Memaparkan catatan dengan label Personaliti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Personaliti. Papar semua catatan

Khamis, April 20, 2017

Hidup Mewah Pemuda 21 Tahun Bergelar Datuk Jadi Tular



Kehidupan serba mewah lelaki berusia 21 tahun yang bergelar Datuk telah menarik perhatian netizen apabila postingnya di laman media sosial menjadi tular.

Posting Datuk Muhammad Saiful Muhamad Ali di akaun Facebook dan Instagram menggambarkan gaya hidupnya yang mewah terutama video yang dimuatnaik sempena sambutan hari lahirnya yang ke-21.

Menerusi video itu, Muhammad Saiful dan seorang lelaki yang lebih berusia, mungkin bapanya menuruni jet peribadi dan menaiki kereta mewah Rolls Royce sambil diiringi pengawal.

Mereka kemudiannya dibawa ke majlis sambutan hari lahir Muhammad Saiful yang diadakan di sebuah dewan yang dimeriahkan dengan persembahan muzik dan tarian.

Sehingga 17 April 2017, video itu mendapat lebih 300,000 tontonan. Berdasarkan gambar yang dimuatnaik di akaun Instagram, Muhammad Saiful menerima Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk pada 2015.

Menerusi akaun Facebook, beliau adalah pengarah di beberapa perniagaan termasuk besi buruk, kedai runcit, cuci kereta dan studio rakaman.

Facebook:
www.facebook.com/DatoMuhammadSaiful/photos/a.222433781535686.1073741828.158176404628091/276652299447167/?type=3&theater

Berikutan tular mengenai kisah pemuda ini, ramai juga yang tertanya-tanya siapakah keluarganya dan apakah yang pernah dilakukan mereka sehingga diiktiraf istana.

- msTAR

Sabtu, Jun 25, 2016

Pakar Motivasi Prof Izzi Meninggal Dunia



Pakar Motivasi Prof Izzi Meninggal Dunia

Profesor Madya Izzi Haji Ali yang terkenal dengan tazkirahnya di Hot FM meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada Jumaat akibat strok.

Jenazah pakar motivasi, Profesor Madya Md. Izuddin Ali atau lebih dikenali dengan Prof Izzi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulau Rusa, pagi Sabtu.

Jenazah Prof Izzi dikebumikan bersebelahan pusara ibu bapanya, Ali Ismail dan Maimon Abdul Rahman serta adik perempuannya, Zainon, pada 9 pagi.

Kira-kira 200 ahli keluarga, saudara mara, rakan taulan dan penduduk kampung hadir memberikan penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba dari Kedah diiringi isteri, Roziah Shafie, 48, dan dibawa ke rumah kakak sulungnya, Zaleha, 55, di Taman Bestari, Gong Badak kira-kira 4.30 pagi.

Jenazah Allahyarham kemudian disembahyangkan di Masjid Kampung Pulau Rusa pada 8 pagi.

Allahyarham sebelum itu dikejarkan ke Hospital Jitra, pada 11 Jun lalu selepas rebah ketika berwirid selepas menunaikan solat asar berjemaah di Masjid Al-A'la di Tanah Merah, Jitra.

Prof Izzi semasa hayatnya terkenal sebagai pakar motivasi yang popular dengan tagline 'renung-renungkan dan selamat beramal'.

Allahyarham juga adalah bekas pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Matematik di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis. 

- BERNAMA

Jumaat, Jun 24, 2016

Tan Sri Abu Kassim - Personaliti pencegahan rasuah yang disegani



Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Ogos ini, merupakan seorang personaliti yang disegani di arena tempatan mahupun antarabangsa.

Menerajui kepimpinan SPRM pada 1 Jan 2010, Abu Kassim telah terlibat dalam proses pembangunan SPRM sehingga mengangkat nama dan martabat suruhanjaya itu sebagai sebuah badan pencegahan rasuah yang berkaliber.

Abu Kassim, 55, memulakan kerjayanya dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) setelah tamat pengajian di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1984 dan sejak itu, meniti pelayaran kerjaya 30 tahun bersama BPR, yang kemudiannya dikenali sebagai SPRM mulai 1 Jan 2009.

Bermula sebagai seorang pegawai penyiasat, beliau kemudiannya menaiki tangga korporat agensi berkenaan sehingga memegang jawatan sekarang.

Pada tahun 1990, beliau dilantik sebagai Ketua Badan Pencegah Rasuah cawangan Sibu, Sarawak dan dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perancangan Polisi dan Penyelarasan, BPR pada tahun 1999.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai pengarah BPR negeri Perak (2000) dan Pulau Pinang (2003) dan Pengarah Akademi Latihan Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun 2005.    

Abu Kassim kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Integriti di Amanah Raya Malaysia dan pada tahun 2007, dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya 1 SPRM.

Nama Abu Kassim juga tidak asing di peringkat antarabangsa kerana beliau merupakan wakil Asia dalam Kumpulan Pakar-pakar Interpol mengenai Rasuah yang diadakan di Lyon, Perancis serta ahli dalam Interpol of Experts on Corruption  (IGEC) sejak 1997.

Beliau juga terlibat dalam proses penyediaan Kod Etika bagi Penguatkuasaan Undang-undang-Panduan Amalan Terbaik bagi Anggota Interpol dan Piawaian Global bagi Memerangi Rasuah dalam Perkhidmatan Polis.     

Abu Kassim juga adalah Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA) dan pada 2012, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pentadbir Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa, yang berpusat di Vienna.

Pada 30 November 2012, beliau dilantik sebagai Anggota Lembaga Gabenor Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) bagi penggal selama enam tahun.

Pada Februari 2011, Abu Kassim dinamakan sebagai seorang daripada 100 tokoh paling berpengaruh dalam etika perniagaan bagi 2010 oleh Ethisphere Institute yang berpangkalan di New York.

Beliau yang menduduki tempat keempat dalam senarai tokoh terkemuka itu, dihakimi daripada peranannya dalam kategori kerajaan dan amalan peraturan, termasuk kepimpinan pemikir, kepimpinan perniagaan, budaya korporat serta pelaburan dan penyelidikan.

Setelah tamat jawatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos, Abu Kassim akan meneruskan kariernya seabgai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020. 

- Bernama

Ahad, Julai 28, 2013

Penggodam komputer terkenal meninggal dunia


BOSTON - Seorang penggodam komputer terkenal yang berjaya membuatkan mesin pengeluaran wang ATM mengeluarkan wang tunai, Barnaby Jack ditemui mati di sebuah pangsapuri di San Francisco seminggu sebelum dia dijadual menyampaikan ceramah pada satu persidangan penggodaman komputer.

Pejabat Pemeriksaan Perubatan San Francisco menyatakan pihaknya sedang menjalankan autopsi untuk mengenal pasti punca kematian Jack.

Jack, 35, yang dilahirkan di New Zealand merupakan penggodam 'white hat' paling popular. Penggodam 'white hat' ialah mereka yang menggunakan kepakaran untuk mencari kelemahan sistem keselamatan komputer sebelum penjenayah mengekspoitasinya.

Kepakaran Jack adalah mencari kelemahan sistem komputer yang dipasang pada peralatan perubatan dan mesin pengeluaran wang tunai.

Jack dijadual membuat demonstrasi menggodam alat perentak dan defibrilator jantung pada persidangan penggodam Black Hat di Last Vegas Khamis depan.

Dia menjadi penggodam paling popular di dunia selepas melakukan demonstrasi Jackpotting pada tahun 2010 yang membuatkan mesin wang ATM mengeluarkan wang tunai. Klip video persembahannya telah ditonton sebanyak 2.6 juta kali di laman YouTube.

- Reuters
 

Rabu, Julai 17, 2013

Wajah komersial Muslihah


Tidak sukar menzahirkan apa yang terniat di hati dengan Muslihah Hassan. Gadis berusia 19 tahun ini seakan bijak 'membaca' fikiran penulis dalam menterjemahkan apa yang dimahukan menerusi liuk lentok gerak gaya persis seorang model profesional.

Lalu segala arahan tidak perlu diperincikan kerana dia memahami apa yang dikehendaki jurugambar, Mohd Najib Mohd Nor. Malah dia turut membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar model yang ibarat patung membiarkan diri dihias seadanya.

Muslihah menyerlahkan lagi kebijaksanaannya dalam meneroka gaya pemakaian selendang dengan caranya tersendiri.

Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, sebenarnya tidak asing dalam dunia peragaan busana muslimah, walau baru melangkah ke dunia fesyen kira-kira dua tahun lalu.

Muslihah ternyata mempunyai bakat dan masa depan yang cerah dalam bidang tersebut.

Membahasakan diri sebagai Iha, dia cukup berterima kasih kepada pemilik Sesuci Bridal Boutiqe, pasangan isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Aza dan Abang Amer, yang membawanya ke dunia peragaan.

"Mereka yang bertanggung jawab membawa Iha ke dunia peragaan . Sudah tentu pertama kali Iha menggayakan pakaian dari butik mereka iaitu.

"Perasaan ketika itu sungguh teruja maklum saja baru habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan dapat pula peluang menjadi model.

"Kak Aza yang mengenal pasti kebolehan Iha selepas melihat Iha yang ketika itu menolong kakak di sebuah restoran di Johor Bahru. Kami bertukar nombor telefon dan itulah titik permulaan Iha bergelar model.

"Memang Iha tak sangka dapat peluang itu kerana sejak kecil suka tengok peragawati bergaya dan suka disolek dan bergambar. Akhirnya tak sangka dunia peragaan menjadi sebahagian daripada diri Iha sekarang," jelasnya panjang lebar.

Sejak itu Iha makin dikenali dan sering dijemput untuk memperagakan pakaian atau hijab dari butik-butik terbaru di pasaran.

Iha tidak menafikan berasa amat bertuah kerana dapat memberikan yang terbaik buat perniagaan usahawan Melayu sendiri.

"Walaupun Iha biasa bergambar, tetap ada cabarannya yang tersendiri apatah lagi jurugambar mempunyai cita rasa mereka masing-masing.

" Memang adakalanya penat, namun pengalaman mengajar Iha mengetahui apa yang dimahukan setiap jurugambar yang bekerjasama dengan Iha. Tidak dapat dinafikan, dunia peragaan menyerlahkan lagi keyakinan diri Iha dan menjadikan Iha seorang yang peka dengan perubahan semasa dunia fesyen," katanya.

Ramadan orang bujang

Sementelah sesi fotografi berlangsung di awal Ramadan, tidak lengkap rasanya temu bual dibuat tanpa menyentuh tentang bulan mulia ini.

"Ramadan Iha pada tahun ini bersama rakan-rakan serumah. Seperti biasa kami akan berebut-rebut untuk memasak untuk juadah berbuka," ujar Muslihah penuh teruja.

Muslihah juga akan pulang ke rumah kakaknya yang terletak di Gombak, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu untuk berpuasa bersama kakak dan keluarganya.

"Sejujurnya, Iha sangat rindu untuk bersahur dan berbuka bersama mama dan abah di kampung, begitu juga dengan kuih-muih di Kelantan. Sambutan Hari Raya Aidilfitri pula akan di sambut beramai-ramai bersama keluarga di kampung halaman Iha iaitu di Kota Bharu, Kelantan. Semoga sambutan hari raya pada kali ini lebih seronok berbanding sebelum ini," ujar anak keempat daripada lima beradik ini.

Facebook Muslihah Hassan : http://www.facebook.com/siti.muslihahii
 
- UTUSAN



Jumaat, Julai 12, 2013

Abu Zahar Ithnin meninggal dunia


MELAKA 12 Julai - Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, 74, meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang di kediamannya di Merlimau Pasir di sini hari ini.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 5.50 petang di samping isterinya, Datin Seri Khalijah Jiddi, 66, serta enam orang anak dan 20 cucu.

Menurut anak kelimanya, Muhd. Idi Iskandar, 34, Allahyarham bapanya sebelum ini telah dimasukkan ke Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur akibat sakit buah pinggang.

"Selepas hampir sebulan mendapat rawatan di sana, bapa kemudian telah dimasukkan pula ke Hospital Melaka, Isnin lalu.

"Bagaimanapun, semalam doktor yang merawat bapa membenarkannya dibawa pulang ke rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Antara yang menziarahi jenazah Allahyarham ialah Ketua Menteri, Datuk Idris Haron; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Roslan Ahmad dan ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.

Menurut Muhd. Idi, bapanya mengadu sakit dan muntah-muntah sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.50 petang.

"Kami sekeluarga kehilangan seorang yang sangat disayangi dan kami reda dengan ketentuan Ilahi," katanya sayu.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Negeri sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan kira-kira pukul 11 pagi esok.

Abu Zahar dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka Kelapan menggantikan Datuk Seri Mohd. Zain Abdul Ghani yang meninggal dunia pada 1997.

Beliau merupakan bekas ADUN Sungai Rambai dan ADUN Merlimau selain Speaker Dewan Undangan Negeri dari 1986 hingga 1995.

- UTUSAN

Selasa, Jun 11, 2013

Latifah Omar meninggal dunia

SENIWATI Latifah Omar dilaporkan meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) petang 9 Jun 2013.

Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM setelah menjalani pembedahan akibat penyakit ulser.

Pelakon veteran yang berusia 74 tahun itu dimasukkan ke wad setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah pada Khamis lalu sebelum dibawa ke hospital.

Berita kematian tersebut disahkan Presiden Seniman, Zed Zaidi yang dihubungi Sinar Harian Online.

Menurutnya, sebelum dimasukkan ke HUKM, Allahyarham telah dimasukkan ke Hospital Islam Kampung baru namun dipindahkan ke HUKM ekoran kos perubatan terlalu tinggi.

“Beliau dipindahkan ke HUKM kerana kos terlalu tinggi. Beliau sudah menjalani dua pembedahan dan disahkan meninggal jam 6.19 petang, tadi,” katanya.

Zed Zaidi juga memberitahu, pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof turut mengiringi jenazah Latifah Omar untuk dibawa pulang.

“Datuk Mustafa Maarof berusaha membawa dan ingin mengebumikan jenazah di Tanah Perkuburan Ampang.

“Jenazah akan dikebumikan esok pagi,” katanya.

Turut disemadikan di tanah perkuburan itu termasuklah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan beberapa seniman serta seniwati lain.

- SINAR HARIAN

http://www.sinarharian.com.my/latifah-omar-meninggal-dunia-1.169232



Rabu, Jun 05, 2013

S Shamsudin Meninggal Dunia di Singapura


Seniman seangkatan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, S Shamsudin atau nama sebenarnya, Samsudin Dali, 84, meninggal dunia akibat serangan jantung di rumahnya di West Avenue 6, Bukit Batok, Singapura, pagi semalam.

Anak bongsunya, Mohamed Arifin, 44, yang berada di rumah ketika kejadian itu berkata, pada mulanya dia terdengar ibu, Puteh Ismoon, 77, menjerit memberitahu ayah tidak sedarkan diri ketika bersarapan.
Tak pernah mengadu sakit


Mohamed Ariffin berkata, dia terus menghubungi hospital dan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada ayah sementara menunggu ambulans tiba.

"Ketika ibu menyuapkan mi rebus, arwah meminta minuman jus epal. Ketika ibu masuk semula ke bilik, ibu dapati ayah sudah tidak sedarkan diri ketika bersandar di atas katil. Lalu ibu terus menjerit nama saya.

"Saya terus melakukan bantuan CPR sementara menunggu ambulans sambil dibantu pegawai kesihatan yang berada dalam talian ketika itu, tetapi gagal," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini, semalam.

Mohamed Arifin berkata, ayah kemudian dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan (NUH) sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.56 pagi.
"Sepanjang tiga tahun terlantar akibat penyakit batuk kering dan Parkinson, arwah tidak pernah mengadu sakit dada atau mengalami serangan jantung. Bagaimanapun, pagi tadi (semalam) wajahnya kelihatan pucat," katanya.

Allahyarham terkenal dengan lakonannya bersama P Ramlee dan Datuk Aziz Satar dalam beberapa filem komedi termasuk Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Tiga Abdul dengan filem terakhir pada 2010, Eee Hantu! arahan Majed Salleh.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, tujuh anak dan 14 cucu. Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Pusara Abadi Chua Chu Kang, Singapura kira-kira jam 10 pagi, hari ini.

Selain teman seangkatan dan artis generasi baru, pemergian Allahyarham yang lebih mesra disapa Pak Sudin turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melayangkan mesej melalui Twitter mengenai kematian Pak Sudin serta mendoakan rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

Renung wajah isteri

Sementara itu, Puteh berkata, sejak kebelakangan, arwah sentiasa merenung wajahnya dan meminta badannya dibersihkan dengan kerap selain tidak banyak berkata-kata.

"Saya ada beberapa kali meminta maaf kepada arwah. Namun arwah beritahu tidak perlu meminta maaf kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Saya bersyukur apabila hajat terakhir arwah ingin menikmati mi rebus dapat ditunaikan. Arwah sempat menjamah juadah itu sebelum meninggal dunia," katanya.

Turut hadir menziarahi Allahyarham, rakannya yang juga pelakon veteran, Abdul Wahid Ahmad, 83, atau dikenali sebagai Wahid Satay.

Wahid menyifatkan pemergian Allahyarham suatu kejutan. Baginya arwah adalah seorang abang yang banyak membantu pada zaman Studio Jalan Ampas.

"Ini suatu kehilangan besar. Arwah yang membawa saya berjumpa dengan P Ramlee dan Datuk Aziz Satar, selain banyak membantu saya walaupun kami berlainan syarikat penerbitan.

"Kali terakhir saya berjumpa arwah adalah ketika menghadiri majlis penghargaan artis veteran bersama bekas Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim di Kuala Lumpur, awal tahun ini," katanya.

- BERITA HARIAN


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PakSudinsudahtiada/Article


 

Recent Posts