Memaparkan catatan dengan label Sastera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sastera. Papar semua catatan

Selasa, Januari 11, 2011

Novel Interlok patut dibaca - Baradan


Kontroversi novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain dapat dielakkan sekiranya konteks penggunaan perkataan 'paria' dalam novel berkenaan dijelaskan dengan tepat kepada umum.

Bekas wartawan akhbar The Star, K. Baradan berkata, novel itu patut dibaca, tidak diharamkan atau dibakar hanya kerana beberapa pemimpin India merasa terhina dengan penggunaan sistem kasta 'paria' dalam novel berkenaan.

"Bantahan yang dilakukan pemimpin berkenaan kerana perkataan paria digunakan merujuk orang India yang diambil dari bahagian India Selatan.

"Dalam novel tersebut, ia merujuk kebanyakannya (orang India) dari eselon-eselon rendah sistem kasta agama Hindu yang bekerja membersihkan hutan-hutan dan memulakan ladang getah yang menguntungkan penjajah," katanya dalam ruangan pendapat terbitan akhbar The Star, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai polemik Interlok yang diangkat sebagai salah sebuah novel untuk komponen sastera dalam Bahasa Malaysia Tingkatan Lima bermula tahun ini.

Penggunaan novel itu mendapat bantahan kerana dikatakan bersikap perkauman sehingga mendorong ia dibakar oleh kira-kira 100 penduduk berketurunan India di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK), kelmarin.

Menurut Baradan, menerusi novel tersebut, umum akan mengetahui bagaimana masyarakat pelbagai budaya di negara ini wujud dengan permulaan masyarakat kolonial serta ketibaan orang India dan buruh-buruh Cina di negara ini.

"Novel ini patut dibaca oleh semua rakyat Malaysia, bukan hanya digunakan dalam kesusasteraan Tingkatan Lima sahaja. Ia memberitahu cerita mengenai Malaysia dan bagaimana negara dilahirkan melalui mata tiga watak utama iaitu Seman, Chin Huat dan Maniam," katanya.

Katanya, Interlok adalah satu bacaan wajib untuk semua rakyat Malaysia kerana ia mengingatkan tentang kepelbagaian kaum di negara ini.

"Ia bukan bertujuan menghina mana-mana kaum di negara ini baik Melayu, Cina mahupun India tetapi ia menceritakan perkara yang berlaku 150 tahun yang lalu," jelasnya.

Baradan berkata, penulisan Abdullah jujur dan ikhlas dalam memberi gambaran lengkap mengenai pengalaman bagaimana orang India dan lain-lain tiba di negara ini.

"Beliau tidak seharusnya dipersalahkan," katanya.

Beliau turut mengulas mengenai langkah Kementerian Pelajaran menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji perenggan berkenaan perkataan 'paria' di dalam novel berkenaan.

"Perkataan itu tidak perlu dibuang kerana dalam konteks tersebut ada menerangkan walaupun orang India telah melalui hidup yang sukar, mereka mencari keselesaan bersama dengan berkongsi kesengsaraan, harapan, satu bahasa, asal usul (India Selatan) dan juga kasta.

"Ia bukannya menjadi satu isu untuk digunakan sebagai bacaan kesusasteraan Tingkatan Lima sekiranya konteks ini diterangkan dengan betul kepada pelajar, guru dan orang ramai yang membaca, termasuk ahli-ahli politik India," ujarnya.

- UTUSAN

Selasa, Ogos 31, 2010

Zam - Menulis itu perjuangan


Bermula sebagai seorang pemberita sambilan (stringer) untuk Utusan Melayu di Alor Setar, Kedah pada tahun 1959, seorang lelaki yang penuh naluri ingin tahu kini ‘terperangkap’ dalam minat yang tiada penghujungnya-menulis.

Tan Sri Zainuddin Maidin, 71, mengakui bahawa institusi persuratkhabaran telah mencetuskan banyak peluang hebat dalam hidup beliau.

Beliau malah menyifatkan Utuan Melayu sebagai ‘universiti’nya berikutan banyak selok-belok dunia kewartawanan diperolehinya sepanjang tempoh bertugas.

Sejurus diserap masuk sebagai pemberita tetap Utusan Melayu pada tahun 1961, jerih payah beliau mengejar laporan berita selama 20 tahun melayakkan beliau mendaki tangga-tangga jawatan penting dalam syarikat media itu.

Dalam 10 tahun terakhirnya berkhidmat di Utusan dan sebelum bergiat aktif dalam kancah politik, bekas penuntut Maktab Mahmud, Alor Setar itu matang memainkan peranan sebagai pihak yang meniup azam kecintaan kepada negara melalui penulisan.

Apabila pengalaman itu beransur-ansur menjadi darah daging, ternyata langkah bertatih Zainuddin sudah menjadi larian pantas dalam menyampaikan mesej patriotisme.

Dari jawatan ketua pemberita hinggalah ke kerusi Ketua Pengarang dan akhirnya Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad, beliau yang mesra dengan panggilan Zam amat bersyukur kerana dapat menjalankan tugas bersama kumpulan wartawan yang begitu komited terhadap fitrah kerjaya tersebut.

“Ketika itu, teman-teman kerja yang berlainan bangsa amat seronok menjadi wartawan. Ia satu tugas yang mulia dan bertanggungjawab. Semua bekerja sepenuh jiwa, tanpa mengira kekurangan kemudahan komunikasi pada waktu itu,” ujar beliau yang pernah menjadi koresponden Utusan di London pada tahun 1972 hingga 1975.

Zainuddin amat berterima kasih pada barisan ketua pemberita yang pernah menjadi mentornya. Antara yang disebutkan ialah Tan Sri Melan Abdullah, Othman Wok (pernah menyandang jawatan menteri kabinet Singapura), Tan Sri Mazlan Nordin dan Rosedin Yaakob.

“Melan orangnya patriotik, Othman gigih bekerja dan sentiasa mengetahui perkembangan semasa manakala Rosedin sangat prihatin. Mazlan pula saya anggap seperti mahaguru saya,” imbas beliau.

Menulis sejarah

“Wartawan adalah saksi bagi setiap peristiwa. Sekiranya berlaku sesuatu kejadian yang besar dan boleh dijadikan rujukan sejarah pada masa hadapan, maka wartawan perlu merekodkannya dengan betul. Kesilapan laporan perlu dielakkan kerana wartawan ialah sumber yang boleh dipercayai.

”Sebab itulah saya berharap agar golongan wartawan pada hari ini tidak mensia-siakan kepentingan buku nota dan amalan mencatatkan tarikh, waktu dan urutan peristiwa dengan tepat,” pesan Zainuddin yang turut menyentuh mengenai pemilihan gambar sesuai bagi menjelaskan duduk perkara atau sesuatu kejadian.

Amalan itulah yang antara lain menjadi pegangan Zainuddin ketika beliau menyempurnakan buku berjudul Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot terbitan Utusan Publications and Distributors. Perjalanan hidup dan kisah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, didokumentasi melalui kesaksian Zainuddin dalam banyak peristiwa mengaitkan figura politik itu.

Anak Kota Kuala Muda, Kedah itu telah bersama-sama Abdul Razak ke segala ceruk bandar dan desa ketika kempen pembangunan luar bandar rancak dijalankan pada tahun 1960-an dan awal 1970-an. Begitu juga ketika negara dilanda bimbang dan cemas gara-gara sentimen Konfrontasi Indonesia, rusuhan kaum di Singapura serta tragedi berdarah 13 Mei 1969.

“Orang tidak boleh mempertikaikan kandungan buku itu kerana saya banyak kali berpeluang berada bersama Tun Razak,” ulas Zainuddin yang menyifatkan naskhah tersebut sebagai buku yang memberi kepuasan buatnya.

Malah, ketika Abdul Razak menghembuskan nafas terakhir di London pada tahun 1976, Zainuddin jugalah yang melaporkan untuk akhbar Utusan Melayu lantaran ketika itu beliau bertugas sebagai wakil di kota popular Eropah itu.

Karya kompilasi

Daripada melapor berita, seseorang wartawan sebenarnya mengumpulkan lembaran sejarah. Begitulah antara maksud kepuasan menulis bagi Zainuddin.

Beliau yang meletakkan namanya dalam kutubkhanah negara melalui penerbitan buku sulung Yang Pertama dan Terakhir, kemudian Yang Terbaik Daripada Awang Selamat: Koleksi Pilihan 1987-1992, Mahathir Di Sebalik Tabir hinggalah kepada Wira Tak Didendang, percaya bahawa sejarah perlu ditulis oleh mereka yang menyaksikan sejarah itu sendiri.

“Bukan saya meragui segolongan sejarawan yang menulis semula sesuatu kejadian. Tetapi saya berpendapat, jika seorang wartawan sendiri yang melalui peristiwa dan menulis buku tentang sejarah, maka perincian maklumat tidak akan tercicir. Mereka ialah sebahagian daripada proses penemuan maklumat tersebut,” jelas Zainuddin.

Beliau memberi contoh buku berjudul Men In White, iaitu kisah jatuh bangun para pemimpin parti pemerintah Singapura. Buku itu mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan oleh tiga wartawan kanan akhbar Straits Times, iaitu Sonny Yap, Leong Weng Kam dan Richard Lim.

Coretan Awang Selamat yang menjadi identiti Zainuddin antara tahun 1987 dan 1992 mungkin tiada kemunculan buat kali kedua di dada akhbar. Namun, mereka yang setia pada coretan Zainuddin, tentu maklum akan kolum Hari Itu Sudah Berlalu yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia setiap Ahad.

“Saya menerima panggilan telefon, e-mel dan sistem pesanan ringkas (SMS) yang meminta agar kolum saya itu dibukukan. Permintaan itu juga datang daripada generasi muda, termasuklah para wartawan,” terang mantan Menteri Penerangan itu.

Jika isu masyarakat dan perkembangan negara menjadi fokus Awang Selamat, kompilasi terbitan Utusan Publications & Distributors (UP&D) dengan judul Masa Itu Telah Berlalu pula menumpukan pada penceritaan mengenai susah payah dunia kewartawanan sejak Utusan Melayu bermula di Singapura.

“Ia adalah penceritaan semula kisah penubuhan Utusan Melayu. Pembaca didedahkan pada kisah di sebalik laporan atau berita yang dibaca dalam akhbar,” jelas Zainudin yang memperuntukkan dua jam sehari sejak beberapa bulan lalu untuk menghimpunkan material termasuk gambar-gambar lama.

Beliau berharap agar setiap episod penulisan tersebut dapat dijadikan rujukan oleh para ahli akademik dan seterusnya membantu mereka membuat kajian mendalam terhadap isu-isu berkaitan.

“Semua bentuk penulisan saya adalah perjuangan untuk membentuk pemikiran di sebalik setiap kejadian yang besar,” kata beliau berfalsafah.

Bagi orang yang berjiwa penulis seperti Zainuddin, ternyata itulah satu-satunya kemahiran yang akan diteruskan tanpa dikekang usia, jawatan dan batas kesempatan.

Akhbar tidak relevan?

Beliau juga tidak bersetuju dengan pendapat yang menyatakan bahawa surat khabar tidak lagi relevan pada masa akan datang. Perkara itu, menurut beliau, sama seperti andaian yang mengatakan kereta api hilang fungsi kerana wujudnya pilihan mod pengangkutan yang lebih mudah dan pantas.

“Ataupun, pendapat tersebut sama seperti orang yang pernah menyatakan bahawa panggung wayang akan ‘tutup kedai’ apabila munculnya televisyen. Apa yang dilihat kini, baik perkhidmatan kereta api mahupun panggung wayang, kedua-duanya masih wujud dan terus memberi perkhidmatan kerana transformasi yang dilakukan,” kata Zainuddin.

Zainuddin percaya, akhbar masih dicari oleh pembaca kerana ia mempunyai daya kebolehpercayaan yang tinggi. Jelas beliau, berbanding sumber Internet, kandungan akhbar bukan datang sembarangan daripada suara umum yang tidak bernama.

“Penulis akhbar atau wartawan terlibat secara langsung dalam proses pengumpulan maklumat dari sumber hinggalah kepada ia disiarkan.

“Akhbar akan terus relevan. Kandungannnya perlu sering melalui proses perubahan.

- KOSMO!

Ahad, Januari 31, 2010

Robohnya menara kasih

Oleh Muhd. Mansur Abdullah

AKU sendiri tidak pasti. Apa yang diinginkan emak dalam hidupnya kini. Ada suami yang berkerja tetap. Ada anak, walaupun tunggal. Dan dia sendiri punya kerjaya juga. Ada perniagaan yang nampaknya berkembang maju. Emak wanita kerjaya yang agak berjaya juga.

Suatu hari emak beritahu aku kalau hendak berniaga, kita mesti berniaga betul-betul. Bukan setakat berniaga di dalam negeri sahaja. Kita mesti berniaga dengan orang-orang luar negara sana. Kita mesti bina hubungan antarabangsa.

“Emak dengan rakan kongsi emak, Pak Cik Suki akan kembangkan perniagaan dengan Thailand, Kemboja dan Indonesia.,” jelas emakku hari itu.

“Jadi….mak kena ke sanalah berniaga?” Aku bertanya agak tolol.

“Dah tu, kalau nak ikut era globalisasi, bertaraf antarabangsa, kenalah buat begitu!” Emakku tersenyum lebar dengan megah sekali.

“Ayah pula macam mana?” aku bertanya terus.

“Ayah kamukan polis. Dia kena kerjalah macam biasa di sini. Bukankah itu yang ayah kamu mahu?” emak mencebikkan bibirnya.

“Ayah tak marahkah emak pergi sampai keluar negeri? Bersama-sama dengan Pak Cik Suki saja pula tu?” soalku semakin pelik.

“Kan perniagaan emak ini berkongsi. Pak Cik Suki kau tu yang pegang saham besar dalam syarikat emak itu. Jadi dialah yang menjadi nakhodanya. Emak hanya menurut dan mematuhinya saja!" sahut emak sambil ketawa berdekah-dekah.

Takut pula aku mendengarkan ketawa emak hari itu. Kuat dan menggila-gila benar. Seram sejuk dan meremang bulu romaku dibuatnya.

Lama aku terdiam sambil terpegun. Sebenarnya, aku bukan faham sangat selok-belok perniagaan emak. Entah perniagaan macam mana agaknya yang mereka itu kendalikan. Tetapi, tentulah hebat dan besar. Sampai hendak ke luar negeri. Fikirku pula.

Takkan emak tak boleh berniaga dengan orang Thailand, Kemboja atau Indonesia yang berada di Malaysia ini sahaja? Tak perlulah emak pergi ke Bangkok, ke Jakarta atau pun ke Phnom Penh pula? Hati kecilku bersungut penuh kebimbangan.

Kacau! Kacau sungguh fikiran aku memikirkannya. Jauh di dalam hatiku kini mula timbul suatu perasaan halus. Aku mula diserang rasa bimbang dan takut. Sejak itu, aku mula tidak suka dengan kerjaya berniaga. Aku tak hendak jadi ahli korporat dan ahli perniagaan macam emak itu. Terpaksa tumpukan sepenuh perhatian hanya kepada perniagaan sahaja dan hampir lupakan keluarga dan hal-hal yang lain!

Sanggup balik ke rumah lambat, atau jauh-jauh malam. Tinggalkan anak dan suami di rumah.

Jikalau begitu, biarlah aku cari kerja lain sahaja. Aku tak berminat untuk nak jadi jutawan! Aku tak sanggup mengambil risiko sebagaimana yang emak buat. Rupa-rupanya, ayah juga tidak sanggup ambil risiko begitu. Ayah tak setuju emak jadi wanita kerjaya. Ayah tak suka emak keluar rumah dengan bebas. Ayah tak mahu emak sewenang-wenangnya mengabaikan tugas dan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Ayah mula mempersoalkan tindak-tanduk emak. Ayah rasa tindakan emak sudah melampau. Ayah minta emak fikirkan semula tindakannya itu. Ayah mahu emak harus sedar dengan tanggungjawabnya dalam rumah tangga.

Emak mula tidak senang dengan pandangan ayah. Dia anggap sikap ayah itu kolot! Emak terasa ayahku cuba mengongkong dan menyekat kebebasan pergerakannya.

Waktu

Akhirnya, pada suatu tengah malam, emak marah-marahkan ayah. Waktu itu emak baru sahaja pulang dari pejabatnya. Ayah menunggu kepulangan emak di ruang tengah.

“Hai, tak penatkah balik jauh-jauh malam begini?” Tanya ayah dengan lembut dan mesra.

Ayah kedengaran tenang malam itu. Tetapi emak tiba-tiba sahaja seperti tersentak bila disapa ayah. Pertanyaan ayah itu dianggap emak sebagai memperli dan menyindirnya pula? Aku kurang pasti. Tapi, kudengar emak melenting membalas teguran ayah dengan agak kasar.

“Kalau iya pun awak tu sarjan polis, berkuasa menyiasat, menyelidik, hanya di ofis sana! Jangan pula di rumah ini pun awak nak jadi spy! Siasat dan audit tentang perniagaan saya pula! Saya tak suka awak ambil tahu semua ini!” bentak emak dengan sombong.

“Takkanlah saya bertanya macam itu pun tak boleh?” pujuk ayah yang masih berlembut lagi.

“Mengapa pula sejak akhir-akhir ini sahaja awak terlampau suka berleter dan suka masuk campur dalam urusan perniagaan saya? Dulu awak sikit pun tak kisah apa yang saya nak buat.” Sindir emak.

Aku dapat merasakan pergeseran akan berlaku sebentar lagi. Emakku memang tidak senang kalau orang campur urusan perniagaannya. Tapi, aku yakin kalau ayah dicabar-cabar sangat, mungkin dia pun akan melenting juga nanti.

“Siapa kata saya dulu-dulu tak ambil kisahkan awak? Kalaulah saya benar-benar tak kisah tentang perniagaan awak tu, dari mana awak nak korek modal berniaga selama hari ini?” balas ayah bersahaja.

Ayah menjawab dengan nada lembut tetapi pedas bunyinya. Aku mula dapat mengagak dari dalam bilik tidurku, bahawa orang tuaku itu sudah mula sakit hati bunyinya.

“Ohh awak nak ungkit-ungkit ya? Awak ingat sepuluh dua puluh ribu duit awak tu besar sangatkah? Awak tahu, modal perniagaan saya sekarang dah hampir dua setengah juta tahu? Semuanya itu hasil dari pinjaman saya dari bank!”

Bukan main sombong lagi kudengar emak bersuara kepada ayah malam itu. Dia terus bersungut-sungut dan membebel sendiri.

“Memanglah tak banyak tiga puluh ribu ringgit itu Mah! Tapi kalau tak ada tiga puluh ribu dulu itu, mana boleh kamu nak mulakan perniagaan? Sepatutnya kamu bersyukur dan berterima kasih atas sokongan dan perihatin saya selama hari ini. Ini tidak, awak bukan main takbur lagi! Macam hendak menidakkan kuasa Tuhan pula nampaknya!” Seranah ayah dengan kesal bercampur marah.

Nampaknya kedua-dua mereka sudah tak ada kompromi lagi. Emakku pula, apabila ayahku buka mulut sedikit malam itu, dia akan menjawab sambil menyerang ayah semula dengan berteler-teler sekali. Sampai ayah tak dapat hendak mencelah langsung.

Kukira, inilah yang membuatkan ayahku merasa jemu dan bosan dengan sikap emakku. Apabila ayah naik bosan, emakku juga ikut bosan sama. Akhirnya, masing-masing mula mengelakkan diri daripada bertengkar dan bertelingkah begitu lagi.

Sejak malam itu aku lihat ayahku nampak merajuk benar. Dia pula yang mula balik lewat malam daripada kerjanya. Kadang-kadang tak balik langsung. Ayahku tidur di balai polis sahaja.

Retak itu aku rasa sudah semakin membesar dan menantikan belahnya sahaja. Ia akan terjadi. Entah esok! Kalau tidakpun lusa! Hati kecilku mula mengagak.

hubungan

Aku mendiamkan diri dalam bilik. Mereka kini sudah bertelagah. Nampaknya, hubungan ayah dengan emakku juga menunggu saat kehancurannya sahaja. Cuma, aku belum pasti, bila masanya sahaja.

Emakku pula sudah beberapa kali mendesak-desak ayah. Emak mula mencabar kesabaran ayah. Sesekali kelihatan ayahku tak dapat bertahan dengan kesabarannya itu.

Pada suatu malam, emak dengan lantang dan beraninya mendesak ayah, “Baik kita berpisah sahaja daripada hidup saling bercakaran seperti anjing dengan kucing begini!” Ujar emak dengan muka yang masam.

“Siapa yang memulakannya dulu?” Tanya ayah dengan tegas.

“Tak kira siapa yang memulakannya. Tapi, apa yang saya nak, penyudahnya!” Bentak emakku dengan lantang sekali.

“Saya ini Mah, dah banyak sangat bersabar selama ini. Tapi nampaknya sekali ini saya sudah tak tahan lagi,” terang ayahku secara jujur dan ikhlas.

“Jadi apa yang awak mahu? Mahu kita bercerai saja?” Ugut emak lagi sebagai mencabar keberanian ayahku. Kedengaran ayahku bersungut-sungut, sesekali. Kadang-kadang aku juga mendengar ayah merayu dan mohon timbang rasa emak untuk memikirkan soal cerai-berai itu dengan lebih adil dan saksama. Supaya tidak bertindak terburu-buru!

“Ah…sudahlah! Tak guna berbelit kata lagi. Saya dah bosan hidup dengan awak. Macam kuda kayu. Tak ada tenaga tak ada kekuatan untuk hidup langsung!” emakku mencabar ayah lagi.

Emakku memang kepala batu! Dia tetap berkeras. Apabila emak gagal mendengar ucapan keramat daripada mulut ayah sendiri, dia mula mencabar ayah terus-menerus. Emak kata ayah sudah tak berguna sesen pun kepadanya lagi. Pada emak, ayah tak berjiwa besar macam rakan kongsi perniagaannya itu. Emak sudah berani membandingkan ayah dengan Pak Cik Suki yang sudah berbini dua itu.

“Nampaknya kamu ni Mah, bukan main lagi jantannya! Mentang-mentanglah aku ni diam dan asyik bersabar sahaja, kulihat kepala akupun kamu nak pijak?”

“Awak bukannya jantan! Betina pengecut! Dayus awak kalau tak menceraikan saya!” Seranah emak dengan bengis malam itu. Ayah mengalah. Akhirnya secara terpaksa, dia melafazkan juga kata-kata keramat itu. Dengan ucapan itu, bermakna terungkailah ikatan pernikahan mereka berdua. Bagi emak, itu sahajalah yang ditunggu-tunggunya selama ini. Memang kata-kata begitu yang diinginkannya sangat-sangat!

gelisah

Malam itu aku menjadi amat gelisah sekali. Sukar bagi mataku untuk pejam dan terlena. Gambaran ngeri itu datang bertubi-tubi semasa aku dalam pembaringan itu. Aku terasa bagaikan dunia ini terbelah dua. Sebelah untuk ayah. Dan sebelah lagi untuk emakku.

Jika aku ikut dunia ayah, aku akan dapat kasih sayang sepenuhnya, kerana ayah takkan menyayangi sesiapa yang lain. Jika aku memilih dunia emak, aku terpaksa menerima sebahagian daripada kasih sayang emakku itu sahaja. Sebahagian lagi emak terpaksa berikan kepada bakal suaminya, rakan kongsi yang diagung-agungkannya sangat itu.

Peliknya, emak menolak ayah, sedangkan ayah hanya ada emak seorang bersama aku sahaja. Tetapi alangkah gilanya emak kalau memilih Pak Cik Suki yang sudah beristeri dua dan mempunyai enam orang anak. Emakku akan jadi isteri ketiganya! Sebanyak manalah kasih sayang yang dapat diberikan oleh Pak Cik Suki itu lagi pada emak nanti? Satu perlapan atau satu persepuluh sahaja agaknya?

Aku geleng kepala memikirkan kebodohan emak itu. Sekarang, aku mulai sedar, sejak pemergian emakku, ayah sering sahaja bermenung dan memencilkan diri. Dia lebih senang bersendirian. Aku nampak ayah selalu sahaja kelihatan murung. Hatinya tentu sahaja rusuh.

Sekarang, orang tuaku itu sudah tidak banyak lagi bercakap-cakap. Dengan aku pun dia tidak mahu banyak lagi berbual-bual kosong. Dia asyik cuba mengelak sahaja. Apa yang jelas, sejak kebelakangan ini, ayah mudah sangat cepat naik darah. Dia marah tidak tentu fasal. Aku kasihan, dan harus memahami situasi dan perasaannya.

Kini, aku dalam keadaan serba salah. Aku sudah mula tidak tahu siapakah diriku ini sebenarnya. Aku terasa seolah-olah dunia di sekelilingku ini menjadi amat sunyi dan sepi. Aku buat seperti ayah, menyendiri untuk mendapatkan ketenangan baru. Aku lebih senang jika tidak sesiapa pun yang mengerti isi hatiku ini. Biarlah! Biarlah aku begini. Aku sedar bahawa nasibku memang tak menjadi.

Sesekali kuingat barangkali ini yang sudah ditetapkan Allah Taala. Jika begitu, aku pasrah dan menerimanya dengan reda. Aku terpaksa hidup dengan belaian kasih sayang dari seorang ayah sahaja.

Tapi, ayahku bagaimana pula? Sanggupkah dia bersendirian selamanya? Dia sudah lebih dua belas tahun bersama emakku. Tiba-tiba perasaan nakalku menyelinap ke dalam rongga otakku. Bagaimana kalau ayahku terpaksa mencari ganti pula? Kini aku baru rasa betul-betul bingung! Merah padam rasa aku menahan rasa takutku itu. Berkerut-kerut dahiku dibuatnya. Aku jadi serba tak kena. Aku tak mahu emak tiri. Hati kecilku berkata dengan jujur dan ikhlas.

Aku teringat cerita-cerita dalam filem klasik Melayu. Banyak cerita dan peristiwa yang negatif terjadi antara ibu dan anak tiri. Pendeknya, setiap cerita itu menggambarkan tentang bengis, sombong dan jahatnya perangai ibu tiri itu. Aku ingat bagaimana penyiksaan demi penyiksaan yang dilakukan oleh setiap ibu tiri itu terhadap anak tiri mereka.

Apakah aku juga akan begitu nanti? Aku tak dapat menjawab persoalan batinku itu. Namun peganganku tetap kukuh dan tak berganjak. Aku tak sanggup! Aku tak rela! Memang aku tak mahu beribu tiri. Noktah! Aku tak

mahu gadis atau wanita mana sekali pun merampas ayah dari tanganku. Biarlah orang kata aku selfish, oportunis, tamak, tak mengapa. Gasaklah! Aku tak peduli lagi.

Orang nak kata apapun, katalah. Aku sedikitpun takkan marah. Aku sudah menutup pintu hatiku kedap-kedap! Tak mahu memikirkannya buat kali kedua. Cukuplah sekali, aku sudah serik! Mataku yang lemah itu perlahan-lahan terkatub akhirnya!

Aku terlelap juga.

- MINGGUAN MALAYSIA

Ahad, November 01, 2009

Cerpen - Falsampah

Oleh Serunai Faqir

LALAT. Langau. Lipas. Lipan. Semuanya menyeronot di dalam timbunan sampah yang kian menggunung di medan persampahan itu. Pemandangannya sahaja mampu membunuh jelira sesiapa yang melintasinya atau setidak-tidaknya lewat angin petang yang mengirim aromanya di mana sahaja ia mencecah. Tiada siapa yang mahu larut dalam kebusukan sampah itu, kecuali beberapa manusia yang sudah lama menggunakan sampah sebagai medium untuk kesinambungan dompetnya. Dengan tenang mereka berbaring di atas tilam sampah yang lembut, kata mereka seperti tilam di rumah pak menteri.

“Apa sudahnya kita ini Sarip?”

“Sudahnya kita beginilah,” jawab Sarip acuh tak acuh. Dia tahu pertanyaan itu bukanlah pertama kali disodorkan kepadanya. Entah dia sendiri tidak ingat, mungkin jutaan kali.

“Hanya orang seperti kita sahaja yang mengenal makna sampah. Setiap satu sampah punya bau kejahatannya yang tersendiri. Setiap sampah punya warna pelangi di sisi para marhaen. Setiap sampah tersimpan sejarah dan makna budaya yang tinggi nilainya. Dan tentunya setiap sampah adalah tetap sampah di sepanjang perjalanan menuju kejayaan.” Lensa pandangan Dol tidak berkelip, kali ini dia cuba menghitung bintang yang bertaburan di langit.

“Cukuplah, Dol. Apa lagi guna sampah kalau sudah terbuang? Kau bilanglah sejuta makna dan selaut falsafah, sampah tetap sampah. Seperti juga kita, orang anggap kita seperti sampah sahaja.” Sarip terkuap-kuap. Matanya sudah hampir terkatup ketika mengucapkan perkataan terakhirnya.

“Tapi kita bukan sampah masyarakat…” Nada Dol tegas sekali.

Orang seperti Dol ramai sekali apabila ekonomi mengalami demam H1N1 yang tidak kebah. Tapi Dol bukan orang sembarangan. Dahulu, dia seorang ternama dan kaya-raya. Punya segala yang manusia lain mahukan di atas dunia ini. Sarip senyum sendiri memikirkan dirinya juga dibuang kerja ketika zaman ekonomi melecet. Melecet, bukan meleset.

Jeda memanggung waktu. Dol tidak menghiraukan kata-kata temannya. Baginya kata-kata itu bagaikan sampah dan habuk yang tidak membawa sebarang maksud dan pengertian. Orang-orang seperti Sarip hanya melihat sampah dari sudut luaran. Bagi Dol, sampah itu ada rohnya yang tersendiri untuk dinikmati.

“Kau tahu Sarip.”

“Hmmm … apa dia lagi?”

“Dari sampah yang bertaburan ini, kita boleh mengenal taraf ekonomi rakyat Malaysia,” ujar Dol tersenyum, yakin dengan apa yang diperkatakannya. Di atas timbunan sampah itu, Dol berdiri bagaikan patung tugu pahlawan. Wajahnya penuh patriotik. Tiba-tiba dia tegak menyanyikan lagu Negaraku. Sarip terpaksa berdiri sama demi menghormati lagu Negaraku. Walaupun hanya seorang pemungut sampah, tapi hatinya berkobar semangat cintakan negara. Tidak sesekali dia akan menjual maruah negaranya hanya kerana seorang pemungut sampah.

“Cuba kau tengok sampah di sekeliling kita, cuba kau amati kotak-kotak, plastik dan kertas-kertas. Daripada itu sahaja aku sudah mampu menelah kemampuan ekonomi rakyat Malaysia masih lagi baik. Tengok, tengok.” Dol menoleh ke arah kiri.

“Itu, itu. kotak-kotak burger luar negara, kotak-kotak ayam goreng orang putih, kotak-kotak pizza. Menurut skala indeks di bursa saham persampahan, ia menunjukkan ekonomi rakyat Malaysia semakin mantap, mampu membeli barangan luar negara. Mampu untuk berbelanja dengan mewah, ketepikan nasi lemak atau nasi dagang yang enak dan mampu memberikan zat yang cukup serta beralih kepada makanan luar yang mengarut. Dan tentunya mereka ini terdiri orang-orang yang kurang patriotik terhadap negaranya.” Kotak-kotak sampah itu dikais-kaisnya. Sesekali matanya liar memandang keliling.

Sarip terkuap-kuap. Dia hanya memerhatikan sahaja rakannya yang semakin melalut. Semakin malam, semakin melalut, bisik hatinya.

“Berapa kerat sahaja rakyat Malaysia yang bersikap sederhana dalam membeli barangan dan sekaligus bersikap patriotik. Tak ramai, tak ramai. Hanya inilah golongan yang benar-benar patriotik dan cinta negaranya.”

“Bagaimana pula kau lebih tahu daripada aku?” Tiba-tiba Dol jadi semangat apabila ditiupkan semangat patriotik. Walaupun hembusannya lembut tapi berkesan. Dol tak perlu naik dan kibar bendera merata-rata kalau masih lagi makan di kedai sang imperialis atau memandu kereta buatan orang Yahudi.

“Kau tengok.” Dol menghulurkan bungkusan nasi lemak kepada Sarip. Kelihatan saki baki sambal nasi lemak berbekas di kertas. “Orang yang patriotik tetap akan makan nasi lemak, itu … itu … kertas bungkus nasi lemak, bekas polisterin lauk rendang. Haaa … begitu kaedahnya Sarip. Bukan patriotik di mulut sahaja tetapi juga di lidah, tekak, perut pun mesti juga.”

Baring

“Apa-apa sahajalah Dol,” jawab Sarip, dari baring dia duduk. Memerhatikan sekeliling. Memerhatikan kebenaran kata-kata temannya walaupun dia tidak pernah ambil peduli semua itu. Yang penting adalah perutnya perlu diisi agar tidak berkeroncong sewenang-senangnya berbunyi tak tentu masa dan keadaan.

Dan bintang masih tersangkut di dada langit. Bulan masih bersinar megah, kerana ia tahu bahawa ada manusia yang masih punya fikir walaupun skru kewarasan otak manusia semakin longgar. Tapi tak semua yang longgar. Fikiran kebanyakannya di bawah tapak kaki. Kalau tidak masakan golongan sepertinya masih wujud lagi di sini.

“Dalam mengaji kita mengkaji Sarip,” ujar Dol perlahan. Dia mengusap kepalanya, fikirannya berputar mencari jawapan yang tak pasti. Perlahan dia duduk di sebelah Sarip. Sehelai kertas putih bertulis tangan dibacanya.

“Manusia sudah tidak sayang ilmu. Kertas-kertas ini walaupun hanya bertindak sebagai medium untuk menyampaikan ilmu tapi ini sahajalah taraf dan kedudukan yang mampu dicapai - di timbunan sampah layaknya,” gumam Dol.

“Bermakna apabila rapuhnya kecintaan terhadap ilmu, maka rapuh jugalah ikatan di antara masyrakat. Antara bangsa, antara ibu bapa dan anak, antara suami dan isteri, antara guru dan murid. Semuanya berantakan.” Sambungnya lagi. Dol terdiam untuk seketika. Rumah tangganya juga kacau bilau dek kerana dibuang kerja. Duit tiada, anak sakit. Kerja payah dapat, bini melompat! Akhirnya dia berkawan dengan sampah-sampah yang lebih mengerti perasaannya.

Sarip sudah berdengkur. Tak larat mendengar ocehan temannya yang kuat benar berfalsafah. Baginya mudah, kerja cari duit untuk esok. Perut mesti diisi, tekak jangan kering, mulut mesti berasap. Mudah, mudah sahaja hidup ini. Yang jadi susah apabila ada manusia yang menyusahkan hidup orang lain dengan nafsunya yang tamak dan rakus. Itulah yang menyusahkan semua orang atas muka bumi ini.

Dol memandang ke arah Sarip, kemudian melontarkan lensa pandangannya ke rahang malam yang semakin rakus menelan cahaya. Kegelapan sudah berkerajaan. Lalat, langau, lipas dan lipan masih bersepah di atas tilam sampah yang akan diladeni sebentar lagi.

Dalam lena itu, Sarip merasakan bahawa dirinya sudah melangkaui alam yang sepatutnya.. Di sana dia berjumpa dengan seorang budak kecil (memang klise - kalau mimpi mesti jumpa orang tua berjanggut dan berjubah putih tapi ini lain) yang comel dan manja sekali riak wajahnya. Dia menghulurkan tangannya, Sarip menyambut.

“Tangan abang kasar.” Budak kecil itu tersenyum.

“Mana tak kasarnya, kerja kutip sampah. Tangan selalu kotor dan selalu kena basuh. Pegang benda-benda kotor dik.” Sarip senang sekali dengan budak itu. Dalam fikirannya teringat anak Dol yang seusia dengan budak yang tercokoh di hadapannya.

“Tak mengapa abang, walaupun kerja kotor tapi duitnya bersih. Jangan kerja bersih tapi duitnya kotor. Kerja kotor begini, kalau basuh dia boleh bersih. Kerja bersih yang kotor kalau basuh orang lain yang kena. Tapi, paling penting hati mesti bersih.”

Sarip senyum. Terpikat dengan keletah dan perkataan yang diujarkan.

“Kenapa adik cakap begitu? Adik tak tahukah berapa ramai yang menghina pekerjaan abang? Saudara mara semua lari, kawan-kawan apatah lagi. Kata mereka lagi, kerja busuk dan hina sama macam sampah yang ada di tempat abang.”

Budak kecil itu ketawa lalu menghela tangan Sarip. Mereka terbang. Terbang ke dalam kegelapan malam. Terbang di atas awan biru. Angin sejuk menampar pipinya. Sarip terasa bahagia. Tiba-tiba tangannya dilepaskan. Serta merta anganan Sarip meluncur ke bumi. Segala mewah kasih dan bahagia impian akan terhempas sedikit masa lagi. Tiba-tiba …

Masa terhenti. Semua menjadi kaku, menjadi beku.

“Apa ada dengan kekayaan dan kebahagiaan kalau terhasil dari tangan-tangan yang berdanur? Ibarat kaca terhempas ke tanah, itulah umpamanya. Jatuh berkecai dan akhirnya. Biarlah kerja kotor tapi halal dan bersih.

Sarip tidak bergerak, tubuhnya seakan hancur. Menjadi berkeping-keping. Halus dan akhirnya menjadi lumat. Tubuhnya bagaikan terapung dan terawang-awang seperti zarah-zarah halus yang melewati terowong cahaya. Sarip masih hidup, dia merasakan itu, namun dia tiada daya upaya untuk bergerak atau berkata walau sepatah.

Budak kecil itu menarik semula zarah-zarah halus (jasad) Sarip dan melemparkan ke udara. Sekali lagi tubuh yang bersifat halus menjadi zat dan jasad yang kasar. Jatuh berdebup di atas tanah. Kali ini kesakitan menjalar ke seluruh tubuhnya. Ada darah mengalir siku dan lututnya.

“Apa semua ini?” Sarip menyeringai kesakitan.

“Itulah perasaan yang bernama kesakitan, kebencian, kemarahan, kekecewaan, kehampaan dan, dan itulah yang telah kau berikan sewaktu menduduki kerusi empuk di pejabat berhawa dingin.”

Menitis

Sarip memandang ke arah Dol. Hanya dengkur dan embun pagi sahaja menitis. Suara lalat, langau, lipas dan lipan bagaikan tertangkap oleh telinganya. Semuanya berzikir, mengucap syukur kerana dalam laut sampah itu ada rezeki mereka.

Mereka lebih faham segenap inci, ruang, sudut dan bau sampah yang bertimbun itu. Sarip berdiri memerhatikan mereka. Sesekali matanya tertancap pada barisan semut gula yang bekerja keras mencari rezeki. Dol terjaga, pandangan mereka saling bertikam dan akhirnya Dol menukar lensa pandangannya ke hadapan.

“Dalam sampah ini ada rezeki kita, Sarip.”

Sarip mengangguk.

“Ada apa lagi dalam sampah ini, Dol?"

Dol menoleh ke arahnya, hairan. Mungkin selama ini Sarip menganggap dirinya sewel kerana bercakap soal sampah, tapi dia tidak pernah ambil pusing. Tapi memang Dol tahu dalam sampah ada macam-macam. Dan dalam macam-macam itu juga ada sampah.

Walaupun zahirnya seperti sehelai kain putih yang mulia dan mulus di pandangan ramai, namun Dol tahu bahawa di hati mereka, bertaburan sampah-sampah dan segala macam habuk. Gelap-gelita hati mereka. Memandang dengan pandangan manusia. Berkata dengan perkataan manusia. Bermegah dengan kemegahan manusia.

Ah persetankan itu semua, Dol membentak dalam hati.

“Kalau kau nak tahu, Sarip. Apa kemuliaan dalam timbunan sampah yang melaut ini? Ini yang manusia tidak pernah mahu ambil tahu dan tidak tahu pun apa yang ada pada kita dan sampah-sampah yang berselerakan ini.” Dol memulakan lagi syarahannya seperti biasa.

“Dalam persampahan ini, kau dan aku dan kita dengan sampah. Siapa yang lebih memerlukan siapa? Adakah kita memerlukan sampah untuk terus hidup. Atau bagaimana? Sampahkah yang memerlukan kita untuk terus berada di sini. Kalau tanpa manusia, sampah-sampah ini bergolekan di merata tempat tanpa ada pembelaan? Bagaimana?”

Sarip termenung dengan persoalannya. Ceritanya cuma sampah. Semuanya sampah. Dalam sampah ada sampah - itu bagi mata manusia yang melihat tetapi tidak merenung. Tapi bagi yang merenung dan menilik, dalam sampah ada kesucian yang tak terungkap. Sucinya sampah-sampah itulah yang telah menyebabkan ribuan manusia, haiwan, kuman-kuman terus hidup di atas muka bumi ini. Dan sampah yang paling mulia juga adalah sampah yang telah diproses lalu berkhidmat untuk manusia.

“Jadi sampah itulah yang lebih mulia dari manusia. Sarip kau tengok kotak-kotak makanan, minuman, pakaian - itukan diperbuat dari sampah-sampah yang kita kutip. Dan pesanan yang paling menusuk hati aku adalah ketika pertama kali aku menjual sampah dan kotak. Kata tauke itu begini, ‘bagus orang Melayu sudah tidak malu menjual sampah.’ Muka aku merah, namun aku menjawab, ‘duit itu kan tidak busuk.’ Ya, sejak itu, aku tidak pernah malu menjadi seorang Melayu yang menjual sampah dan kotak.” Dol menghela nafas. Mengenang kembali pertemuan pertamanya dengan sang tauke.

Sarip terus mendiamkan diri. Kata-kata Dol itu banyak kebenarannya. Sejak ekonomi merudum. Sejak kegawatan akhlak merudum. Sejak perpecahan antara perhubungan kekeluargaan, masyarakat dan bangsa, hanya sampah menjadi lambang penyatuan kepada itu semua.

Statusnya sampah tapi maksudnya sampah-sampah di sini bersatu tidak mengira dari rumah siapakah sampah itu berasal. Saling berasak dalam lori sampah yang mengangkut lalu menjadikan tempat ini sebagai tempat untuk menyatukan maksud dan maknawi. Jangan jadikan perpaduan itu seperti sampah, tapi jadikanlah sampah itu umpama lambang perpaduan.

Sarip terhenyak dengan persoalan-persoalan yang menghunjam benaknya. “Sampah, ya sampah.”

“Ya, sampah,” sahut Dol.

“Hidup sampah!" jerit mereka berdua. Dan kita juga adalah sampah-sampah dan sampah-sampah juga adalah kita, fikir Sarip.

- MINGGUAN MALAYSIA

Sabtu, September 05, 2009

Cerpen - Cinta Rembulan Ramadan

Oleh Farahana Hussain

Air Mata Subuh

Bergelar isteri. Saya tidak pernah membayangkan saya akan menurut sahaja saranan Walid. Saranan Walid, yang lebih tepat, sebagai satu permintaan dan suruhan seorang bapa kepada anaknya. Sebagai anak, saya mahu jadi anak yang solehah. Apabila Walid menyuarakan dalam nada tegas dan sebak sambil memandang Ummi tunak, saya senyum.

“Izinkan saya, beristikharah dulu?” Pohon saya pada Walid.

Walid hanya mengangguk. Ummi senyum dan mengusap ubun kepala saya. Saya rasa dengan bertanya pada Dia sahaja akan memberikan saya ketenangan dan semoga jawapan saya kepada Walid dan Ummi dipandu oleh bimbingan Tuhan kepada bisikan hati saya. Akal saya cuba mencerna, mampukah saya memikul amanah Walid dalam usia semuda ini? Muda, bukan saya kira menggunakan angka kelahiran. Saya muda, masih pucuk hijau dalam ilmu agama dan cetek pengetahuan hal ehwal rumah tangga. Tapi, Walid dan Ummi yang menerima risikan daripada keluarga lelaki semalam. Mereka melihat saya sudah cukup bersedia daripada segenap segi. Saya melihat refleksi diri dari cermin di bilik tidur. Saya tahu, saya bukan lagi gadis yang sama seperti 10 tahun lalu. Walid dan Ummi hendak mengangkat martabat saya. Walid, wali mujbir yang punya kuasa menyatukan saya dengan mana-mana lelaki pilihannya, selagi tidak mendatangkan mudarat kepada saya, jika menurut mazhab Syafie. Persetujuan saya ini hanyalah budi bicara Walid, sedangkan Walid mempunyai kuasa menikahkan saya dengan mana-mana sahaja lelaki pilihannya. Tetapi Walid, bapa yang berilmu dan lembut hatinya. Walid tidak memaksa. Akhirnya, selepas 3 kali beristikharah. Dada saya lapang tanpa dihimpit perasaan berat. Sewaktu bangun menyiapkan juadah sahur, saya memberikan persetujuan.

“Alhamdulillah.”

Walid senyum lebar dan saya lihat di kolam mata Ummi ada genangan air mata. Walid mengetuai doa dan mengingatkan niat untuk berpuasa esok hari. Sebaik azan Subuh bergema, Walid mengetuai solat Subuh. Tazkirah Walid di pagi subuh hari ini, menyentuh mengenai taqqarub di bulan Ramadan.

Untung Buah Melaka

“Air tangan isteri yang mengikat cinta suami dan air tangan ibu akan mengekalkan kasih sayang anak kepada ibunya.” Ujar Ummi sambil memeriksa kelapa yang sedang dikukus.

Saya masih membulat-bulatkan adunan kuih buah Melaka, sambil meletakkan sedikit gula merah yang dikacip sebesar setengah biji guli. Kuih buah Melaka yang juga dikenali sebagai onde-onde itu selalu Ummi golekkan dengan kelapa kukus supaya tidak mudah basi. Teringat pula, saya dengan seorang kawan yang memanggil kuih ini dengan nama kekoh car. Saya terus senyum sendiri, kelucuan.

“Amboi, anak Ummi. Sambil memasak senyum sendiri. Seri pengantin dah naik ke mukalah tu.”

Usikan Ummi cepat saya sanggah dan saya ceritakan apa yang membuat saya tersenyum sendiri. “Kekoh car? Peliknya, Ummi tahu namanya buah Melaka saja. Paling penting, Walid suka makan, anak kesayangan Ummi pandai masakkan dan ada lagi ... satu yang penting ..,” Ummi senyum sambil menjungkitkan kening tanda menyuruh saya menghabiskan ayatnya.

“Apa lagi? Giliran saya mengerutkan dahi.

“Bakal menantu Ummi, khabarnya penggemar buah Melaka.”

Saya tidak tahu hendak bereaksi bagaimana. Hendak senyumkah atau saya diserbu malu. Hari ini keluarga pihak lelaki akan datang berbuka di rumah kami. Saya tahu, risikan keluarga lelaki diterima bersyarat gantung dengan persetujuan saya. Hari ini, tentu rancangan pertunangan akan diusulkan. Entah kenapa hati saya tiba-tiba jadi berdebar. Semacam takut dan jantung saya berdenyut lebih laju daripada biasa. Bukan! Bukan! Saya tidak diserang, penyakit cinta. Saya khuatir, saya bukan pilihan terbaik untuk bakal suami dan lebih khuatir jika saya bukan pilihan hatinya, tapi sekadar pilihan keluarganya.

“Mengelamun pula. Tolong Ummi.” Pinta Ummi lembut kepada saya untuk membantunya menyerahkan bahan masakan kepadanya. Saya bangun dan segera membersihkan sisa tepung di tangan.

“Tak apa, Ummi. Biar, saya yang uruskan semuanya.”

“Oh, anak Ummi nak tunjuk bakat pada bakal keluarga baru, ya? Bagus juga, ikat hati bakal suami dengan keluarga mentua dengan air tangan sendiri. Ummi setuju.” Ummi menepuk bahu saya lembut. Kami menyediakan lauk sederhana untuk keluarga kecil yang bakal bertandang. Keluarga pihak lelaki datang berempat, bakal suami, ibu, ayah dan kembar perempuan bakal suami. Kuih buah Melaka, kegemaran Walid dan tetamu yang dijemput. Lauk ikan masak cuka kegemaran Ummi, gulai lemak ketam dan sambal udang tempoyak berserta ulaman. Bubur sarang lebah dan kuih buah Melaka sebagai pencuci mulut. Air jambu batu dengan asam boi dan teh madu suam turut kami sediakan meraikan tetamu untuk iftar di rumah kami.

Usai terawih diimamkan bakal suami, kami sekeluarga duduk di ruang tamu. Saya dengar, Walid memanggil namanya, Ilham sewaktu meminta dia ke hadapan mengimamkan solat. Bacaannya dalam solatnya lancar , merdu dan sederhana panjang menjadikan selesa untuk semua jemaah yang mengikutinya. Ayah Ilham yang diperkenalkan sebagai Pak Hamzah meminta izin supaya saya berpeluang berbual-bual sendirian dengan Ilham di halaman rumah. Kolam ikan kecil dengan deru air terjun menjadi teman. Saudara kembar Ilham, Ghafirah tersenyum mengusulkan saya mengikuti Ilham keluar selepas Walid mengizinkan. Saya hanya mengikut. Ilham, kini saya lihat secara jelas fizikalnya. Rambutnya kemas disisir dan dipotong rapi. Oh, saya tidak ada peluang berlama-lama menatap rupa fizikalnya kerana sebaik sahaja dia mempelawa saya duduk, saya tidak berani menatap wajahnya.

“Awak, syaitan kena ikatkan bulan puasa macam ni?”

Saya melongo. Saya betul-betul hendak ketawa, tapi bimbang dikatakan kurang sopan. Tidak menyangka sama sekali saya akan disapa perbualan perkenalan selucu itu.

“Kenapa muka awak merah, awak malu ya?” Ilham cuba memecahkan suasana tidak mesra kami.

“Bukan. Bukan. Saya geli hati sebab ditanya soalan macam tu. Saya fikir awak akan soal sesuatu yang formal.” Balas saya.

“Oh, saya nak cakap sebenarnya. Tak apalah kita berdua-duaan ni, sebab syaitan yang ketiga daripada kita berdua tak ada. Kan?”

“Ke situ pula.”

“Maaflah, saya gurau saja. Harap-harap supaya rupa saya yang garang ni tak membuat awak berubah fikiran daripada menerima pinangan saya.”

Saya tidak terkejut dengan sangkaannya sendiri. Apabila dia menganjurkan bahawa riak wajahnya yang garang, itu ada kebenarannya. Fizikalnya, dia terlalu tinggi dan berbadan sasa. Mukanya serius dan jika dia berlelucon pun, dia tidak ketawa. Tapi saya dapat rasa wajahnya bersih dan saya tidak menerima pinangannya kerana fizikal, jadi tidak ada masalah bagi saya walau apapun rupa parasnya. Saya tahu, pilihan Walid tentu yang terbaik.

“Nama saya Ilham Hanafi Hamzah. Umur saya 30 tahun. Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Bioteknologi. Saya hafaz 5 juzuk al-Quran sedang berusaha untuk hafaz lebih lagi. Apa lagi yang perlu awak tahu, ya?”

“Tak apa, insya-Allah panjang lagi masa kita berkenalan. Saya terima, awak seadanya. Saya harap awak, juga terima saya seadanya. Oh, ya kalau tak keberatan, apa pekerjaan awak?” Saya berharap dia lebih tenang dan tidak rasa tergesa-gesa memperkenalkan dirinya pada saya. Cukuplah saya mengetahui, dia pilihan Walid dan saya pilihan ibu bapanya. Tentu kami sekufu pada mata kedua-dua orang tua. Penyesuaian? Biarlah kami pelajari perlahan-lahan dalam alam rumah tangga kelak.

“Walid, tak beritahu awak pekerjaan saya?”

“Tidak, saya pun tak bertanya pada Walid. Selepas istikharah, saya setuju saja. Nama awak pun, saya baru tahu hari ni.”

“Oh ....” Ujar Ilham, tanpa menjawab pertanyaan saya.

Dugaan Pertama

SAYA tidak berubah fikiran apabila mengetahui pekerjaannya, bukan sesuatu yang mengejutkan jika saya mengagak daripada bentuk tubuhnya yang kelihatan tegap. Biasa saja pekerjaannya, yang selalu menjadi cita-cita kebanyakan murid di sekolah dahulu dan di universiti, masih ada anak didik saya yang menyimpan cita-cita yang sama. Polis. Cuma yang luar biasa, apabila dia mengkhabarkan sifat pekerjaannya di lapangan. Dia jujur memberitahu, saya akan selalu ditinggalkan kerana urusan kerja dan pekerjaannya bahaya. Raut muka saya sedikit berubah, saya tidak tahu dunia kerjanya. Walid seorang pendidik dan Ummi pula seorang psikiatris. Dunia pekerjaan keluarga saya, adalah pendidikan dan ilmu jiwa. Tidak ada ahli keluarga kami yang berkhidmat dalam angkatan tentera mahupun polis. Sewaktu dilihatnya muka saya berubah, dia menganjurkan saya berfikir semula.

“Tak apa, saya faham. Sebagai pensyarah memberikan awak peluang berjumpa dengan lebih banyak yang calon sekufu. Mereka yang dunianya buku, ilmu dan penyelidikan. Saya tak terkejut kalau awak berubah fikiran.” Ilham menarik nafas dalam, saya perasan suaranya tertekan dalam talian. Saya tidak tahu, kenapa saya pula merasa bahawa dia sengaja mencipta jurang. Ada lompang dalam hati saya mengatakan mungkin dia ada pilihan lain, namun mahu mengkambinghitamkan saya, supaya saya yang menolak pinangannya. Tapi itu tidak akan saya lakukan. Saya akan menyahut seruan hati bergelar isteri.

Terbongkar Rahsia

KAU kekasihku/tapi orang lain bagiku/kau dengan dirimu saja/kau dengan duniamu saja/teruskanlah/teruskanlah kau begitu.

Sudah genap seminggu kami dijabkabul, sempena nuzul Quran. Bait lagu dendangan Agnes Monica penyanyi dari seberang seakan mengena ke batang hidung saya. Saya cuba menumpukan perhatian pada pemanduan, namun bayangan Ilham Hanafi, yang saya jumpa dua minggu lepas kini selamat bergelar suami bermain di minda. Sayalah yang menelan semua kepahitan, sedang baru seminggu berumahtangga. Penyesuaian. Saya perlu banyak bersabar. Sesudah selesai memberi kuliah saya cepat pulang mengejar peluang menyediakan juadah berbuka, kata nasihat Ummi berkesan di hati. Kalau suami merasa air tangan isteri itu akan mengikat kasih sayang kami.

“Berbuka sekali ya? Izzah ada masakkan ....?” Saya menelefon Ilham sedang tangan cekatan menyediakan makanan kegemarannya. Kuih buah Melaka.

“Kerja ni. Nanti abang telefon semula.” Jawapan ringkas yang saya terima sebelum sempat menghabiskan kata-kata. Talian terus dimatikan. Seloyang kuih buah Melaka yang belum disalut kelapa terlepas dari pegangan tangan dan terburai intinya. Lantai di dapur kotor dengan inti gula Melaka yang mencair. Saya menangis. Hati saya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Saya berdebar-debar.

Pernahkah kau bicara/tapi tak didengar/tak dianggap/sama sekali/pernahkah kau tak salah/tapi disalahkan/tak diberi/kesempatan/

Saya matikan radio di dapur yang sedang memutarkan lagu Teruskanlah. Saya ke bilik air, mengambil wuduk. Hanya pada Dia saya mengadu, apakah saya telah tersalah pilih jalan hidup saya? Ketika menyimpan al-Quran dalam laci, saya menjumpai sampul surat putih tertulis nama saya. Nur Izzah Ain Hayati. Saya kira, ini tulisan Ilham Hanafi. Saya tidak peduli, saya rakus hendak membacanya.

“Buat isteri yang abang kasihi. Abang berdoa dikurniakan seorang isteri solehah dan abang mendapatkan Izzah, kurniaan Allah. Tapi abang bimbang menzalimimu. Lalu abang ragu apabila kita bersua. Abang tahu abang akan selalu melukakan daripada memberi kebahagiaan. Banyak belum sempat diceritakan. Sesungguhnya demi keselamatan Izzah lebih sedikit pengetahuan Izzah tentang kerja abang, lebih selamat dan baik untuk Izzah. Bulan ini, abang menyertai operasi membanteras pengedaran dadah dan betul-betul sibuk. Doakan abang.

Bukankah ada pepatah Melayu menyebut, sayangkan anak ditangan-tangankan, sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan. Jadi abang, tinggal-tinggalkan Izzah. Abang tahu, tindakan abang macam badut, mesti Izzah sedang ketawa sambil mengesat air mata. Sekejap abang berlawak, sekejap abang serius. Bersedialah Izzah kerana buat masa ini itulah cabaran yang akan kita tangani bersama. Perkahwinan satu perkongsian dan buat masa ini penyesuaian kita memerlukan perkongsian persefahaman, fahamilah dan terimalah abang, seadanya”

Saya menggeleng-geleng dan memang saya ketawa. Saya fikir saya perlu banyak belajar bagaimana dia boleh membuat saya ketawa hanya dengan tulisannya. ‘Sayangkan isteri ditinggal-tinggalkan?’ Mungkin ada banyak benarnya pepatah Melayu, kerana dengan ditinggalkan saya belajar merindui ketiadaan dan menghargai setiap kehadirannya. Saya duduk dan menghidupkan suis televisyen.

“Berita Semasa - Seorang pegawai polis cedera parah dalam kejadian tembak menembak dengan penjenayah, disyaki pengedar dadah di ibu kota kira-kira sejam yang lalu. Kita bersama wartawan di lokasi untuk mendapatkan berita terkini.” Saya tutup televisyen, tidak mahu mendengar berita ngeri di petang bulan Ramadan yang patutnya damai dan menenangkan. Tinggal beberapa jam sebelum waktu berbuka. Saya diserbu gelisah, teringat kuih buah Melaka yang terburai isinya di dapur. Segera membayangkan Ilham Hanafi. ‘Tuhan, jauhkan saya dari prasangka.’, bisik hati kecil saya berdoa. Saya terduduk dengan perkhabaran daripada rakan sekerjanya. Namun, saya gagahkan diri. Tentu Ilham memerlukan saya.

“Kami perlukan penderma darah, luka di bahagian abdomen suami Puan parah. Bekalan darah di bulan Ramadan memang terhad.” Ujar petugas di hospital pada saya. Saya hanya dengar perkataan berdesing masuk ke telinga kiri dan keluar ke telinga kanan. Buku rekod derma darah saya bawa bersama, saya biasa menderma darah secara tetap empat bulan sekali. Hendak saja saya suruh petugas itu sedut semua darah yang diperlukan, tapi saya tahu dengan berat 46 kg, saya hanya mampu memberikan Ilham 350 ml darah. Saya berharap Ilham diberi keutamaan memandangkan saya penderma darah dan dia cedera dalam tugasan. Saya dikhabarkan peluru mengenai intestine kecil Ilham dan juga hampir mengenai hati. Lima das semuanya. Saya tidak mahu mendengar lebih lanjut. Saya mahu Ilham dibekalkan darah dengan segera. Azan berkumandang, saya berbuka puasa dengan segera dan cepat-cepat menghulurkan lengan kiri untuk proses menderma darah. Tiba-tiba sekeliling saya gelap.

“Rehat sayang, Izzah pitam tadi.” Ummi ada di sebelah Walid mengusap pipi saya.

“Ilham?”

“Alhamdulillah stabil. Terima kasih, Izzah.” Ujar bapa dan ibu mentua dengan rasa hormat. Saya masih pening lalat. Ramadan menemukan saya dengan cinta, kasih sayang dan pengorbanan. Semua kemanisan yang saya kecapi dari kemurahan Allah yang melimpahkan ujian, rezeki dan umur yang panjang buat kami sekeluarga di bulan yang mulia ini.

- BERITA HARIAN

Recent Posts