Memaparkan catatan dengan label Mykad. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mykad. Papar semua catatan

Isnin, September 21, 2020

Gambar Mykad pakai tanjak belum dibenarkan

 

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan mengkaji kewajaran pemakaian tanjak untuk gambar kad pengenalan (MyKad).

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh, berkata JPN belum membenarkan pemakaian tanjak yang dikatakan sebahagian daripada pakaian tradisional seperti songkok dan kopiah yang dibolehkan dalam gambar MyKad ketika ini.

"Kita perlu tengok dulu daripada segi arahan semasa yang kita keluarkan, sama ada boleh atau tidak untuk dilaksanakan. Bagi masa untuk kita lihat.

"Ini berbeza dengan pemakaian songkok dan kopiah yang sudah lama kita laksanakan. Terdapat kes pelanggan kita datang sendiri ke pejabat kita dengan bersongkok, Itu amalan lama yang kita laksanakan.

"Tetapi tanjak masih belum ada kajian atau perkara yang membuatkan kita nak laksanakan. Kita akan tengok dulu macam mana," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kemudahan ePayment dan Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Ibu Pejabat JPN Terengganu.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Kad Pengenalan JPN, Badrul Hisham Alias; Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem dan wakil Pengurus Maybank Kuala Terengganu, Ahmad Sabri Mohamad.

Sebelum ini, Persatuan Aktivis Busana Melayu (ABM) mencadangkan kerajaan mempertimbang pemakaian tanjak untuk gambar dalam MyKad.

Presidennya, Shahrul Fadzly Mohd Zainal, berkata tanjak sebahagian daripada pakaian tradisional yang sama taraf dengan songkok dan kopiah.

Sumber : Berita Harian

Selasa, Februari 28, 2017

Lelaki India Nama Cina Pada MyKad


Seorang lelaki berusia 34 tahun yang secara tiba-tiba menarik perhatian ramai selepas MyKadnya menjadi tular di media sosial kerana dikatakan mempunyai penampilan yang tidak sepadan dengan namanya, sebenarnya adalah rakyat Malaysia.

Netizen mendakwa lelaki itu yang bernama Pang Chee Pin, merupakan warga Bangladesh disebabkan dia tidak kelihatan seperti orang Cina.

Kunjungan The Star ke alamat di Segamat Baru yang tertera pada MyKad itu mendedahkan bahawa Pang dibesarkan oleh keluarga angkat berketurunan Cina sejak dia dilahirkan. Bagaimanapun, dia tidak lagi menetap di sana.

Sepupunya yang hanya mahu dikenali sebagai Susan, 50, berkata, dia pernah tinggal bersama Chee Pin sejak sepupunya itu berusia setahun.

Katanya, Chee Pin dijadikan anak angkat dan dibesarkan oleh mendiang bapa saudaranya.

"Saya dan dia adalah sepupu. Tetapi bapa saudara saya meninggal dunia kira-kira 25 tahun lalu, ibu bapa saya mengambil alih menjaga dia. Dia meninggalkan rumah kami kira-kira enam tahun lalu.

"Kali terakhir kami berjumpa adalah kira-kira tiga tahun lalu di Kuala Lumpur semasa dia dimasukkan ke hospital kerana masalah buah pinggang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Segamat. Tambahnya, sejak itu mereka terputus hubungan.

Menurut Susan, bapa saudara memberi nama sepupunya dengan nama Cina selepas menjadikannya sebagai anak angkat dari keluarga kandung berketurunan India di Simpang Renggam.
Katanya, Chee Pin mempunyai nama India selepas dilahirkan.

Tambah Susan, bapa saudaranya meminta kebenaran daripada pihak berkuasa berkaitan bagi membolehkan nama anak angkatnya itu ditukarkan kepada nama Cina.

Chee Ping fasih berbahasa Mandarin, Hakka dan Kantonis dan bersekolah yang sama dengan Susan di sebuah sekolah rendah Cina.

"Menurut ibu, Chee Pin dijadikan anak angkat oleh bapa saudara saya dan isterinya bagi membantu mengurangkan beban keluarga kandung Chee Pin," katanya, sambil menambah bapa saudaranya turut mempunyai dua anak perempuan.

Susan berkata, dia menyedari mengenai MyKad milik sepupunya yang menjadi tular, sambil menambah pihak polis telah datang ke rumahnya pada Ahad bagi merekodkan keterangannya.

Menurut Susan, lelaki di dalam MyKad itu adalah rakyat Malaysia dan berharap orang ramai berhenti berkongsi paparan kad pengenalan milik sepupunya itu di media sosial.

- mSTAR

Sabtu, Oktober 10, 2015

Hilang MyKad boleh didenda RM1,000



Kadar fi bagi penggantian kad pengenalan yang hilang akibat kecuaian akan dinaikkan bermula 15 Oktober  2015 ini, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Dasar Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Adenan Ab Rahman.
 
Beliau berkata fi bagi kehilangan kali pertama kekal pada kadar RM100, manakala kehilangan kali kedua dinaikkan dari RM200 kepada RM300 dan bagi kehilangan kali ketiga dan seterusnya dinaikkan daripada RM300 kepada RM1,000.
 
Bagaimanapun, katanya pengecualian kadar fi diberikan kepada orang kurang upaya (OKU), fakir miskin, warga emas berumur 60 tahun ke atas, mangsa bencana, kes jenayah seperti kecurian, samun dan ragut serta remaja warganegara Malaysia berusia bawah 18 tahun.
 
Katanya kenaikan fi itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan prosedur penggantian MyKad berikutan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menunjukkan kadar kehilangan MyKad akibat kecuaian dari 2010 hingga September 2015 adalah 1,356,135 kes.
 
Kaedah pelaksanaan penambahbaikan prosedur ini tidak akan mengambil kira sejarah kehilangan kad pengenalan sebelum ini dan kadar fi baharu hanya akan bermula pada tarikh kuat kuasa prosedur ini.

Bagi permohonan gantian hilang kad pengenalan kali pertama, pemohon boleh terus ke kaunter JPN, manakala bagi permohonan kali kedua dan seterusnya, pemohon hendaklah membuat laporan polis mengenai kehilangan tersebut sebelum memohon di kaunter JPN.
 
Permohonan gantian hilang kad pengenalan kali ketiga dan seterusnya akan disiasat terlebih dahulu sebelum kad pengenalan gantian dikeluarkan. Semua permohonan gantian hilang kad pengenalan akan dikeluarkan dengan Dokumen Pengenalan Sementara sebelum kad pengenalan gantian dikeluarkan.
 
Selaras dengan Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, setiap orang yang dikeluarkan kad pengenalan adalah bertanggungjawab menjaga kad pengenalan tersebut dan hendaklah memastikan ia berada dalam keadaan baik.

Sumber

Recent Posts