Memaparkan catatan dengan label Pelancongan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pelancongan. Papar semua catatan

Isnin, Julai 29, 2013

Genting Bina Taman Tema Baru


Genting Malaysia Bhd akan melabur sejumlah lebih RM400 juta untuk membina Taman Tema Twentieth Century Fox pertama di dunia untuk menggantikan taman tema lama di Resort World Genting, Genting Highlands.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay, berkata pelaburan bagi taman tema itu adalah sebahagian daripada program pengubahsuaian Resort World Genting yang melibatkan kos RM3 bilion yang merangkumi pembinaan 1,300 bilik hotel tambahan bersebelahan Hotel First World.

"Pembangunan taman tema berjenama Twentieth Century Fox ini merintis jalan bagi pertumbuhan perniagaan dinamis yang berterusan dan untuk memastikan Resorts World Genting terus menjadi destinasi luar biasa bagi pelancong di dalam dan luar negara.

"Perjanjian ini akan melonjakkan Resort World Genting ke satu tahap lagi dalam bidang hiburan keluarga, menjadikannya dan Malaysia satu daripada destinasi percutian terkemuka di dunia," katanya kepada pemberita selepas upacara menandatangani perjanjian bagi taman tema itu pada Jumaat.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Genting Malaysia, Datuk Lee Choong Yan, menandatangani bagi pihak syarikat itu manakala Twentieth Century Fox diwakili oleh Presiden Barangan Penggunanya, Jeffrey Godsick.

Lim berkata taman itu, yang dijadualkan siap pada 2015, akan menggandakan bilangan pengunjung daripada 20.5 juta setahun sekarang.

Beliau berkata taman yang akan dibina di atas tapak seluas 10 hektar itu, akan menampilkan lebih 25 permainan dan tarikan.

Menurutnya, sebelum pembinaan taman tema itu, taman tema luar sekarang akan ditutup mulai 1 September.

Bagaimanapun, beliau berkata penutupan itu tidak banyak menjejaskan prestasi kewangan syarikat itu kerana ia akan membawa masuk lebih banyak pameran antarabangsa untuk memeriahkan kawasan itu sepanjang tempoh penutupan.

Godsick berkata taman tema itu akan menggunakan 25 hingga 30 hak harta intelek filem termasuk Ice Age, Rio, Predator, Alien dan Life of Pi.

Resort World Genting yang mula beroperasi pada 1978 sebagai Taman Hiburan dan Rekreasi Genting, atau lebih dikenali sebagai Taman Tema Genting itu berkembang daripada tiga permainan kepada 50 permainan dan menarik berjuta-juta pengunjung setahun, termasuk warga asing.

- BERNAMA
 

Isnin, Julai 22, 2013

3 Pantai Di Malaysia Dalam Senarai Pantai Terbaik CNN


TIGA pantai di Malaysia baru-baru ini berjaya tersenarai dalam 50 daripada 100 pantai terbaik dunia, menurut satu kajian yang dijalankan oleh rangkaian berita antarabangsa CNN.

Pantai tersebut ialah Pulau Perhentian Kecil di Terengganu yang menduduki tempat ke-13, Pantai Juara di Pulau Tioman, Pahang (21) dan Tanjung Rhu di Langkawi (49).

Senarai tersebut yang dikumpulkan daripada pelbagai sumber, mengambil kira maklum balas pelancong, rakan-rakan dan pembaca di samping lawatan dan penyelidikan di tapak kajian, menurut CNN di laman webnya.

Menurut laman web itu, kebanyakan pelancong di Langkawi berduyun-duyun pergi ke Pantai Cenang tetapi Tanjung Rhu mempunyai kecantikan secara semula jadi dan suasana tenang.

Pantai yang panjang di Tanjung Rhu dikelilingi oleh gua-gua batu kapur purba, alunan air dan bakau tebal.

"Kami sukakan Langkawi kerana pemandangan yang menakjubkan dari atas Gunung Mat Cincang, salah satu gunung tertinggi di pulau ini," katanya.

Bagi Pantai Juara, ia kurang maju dan kurang diberi perhatian berbanding pantai di Thailand, tetapi ia membawa kepada suasana semula jadi dan tenang untuk pengalaman di pantai secara keseluruhannya.

"Ini bukan tempat untuk berparti atau untuk menikmati keriangan malam hari, melainkan jika anda mahu parti berjalan secara senyap dan keriangan malam apa tidak disertai manusia," dipetik dari CNN.

Pulau Tioman adalah tempat yang sesuai untuk mereka yang gemarkan cabaran adrenalin yang mana mereka boleh melakukan aktiviti 'rock-climbing' di Gunung Nenek Semukut.

Pulau Perhentian Kecil pula menjadi tumpuan kerana airnya yang biru, yang selalunya dapat dilihat penyu dan jerung kecil di dalamnya.

Walau bagaimanapun, Tourism Malaysia telah memberikan satu senarai pantai terbaik di Malaysia yang berbeza mengikut pilihan penduduk tempatan.

Pantai dan pulau terbaik itu adalah Pulau Sipadan, Mabul dan Kapalai di Sabah, kata Tourism Malaysia dalam satu kenyataan.

Sipadan adalah kawasan terkenal di kalangan penyelam peringkat antarabangsa yang dikelilingi laut Sulawesi dan kedudukan geografi Sipadan di lengkungan Indo-Pasifik (pusat habitat laut terkaya di dunia) menjadikannya syurga bagi penyelam, katanya.

Untuk mengekalkan ekosistem, penginapan hanya disediakan di pulau-pulau bersebelahan seperti Mabul dan Kapalai dan lawatan ke sana perlu diatur terlebih dahulu.

"Malaysia mempunyai beratus-ratus pulau yang bertaburan di perairannya dan beberapa pulau serta pantai terbaik di dunia boleh didapati di sini," kata Tourism Malaysia.

Di Semenanjung Malaysia, Pantai Cherating di Pahang, Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah di Terengganu, Pulau Pangkor di Perak adalah yang paling popular di kalangan penduduk tempatan, katanya.

- mSTAR

 

Ahad, April 28, 2013

Hidangan RM3 di Taiping, Perak



Seawal pukul 10 pagi lagi, beberapa buah kereta mula memasuki pekarangan rumah Hamidah Hamid yang terletak di Batu 7, Cangkat Baru, Matang, Taiping, Perak.

Situasi itu menjadi lebih meriah menjelang tengah hari hingga pukul 4 petang berikutan semakin ramai pelanggan yang datang untuk menikmati juadah yang disediakan wanita berumur 52 tahun tersebut.

Terdapat empat set meja makan sahaja yang diletakkan di bahagian anjung rumah, namun bilangan itu memadai buat Hamidah yang mesra disapa Kak Midah sementelah dia menguruskan gerai tersebut bersendirian.

Tetapi, jika pelanggan yang datang lebih ramai berbanding biasa, Kak Midah akan menjemput mereka duduk di bahagian ruang tamu rumahnya. Ruang itu sengaja dikosongkan tanpa perabot agar pelanggan boleh menikmati hidangan dengan selesa.

"Seronok kerana dapat menjamu orang ramai makan. Cukuplah empat set meja makan sahaja kerana saya tidak menang tangan untuk menguruskan gerai ini secara bersendirian. Tetapi jika ada ramai pelanggan yang datang serentak, mereka boleh makan bersila," tutur Kak Midah yang tersenyum simpul menyambut kedatangan kru Jurnal.

Premis itu bukanlah sebuah kedai makan, sebaliknya hanya sebuah rumah kampung biasa yang dibuat daripada batu. Tiada tempat memasak khas mahupun dapur besar yang dibina kerana Kak Midah memasak di bahagian dapur rumahnya sahaja.

Sepuluh lauk

Setiap hari seawal pukul 8 pagi, Kak Midah sudah mula memasak. Jumlahnya tidak banyak dan memadai untuk pelanggannya yang tidak ramai. Jika lauk hampir kehabisan Kak Midah akan memasak sekali lagi. Dia sentiasa menjaga kesegaran lauk yang dihidangkan.

"Pada setiap hari, menu yang disediakan adalah berbeza. Sekurang-kurangnya enam jenis lauk akan disiapkan. Ada makanan laut, ikan, ayam, ulaman dan sayuran," katanya yang pernah berkhidmat di sebuah kilang tekstil.

Dalam kunjungan Jurnal pada minggu lalu, kami dihidangkan dengan sepuluh jenis lauk bersama nasi putih termasuklah ayam masak merah, ikan kembung goreng, sotong masak merah, kerang rebus, pajeri nenas, peria masak asam, gulai lemak nangka, air asam, sambal belacan dan timun.

Pada hari kedua, Kak Midah menyediakan ketam masak cili, ikan kembung goreng, kari ikan, asam pedas keladi, sayur campur, jelatah timun dan sambal belacan bersama buah mangga sebagai pencuci mulut.

Namun, jenis masakan yang disediakan bukan satu-satunya faktor istimewa di gerai tersebut. Harga yang dikenakan kepada setiap pengunjung merupakan tangkal penarik pelanggan.

"Saya mengenakan bayaran sebanyak RM3 untuk setiap orang. Tidak kiralah sama ada datang bersendirian atau berkumpulan, jenis hidangan adalah sama. Kesemua lauk-pauk yang saya masak pada hari itu akan dihidangkan di meja seperti makan di rumah," ujar Kak Midah sambil melayan pelanggannya.

Tambah Kak Midah lagi, dia tidak berniat untuk mengaut keuntungan daripada perniagaan itu kerana hasrat asalnya adalah untuk melakukan amal. Dia juga tidak merancang untuk menaikkan harga pada masa akan datang biarpun ramai yang menasihati untuk berbuat demikian.

"Sebenarnya saya bukanlah mahu jadi kaya atau mengaut keuntungan lebih. Tetapi perniagaan ini adalah untuk menunaikan nazar saya sebelum ini.

"Kira-kira sepuluh tahun lalu, saya terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa pulang daripada kerja. Akibat kejadian itu, kaki saya hampir dipotong. Namun, atas takdir Allah, kaki saya kembali pulih biarpun remuk kerana digilis lori.

"Pada ketika itu, dunia terasa gelap seketika mengenangkan masa depan keluarga sekiranya kaki sudah tiada. Apatah lagi kami bukanlah orang senang dan sudah pasti saya tidak akan mampu bekerja lagi. Suami juga hanya berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.

"Saya pernah bernazar untuk melakukan amal jariah kepada masyarakat sekiranya boleh berjalan semula. Kini saya bersyukur kerana sudah mampu untuk bekerja semula biarpun kaki kiri masih terkesan dengan kemalangan itu," katanya yang terpaksa meneruskan hidup dengan lebih 50 batang skru yang masih terpasang pada beberapa bahagian di kaki kirinya.

Biarpun RM3 tidak memberi nilai yang besar kepada sesetengah orang, namun Kak Midah menganggapnya sebagai sebuah perkongsian rezeki sesama manusia.

"Memang ramai yang terkejut dan bertanya sama ada saya boleh mendapat pulangan modal dengan harga itu, tetapi saya sendiri dapat merasa keajaiban rezeki Allah. Kadangkala ada pelanggan yang ikhlas membayar lebih.

"Walaupun masih lagi mampu mendapat pusingan modal, tetapi saya juga mendapat bantuan pinjaman daripada AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia). Namun, jumlah pinjaman itu tidaklah banyak dan cukup untuk membeli set meja makan dan menambah modal pusingan.

"Syukur kerana rezeki masih cukup untuk memberi wang saku kepada empat orang anak yang masih bersekolah," ujar ibu kepada tujuh orang cahaya mata itu.

Saiz sederhana

Untuk mengekalkan kesegaran hidangannya, Kak Midah akan mengunjungi Pasar Matang dan pasar malam di sekitar Matang bagi mendapatkan barangan mentah.

Dengan kos sebanyak RM70 sehari, Kak Midah boleh membeli beberapa jenis barangan termasuklah ikan, ayam, sayuran dan makanan laut kerana sudah mengenali peniaga di pasar. Biarpun perlu menguruskan perbelanjaan yang terhad, dia tidak akan sesekali membeli ikan busuk ataupun sayur yang sudah layu.

"Semua bahan yang saya beli setiap hari adalah segar-segar. Memang barangan dapur sudah mahal pada masa kini, tetapi saya memilih ikan, sotong dan ketam bersaiz sederhana kerana harganya lebih murah," katanya berkongsi rahsia.

Siti Rohani Mat Saad, 45, yang sudah beberapa kali ke gerai tersebut menjelaskan, dia pada mulanya tidak percaya tentang harga tersebut dan menganggapnya sebagai tidak masuk akal.

"Dari segi hidangan memang ia menepati cita rasa saya yang menggemari makanan ala kampung. Cuma sedikit tidak percaya pada harganya yang sangat murah untuk hidangan nasi bersama sepuluh jenis lauk. Minuman juga diberi percuma," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.

Bagi mereka yang pertama kali ke situ mungkin berdepan sedikit kesukaran untuk menemui gerai tersebut kerena ia terletak di dalam kawasan perkampungan.

Menurut pelanggan yang pertama kali singgah ke gerai Kak Midah, Faizah Ismail, 47, sekiranya mencari lokasi gerai tersebut, pengunjung perlulah melalui jalan menuju ke Kuala Sepetang dari arah Taiping.

"Anda akan melepasi Kota Ngah Ibrahim iaitu kira-kira 500 meter untuk ke sini. Dari bandar Taiping pula, jaraknya adalah 10 km. Anda perlu bersedia untuk memasuki sebuah lorong kecil di sebelah kiri sekiranya sudah sampai ke kawasan Masjid Tengku Menteri. Lorongnya adalah bersebelahan sebuah pam minyak lama," katanya.

- KOSMO!

 

Sabtu, Mac 16, 2013

LIMA 2013 jangka tarik 160,000 pengunjung



Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2013 (LIMA '13) di Langkawi kali ini dijangka lebih meriah dengan jumlah kedatangan pengunjung dijangka lebih 160,000 orang sepanjang lima hari acara itu bermula 26 Mac sehingga 30 Mac 2013 ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sasaran itu diyakini dicapai kerana LIMA ‘13 menampilkan pelbagai acara hebat menerusi segmen udara dan maritim.
Beliau berkata, hingga kini sebanyak 78 pesawat sudah mengesahkan penyertaan dalam segmen udara di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), manakala kapal selam kedua negara KD Tun Abdul Razak akan menyertai 65 kapal tentera laut lain dalam segmen maritim di Awana Porto Malai.


“Antara syarikat terkemuka yang sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam acara dwitahunan itu ialah Airbus, Agusta Westland, BAE Systems, DCNS, Eurofighter, Kongsberg, EADS, Sukhoi dan Dassault Aviation.

“Sebanyak 189 syarikat tempatan bakal menyertai LIMA 13 antaranya termasuk Nadi, Sapura, MTU Malaysia dan CTRM,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

Isnin, Februari 25, 2013

Melaka Bakal Miliki Jurassic Park Pertama Di Asia

Melaka bakal mempunyai sebuah taman haiwan purba dikenali sebagai 'Jurassic Park' bernilai RM200 juta yang dirancang dibina bersama beberapa projek pelancongan lain di Dataran 1Malaysia.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata destinasi pelancongan yang pertama seumpamanya di Asia itu akan mempamerkan 200 spesies dinosaur melalui kaedah hidrolik dan elektronik.

Beliau berkata Jurassic Park itu akan dibina bersebelahan dengan sebuah lagi taman tema iaitu Melaka Sea World, melibatkan kawasan seluas 12.1 hektar yang akan dilaksanakan secara usahasama oleh Yayasan Melaka dan syarikat swasta, Eden Incorporation Berhad.

"Perbincangan mengenai projek ini berjalan lancar dan memorandum persefahaman (MoU) dijangka ditandatangani pada Mac depan," katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat mengenai projek tersebut di Seri Negeri, Isnin.

Katanya Jurassic Park itu dijangka siap dibina dalam tempoh dua tahun selepas MoU tersebut ditandatangani.

Mohd Ali berkata Jurassic Park itu dijangka mampu menarik lebih satu juta pelancong setahun.

Sementara itu, beliau berkata kawasan Dataran 1Malaysia turut akan menempatkan Melaka Sea World yang akan dilengkapi galeri ikan paus terbesar di negara ini di atas tapak berkeluasan 60.7 hektar.

Beliau berkata projek lain yang turut dibina di kawasan tersebut termasuk Dataran Peta Malaysia bernilai RM2 juta, 21 restoran bas dan 20 chalet bas bernilai RM2.7 juta serta tiga padang bola bernilai RM1.4 juta.

- BERNAMA


Khamis, Februari 21, 2013

Taman Tema Berkonsepkan 'Sea World' Dibina Di Melaka

Sebuah taman tema berkonsepkan 'dunia laut' (Sea World) akan dibina di kawasan Dataran 1Malaysia di sini, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, projek pelancongan melibatkan kos kira-kira RM300 juta ditanah berkeluasan 60.7 hektar itu akan menempatkan galeri ikan paus terbesar di negara ini yang bakal menjadi ikon pelancongan baru di Malaysia.

"Taman tema ini akan mempamerkan pelbagai spesies hidupan laut di dalam sebuah akuarium yang besar mengatasi Underwater World Langkawi," katanya kepada pemberita ketika melawat tapak projek pelacongan itu di Melaka, Rabu.

Katanya, projek itu akan dilaksanakan secara usahasama oleh Yayasan Melaka dan syarikat swasta, Eden Incorporation Berhad.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, kawasan Dataran 1Malaysia itu turut akanmenempatkan beberapa projek pelancongan lain termasuk pembinaan Dataran Peta Malaysia bernilai RM2 juta, 21 restoran bas dan 20 chalet bas bernilai RM2.7 juta serta tiga padang bola bernilai RM1.4 juta.

 - BERNAMA


Khamis, Februari 14, 2013

AirAsia tawar 10,000 lagi tempat duduk percuma Integrasi (Penerbangan 1 - 30 April 2013)


KUALA LUMPUR 14 Feb. 2013 - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menawarkan 10,000 tempat duduk percuma kepada rakyat Malaysia bagi penerbangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, setelah mendapati Program Integrasi 1Malaysia Bersama AirAsia terdahulu mendapat sambutan.

Tempahan ke atas 10,000 lagi tempat duduk percuma itu boleh dibuat menerusi laman sesawang AirAsia, www.airasia.com bermula pukul 12 tengah malam 15 Februari 2013 (Jumaat) untuk tempoh 24 jam. Semua rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan yang sah boleh membuat tempahan.

Penerbangan adalah dari Semenanjung Malaysia (Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru) ke Sabah dan Sarawak (Kota Kinabalu, Kuching, Labuan, Sandakan, Miri, Tawau, Sibu dan Bintulu) dan sebaliknya.

Tarikh bagi penerbangan itu adalah dari 1 April hingga 30 April 2013.

Namun tawaran ini tidak dibuka untuk penerbangan setempat di dalam Semenanjung Malaysia atau Sabah dan Sarawak.

Selain itu, penumpang masih perlu membayar surcaj bahan api dan cukai lapangan terbang.

Malah peruntukan bagasi, makanan dalam pesawat, pemilihan tempat duduk dan nilai tambahan yang lain tidak termasuk di dalam pakej tempat duduk percuma yang ditawarkan.

Menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataannya, tawaran tempat duduk percuma itu adalah susulan daripada Program Integrasi 1Malaysia Bersama AirAsia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Januari lalu.

Ktika program itu dilancarkan, kesemua 10,000 tempat duduk percuma telah habis ditempah dalam tempoh tidak sampai 12 jam.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd., Aireen Omar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan sambutan di dalam program yang sama sebelum ini dan berharap semua rakyat Malaysia yang tidak berkesempatan memperolehi tempat duduk percuma sebelum ini berpeluang mendapatkannya.

"AirAsia juga berbangga untuk terlibat dalam menghubungkan penduduk di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak melalui program ini," katanya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Sumber : UTUSAN


 

Sabtu, Februari 02, 2013

Istana Negara Lama kini dibuka kepada umum



BAGI kebanyakan orang, memasuki Istana Negara lama yang dibuka kepada orang awam buat pertama kali pada 1 Februari 2013, akan memberikan satu pengalaman yang mengujakan.

Bagaimanapun, bagi segelintir mereka, ia akan menjadi sebagai satu ziarah seorang sahabat lama.

Bagi Dr Mubarak Chan Chin Cheung, 79, yang mana kehidupannya yang tidak gembar-gemburkan, bermula dengan rumah agam yang sangat cantik yang terletak di atas cerun bukit.

“Saya dilahirkan di sini pada 1934, yang paling muda di antara 22 adik-beradik. Rumah agam ini merupakan kediaman keluarga terutama ia dibina oleh ayah saya yang mahukan seluruh ahli keluarga tinggal di tempat yang sama,” katanya.

Rumah agam itu dibina oleh arkitek Swan dan McLaren, yang memiliki firma seni bina yang tertua di Singapura setakat ini dan turut bertanggungjawab terhadap pembinaan di Rumah Bok Jalan Ampang dan Hotel Raffles di Singapura.

Ia mempunyai beberapa bilik tidur, dua perpustakaan, dua bilik permainan kad, dua bilik muzik, sebuah bilik ‘altar’, sebuah bilik tukang gunting rambut, dua dapur dan sebuah dewan makan yang besar yang boleh memuatkan 10 meja.

“Kami juga mempunyai sebuah kolam teratai yang sangat besar di taman dan berdekatan dengannya terdapat rumah sekolah.

“Ia turut juga mempunyai sebuah dusun dengan beberapa pokok buah-buahan,” kata Chan sambil menambah bahawa beliau dapat melihat Batu Caves dari tingkap bilik tidurnya.

Hartanah di atas tanah berkeluasan 5.26 hektar itu bertentangan dengan Sungai Klang dan Chan diingatkan acara-acara yang meriah sering diadakan di rumah agam itu.

“Bapa saya biasanya menghiburkan para tetamu dalam satu majlis besar-besaran dengan tarian singa semasa Hari Tahun Baru China. Perabot-perabot istimewa disusunkan dan rumah akan dihias begitu indah,” katanya, sambil menambah bahawa mereka sering menjemput kumpulan kontinjen Polis Selangor untuk bermain muzik.

Beliau turut mengenangkan seekor patung harimau yang diawet, dengan panjangnya kira-kira dua meter berada di kedudukan utama di bawah salah satu tangga, yang diletakkan di dalam sebuah kotak kaca.

Haiwan itu telah ditembak di salah sebuah ladang getah di Johor, yang dimiliki oleh bapa beliau, Chan Wing.

Keturunan Chan berasal dari wilayah Guandong di China semasa zaman remajanya bagi mencari peluang yang lebih baik pada 1889.

Beliau bertuah apabila Syarikat Hong Fatt Mining yang diasaskan olehnya bersama beberapa yang lain menjadi lombong timah secara terbuka yang terbesar dan terdalam di dunia.

Ia kini menjadi tapak bagi The Mines Resort City.

Ini mendorong kepada beberapa lagi kejayaan usaha beliau termasuk mengasaskan Bank Kwong Yok Kuala Lumpur secara usaha sama.

Chan menjejaki tanah istana pada 1977 bagi menerima pingat Johan Mangku Negara, saat terakhir beliau memanggilnya sebagai kediaman pada 1941, sejurus sebelum keluarganya terpaksa melepaskannya apabila peperangan tercetus di Tanah Melayu.

Keluarganya menyelamatkan diri dengan pelbagai cara, dan akhirnya menyebabkan masing-masing terpisah di seluruh dunia, di mana bapanya dan seorang abang di Perth Australia dan beberapa ahli keluarga yang lain di India.

Semasa ketiadaan mereka, rumah agam itu dirampas dan banyak barang telah hilang.

Akhirnya, ia menjadi kediaman rasmi bagi Gabenor Jepun di Tanah Melayu dari 1942 sehingga 1945 dan, selepas perang berakhir, Pentadbiran Ketenteraan British menggunakannya dari 1946 sehingga 1951 sebagai kuarters bagi para pegawainya bagi pangkat Brigadier ke atas.

“Kemudian dari 1952 sehingga 1956, rumah agam itu disewakan oleh kerajaan negeri Selangor sebanyak 5,000 Straits Dollars dan selepas itu, pada 1957, kediaman kami dijual kepada kerajaan persekutuan dengan 1.4 juta untuk dijadikan sebagai kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong,” kata Chan.

Salah satu perubahan besar terhadap hartanah itu sejak keluarganya menetap di situ adalah kedudukan pintu masuk utama.

“Pintu masuk sekarang dibuat semasa pendudukan Jepun. Apabila ayah saya membina rumah ini, pintu masuk adalah di mana pintu belakang sekarang. Ia dilihat sebagai ‘feng shui’ yang lebih baik,” katanya.

Sebagai sebuah istana, bangunan itu melalui beberapa pengubahsuaian, termasuk satu perubahan pada 1980 untuk membina Balairong Seri Utama yang digunakan buat pertama kami semasa pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang ketujuh.

Chan begitu kesal apabila orang ramai seolah-olah melupakan pembina bagi istana lama itu, dan tiada satu pun jalan yang mengambil bersempena dengan nama pembinanya.

“Malah beliau (pembina) merupakan ahli lembaga pengarah bagi Sekolah Cina Confucian bersama dengan beberapa individu seperti Chan Sow Lin dan Loke Chow Kit,” katanya, sambil menambah bahawa pendidikan adalah amat penting untuk Chan Wing dan 15 ahli keluarganya yang belajar di Universiti Cambridge antara 1920 dan sekarang, termasuk dirinya sendiri.

- MSTAR

Recent Posts