Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan

Selasa, Mei 07, 2013

Tidak sesuai jadi ibu bapa jika tak romantik

Kajian terbaru di Britain mendapati, ibu bapa yang tidak romantis atau mengelak untuk berkelakuan romantis kurang sepadan menggalas tugas sebagai ibu bapa bersama.
Ia berkait rapat dengan sifat semula jadi perlu ada untuk menjadi pasangan yang memahami iaitu sensitif dan sanggup untuk memberikan pertolongan. Sifat sama turut diperlukan untuk bergelar ibu bapa.


Penyelidik di University of Bristol, Abigail Millings, berkata jika seseorang itu peka dan bertanggungjawab terhadap pasangan, ia menjadi petanda dia bagus dalam hubungan lain.

Kuncinya kata Millings, keupayaan seseorang untuk bergaul secara sihat dengan orang lain.

Tambahnya lagi, mereka yang mempunyai masalah pergaulan cenderung emosi manakala orang yang berasa tidak yakin dengan hubungan pula didapati lebih bergantung dengan pasangan.

Individu yang bijak bergaul lebih santai dan berdikari dalam hubungan dan sedar, ada insan lain bersama mereka mengharungi kehidupan berkeluarga, lapor LiveScience.
Kajian itu dijalankan Millings bersama kumpulan penyelidiknya terhadap 125 pasangan British yang memiliki anak berusia antara tujuh hingga lapan tahun. Responden diminta menyenaraikan perlakuan romantis mereka terhadap pasangan, perasaan romantis dan gaya keibubapaan.

Kumpulan responden itu dikelaskan kepada tiga kumpulan - paling ideal adalah yang berwibawa (mesra, berkomunikasi tetapi dalam kawalan), kurang sepadan adalah berkuasa mutlak (masih boleh dikawal tetapi tidak mesra) dan permisif (memberi kebebasan) mesra tetapi komunikasi tidak terkawal.

Keputusan menunjukkan, ibu bapa yang tidak mesra (tidak romantik dalam hubungan) tidak sesuai menjadi ibu bapa dan hasilnya, mereka didapati jenis yang menggunakan kuasa veto terhadap pasangan atau jenis lepas tangan terhadap tanggungjawab dalam keluarga.

Kajian ini sudah disiarkan dalam talian di jurnal Buletin Psikologi Personaliti dan Sosial.

Kajian terdahulu menunjukkan, individu tidak yakin dengan hubungan juga menyebabkan mereka memandang dunia keibubapaan sebagai cabaran yang menakutkan, selain mereka terpaksa bekerja keras untuk melaksanakan tugas itu, lapor LiveScience.

Petua cinta suami isteri

Mengekalkan hubungan cinta dalam rumah tangga tidak semudah mendirikannya. Saban tahun, ribuan pasangan mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing, lantaran tiada kesefahaman dalam melayari bahtera perkahwinan.

Mengapa hal ini perlu terjadi? Sedangkan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta seharusnya dapat dilalui dengan bahagia sehingga ke akhir hayat.

Banyak petua dan kaedah dalam menjaga hubungan. Ramai percaya membina pemikiran positif dapat mempengaruhi seseorang untuk membentuk sikap positif dalam diri.

Memetik tulisan Pakar Cinta dalam artikel bertajuk, Tips Menjaga Rumah Tangga dan Perkahwinan, lima panduan dititipkan untuk dijadikan panduan.

1. Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakan manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak.

Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.”

Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu. Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Justeru, penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggungjawab.

2. Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah SAW menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi.

3. Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “Bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.”

Dengan berkata demikian, kita ‘membunuh’ potensi hari ini.

4. Cari jalan untuk mengatasi tekanan.

Tekanan akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu, suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres.

Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan.

5. Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalani kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur.

Doa supaya suami dan isteri saling mengasihi
“Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku.

- BERITA HARIAN

Ahad, Mei 05, 2013

Minda sihat rangsang budaya kerja kelas pertama

Oleh Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak dinafikan untuk merangsang budaya kerja kelas pertama dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam era persaingan hari ini, aset minda warga organisasi menjadi amat bernilai. Ia juga harga yang perlu dibayar untuk merealisasikan modal insan berfikiran terbuka, positif, strategik, inovatif dan kreatif.

Kekuatan modal insan ini terhasil daripada aset minda yang sihat dengan pengetahuan, maklumat, ingatan, persepsi serta daya berfikir yang benar dan betul. Ia juga adalah minda yang kuat dengan nilai ketelitian, keprihatinan dan kesanggupan menghadapi kesukaran.

    Firman Allah SWT: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Justeru, minda kelas pertama bukan saja kuat dan sihat dari segi intelek, juga nilai keperibadian. Bukan saja sarat dengan pengetahuan dan idea tetapi juga kekuatan menyalurkannya kepada inovasi, kreativiti tindakan, amalan serta produk berkualiti.

Bukan saja kuat dalam menyalurkannya kepada hasil dan output berkualiti tetapi juga kuat dalam memastikannya bermanfaat, tidak memudaratkan, selaras dengan piawaian syarak, pengharapan pelanggan, standard piawaian dan matlamat yang disasarkan.

Minda kelas pertama juga adalah minda berjenama iaitu yang mampu memikirkan strategi mengekalkan imej perkhidmatan serta mengekalkan kepuasan dan kepercayaan pelanggan secara berterusan.

Minda berdaya tahan
Selain itu, ia juga merujuk kepada minda berdaya tahan iaitu yang mampu bertindak balas dalam pelbagai suasana dan halangan berbeza. Justeru, minda kelas pertama menggambarkan ketinggian sikap, personaliti dan keperibadian seseorang pegawai.

Ciri minda ini berlawanan dengan minda kelas ketiga yang cetek, jumud, tertutup, bersikap negatif, tidak berkemampuan menyalurkan daya intelektual kepada output dan hasil berkualiti, mengekalkan kepuasan pelanggan atau berdaya tahan.

Tanpa minda kelas pertama, kemudahan serta infrastruktur canggih di pejabat juga tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan budaya kerja kelas pertama tidak berjaya direalisasi. Bagi penjawat awam, usaha terkini melalui Program Transformasi Minda (PTM) dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2012 sudah diperkenalkan.

Ia sebagai satu pendekatan memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai supaya dapat melahirkan pegawai awam yang mempunyai sikap dan pemikiran progresif, yang inginkan kecemerlangan serta memiliki etika dan nilai yang sejajar dengan agama.

Minda ini berkait rapat dengan ciri minda hikmah ditekankan dalam al-Quran dan Rasulullah iaitu merujuk kepada sesuatu yang membawa kebaikan serta manfaat kepada kehidupan manusia termasuklah apa juga bidang ilmu yang membawa kesejahteraan.

Firman Allah SWT: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 269)

Fahami rahsia hukum dan agama

Hikmah ialah kemampuan memahami rahsia hukum dan agama. Ada yang mentafsirkannya sebagai pemahaman mendalam mengenai al-Quran dan sunnah. Menurut Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya, ia merujuk kepada segala kebenaran berkaitan pegangan, kefahaman agama, amalan dan kebijaksanaan.

Dalam tafsir Al-Manar, ia dikatakan bermaksud kefahaman yang bukan sekadar pada perkara zahir, bahkan mengetahui tujuan yang membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat. Imam Fakhrur al-Razi dalam tafsirnya mengaitkan hikmah dengan kefahaman menggabungkan aspek teori dan amalan.

Ada yang mentafsirkannya sebagai tepat dalam percakapan dan bertindak. Yang lain berpendapat ia sebagai ilmu bermanfaat yang membuahkan amal serta mengetahui rahsia hukum syarak.

Dalam Lisan Al Arab, hikmah ialah mengetahui suatu paling utama dengan ilmu yang termulia. Rasulullah SAW amat mengalu-alukan setiap perkara yang lahir dari sifat minda hikmah ini atas sifatnya untuk menghasilkan kebaikan dan manfaat jangka panjang.

Baginda menerima idea menggali parit dalam peperangan Khandak walaupun ia bukan datangnya daripada kalangan orang Arab, sebaliknya oleh pemuda Parsi iaitu Salman al-Farisi dan perkara itu tidak pernah berlaku dalam strategi peperangan ketika itu.

Justeru, dalam melahirkan pekerja minda kelas pertama, cara dan proses berfikir yang betul dan baik melalui pembelajaran sepanjang hayat perlu terus digalakkan di tempat kerja. Semua usaha ini perlu diperkukuhkan dengan penekanan terhadap kerja secara berintegriti serta akhlak terpuji.

- BERITA HARIAN

Khamis, April 25, 2013

Tanda-tanda si dia curang

Tiba-tiba hati terasa cuak dengan sikap pasangan anda yang secara sedar atau tidak keadaannya berbeza daripada biasa.

Biarpun secara khususnya tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku, gerak- gerinya menampakkan seolah-olah dia cuba berahsia dan menjarakkan hubungan dengan anda.

Sekiranya anda cuba bertanya kepadanya, pasti dia cuba menafikan sikapnya yang berbeza itu. Sedangkan setelah hidup berdua dengannya sekian lama, sudah pasti anda dapat menghidu perilakunya yang berbeza.

Jika ini berlaku, eloklah anda mengenal pasti keadaan dan situasi yang berlaku itu sekiranya benar pasangan anda cuba berlaku curang terhadap anda.

1Berhati-hati sekiranya anda bertanya kepadanya sama ada dia masih mencintai anda kerana dia berkata: "Saya menyayangi anda, namun tidak mencintai anda." Satu amaran telah dikeluarkan dari mulut pasangan anda.

Mungkin pasangan anda masih mempunyai perasaan menyayangi anda, namun akibat hubungan baru yang terbina menyebabkan dia hilang pertimbangan dan menyebabkan hubungan anda dengannya terjejas.

Perubahan sikap pasangan anda ini dikatakan berpunca daripada cetusan hormon amnesia iaitu rasa keghairahan pasangan anda terhadap hubungan baru itu menyebabkan dia mengalami kecelaruan fikiran.

2 "Kami cuma kawan" juga satu frasa yang kerap sangat dikeluarkan oleh pasangan apabila dia diminta menjawab persoalan siapakah 'si dia'.

Dalam keadaan ini, pasangan anda mungkin merasakan dia lebih memahami keadaan dirinya dengan lebih mendalam daripada anda.

Namun dia sebenarnya tidak menyangka, sangkaan 'hanya kawan' itu bakal memberikan satu keadaan yang berlainan terhadap perlakuannya terhadap anda.

3Jangan terkejut sekiranya secara tiba-tiba pasangan anda mahu lebih masa untuk dirinya bersendirian sedangkan sebelum ini dia tidak pernah meminta untuk berbuat demikian.

Pasangan anda juga akan cuba mengubah kata laluan komputernya, telefon bimbitnya, malah bilnya juga akan disembunyikan daripada pengetahuan anda.

Jika anda bertanya kepada pasangan anda mengapa anda mahu merahsiakan keadaan ini, dia tiba-tiba melenting dan menyatakan anda cuba mengawal dirinya.

4"Saya memerlukan masa yang lebih untuk diri saya." Ini juga merupakan bibit-bibit masalah yang akan mewarnai kehidupan rumah tangga.

Dalam keadaan ini dia meminta untuk bersendirian atas alasan rasa tertekan di tempat kerja dan mahukan ruang dan waktu sedangkan kebebasan ini digunakan untuk menghubungi insan lain.

5Anda juga menyedari jadual kerjanya juga berubah daripada biasa dengan dia lebih banyak memperuntukkan masa tambahan di luar rumah, balik lewat atas alasan mahu menyiapkan kerja atau melakukan kerja tambahan dan sebagainya.

6Menghabiskan masa di depan komputer dengan berinteraksi di Internet dan enggan keluar bersosial dengan anda di luar rumah apabila diminta berbuat demikian.

7Dia ada akaun e-mel rahsia dan banyak chatting di bilik sebelah.

8Selalu berahsia apabila menerima panggilan telefon dan menghabiskan banyak masa di talian.

9Jika pasangan anda tiba-tiba mematikan panggilan telefonnya sebaik anda memasuki bilik atau memadamkan sejarah si pemanggil atau mesej tertentu di dalam telefon, dan enggan menjawab pertanyaan anda siapakah yang menelefonnya, itu merupakan petanda yang kuat pasangan anda cuba berlaku curang terhadap anda.

10 Pasangan anda asyik hilang di saat anda perlukannya ataupun tiada penjelasan mengenainya apabila anda bertanyakan kepadanya mahupun anda terjumpa sesuatu seperti baju, atau barangan yang bukan kepunyaan anda di dalam kereta ataupun di tempat yang tersorok.

Jika anda merasakan yang pasangan anda sebenarnya sedang melakukan sesuatu di belakang anda (cuba berlaku curang), buatlah siasatan untuk mendapatkan bukti kebenarannya.

Setelah semua bukti telah didapati, berbincang dengan pasangan anda tentang apa yang tidak kena terhadap hubungan anda berdua dengan cara yang paling tenang dan berhati-hati.

Bertanya kepadanya dengan jujur dan nyatakan kepada dia apa yang anda dapati hasil daripada siasatan anda.

Di samping itu anda perlu bersedia untuk berhadapan dengan semua kemungkinan yang bakal berlaku.

Apa yang penting pasangan anda akan tetap melakukan 'penipuan' demi 'penipuan' untuk mengelak daripada berterus terang.

Sedihnya, individu yang terjebak dengan hubungan di luar ini pastinya pandai berbohong biarpun sebelum ini dia tidak pernah menipu.

Namun percayalah dengan semangat dan keberanian, bertenang dan bulatkan fikiran, carilah jalan penyelesaian antara anda berdua apabila ternyata pembohongan pasangan anda itu sudah terbongkar.

- UTUSAN


Isnin, April 15, 2013

Dara Jutawan - Dua beradik berkongsi kejayaan

“Kejayaan tidak dicapai dalam sekelip mata. Di peringkat awal, saya tiada masa untuk makan dan kerap bertukar pakaian di tandas awam semata-mata untuk bertemu dan ‘ambil hati’ pelanggan,” kata jutawan saham amanah dan insurans, Aida Nurlin Hanif, 32, menceritakan kerja kerasnya sebelum berjaya.

Ketika itu, dia perlu membahagikan masa antara pelajaran dan kerja kerana masih menuntut dalam jurusan Diploma Sains Aktuari di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menjadikan kakaknya, Nor Akmar, 36, sebagai idola, usaha gadis bertudung ini nyata berbaloi apabila mampu bergelar orang kaya baru ketika masih di universiti.

Masakan tidak, pada usia 21 tahun ketika rakan sebaya masih mengharapkan wang biasiswa dan pinjaman untuk menyara kehidupan di kampus, dia mampu memiliki kereta mewah Porsche Boxster.

Aida Nurlin yang lebih mesra disapa Elynn berkata, prinsip utamanya dalam setiap pekerjaan mesti dibuat sehingga sempurna dan berjaya.

Katanya, dia teruja melihat kekayaan kakaknya lantas yakin mampu memperoleh kejayaan sama jika berusaha bersungguh-sungguh walaupun dibebani komitmen sebagai pelajar.

Menurutnya, kuliahnya bermula jam 10 pagi, namun seawal jam 8 pagi setiap hari dia mengatur janji temu dengan pelanggan tetap atau mencari pelanggan baru.

Selepas janji temu, dia bergegas ke kuliah sebelum mengatur pertemuan lain ketika waktu makan tengah hari bagi membolehkannya mencapai sasaran peribadi.

“Rutin itulah yang dilalui sehingga tamat pengajian. Kadangkala sampai malam pun masih bertemu pelanggan hingga makan tak menentu,” katanya.

Kejayaan menakjubkan Elynn dan Akmar makin dikagumi pelbagai pihak hingga ramai menggelar mereka sebagai ‘millionaire sisters’ (jutawan adik-beradik).

Kini dua beradik kelahiran Ipoh, Perak ini mampu menjalani kehidupan bagaikan selebriti terkenal dunia, memiliki kereta dan banglo mewah serta membeli-belah di kota sehebat Paris, Perancis hasil keringat sendiri.

Mengimbau permulaannya sebagai perunding saham amanah, Akmar berkata, dia dipelawa seorang kenalan rapatnya untuk berkecimpung dalam bidang itu ketika berusia 23 tahun.

“Sebenarnya saya pemilik Ijazah Kejuruteraan Sistem Maklumat dari University of Manchester, Institute of Science and Technology (UMIST).

“Selepas menamatkan pengajian, saya sempat bekerja tiga bulan di sebuah syarikat besar di bidang teknologi maklumat (IT) sebagai pengurus besar.

“Namun, saya tidak puas dan beranggapan bidang amanah saham lebih sesuai dengan jiwa saya. Walaupun usia masih muda dan tidak ramai kenalan, saya yakin boleh melangkah jauh dengan usaha keras,” katanya.

Berkat kegigihannya, dia berjaya membuka agensi sendiri pada usia 25 tahun dan mengurus serta mengendalikan pelaburan hingga meletakkannya sebagai pengurus agensi kumpulan termuda di institusi kewangan terbesar di negara ini.

Malah, dia mampu memperoleh pendapatan lima angka atau sekurang-kurangnya RM10,000 sebulan ketika berumur 26 tahun dan dua tahun kemudian, dia mampu melahirkan 10 Pengurus Agensi Kumpulan (GAMS).

“Rahsia kejayaan ialah mendapat restu orang tua. Ibu banyak memberi semangat manakala ayah, bekas Timbalan Pengarah Pendidikan di Perak serta adik-beradik banyak memberi kekuatan kepada kami berdua,” katanya.

Dua beradik jutawan itu pernah merangkul lebih 250 anugerah, termasuk Ikon Belia Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan baru-baru ini, berikutan prestasi cemerlang sebagai perunding saham amanah.

Pencapaian lain termasuk Brand Ambassador, Group Agency Manager Platinum, Top GAM, Master Recruiter, Million Sales Achiever, Million Dollar Round Table dan Anugerah Usahawan Muda Universiti Malaya.

Sementara itu, mengenai projek terbaru, Elynn berkata, mereka melancarkan MyMep iaitu singkatan daripada Malaysian Young Millionaire Entrepreneur Project dengan kerjasama KBS dalam usaha membantu melahirkan usahawan muda berjaya dan dinamik dalam tempoh tiga tahun.

- METRO AHAD


Motivasi santai gaya Bahruddin



Santai namun penuh dengan motivasi. Itu kesimpulan yang boleh dibuat apabila membaca karya-karya yang dihasilkan oleh penulis kelahiran Samarahan, Sarawak, Bahruddin Bekri.

Mula bergiat dalam bidang penulisan novel secara serius pada tahun 2007, kini nama Bahruddin, 32, semakin meniti di bibir para penggemarnya.

Menurut bapa kepada seorang cahaya mata itu, minat menulis sudah tertanam dalam dirinya ketika masih di alam persekolahan lagi. Dia mengakui sentiasa seronok dan gembira untuk menyiapkan karangan iaitu kerja rumah bagi subjek Bahasa Melayu yang diberi oleh guru.

“Waktu sekolah rendah, saya memang suka menulis, tetapi tidak terlalu serius. Biasalah kanak-kanak. Namun, minat tersebut semakin berkembang apabila memasuki tingkatan empat.

“Saya rajin menyiapkan cerpen-cerpen pendek untuk bacaan sendiri. Biasanya bentuk penulisan saya cenderung kepada golongan remaja. Maklumlah ketika itu saya baru berusia 16 tahun,” ujar Bahruddin kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Rentetan daripada itu, pada tahun 2004, Bahruddin mula berjinak-jinak dalam dunia blog dengan tujuan mendokumenkan hasil penulisannya secara sistematik. Selain itu, dia juga menjadikan blog sebagai platform untuknya bereksperimen dengan pelbagai bentuk penulisan.

Melalui blog juga, Bahruddin tetap meneruskan penulisan bergenre remaja yang disuntik dengan elemen motivasi. Selepas menyiapkan puluhan karya cerpen-cerpen remaja, pada 2007 Bahruddin berjaya menghasilkan sebuah novel bertajuk Adi Gempa.

Bagaimanapun, novel Dunia Ini Sederhana Kecil yang diterbitkan pada Mac 2008 merupakan karya pertamanya ekoran novel Adi Gempa diterbitkan lewat empat bulan.

“Novel ini mengisahkan tentang Syamil, seorang graduan lepasan ijazah yang menganggur kerana sukar mendapatkan sebarang pekerjaan. Dalam pencariannya, banyak pengalaman yang diperoleh dan akhirnya dia berjaya sebagai seorang manusia yang berjiwa besar,” terang Bahruddin mengenai novel tersebut.

Sejak itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) tersebut langsung tidak menoleh ke belakang lagi.

Selain Adi Gempa dan Dunia Ini Sederhana Kecil, Bahruddin sudah menghasilkan lebih 20 buah buku sejak melibatkan diri dalam dunia penulisan.

Antaranya Doa Untuk Aku, Detektif Bertudung Hitam, Puisi Untuk Nadina, Perang Kucing, Naluri dan siri Diari Mat Despatch.

Ditanya mengenai masa yang diperuntukkan untuk menulis, pemuda yang dilahirkan pada 11 Januari 1981 itu memberitahu, setiap hari dia menyasarkan untuk menulis sebanyak 10 muka surat.

“Kadang-kadang pada sebelah malam atau awal pagi, bergantung pada ilham yang terdetik di fikiran. Apa yang pasti, saya mahu berkongsi kisah-kisah ‘orang kecil’ seperti mat despatch yang sering dipandang rendah oleh masyarakat.

“Hakikatnya, mereka juga seperti manusia lain, punyai hati dan perasaan serta cita-cita untuk digapai. Moga melalui penulisan saya, ia mampu menjadi motivasi untuk golongan ini menggapai kejayaan dalam hidup,” jujur luahan Bahruddin yang meminati penulis Indonesia, Andrea Hirata yang terkenal dengan karya agung, Laskar Pelangi.

Untuk sebarang pertanyaan, Bahruddin boleh dihubungi melalui e-mel di bahruddin.bekri@gmail.com

- KOSMO!


 

Recent Posts