Memaparkan catatan dengan label Statistik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Statistik. Papar semua catatan

Khamis, Mac 28, 2013

Pendapatan Isi Rumah Bulanan Rakyat Malaysia Meningkat 7.2 Peratus Setahun

Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (PPIR) 2012 mendapati pendapatan isi rumah bulanan purata rakyat Malaysia naik daripada RM4,025 pada 2009 kepada RM5,000 tahun lepas, menyaksikan peningkatan sebanyak 7.2 peratus setahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata peningkatan pendapatan isi rumah bandar meningkat pada kadar 6.6 peratus setahun daripada RM4,705 pada 2009 kepada RM5,742 tahun lepas manakala bagi kawasan luar bandar, bertambah pada kadar 6.4 peratus iaitu daripada RM2,545 kepada RM3,080.

"Peningkatan ketara ini dicapai hasil usaha kerajaan Persekutuan dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan stabil secara berterusan. Impaknya adalah ketara melalui peningkatan peluang ekonomi secara meluas yang berupaya bukan saja menjana peluang pekerjaan bahkan pembangunan perniagaan dan perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi," katanya ketika mengumumkan statistik itu, Rabu.

Beliau berkata semua negeri mencatat peningkatan pendapatan isi rumah purata dengan Kuala Lumpur pertumbuhan tertinggi sebanyak 14.9 peratus (daripada RM5,488 kepada RM8,586) diikuti Labuan 12 peratus (RM4,407 kepada RM6,317), Perlis 10.1 peratus (RM2,617 kepada RM3,538), Terengganu 9.1 peratus (RM3,017 kepada RM3,967) serta Negeri Sembilan (RM3,540 kepada RM4,540) dan Sabah (RM3,102 kepada RM4,013) yang masing-masing mencatat 8.6 peratus.

Dari segi etnik, kaum India mencatat peningkatan tertinggi iaitu 9 peratus (daripada RM3,999 kepada RM5,233) diikuti Cina 8 peratus (RM5,011 kepada RM6,366) dan bumiputera 6.9 peratus (RM3,624 kepada RM4,457).

Nor Mohamed berkata PPIR 2012 juga menunjukkan pengagihan pendapatan di kalangan isi rumah keseluruhan bertambah baik dengan pengurangan Pekali Gini daripada 0.441 bagi 2009 kepada 0.431 pada tahun lepas, yang menyaksikan pengurangan di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing daripada 0.423 kepada 0.417 dan 0.407 kepada 0.382.

Beliau berkata insiden kemiskinan keseluruhan juga berkurangan daripada 3.8 peratus pada 2009 kepada 1.7 peratus tahun lepas dengan jumlah isi rumah miskin berkurangan sebanyak 52.7 peratus, iaitu daripada 228,400 kepada 108,000 dalam tempoh sama.

"Dengan pencapaian ini, sasaran Rancangan Malaysia ke-10 untuk mengurangkan kemiskinan keseluruhan kepada 2 peratus pada 2015 telahpun tercapai tiga tahun lebih awal. Ini adalah hasil pertumbuhan pesat ekonomi negara serta keberkesanan program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan," katanya.

Nor Mohamed berkata pengurangan insiden kemiskinan adalah menyeluruh yang menyaksikan di kawasan bandar merosot daripada 1.7 peratus kepada 1 peratus manakala di luar bandar berkurangan daripada 8.4 peratus kepada 3.4 peratus.

Beliau berkata kadar kemiskinan bumiputera turun daripada 5.3 peratus kepada 2.2 peratus, Cina daripada 0.6 peratus kepada 0.3 peratus dan India daripada 2.5 peratus kepada 1.8 peratus.

"Sabah mencatat pengurangan yang ketara daripada 19.7 peratus kepada 8.1 peratus diikuti Perlis daripada 6 peratus kepada 1.9 peratus dan Terengganu daripada 4 peratus kepada 1.7 peratus. Putrajaya telah mencapai status kemiskinan sifar pada 2012," katanya.

- BERNAMA

Penduduk Malaysia belanja RM1,074 beli dalam talian secara online

Kajian yang dilakukan oleh laman sesawang e-dagang Jepun, Rakuten, mendapati perbelanjaan purata rakyat Malaysia yang membeli belah secara dalam talian sepanjang tahun lalu berjumlah RM1,074.

Nilai itu adalah lebih tinggi berbanding perbelanjaan purata di negara jiran seperti Thailand dan Indonesia iaitu sekitar AS$239 (RM746).

Namun, menurut Rakuten, perbelanjaan purata itu lebih kurang berbanding United Kingdom (UK) yang mencatatkan perbelanjaan purata sebanyak AS$1,700 (RM5,308).

Perbelanjaan purata global bagi 2012 adalah sebanyak AS$725 (RM2,263)

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Rakuten Online Shopping, Masaya Ueno berkata, hasil kajian itu menunjukkan rakyat Malaysia tidak ketinggalan di dalam industri perniagaan menerusi talian seperti negara-negara lain.

"Kadar itu meningkat berbanding dua tahun lalu. Hal itu disumbangkan oleh rangkaian Internet yang baik serta bilangan pengguna laman-laman sosial seperti Facebook dan pelbagai jenama lagi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, kajian itu juga mendapati rakyat negara ini masih selesa menggunakan komputer peribadi jika mahu membeli belah secara talian, daripada menggunakan telefon pintar atau tablet.

Sumber : UTUSAN



Selasa, Februari 19, 2013

823,000 tablet terjual di Malaysia pada 2012


Sebanyak 823,000 buah tablet terjual di Malaysia pada 2012 lalu berbanding 439,000 buah pada 2011, menurut maklumat yang dikeluarkan oleh organisasi penyelidikan pasaran, GfK Malaysia.

Menurut kajian yang diumumkan itu, kesemua tablet yang terjual tahun lalu mencecah AS$415 juta (RM1.28 bilion). Bulan Oktober merekodkan jualan tertinggi dengan 81,200 buah tablet terjual.

Pengarah Urusan GfK Malaysia, Selinna Chin berkata, faktor utama peningkatan jualan itu disebabkan pertambahan pelbagai jenis dan jenama tablet di dalam pasaran dengan harga mampu milik.

"Usaha kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur dan kelajuan liputan Internet jalur lebar juga memainkan peranan penting memacu jualan tablet di Malaysia," kata Chin dalam satu kenyataan.

Hasil penyelidikan oleh GfK Malaysia juga mendapati, sehingga tahun lalu terdapat 35 jenama tablet dengan 84 jenis model. Ia meningkat berbanding 18 jenama dan 36 jenis model pada 2011.

Daripada segi sistem operasi, tablet yang berasaskan Android menguasai 70 peratus jualan tahun lalu.

Jelas Chin, kepelbagaian jenama dan jenis tablet bakal menggalakkan persaingan harga sekali gus dijangka berupaya menurunkan harga purata peranti tersebut tahun ini berbanding harga purata tablet tahun lalu sebanyak AS$505 (RM1,565).

"Jualan keseluruhan tablet tahun 2013 juga dipercayai akan meningkat 18 peratus berbanding jualan keseluruhan tahun ini," kata beliau lagi.

Sumber : UTUSAN


Rabu, Disember 05, 2012

Kardashian paling dicari di Yahoo!

Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) merupakan item yang paling dicari manakala selebriti Kim Kardashian dari AS ialah orang paling dicari di Yahoo! untuk tahun ini, kata enjin carian internet berkenaan semalam.

Perkataan pilihan raya mengungguli senarai pencarian di Yahoo! hasil liputan besar-besaran oleh pihak media di samping perbincangan meluas topik tersebut di platform-platform media sosial.

Perkataan 'pengundian politik' berada di tempat kelapan senarai 10 teratas pencarian Yahoo$21 sepanjang tahun ini.

"Pilihan raya 2012 mendominasi carian di internet dan ia menakjubkan kerana jika sesuatu itu menjadi tajuk berita, orang ramai tentu sudah maklum mengenainya tetapi topik tersebut terus menjadi perkataan utama yang ditaip di laman web Yahoo! sepanjang tahun ini," kata penganalisis trend Yahoo!, Vera Chan dalam satu persidangan video.

Menurutnya, hanya dua laporan berita lain pernah pengungguli senarai tersebut sejak sedekad lalu iaitu laporan kematian Michael Jackson pada 2009 dan tumpahan minyak BP pada 2010.

iPhone 5 berada di tempat kedua senarai berkenaan yang disifatkan oleh Chan sebagai satu keputusan menarik.

Katanya, walaupun iPhone sentiasa berada dalam kedudukan utama senarai carian Yahoo! sejak 2007, ia adalah kali pertama sesuatu model spesifik seperti iPhone 5 menduduki antara tempat teratas senarai itu.

Menurutnya, ia berlaku selepas kematian pengasas bersama Apple, Steve Jobs.

Berada di tempat ketiga senarai yang sama ialah Kardashian yang juga merupakan orang paling dicari di laman web Yahoo!.

Kardashian mengungguli enam wanita popular yang berada dalam 10 teratas senarai tersebut termasuk model Kate Upton, anggota keluarga diraja Britain, Kate Middleton, penyanyi Whitney Houston dan Lindsay Lohan.

Ujar Chan 'kenakalan' Kardashian yang antara lain melibatkan kisah perceraian dengan bekas suaminya, Kris Humphries dan hubungan cinta selebriti itu bersama bintang rap, Kanye West telah membantu mengekalkannya sebagai orang paling dicari menerusi Yahoo!

- Reuters


Sabtu, November 10, 2012

Kadar pengangguran di Malaysia 3 peratus

BUKIT MERTAJAM 3 Nov. - Kadar pengangguran di negara ini berada di bawah paras tiga peratus berbanding negara-negara maju di Eropah yang mencecah sehingga 21 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kadar itu membuktikan Kerajaan Pusat berjaya menguruskan ekonomi negara dengan baik dan bijaksana.

Beliau berkata, banyak negara maju tidak mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan pekerja lama juga dikurangkan sehingga kadar pengangguran dalam kalangan mahasiswa mencapai 50 peratus.

"Jika kadar pengangguran di bawah tiga peratus, maka boleh dianggap tidak ada pengangguran di negara ini.

"Keadaan ini kerana kerajaan menganjurkan Karnival Kerjaya sejak beberapa tahun lalu bagi menemukan majikan dengan pekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerja 2012 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Sebanyak 40 majikan membuka kaunter masing-masing dalam karnival selama dua hari itu yang bermula hari ini.

Karnival itu menawarkan sebanyak 1,445 peluang pekerjaan dengan lebih 1,000 daripadanya ditawarkan kepada bukan graduan manakala sebanyak 426 kekosongan ditawarkan kepada graduan lepasan universiti.

Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, selain itu, kerajaan turut mewujudkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) untuk lepasan universiti.

"Mereka yang tidak mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan dilatih selama setahun dan dibayar elaun sebanyak RM1,000 sebulan.

"Kita latih mereka untuk menguasai kemahiran berkomunikasi, kemahiran berbahasa Inggeris dan mempelajari teknologi maklumat bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan," katanya.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan turut menggalakkan lepasan sekolah mengikuti latihan kemahiran bagi meningkatkan peluang mereka menjadi pekerja mahir.

"Pekerja mahir amat diperlukan kerana mereka boleh menikmati gaji lumayan berbanding kerjaya seperti peguam dan doktor," ujarnya.

- UTUSAN

20,000 guru mohon bertukar sekolah pada 2012

Kementerian Pelajaran menerima kira-kira 20,000 permohonan daripada guru-guru yang mahu berpindah ke sekolah di negeri asal masing-masing dan tempat lain pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian berkenaan sentiasa memberi perhatian terhadap permohonan tersebut namun ia tidak dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana jumlahnya terlalu banyak.

"Masalah yang kita hadapi adalah pemahaman mengenai pertukaran guru. Tahun ini sahaja kita dapat hampir 20,000 permohonan. Yang mahu balik ke Kelantan sahaja sebanyak 2,898 orang sedangkan yang memohon untuk keluar dari Kelantan hanya 130 orang.

"Tolong nasihat saya macam mana hendak selesaikan masalah ini. Setiap tahun 10,000 sehingga 20,000 permohonan untuk berpindah bukan sahaja hendak balik ke Kelantan, orang Johor juga hendak balik ke Johor, orang Sabah dan Sarawak bertanya kenapa mereka dihantar ke Semenanjung," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa berucap pada Himpunan Guru Muda 1Malaysia di Kota Bharu semalam.

Turut hadir isteri beliau, Puan Seri Norainee Abdul Rahman serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

- KOSMO!

22,054 saman lampu isyarat

Warga kota di Lembah Klang sanggup membazirkan wang mereka berjumlah RM6.6 juta hanya kerana sikap tidak sabar menunggu di lampu isyarat.

Sikap mereka itu menyebabkan polis Kuala Lumpur mengeluarkan 22,054 saman untuk tempoh Januari hingga September tahun ini kerana kesalahan melanggar lampu isyarat.

Bagi setiap kesalahan lampu isyarat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap pesalah trafik dikenakan denda RM300.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, untuk tempoh sama tahun lepas, sebanyak 35,185 saman dikeluarkan bagi kesalahan melanggar lampu isyarat menjadikan jumlah saman RM10.55 juta.

"Ramai pemandu menganggap remeh terhadap menghormati lampu isyarat namun hakikatnya ia menjamin keselamatan pemandu dan melancarkan laluan trafik di ibu negara agar jalan raya tidak sesak sepanjang masa," katanya kepada Bernama.

Rusly berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu bukan saja mengundang bahaya kepada pemandu yang melanggar lampu isyarat tetapi juga kepada pemandu lain.

"Ramai orang tak faham, lampu isyarat kuning bukan bermaksud anda perlu meningkatkan kelajuan, tetapi ia bermaksud anda perlu bersedia untuk berhenti, perlahankan kenderaan atau lebih elok, terus berhenti," katanya.

Beliau berkata, saman-saman yang dikeluarkan itu berdasarkan rakaman kamera yang diletakkan di persimpangan lampu isyarat dan oleh anggota trafik yang ditempatkan mengawal lalu lintas di sekitar ibu kota.

- KOSMO!

Khamis, Oktober 25, 2012

Kuala Lumpur Di Tempat Ke-18 Senarai "CitiesOf Opportunity"

Kuala Lumpur berada dalam kedudukan lima teratas dua kategori penting perkembangan ekonomi dalam edisi kelima "Cities of Opportunity", yang dikeluarkan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Partnership Bandar Raya New York.

Merupakan pendatang baharu untuk kajian 2012 berkenaan, Kuala Lumpur, secara keseluruhan, berada di tangga ke-18, di tengah-tengah ranking antara Shanghai dan Beijing.

Dalam ranking 2012, "Cities of Opportunity" melaporkan yang Kuala Lumpur berada di tempat ketiga di dunia untuk kos rendah dan ke-10 untuk kelegaan menjalankan perniagaan.

Dari segi menjadi bandaraya yang berkos rendah, Kuala Lumpur berada di belakang Seoul dan Berlin, tetapi mendahului Istanbul dan Mexico City.

Langkah-langkah petunjuk kos mengukur kos untuk ahli perniagaan yang tinggal di bandar raya termasuk kos transnasional, cara hidup kelas pertengahan.

Pengarah Eksekutif PwC Advisory Services Malaysia, Andrew Chan Yik Hong berkata kos rendah Kuala Lumpur dan kelegaan menjalankan perniagaan mewakili poin permulaan transformasi bandar menjadi hab dunia untuk bakat dan daya saing.

"Dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan kita, kita berada di landasan yang baik," kata beliau.

Antara yang memberikan pemarkahan yang baik untuk Kuala Lumpur ialah kos penginapan perniagaan, kos sewa, indeks harga pengguna dan kadar cukai yang rendah.

Dari segi kelegaan menjalankan perniagaan, Kuala Lumpur terikat dengan San Francisco di nombor 10 dalam petunjuk, di belakang Tokyo dan mendahului bandar raya mesra-perniagaan seperti Sydney dan Seoul.

Kedudukan kukuh Kuala Lumpur dari sudut ini, secara asasnya disokong daripada perlindungan pemegang saham, peraturan pekerja dan dasar visa yang agak fleksibel.

Bandar ini juga berada di tempat keenam dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dan kelima dalam aktiviti pembinaan utama.

Chan berkata Kuala Lumpur dipilih untuk laporan "Cities of Opportunity" 2012 kerana ia adalah antara ibu negara Asia paling dinamik dan pesat berkembang sebagai bandar global utama.

Kaji selidik 27 pusat kewangan, perdagangan dan kebudayaan turut mengunjurkan Kuala Lumpur untuk meneruskan pertumbuhannya ke tahun 2025.

- BERNAMA