Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya Sarawak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pilihanraya Sarawak. Papar semua catatan

Khamis, Mac 24, 2011

Tarikh Pilihan raya Sarawak 16 April 2011


KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 6 April sebagai tarikh penamaan calon dan 16 April sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada 21 Mac lalu berhubung pembubaran DUN Sarawak.

“Dengan ini kita mengumumkan 23 Mac tarikh keluar writ iaitu hari ini (semalam), 25 Mac tarikh notis pilihan raya, 6 April hari penamaan calon dan 16 April tarikh pengundian,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, SPR akan menggunakan daftar pemilih suku pertama, kedua, ketiga dan empat tahun 2010 yang diwartakan pada 25 Mac iaitu membabitkan seramai 979,796 pengundi iaitu 961,433 pemilih biasa dan 18,363 pemilih pos.

Katanya, pengundi boleh membuat semakan maklumat pusat mengundi dan saluran mengundi mereka melalui laman web rasmi SPR, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau menghubungi terus ke pejabat SPR.

- KOSMO!

Selasa, Mac 22, 2011

SPR guna senarai pemilih sehingga 31 Dis. 2010

KUCHING 21 Mac - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan senarai pemilih yang didaftarkan sehingga 31 Disember 2010 untuk pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

Pengarah SPR Sarawak, Datuk Takun Sunggah ketika dihubungi Bernama di sini hari ini berkata, berdasarkan senarai pemilih itu, seramai 979,796 pengundi layak untuk mengundi pada pilihan raya negeri ke-10 itu.

"Dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini maka hanya pemilih yang mendaftar setakat 31 Disember 2010 sahaja yang layak untuk mengundi,” katanya.

Pagi ini Speaker DUN Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng akan diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof esok.

- Bernama

Isnin, Mac 21, 2011

DUN Sarawak dibubar


Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan hari ini untuk membolehkan pilihan raya DUN ke-10 diadakan.

Speaker DUN Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng telah diterima pada pagi ini.

"Pembubaran DUN Sarawak pada 21 Mac iaitu hari ini mengikut perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak," katanya pada sidang media di bangunan DUN baru di Kuching hari ini.

Asfia berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak akan diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada petang esok.

"Tempat dan masa pertemuan belum dapat ditentukan tapi ia akan diserahkan esok," katanya lagi.

Asfia berkata selepas penyerahan pengisytiharan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Pada Sabtu lalu, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan DUN Sarawak dibubar pada hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-10 diadakan.

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN selepas ADUN Engkilili Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), menyertai BN tahun lalu.

DAP menguasai enam kerusi manakala PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

DUN Sarawak dengan 71 anggota sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006.

- Bernama