Memaparkan catatan dengan label Najib. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Najib. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 02, 2011

Teks Ucapan Presiden UMNO pada Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2011

TEKS UCAPAN PENUH PRESIDEN UMNO PADA PEMBUKAAN PERHIMPUNAN AGUNG 2011

MUKADDIMAH

Saudara dan Saudari sekalian,

Alhamdulillah, dizahirkan sejuta kalimah syukur ke hadrat Allah SWT, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita dapat sekali lagi berkumpul dalam dewan penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang senantiasa dipersadakan kepimpinannya.

Berbekal rasa tawadhu' dan kerendahan hati, Perhimpunan Agung Umno kali ini ditandai masuknya Tahun Baru Hijrah 1433. Ini bererti, hampir 1380 tahun wafatnya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi.

Baginda telah kembali ke pangkuan Ilahi. Pergi selamanya meninggalkan kita dengan dua pegangan utama yakni Al-Quran dan Sunnah sebagai suluh sepanjang zaman agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup di dunia ini.

Menyisir sirah Nabawi, dengan beriktibar daripada rentetannya, Rasul yang agung itu, telah mewariskan kepada tamadun kemanusiaan suatu riwayat kepimpinan penuh berteladan.

Baginda telah didokong dan didamping, penuh kemuliaan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Pertama selaku teman setia yang arif berpengalaman, Saidina Umar Al-Khattab, Khalifah Kedua, Al-Faruq yang menjadi perlambangan ketegasan prinsip beragama.

Seterusnya, Saidina Uthman Al-Affan, Khalifah Ketiga, hartawan amanah dengan kewarakan dan keperibadian tiada tolok bandingnya, manakala Saidina Ali, Khalifah Keempat, simbol ketokohan golongan muda yang sanggup berkorban apa saja. Dimuliakan wajahnya serta turut digelar sebagai Singa Allah sepertimana Saidina Hamzah.

Sayugialah, para cendekiawan dan para pengkaji menyifatkan tali temali perjuangan suci Baginda dalam menegakkan syiar Islam, sebagai penuh berstrategi.

Semuanya dipintal dan diikat oleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti cinta dan kasih kepada perjuangan, ketaatan, kesetiaan, pengorbanan, keikhlasan, kejujuran, amanah, kuat kerja, tidak putus asa, tabah dan pastinya bertawakal kepada Allah.

Saudara dan Saudari,

Menjejaki laluan tersebut, kita mahu terus mencontohi dan mengambil pengajarannya, bagi memperelok dan memperbaiki perjuangan Umno, yang selama ini turut dipersaksikan oleh perjalanan suka duka, pahit dan manis, selaku sebuah parti penuh berjasa.

Tahun ini, Umno menyambut kelahirannya yang ke-65. Hampir tujuh dekad berjuang sebagai organisasi politik yang menyejarah, mendaging dan mendarah dalam ikhtiar memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu.

Sungguh jauh kita berjalan. Sungguh banyak hitungan masa. Walau dihadap segenap cabaran, walau dilempar segala fitnah, walau diterjah sedemikian banyak taktik jahat lagi kotor, digodam dan dihentam oleh pihak lawan, terbukti kita tidak pernah pudar semangat, tidak akan mengalah, dan, tidak akan mungkin padam cita-cita.

Bahkan, derap demi derap, terus menyusun strategi, mengatur langkah demi langkah, mara ke hadapan, menjulang panji-panji bangsa, agama dan Negara.

Saudara dan Saudari,

Bersesekali dengan itu jua, saya pohon, marilah kita sama-sama bangun dan berdiri..., bangkit, untuk beri satu penghormatan kepada para pendahulu, kesatria-kesatria Umno, warga parti yang tidak didendang serta barisan negarawan unggul lagi terbilang yang dilahirkan oleh perjuangan mulia ini.

Marilah..., marilah, kita angkat tinggi penghargaan kepada semuanya. Bermula dengan gemulah tokoh-tokoh tersanjung yang telah pulang menyahut panggilan Ilahi seperti Allahyarham Datuk Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein, Allahyarham Tun Dr Ismail dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba.

Begitulah juga tokoh-tokoh yang masih teguh berbakti hingga ke detik ini.

Saudara dan Saudari,

Khususnya, kalungkanlah penghormatan kita kepada parti bertuah ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni Umno yang telah memungkinkan sebuah negara merdeka terbina gagah, ilmu pengetahuan digembur dan disebar luas pada anak-anak, belantara dipugar, sawah ladang diusahakan, hingga laba yang lumayan melimpah-limpah ke kaki halaman.

Sememangnya termaktub, ceritera kejayaan Malaysia adalah cerita kejayaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yakni Umno, bersama dengan rakan-rakannya. Parti Perikatan, yang kemudiannya bergelar Barisan Nasional, adalah satu jelmaan dan terjemahan hasil pakatan ikhlas kaum Melayu/Bumiputera beserta kaum-kaum lain di Malaysia.

Berkat pengurusan negara yang begitu cekap, terutamanya di lapangan ekonomi, wajah Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, diawali dengan lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, di mana, kurang daripada empat peratus penduduknya berada bawah paras kemiskinan relatif manakala kemiskinan tegar pula hampir berjaya dibasmi.

Jika dihalusi, susur galur kejayaan ini, mempunyai bibit-bibitnya dalam prakarsa, perancangan rapi, penggubalan dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan yang diterajui Umno. Dalam kata lain, ia tidak terjadi secara sendiri mahupun dalam vakum atau kelompongan.

Lantas, usahlah kita berasa bimbang dan ragu. Malaysia, nyatanya, bukanlah sebuah kisah ditulis parti pemerintah yang gagal. Ia dinukil oleh sebuah parti yang berhak untuk berbesar hati, bahawa, mandat dan kepercayaan diberikan oleh rakyat Malaysia, telah digunakan sebaik-baiknya, demi kebajikan dan kegemilangan pertiwi.

Menghayati ehwal demikian, secara sedar atau tidak, bukan semua parti politik jika membentuk kerajaan akan menghasilkan kejayaan yang sama seperti kita. Lihat saja kepada sejumlah besar negara di dunia, waima, mempunyai pelbagai potensi termasuk sumber asli yang kaya, namun dek sebab kerajaan tidak berkebolehan, sia-sialah segala faktor dimiliki, malah akhirnya mereka menjadi negara yang gagal.

Saudara dan Saudari,

Pada perhimpunan tahun lepas, saya telah bercakap dan membicarakan dari sudut falsafah dan asal usulnya, siapakah itu Melayu. Kita dah dengar bahawa antara terhitung dalam kelompok Melayu adalah Bugis, Minang, Arab, Muallaf, serta berpuluh suku kaum di Sabah dan Sarawak.

Hatta Mamak dan Malbari pun dah serap jadi Melayu. Celah-celah itu, ketiga-tiga Naib Presiden kita tampaknya terdiri daripada Jawa, Turki dan Bajau Laut atau lanun. Saya kata takpalah, yang penting semua kira Melayu.

Jadinya, pada perhimpunan kali ini, setelah saya belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun dalam parti, bersempena pula Umno sudah menjangkau satu umur yang sangat dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang Umno. Maksud saya, bilamana memperkatakan tentang parti, kita semua, sebenarnya, tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli Umno.

Sebaliknya, kita perlu menjadi orang Umno. Makna kata, orang Umno yang tergambar dan terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang dipegang.

TAAT DAN SETIA

Pertama sekali, orang Umno itu adalah, orang yang taat dan setia kepada parti. Orang Umno tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti. Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat.

Dalam berijtihad pula, orang Umno harus mencipta kebaikan untuk parti. Mengambil mufaham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dengan indahnya pada helaian Surah An-Nisa', apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati.

Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai Panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa. Sekalipun sedang berada dikemuncak karier, menurut sejarahnya tidak pernah kalah perang.

Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang.

Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang-orang Umno.

Bercakap tentang taat setia juga, kita tak mau, bila depan kita disuruh angguk, dia angguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi di belakang lain pulak halnya.

Jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi kelingking berkait.

Saudara dan Saudari,

CINTA DAN KASIH

Adapun nilai kedua orang Umno itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dalam lagunya; itulah kasih mesra, sejati dan mulia.

Dalam hal ini, apabila ada rasa cinta dan kasih kepada parti, orang Umno itu juga adalah, orang yang tidak takut dan tidak gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.

Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.

Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang Umno wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan.

Seperkara utama lagi adalah, cerdik pandai berfatwa, tak kenal maka tak cinta. Lantaran, untuk mencintai parti, orang Umno wajar kenal sejarah parti, samada yang tersurat, mahupun yang tersirat. Begitulah, seharusnya menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

Pendek kata, orang Umno harus melihat parti sebagai satu-satunya wadah yang mampu membela untung nasib orang Melayu. Dalam berusaha pula, sebagai tanda kasih, orang Umno sewajibnya bersemangat dan tidak sesekali mengecewakan parti yang dicintai.

Meluncur topik cinta dalam berorganisasi, orang Umno wajib ada cinta yang satu sahaja kepada parti, tidak boleh cinta poligami, tidak boleh cinta berbelah bagi atau kata orang Indonesia berbagi cinta…tak mungkin Pak...enggak bisa Pak.

Saudara dan Saudari,

BERKHIDMAT TANPA JEMU DAN BERKORBAN

Orang Umno itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang Umno. Bersandarkan prinsip persalingan, orang Umno harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat. Beringatlah bahawa, rakyat sedang memerhati kita. Kata orang, rakyat itu sentiasa merasa, mendengar dan mengadili, biar betapapun senyap suara mereka, biar betapapun jua diam gerak geri mereka.

Disudut lain, sambil menghadam peradaban Melayu, orang Umno perlu bermuhasabah ke dalam diri masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah? Mahu tidak mahu, orang Umno harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan Umno menang, biar dilintang apapun dugaan, orang Umno mesti terus berdamping dengan rakyat.

Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua. Kita wajib jadi juara.

Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruah parti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.

Saudara dan Saudari,

1946

Terpanggu atas segalanya, kejayaan terbesar Umno adalah menyatupadukan orang-orang Melayu melalui penubuhannya pada 11 Mei 1946. Lantaran itu, perlu ditegaskan bahawa, kejayaan ini bukannya kecil, jauh sekali daripada bersifat enteng kerana bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, masih belum endah politik, disamping terbelenggu semangat kenegerian.

Jangan dilupa juga, termusta'id dalam lembaran sejarah bahawa, Umnolah yang telah berjaya menguburkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu.

Sekaligus, ditanda dengan episod itu, Umno telah berbakti menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.

Saudara dan Saudari

1951

Kemudiannya, satu episod getir telah dilalui oleh Umno apabila Datuk Onn Jaafar seorang tokoh bangsa, selaku Presiden Pengasas, meletakkan jawatan, sebagai Yang DiPertua dan keluar dari parti.

Pada masa tersebut, banyak pihak telah menitipkan belasungkawa dan membacakan talqin terhadap Umno kerana hilangnya kepimpinan. Sekalipun begitu, pemilihan parti telah menyaksikan Tunku Abdul Rahman mengambil tempat sebagai Yang DiPertua dengan Tun Razak sebagai Timbalannya yang setia.

Ternyata, telahan kelam oleh pelbagai pihak bahawa, Umno akan karam, amat meleset, malah, penggantian kepimpinan ini telah merancakkan lagi usaha bagi mendapat kemerdekaan negara. Serentak dengan itu, slogan "Hidup Melayu" telah diubah kepada "Merdeka".

Kendatipun para ahli tidak menerima cadangan Datuk Onn untuk membuka pintu Umno kepada orang-orang bukan Melayu, kepimpinan parti waktu itu, memahami realiti yang ada dan berfikir panjang, malah berilham jauh ke hadapan dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik, melalui Parti Perikatan dengan menggabungkan Umno, MCA dan MIC.

Yang termustahak adalah, taat setia semua kaum kepada Persekutuan Tanah Melayu. Saudara dan Saudari,

1955

Menyentuh usaha tersebut, iltizam Umno bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihanraya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan, prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan Umno apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2.

Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti Melayu, dan hanya 2, kawasan majoriti Cina.Perlu diketahui juga, pecahan pengundi semasa pilihan raya tersebut, mencatatkan majoriti kira-kira 84 peratus atau lebih 1 juta pengundi Melayu. 11 peratus atau seramai 143 ribu pula, adalah pengundi Cina, manakala 50 ribu, atau, hampir 4 peratus sahaja, di kalangan pengundi India.

Hakikat tersebut nyatanya, tidak menghalang semua calon parti MCA dan parti MIC untuk menang. Bagi pemimpin dan orang-orang Umno, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa.

Keikhlasan ini dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang Umno untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihanraya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan.

Terbukti, sejak dari dulu lagi, Umno bukanlah sebuah pertubuhan rasis. Umno sebenar dan sebetulnya adalah pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum, yang akhirnya, telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

1957

Umno juga melalui Parti Perikatan telah mengemudi pelayaran bahtera merdeka, tanpa pertumpahan darah, mahupun revolusi. Ia dimeterai atas meja rundingan. Syukur, tiada kemusnahan, sekalipun terhadap sumber kekayaan negara, samada dalam bentuk ladang mahupun lombong.

Ini, membolehkan kerajaan yang baru merdeka, membina sebuah watan aman berjaya, di atas asas-asas pemerintahan sedia ada.

Setepatnya, kisah kejayaan kita bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan, 54 tahun yang lalu. Ia bertitik tolak apabila Kerajaan Perikatan dengan kuasa terhad, di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dibentuk pada tahun 1955.

Sebaik sahaja mencapai taraf berkerajaan sendiri, Perikatan mula mengorak langkah, bagi membaiki nasib rakyat, dengan penggubalan Rancangan Malaya Pertama, antara tahun 1956 hingga 1960. Dalam ketika itu, pada 1956, Felda ditubuhkan, disusuli pula langkah-langkah lebih konkrit pasca merdeka.

Penubuhan Felda menjadi satu langkah yang amat mendahului waktunya. Ia telah memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanah, ia telah membawa sinar kepada mereka yang tidak mempunyai harapan, dan ia telah menawarkan permulaan baru untuk warga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan.

Segala tahmid ke hadrat Yang Esa, hari ini terdapat lebih 100 ribu peneroka di seluruh negara yang telah menikmati hasil rancangan penuh berwawasan ini, bersama-sama ratusan ribu generasi kedua.

Saudara dan Saudari,

Berbalik kepada salasilah, apabila negara memperoleh kemerdekaan, maka cabaran pertama dihadapi Umno dan Parti Perikatan ialah, bagaimana hendak menangani pengaruh dan ancaman Parti Komunis Malaya serta menamatkan darurat yang telah diisytiharkan pada tahun 1948.

Alhamdulillah, matlamat ini telah berjaya dicapai, kurang daripada tempoh tiga tahun selepas 1957.

Kejayaan yang dicapai bukanlah sedikit, sebaliknya ia begitu signifikan dan tersergam kepada negara. Kita harus melihat kejayaan ini dari perspektif apa yang berlaku dirantau ini.

Kalau diamati, walau ada penglibatan kuasa besar dunia dengan kekuatan militer tanpa tolok banding, masih tidak mampu menghalang pengaruh komunisme. Sebaliknya, sebuah kerajaan baru merdeka, dengan sokongan padu rakyat, berjaya menyanggah teori domino.

Oleh yang demikian, Umno mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayat semula sejarah, dengan memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya.

Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia. Selepas memenangi keamanan, telah diisytiharkan pula perang terhadap kemiskinan dan kemunduran.

Seperti disebut tadi, ini wajar dilakukan kerana, seawal merdeka, lebih 89 peratus rakyat Malaya hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan kadar buta huruf yang tinggi, akses kepada pendidikan yang rendah, ditambah pula kemudahan asas yang terkebelakang.

Lucunya, kita kini mendengar pihak-pihak tertentu tanpa segan silu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, kerana, baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Sesungguhnya, mereka sudah 60 tahun terlewat.

Soalnya, kenapakah kini, baru prihatin terhadap kebajikan rakyat? Kita ingin bertanya, sebelum ini apa matlamat perjuangan mereka? Adakah matlamatnya semata-mata untuk memecahbelahkan ukhuwah umat? Hakikatnya, dengan segala inisiatif dan perlaksanaan demi rakyat, kerajaan Barisan Nasional sudah sejak melebihi enam dekad, mengamalkan konsep negara berkebajikan.

Saudara dan Saudari,

1969

Apabila tragedi hitam rusuhan kaum 1969 terjadi, prognosis pemerhati antarabangsa terhadap Malaysia amat buruk. Mereka meramalkan kita akan gagal manakala rakyat seolah-olah telah hilang harapan. Sementelahan pun begitu, Umno dan rakan-rakannya jauh dari menyerah kalah atau hilang pedoman.

Sehubungan peristiwa ini juga, jangan sekali-kali kita alpa bahawa, terdapat di kalangan pemimpin pembangkang, turut terlibat mengapi-apikan slogan untuk menghina orang Melayu sehingga berlakunya tragedi 13 Mei.

Saudara dan Saudari sekalian,

1970

Tarikh 22 September 1970 menyaksikan Tunku Abdul Rahman melepaskan kepimpinan negara diikuti kepimpinan parti. Tun Razak telah mengambil alih kedua-dua jawatan tersebut, maka bermulalah era pelaksanaan DEB. Fokus masih lagi kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ini dicerminkan menerusi penubuhan agensi, antara lainnya, Risda, untuk pekebun kecil getah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ternakan Negara, masing-masing untuk petani, peladang dan penternak. Bagi merancakkan pembangunan wilayah pula, kerajaan telah menubuhkan Kejora, Ketengah, Perda, Keda, Kesedar, Dara dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.

Bagi mencipta masyarakat perdagangan dan perindustrian serta kemasukan kaum Melayu/Bumiputera ke dalam sektor moden pula, kerajaan telah menubuhkan agensi seperti Bank Bumiputra, Uda, Pernas dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau PABK.

Kesan utama pelaksanaan dasar ini, dan pewujudan Barisan Nasional adalah terciptanya kestabilan sosial yang membolehkan pertumbuhan ekonomi mapan dengan kadar pukul rata hampir 7 peratus untuk dua dekad berturut-turut. Ini secara langsung telah meningkatkan kemakmuran serta taraf hidup semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

Saudara dan Saudari,

1988

Umno menghadapi saat paling dahsyat apabila parti keramat ini diharamkan pada tahun 1988. Ini kerana keputusan pemilihan parti 1987 tidak dapat diterima dan kes telah dibawa ke mahkamah. Walaupun Umno berpecah dua, seraya menyaksikan satu percubaan untuk meniru konsep Barisan Nasional melalui Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah, hal ini tidak berjaya, kerana tidak ada keikhlasan.

Sungguh apapun, segala cabaran telah berjaya diharungi. Bangkit dari runtuhan Umno lama, Umno baru telah wujud bagi terus membela umat Melayu dalam satu proses pemulihan parti dengan tidak mengambil masa yang lama.

Saudara dan Saudari,

1990

Berlawanan dengan tafsiran cetek oleh sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang-orang bukan Melayu. Buktinya, setelah dua dekad pelaksanaan, pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan pukul rata isi rumah mereka, masih yang tertinggi antara kaum di Malaysia.

Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar, menjelang berakhirnya dasar ini. Saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000.

DEB, sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak.

Salah satu kisah kejayaan lagi, ialah bertambahnya jumlah profesional Melayu/Bumiputera. Jika dikaji, ketika bermula pelaksanaannya pada awal 70an, hanya terdapat kurang 5 peratus profesional daripada kaum Melayu dan Bumiputera.

Jumlah ini telah bertambah kepada 45 peratus dari keseluruhan profesional hasil DEB dan dasar-dasar seangkatan dengannya.

Prakarsa kerajaan melalui penubuhan sekolah berasarama penuh atau SBP dalam bentuk Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains MARA, pusat asasi sains, matrikulasi untuk IPTA tempatan dan penghantaran pelajar ijazah pertama ke luar negara menjadi pemangkin yang telah membawa kepada kemunculan kelas pertengahan Melayu.

Dasar ini juga telah menunjang pergerakan menegak mobiliti sosial, maka tidak pelik melihat anak seorang buruh kasar hari ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan. Anak pesawah, penoreh getah, nelayan dan peladang pula menjadi anggota pentadbiran tertinggi, penjawat awam dan korporat, usahawan, hartawan dan cendekiawan.

Saudara dan Saudari,

Sebagai dimaklumi, asalnya kita adalah sebuah negara pertanian yang eksport utamanya adalah komoditi seperti getah, kelapa sawit dan bijih timah. Pada pertengahan tahun 80an, apabila pulih daripada menghadapi kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi utama negara, kerajaan telah memulakan proses industrialisasi.

Tumpuan juga mula diberikan bagi menjadikan Malaysia pusat tarikan pelancongan global disamping pembinaan projek infrastruktur yang besar. Misalnya, Lebuhraya Utara-Selatan yang telah berjaya merangsang pertumbuhan dan proses urbanisasi.

Pucuk pangkalnya, semua inisiatif, dasar dan program ini telah membawa kepada perubahan struktural bukan sahaja kepada lanskap sosioekonomi rakyat Malaysia tetapi juga kepada sistem nilai, taraf hidup dan pendidikan lebih tinggi serta akses kepada maklumat yang lebih luas.

Saudara dan Saudari,

1999

Direnung-renung dan ditinjau-tinjau semula, dalam Pilihanraya 1999, sungguhpun penggunaan telefon bimbit makin meningkat, disebabkan keupayaan teknologi masih terbatas ketika itu, ia belum mampu menyalurkan data.

Maka, e-mel, faks dan laman sesawang yang tidak interaktif, menjadi medium popular sebagai penyampai berita alternatif. Meneropong kembali, waktu itu, belum ada Google, belum ada Facebook, belum ada Twitter hatta telefon pintar.

Berbanding sekarang ini, menurut data dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kita mencatat 36 juta pelanggan telefon selular, iaitu kadar penembusan 124%, atau, 124 set bagi 100 penduduk. Penembusan jalurlebar sekarang pula telah meningkat kepada 62% langganan isi rumah. Dengan kata lain, 4 juta isi rumah dari sejumlah 6.5 juta isi rumah, atau, lebih 16 juta penduduk Malaysia mempunyai kemudahan jalurlebar.

Selain itu, lebih 40 peratus yang melanggani TV satelit berbayar, mendedahkan mereka kepada saluran berita seperti CNN, BBC dan Al-Jazeera, bagi mengikuti perkembangan dunia secara langsung.

Saudara dan Saudari,

2011

Bertapak jauh selepas satu dekad, pengenalan SMS, MMS, BlackBerry Messenger, telefon pintar, media sosial, tablet eletronik pintar dan Wi-Fi percuma telah mejadikan akses kepada idea, pendapat dan berita melaluinya menjadi lebih mudah.

Umpamanya, ucapan perayaan Aidil Adha, yang disiarkan semasa saya dan rombongan mengerjakan Haji baru-baru ini, telah dirakam semasa di Padang Arafah, dengan menggunakan iPhone, sebelum diedarkan kepada media tempatan.

Saudara dan Saudari,

Berkalam tentang kecanggihan sebegini, demikian kita menyaksikan saat-saat akhir Saddam Hussein di tali gantung, serta juga nasib yang menimpa Muammar Gaddafi. Perubahan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen serta protes di Syria seperti kita lihat, adalah juga, genesis kepada medium media sosial.

Kita dapati, walaupun pemerintah negara-negara berkenaan cuba untuk membuat putaran cerita, namun dengan hanya telefon pintar, jalurlebar dan YouTube, mampu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, di negara-negara tersebut.

Berpacu dari sini, kerajaan, melalui SKMM telah mewujudkan lebih kurang 560 pusat jalurlebar masyarakat, iaitu hampir satu di setiap mukim di negara ini. Kita mantapkan lagi usaha penubuhan lebih 1,300 kampung tanpa wayar di merata negara, agar, rakyat keseluruhan, berkemampuan melayari internet manakala 1,700 lagi masih dalam proses.

Malaysia sekarang sudah terletak antara tangga teratas di kalangan negara Asean dari segi kemampuan ICTnya. Kita juga mempunyai 17.5 juta pengguna Internet, dan menurut kajian, orang Malaysialah, yang paling ramai mempunyai rakan Facebook, yakni, secara puratanya, 234 bagi setiap seorang.

Saudara dan Saudari,

Begitu juga bermula tahun 90-an, bagi menangani perasaan tidak puas hati terhadap akses pendidikan tinggi, maka, bermula tahun 1995, kerajaan telah mengorak langkah untuk meliberalkan sektor pengajian tinggi tempatan.

Kesannya, dari hanya 9 buah universiti awam, hari ini telah bertambah menjadi 20. Disamping itu, 25 universiti, 22 kolej universiti dan lebih 400 kolej swasta serta 5 kampus tempatan universiti asing kini telah wujud. Saudara dan Saudari sekalian,

Hasil peningkatan taraf sosioekonomi dan akses lebih meluas kepada pendidikan pasca menengah, telah mewujudkan generasi rakyat Malaysia baru lebih kritikal dan meningkat ekspektasinya terhadap kerajaan.

Generasi ini adalah anak-anak kepada generasi pertama DEB. Mereka dilahirkan bermula tahun 70an. Generasi ini, tidak suka dibentak-bentak, tidak suka diarah-arah apa yang perlu dilakukan, tidak gemar diberitahu apa yang benar dan salah, serta paling tidak disenangi mereka apabila kita mengungkit-ungkit jasa-jasa kita yang lalu.

Kita dapati bahawa, mereka ini mahu terus dirundingi, mahu kebebasan untuk menilai, berhujah dan membuat keputusan berdasarkan kepada pasaran maklumat dan idea yang ada. Jadinya, untuk terus kekal, Umno perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda, supaya parti kita difahami.

Lalu, dalam persekitaran inilah kerajaan mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU bagi membenarkan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam untuk menjadi ahli parti politik apabila mencapai umur baligh undang-undang atau 18 tahun. Saudara dan Saudari,

Umno sentiasa mendengar suara dan menghargai peranan serta sumbangan orang muda. Kita mengiktiraf mereka bukan sahaja apabila menghadapi pilihan raya, sebaliknya pada setiap masa dan ketika.

Dalam sejarahnya, Umno adalah parti politik pertama di negara ini, yang mempunyai sayap untuk orang muda, lelaki, wanita dan diikuti dengan sayap puteri. Bagi meningkatkan peranannya, dalam pindaan Perlembagaan Umno yang terbaru, kita telah menambah jumlah perwakilan di peringkat Bahagian dan Perhimpunan ini.

Malah, jumlah mereka juga ditokok dalam proses memilih pucuk pimpinan parti.

PENUTUP

Saudara dan Saudari,

Kejayaan membentuk wajah Malaysia seperti yang ada, telah menghadapkan kita dengan cabaran terbesar kepada survival parti dan Barisan Nasional itu sendiri. Sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya.

Sepanjang ucapan saya tadi, dirakamkan kronologi 10 detik yang telah menjadi "game changer" kepada Umno menyusuri sejarah parti.

Sehubungan itu, suka saya simpulkan, 5 kekuatan teras, yang membolehkan kita menghadapi apa pun badai dan mehnah yang merempuh parti, samada bersifat dalaman, mahupun luaran. Pertamanya ialah, keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru.

Kedua, pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang, samada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

Ketiganya, Umno sentiasa mengulungi idea atau "supremacy of ideas" dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat.

Keempat, Umno perlu terus meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya. Segala dasar yang digubal, prakarsa yang dirancang dan program yang dilaksana mengutamakan kebajikan rakyat.

Kelimanya, kebolehan Umno untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji. Pucuk pangkalnya, kita bukan seperti sesetengah pihak yang hanya menjadi tukang karut.

Saudara dan Saudari,

Oleh sebab itulah, apabila saya mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan tiga puluh bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan sama ada dalam Majlis Tertinggi Umno, Dewan Tertinggi Barisan Nasional mahupun Kabinet, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan proses islah dan pembaharuan.

Dalam parti, mula-mula sekali kita telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Kita mahu lebih ramai orang Umno diberi hak untuk memilih pemimpin mereka. Umno bukan parti yang gentar terhadap demokrasi seperti tuduhan seteru politik kita, malah Umno adalah parti yang mendakap demokrasi.

Kata pepatah Inggeris "the proof of the pudding is in the eating".

Kita bukan seperti pihak lawan. Contoh pertama, Parti A, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pulak dari presiden parti.

Contoh kedua, Parti B sebuah parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik. Apakah demokratik namanya kalau perwakilan cawangan memilih 20 orang ahli jawatankuasa pusat dan kemudian ahli jawatankuasa pusat tersebut pula, memilih kepimpinan tertinggi parti? Ini jelasnya, tidak sama sekali mencerminkan kehendak ahli terbanyak.

Manakala contoh ketiga, adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. Lahawlawala...., jawatan Mursyidul Am pun, tampaknya tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa dari presiden.

Sama jugak dengan Parti A. Tambahan lagi Parti A itu, suami, Ketua Umum, isteri, Presiden, anak perempuan sulung, Naib Presiden, Timbalan Presiden pulak.....hrmm...tak payah lah kita cerita.

Saudara dan Saudari,

Menelaah perkara-perkara itu, kita mesti insaf, jika Umno masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi "game changer" atau peneraju cara gaya baru kepada lanskap politik nasional, serta tidak pula mengambil langkah merangka semula "game plan" yakni gerakan terancang, maka kita namanya menempah tragedi untuk parti.

Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya ialah realiti baru. Jika Umno tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana Umno dan BN mahu berjaya? Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, Umno harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan.

Ia berupaya mendatarkan "the playing field" atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Dari yang demikian, orang Umno wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti.

Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, Umno selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu, kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini.

Ketiga, Umno juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi, bagi menarik sokongan mereka. Umno tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.

Saudara dan Saudari,

Selama hampir enam dekad, Umno telah menjadi parti teras yang menonggak kejayaan. Selama ini, rekod-rekod membuktikan bahawa, kita tidak pernah mendominasi atau sekalipun berniat untuk mendominasi parti-parti komponen seperti yang difitnah oleh pembangkang.

Jauh sekali dari kemelut gabungan parti pembangkang yang tidak mampu berijma' dan bersatu hati walaupun dalam soal-soal dasar. Misalnya, dalam perihal negara Islam, Parti A kata, setuju secara peribadi, Parti B kata, tidak sekali-kali, langkah mayat mereka dulu, Parti C pulak kata "kita tukar jadi negara kebajikan". Pening dan keliru rakyat dibuatnya.

Berbeza dengan Umno, sebagai parti teras, kita mengambil langkah berganding dan bekerjasama dengan parti-parti komponen. Kerjasama kita bersifat pragmatik, realistik dan ikhlas. Kita menerima seadanya rakan-rakan dalam Barisan Nasional.

Kita saling percaya mempercayai, saling bergantungan dan saling bersefahaman sejak sebelum merdeka lagi. Inilah yang membuatkan kita berjaya sebagai teraju dalam memakmurkan negara ini.

Saudara dan Saudari,

Sebagai game changer yang kesebelas, kita mulakan dengan Program Transformasi Kerajaan bagi membaiki penyampaian sektor awam. Seterusnya, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi sebagai peta halatuju pusingan akhir ke arah wawasan negara maju berpendapatan tinggi.

Kemudiannya, Program Transformasi Politik bagi menyeimbangkan antara Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu.

Program Transformasi Luar Bandar dilancar, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman, serta, Program Transformasi Sosial yang berpandukan falsafah pemandu 1Malaysia.

Kita lanjutkan pula dengan inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PRIMA.

Saudara dan Saudari,

Sebetulnya, apa yang ada hari ini seperti dapat disaksikan oleh semua, bukan dibina dalam masa yang singkat. Ia terbina dengan penuh tatih, pengorbanan dan jerih payah. Ia dibangunkan oleh bapa-bapa kita orang-orang Melayu, orang-orang Cina, orang-orang India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi termasuklah orang asli dan orang Siam.

Cita-cita mereka, impian mereka, tidak lain tidak bukan demi kehidupan lebih baik untuk kita. Ia diteruskan lagi oleh generasi kini yang mendambakan masa depan lebih cerah untuk anak-anak cucu kita.

Ingatlah...ingatlah bahawa, semua ini dimungkinkan oleh kita orang-orang Umno, sebuah parti yang amat berjasa kepada kita semua, bukan sahaja anak-anak Melayu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Namun, alangkah pedih dan alangkah lukanya hati kita, pabila hari ini, Umno, parti yang sarat jasa dan baktinya, sedang dimomok, dinista dan dicerca semahunya. Malah, jasa kita seolah hendak dipadam terus dari helaian sejarah.

Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa, Umno langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

Saudara dan Saudari,

Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air dikali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?

Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?

Saudara dan Saudari,

Inilah nasib yang akan melanda, jika Umno sudah hilang kuasa. Siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.

Saudara dan Saudari,

500 tahun yang lalu, jatuhlah empayar Melaka. Ia jatuh bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya, ia rebah bukan kerana kemiskinan atau kefakiran, ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan.

Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom, dirobek perpecahan dari dalam dan Khilafah Othmanniyah, punah dek kerana kehalusan strategi pecah belah dan perintah. Bertolak dari situ, marilah kita jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Jangan sekali-kali kita terperangkap olehnya. Saudara dan Saudari,

Akhir kalam, selaku presiden Umno, saya bersyukur kerana mempunyai timbalan presiden yang setia, barisan naib presiden yang taat, Pergerakan Wanita yang tidak jemu-jemu mendokong perjuangan parti, ketumbukan Pemuda yang lantang dan berani, para Puteri yang cekal dan bersemangat, Majlis Tertinggi yang sentiasa bersiaga, khususnya, orang-orang Umno sekalian, yang menunggu-nunggu panggilan bertempur.

Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita. Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba.

Bingkaslah orang-orang Umno, kita turun ke medan bakti. Mudah-mudahan Allah memberkati. Hidup Umno! Hidup Umno! Hidup Umno! Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

- MSTAR

Sabtu, Oktober 08, 2011

Intipati Belanjawan 2012


BERIKUT adalah intipati Belanjawan 2012:

* Kerajaan akan memperuntukkan RM2.5 bilion bagi Dana Mudahcara, di mana RM300juta bagi usahawan Bumiputera.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM978 juta bagi mempercepatkan pembangunan dilima koridor wilayah.

* Pengecualian cukai pendapatan 70 peratus bagi lima tahun dicadangkan bagiSyarikat Multinasional (MNC) untuk menubuhkan perkhidmatan pengurusanperbendaharaan di Malaysia.

* Juga dicadangkan kepada MNC, pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaranfaedah pinjaman dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjianpinjaman dan perjanjian perkhidmatan.

* Pengecualian cukai pendapatan 100 peratus bagi tempoh 10 tahun danpengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjianperkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD.

* Elaun bangunan industri dan elaun modal dipercepat dan pengecualian cukaipendapatan 70 peratus bagi tempoh lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.

* Potongan cukai ke atas perbelanjaan penerbitan sukuk wakala diberikan tempoh 3tahun mulai tahun taksiran 2012.

* Pengecualian cukai pendapatan bagi penerbitan sukuk bukan ringgit dantraksaksi dilanjutkan bagi 3 tahun lagi sehingga 2014.

* KDNK diunjur berkembang lima hingga enam peratus pada 2012.

* Sejumlah RM232.8 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan semua rancanganpembangunan kerajaan.

* Pendapatan kerajaan Persekutuan meningkat kepada RM186.9 bilion pada 2012berbanding RM183.4 bilion pada 2011.

* Defisit belanjawan dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNKberbanding 5.4 peratus pada 2011.

* Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi subsektor perkhidmatan secara berfasa pada2012, merangkumi perkhidmatan hospital swasta, perkhidmatan pakar perubatan danpergigian, arkitek, kejuruteraan, perakaunan dan percukaian, perundangan,perkhidmatan kurier, perkhidmatan pendidikan dan latihan serta perkhidmatantelekomunikasi.

* Inisiatif ini akan membolehkan hak pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih.

*"Rolling plan" kedua akan diperuntukkan RM98.4 bilion dengan RM49.2 bilionmasing-masing untuk 2012 dan 2013.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM2.5 bilion bagi Dana Mudahcara, di mana RM300juta bagi usahawan Bumiputera.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM978 juta bagi mempercepatkan pembangunan dilima koridor wilayah.

* Pengecualian cukai pendapatan 70 peratus bagi lima tahun dicadangkan bagiSyarikat Multinasional (MNC) untuk menubuhkan perkhidmatan pengurusanperbendaharaan di Malaysia.

* Juga dicadangkan kepada MNC, pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan.

* Pengecualian cukai pendapatan 100 peratus bagi tempoh 10 tahun dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD.

* Elaun bangunan industri dan elaun modal dipercepat dan pengecualian cukai pendapatan 70 peratus bagi tempoh lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD.

* Potongan cukai ke atas perbelanjaan penerbitan sukuk wakala diberikan tempoh 3tahun mulai tahun taksiran 2012.

* Pengecualian cukai pendapatan bagi penerbitan sukuk bukan ringgit dan traksaksi dilanjutkan bagi 3 tahun lagi sehingga 2014.

* Valuecap Sdn Bhd akan menyediakan RM200 juta sebagai dana permulaan bagi Dana Dagangan Bursa yang mematuhi Syariah.

* Felda Global Ventures Holding akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada pertengahan 2012 bagi mengumpulkan dana untuk menjadi sebuah syarikat berstatuskonglomerat global.

* Kerajaan akan memberikan kadar cukai konsesi 10 peratus ke atas dividenpelabur institusi bukan korporat dan pelabur individu dalam amanah pelaburanhartanah bagi lima tahun dari 2012 hingga 2016.

* Satu skim Dana Pembiayaan PKS yang mematuhi Syariah berjumlah RM2 bilionakan dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih pada 2012.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta bagi SME Revitalisation Fund yangakan diuruskan oleh SME Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012.

* Kerajaan akan menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS berjumlah RM10 juta untukmembantu PKS yang terlibat dengan bencana alam.

* Pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais bagi kereta hibrid dankereta elektrik dilanjutkan sehingga 2013.

* Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkandengan peruntukan RM420 juta.

* Kerajaan mencadangkan pengusaha hotel di Semenanjung Malaysia yang melaburdalam hotel empat dan lima bintang baharu, diberikan galakan taraf Perintisdengan pengecualian cukai pendapatan 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan 60peratus bagi tempoh lima tahun.

* Kadar cukai keuntungan harta tanah akan dikaji semula.

* Kerajaan akan menyediakan Dana Inovasi Pengkomersialan patuh Syariahberjumlah RM500 juta pada kadar keuntungan yang menarik.

* Kerajaan mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakanTaraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selamalima tahun.

* Kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion pada 2012 bagi pembangunan sektorpertanian.

* Kerajaan mencadangkan menaikkan had harga rumah di bawah Skim Rumah Pertamaku daripada maksimum RM220,000 kepada RM400,000 bermula Januari 2012.

* Di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) sejumlah 7,700 rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja pada 2012.

* Pengecualian duti setem 100 peratus ke atas surat cara perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah di bawah PR1MA.

* RM443 juta diperuntukkan bagi pembinaan 8,000 unit untuk jualan dan 7,000unit untuk disewa di bawah Program Perumahan Rakyat.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta sebagai subsidi bagi 10,000 unit rumah yang akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Bhd. Setiap rumah dengan kos RM65,000, akan dijual dengan harga RM45,000 dengan kerajaan memberi subsidi baki RM20,000.

* RM40 juta diperuntukkan bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM63 juta pada 2012 untuk memulihkan 1,270 rumah terbengkalai.

* Kerajaan akan memperkenalkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia kepada isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah. Peserta boleh memohon pinjaman RM5,000 dengan tempoh bayaran balik lima tahun.

* MARA akan menyediakan pembiayaan modal kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan untuk pembelian ekuiti serta pengambilalihan syarikat berasaskankonsep "Management Buyout".

* Kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi program pembangunan usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

* Kerajaan mencadangkan peruntukan bagi TEKUN dinaikkan kepada RM300 juta.

* Amanah Ikhtiar Malaysia akan menyediakan RM2.1 bilion bagi pembiayaan pinjaman mikro kepada usahawan terutamanya wanita. Daripada jumlah ini, RM100 juta disediakan untuk usahawan India Malaysia dan RM100 juta lagi bagi usahawan Cina.

* Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem bagi surat cara perjanjianpembiayaan mikro kredit.

* MyCreative Venture Capital akan ditubuhkan dengan dana permulaan RM200 juta.

* RM200 juta diperuntukkan bagi latihan dan kemahiran belia menerusi Program Strategik untuk Belia 1Malaysia (SAY1Malaysia).

* Kerajaan memperuntukkan RM15 juta untuk membina 150 gelanggang futsal tambahan agar matlamat Satu Gelanggang Satu Mukim dapat dicapai.

* RM50 juta diperuntukkan untuk membina kemudahan padang tiruan yang dilengkapi dengan lampu limpah di 30 lokasi terpilih seluruh negara.

* Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan RM30 juta untuk mengasah bakat atlet muda supaya mereka dapat bersaing dan berjaya di kejohanan sukan peringkat antarabangsa.

* Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan diperkenalkan bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM), selain menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama.

* Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred. Di samping itu bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus.

* Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600,000 pesara kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan RM600 juta.

* Mulai tahun 2013, kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak 2 peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji.

* Kerajaan bersetuju melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam.

- BERNAMA

Jumaat, September 16, 2011

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) akan dimansuhkan - Perdana Menteri

erdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam Khamis mengumumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Mengumumkan keputusan itu dalam perutusan khas Hari Malaysia, Najib berkata dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah "semangat serta payung" Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Dalam perutusan yang disampaikan di hadapan lebih 800 hadirin di Angkasapuri dan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan TV3, Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Katanya, apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

"Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi," katanya.

Najib ketika mula-mula mengambilalih tampuk pemerintahan pada 3 April 2009 telah berjanji untuk mengkaji ISA secara komprehensif. Dalam perutusan tersebut, Najib menegaskan bahawa kerajaan akan memastikan hak asasi sesiapa sahaja yang terbabit di bawah undang-undang baru itu nanti terus terpelihara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri juga mengumumkan bahawa kerajaan akan turut memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

"Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

"Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan," katanya.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.Najib berkata kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan apa-apa undang-undang yang tidak lagi relevan.

- MSTAR

Perutusan Khas Perdana Menteri Sempena Hari Malaysia 2011

BERIKUT adalah perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia 16 September 2011 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen pada jam 8.45 malam Khamis, 15 September 2011:

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

1. Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.

2. Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.

3. Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

4. Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham (was-was) mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya?

5. Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.

6. Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya. Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.

7. Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada tahun 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah bagi membentuk kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

8. Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman, Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

9. Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.

10. Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses pilihanraya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung. Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sediakala.

11. Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa tersebut merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu.

12. Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang berlaku.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

13. Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.

14. Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.

15. Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang lalu.

16. Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

17. Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya. Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

18. Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.

19. Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.

20. Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.

21. Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.

22. Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

23. Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus.

24. Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

25. Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

26. Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi.

27. Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

28. Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

29. Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupabentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan.

30. Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri. Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara degan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?

31. Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada inisiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.

32. Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

33. Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.

Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

- MSTAR

Rabu, Ogos 24, 2011

Rumah Terbuka Najib Di Seri Perdana Hari Pertama Aidilfitri

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan ahli Jemaah Menteri akan mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya pertama di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana, Putrajaya.

Rumah Terbuka itu adalah dari tengah hari hingga 6 petang, menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Rabu.

Bagi memastikan kelancaran trafik di kawasan Seri Perdana, orang ramai diminta supaya menggunakan perkhidmatan bas Nadi Putra yang disediakan secara percuma.

Sebanyak 12 buah bas akan beroperasi dari 11 pagi hingga 7.30 malam dari empat lokasi iaitu Putrajaya Sentral, Park & Ride Presint 1, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, dengan kekerapan bas selang 15 minit setiap satu.

Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, akan juga mengadakan rumah terbuka di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, pada 18 Sept dari 10 pagi hingga 2 petang.

- BERNAMA

Ahad, Mei 08, 2011

11.11.11 - tarikh pilihan raya umum ke-13?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencetuskan teka-teki mengenai tarikh pilihan raya umum ke-13 apabila menyebut timbulnya ramalan ia akan diadakan pada 11.11.11 kerana angka 11 amat signifikan dalam hidup beliau.

Ketika ditanya pemberita, beliau tidak mengia mahupun menafikan ramalan itu, sebaliknya menyifatkan ramalan sedemikian memang menjadi kegemaran dalam arena politik sebelum ini.

"Saya rasa elok diteruskan teka teki ini," katanya.

Bagaimanapun, Najib menekankan perlunya untuk kerajaan BN terus bekerja melaksanakan program-program transformasi bagi menyakinkan rakyat.

"Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa, tak semestinya pada (bulan) 11 ataupun 11 haribulan.

"Ini merupakan satu proses, selagi semboyan belum dibunyikan, kita masih buat kerja," katanya.

Apabila diminta mengulas lanjut sama ada kemungkinan tarikh tersebut besar, Najib berkata: "Tarikh itu ada kaitan dengan hidup saya, tapi sama ada pilihan raya itu...Wallahhualam".

Sebelum itu, Najib dalam usaha merapatkan hubungannya dengan golongan muda ke udara di rangkaian radio Hot FM pagi ini dan menceritakan signifikan angka 11 dalam hidupnya.

Katanya, nombor itu timbul dalam beberapa peristiwa penting dalam hidupnya.

Antaranya ialah Allahyarham ayahandanya, Tun Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922, ibunya Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933, hari lahir anak pertama beliau juga pada 11 haribulan, dan Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946.

Najib menjadi Menteri Besar Pahang yang ke-11 (1982-1986) dan merupakan Orang Kaya Indera Shah Bandar yang ke-11.

Skim Rumah Pertamaku

Nombor plat kereta rasmi beliau juga bernombor 11.

Wawancara selama sejam bermula jam 7.30 pagi itu juga disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen 8TV.

DJ stesen radio berkenaan Fara Fauzana dan Faizal Ismail juga sempat bertanyakan mengenai pasukan bolasepak kegemaran perdana menteri Manchester United.

"Saya terpaksa memohon maaf (kepada peminat Liverpool) terlebih dahulu. Kita tahu yang MU mempunyai saluran TV-nya sendiri, begitu juga dengan Chelsea.

"Tapi, Liverpool hanya menpunyai History Channel," katanya disambut gelak ketawa.

Selain itu, Najib juga menceritakan tabiatnya yang gemar menghabiskan masa di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Dalam nada yang serius, beliau juga mengumumkan kerajaan akan melancarkan satu program baru iaitu Rumah Mampu Milik Berkualiti bagi memantapkan Skim Rumah Pertamaku selewat-lewatnya Julai ini.

"Melalui program tersebut, kos rumah untuk Skim Rumah Pertamaku akan dipastikan berharga RM220,000 ke bawah.

"Kerajaan akan bertanggungjawab menyediakan tapak pembinaan manakala pihak pemaju akan melaksanakan projek-projek ini berdasarkan industrial building system.

"Dan saya kata kalau boleh, (syarikat swasta) jangan ambil untung dari projek ini. Jadikan sebagai corporate social responsibility (CSR)," katanya.

Najib berkata usaha mewujudkan rumah di bawah harga RM220,000 adalah berdasarkan komen dalam laman Facebook beliau serta laporan media bahawa amat sukar bagi golongan muda mendapat rumah dalam lingkungan harga tersebut terutama di Lembah Klang.

Di bawah Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 8 Mac lalu, golongan muda berumur 35 tahun ke bawah dengan gaji bulanan kurang daripada RM3,000 layak membeli rumah berharga RM220,000 ke bawah dengan pinjaman 100 peratus.

Ketika temu bual itu juga Najib turut meluangkan masa bermain 'Dam Aji' dengan DJ Faizal.

- MALAYSIAKINI

Isnin, April 18, 2011

Perlu Teliti Pelbagai Faktor Sebelum Panggil Pilihan Raya Umum - Najib

Walaupun Barisan Nasional (BN) teruja dengan kemenangan memberangsangkan pada pilihan raya negeri Sarawak, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau perlu meneliti beberapa faktor sebelum mahu mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-13 dalam waktu terdekat.

"Jadi dalam konteks itu kita lebih teruja, kagum dengan kemenangan ini namun ini baru pilihan raya peringkat negeri. Walaupun Sarawak itu besar tetapi ia masih lagi di peringkat negeri," katanya pada sidang media di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam Sabtu.

Perdana Menteri mengulas pertanyaan sama ada keputusan pilihan raya negeri Sarawak itu bakal menjadi kayu pengukur untuk beliau memutuskan sekarang adalah masa terbaik untuk mengadakan PRU.

BN berjaya mengekalkan dua pertiga majoriti dalam pilihan raya negeri itu selepas mememangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Awal bulan ini, Najib, yang juga Pengerusi BN, dilaporkan berkata bahawa beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

Terdapat juga spekulasi bahawa Najib mungkin membubarkan Parlimen tahun ini walaupun tempohnya hanya berakhir 2013. Pilihan raya umum ke-12 telah diadakan pada Mac 2008.

Najib berkata, selain kejayaan di Sarawak, BN juga masih mempunyai keseluruhan Semenanjung dan Sabah yang perlu diambil kira sebelum sebarangkeputusan dibuat.

"Jadi, kita harus mengambil kira segala faktor itu sebelum membuat keputusan bila hendak mengadakan pilihan raya umum boleh dibuat," katanya.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak ke-10 itu, parti DAP memang 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga dan satu kerusi oleh calon Bebas.

- BERNAMA

Isnin, Februari 21, 2011

Tiada ruang untuk kesilapan - Najib


Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau harus memastikan setiap keputusannya selaku Perdana Menteri adalah tepat tanpa sebarang ruang untuk berlaku kesilapan kerana kesannya bukan saja menjejaskan dirinya, sebaliknya boleh memudaratkan rakyat dan negara.

Beliau berkata, apabila mencapai tahap tertentu, terutama kedudukan tertinggi dalam negara, seseorang yang perlu membuat 10 keputusan mesti pastikan kesemuanya tepat kerana sekiranya berlaku satu kesalahan sekali pun, ia mungkin kesilapan yang amat merugikan pelbagai pihak.

“Justeru, untuk mengelakkan keputusan yang salah, kita perlu berfikiran rasional. Saya sudah lama dalam politik, dah 35 tahun, saya melalui macam-macam keadaan dan krisis politik. Saya sudah lihat semuanya. Jadi sebagai Perdana Menteri, saya sedia hadapi apa saja cabaran supaya semua keputusan saya adalah amat tepat, insya-Allah.

“Saya selalu ingatkan diri untuk memastikan semua keputusan 100 peratus tepat setiap kali. Saya juga tak boleh nampak menggelabah atau cemas kerana dalam apa juga keadaan, kita sebagai kuasa muktamad membuat keputusan negara perlu sentiasa tenang.

“Kalau kita bertenang, kita boleh berfikir. Kalau kita panik, cemas atau menggelabah, kita tidak boleh berfikir secara rasional,” katanya ketika sesi dialog sempena Jamuan Petang 1Malaysia Perdana Menteri Bersama Rakan Internet di Seri Perdana, di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Naserudin Abd Fatah dari Perak iaitu seorang daripada lima jemputan yang terpilih bagi mengajukan soalan kepada Perdana Menteri pada majlis minum petang itu.

Kira-kira 600 rakan internet Perdana Menteri berusia antara 16 hingga 72 tahun dari seluruh negara, termasuk yang mengikuti laman blognya, www.1malaysia.com.my atau menerusi laman sembang Facebook dan Twitter menghadiri majlis jamuan petang itu.

Jamuan seumpamanya yang julung kali diadakan pada 13 Mac 2010 dihadiri kira-kira 300 rakan internet beliau. Majlis semalam yang sepatutnya diadakan 5 November tahun lalu itu terpaksa ditangguhkan kerana Perdana Menteri terkena jangkitan cacar air.

Najib berkata, beliau juga menjadikan petikan dalam buku karya Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Colin Powell iaitu 'you must take your work seriously but don't take yourself seriously' (anda mesti mengambil serius mengenai kerja tapi jangan mengambil serius mengenai diri sendiri).

“Maknanya anda mesti ada masa untuk berehat, ada masanya orang ramai perlu memahami yang saya perlu bersenam, perlu menggunakan treadmil dan sekali sekala bermain golf tetapi saya memberi jaminan kepada anda semua bahawa saya mengambil serius mengenai kerja yang perlu dilakukan,” katanya.

Menjawab soalan Ainul Aizat Ishak dari Kuala Lumpur mengenai minatnya terhadap muzik pula, Najib berkata beliau sukakan muzik era 70-an dan 80-an selain beberapa lagu Melayu terkini tetapi tidak begitu menggemarinya sehingga boleh menamakan tajuk lagu.

Menjawab soalan John Britto Victor Arokiasamy dari Kedah mengenai cabaran dan halangan mencapai gagasan 1Malaysia, Perdana Menteri berkata, masyarakat pelbagai kaum perlu melakukan perubahan minda untuk melepasi tiga tahap sebelum menzahirkan perpaduan sebenar, bermula dengan kesediaan bertolak ansur antara kaum lain.

Kepada soalan Mohammad Ayzuddin Bujang dari Negeri Sembilan mengenai negara maju berpendapatan tinggi, Najib berkata, apa yang dimaksudkan itu sudah jelas cuma perlu diterjemahkan bagaimana mencapai status itu menjelang 2020.

Menjawab soalan Mohd Sulaiman Gerrard Abdullah dari Selangor pula, Perdana Menteri berkata, konsep yang sama dapat memajukan sukan negara, khususnya bola sepak yang menjadi sukan nombor satu negara.

Menjadikan Piala AFF Suzuki yang dijuarai Malaysia tempoh hari, Najib berkata kejayaan itu tidak datang sekelip mata, sebaliknya adalah perancangan jangka panjang yang teliti.

"Kalau kita lihat skuad Harimau Malaya yang memenangi pertandingan itu, 17 daripada 25 pemainnya bersama sejak Tingkatan Tiga lagi di Sekolah Sukan Bukit Jalil yang saya tubuhkan sewaktu menjadi Menteri Belia dan Sukan,” katanya.

"Inilah yang saya minta daripada rakyat Malaysia, selaku Perdana Menteri saya sudah lakarkan hala tuju masa depan negara dan segenap lapisan rakyat perlu bekerjasama mengukuhkan asas dan melakukan pengisian yang perlu bagi menjamin kejayaan jangka panjang," katanya.

- BERITA HARIAN

Recent Posts