Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sukan. Papar semua catatan

Selasa, November 08, 2016

Ronaldo akan bermain bola 10 tahun lagi



Cristiano Ronaldo menandatangani kontrak baharu selama lima tahun bersama Real Madrid pada Isnin, dan beliau mengisytiharkan mempunyai baki 10 tahun lagi untuk berada di kedudukan teratas.

Pemain berusia 31 tahun itu menandatangani kontrak berkenaan sehingga 2021.

Bagaimanapun, Ronaldo memberi bayangan mengenai aksinya di Santiago Bernabeu bahawa beliau mahu bermain sehingga umurnya 41 tahun.

Beliau mengisytiharkan bahawa perjanjian terbaharu itu merupakan kontrak 'kedua terakhirnya'.

Ronaldo kekal sebagai pemain di kelab itu yang memperoleh bayaran tertinggi dengan lanjutan perjanjiannya, walaupun £365,000 (RM1.9 juta) seminggu tidak diubah dengan begitu ketara. 

Beliau sudah pun menjadi penjaring terbanyak setakat ini.

Ronaldo berkata: "Ini merupakan hari istimewa buat saya, melanjutkan hubungan bersama kelab ini... kelab di hati saya. 

"Memperbaharui kontrak lima tahun merupakan sesuatu yang amat istimewa dan ingin dijelaskan bahawa ia bukanlah kontrak terakhir.

"Saya mahu terus mencipta sejarah dan saya pasti akan terus menjaringkan gol dan memenangi trofi bersama kelab terbaik di dunia dalam lima tahun yang akan datang.

"Saya mahu mengakhiri kerjaya saya di kelab ini tetapi mahu ini sebagai kontrak kedua terakhir saya," ujarnya. - Mail Online

Khamis, Oktober 08, 2015

Sukan Alternatif di Malaysia



Dunia sukan baru telah berkembang di serata dunia dan jika popularitinya mendapat sambutan, ia akan tersebar meluas ke negara lain. Banyak sukan yang kita jarang dengar semakin popular di Malaysia, antaranya:

Laccrosse - sukan yang melibatkan sentuhan dan berasal dari Amerika. Dalam sukan ini, 10 pemain diperlukan dalam satu pasukan dengan menggunakan pemukul lacrosse yang panjang dan dipasang dengan jaring untuk lontaran bola getah ke dalam gol lawan. 'Checking' dibenarkan dalam sukan lacrosse lelaki, menjadikan sukan ini turut dikenali sebagai sukan yang ganas. Topi keledar sukan dan kelengkapan keselamatan perlu untuk pemain lelaki tetapi tidak pula bagi pemain wanita, lacrosse wanita hanya dibenarkan 'stick checking' dan bukan 'body checking'. Sukan ini diperkenal kepada Malaysia pada tahun ini oleh Persatuan Lacrosse Malaysia.

Ragbi Sentuh - sukan yang mengehadkan sentuhan dan boleh dimainkan secara bercampuran jantina iaitu enam pemain setiap pasukan. Apabila disentuh oleh pihak lawan, pemain mesti menjatuhkan bola untuk rakan sepasukan mengambil bola itu. Tiada pertukaran atau gol dalam ragbi sentuh. Malaysia akan jadi tuan rumah pada Kejohanan Piala Dunia Sukan Touch 2019.

Floorball - mungkin ramai tidak pernah dengar mengenai sukan floorball di Malaysia. Sukan ini memerlukan enam orang pemain termasuk penjaga gol. Berasal dari Sweden, floorball sangat popular di Eropah dan sudah berkembang dan meraih pengiktirafan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 2008. Pasukan lelaki bola lelaki Malaysia bawa pulang pingat gangsa dalam Sukan SEA di Singapura.

Dodgeball - ramai yang jarang dengar mengenainya ang sukan dodgeball. Sukan ini telah berkembang dan sangat popular dikalangan pelajar. Malaysia telah meraih kejayaan di tempat kedua dan ketiga bagi pasukan lelaki dan wanita, masing-masing dari lapan negara yang terlibat di Kejohanan Dodgeball Dunia di Las Vegas bulan lepas.

Woodball - sukan ini bukanlah asing di Malaysia kerana ia diperkenalkan dalam negara oleh Persatuan Woodball Malaysia, 20 tahun lepas. Sukan ini sama seperti sukan croquet memerlukan pemain menggunakan kayu pemukul untuk memukul bola kayu melepasi pagar. Kursus sukan woodball ada di serata Malaysia tetapi sukan ini lebih terkenal di Pahang.

Hoki kasut roda - ia sama seperti hoki ais. Hoki ais sangat popular di Malaysia meskipun kekurangan gelanggang untuk sukan ini. Pemain menggunakan kayu hoki dan kelengkapan keselamatan yang sama cuma cakera getah dalam hoki kasut roda ini lebih ringan, diperbuat dari plastik dan direka untuk geseran yang sesuai dengan permukaan gelanggang.

Quidditch - bagi peminat filem dan buku Harry Potter pasti sudah biasa dengan sukan ini. Quidditch ini bermula kira-kira 10 tahun lepas di Amerika Syarikat. Sukan ini menggabungkan unsur bola baling dan dodgeball, dan turut menggunakan bola tampar dan tiga dodgeballs. Pemain hanya perlu letakkan kayu atau batang penyapu di antara kaki mereka. Sukan quidditch ini sangat unik kerana peraturannya memerlukan campuran jantina dalam pasukan.

Speed badminton - ia berbeza dengan badminton. Berasal dari Jerman pada 2001, sukan ini boleh dimain di mana-mana sahaja. Raket speed badminton sama seperti raket squash tetapi lebih ringan dan 'speeders' yang digunakan lagi berat daripada bulu tangkis. Sukan ini tidak memerlukan jaring seperti badminton. Speed badminton semakin berkembang dan dikenali di Pulau Pinang.

Jombola - sukan terbaru yang dicipta rakyat Malaysia sendiri. Sukan ini gabungan badminton, tenis dan ping pong dengan menggunakan raket kayu dan bola getah. Sukan ini masih baru dan mula mendapat sambutan dari universiti tempatan dan luar negara.

Ultimate Frisbee - sukan yang dikenali dan telah berkembang di seluruh dunia. Sukan tanpa sentuh ini memerlukan tujuh pemain bagi setiap pasukan dengan cara membaling dan menangkap cakera. Sukan ini telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 2013.

Sumber


Ahad, November 09, 2014

Ujian Sampel B gagal, Chung Wei digantung

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Norza Zakaria mengumumkan ujian Sampel B terhadap ikon sukan negara yang dijalankan buat kali kedua, juga gagal.

Menurut Norza, keputusan ujian mengesahkan kehadiran bahan dexamethasone dalam sampel tersebut.

Bahan itu menurut Norza bukanlah sejenis bahan untuk meningkatkan prestasi seorang atlet.

Katanya, Persatuan Badminton Dunia (BWF) bahawa perkara ini akan dirujuk kepada BWF Doping Hearing Panel dalam tempoh terdekat.

"Selepas tempoh tertentu, panel tersebut akan menetapkan masa, tarikh dan tempat untuk pendengaran.

"Oleh yang demikian, kami masih tidak dibenarkan untuk mendedahkan nama pemain tersebut," katanya dalam sidang media, hari ini.

Katanya, BAM dan Kementerian Belia dan Sukan akan bekerjasama terutamanya menanggung sepenuhnya kos guaman termasuk mengupah peguam pakar dalam bidang sukan, Mike Morgan, dari London dalam usaha mempertahankan atlet terbabit.

"Apa yang penting di sini adalah kami akan membantu dan memberi sokongan terhadap atlet itu. Jasanya pada negara amat besar," katanya.

Sumber : SINAR HARIAN

Selasa, Oktober 28, 2014

10,000 tiket Piala Malaysia 2014 dijual online

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya memperuntukkan 10,000 tiket untuk dijual secara online bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 di Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini dengan baki 80,000 akan diagihkan sama rata kepada Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Penjualan tiket secara online mula dijual menerusi laman web www.tickethotline.com.my bermula pada Rabu ini dengan pembeli boleh menebus tiket bermula pada Khamis di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perlawanan Final Piala Malaysia, Datuk Afandi Hamzah dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan akhir hari ini penjualan tiket di kedua-dua negeri akan mula dijual pada Khamis ini dengan cara jualan akan diagihkan di setiap daerah.

Dari sudut keselamatan, seramai 2,500 anggota polis akan ditempatkan pada perlawanan itu nanti.

"Tidak akan ada penjualan tiket di kaunter di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil menjelang dan pada hari perlawanan Sabtu ini," kata Afandi.

Stadium Bukit Jalil dijangka sesak kerana bukan saja final Piala Malaysia akan dijalankan, namun satu majlis iaitu Perhimpunan Anak-Anak Sarawak turut akan dijalankan pada hari terbabit.

Sumber : HARIAN METRO


Ahad, Jun 08, 2014

Pahang Juara Piala FA 2014


Pahang Juara Piala FA 2014

SHAH ALAM: Pasukan Pahang bejaya merangkul Piala FA buat kali kedua selepas tahun 2006 dengan menewaskan pasukan Felda United 2-1 pada aksi akhir di Stadium Shah Alam, Sabtu.

Impian Felda United untuk mencipta sejarah meraih trofi ini buat julung kalinya musnah apabila kemenangan saat akhir skuad Tok Gajah yang dibimbing Zainal Abidin Hassan.

Felda United yang dikendalikan Irfan Bakti Abu Salim mempamerkan aksi kemas cuba melakukan serangan  di kubu lawan dan  Edward Junior Wilson berjaya  membuka jaringan pertama pada minit ke-22.

Bersambung pada babak kedua, pemain-pemain Tok Gajah mula mempamerkan aksi lebih kemas di bahagian tengah bagi mengawal kemaraan serangan Felda United.

Mohd Faizol Hussien pada minit ke-80 berjaya memecah kebuntuan gol Pahang apabila melakukan tendangan kencang menggunakan kaki kirinya sekaligus mengecewakan penjaga gol Felda United, Mohd Farizal Haron.

Pemain-pemain Pahang seperti sudah selesa dengan rentak permainan terus mencuba untuk mencari cari gol kemenangan dan akhirnya pemain import Dickson Nwakaeme memastikan trofi Piala FA tahun ini menjadi miliknya dengan melakukan jaringan minit ke-88.

Biarpun skuad Felda United cuba mengejar, namun sedikit kelalaian di benteng pertahanan pada minit-minit terakhir itu memberi padah kepada mereka.

Barisan Pemain:

PAHANG: Md Khairul Azhan Khalid, Mohd Saiful Nizam Miswan, Damion Delano Stewart, Mohd Razman Roslan (kapten), Mohd Shahrizan Mohd Salleh, Mohd Hafiz Kamal, R. Gopinathan, Azidan Sarudin (Mohd Faisol Hussein), Matias Ruben Conti
(Zeshan Rehman), Azamuddin Mohd Akil (Mohd Fauzi Rozlan), Dickson Nwakaeme

FELDA UNITED FC: Mohd Farizal Harun, Yarozlav Krushelnitskiy, Hasni Zaidi Jamian, Muhammad Shukor Adan (kapten), Mohd Aizulridzwan Razali, Mohd Khairul Ismail (Mohd Nashriq Baharom), Zah Rahan Krangar, Ahmad Syamim Yahya (Mohd HarisSafwan Mohd Kamal), Mohd Raimi Mohd Noor (Shahrulnizam Mustapa), Indra Putra Mahayuddin, Edward Junior Wilson.

- mSTAR
 

Rabu, Januari 15, 2014

Ronaldo Pemain Terbaik Dunia 2013


Bintang sensasi Real Madrid, Cristiano Ronaldo dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia buat kali kedua pada Isnin.

Ronaldo berjaya mengetepikan pencabarnya, Lionel Messi daripada memenangi anugerah itu buat kali kelima berturut-turut.

"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan sepasukan saya sama ada yang beraksi untuk kelab dan negara.

"Tanpa usaha mereka, perkara ini tidak akan menjadi kenyataan. Saya amat gembira, terlalu sukar untuk memenangi anugerah ini," katanya.

Beliau menitiskan air mata ketika berucap selepas menerima anugerah tersebut.

Pemain Barcelona, Messi yang dibelenggu kecederaan pada akhir tahun lalu, menduduki tempat kedua dengan undian 24.72 peratus.

Franck Ribery dari Perancis pula ditempat ketiga dengan memperoleh undian sebanyak 23.36 peratus.

Ronaldo merangkul trofi berprestij itu dengan mendapat 1,365 mata, dihadapan Messi (1,205 mata) manakala Frank Ribery meraih 1,127 mata.

Latar belakang:

Nama penuh: Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro

Tarikh lahir: 5 Februari 1985

Tempat lahir: Funchal, Madeira, Portugal

Posisi: Penyerang sayap

Kelab terkini: Real Madrid

Jersi: No.7

Kelab: Sporting CP (2002-2003), Manchester United (2003-2009), Real Madrid (2009 sehingga kini)

Antara anugerah yang pernah dimenangi: Pemain terbaik dunia (2008, 2013), Pemain terbaik dunia FIFPro (2008), Penjaring terbaik La Liga (2010-2011), Penjaring terbanyak Copa del Rey (2010-2011), Pemain paling bernilai LFP (2012-2013)

- mSTAR

 

Selasa, Ogos 20, 2013

Fandi Ahmad tinggalkan skuad Johor DT

Jurulatih kelahiran Singapura, Fandi Ahmad akhirnya membuat keputusan meninggalkan Johor Darul Takzim (Johor DT).

Dengan keputusan itu, ia sekali gus menepis dakwaan bahawa Fandi dipecat daripada membimbing skuad Harimau Selatan seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Keputusan itu dicapai atas persetujuan bersama antara Fandi dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

“PBNJ dan Fandi bersetuju untuk mengikut haluan masing-masing.

“Keputusan ini telah dipersetujui bersama dan bagi pihak PBNJ, persatuan ingin mencari pendekatan taktikal yang berbeza,” kata PBNJ dalam satu kenyataan media semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya menafikan dakwaan kononnya Fandi disingkirkan sebagai jurulatih Johor DT.

Kenyataan itu diperkuatkan lagi dengan titah Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengekalkan jawatan Fandi sebagai pengurus Johor DT.

PBNJ kemudian memberi kepercayaan kepada anak tempatan yang juga jurulatih Johor, Azmi Mohamed bagi meneruskan tugas Fandi pada kempen Piala Malaysia yang bermula malam ini.

Menurut kenyataan itu lagi, meskipun Fandi tidak bersama dengan Johor DT, PBNJ sentiasa membuka ‘pintu’ buat bekas bintang Singapura itu.

“Ini merupakan berita yang mendukacitakan buat PBNJ dan juga para penyokong Johor, namun PBNJ mendoakan yang terbaik buat Fandi.

“Fandi merupakan seorang jurulatih yang cemerlang dan sentiasa berdedikasi bagi membentuk pasukan yang mantap.

“Beliau telah banyak menabur bakti dalam pembangunan bola sepak Johor. Jasa dan sumbangan beliau terhadap projek bola sepak Johor akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh PBNJ dan para penyokong,” lapor kenyataan itu.

- KOSMO!



Ahad, Ogos 18, 2013

FAM pinda Artikel 88 Statut FAM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersetuju untuk meminda Artikel 88 Statut FAM 2010-2014 bagi membolehkan para pegawai selain daripada Presiden dan Setiausaha Agung untuk membuat kenyataan media berhubung badan induk bola sepak negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Afandi Hamzah berkata, persetujuan itu dicapai pada Kongres FAM ke-49 di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur semalam.

Kini, semua pegawai atau ahli gabungan FAM dibenarkan ‘bersuara’ selepas Kongres FAM bersetuju terhadap skop-skop tertentu dalam akta tersebut diperluaskan lagi.

Bagaimanapun, mereka wajib mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan meskipun diberi kebenaran untuk membuat kenyataan kepada pihak media.

Afandi berkata, garis panduan mengenai Artikel 88 akan diperhalusi dan dibentang pada Mesyuarat Eksekutif FAM bulan depan.

“Kongres telah bersetuju untuk meminda Artikel 88 yang mana Statut FAM tersebut diperluaskan sedikit.

“Kini, Artikel 88 membenarkan Presiden, Setiausaha Agung dan mana-mana pegawai FAM yang dibenarkan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk membuat kenyataan akhbar tetapi tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan.

“Sebagai contoh, mereka harus menggunakan saluran tertentu jika ada perkara berbangkit untuk dikritik, namun perlu berbincang dengan FAM dan bukannya pihak media.

“Selain itu, mereka turut dibenarkan membuat sebarang kenyataan akhbar berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Jawatankuasa Eksekutif FAM akan membuat garis panduan mengenai kenyataan akhbar dan garis panduan Artikel 88 ini, dan ia akan diedarkan kepada semua ahli gabungan FAM menerusi konteks kenyataan akhbar.

“Langkah ini diambil supaya tidak timbul lagi segala permasalahan khususnya yang berkaitan dengan Artikel 88,” katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung FAM, Hamidin Mohd. Amin dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Antara ‘mangsa-mangsa’ yang menerima hukuman di bawah Artikel 88 adalah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa, (Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, (bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Skrip yang sama turut menimpa bekas jurulatih negara, B. Sathianathan yang digantung di bawah artikel tersebut ekoran mengkritik saingan liga tempatan pada 2009.

Dalam perkembangan sama, Afandi turut mengumumkan bahawa FAM telah meminda Artikel 68 bagi membolehkan mana-mana kes dibawa ke mahkamah.

Begitupun, FAM hanya membenarkan setiap kes yang mahu dibawa ke mahkamah perlu diadili badan induk persatuan itu sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Afandi menegaskan, pihak-pihak tertentu akan digantung seumur hidup atau paling minimum setahun sekiranya tidak melaporkan perkara itu kepada pihak FAM.

“Begitu juga dengan Artikel 68 yang turut dikembangkan. Jika dahulu, Artikel 68 menetapkan tiada sebarang kes boleh dibawa ke mahkamah tetapi bergantung kepada kes tanpa menyatakan apakah kesannya.

“Pindaan tadi menetapkan bahawa mana-mana kes yang dibawa ke mahkamah tanpa menggunakan saluran-saluran yang dibenarkan, tindakan boleh diambil.

“Ertinya, mana-mana pertikaian berlaku dalam bola sepak, perlu diselesaikan mengikut peraturan yang ditetapkan. Contohnya, jika berlaku pertikaian mengenai kontrak pemain dan pasukan, kes ini tidak boleh terus dibawa ke mahkamah.

“Pemain atau pasukan itu perlu menggunakan saluran yang ditetapkan seperti mengemukakan laporan kepada FAM. Kalau perkara itu berlaku tanpa merujuk FAM, pemain atau pasukan ini akan terdedah dengan tindakan susulan daripada FAM.

“Dalam proses tersebut, mana-mana pihak yang tidak mengikut saluran iaitu terus membawa perkara itu ke mahkamah, dia akan gantung seumur hidup atau setahun minimum.

“Mereka tidak mengikut kronologi dalam ruang membela diri kerana terus pergi ke mahkamah tetapi pihak-pihak itu masih boleh buat rayuan kepada kongres,” katanya.

- KOSMO!



Recent Posts