Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sejarah. Papar semua catatan

Ahad, Mac 10, 2013

Mengikut sejarah, Sabah tetap kita punya

Selepas berakhir era komunis dan konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia pada 1965, ini merupakan kali pertama negara berdepan dengan konfrantasi ketenteraan dengan pihak luar yang menceroboh kedaulatan negara ini.

Walaupun berlaku beberapa insiden berdarah sebelum itu, seperti tragedi Memali dan serangan militan di Sauk, tetapi ia merupakan kejadian-kejadian jenayah yang mengugat keselamatan negara dan tidak melibatkan pencerobohan kedaulatan negara.

Berita pencerobohan kumpulan pengganas yang dipimpin oleh Jamalul Kiram III ini di Lahad Datu, Sabah mulai 9 Februari Februari lalu telah menggemparkan seluruh rakyat Malaysia.

Tindakan pengecut kumpulan penceroboh itu bertindak memperdayakan pasukan komando VAT 69 Malaysia pada hari Jumaat dua minggu lalu menyebabkan rakyat Malaysia marah.

Rakyat Malaysia semakin berang apabila mengetahui enam lagi anggota polis kita terbunuh di tangan pengganas ini pada keesokan harinya, terutama apabila mengetahui beberapa orang anggota polis itu disiksa terlebih dahulu sebelum mereka dibunuh dengan kejam dengan organ mereka dikeluarkan daripada badan dan kepala seorang daripada mereka dipenggal.

Jamalul Kiram mengaitkan pencerobohan pengikutnya itu dengan haknya ke atas Sabah dan bertegas tidak akan tunduk kepada desakan kerajaannya dan kerajaan Malaysia supaya mengarahkan pengikutnya itu menyerah diri bagi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.

Persoalannya apakah benar, Jamalul Kiram mempunyai hak ke atas Sabah seperti yang didakwanya.

Banyak faktor bagi menolak tuntutan Jamalul Kiram itu sama ada berdasarkan fakta sejarah mahupun bukti-bukti lain.

Daripada segi faktor sejarah, Kesultanan Sulu sudah tidak wujud lagi selepas Sultan Sulu ketika itu, Jamalul Kiram II menandatangani Protokol Madrid pada 1885 yang mengesahkan penyerahan semua wilayah, kedaulatan dan kuasa Kesultanan Sulu kepada Sepanyol dan menyerahkan kedaulatan Sabah kepada British North Borneo Company (BNBC).

Protokol Madrid itu kemudian diiktiraf sah oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2003.

Protokol Madrid itu ditandatangani selepas satu perjanjian awal antara Sultan Jamalul A'lam dengan Gustavus Baron de Overbeck serta Alfred Dent, yang mewakili BNBC pada 22 Januari 1878 untuk memajak Sabah kepada BNBC.

Pajakan yang dikurniakan oleh Sultan Sulu itu merupakan penyerahan secara kekal sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian itu 'selagi ada bintang dan cakerawala'.

Kesultanan Sulu kemudian menandantangani pula perjanjian dengan Amerika Syarikat (AS) di bawah Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915 menyerahkan sepenuh kuasanya ke atas wilayah-wilayah serta kedaulatannya kepada AS.

Dengan kedua-dua perjanjian itu, Kesultanan Sulu tidak lagi wujud sebagai sebuah negara, mahupun sebuah kerajaan tetapi hanya sebagai sebuah institusi beraja tanpa kekuasaan.

Manakala di bawah perjanjian dengan BNBC pada 1878 pula, waris-waris Sultan Sulu telah menerima bayaran 'cession' sehingga ke hari ini, yang membawa maksud waris-waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.

Status Kesultanan Sulu sebagai sebuah kerajaan terus hilang selepas Kesultanan Sulu menyerahkan wilayah-wilayah dan kedaulatannya kepada kerajaan Filipina diikuti tindakan kerajaan Filipina berhenti mengiktiraf Sultan Sulu selepas kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada 1986.

Adalah difahamkan bahawa Kesultanan Sulu pernah diajak menyertai Malaysia semasa penubuhan Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak, tetapi ditolak oleh Sultan Sulu ketika itu yang memilih untuk menyertai Filipina.

Laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan pada 1 Ogos 1962 yang mendapati lebih dua pertiga penduduk Sabah dan Sarawak menyokong pembentukan Malaysia menguatkan lagi hujah bahawa Sabah bersetuju menyertai Malaysia dan Sabah menjadi sebahagian wilayah Malaysia dengan restu penduduk negeri itu dengan mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pungutan suara yang diadakan oleh Suruhanjaya Cobbold pada 1962 itu yang dijalankan selama empat bulan menerima 2,200 memorandum dengan kira-kira 80 peratus penduduk di negeri Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia dan bersetuju menyertai Malaysia.

Suruhanjaya Cobbold menyamai Referendum Singapura pada 1962 berhubung penubuhan Malaysia yang mendapati penduduk Singapura bersetuju menyertai Malaysia.

Setiausaha Agung PBB ketika itu, U Thant dalam kenyataannya pada 1963 menyatakan bahawa penduduk Sabah "ingin menamatkan status kebergantungan mereka dan merealisasikan kemerdekaan mereka melalui penyekutuan yang dipilih secara bebas dengan bangsa lain dalam rantau mereka".

Selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, Malaysia terus membangunkan Sabah seperti yang ada sekarang dan mengambil tanggungjawab untuk membangunkan infrastruktur untuk kemudahan penduduk Sabah.

Ini membuktikan pemilikan dan pentadbiran berterusan secara aman oleh kerajaan Malaysia ke atas Sabah.

Mengikut dasar effectivites yang diambil kira oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Malaysia boleh dianugerahkan hak ke atas Sabah, seperti mana yang pernah diberikan kepada kerajaan Malaysia dalam kes Ligitan-Sipadan.

Selain itu, Kesultanan Sulu tidak konsisten dalam tuntutan mereka dengan mendakwa Sabah sebagai milik mereka, tetapi gagal membuat tuntutan serupa terhadap wilayah-wilayah lain yang pernah mereka kuasai termasuk pusat pentadbiran mereka sendiri di Jolo, dan wilayah Palawan, Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina.

Isu pajakan Sabah kepada British North Borneo Company telah dibawa oleh waris-waris Kesultanan Sulu ke mahkamah sebanyak dua kali. Kali pertama pada 1939, apabila Hakim Mahkamah Sesyen Borneo Utara, Makaskie memutuskan supaya BNBC terus membayar kepada waris-waris Kesultanan Sulu.

Apabila Sabah merdeka melalui Malaysia, kerajaan Malaysia meneruskan bayaran Pajakan Sabah itu kepada sembilan waris Kesultanan Sulu, membuktikan Malaysia berhak terus mengurus dan mentadbir Sabah selepas mengambil alih pentadbiran daripada penjajah British.

Memandangkan Kesultanan Sulu tidak lagi wujud sebagai sebuah negara dan kerajaan, serta sudah hilang kedaulatan dan kekuasaannya setelah menyerahkan wilayah-wilayah dan kedaulatannya kepada Sepanyol, AS dan kemudian kepada kerajaan Filipina, maka tuntutan Jamalul Kiram III ke atas Sabah tidak sah kerana perjanjian pajakan itu ialah antara Kesultanan Sulu dengan BNBC dan bukan antara waris Kesultanan Sulu dengan BNBC.

Lebih-lebih lagi statusnya sebagai Sultan Sulu tidak diiktiraf oleh mana-mana kerajaan termasuk kerajaan Filipina, malahan oleh waris-waris Kesultanan Sulu yang lain.

Keputusan Hakim Makaskie itu supaya BNBC terus membayar kepada sembilan waris Kesultanan Sulu mengesahkan lagi pemilikan Malaysia ke atas Sabah kerana Malaysia terus membayar pajakan sebagai mematuhi perjanjain 1878 itu.

Melalui perintah itu, Hakim Makaskie sendiri cuba memberi pentafsiran baru secara tersirat kepada istilah pajakan itu. Secara langsung juga penerusan pembayaran pampasan itu membawa maksud putusnya perjanjian tersebut antara Kesultanan Sulu dan BNBC, dan kemudiannya dengan Malaysia kerana kerajaan Malaysia tidak lagi berurusan dengan Kesultanan Sulu.

Sebenarnya Malaysia boleh bertindak tidak membayar kerana Kesultanan Sulu sudah tidak ada lagi, maka secara semula jadinya juga soal pajakan juga sudah hilang dan tidak timbul lagi.

Dalam satu lagi kes yang sama di Mahkamah Jolo pada 2011, hakim ketika itu turut membuat keputusan yang sama.

Berdasarkan hujah-hujah itu, Jamalul Kiram tiada hak untuk menuntut Sabah lagi bagi mewakili kaum Tausug, selain hanya jika beliau mempunyai kepentingan tertentu untuk dirinya dan keluarganya.

Sejak perjanjian 1878 dan penyerahan Sabah kepada BNBC, Kesultanan Sulu juga tidak berbuat apa-apa untuk rakyat Tausug di Sabah mahupun membawa kemajuan di Sabah.

Wang pajakan yang diterima sejak 1878 sehingga kini itu juga tidak dikongsipun dengan rakyat Tausug dan Sabah.

Maka rakyat Sabah tidak berhutang apa-apa dengan Jamalul Kiram.

Tindakan pengikut Jamalul Kiram menceroboh Sabah dan menggunakan tindakan keganasan untuk mencapai maksudnya itu adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, dan kerajaan Filipina serta Malaysia perlu bersatu bertindak menghapuskan mereka.

Sumber : MINGGUAN MALAYSIA


Siapakah keluarga Kiram

Salasilah keluarga Jamalul Kiram III daripada Kesultanan Sulu bermula semasa pemerintahan Sultan Muhammad Jamalul Kiram I (1832-1842) bin Sultan Muhammad Alimuddin III (1808).

Daripada Jamalul Kiram I, inilah bermulanya nama Kiram dan nama ini berakhir semasa kemangkatan Sultan Jamalul Kiram II (1884-1936) yang mangkat tanpa zuriat ketika kedatangan Amerika Syarikat (AS) ke Sulu.

AS mula menjajah Filipina dan wilayah-wilayahnya termasuk wilayah-wilayah Kesultanan Sulu pada 14 Ogos, 1898 apabila tentera AS berjaya menewaskan tentera Sepanyol di Manila.

Sultan Jamalul Kiram II juga merupakan Sultan Sulu yang menandatangani perjanjian dengan Sepanyol bagi menyerahkan wilayah-wilayah, kedaulatan dan kekuasaan Sulu kepada penjajah Sepanyol pada 1885.

Sebelum itu sultan-sultan Sulu terdahulu bersama-sama penduduk Sulu bangsa Tausug telah bertarung nyawa berperang selama hampir tiga abad bagi mempertahankan kedaulatan wilayah-wilayah Sulu daripada penjajah Katolik Sepanyol.

Daripada laporan sejarah, sultan daripada keluarga Kiram sering membuat kesilapan dalam pentadbiran dan mengkhianti kaum Tausug, bumi Sulu serta agama Islam.

Dalam satu peristiwa, Sultan Jamalul Kiram II pernah merestui tentera AS membunuh lebih 4,000 rakyat Sulu yang enggan membayar cukai kepala kepada penjajah AS ketika itu.

Kaum Tausug melihat Sultan daripada keluarga Kiram sebagai tali barut AS yang merestui pembunuhan kaum keluarga Datu dan Syarif Tausug di Bud Bagsak dan Bud Dahu berhubung isu pembayaran cukai kepala kepada AS.

Sultan Kiram terakhir itu terpaksa memberikan restu kepada AS membunuh rakyatnya sendiri berjumlah lebih 4,000 orang (termasuk 1,600 yang mati syahid, termasuk wanita dan kanak-kanak) yang memilih menentang AS dan perintah Sultan.

Malahan ada bukti waris-waris Kesultanan Sulu menuntut supaya bayaran pajakan Sabah dinaikkan dan difahamkan arahan itu dikeluarkan oleh Sultan Esmail Kiram II bin Datu Punjungan.

Ramai waris-waris Kesultanan Sulu yang lain menentang bayaran kepada sembilan waris Kesultanan Sulu daripada keluarga Kiram oleh Mahkamah Sesyen Borneo Utara pada 1939 dan menganggap kumpulan itu sebagai `penjual negara’ dan sanggup menjual tanah kubur ayahanda mereka sendiri.

Malahan Esmail Kiram turut didakwa mengugut Malaysia untuk menambah bayaran wang pajakan Sabah untuk kepentingan keluarganya.

Keluarga Kiram sekali lagi menjadi pengkhianat bangsa Tausug apabila menyerahkan wilayah-wilayah Sulu kepada kerajaan Filipina di bawah era Ferdinand Marcos pada 1962 semasa Sultan Esmail I bin Rajamuda Mawallilwasit.

Pada 11 Februari lalu, keluarga Kiram sekali lagi menimbulkan angkara apabila pengikut Jamalul Kiram III menceroboh Lahad Datu, Sabah menyebabkan lebih 60 pengikutnya terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia.

Keluarga Kiram sangat ramai. Ada keluarga daripada sebelah Puteri Piyandao bin Sultan Badaruddin I, ada Kiram daripada jalur keluarga Sultan Esmail I bin Rajamuda Mawallilwasit (Sultan inilah yang menyerahkan Sulu kepada Filipina pada 1962) dan ada Kiram daripada Datu Punjungan bin Rajamuda Mawallilwasit (ayahanda Jamalul Kiram III).

Sumber : MINGGUAN MALAYSIA


Ramai mengaku Sultan Sulu


Pertabalan Sultan Bantilan Muhammad Muizzuddin II Bin Datu Wasik Aranan Puyo di Jolo, pada 29 Oktober, 2009. Sultan Bantilan Muhammad Muizzuddin II Bin Datu Wasik Aranan Puyo diusung oleh rakyat mengelilingi Bandar Jolo semasa upacara pertabalan itu. - Agensi

Semasa penghujung era pentadbiran Presiden Ferdinand Marcos pada 1986, terutama menjelang kejatuhannya, kerajaan Filipina tidak pernah lagi mengiktiraf Kesultanan Sulu sebagai satu institusi atau mengiktiraf mana-mana pihak sebagai Sultan Sulu.

Pada masa yang sama, sejak itu, tidak ada waris Kesultanan Sulu dan mereka yang menuntut takhta Kesultanan Sulu yang diterima secara rasmi dan sebulat suara oleh kaum Tausug serta keturunan Kesultanan Sulu sebagai Sultan Sulu yang sah, sehingga hari ini.

Jawatan Jamalul Kiram III sebagai Sultan Sulu juga tidak diiktiraf oleh pentadbiran baru Filipina di bawah kerajaan Presiden Benigno Aquino III.

Selain Jamalul Kiram III, terdapat beberapa waris Kesultanan Sulu yang mengaku sebagai Sultan Sulu, selain mereka yang menyamar sebagai Sultan Sulu.

Perkara ini bukan sahaja berlaku sekarang malah telah berlaku semasa penjajahan Amerika tSyarikat ke atas Filipina dan semasa penaklukan Jepun ke atas Filipina semasa Perang Dunia Kedua dengan mendapat sokongan negara penjajah terbabit bagi tujuan agenda mereka ketika itu.

Jika dilihat daripada senarai waris-waris yang menuntut takhta Sultan Sulu, waris keluarga Kiram paling ramai berebut-rebut mengangkat diri sendiri menjadi Sultan Sulu.

Walaupun Kesultanan Sulu tidak lagi wujud dan diiktiraf oleh mana-mana negara sebagai kerajaan yang berdaulat, ramai individu terus menuntut takhta sebagai Sultan Sulu dengan mengemukakan pelbagai dokumen bagi menyokong dakwaan dan tuntutan mereka

Antara mereka yang menuntut takhta Kesultanan Sulu dan mendakwa Sultan Sulu ialah:

Seorang kaum Tausug yang mendakwa cucu kepada Datu Aranan Puyo, cicit Sultan Bantilan Muizzuddin I (1748-1763) yang digelar oleh ahli sejarah dunia sebagai Defender of Islam.

Sempena nama moyangnya ini beliau dinamakan sebagai Sultan Bantilan Muhammad Muizzuddin II.

Setelah berjaya menghimpunkan puluhan ribu penyokongnya di Jolo, beliau diangkat menjadi Sultan Sulu pada 19 Mac 2009 oleh rakyatnya di Jolo dengan laungan takbir dan selawat.

Selain Sultan Bantilan Muhammad Muizzuddin II, Ismael Kiram II turut mendakwa sebagai Sultan Sulu.

Seorang lagi penuntut ialah Muedzul Lail Tan Kiram yang mendakwa sebagai Sultan Sulu ke-35.

Beliau mengemukakan Memorandum Order 427 of 1974, di mana bekas Presiden Ferdinand Marcos telah mengiktiraf bapanya, Sultan Mahakuttah A. Kiram, sebagai Sultan Sulu.

Seorang lagi penuntut ialah Datu Mohamad Akjan Datu Ali Muhammad, seorang peniaga dari Malaysia yang mendakwa sebagai Sultan Sulu ke-33 pada 2011.

Selain beliau ialah Datu Abdul Rajak Aliuddin dan Datuk Seri Putra Eddy T. Sulaiman.

Sumber : MINGGUAN MALAYSIA
 

Sejarah Kesultanan Sulu

Kesultanan Sulu di timur laut Nusantara dipercayai telah wujud sejak penghujung abad ke-14.

Kemunculan Kesultanan Sulu boleh dikatakan hampir serentak dengan kemunculan Kesultanan Melaka, Kesultanan Brunei di Borneo dan Kesultanan Aceh di barat laut Nusantara.

Walaupun tidak ada tarikh tepat bila kesultanan ini ditubuhkan dan siapakah tokoh sebenar yang menubuhkan Kesultanan Sulu, namun kerajaan Sulu telahpun wujud sejak era empayar Hindu Majapahit lagi dan ia kemudian berkembang sebagai sebuah kerajaan yang kuat di bawah Kesultanan Islam Sulu setelah Islam tersebar di Nusantara.

Beberapa laporan menyebut, Kesultanan Islam Sulu ditubuhkan pada 1458 oleh seorang ulama dari Johor yang dikenali sebagai Abu Bakar yang tiba di Bwansa dekat Jolo.

Ketibaan Abu Bakar disambut baik oleh Rajah Baguinda Buansa dan Datu serta ketua-ketua di Jolo kerana Abu Bakar juga merupakan seorang yang berdarah raja.

Semasa berada di Sulu, Abu Bakar telah menyebarkan Islam di kalangan kaum Tausug dan menyatukan penduduk yang tinggal di pantai dan di bukit, yang sebelum itu berseteru.

Abu Bakar kemudian berkahwin dengan salah seorang puteri Rajah Baguinda, Paramisali.

Selepas Rajah Baguinda mangkat, Abu Bakar kemudian diangkat sebagai pemimpin Sulu dengan memakai gelaran Sharif ul-Hashim, dan menjadi Sultan Sulu pertama dengan menjadikan Sulu sebagai sebuah kerajaan Islam dan menggunakan hadis dan al-Quran sebagai undang-undang di bawah pemerintahannya.

Sejak itu, Kesultanan Sulu menjadi sebuah kerajaan Islam dan wilayah jajahannya meliputi Sulu, Borneo Utara termasuk Sabah, Palawan, Mindoro dan Basilan.

Kesemua Sultan Sulu dan Datu-datu di dalam wilayah Sulu selepas beliau kemudian mendakwa adalah waris atau keturunan kepada Abu Bakar.

Pemerintahan Abu Bakar bertahan selama 30 tahun dan selepas kemangkatannya, anaknya Kamal-ud-Din telah menggantikannya sebagai Sultan Sulu. Makam Abu Bakar masih lagi boleh dilawat di Gunung Tumatangis.

Ketokohan dan kehebatan Abu Bakar memimpin Kesultanan Sulu di bawah panji-panji Islam telah menukar bangsa Tausug sebagai pejuang Islam yang berani dan sanggup mati syahid bagi mempertahankan Islam dan bumi Sulu daripada penjajah ketika itu.

Oleh kerana itu, penjajah Sepanyol yang menjajah Filipina selama 333 tahun sejak kedatangan Ferdinand Magellan pada 16 Mac 1521 gagal menewaskan tentera Kerajaan Islam Kesultanan Sulu dalam peperangan yang berlarutan hampir tiga abad dan Sepanyol hanya berjaya menawan Sulu pada hujung tempoh penjajahannya dengan menandatangani perjanjian dengan Kesultanan Sulu pada 1885.

Perjanjian itulah buat pertama kalinya menyaksikan terhapusnya Kesultanan Sulu apabila Sultan Sulu ketika itu Sultan Jamalul Kiram II bertindak menyerahkan wilayah, kerajaan dan kedaulatannya kepada Sepanyol.

Malahan Jamalul Kiram II jugalah yang bertindak menandatangani perjanjian dengan Amerika Syarikat di bawah Perjanjianm Carpenter pada 1915 menyerahkan wilayah, kedaulatan, dan kekuasaan Sulu kepada Amerika Syarikat.

Sejak itu, Kesultanan Sulu ibarat sebuah institusi beraja tanpa negara, kerajaan, kedaulatan dan kekuasaan.

Perjalanan sejarah Kesultanan Sulu sejak ditubuhkan sehinggalah kejatuhannya, penuh dengan warna-warni seperti mana kerajaan-kerajaan monarki yang lain di dunia, penuh dengan hasad dengki, pembunuhan dan perebutan kuasa.

Walaupun Kesultanan Sulu kini hanya tinggal sebagai sebuah institusi beraja, isu perebutan takhta ke atas institusi kesultanan itu masih berterusan antara waris-warisnya sampai sekarang.

Sumber : MINGGUAN MALAYSIA

Jumaat, Mac 08, 2013

Sejarah : Pilihanraya Umum Ke-12 : 8 Mac 2008 (Sabtu)

Pada hari Sabtu, 8 Mac 2008, Rakyat Malaysia keluar mengundi kerusi DUN dan Parlimen dalam Pilihanraya Umum (PRU) Ke-12 di seluruh negara (kecuali Sarawak yang mengundi kerusi Parlimen sahaja). Parlimen dibubarkan pada 13 Februari 2008 dan Penamaan Calon pada 24 Februari 2008.

Namun tempoh had pembubaran Parlimen mengambilkira tarikh hari pertama Sidang Parlimen bersidang iaitu pada 28 April 2013.

Terdapat beberapa negeri yang tarikh persidangan dewannya sama dengan tarikh persidangan Parlimen iaitu pada 28 April lepas iaitu Perlis, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Terdapat juga negeri-negeri yang tarikh persidangannya lebih awal berbanding persidangan Parlimen seperti Melaka dan Johor pada 21 April 2008, Selangor (22 April) dan Perak (25 April). Manakala Kedah dan Sabah mengadakan sidang DUN pada 5 Mei, Terengganu (7 Mei) dan Pulau Pinang (2 Mei).

Oleh itu, Parlimen atau Dewan Undangan Negeri mesti dibubarkan sebelum 21 April 2013.
Pilihan raya DUN Sarawak baru sahaja diadakan 16 April 2011 lepas, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya tidak mempunyai kerusi DUN.

Walaupun mungkin berlaku perbezaan dari segi tarikh pembubaran DUN dan Parlimen tetapi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mempunyai masa sehingga 60 hari untuk mengadakan pilihanraya umum. Kebiasaannya tarikh penamaan calon dan pengundian akan diadakan pada tarikh dan hari yang sama serentak di seluruh negara.



Khamis, Mac 07, 2013

Jamalul Kiram III Bukan Sultan Sulu Sebenar

Jamalul Kiram III, yang mengaku sebagai Sultan Sulu dan pengikutnya menceroboh Sabah serta membunuh anggota polis Malaysia, tidak boleh menuntut gelaran yang sudah tidak wujud lagi itu, kata sumber yang tahu dengan mendalam sejarah dan salasilah keluarga berkenaan.

Oleh itu, katanya, Jamalul Kiram 111 tidak berhak mengaku sebagai waris kepada sultan Sulu terakhir, Jamalul Kiram II, yang mangkat pada 1936.

Sumber itu seterusnya menjelaskan bahawa Jamalul Kiram III bukan merupakan keturunanan kepada sembilan "waris sah" Jamalul Kiram II, seperti yang tercatat dalam "Penghakiman Macaskie" pada 1939 untuk melayakkannya menerima bayaran bagi penyerahan wilayah Sabah, yang ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara, kepada British North Borneo Company (BNBC).

Sumber berkenaan, yang amat mengenali anggota kerabat diraja kesultanan Sulu serta begitu memahami sejarahnya, berkata mengikut salasilah keluarga, walaupun Jamalul Kiram III merupakan kerabat diraja, beliau bukan berketurunan waris utama yang berhak menerima bayaran penyerahan wilayah berkenaan.

"Apabila Jamalul Kiram II mangkat pada 1936, baginda tidak meninggalkan waris takhta secara langsung dan dengan itu, BNBC berhenti daripada membuat bayaran bagi penyerahan wilayah. Berikutan itu, sembilan waris berkenaan secara berkumpulan membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai pihak yang berhak menerima bayaran tahunan itu," kata sumber berkenaan.

Pada 1939, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara Hakim Macaskie, membuat keputuan yang menyebelahi waris berkenaan dan dengan itu, bayaran tahunan itu disambung semula. Kerajaan Malaysia meneruskan bayaran itu berikutan penubuhan persekutuan Malaysia.

Pada 2011, keturunan sembilan waris utama Jamalul Kiram II memperoleh perintah sebuah mahkamah Sulu yang mengiktiraf mereka sebagai keturunan secara langsung kepada sembilan waris berkenaan.

Generasi kedua waris ini ialah Dayang-Dayang Piandao Taj-Mahal Kiram-Tarsum Nuqui, Putli Nurhima Kiram-Forman, Siti Ayesha K.H Sampang, Sulatan Fuad A. Kiram, Dayang-Dayang Sheramar T. Kiram, Puteri Permaisuri Kiram Guerson dan Sitti Jenny K.A Sampang.

"Oleh itu, beliau (Jamalul Kiram III) tidak boleh mendakwa sebagai waris atau keturunan kepada mana-mana sembilan waris utama itu," kata sumber berkenaan.

- BERNAMA


Selasa, Mac 05, 2013

Fakta Sejarah Kesultanan Sulu

Kesultanan Sulu adalah sistem monarki tradisional Islam orang-orang Tausug yang meliputi wilayah Basilan, Palawan, Sulu dan Tawi-Tawi di Filipina iaitu Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) dan bahagian timur Sabah.

Ia diasaskan pada tahun 1457 oleh ulamak bernama Sharif Abu Bakar, yang menyandang gelaran Sultan Shariful Hashim selepas mengahwini Paramisuli iaitu seorang puteri tempatan.

Beliau kemudiannya memperkenalkan Kod Undang-undang Sulu (Diwan) pertama berdasarkan al-Quran, dan memperkenalkan institusi politik Islam serta penyatuan Islam sebagai agama rasmi negara.

Pada 1675, setelah tentera Sulu berjaya menyelesaikan perang saudara di Brunei, Sultan Sulu dihadiahkan dengan Borneo Utara (kini timur Sabah).

Bagaimanapun pada 1878, Sultan Sulu memajak Borneo Utara kepada Eropah.

Perjanjian itu menyatakan bahawa pajakan adalah kehendak sendiri dan ia sah sehingga akhir zaman.

Kesultanan Sulu menerima pembayaran serahan tahunan bersamaan dengan 5,000 dolar Malaya, yang kemudiannya meningkat kepada 5,300 dolar Malaya pada 1903.

Borneo Utara berada di bawah naungan British dari akhir abad ke-19.

Kawasan berkenaan mendapat tempoh singkat kemerdekaan sebelum menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Sejak itu Malaysia membayar RM5,300 sebagai bayaran serahan setiap tahun kepada Kesultanan Sulu.

Keturunan bekas Sultan Sulu tidak merebut kembali wilayah berkenaan, sebaliknya bersetuju untuk menerima pembayaran serahan berdasarkan perkiraan sebelumnya.

Keadaan ini berlanjutan sehingga beberapa minggu yang lalu.

Kesultanan Sulu kemudiannya berada di bawah kawalan Sepanyol tetapi pada 1885 mereka menandatangani Protokol Madrid dengan Britain dan Jerman bagi melepaskan apa-apa tuntutan ke atas Borneo Utara.

Kesultanan itu berakhir apabila Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915, di mana dia menyerahkan semua kuasa politik kepada Amerika Syarikat.

Filipina, bagaimanapun terus mengiktiraf Kesultanan Sulu sebagai sebuah entiti berdaulat sehingga kematian Sultan Mohd Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986.

Kini terdapat sekurang-kurangnya 11 pihak menuntut gelaran Sultan Sulu, termasuk Sultan Jamalul Kiram III.

Sumber : mSTAR


Selasa, Februari 05, 2013

Penemuan rangka berusia 500 tahun di England disahkan King Richard III


LEICESTER (UK): Rangka manusia zaman pertengahan yang ditemui tertanam di tapak letak kereta majlis perbandaran di sini telah disahkan oleh saintis sebagai rangka King Richard III - raja England yang terakhir terbunuh dalam pertempuran.

Rangka dan tengkorak yang berusia lebih 500 tahun itu ditemui September tahun lalu.

Petak letak kereta itu adalah bekas sebuah gereja lama yang menjadi tempat King Richard III disemadikan selepas kematiannya dalam satu pertempuran yang dahsyat.

King Richard III adalah satu-satunya raja England yang kuburnya menjadi misteri dan gagal ditemui sehinggalah September lalu.

Baginda dipopularkan oleh sasterawan terkenal William Shakespeare dalam lakonan pentasnya dan digambarkan sebagai seorang raja yang sangat kejam yang telah mengarahkan hukuman bunuh ke atas dua orang anak saudaranya yang masih remaja dalam proses untuknya menaiki takhta.

Saintis daripada Universiti Leicester, Dr Turi King, Dr Jo Appleby dan Dr Richard Buckley dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di sini pada Isnin mengesahkan sampel DNA yang diambil dari rangka itu adalah menyamai dengan salah seorang keturunan King Richard iaitu susur galur daripada kakak perempuannya Anne.

Keturunannya itu dikenalpasti sebagai Michael Ibsen, seorang tukang perabot yang berpusat di London.

King Richard III telah terbunuh dalam pertempuran Bosworth pada 1485, ditewaskan oleh Henry Tudor yang sekaligus menyaksikan terkuburnya keturunannya sebagai raja England dan kemunculan salahsilah Tudor iaitu putera yang mengalahkannya dalam peperangan itu.

Dr Appleby menyatakan bahawa rangka itu ditemui dalam kondisi yang masih baik walaupun kakinya tidak ditemui.

Beliau berkata, rangka itu adalah milik seorang yang berusia dalam lingkungan umur 32 tahun dan setinggi 5 kaki 8 inci - iaitu sesuatu yang bukan kebiasaan untuk manusia zaman pertengahan namun tulang belakangnya didapati bengkok.

Kedua-dua tangannya berada dalam keadaan diikat dan diletakkan di bahagian hadapan tubuhnya.

Kesemua petunjuk yang ditemui pada rangka itu adalah menyamai dengan susuk badan King Richard III.

Tidak ada bukti yang mayat itu ditanam bersama keranda atau kain kapan.

Salah satu bukti kematiannya di medan perang ialah bucu anak panah yang ditemui terlekat pada tulang belakangnya dan lain-lain kecederaan akibat trauma pertempuran.

Bukti radiokarbon menunjukkan ia meninggal dunia pada sekitar 1485 hingga 1550 -iaitu konsisten dengan rekod kematian Richard III sebagaimana yang dicatatkan dalam sejarah.

Berdasarkan rekod sejarah, selepas kematiannya, mayat Richard telah dibawa sejauh 15 batu dari tempat pertempuran ke pekan Leicester di mana baginda telah dipamerkan kepada umum sebagai bukti kematiannya dan selepas itu di tanam di kawasan gereja pekan ini.

Para saintis menyifatkan pengesahan ini sebagai satu penemuan terbesar dan terpenting dalam sejarah England.

Untuk berabad lamanya Richard III kekal sebagai satu enigma - dianggap sebagai penyangak dan pada masa yang sama juga dianggap sebagai hero oleh sesetengah orang.

Baginda memerintah England untuk satu tempoh yang sangat singkat iaitu antara 1483 hingga 1485.

Namun dalam tempoh yang singkat itu jugalah baginda akan dikenang sebagai seorang yang liberal pada zamannya dengan memperkenalkan undang-undang ikat jamin dan meliberalisasikan larangan dan sekatan ke atas buku serta percetakan.

Malangnya, pemerintahannya telah dicabar oleh salahsilah Tudor yang diketuai oleh Henry yang selepas mengambilalih tampuk kekuasaan menamakan dirinya King Henry VII.

- MSTAR

Sabtu, Februari 02, 2013

Istana Negara Lama kini dibuka kepada umum



BAGI kebanyakan orang, memasuki Istana Negara lama yang dibuka kepada orang awam buat pertama kali pada 1 Februari 2013, akan memberikan satu pengalaman yang mengujakan.

Bagaimanapun, bagi segelintir mereka, ia akan menjadi sebagai satu ziarah seorang sahabat lama.

Bagi Dr Mubarak Chan Chin Cheung, 79, yang mana kehidupannya yang tidak gembar-gemburkan, bermula dengan rumah agam yang sangat cantik yang terletak di atas cerun bukit.

“Saya dilahirkan di sini pada 1934, yang paling muda di antara 22 adik-beradik. Rumah agam ini merupakan kediaman keluarga terutama ia dibina oleh ayah saya yang mahukan seluruh ahli keluarga tinggal di tempat yang sama,” katanya.

Rumah agam itu dibina oleh arkitek Swan dan McLaren, yang memiliki firma seni bina yang tertua di Singapura setakat ini dan turut bertanggungjawab terhadap pembinaan di Rumah Bok Jalan Ampang dan Hotel Raffles di Singapura.

Ia mempunyai beberapa bilik tidur, dua perpustakaan, dua bilik permainan kad, dua bilik muzik, sebuah bilik ‘altar’, sebuah bilik tukang gunting rambut, dua dapur dan sebuah dewan makan yang besar yang boleh memuatkan 10 meja.

“Kami juga mempunyai sebuah kolam teratai yang sangat besar di taman dan berdekatan dengannya terdapat rumah sekolah.

“Ia turut juga mempunyai sebuah dusun dengan beberapa pokok buah-buahan,” kata Chan sambil menambah bahawa beliau dapat melihat Batu Caves dari tingkap bilik tidurnya.

Hartanah di atas tanah berkeluasan 5.26 hektar itu bertentangan dengan Sungai Klang dan Chan diingatkan acara-acara yang meriah sering diadakan di rumah agam itu.

“Bapa saya biasanya menghiburkan para tetamu dalam satu majlis besar-besaran dengan tarian singa semasa Hari Tahun Baru China. Perabot-perabot istimewa disusunkan dan rumah akan dihias begitu indah,” katanya, sambil menambah bahawa mereka sering menjemput kumpulan kontinjen Polis Selangor untuk bermain muzik.

Beliau turut mengenangkan seekor patung harimau yang diawet, dengan panjangnya kira-kira dua meter berada di kedudukan utama di bawah salah satu tangga, yang diletakkan di dalam sebuah kotak kaca.

Haiwan itu telah ditembak di salah sebuah ladang getah di Johor, yang dimiliki oleh bapa beliau, Chan Wing.

Keturunan Chan berasal dari wilayah Guandong di China semasa zaman remajanya bagi mencari peluang yang lebih baik pada 1889.

Beliau bertuah apabila Syarikat Hong Fatt Mining yang diasaskan olehnya bersama beberapa yang lain menjadi lombong timah secara terbuka yang terbesar dan terdalam di dunia.

Ia kini menjadi tapak bagi The Mines Resort City.

Ini mendorong kepada beberapa lagi kejayaan usaha beliau termasuk mengasaskan Bank Kwong Yok Kuala Lumpur secara usaha sama.

Chan menjejaki tanah istana pada 1977 bagi menerima pingat Johan Mangku Negara, saat terakhir beliau memanggilnya sebagai kediaman pada 1941, sejurus sebelum keluarganya terpaksa melepaskannya apabila peperangan tercetus di Tanah Melayu.

Keluarganya menyelamatkan diri dengan pelbagai cara, dan akhirnya menyebabkan masing-masing terpisah di seluruh dunia, di mana bapanya dan seorang abang di Perth Australia dan beberapa ahli keluarga yang lain di India.

Semasa ketiadaan mereka, rumah agam itu dirampas dan banyak barang telah hilang.

Akhirnya, ia menjadi kediaman rasmi bagi Gabenor Jepun di Tanah Melayu dari 1942 sehingga 1945 dan, selepas perang berakhir, Pentadbiran Ketenteraan British menggunakannya dari 1946 sehingga 1951 sebagai kuarters bagi para pegawainya bagi pangkat Brigadier ke atas.

“Kemudian dari 1952 sehingga 1956, rumah agam itu disewakan oleh kerajaan negeri Selangor sebanyak 5,000 Straits Dollars dan selepas itu, pada 1957, kediaman kami dijual kepada kerajaan persekutuan dengan 1.4 juta untuk dijadikan sebagai kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong,” kata Chan.

Salah satu perubahan besar terhadap hartanah itu sejak keluarganya menetap di situ adalah kedudukan pintu masuk utama.

“Pintu masuk sekarang dibuat semasa pendudukan Jepun. Apabila ayah saya membina rumah ini, pintu masuk adalah di mana pintu belakang sekarang. Ia dilihat sebagai ‘feng shui’ yang lebih baik,” katanya.

Sebagai sebuah istana, bangunan itu melalui beberapa pengubahsuaian, termasuk satu perubahan pada 1980 untuk membina Balairong Seri Utama yang digunakan buat pertama kami semasa pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang ketujuh.

Chan begitu kesal apabila orang ramai seolah-olah melupakan pembina bagi istana lama itu, dan tiada satu pun jalan yang mengambil bersempena dengan nama pembinanya.

“Malah beliau (pembina) merupakan ahli lembaga pengarah bagi Sekolah Cina Confucian bersama dengan beberapa individu seperti Chan Sow Lin dan Loke Chow Kit,” katanya, sambil menambah bahawa pendidikan adalah amat penting untuk Chan Wing dan 15 ahli keluarganya yang belajar di Universiti Cambridge antara 1920 dan sekarang, termasuk dirinya sendiri.

- MSTAR

Rabu, Januari 23, 2013

Istana Negara menjadi Muzium Diraja

Buat pertama kalinya, rakyat dibolehkan melawat bilik-bilik di Istana Negara lama yang pernah menjadi penginapan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berikutan bangunan lama itu dijadikan Muzium DiRaja dan dibuka kepada umum mulai 1 Februari 2013 ini.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, sebelum ini Balairong Seri di istana itu telah dibuka kepada umum sebagai medan 'Pameran Raja Kita' sejak April tahun lepas.

"Kita menerima respons daripada orang ramai yang mahu melawat ke dalam Istana Negara. Kerajaan memutuskan untuk membuka istana itu sebagai sebuah muzium," katanya kepada pemberita semasa mengiringi lawatan media ke istana itu semalam.

Seramai 40 wakil media serta agensi pelancongan dibawa melawat selama dua jam dan buat pertama kalinya memasuki Istana Negara setinggi dua tingkat dengan 22 bilik termasuk bilik beradu, pejabat, dewan, ruang makan dan istirehat.

Katanya, pembukaan muzium itu akan dirasmikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada 1 Februari ini.

"Kita akan buka setiap hari mulai pukul 9 pagi hingga 5 petang dan pada peringkat awal, orang ramai akan diiringi pegawai kita yang akan memberikan taklimat mengenai setiap bilik dan ruang yang pernah digunakan.

Sejarah Istana Negara bermula sebagai rumah agam yang dibina pada tahun 1928 dan penggunaannya berakhir pada November tahun lepas apabila Istana Negara baharu didirikan di Kompleks Istana Negara di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

- KOSMO!

Sabtu, Januari 05, 2013

Kanang Anak Langkau meninggal dunia



KUCHING 3 Jan. - Pahlawan Negara, Pegawai Waran 1 (B) Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, 68, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada pukul 1.45 pagi ini dipercayai akibat serangan jantung.

Isterinya, Datin Brawang Chunggot, 55, berkata, mendiang sebelum itu mengadu sakit dada sewaktu berada di kediaman mereka di Kampung Sungai Apong di sini.

"Semalam saya dan suami menonton siaran berita di televisyen sekitar pukul 11 malam, tiba-tiba dia mengadu sakit dada dan batuk seperti tersedak sesuatu.

"Saya kemudiannya memberi suami minum air suam sebelum dia jatuh pengsan," katanya ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat HUS pagi ini.

Kanang yang bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pangkat terakhir sebagai Pegawai Waran 1 merupakan penerima tunggal dua pingat keberanian utama negara iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) pada 1981.

Brawang berkata, beliau menghubungi ambulans dan meminta pertolongan daripada anak bongsunya serta jiran-jiran untuk membantu.

Katanya, suaminya itu kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke HUS kira-kira pukul 1 pagi dan disahkan meninggal dunia 45 minit kemudian.

"Saya terkejut selepas doktor memberitahu suami saya sudah meninggal dunia sedangkan sebelum ini dia sihat dan tidak pernah mengadu sebarang penyakit.

"Sebelum ini, suami saya ada merancang untuk kami berdua pergi ke Kuala Lumpur menemui rakannya bagi berbincang mengenai produk Kopi Komando," katanya.

Kanang meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak serta lapan cucu hasil perkahwinannya dengan isteri pertama, Helen Latai Intie yang meninggal dunia pada Januari 2011.

Antara yang terawal melawat mendiang ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan isteri, Puan Sri Empiang Jabu yang mewakili kerajaan negeri Sarawak.

Turut berbuat demikian ialah Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar dan isteri, Datin Noraihan Ibrahim serta Panglima Markas Briged Ketiga Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Pahlawan Redzuan Baharuddin.

Mayat mendiang kini ditempatkan di Rumah Mayat HUS dan akan dibawa ke Dewan Suarah Kuching pukul 8 pagi esok manakala upacara sembahyang akan dilaksanakan di Gereja St. Thomas, Jalan McDougall sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan Jalan Budaya, Ahad ini.

- UTUSAN

Ahad, November 25, 2012

Buku : Perang Arab Israel Selagi Belum Kiamat


ISBN-13: 978-967-366-152-7

Jumlah Muka Surat : 232

Kategori: Islam, Perundangan & Shariah,Politik & Sejarah

Penerbit: PTS Islamika Sdn Bhd

"Palestine bukan milikku, bukan milik bangsa Turki tetapi milik bangsa Arab. Baitul Maqdis pula bukan milik bangsa Arab tetapi milik umat Islam seluruhnya. Aku tidak akan sesekali menyerahkan bumi Palestine walaupun sejengkal setelah bangsaku berjihad bermati-matian mempertahankan dan menyuburkan tanahnya dengan darah-darah mereka. Simpanlah wang kamu yang berjuta ringgit itu kerana sekiranya suatu hari nanti Khilafah Islamiyah ini tumbang, kamu boleh mengambilnya tanpa sebarang wang tukaran. Adapun, sekiranya aku masih hidup, aku lebih rela diriku dicincang daripada melihat bumi Palestine dikeluarkan dari Daulah Islamiyah dan perkara itu selama-lamanya tidak akan berlaku. Adakah kami akan membenarkan diri (Wilayah-wilayah takluk Kerajaan Turki Uthmaniyah) kami ini semua dipisah-pisahkan sedangkan kami masih hidup?!"
(Sultan Abdul Hamid II pada tahun 1901 ketika ditawarkan oleh Tiodore Hertzel (Ketua Pertubuhan Zionis Antarabangsa dan antara pemimpin tertinggi freemasonry). Dipetik daripada kitab Kaifa Saqatot al-Khilafah al-Islamiyah, halaman 26)

Selepas Turki Uthmaniyah kalah dalam Perang Dunia Pertama (1914–1918), British yang menguasai tanah jajahan Turki Uthmaniyah (termasuk Palestine) mengisytiharkan Perisytiharan Balfour pada tahun 1917 dengan mengiktiraf negara Israel tanpa menafikan hak-hak sivil dan agama masyarakat bukan Yahudi di Palestin. Sejak dari itu, seramai 85,000 orang Yahudi sudah pun bermastautin di Palestin. Pada tahun 1947, UN Partition Resolution (GA 181) membahagikan tanah Palestine dengan 4,700 batu kepada 1.35 juta penduduk Arab Palestine manakala 5,300 batu kepada 630 ribu pendatang Yahudi. Pembahagian yang jelas berat sebelah mencetus Perang Arab-Israel 1947 dan PerangArab-Israel 1948.
Buku ini mendedahkan:

    Faktor kekuatan tentera Israel yang memenangi Perang Arab-Israel 1947-1948,Perang Suez 1956, dan Perang Enam Hari 1967, Perang Yom Kippur 1973
    Faktor kelemahan tentera gabungan Arab yang mendorong kekalahan kepadaIsrael.
    Strategi yang digunakan oleh kedua-dua pihak.
    Perjanjian Camp David: Sebab dan kesan ke atas Palestine dan Negara-NegaraArab di sekitarnya.
    Konflik Israel-Lubnan (1978-2006): Harapan buat Negara-Negara Islam?
    Palestine: Kesengsaraan, bantuan Luar dan harapan masa depan.

Sabaruddin Hussein adalah penulis, penterjemah dan pengkaji sejarah dan konspirasi berkaitan dengan agenda Yahudi. Beliau menulis buku Agenda Yahudi Menakluk Dunia dan Konspirasi Yahudi: Perang & Penaklukan.

Pendahuluan

BAB 1: Palestin Pada Awal Kurun Ke-20 dan Pertumpahan Darah Bermula

Pertumpahan Darah Bermula

Campur Tangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: Seperti Tikus Membaiki Labu

Perang Arab-Israel I (1947)

Arab Legion Army (ALA): Pembela Nasib Palestin

Kronologi Perang 1947 Sehingga Ambang Perang Kemerdekaan

BAB 2: Perang Arab-Israel II (Perang Kemerdekaan - 1948)

Perisytiharan Kemerdekaan

Perang Bermula

Langkah Strategik Ben Gurion

Taring Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Pembunuhan Perunding Damai PBB

Semangat yang Kian Pudar

Kronologi Perang Kemerdekaan 1948 Impak Peperangan Arab-Israel I&II

Profil David Ben Gurion

Manusia Tanpa Ehsan

BAB 3: Perang Arab-Israel III (Perang Suez - 1956)

Terusan Suez Mencetuskan Krisis

Protokol Sevres

Operasi Kadesh: Strategi Serangan Israel Israel Memulakan Gerakan Tentera Darat

Pertempuran Udara

Tentera Laut Mesir Tenggelam dengan Mudah

Serangan Ke Atas Suez oleh British dan Perancis

Reaksi Antarabangsa

Tekanan Kewangan

Kesan Perang 1956

BAB 4: Perang Arab-Israel IV (Perang Enam Hari – 1967)

Memberi Kepercayaan kepada Pihak yang Salah

Para Pemimpin Bertikam Lidah

Analisis Kekuatan Tentera

Kegagalan Mengenal Pasti Kekuatan Musuh

Punca Kekalahan

Serangan ke atas Bukit Gholan

Kronologi Perang 1967

Mesir dan Syria Diaibkan

Akibat Melupakan Islam

Profil Jamal Abdel Nasser – Presiden Mesir Kedua (1922–1970)

Dasar Luar Mesir Di Bawah Jamal Abdel Nasser

Impian Menjadi Pemimpin Dunia Arab

Nasser dan Campur Tangan di Yaman

BAB 5: Perang Arab Israel V (Perang Yom Kippur – 1973)

Langkah Awal Anwar Sadat

Amerika Syarikat dan Israel Tersalah Perkiraan

Api Peperangan Semakin Membara

Perang & Pengkhianatan

Selepas Perang & Kesan Perjanjian Damai

Profil Anwar Sadat (1918 – 1981)

Perang Yom Kippur: Permainan Korporatis Yahudi

Pembunuhan Sadat

BAB 6: Konflik Israel-Lubnan (1978–2006)

Kemunculan Hizbullah: Singa Lubnan Selatan

Perang Hizbullah-Israel (2006)

Israel Dihina Melalui Perjanjian Damai

Gaza: Tragedi Kemanusiaan Terburuk Pernah Disaksikan Dunia

Kekejian yang Disokong Amerika Syarikat

BAB 7: Kemusnahan Berleluasa Akibat Elemen Yahudi

Perancangan Jangka Panjang Yahudi Melalui NATO

Internet Sebagai Media Pencetus Kekacauan

Rangkaian Laman Sosial

Iktibar Di Sebalik Sejarah Persengketaan Arab-Israel

Kisah Yasser Arafat

Buku ini boleh dibeli di: http://www.bookcafe.com.my/en/islam-and-spiritual/perang-arab-israel-selagi-belum-kiamat-en.html
 

Selasa, Oktober 30, 2012

Bandar yang dipercayai tertua di Eropah ditemui


SOFIA - Beberapa pakar arkeologi menemui lokasi sebuah bandar kecil berhampiran bandar Provadia, timur Bulgaria yang dipercayai paling tua di Eropah.

Bandar tersebut wujud antara 4,700 hingga 4,200 Sebelum Masihi.

Ia terletak di sekitar sebuah kilang garam tertua di Eropah.

Rangka tulang milik seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak turut ditemui di lokasi tersebut.

Penemuan yang dibuat oleh kumpulan ahli arkeologi Bulgaria itu disahkan oleh saintis Jerman, Jepun dan Britain.

- Agensi

Telegram hanya tinggal kenangan

GETARAN dada seorang wanita yang sedang menyapu daun-daun kering di halaman rumahnya semakin deras tatkala melihat seorang lelaki beruniform menaiki basikal memasuki pekarangan rumah. Desah nafasnya semakin kedengaran apabila lelaki tersebut menghulurkan sekeping sampul tertera perkataan telegram di hadapannya sambil berkata: “Telegram untuk puan.” Sebaik kiriman telegram yang tertulis, ‘Ayah meninggal dunia, balik segera!’ dibaca, mengalir manik-manik jernih daripada sepasang mata bundar wanita itu. Itu antara adegan drama yang masih segar dalam ingatan penulis berhubung fungsi telegram iaitu menyampaikan mesej kecemasan terutamanya berita buruk dan sedih. Jika ditebak soalan mengenai telegram kepada generasi muda kini yang medium komunikasinya berkiblatkan gajet-gajet canggih, pasti 90 peratus daripada mereka tidak tahu apa itu telegram. Pernah sekali penulis menguji seorang remaja berusia 18 tahun mengenai telegram dan remaja tersebut bertanya kembali kepada penulis: “Apa itu telegram? Sukatan timbang terbaharu ke?” Kenangan telegram Kalau ada yang tahu pun, mungkin mereka hanya mendengarnya melalui pembacaan novel, cerita dan drama lama tanpa merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan tersebut. Bagi seorang pesara kerajaan Rosly Mohamad, telegram punya nilai sentimental buat dirinya dan isteri, Zubaidah Omar, 58. Lelaki berusia 58 tahun hanya tersenyum sambil ketawa kecil apabila persoalan mengenai telegram diutarakan, lantas ayah kepada empat orang anak itu menyingkap kembali cerita lama. Ceritanya, apabila dia mahu menyunting anak dara orang, sudah menjadi adat ia dimulakan dengan merisik kemudian barulah bertunang, bernikah dan akhir sekali berkahwin. “Pada ketika itu, keluarga saya merancang untuk datang merisik bakal isteri saya di Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor. Tetapi saya tidak tahu bagi orang Jawa (keluarga sebelah isteri) merisik itu dikira bertunang. “Kelam-kabut saya dibuatnya kerana tidak menyediakan apa-apa persiapan untuk majlis pertunangan. Yang ada hanya sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda merisik,” katanya yang ketika itu tinggal di Tanjung Malim, Pera. Tanpa berfikir panjang, dia terus memecut ke pejabat pos Tanjung Malim untuk menghantar telegram menyampaikan pesanan kepada keluarga bakal isteri bahawa pertunangan ditangguhkan bagi membolehkan keluarganya membuat segala persiapan. “Mujur ada telegram, majlis pertunangan berlangsung seminggu kemudian. Kini, perkhidmatan telegram sudah ditamatkan dan segalanya hanya tinggal kenangan untuk diceritakan kepada anak dan cucu. “Sayangnya, telegram itu tidak tahu ke mana,” ujarnya. Guna Kod Morse Sejarah perkhidmatan telegram di Malaysia diperkenalkan di negara ini sejak tahun 1940-an. Perkhidmatan telegram digunakan secara meluas oleh rakyat Malaysia pada ketika itu bagi menghantar pesanan termasuklah pesanan-pesanan segera. Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Telekom Malaysia (TM), Datuk Rozalila Abdul Rahman, pada awal pengenalannya, perkhidmatan telegram telah diberikan melalui bantuan operator menggunakan Kod Morse. Pada waktu itu, perkhidmatan telegram ditawarkan oleh Jabatan Telekom Malaysia (JTM). Apabila jabatan tersebut diswastakan menjadi Syarikat Telekom Malaysia (STM) pada tahun 1987, perkhidmatan itu terus kekal di bawah seliaan STM hinggalah evolusinya kepada Telekom Malaysia Berhad (TM) pada hari ini. “Perkhidmatan telegram yang ditawarkan sebelum ini oleh TM mengguna pakai sistem Automatic Message Switching dan menggunakan sebuah teleprinter bagi menghantar, menerima dan mencetak pesanan-pesanan pelanggan. Perkhidmatan ini hanya boleh diperoleh menerusi Pusat Khidmat Pelanggan TM di talian 100 dan juga di premis-premis TMpoint,” katanya. Tambahnya, Pos Malaysia bertanggungjawab memungut pesanan-pesanan yang dicetak dari Pusat Telegram TM di Kuala Pauh, Jalan Kuchai Lama, Selangor atau di premis TMpoint terpilih di seluruh negara untuk dihantar kepada penerima pesanan tersebut. Bagaimanapun, kemajuan teknologi menyebabkan perkhidmatan telegram sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya digunakan kebanyakannya oleh bank dan institusi kewangan, khususnya bagi tujuan pungutan pembayaran. “Akhirnya TM mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan ini atas beberapa faktor. Antaranya ketiadaan bantuan sokongan teknikal bagi peralatan yang dimiliki, selain wujudnya peranti-peranti serta saluran komunikasi baharu. Lebih banyak orang hari ini berkomunikasi menggunakan telefon talian tetap, telefon mudah alih, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan aplikasi pesanan segera,” ujarnya. Jelas Rozaliza lagi, berikutan peralatan yang digunakan untuk memberikan perkhidmatan telegram semakin usang dan alat gantian juga tidak lagi didapati, ia menjadi semakin sukar buat TM untuk terus menawarkan perkhidmatan itu. TM telahpun memaklumkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengenai hasrat untuk menamatkan perkhidmatan telegram pada tahun 2004 dan kementerian akhirnya meluluskan permohonan tersebut pada bulan Mei 2012. Tanggal 1 Julai lalu menjadi detik pernuh bersejarah apabila perkhidmatan telegram ditamatkan secara rasminya. “Kami percaya industri telekomunikasi masa kini menghidangkan pelbagai medium komunikasi yang lebih bersesuaian dengan kemampuan dan cara hidup rakyat Malaysia. “Kami juga memahami bahawa tidak semua golongan mampu untuk memiliki telefon bimbit atau komputer peribadi (PC) bagi menghantar e-mel, namun apabila Malaysia bergerak maju ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, negara kita dilengkapi dengan infrastruktur komunikasi yang berkembang dengan baik termasuklah telefon awam serta perkhidmatan pos,” katanya. Pada detik-detik terakhir perkhidmatannya, Pengurus Besar TM Kelantan, Ab. Rashid Che Othman memberitahu, kira-kira 1,000 telegram dihantar melalui TM Point Kota Bharu berbanding hanya sekitar 500 pada hari-hari biasa. Sejak tahun 2000 telegram dihantar melalui komputer dan tidak lagi menggunakan mesin teleks seperti zaman dahulu. Bagi mereka yang mahu mendapatkan gambaran lebih jelas dan melihat sendiri mesin teleks yang digunakan suatu ketika dahulu anda boleh berkunjung ke Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. - KOSMO!

Ahad, September 16, 2012

Antara Hari Kemerdekaan dengan Hari Malaysia

Oleh SOFI RAHMAN

RAMAI di kalangan anak muda yang sedikit terkeliru di antara Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ramai yang tidak sedarkan kewujudan Hari Malaysia kerana apabila dilontarkan tarikh keramat itu ramai yang akan memberikan jawapan 31 Ogos.

Tidak adil untuk kita sekadar membebankan kekeliruan itu di atas bahu mereka semata-mata tanpa kita memikirkan apakah kita telah mengambil pendekatan yang cukup untuk menyedarkan mereka tentang kewujudan tarikh Hari Malaysia.

Benar, kita menyediakan segala bentuk kemudahan dan kemodenan untuk dinikmati oleh mereka dan generasi akan datang tetapi khuatir yang disediakan itu akan menyebabkan mereka menjadi lalai kepada sejarah. Sama ada suka atau tidak, hakikat yang harus kita terima bahawa sejarah menjadikan Malaysia sesempurna ini hasil pengemblengan bersama rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Jika diimbas kembali kepada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos lalu, renung-renungkanlah sama ada kita mampu menarik anak-anak muda ini untuk merenung kembali setiap titisan peluh yang dititiskan oleh generasi terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan atau kita sekadar mampu membuatkan mereka menjeritkan perkataan merdeka dan membulatkan mata mereka merenung setiap percikan bunga api di angkasa pada detik 12 tengah malam.

Kerisauan ini dirasakan apabila saban hari berbanding tahun sebelumnya, kemeriahan rakyat terutamanya anak muda dalam meraikan hari kemerdekaan semakin dingin. Lihatlah di sekeliling anda apakah masih ada lagi bendera-bendera yang digantungkan atau dikibarkan di kereta-kereta mahu pun premis-premis? Jika ada pun sekadar menghiasi yang kebanyakannya adalah kenderaan rasmi dan premis kerajaan.

Teringat pula kepada kata-kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan(KPKK), Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa menyambut apa jua acara sambutan yang berkisar kepada sejarah Malaysia tidak boleh hanya dinilai kepada bilangan yang hadir dan bilangan yang mengibarkan bendera semata-mata tetapi jauh daripada itu adalah melahirkan jiwa yang penuh kecintaan kepada negara.

Tentunya kata-kata yang lahir daripada seorang Menteri apatah lagi daripada orang berpengalaman luas haruslah difikirkan secara bersama pendekatan bagaimanakah yang harus diambil untuk memberikan rasa cinta itu kepada anak-anak muda.

Walaupun sehebat itu dan sebenderang angkasa yang kita warnakan pada detik 12 malam 31 Ogos pun kita masih tertanya-tanya apakah anak muda benar-benar menjiwai rasa cinta kepada negara inikan pula berhubung Hari Malaysia yang mungkin masih samar-samar pengertiannya di jiwa mereka.

Kita tidak mahu kekeliruan berhubung Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang semakin bersawang di minda anak muda diburukkan lagi oleh mereka yang berkepentingan dalam politik.

Pelbagai dakyah palsu dilontarkan mereka kepada anak-anak muda di Sabah khususnya semata-mata mahu menyemai rasa benci mereka kepada kerajaan. Minda anak muda di Sabah dan Sarawak terus disogokkan dengan dakwaan bahawa kerajaan sekarang meminggirkan dan tidak membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak.

Hujah yang agak dangkal yang mereka gunakan itu dikhuatiri akan ditelan mentah-mentah oleh anak muda biarpun hakikatnya Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan mahupun dianaktirikan.

Lihat sahaja barisan Jemaah Menteri dalam pentadbiran kerajaan. Sejak dari dahulu sehinggalah ke detik hari ini, anak-anak Sabah dan Sarawak tidak pernah dikecualikan daripada memegang jawatan Jemaah Menteri.

Kemudahan di Malaysia diselaraskan di seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Hospital kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan pelbagai lagi kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak. Justeru, bagaimana boleh kita menerima bahawa Sabah dan Sarawak dianak tiri dan dipinggirkan?

Ramai anak-anak muda Sabah dan Sarawak yang berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik di negeri kelahiran mereka sendiri dan tidak kurang juga ada di kalangan anak muda daripada tanah Semenanjung yang berhijrah ke Sabah dan Sarawak untuk mencari rezeki.

Begitu juga jawatan penting di peringkat Persekutuan, Sabah dan Sarawak yang diisikan oleh rakyat dari kedua-dua negeri itu. Semangat integrasi nasional segala-galanya berjalan dengan baik dan tidak ada sebarang rasa buruk sangka di antara anak Semenanjung dengan anak Sabah dan Sarawak.

Kebersamaan inilah yang sememangnya diidam-idamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila memperkenalkan Gagasan 1Malaysia ketika mengambil alih tampuk pemerintahan. Biarpun sebenarnya perjuangan menyatukan seluruh rakyat Malaysia bukanlah perkara baru tetapi Perdana Menteri tampaknya sentiasa berwaspada kepada sebarang tindakan yang sengaja mahu memecah-belahkan rakyat Malaysia.

Mengenai kecelaruan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, adalah diharapkan kerajaan mengambil pendekatan lebih proaktif untuk menerangkan fakta sebenar perihal peristiwa itu secara menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan KPKK.

Hanya dengan fakta yang benar akan dapat melahirkan rasa kecintaan yang mendalam kepada negara dan dapat menjadi benteng kepada sebarang asakan daripada mereka yang ingin melihat kehancuran negara demi kuasa.

Semoga detik 16 September akan menjadi sepenting detik 31 Ogos di dalam kalendar tahunan Malaysia. Kita mahu kepentingan bersama rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan menjadi seperti aur dengan tebing dan cubit peha kanan, peha kiri turut terasa sakitnya.

Di bawah kibaran Jalur Gemilang, ayuh kita mengorak langkah bersama untuk menuju ke arah yang cemerlang. Sesungguhnya tidak ada yang mustahil untuk kita gapai sekiranya kita bersatu dan dengan semangat Malaysia Boleh, Pendelela Rinong telah menzahirkan bahawa kita sebenarnya hidup dalam rumpun 1 Malaysia.

- MINGGUAN MALAYSIA

Sabtu, September 15, 2012

Naratif ideal Hari Malaysia

Oleh Khairuddin Mohd. Zain

Hari Malaysia - sememangnya wajar disambut dengan semangat yang positif dan baik. Memang mungkin ada, di kalangan kita, mereka yang gemar memberikan irama politik kepada semua perkara, untuk mendendangkan rentak Hari Malaysia mengikut suasana dan iklim politik yang ada.

Ironinya, mereka gemar menarik dan menggunakan nama 'rakyat' dalam mengemukakan naratif pesimis lagi merosakkan mengenai Hari Malaysia. Kepada mereka, Hari Malaysia adalah hari untuk menjurang perbezaan sejarah, mendahulukan parameter kuasa, menggunakan sentimen dan faham jumud untuk menggambarkan mereka sebagai 'hero baru' yang bercakap mengenai kuasa mutlak dan peluang meletakkan diri sendiri di puncak kuasa. Sentimen ini sememangnya menghangat apabila suasana pilihan raya semakin hampir.

Bersesuaian dengan niat politik yang ada, mereka perlu membugar semangat anti-Persekutuan. Meletakkan hijab politik di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Semangat anti-Persekutuan dan meletakkan hijab politik kepada hubungan baik Sabah, Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya dirasakan mereka mampu memberikan pulangan politik yang setimpal.

Kepedulian mereka terhadap semangat Rukunegara berada di tahap yang sangat rendah. Malahan ini boleh kita sama-sama rasai dengan kesungguhan mereka menampilkan banyak insiden anti-negara dan kepimpinan yang dilaksanakan kebelakangan ini.

Apa yang penulis khuatir, semangat mendapat pulangan dan dividen politik sudah menyebabkan mereka kalangan yang sangat Machiavellian di dalam pendekatan politik. Segalanya dibolehkan, asalkan niat mereka mendapat kuasa dapat direalisasikan secepat mungkin.

Mereka tidak sangsi untuk menggunakan apa sahaja bahan untuk mengemukakan pelbagai hujah kononnya apa yang kita nikmati ketika ini bukanlah satu bentuk ikatan politik yang 'ideal' pada hemat dan pandangan mereka.

Bukanlah lagi satu rahsia, keinginan mereka membuka dokumen sejarah mempunyai niat yang sangat mencurigan. Kumpulan yang kecil ini gemar menggunakan dokumen sejarah sebagai alat membina sentimen kebencian kepada orang lain.

Niat, semangat, iltizam, kesungguhan - generasi terdahulu dalam mencari 'titik persamaan' dan meletakkan 'semangat Malaysia' mendahului perkara-perkara yang lain, tidak mereka hayati dan hargai. Yang lebih mereka cari, adalah sebarang kelemahan yang boleh memberikan ruang mereka berpolitik dan menabur janji.

Inilah naratif politik yang mahu mereka budayakan. Naratif politik berdasarkan kebencian dan semangat kenegerian sempit. Naratif politik yang menjurus kepada usaha merosak dan meruntuh.

Generasi muda Malaysia secara keseluruhannya memerlukan naratif yang lebih ideal tentang Hari Malaysia. Naratif yang lebih ideal ini akan memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai hubungan kita di bawah naungan Perlembagaan. Dalam mencari naratif ideal ini, seharusnya kita tidak lagi terlalu memberatkan elemen dendam dan kecam. Sebaliknya membina pandangan bahawa semua daripada kita adalah anak Malaysia. Pandang kenegerian yang kadang kala terlalu ekstrem akan mengehadkan interaksi yang lebih positif dan bermakna.

Mendahulukan Semangat Malaysia

Secara keseluruhannya, tidak ada usaha mana-mana pihak sekalipun untuk menidakkan sebarang kuasa dan keistimewaan yang selama ini dinikmati oleh Sarawak dan Sabah. Yang nyata, kerjasama, rasa saling percaya, gerak rasa sejarah - kesemuanya menjurus kepada pengisian 'makna' kepada apa yang telah dipersetujui oleh generasi peneroka kepada ikatan kekeluargaan Malaysia yang terbina dahulu.

Penulis yakin, apa sahaja yang terjelma di dalam mana sahaja dokumen perjanjian - pada hakikatnya telah didahului dengan semangat Malaysia yang sebenar.

Sebarang perbezaan, kalaupun ada, mestilah dijernihkan dalam semangat kekeluargaan 1Malaysia yang sebenar. Bukannya semangat kebencian, dendam lama dan sebarang interpretasi politik yang kurang matang.

Rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu melihat 'sikap politik' ekstrem sesetengah pihak untuk mengintai dan meninjau peluang untuk mendapatkan dividen politik daripada sebarang permainan janji yang ada. Kepada mereka, sebarang perjanjian sebelum ini hanyalah satu penzahiran kerjasama yang hanya wujud di atas kertas dan bukan dalam bentuk semangat kekeluargaan yang sebenar.

16 September 1963 wajarlah diraikan bukan sahaja sebagai legasi sejarah yang pasif - namun sebagai hubungan dinamik Sabah dan Sarawak, di dalam 'keluarga' Perlembagaan Malaysia.

Kesediaan generasi pimpinan dan rakyat Sabah dan Sarawak terdahulu untuk berkongsi 14 jalur sama lebar yang ada di atas Jalur Gemilang adalah satu langkah politik yang luar biasa hebat dan berpandangan jauh. Sememangnyalah, generasi terdahulu mempunyai 'hikmah politik' yang luar biasa hebat. Hikmah politik inilah yang kita sama-sama nikmati sehingga ke hari ini.

Sentimen yang terlalu dibaluti dengan irama politik kadangkala kedengaran sangat ekstrem dan membawa elemen yang menjauhkan hubungan dalam keluarga Malaysia yang ada. Apakah mereka ini mahu membawa janji baru sebagai taruhan mendapat keuntungan politik semata-mata?

Di mana letaknya keikhlasan sekiranya apa yang sering kali diungkapkan adalah soal parameter kuasa? Kadang kala ia membuatkan kita tertanya-tanya, apakah ini sebagai kaedah mereka untuk membulatkan kuasa di tangan mereka?

Generasi muda Malaysia, baik di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak - perlu membuka naratif politik yang lebih berpandangan jauh. Sewajarnyalah, kita perlu mengetepikan sedikit sebarang isu dan sentimen kenegerian yang ekstrem dan mula membuka wadah politik Malaysia yang lebih murni.

Lebih baik lagi, sekiranya kita tidak terlalu terbawa- bawa dan terikut-ikut dengan sentimen yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu. Kita perlu melihat, cubaan demi cubaan untuk meluas jurang sesama kita sebagai model politik yang tidak bertanggungjawab.

Wajar agaknya, generasi muda Sabah dan Sarawak memberikan mesej yang jelas, bahawa zaman politik adu domba dan meruntuh negara, sudah tidak lagi berada dalam zamannya. Kumpulan yang gemar memporak-perandakan kestabilan politik ini perlu diajar dengan tamparan politik yang lebih besar.

Mengisi Makna 1Malaysia

Tidak mustahil, daripada sudut 'semangat dan gerak rasa', mungkin sahaja idea 1Malaysia sudah difikirkan lama antara tempoh 1957-1963. Mungkin sahaja, jurang masa enam tahun itulah juga memberikan ilham dan menjelmakan keyakinan, bahawa Sabah dan Sarawak - lebih molek ditampilkan dalam keluarga Malaysia yang lebih besar. Hubungan akrab inilah yang akhirnya memberikan kita kesempatan meraikan Hari Malaysia dalam erti kata yang sebenar.

Kita perlu merancang untuk membawa Malaysia ke tahapnya yang lebih baik dan berjaya. Segala perancangan ini mungkin sahaja gagal, sekiranya rakyat terus ditaburi dengan janji politik yang kasar dan meruntuh hubungan. Percayalah, kerjasama politik yang ibarat 'enau dalam belukar - gemar melepaskan pucuk masing-masing', tidak akan membawa kita jauh ke hadapan.

Rakyat perlu memperbandingkan secara ikhlas dan jujur, naratif politik Hari Malaysia mana yang lebih merealisasikan harapan dan berpandangan jauh. Sikap politik yang mengibaratkan Sabah dan Sarawak sebagai 'taruhan dan komoditi politik' semata-mata adalah hubungan yang tidak jujur.

Yang nyata, semangat 1Malaysia sudah hampir sahaja menipiskan perbezaan antara kita. Sabah dan Sarawak tidak pernah tertinggal dalam parameter kepentingan nasional. Malahan, ada ketikanya, Sabah dan Sarawak menjadi bata-bata penting untuk kita sama-sama melonjak dengan lebih jauh.

Secara idealnya, Hari Malaysia patut menjadi tarikh keramat untuk kita membuang rasa sangsi, kurang percaya, benih kebencian sesama kita. Slogan-slogan yang gemar mengungkap semangat kenegerian dan sebagainya perlu dimurnikan dengan pandangan yang lebih besar mengenai masa hadapan Malaysia.

Hikmah politik 1963 ini perlu diperjelaskan lagi kepada anak muda Malaysia seluruhnya. Apa sebenarnya semangat dan rasionalnya? Apa cita-cita jangka panjangnya? Hikmah politik yang turut dikongsi oleh 80 % penduduk Sabah dan Sarawak di dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold ini pastinya bukanlah keputusan semberono dan sesuka hati. Hikmah politik inilah yang hendak dipijak-pijak oleh kumpulan politik yang tidak bertanggungjawab.

Moga-moga Hari Malaysia Ke-49 ini memberikan kita naratif yang lebih ideal tentang hubungan kita sebagai sebuah negara. Mungkin masanya sudah tiba untuk kita memberikan komitmen jelas bahawa kita sudah semakin matang dan tidak mudah terbuai dengan sentimen kenegerian yang terlalu ekstrem.

- UTUSAN

Rabu, September 05, 2012

Orang Kelantan adalah Melayu terawal

SIAPAKAH yang dikatakan Melayu dan paling Melayu? Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) menggunakan kaedah analisis genetik atau ciri pewarisan untuk merungkai masalah bahawa siapakah yang paling Melayu. Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Mara pula (UiTM) menggunakan kaedah yang sama untuk membantu dalam rawatan penyakit.

Bagi saintis, kajian mengenai genetik melibatkan aspek teknikal. Tetapi dari satu sudut lain ia membongkar banyak perkara baru mengenai benda hidup, termasuk asal-usulnya.

Lebih daripada itu, saintis boleh menemui kaedah baru dalam rawatan penyakit manusia berdasarkan profil gen yang dimiliki.

Secara mudahnya, genetik merupakan bidang sains yang mengkaji fenomena pewarisan dan variasi benda hidup.

Unit asas untuk semua benda hidup ialah sel yang mengandungi nukleus.

Di dalam nukleus, terdapat kromosom yang di dalamnya tersimpan maklumat pewarisan atau keturunan.

Kromosom ialah makro-molekul yang terdiri daripada asid deoksiribonukleik (DNA) yang memberi maklumat kod pewarisan atau keturunan dalam bentuk gelungan dua bebenang yang terdiri daripada ulangan jujukan empat nukleotida iaitu A (Adenine), T (Thymine) , C (Cytosine) dan G (Guanine) sahaja.

Setiap kromosom mengandungi beberapa ratus hingga beberapa ribu gen.

Setiap gen terbentuk daripada jujukan DNA yang spesifik dan boleh ditafsir untuk pembinaan protein. Manusia mempunyai 23 pasang kromosom yang terdiri daripada lebih kurang 25,000 gen.

Bagaimanapun, terdapat variasi mutasi genomik antaranya polimorfisma nukleotida tunggal atau SNP iaitu apabila nukleotida (A,C,T atau G) dalam jujukan DNA berbeza dalam individu berkenaan.

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, saintis kini memfokuskan kepada kerja-kerja penjujukan DNA bagi mencari variasi yang berbeza pada manusia.

Berlandaskan latarbelakang itu juga, sekumpulan saintis dan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Zilfalil Alwi melancarkan Malaysian Node bagi Projek Variome Manusia (Human Variome Project).

Ia bertujuan mengenal pasti variasi SNP yang terdapat pada pelbagai subetnik Melayu di negara ini.

Projek berkenaan melibatkan pengambilan sampel darah subetnik Melayu iaitu Melayu Kelantan, Jawa, Bugis, Minang, Kedah, Pattani, Champa dan Banjar yang telah bermula pada 2006.

‘‘Kajian ini dilaksanakan bagi membandingkan profil DNA antara pelbagai sampel daripada subetnik Melayu berkenaan seterusnya menghasilkan pangkalan data variasi SNP ini untuk menjadi rujukan kepada penyelidik lain amnya," ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini

Beliau berkata , SNP berlaku apabila terdapat satu nukleotida dalam DNA manusia (sama ada A,C,T atau G) yang berbeza daripada individu-individu lain. Perbezaan itu berlaku pada sekurang-kurangnya dua peratus individu dari populasi atau kumpulan etnik berkenaan.

Sebarang variasi dalam DNA seperti SNP boleh menyumbang kepada kemungkinan berlakunya penyakit pada individu berkenaan termasuk penyakit yang diwarisi atau penyakit yang disebabkan oleh gabungan faktor genetik dan faktor-faktor persekitaran seperti pendedahan kepada radiasi bahan kimia dan sebagainya.

Kajian beliau tertumpu kepada mencari jenis variasi atau kepelbagaian yang berlaku dalam gen manusia dan dibuktikan kemudiannya bagi meramal penyakit dan asal usul subetnik Melayu di samping penghasilan pangkalan data SNP.

Menurut beliau, pelbagai kumpulan etnik yang terdapat di negara ini boleh memberi gambaran corak sejarah penghijrahan dan cabang bahasa yang berbeza.

Pelbagai budaya telah bercampur di Malaysia sejak sejarah awal lagi.

Katanya, lebih daripada 1,500 tahun yang lalu, kerajaan Melayu yang ada mengalu-alukan semua pedagang antaranya dari China, India dan Arab dan dengan ketibaan mereka membawa bersama budaya serta agama berlainan seperti Islam, Buddha dan Hindu.

Keunikan budaya Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai budaya yang berbeza, namun hanya segelintir yang mempunyai pengaruh yang berkekalan terutamanya pada negara.

Walaupun setiap budaya ini telah bersungguh-sungguh mengekalkan tradisi dan struktur masyarakat, percampuran antara mereka juga telah mencipta pelbagai warisan kontemporari Malaysia yang unik.

‘‘Pemetaan genom kumpulan subetnik Melayu ini akan memberikan kita peta genetik bagi menghuraikan sejarah penghijrahan negara serta mendedahkan sejauh mana persamaan genetik antara pelbagai populasi.

‘‘Ia juga dapat menjelaskan teka-teki sejarah dan latar belakang demografi setiap etnik yang mungkin mengalami faktor evolusi yang berbeza.

‘‘Dengan penubuhan pangkalan data genetik ini, pelbagai kajian penyelidikan ke arah kelestarian manusia sejagat dapat dilaksanakan. Ia termasuk kajian forensik dan implikasi etika, undang-undang dan sosial pada masyarakat,’’katanya,

Beliau bersama pelajarnya Wan Nur Hatin Wan Isa dan Nur Shafawati Ab. Rajab beserta penyelidik lain dari pelbagai institusi telah memulakan kajian dengan mengambil sampel di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia.

Mereka dibantu oleh orang kampung terutama ketua-ketua kampung yang terlibat.

Kajian dibiayai menerusi geran dari Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang dibahagi bersama penyelidik lain dari USM dari Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan juga Pusat Pengajian Sains Kemanusiaan.

Kajian tersebut bertujuan memeta genom kumpulan etnik berkenaan bagi menghuraikan sejarah penghijrahan dan kajian latar belakang mereka.

Kajian ini menggunakan kaedah berteknologi tinggi iaitu cip microarray yang mampu melaksanakan kerja-kerja penjujukan SNP dalam masa yang pantas.

Kajian tersebut yang tamat tahun lalu mendapati beberapa kesimpulan menarik dapat dibuat berdasarkan kepada perbandingan pemetaan genom yang dilakukan.

Antara hasil penyelidikan tersebut menunjukkan perkaitan beberapa subetnik Melayu kepada masyarakat Indonesia serta persamaan masyarakat di Selatan Thailand dengan Melayu Kedah dan Melayu Kelantan di samping mengandungi komponen Cina dan India dalam genom mereka.

Daripada tujuh kumpulan atau subetnik tersebut, hasil kajian beliau dan kumpulannya juga mendapati setiap kumpulan sub-etnik Melayu mempunyai genom campuran dan Melayu Kelantan dan Melayu Kedah mungkin dipengaruhi oleh tamadun Langkasuka pada era sejarah dulu.

Ini menunjukkan bahawa Melayu Kelantan terawal di Semenanjung Tanah Melayu berdasarkan perbandingan profil genetik yang diperoleh. Ini kerana sampel Melayu Kelantan tidak mempunyai persamaan atau unsur yang sama dengan semua sampel subetnik Melayu yang dianalisis kecuali dengan subetnik Melayu Pattani dan Melayu Kedah yang mana apabila dikaitkan dengan sejarah, era Langkasuka mennjukkan adanya kaitan Melayu, Kedah dan Pattani.

- UTUSAN

Jumaat, Ogos 31, 2012

Gunung berapi 140 juta tahun ditemui


HONG KONG - Sekumpulan ahli geologi Hong Kong semalam mendedahkan peta dan tinggalan gunung berapi gergasi yang meletus 140 juta tahun lalu.

Gunung berapi gergasi itu terletak di tenggara Hong Kong.

Diameter gunung tersebut ialah 18 kilometer dan ia dikenali sebagai Gunung Berapi Besar Pulau Tinggi.

Hakisan dan cuaca menyebabkan hanya sedikit tinggalan gunung itu dapat dilihat seperti di Kepulauan Kwo Chau.

Menurut agensi berita Bernama, Jabatan Pembangunan dan Kejuruteraan Sivil Hong Kong membuat pengumuman rasmi tentang penemuan itu semalam.

Seorang jurutera di jabatan itu, Denise Tang berkata, gunung tersebut pernah menghamburkan 1,000 kubik kilometer debu.

- Agensi

Fahami dan hayati maksud sebenar kemerdekaan

Oleh Mohd Ayob Abd Razid
Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan.

Penghayatan terhadap erti kemerdekaan menuntut kita mengenali sejarah negara. Ia penting supaya kita dapat memperkukuh jati diri serta mengetahui cabaran yang boleh merentap dan memusnahkan kemerdekaan dan kedaulatan negara tercinta ini.

Sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pernah menyebut bahawa generasi muda hanya akan benar-benar dapat menghayati erti kemerdekaan apabila mereka faham mengenai sejarah negara, kedudukan diri sendiri, kedudukan negara, masyarakat, rantau dan dunia.
Menurutnya, generasi muda tidak harus terlalu terikut arus pemodenan secara membuta tuli. Sebaliknya mereka perlu menyedari dan memahami bagaimana kita sampai kepada kedudukan sekarang. Jika ini dapat difahami secara jelas oleh generasi muda maka akan terbina semangat patriotisme yang membara di dalam sanubari mereka.


Pada hemat penulis, kealpaan dalam memahami sejarah negara boleh mengundang ‘malapetaka’ kerana generasi yang membesar tanpa pengetahuan dan pemahaman terhadap sejarah tanah airnya akan kehilangan jati diri dan semangat patriotisme.

Ini sekali gus boleh meletakkan pembinaan negara bangsa umpama ‘sarang labah-labah’ yang rapuh serta senang dimusnahkan oleh musuh.

Justeru, kita bimbang sekiranya kefahaman terhadap sejarah tanah air tidak dititikberatkan maka tidak mungkin semangat sayang dan cintakan negara itu dapat dibina dalam kalangan generasi muda hari ini.
Oleh itu, mata pelajaran sejarah harus diajar dan dihayati sejak peringkat sekolah rendah lagi.
Subjek sejarah harus dirangka dengan berkesan di peringkat sekolah menengah dan pengajian tinggi supaya setiap warga negara mengenali dan memahami sejarah tanah airnya secara mendalam.

Bayangkan apa akan terjadi kepada bangsa dan tanah air kita pada masa depan sekiranya generasi hari ini yang bakal memimpin negara suatu hari nanti tidak mengenali sejarah serta tidak memiliki jati diri yang teguh dan kukuh dalam mengemudi negara ini.

Justeru, sempena menyambut bulan kemerdekaan yang ke-55 ini, janganlah generasi muda hanya tahu berkumpul dan melaung kemerdekaan tanpa menghayati maknanya kerana ia tidak memberikan kesan kepada mereka.

Sambutan kemerdekaan itu hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka. Oleh itu, kita tidak boleh menerima sikap sesetengah kumpulan anak muda yang menyambut hari merdeka dengan menjadikan hiburan dan pesta yang di luar batas moral hingga mencemarkan identiti diri serta tidak melambangkan jiwa yang merdeka. Sambutan yang sedemikian rupa adalah sambutan yang kontang daripada penghayatan kemerdekaan yang sebenarnya. Ia tidak termasuk dalam watak umat atau bangsa yang merdeka.

Apatah lagi remaja dan belia Islam yang sepatutnya menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai lambang kecintaan yang jujur kepada negara, agama dan maruah bangsa.

Sebagai umat Islam, kita harus menghayati pesan Rasulullah SAW yang bermaksud, kasihkan watan itu sebahagian daripada iman. Daripada maksud hadis nabi itu, jelas kepada kita bahawa semangat patriotisme adalah elemen penting dalam mempertahankan kemerdekaan negara.

Demikian juga ulama besar alam Melayu dari Patani, Syeikh Daud Abdullah al-Fatani pernah mengingatkan kita bahawa mempertahankan negara daripada penjajahan ataupun tekanan kuasa asing adalah fardu ain hukumnya. Justeru, usaha menanamkan kefahaman kepada generasi muda bahawa hakikat kemerdekaan yang sepatutnya ada dalam sanubari mereka ialah ‘kemerdekaan jiwa’.

Maksud ‘kemerdekaan jiwa’ ialah kita bebas daripada belenggu serta anasir yang mengongkong pemikiran dan budaya hidup yang merosakkan sendi-sendi kehidupan dan peradaban bangsa. Jiwa yang merdeka adalah jiwa yang bebas daripada segala bentuk penjajahan budaya songsang yang boleh memusnahkan jati diri dan maruah bangsa.

Orang yang merdeka jiwanya adalah orang yang dapat mempergunakan akal fikiran atau minda secara positif, melaksanakan sesuatu tindakan mengikut tatasusila yang berlandaskan nilai budaya bangsa dan ajaran agama yang baik.

- BERITA HARIAN

Sabtu, Jun 16, 2012

Peristiwa Israk Mikraj Rasulullah SAW

Bersama Menghayati Peristiwa Agung Israk Mikraj

Oleh : Ahmad Sanusi Husain
http://www.facebook.com/Ahmad.Sanusi.Husain.Malaysia


Marilah kita sama-sama juga memperingati peristiwa penting yang berlaku di bulan Rejab ini iaitu peristiwa paling agung dalam sejarah Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT,

Maksudnya : “ Maha Suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui ”.
Surah Al-Isra’, ayat:1

Tanggal 27 Rejab setahun sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah Al-Munawwarah mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan baginda SAW iaitu perjalanan Israk Mikraj. Israk membawa pengertian perjalanan nabi Muhammad SAW pada malam hari dengan menuggang Burak bermula dari Masjid Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin.

Manakala Mikraj membawa maksud naiknya nabi Muhammad SAW ke langit dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.

Sepanjang perjalanan israk Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke hari tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.

Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah SAW turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan seluruh para nabi dan rasul untuk mengerjakan solat dua rakaat.

Selepas itu, Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Malaikat Jibrail AS dua gelas yang berisi arak dan susu. Baginda memilih susu lalu diminumnya. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Dan sepanjang perjalanan mikraj Rasulullah SAW ditemani oleh Malaikat Jibrail AS dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. baginda naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa AS dan Nabi Yahya AS.

3. Langit Ketiga: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit ketiga, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.

4. Langit Keempat: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit keempat, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Idris AS.

5. Langit Kelima: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah AS yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur di hadapan beberapa kaumnya. Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu ‘la haula wa la quwwata illa billah’” Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: ‘suhanallah, walhahamdulillah, wa la ilah illa allah, wallahu akbar, wa la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil azim’. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS masuk ke dalam Baitul-Makmur dan mengerjakan solat (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" pada dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.

Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik pennjaganya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini pada pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW. masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepala baginda, lantas sujud dan bermunajat kepada Allah SWT. Kemudian, Allah SWT memfardhukan solat 50 waktu kepada Rasulullah SAW dan umat Islam.

Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS dan kemudian menemui Nabi Musa AS lalu menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah SWT perkenan memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Setelah daripada itu, Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula dan seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq untuk pulang ke Makkah Al- Mukarramah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita hendaklah menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah SWT dan takut akan kekuasaan-Nya.

Sekiranya kita dapat menghayati dan mengambil pengajaran daripada peristiwa penting ini, kebarangkalian besar kita mampu mengelakkan diri kita daripada melakukan kemungkaran yang dilarang oleh Allah SWT dan berlumba-lumba untuk melakukan perkara-perkara kebaikan yang diperintah oleh Allah SWT. Peristiwa Israk Mikraj juga, untuk menguji umat Islam bahawa adakah percaya atau tidak akan peristiwa tersebut.

Orang kafir quraisy Makkah di zaman Nabi Muhammad SAW langsung tidak mempercayai peristiwa itu, malahan memperolok-olokkan baginda sesetelahnya bercerita kepada mereka dan ramai di kalangan umat Islam ketika itu murtad kerana tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj baginda SAW dalam tempoh masa yang singkat berlakunya dan tidak masuk akal. Tinggallah segelintir umat Islam yang keimanan mereka tinggi dan teguh yang membenarkan serta mempercayai peristiwa yang dialami oleh baginda SAW.

Pensyariatan kefardhuan solat lima waktu sehari semalam merupakan pensyariatan secara langsung daripada Allah SWT kepada Rasulullah SAW berbanding pensyariatan Islam yang lain dengan perantaraan Malaikat Jirail AS dan sebagainya.

Sumber : http://ahmad-sanusi-husain.com

Recent Posts