, Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd sebagai pemilik tanah.

Selain itu, PR1MA juga akan membangunkan sebanyak 10,000 unit kediaman mampumilik di atas tanah kerajaan di Tampoi yang melibatkan kawasan seluas 80 hektar.

Sementara itu, Najib berkata kaedah cabutan undi membabitkan 201 unit di Nusantara PR1MA itu dapat memastikan ketelusan sekali gus mengelakkan pilih kasih dalam pemberian rumah PR1MA.

"Kita tidak mahu pemberian rumah dilakukan berdasarkan siapa yang kita kenali yang mana kita buat satu secara paling telus (pengundian).

"Peti undi pun telus (lut sinar) sekali supaya kita boleh tengok dan kitajuga lantik juru audit supaya dapat memantau proses pengundian supaya tidakberlaku pilih kasih," katanya.

Projek Nusantara PR1MA itu adalah usahasama Denia Development Sdn Bhd dengan UEM Land Bhd., sebagai pemilik tanah manakala PR1MA bertindak memberi sokongan dana pemudah cara melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Dalam pada itu, Jamaluddin berkata kemudahan seperti kedai, klinik, tempatpermainan dan rumah ibadat akan turut dibina di setiap kawasan projek tersebut.

Beliau berkata kesemua rumah PR1MA akan diselenggara oleh pihaknya berbanding projek perumahan lain yang menyelenggara kediaman mereka sendiri.

Permohonan PR1MA boleh dibuat di : http://www.pr1ma.my/

Sumber : BERNAMA


Ahad, Februari 10, 2013

MAS tambah berat bagasi daftar masuk

Malaysia Airlines System Bhd. (MAS), menambah kadar berat bagasi daftar masuk sebanyak 10 kilogram (kg), menjadikannya 30kg untuk kelas ekonomi, 40kg (kelas bisnes) dan 50kg (kelas pertama) bermula 14 Februari 2013.

Tambahan berat itu merangkumi semua perjalanan bermula dari tarikh tersebut walaupun tiket telah dikeluarkan sebelum hari berkenaan.

Polisi baharu itu juga menawarkan penurunan caj lebihan bagasi untuk perjalanan dalam semua kelas kecuali perjalanan pergi balik ke Los Angeles.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Jauhari Yahya berkata, polisi baharu itu bagi penambahbaikan jenama perkhidmatan MAS dalam persaingan industri penerbangan komersial.

"Para penumpang sekarang semakin bijak memilih syarikat penerbangan maka bagi menarik lebih ramai menaiki MAS, kadar berat bagasi daftar masuk ditambah," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Caj tambahan berat bagasi bergantung kepada zon perjalanan dan caj dikenakan bagi setiap lebihan lima kilogram daripada berat bagasi yang ditetapkan.

Katanya, kadar tambahan bagi lebihan lima kilogram untuk perjalanan antara Malaysia dan negara Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Filipina, Myanmar, Thailand, Vietnam dan Kemboja ialah RM30.

"Di kawasan luar Asia Tenggara pula dikenakan caj tambahan sebanyak RM60 bagi perjalanan antara Malaysia, India, China, Sri Lanka, Maldives, Hong Kong, China, Taiwan, Bangladesh, Nepal, Jepun, Korea, New Zealand dan Australia.

"Sementara itu, caj tambahan bagasi antara benua sebanyak RM90 dikenakan ke atas penerbangan antara Malaysia, Jeddah, London, Amsterdam, Paris, Frankfurt dan Istanbul," jelasnya.

Katanya, caj tambahan bagi perjalanan balik dari luar negara akan mengikut nilai mata wang negara berkenaan ketika daftar masuk.

Polisi baharu itu tertakluk kepada penerbangan MAS sahaja dan tidak merangkumi perkongsian kod dan melibatkan pesawat lain.

Bermula Mei tahun lepas, MAS telah menyelaraskan peraturan bagasi untuk semua penerbangan domestik dan antarabangsa yang mana penumpang kelas ekonomi dibenarkan membawa satu bagasi ke dalam kabin penumpang dengan berat maksimum tujuh kilogram manakala penumpang kelas bisnes (dua bagasi dengan berat maksimum 14kg).

- UTUSAN



BANTUAN LESEN 1MALAYSIA (BL1M)

BANTUAN LESEN 1 MALAYSIA (BL1M)  diilhamkan oleh SHEB (Sekretariat Hal Ehwal Bandar) pada awal tahun 2012 dan telah memulakan program perintisnya pada 6hb April 2012 dan tamat pada 6hb September 2012 di PEKAN , PAHANG bersama KELAB KAWAN.

Kajian SHEB mendapati dalam tempoh 10 tahun lebih 200,000 orang telah didapati bersalah memandu tanpa lesen. Angka ini dalam realiti lebih besar memandangkan masyarakat memandang remeh dalam konteks ini serta kurang kesedaran bahaya menunggang tanpa lesen. Oleh sebab itu BL1M diperkenalkan.

Bermatlamatkan untuk membantu golongan muda memiliki lesen motosikal yang sah disamping memupuk kesedaran mengenai undang-undang jalan raya dan membina budaya serta etika pemanduan berhemah, produk BL1M adalah bukti pendekatan politik khidmat bakti Pemuda BN melalui SHEB (Sekretariat Hal Ehwal Bandar)  di dalam menyelami dan menyelesaikan permasalahan anak-anak muda.

Ini adalah suatu produk yang relevan dengan keperluan anak muda dan masyarakat memandangkan lebih 200,000 penunggang motorsikal tidak mempunyai lesen manakan 70 peratus kes kemalangan pula melibatkan kenderaan motorsikal

Disamping itu, peserta program BL1M ini juga akan menikmati penjimatan tunai melalui diskaun hampir 50 peratus berbanding kadar purata yuran lesen B2 di pasaran yang dianggarkan sekitar RM380.

MENGENAI BL1M

Hanya untuk Lesen B2 tunggal.
   
Disasarkan kepada 500,000 warganegara Malaysia
   
Terbuka kepada rakyat yang tidak mempunyai sebarang lesen memandu dari umur 17-40 tahun

Dijalankan di semua kawasan parlimen seluruh negara.

•     Peserta akan menjalani kursus yg telah ditetapkan oleh JPJ. Tiada jalan pintas.
•     Akan berjalan serentak setelah dirasmikan
•     Berpeluang menduduki ujian berkomputer bahagian 1 sehingga 3 kali

Permohonan boleh dibuat di : http://bl1m.my/





Jumaat, Januari 25, 2013

1.9 juta baucar saringan kesihatan PERKESO diedar

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah selesai menghantar baucar saringan kesihatan percuma kepada 1.9 juta pencarum sektor swasta yang layak dalam skim baharu itu yang diumumkan menerusi Bajet 2013.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Perkeso, Datuk Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya memperuntukkan RM200 juta di bawah skim yang baru dimulakan dan akan dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Februari ini.

Di bawah skim itu, pencarum Perkeso yang berumur 40 tahun ke atas layak menjalani ujian saringan kesihatan percuma bagi mengesan penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, diabetes, kanser dan masalah jantung.

Mohammed Azman memberitahu, ujian saringan itu meliputi pemeriksaan fizikal, profil darah, ujian air kencing dan bagi wanita ujian pap smear dan mamogram yang dilakukan oleh doktor panel.

Mereka yang belum menerima baucar percuma itu diminta menghubungi talian 03-4252 1258, 03-4252 5089 atau pejabat Perkeso terdekat untuk mendapatkan maklumat lanjut.


Sabtu, Januari 05, 2013

Fasa pertama MRT siap 2016

Fasa pertama pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT) diyakini dapat disiapkan mengikut jadual asal iaitu pada akhir tahun 2016.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaksanaan fasa pertama Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang yang melibatkan kos pembinaan tidak melebihi RM23 bilion, bermula dari stesen Sungai Buloh ke stesen Semantan, menepati bajet yang ditetapkan.

Laluan pertama MRT (Sungai Buloh-Kajang) membabitkan dua fasa iaitu Sungai Buloh ke Semantan (fasa satu) dan Semantan ke Kajang (fasa dua).

Projek itu melibatkan jarak 51 kilometer dengan 31 stesen perhentian yang turut melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, masalah yang dihadapi sebelum ini untuk pelaksanaan projek itu sebahagian besarnya dapat diselesaikan dengan baik terutama berkaitan pengambilan tanah.

Najib berkata demikian selepas membuat tinjauan ke tapak pembinaan stesen MRT bawah tanah Jalan Cochrane di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp), Datuk Azhar Abdul Hamid, Pengarah Bawah Tanah-Terowong Blaise, Mark Pearce dan Pengerusi MRT Corp., Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Perdana Menteri berkata, secara umumnya, reaksi rakyat terhadap projek itu semakin positif kerana mereka melihat projek itu bukan sahaja membantu penghuni di Kuala Lumpur daripada segi pengangkutan awam malah peningkatan nilai tanah yang begitu ketara terutama di kawasan yang terdapat stesen MRT.

“Dengan pelaksanaan projek MRT ini, peluang perniagaan yang baharu akan disediakan dan ia juga akan meletakkan imej Kuala Lumpur sebaris dengan bandar raya utama di dunia,” katanya.

Najib berkata, fasa kedua dari stesen Semantan ke Kajang pula dijangka siap pada akhir Julai 2017 seperti yang dijadualkan.

Katanya, selepas pelaksanaan kedua-dua fasa itu, kerajaan akan membuat keputusan sama ada perlu untuk menyambung projek itu.

– BERNAMA

Recent Posts