Memaparkan catatan dengan label Mistik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mistik. Papar semua catatan

Sabtu, Disember 05, 2009

'Jangan letak kereta di jalan ini'


Ramai pemandu di Jalan Madhali, Alor Setar ini mendapati kereta mereka tidak dapat dikunci secara automatik manakala enjin gagal dihidupkan.

ALOR SETAR - Jika anda meletakkan kenderaan berdekatan sebuah hospital swasta di Jalan Madhali di sini, jangan terkejut apabila mendapati sistem pengunci automatik tiba-tiba tidak berfungsi.

Ada pemandu sudah mengunci kereta secara manual tetapi apabila kembali semula ke kenderaannya, enjin pula tidak dapat dihidupkan dan memaksa kenderaan itu ditolak sejauh 200 meter ke jalan utama.

Kejadian misteri ini dikatakan sudah berlarutan sejak tiga minggu lalu.

Pada mulanya ada pihak mengaitkan masalah itu dengan gelombang daripada pencawang telekomunikasi, namun hakikatnya tidak ada satu pun binaan itu di sepanjang jalan berkenaan.

Bagi Mohd. Rizal Mohammed, 39, apabila kereta Proton Satria miliknya tidak dapat dikunci secara automatik, dia menyangka bateri alat itu perlu diganti.

"Mula-mula memang terkejut tetapi saya beritahu kejadian seperti itu telah dialami ramai orang dan berlarutan sejak tiga minggu lepas,'' katanya ketika ditemui semalam.

Tan Cheng Choong, 47, pula kini sudah percaya terhadap fenomena itu selepas dia mengalaminya sendiri.

"Sudahlah pintu tak boleh dikunci secara automatik, enjin pun tidak boleh hidup,'' katanya yang menggunakan kereta Toyota Vios.

- KOSMO!

Khamis, Disember 03, 2009

Trauma diganggu api misteri


Tinggal di sebuah rumah baru yang berharga kira-kira RM40,000 tentu menggembirakan sesiapa sahaja.

Bagaimanapun, Mohamad Sidek Hamid, 49, dari Kampung Charok Meranti, Mukim Sungai Batu dekat Bandar Baharu, Kedah berasa sebaliknya. Beliau mengakui tidak seronok tinggal di rumahnya yang baru sahaja siap.

Rumah batu yang dibina melalui pinjaman Skim Mesra Rakyat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada tahun 2007 itu memang cantik dan selesa untuk beliau sekeluarga diami.

Tetapi sepanjang tinggal di situ, pelbagai kejadian misteri berlaku sebaik sahaja dia dan isterinya, Fauziah Ishak, 48 tidak ada di rumah.

"Kadangkala pening kepala dibuatnya. Lagipun orang sukar mempercayai apa yang kita cerita kerana semua kejadian yang berlaku memang luar biasa," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian kebakaran pelik atau disebut masyarakat setempat sebagai 'api misteri' kerap berlaku semasa dia keluar menoreh getah tidak jauh dari rumahnya.

Kejadian pertama berlaku di rumahnya pada 14 Syawal dua tahun lalu iaitu di bahagian meter elektrik sebelum melarat ke bilik tidur, almari pakaian dan perkakasan rumah yang lain.

"Tambah mengejutkan seluruh keluarga apabila berlaku kebakaran yang melibatkan pemegang dua buah motosikal, komputer, buku sekolah anak-anak dan kitab suci al-Quran.

"Akibatnya, anak-anak saya takut untuk tinggal di rumah. Tetapi mustahil saya terpaksa meninggalkan kerja menoreh untuk menemani anak sepanjang masa.

"Dengan menoreh, dapatlah saya upah sebanyak RM30 sehari," katanya yang masih bingung memikirkan kejadian tersebut.

Menurutnya, kejadian itu telah menarik ramai penduduk datang ke rumahnya untuk melihat sendiri apa yang berlaku termasuk Ketua UMNO Bahagian Kulim/ Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Beliau tidak menolak kemungkinan apa yang berlaku di rumahnya itu ada kaitan dengan gangguan makhluk halus hasil suruhan orang tertentu.

"Pegawai-pegawai Bomba dan Penyelamat Serdang pernah membuat pemeriksaan di sini dan mereka sendiri melihat apa yang berlaku," kata beliau.

Mohamad Sidek menceritakan, sebelum berpindah ke rumah baru itu, dia menyara keluarga dengan membuka sebuah kedai runcit di kawasan perumahan KEDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah) Kampung Sungai Buloh di Bandar Baharu, Kedah. Katanya, sepanjang berniaga di situ, jualannya sentiasa laris.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian secara tiba-tiba beliau mengidap sejenis penyakit ganjil menyebabkan dirinya sakit dan sukar untuk bangun, kaki menjadi keras dan tidak kenal lagi rakan-rakan.

"Akhirnya, saya dan isteri ambil keputusan menjual kedai dan berpindah ke sini (Kampung Charok Meranti di Mukim Sungai Batu dekat Bandar Baharu, Kedah). Apabila kesihatan saya bertambah baik, saya menanam sayur untuk jualan.

"Namun, sekali lagi kejadian serupa berulang. Semasa kebun kobis dan kucai mula menampakkan hasil untuk dijual, tiba-tiba saya terkejut melihat sayur kobis dan kucai 'tiada', seolah-olah dipotong oleh 'seseorang'," katanya lagi.

Pada 24 Oktober lalu, beliau membuat aduan polis apabila terlalu banyak barangan di dalam rumah rosak teruk akibat satu kebakaran besar berlaku pada pukul 8.30 pagi. Lebih pelik lagi, salinan laporan tersebut yang disimpannya di dalam sebuah laci almari juga terbakar.

Pada keesokan harinya, beliau ambil keputusan untuk 'berpindah rumah' dan tinggal di dalam sebuah stor yang dahulunya dijadikan garaj kereta.

"Saya benar-benar trauma, fikiran terganggu dan sering berada dalam ketakutan dan gelisah. Lebih malang, wang simpanan di dalam rumah pun sentiasa lesap entah ke mana," dakwanya.

Bagi menangani kejadian aneh agar tidak berlarutan, Mohamad Sidek sanggup mendapatkan khidmat kira-kira 100 bomoh tempatan termasuk dari Sabah, Sarawak serta luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Myanmar. Namun keadaannya masih tidak berubah.

Isterinya, Fauziah pula berkata, pakaian seragam anaknya Zuraidah, 16, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Selama, Serdang juga pernah terbakar sebanyak dua kali.

"Kedua-dua kebakaran berlaku ketika anak saya sedang belajar dalam kelas di sekolah itu," katanya.

Beliau menegaskan, selama mana dia harus tinggal di dalam setor itu bersama isteri dan enam anak-anak, Rafidah, 24; Faizah, 23; Nur Izzati, 19; Zuraidah, 16; Mohd. Hafiddzudin, 13 dan anak bongsu, Qurratuaini, 7.

"Saya percaya suatu hari nanti, saya pasti dapat tinggal semula di rumah baru ini tanpa ada gangguan yang menakutkan lagi," kata Mohamad. Sidek penuh keyakinan.

- KOSMO!

Isnin, November 09, 2009

Kereta berat ditumpang pontianak


Menghabiskan cuti hujung minggu di Bukit Fraser, Raub, Pahang sudah jadi amalan Ghazli dan Fazlin (buka nama sebenar) serta tiga anak mereka sejak setahun lalu.

Kerjaya Ghazli sebagai pemuzik dan isterinya, penulis sesuai dengan suasana semula jadi yang ditawarkan kawasan pelancongan berbukit di Banjaran Titiwangsa ini.

Selain suasana alam semula jadi yang masih tidak dicemari pemodenan yang rencam, Fazlin cukup mengagumi suasana perkampungan seolah-olah di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.

Banyak kali juga suami isteri ini mendengar cerita seram, pelik dan misteri yang dialami pelancong yang bertandang, maklumlah kebanyakan banglo serta hotel yang ada sedia wujud seawal era kolonial lagi, namun itu semua tidak pernah menjadi penghalang.

Bukit Fraser menyimpan pelbagai sejarah perjuangan orang Melayu sewaktu menentang penjajah Inggeris sejak 1917 hingga ambang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Antara kisah misteri yang pernah menyelubungi Bukit Fraser, termasuk pencarian seorang paderi Kristian dari Singapura pada 1917, Bishop C.J. Ferguson yang berjaya menemui ‘Bukit Fraser’ selepas berhari-hari mencari rakannya, seorang pelombong bijih timah, Louis James Freser yang dilaporkan hilang di dalam hutan itu.

Kerajaan Inggeris percaya Freser mati dimakan binatang buas atau dibunuh Orang Asli dan tubuhnya menjadi makanan mereka. Begitupun versi yang boleh diyakini menyatakan Freser dibunuh pejuang Melayu yang menentang Inggeris.

Memang sudah tertulis, setiap apa yang berlaku ada sebab tersendiri. Terpulang kepada manusia dan insan di bumi Allah SWT untuk mengambil iktibar.

Kali ini Ghazli dan Fazlin silap perkiraan dan lewat memulakan perjalanan iaitu hampir Maghrib. Biasanya mereka akan mengelak mendaki Bukit Fraser dalam suasana gelap kerana jalan yang sempit dan sukar ketika berselisih kereta, banyak selekoh berbahaya dan curam. Jika sesuatu berlaku sukar juga hendak mendapatkan bantuan.

Nekad meneruskan perjalanan, kira-kira setengah jam memandu, sebaik melepasi kawasan tadahan Empangan Kuala Kubu Bharu, mereka berasa seperti sesuatu yang tidak kena dengan kereta yang dipandu.

Anak kedua mereka, Nayli, 6, sejak tadi resah dan takut. Fazlin memujuk sambil menyuruhnya cuba tidur seperti abang dan adiknya.

Fazlin sendiri tambah gusar kerana baru hari pertama datang bulan, suami pula senyap dan langsung tidak bercerita, malah cukup serius memandu. Sebelum ini, tidak pernah pula dia begitu. Enjin kereta terdengar mengeram kuat tetapi kelajuan hanya 60 kilometer sejam (km/j). Berpeluh Ghazli menekan pedal minyak tetapi kelajuan tetap sama. Pelik, padahal kereta baru dihantar servis. Bukit Fraser pun belum dipanjat lagi.

Bulu romanya tegak berdiri, dalam hati kalimah dan ayat suci serta Ayatul Kursi menemani mereka sepanjang perjalanan.

Jangka waktu 20 minit sebelum sampai ke Gap dirasakan terlalu lama. Perasaan sesal dan bimbang bercampur baur. Apa pula musibah yang bakal menimpa mereka sekeluarga.

Sebaik melepasi selekoh lokasi tragedi Sir Henry Gurney dibunuh, kenderaan tiba-tiba meluncur laju. Tiada lagi bunyi enjin mengeram, ringan dan lancar. Ghazli dan Fazlin masih membisu sehinggalah mereka tiba di menara jam di tengah pekan Bukit Fraser.

“Nampak tak apa yang saya nampak?” kata Ghazli dengan wajah serius. Fazlin dengan wajah pucat dan suspen sekadar menggelengkan kepala.

“Benda tu terbang dan melintas betul-betul depan kereta kita dan terus lenyap ke dalam hutan dekat selekoh tadi...” kata Ghazli lagi sambil meraut muka dengan tangan. Rupa-rupanya kereta mereka ditumpang makhluk yang dikenali sebagai pontianak.

“Patutlah abang diam semacam saja, rupanya makhluk itu cuba mengusik kita sekeluarga. Barulah saya faham kenapa orang tua kita tidak galakkan keluar rumah waktu Maghrib, inilah mungkin sebabnya.”

Selepas kejadian itu, Ghazli dan Fazlin serik dan akan memastikan mereka akan naik ke Bukit Fraser hanya pada waktu siang.

- BERITA HARIAN

Khamis, November 05, 2009

Wak terlampau


Keghairahan seorang bomoh ekor yang juga bekas bilal masjid melayan kaki judi yang mahu mendapatkan khidmat manteranya membawa padah apabila mereka ditahan ketika melakukan upacara memuja ‘kendi kuno’ yang dibawa pelanggan, kelmarin.

Bekas bilal berusia 66 tahun yang terkenal di sekitar Banting, dekat sini, dengan panggilan Wak, dipercayai bukan saja popular di kalangan tahi judi berpendapatan rendah, malah turut menjadi pilihan kaki judi ‘berada’ yang ketagih dengan nombor ekor.

Bukan itu saja, warga emas berkenaan pernah dilantik ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pernah ditahan serta dijatuhkan hukuman kerana menjalankan kegiatan sama pada 1996.

Bagaimanapun, ketagihan menjadi bomoh ekor dipercayai menjerat semula lelaki terbabit menawarkan khidmat khurafat yang mendapat permintaan tinggi di kalangan kaki judi yang mengharapkan ‘mantera mustajab’ bagi mendapatkan hadiah utama judi ekor.

Kegiatan lelaki terbabit terbongkar apabila pihak berkuasa menjalankan pemantauan di rumah lelaki terbabit lebih dua bulan lalu, sebelum menyerbu dan menahan bomoh itu bersama isteri, anak, menantu serta 10 pelanggan yang kebanyakannya tahi judi, kira-kira jam 10 malam.

Ketika ditahan, warga emas terbabit tampil segak memakai kopiah hitam, berbaju Melayu dan berkain pelekat sambil mulutnya terkumat-kamit membaca mantera pelik sambil memegang kendi kuno yang diletakkan di atas kertas sebelum timbul nombor ekor yang kononnya bakal memenangi hadiah utama.

Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, berkata memang agak mengejutkan apabila siasatan awal mendapati bomoh terbabit bukan saja bekas seorang bilal masjid, malah pernah dilantik JKKK.

Menurutnya, siasatan mendapati kaki judi perlu membawa ‘barang lama’ seperti keris, lembing dan pisau yang menjadi syarat utama pemujaan yang hendak dilakukan.

Katanya, setiap kaki judi perlu mengambil nombor giliran yang diberikan pembantu bomoh terbabit dipercayai seorang wanita warga Indonesia yang menanti di gerai berhampiran milik dukun berkenaan.

“Bukan saja kaki judi miskin, malah kaki judi kaya yang menaiki kereta mewah termasuk Mercedes Benz juga datang bagi mendapatkan khidmat bomoh terbabit.

“Apa yang pasti, setiap pelanggan perlu membawa besi atau barang lama sebagai syarat memastikan mantera bomoh itu mampu mengeluarkan nombor ekor untuk dibeli keesokannya,” katanya.

Shahrom tidak menolak kemungkinan bomoh terbabit menggunakan ‘bantuan ghaib’ bagi memuja nombor yang kononnya mampu memberikan hasil lumayan kepada kaki judi.

Menurutnya, ketika diserbu bomoh terbabit sedang memegang kendi dibawa kaki judi sambil yang diletakkan di atas kaca lampu pelita sambil membaca mantera sebelum secara tiba-tiba keluar asap.

“Bomoh yang dipercayai menggunakan sihir itu meletakkan kendi itu di atas kertas sebelum terhasil nombor.

“Kaki judi terbabit tersenyum sebelum mengambil nombor berkenaan dan memasukkan sejumlah wang ke dalam raga yang disediakan bomoh itu,” katanya.

Shahrom berkata, pemeriksaan di rumah berkenaan mendapati ia didiami warga emas itu bersama isteri dan dua anak serta menantu yang seolah-olah tidak menyedari kegiatan dilakukannya.

Menurutnya, beliau difahamkan, bomoh itu sering dibantu anak perempuannya sebelum mendapatkan bantuan wanita warga Indonesia terbabit.

“Berdasarkan siasatan, bomoh itu mendakwa memperoleh pendapatan lebih RM5,000 sebulan hasil gerai minuman dan khidmat puja nombor ditawarkannya.

“Malah, ketika ditahan bomoh memberitahu hanya melakukannya atas permintaan pelanggan dan tidak meletakkan harga bagi khidmatnya,” katanya.

Shahrom berkata, dalam operasi itu, Jais menahan 15 orang termasuk isteri, anak, menantu dan pembantu gerai bomoh terbabit untuk disoal siasat di pejabat Jais.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 4 dan 7, Enakmen Jenayah Syariah Selangor, selain seksyen lain yang perlu.

“Saya juga terkejut apabila seorang bekas bilal boleh terbabit dalam kegiatan khurafat ini bagi memenuhi tuntutan kaki judi,” katanya.

Sementara itu, Wak ketika ditemui berkata, dia tidak menetapkan sebarang bayaran dan mendakwa dalam sehari mampu mendapat lebih RM100.

“Kebanyakan mereka datang pada sebelah malam dan minta bantuan saya, jadi saya tolonglah...

“Saya juga tak ambil tahu latar belakang dan apa pekerjaan mereka,” katanya mendakwa berkecimpung dalam pekerjaan itu lebih 10 tahun lalu.

Wak mendakwa kadang-kadang dia hanya menulis nombor yang terlintas di fikiran dan pernah membeli nombor, tetapi tidak mengena.

Dia juga berulang kali meminta maaf dan mendakwa tidak tahu perbuatannya menyalahi undang-undang, selain memberi alasan tidak mempunyai pengetahuan agama tinggi serta melakukan kerja itu sekadar mahu menolong.

Ditanya cara menarik nombor, Wak berkata dia menggunakan duit lama yang digosok serta dibaca mantera sebelum diletakkan di atas kertas putih dan beberapa minit kemudian keluar nombor dihajati pelanggan.

“Biasalah kadang-kadang ada yang kena, kadang-kadang tak. Tapi mereka tak pernah bagi tahu saya atau bagi duit selepas kena.

“Dalam seminggu biasanya tiga hari paling ramai orang datang jumpa saya untuk dapatkan perkhidmatan,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam Jais, Mohd Hidayat Abd Rani, berkata semua mereka ditahan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Selangor, Seksyen 52, 46 dan 4 yang antara lain pertuduhan boleh dikenakan denda RM3,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya.

Difahamkan bomoh yang bekerja sebagai pekebun nanas itu pernah didakwa pada 1995 atas pertuduhan sama.

- HARIAN METRO

Sabtu, September 05, 2009

Bulan Hantu Lapar


Mengikut kepercayaan masyarakat Tionghua, hari ke-15 pada bulan ketujuh dalam kalendar lunar Cina, merupakan permulaan Bulan Hantu Lapar. Kononnya pada masa itu pintu neraka akan dibuka dan para hantu serta roh dipercayai keluar dari alam ghaib dan merayau-rayau pada waktu malam.

Dek pegangan turun-temurun, pada bulan itu mereka akan lebih berhati-hati dan patuh kepada pantang larang yang diperturunkan nenek moyang bagi mengelak ditimpa nasib malang.

Bukan itu sahaja, sebagai langkah pencegahan supaya tidak diganggu oleh roh dan hantu itu, sebilangan besar pengamal kepercayaan Taoist membakar duit palsu, emas, kereta dan rumah kertas sebagai persembahan kepada roh jahat atau hantu lapar.

Menurut seorang peniaga di Kuala Lumpur, Lee Hock Ming, 29, dia percaya ritual itu mampu mengurangkan kesengsaraan para hantu.

“Orang Cina percaya dunia di bawah sana sama dengan dunia yang kita tinggal sekarang.

“Selain duit, ada juga orang yang sediakan makanan dengan kerusi kosong dan menganjurkan acara-acara hiburan.

“Mereka akan menyanyi dan berjenaka bagi mengurangkan penderitaan roh,” katanya yang mula menyambut hari tersebut Ahad lalu.

Roh mangsa kemalangan

Hock Ming berkata, rakan sekolahnya sendiri pernah disampuk roh jahat pada Bulan Hantu Lapar.

“Dulu semasa saya tinggal di Perak, seorang kawan Melayu saya tiba-tiba pengsan semasa kami menghadiri kelas malam. Bila sedar, dia bercakap dalam bahasa Hokkien.

“Rupa-rupanya roh itu milik seorang lelaki Cina yang mati akibat kemalangan dan dia hendak ‘balik’ ke rumahnya.

“Roh itu turut memberitahu tempat tinggal keluarganya. Bila kawan saya selidik, keluarga itu memang ada dan salah seorang anggota keluarga itu mati akibat kemalangan beberapa bulan sebelumnya,” katanya.

Seorang sami Buddha di sebuah tokong di Petaling Jaya, Chang Wen, berkata asal-usul perayaan ini adalah daripada seorang anak murid pendeta Buddha bernama Mu Lian.

“Semasa bermeditasi, Mu Lian yang merupakan antara 10 murid terbaik Buddha telah mendapat petunjuk yang ibunya sedang sengsara di neraka.

“Menurut kisah itu, ibu Mu Lian merupakan seorang yang kedekut dan sering menghina golongan pengemis. Apabila Mu Lian mengambil keputusan untuk menjadi sami, ibunya sangat marah.

“Sebagai tanda bantahan, ibunya telah memberi Mu Lian makanan berdaging iaitu makanan yang tidak boleh dijamah oleh para sami. Kerana perbuatannya, si ibu telah diberi balasan dengan dihantar ke neraka selepas dia mati.

“Sebagai anak yang baik, Mu Lian sentiasa berdoa untuk ibunya dan doa itu telah didengari oleh Buddha. Dengan keizinan Buddha, setahun sekali pintu neraka dibuka dan roh-roh boleh kembali ke bumi untuk diberi makanan,” cerita Chang Wen.

Bukan bulan malang

Mengupas kebenaran sama ada wujud roh atau hantu jahat yang berkeliaran dan mengganggu manusia pada bulan ini, Chang memberitahu, ia sebenarnya tidak wujud.

“Perayaan untuk memperingati tarikh 15 haribulan ini telah jauh menyimpang daripada ajaran Buddha. Mungkin ia banyak dipengaruhi oleh adat resam orang Cina itu sendiri.

“Dalam ajaran Buddha, Bulan Hantu Lapar adalah bulan yang paling bahagia dan sangat diberkati. Selain roh ‘dibebaskan’, ia juga hari kemuncak para sami belajar dan berbincang mengenai agama.

“Cara terbaik memperingati para roh ini adalah dengan bersedekah dan sentiasa berdoa untuk kesejahteraan mereka, bukan dengan membakar kertas atau menganjurkan pesta. Itu hanya perbuatan yang membazir dan sia-sia,” jelas Chang Wen.

Tambahnya lagi, ritual yang sering dilakukan oleh kebanyakan masyarakat Tionghua itu tidak sepatutnya diamalkan.

“Jangan fikir apabila duit, rumah, kereta atau emas dibakar, roh itu akan tenang. Kehidupan mereka di alam fana tidak sama dengan kehidupan kita di sini. Mereka tidak perlukan itu semua, yang mereka mahukan ialah doa dan nikmat sedekah,” katanya.

Menyelar sesetengah orang yang suka meramalkan peristiwa malang kerap terjadi pada bulan ini, Chang Wen memberitahu, semua hari adalah baik dan tiada hari yang malang.

“Pucuk pangkalnya ialah amalan dan perbuatan kita. Ia tiada kena-mengena dengan pantang larang, hari, warna atau perkara-perkara lain. Itu adat sahaja,” kata Chang Wen.

- KOSMO!

Ahad, Ogos 16, 2009

Misteri: Makhluk halus usik kaki pancing

Selain manusia, Allah turut menciptakan makhluk lain yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi kehadirannya dapat dirasai walaupun ia tidak pernah menyenangkan. Di layar perak atau kaca televisyen, kehadiran makhluk halus selalunya disertakan dengan muzik menyeramkan, membuatkan bulu roma penonton turut sama berdiri.

Bagaimanapun, di alam nyata, kehadirannya langsung tidak memberi petanda kerana tiba-tiba saja ekor mata dapat menangkap kelibat sesuatu tetapi akhirnya hilang begitu saja. Ada ketikanya, ia menjelma betul-betul di depan mata tetapi bagi yang penuh ilmu di dada, ia tidak sedikit pun mencuit rasa. Sebaliknya, bagi yang longgar iman, kemunculan makhluk yang dijanjikan kekal dalam neraka itu sedikit sebanyak mencabar kewarasan.

Sebaiknya kehadiran makhluk berkenaan sama ada di depan mata atau sekadar berasakan kelibatnya tidak dihiraukan kerana takut bererti manusia yang disertakan akal bersama kejadiannya memberikan kemenangan kepada iblis yang diizinkan Allah mengusik dan menyesatkan anak cucu Adam sehingga hari kiamat.

Mungkin kisah yang diceritakan pemuda berusia awal 20-an yang cuma dikenali sebagai Faiz boleh dijadikan panduan betapa makhluk itu juga bosan jika usikan dan gangguannya tidak diendahkan.

“Kisah ini diceritakan oleh rakan sekerja yang jauh lebih senior. Dulu, di tempat kerja saya ada dua sahabat baik yang gila memancing. Persahabatan mereka sejak di bangku sekolah rendah terbawa-bawa sehingga ke alam pekerjaan.

“Memandangkan persekitaran kerja yang dekat dengan laut, kedua-dua mereka tidak melepaskan peluang memancing sebaik tamat tugas. Keakraban mereka dapat dilihat jika seorang bekerja syif pagi dan seorang lagi syif petang hingga malam, kedua-duanya akan balik ke rumah esok pagi selepas memancing semalaman,” kata Faiz.

Pada malam kejadian, kedua-dua sahabat baik itu duduk selesa di atas tembok bersebelahan antara satu sama lain sambil menunggu joran masing-masing diragut ikan. Malam semakin hening tetapi kedua-dua lelaki berkenaan terus sabar menanti.

Tiba-tiba mereka ternampak sebiji labu sayong yang hanyut entah dari mana. Salah seorang lelaki berkenaan terus memungut labu itu dan diletakkan di tepi kemudian kembali menumpukan perhatian kepada joran.

“Dalam keadaan sunyi sepi dan hening itu, tiba-tiba mereka ternampak ada sesuatu menjelma di tengah laut dan di atas permukaan laut, makhluk itu berjalan menghampiri mereka. Kedua-dua sahabat itu cuma melihat makhluk itu semakin menghampiri dan duduk di tengah-tengah antara mereka berdua.

“Lucunya, mereka tidak pula lari lintang pukang, sebaliknya cuma mengalih kedudukan seolah-olah memberi ruang kepada makhluk itu. Agaknya bosan gangguannya tidak dihiraukan, makhluk itu lesap begitu saja meninggalkan kedua-dua sahabat tadi yang asyik memancing itu. Rupa makhluk itu tidak pula diceritakan oleh rakan sekerja,” katanya.

Mungkin juga kerana nasib tidak menyebelahi, joran mereka tidak dimakan ikan menyebabkan kedua-dua sahabat itu berkemas untuk balik. Ketika itulah baru disedari labu yang sebelumnya berada berhampiran mereka sudah hilang.

Kedua-dua sahabat itu terperanjat besar apabila membuka but kereta kerana mereka mendapati labu berkenaan berada di dalamnya. Siapa yang meletakkan labu sayong itu di dalam bonet menjadi misteri kepada kedua-duanya.

Faiz berkata, seorang rakannya yang digelar abang Din, juga kaki pancing kerap diganggu makhluk halus tetapi bak kata pepatah alah bisa tegal biasa.

“Dia menceritakan pernah satu hari dia balik ke rumah pada waktu dinihari selepas memancing. Selepas membersihkan badan, abang Din mengejutkan isterinya untuk memberitahu ikan sudah dibawa masuk ke dalam sebelum tidur.

“Tidak lama kemudian, isterinya mengejutkan abang Din untuk bertanya apa yang dibawa balik. Apabila abang Din menjawab ikan, isterinya dengan selamba berkata: ‘Ikan apa dengan bentuk badan besar macam beruk, hitam legam dan berbulu lebat?’ Rupa-rupanya abang Din turut membawa balik makhluk lain,” katanya.

Sudah tiba masa kita kembali membetulkan anggapan salah yang kerap disajikan di layar perak mengenai makhluk halus mencari korban. Memang betul kata seorang ustaz - makhluk itu cuma berjanji untuk mengusik dan menyesatkan, bukan membunuh.

- BERITA MINGGU

Sabtu, Ogos 15, 2009

Mekanik dakwa lihat tiga kepala lembaga pelik


"Ketika anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran di sebuah rumah tinggal, secara tiba-tiba muncul tiga kepala lembaga misteri di ruang udara dan satu daripadanya sempat saya rakamkan dengan telefon bimbit."

Demikian dakwaan seorang mekanik, Rosli Sabri, 38, semasa menceritakan pengalaman yang menakutkan apabila terlihat tiga kepala lembaga misteri dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah tinggal di Bukit Subang di sini Ahad lalu.

Rosli ketika ditemui di bengkelnya di sini semalam berkata, dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, rumah yang ditinggalkan sejak tujuh tahun lalu itu hangus selepas disambar api yang merebak dari sebuah bengkel bersebelahan rumah tersebut.

"Pada mulanya tiada sebarang kejadian aneh berlaku tetapi apabila anggota bomba memancutkan air pada rumah yang terbakar, secara tiba-tiba muncul tiga kepala lembaga dalam tempoh kira-kira seminit sebelum hilang.

"Malah ada cerita mengatakan anggota bomba terpaksa menghentikan kerja-kerja memadam api beberapa minit kerana diganggu makhluk halus," ujarnya.

- KOSMO!

Ahad, Ogos 02, 2009

Silat atas sejadah


Jika bercakap mengenai hal agama, dialah ‘juara’, tetapi apabila melihat amalannya, pelik dan luar biasa.

Betapa tidak, lazimnya selepas solat kita berdoa, tetapi dia pula ‘bersilat’ apabila melakukan pelbagai gerakan tangan sambil bersila di atas sejadah.

Begitulah dunia seorang lelaki yang kini hidup bersendirian selepas sanggup menceraikan isterinya yang tidak mahu menuruti amalannya.

Mahu kisah berkenaan dijadikan iktibar, bekas isteri lelaki terbabit tampil membuat pendedahan kepada Metro Ahad.

Ibu tunggal dua anak itu yang mahu dikenali sebagai Izati, 29, berkata perbuatan aneh bekas suaminya dikesan sejak lima tahun lalu.

“Segala-galanya bermula apabila dia (suami) kononnya mahu melakukan lebih banyak ibadat dan mencari ketenangan, tetapi dia tersilap langkah apabila bertemu ‘guru’ yang salah.

“Seumur hidup, belum pernah saya melihat perbuatan seperti dilakukannya. Selepas solat, dia bersila dan melakukan beberapa gerakan menggunakan tangan umpama orang bersilat,” katanya.

Menurut Izati, gerakan seperti bersilat itu dilakukan bekas suaminya dalam tempoh lima hingga 10 minit sebelum disusuli dengan wirid, zikir dan doa.

“Kalau nak ikutkan, solatnya tidak cukup. Dia banyak meninggalkan yang fardu, tetapi lebih suka melakukan solat ketika tengah malam.

“Sampai satu tahap, dia memberitahu, solat hanya perlu niat, malah dia juga melakukan solat jamak biarpun tidak bermusafir,” katanya.

Izati berkata, sepanjang mengikuti ajaran itu, bekas suaminya lebih banyak di luar untuk mengikuti ‘kuliah agama’ daripada ada di rumah.

“Sejak itu rumah tangga saya goyah. Dia benar-benar berubah dan paling saya tidak dapat terima apabila dia berkata saya dan ahli keluarga yang lain umpama bukan beragama Islam kerana tidak membuat baiah (perakuan sumpah setia).

“Dia beritahu, seseorang itu hanya benar-benar Islam jika berbaiah dengan ‘gurunya’. Yang saya tahu, baiah berkenaan dilakukan di depan gurunya dengan menyebut nama wali dan guru lain,” katanya.

Menurut Izati, bekas suaminya bermati-matian mahu dia dan keluarganya melakukan baiah itu.

“Apabila saya tak mahu mengikut kehendaknya, dia sanggup tinggalkan saya. Secara berterus terang dia beritahu, sanggup tinggalkan saya, anak dan memilih ‘gurunya’,” katanya.

Izati berkata, suaminya begitu taksub dengan gurunya sehingga dia merujuk kepada gurunya mengenai apa saja perkara.

“Saya tidak dipedulikan. Jika dia perlukan saya, dia datang dan jika tidak, dia buat tidak peduli saja. Sampai satu tahap dia pernah beritahu dia bosan memandang wajah saya, tetapi wajah gurunya dilihat berseri-seri,” katanya.

Menurut Izati, selain rumah tangga goyah, sumber kewangan bekas suaminya juga tergugat.

“Gaji lebih RM4,000 tetapi dia selalu tiada wang. Apabila saya selidik, rupa-rupanya wang gajinya banyak disalurkan kepada pertubuhan seni bela diri dinaungi gurunya,” katanya.

Izati berkata, hasil perbualan dengan bekas suaminya, ada beberapa keanehan ajaran guru bekas suaminya.

“Bekas suami beritahu, dia pernah mandi beramai-ramai di dalam satu kolah bercampur lelaki dan perempuan ketika mula menyertai pertubuhan berkenaan.

“Satu lagi perbuatan pelik, bekas suami juga memberitahu, dia pernah berendam di bawah air terjun beramai-ramai bersama lelaki dan wanita pada jam 12 tengah malam dengan tujuan membuang sial,” katanya yang turut yakin bekas suaminya dipergunakan pertubuhan berkenaan.

Menurut Izati, selama lima tahun dia cuba mempertahankan rumah tangganya, namun dia akhirnya diceraikan selepas tidak mahu menuruti amalan bekas suaminya, terutama permintaan supaya dia berbaiah.

“Walaupun sudah berpisah, demi anak, saya mahu bekas suami kembali ke pangkal jalan. Pada masa sama, dengan pendedahan ini diharap pihak berkuasa dapat membanteras ajaran songsang pertubuhan itu,” katanya yang membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

> Jawi kumpul bukti

Walaupun sudah kira-kira lima bulan menerima aduan berkaitan ajaran sesat ‘Silat Atas Sejadah’, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) belum dapat mengambil tindakan terhadap ajaran sesat ‘Silat Atas Sejadah’.

Jurucakap Jawi berkata, mereka ada maklumat berkaitan kumpulan ajaran sesat terbabit, tetapi tidak dapat mengambil tindakan lagi kerana masih mengumpul bukti mensabitkan kesalahan mereka.

“Jawi memang ada maklumat berkaitan kegiatan kumpulan ajaran sesat itu. Siasatan awal mendapati, tumpuan operasi mereka lebih di Selangor dan Perak.

“Bagaimanapun, ada juga yang beroperasi di sini, cuma kami masih dalam usaha mengenal pasti kawasan dijadikan pusat pertemuan dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, jika tindakan diambil terhadap Silat Atas Sejadah mengikut fatwa tertentu, ia perlu tepat dan benar. Ini kerana, jika gagal dibuktikan di mahkamah, kemungkinan besar kes itu dibuang dan ahlinya dibebaskan.

“Kami mahu elak perkara seumpama itu berlaku. Kerana itu kita perlu dapatkan bukti dan segala yang berkaitan dengannya secara menyeluruh,” katanya.

Dalam masa sama, jurucakap itu turut mengesahkan menerima aduan berkaitan ajaran sesat terbabit daripada seorang wanita yang juga isteri kepada ahli tegar kumpulan ajaran sesat terbabit.

Aduan itu dibuat kira-kira lima bulan lalu dan selepas itu siasatan dimulakan. Setakat ini tiada serbuan atau tangkapan dibuat.

“Kami menerima aduan daripada wanita berkenaan berkaitan kegiatan suaminya yang aktif dalam ajaran sesat terbabit dan mahukan tindakan tegas diambil.

“Kami menasihatkan wanita berkenaan supaya bersabar selain memintanya sentiasa memastikan anak serta anggota keluarga lain berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Ahad, Julai 26, 2009

Misteri - 'Isteri' balik rumah

Sejak sekian lama, cerita misteri terutama membabitkan makhluk halus dan kehidupan orang Melayu seakan tidak boleh dipisahkan. Cerita sama tetap berupaya menarik perhatian walau diulang berkali-kali dengan sedikit tokok tambah.

Makhluk halus memang ada dan kewujudannya diterangkan dengan jelas dalam al-Quran. Ia memang diketahui tetapi apa yang menjadikan kewujudannya tidak disenangi ialah cara ia memberitahu kehadirannya melalui gangguan, usikan atau jelmaan yang menakutkan.

Manusia dan makhluk halus juga tidak boleh menjadi kawan dan jika ada yang melanggar hukum itu, akibatnya akan membinasakan diri.

Cerita ini pernah menggemparkan sebuah kampung yang terletak berhampiran Bukit Merah di Perak. Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Ahmad Syakir, 29, memberitahu tidak lama dulu dia dan isteri serta anak perempuannya yang dalam perjalanan pulang ke rumah mentua agak kehairanan mendapati pondok kecil di simpang masuk kampung isterinya lengang, sedangkan waktu baru menjangkau jam 8 malam.

“Saya memandu dengan perlahan dan berhati-hati kerana jalan masuk ke kampung isteri yang terletak agak jauh dari jalan besar, sempit dan tidak rata. Di kirinya pula ada tali air. Tanda tanya mengapa tiada anak muda melepak di pondok itu hilang begitu saja.

“Saya tidak pula berasa cuak dengan keadaan sunyi sepi dan gelap di kiri kanan jalan. Mungkin sebab sudah biasa berdepan dengan gangguan makhluk halus. Malah sepanjang perjalanan ia langsung tidak terlintas di ingatan,” katanya.

Sesampai di laman rumah mentuanya, Syakir turun mendukung anak perempuannya, manakala isteri mengangkat beg baju. Kehairanan sekali lagi timbul apabila ibu mentuanya segera keluar menyambar cucu lantas dibawa masuk dalam rumah dengan tergesa-gesa.

Syakir yang ingin mengambil angin malam duduk di atas pelantar di depan rumah tertanya-tanya dengan ajakan ibu mentuanya yang bersungguh-sungguh mahu dia masuk ke dalam dengan segera.

“Saya berasa berasa pelik sangat perangai ibu mentua. Dia seolah-olah bersembunyi di belakang pintu sambil menggamit saya supaya segera masuk ke rumah. Sebaik melangkah masuk, dia cepat-cepat menutup pintu. Gayanya macam ingin menghalang benda lain masuk.

“Selepas itu, barulah saya tahu cerita sebenar di sebalik tindak tanduk ibu mentua saya. Ia juga menjadi sebab mengapa pondok di simpang sunyi sepi. Rupa-rupanya, penduduk kampung dilanda ketakutan apabila seorang wanita warga emas yang baru dikebumikan tiga hari lalu dilihat merayau-rayau,” katanya.

Kejadian mula disedari suami wanita berkenaan sendiri yang terperanjat besar mendapati makanan sudah sedia terhidang di atas meja apabila dia pulang bekerja. Bunyi seperti orang sedang mandi dalam bilik air tambah menghairankannya.

Dia yang pada awalnya menyangka rumah diceroboh masuk, terus kaku dan membuka langkah seribu apabila melihat tubuh yang melangkah keluar dari bilik air ialah isterinya yang baru dikebumikan. Sejak itu, si suami tidak berani tidur di rumahnya dan sebaik malam menjelma, dia akan menumpang tidur di rumah saudara mara atau jiran.

“Ibu mentua saya memberitahu jelmaan itu juga mula mengganggu orang kampung, merayau-rayau mengetuk pintu rumah penduduk. Dia bersyukur kerana kejadian menyeramkan itu tidak berlaku kepadanya tetapi di kalangan jiran ada yang pengsan apabila mendapati tiba-tiba wanita itu berada di dapur mereka.

“Bagaimanapun, keadaan kini sudah pulih seperti biasa dan pondok di simpang sudah kembali riuh,” katanya.

Sebagai umat Islam, kita dilarang sama sekali bersahabat dengan makhluk halus apatah lagi membelanya untuk kepentingan diri. Jika difikirkan secara logik, apa faedahnya berkawan dengan jin atau syaitan yang sudah sah akan ke neraka juga kesudahannya.

- BERITA HARIAN

Selasa, Julai 07, 2009

Hantu Michael berkeliaran?


Nampaknya kematian Michael Jackson mencetuskan pelbagai fenomena, termasuk dakwaan rohnya masih berkeliaran di kediamannya di Neverland.

Dalam satu klip video di rumah besar raja pop itu, peminat mendakwa bayangan di hujung laluan di rumah berkenaan membuktikan kehadiran roh Michael.

Ia adalah khabar angin terbaru mengenai Michael sejak kematiannya hampir dua minggu lalu.

Sebelum ini, sesetengah pihak mendakwa konsert jelajah dunia Michael akan diadakan menggunakan teknologi hologram.

Mayat Michael juga didakwa akan ditanam tanpa otaknya kerana ia perlu menjalani ujian makmal.

Rakaman video di Neverland itu dibuat Miko Brando - anak kepada legenda filem, Marlon Brando - bersama jurukameranya.

Pada peringkat awal, tiada sesiapa menyedari kewujudan bayang yang didakwa roh Michael itu.

Namun, selepas rakaman berkenaan dipaparkan dalam laman web YouTube, khabar angin mengenainya merebak dengan cepat di Internet.

Pengunjung turut meninggalkan komen dan berdebat dengan penuh minat mengenai kemungkinan roh Michael kini berkeliaran di Neverland.

Seorang daripada mereka meninggalkan komen: “Ya, itu adalah MJ (Michael Jackson), malah gaya rambutnya menjadi bukti...!! Dia tak mati!”

- AGENSI

Khamis, Julai 02, 2009

46 penuntut UiTM Pahang diserang histeria

Seramai 46 pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, dekat Maran, yang sedang mengikuti minggu induksi pelajar baru di dewan utama universiti terbabit, tiba-tiba menjerit dan meracau diserang histeria, petang kelmarin.

Kejadian jam 5.45 petang itu dikatakan berpunca selepas seorang pelajar wanita berusia 18 tahun tiba-tiba pengsan lalu rebah ketika bersama lebih 1,000 pelajar baru yang berhimpun bagi mendengar taklimat di dewan terbabit.

Sejurus kemudian, puluhan pelajar wanita yang berada berdekatan dengan rakannya yang pengsan itu meracau dan menjerit sehingga menimbulkan suasana panik.

Seorang pelajar lelaki yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku dengan pantas dan semua pelajar baru dalam dewan itu terkejut apabila tiba-tiba melihat sekumpulan pelajar wanita berusia 18 hingga 20 tahun secara tiba-tiba menjerit seperti dirasuk sesuatu.

"Dalam keadaan cemas itu, saya dan beberapa pelajar lain serta pihak pengurusan UiTM cuba memberi bantuan kepada mangsa yang tidak sedarkan diri malah ada antara mereka yang mengadu ketakutan.

"Suasana panik itu menyebabkan semua pelajar baru dalam dewan berkenaan diarahkan keluar ke padang sebagai langkah keselamatan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM berkenaan, Muhammad Mokhtar, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu 32 daripada pelajar wanita berkenaan dirawat di pusat kesihatan universiti itu, manakala 14 pelajar lagi dihantar ke Hospital Jengka untuk rawatan susulan.

"Pihak hospital memaklumkan kejadian terbabit adalah perkara biasa berlaku ke atas seseorang jika terlalu penat, namun tiada apa perlu dibimbangkan malah kesihatan mereka tidak terjejas dan mereka dibenarkan pulang ke universiti selepas menerima rawatan," katanya.

- BERITA HARIAN

Rabu, Jun 24, 2009

Demam nampak pocong - Penduduk dua kampung gempar kemunculan lembaga putih di Bayan Lepas



Dalam keadaan semakin ramai warga Lembah Klang bimbang dan demam kerana wabak influenza A (H1N1), situasi yang sama dialami penduduk dua buah kampung di sini, bezanya mereka bukan takut virus selesema babi itu tetapi lembaga putih yang didakwa pocong.

Beberapa penduduk mendakwa pocong itu mula dilihat di Kampung Masjid di Teluk Kumbar, di sini dan Kampung Baru Sungai Ara yang terletak kira-kira 15 kilometer dari situ sejak bulan lalu.

Kisah pocong itu tersebar cepat dan meluas sehingga orang ramai mula fobia untuk keluar malam, baik di kalangan pekerja yang tamat syif di kilang-kilang berdekatan mahupun remaja bermotosikal yang dulu selalu berkonvoi ke Pekan Bayan Lepas.

Di Kampung Masjid, pocong itu didakwa pertama kali muncul bulan lalu tidak jauh dari kawasan kubur kira-kira pukul 3 pagi.

Ia disusuli dengan cerita penduduk lain yang turut ternampak lembaga yang sama di sekitar kawasan itu pada lewat malam dan awal pagi.

Antara yang mendakwa ternampak lembaga itu dekat perdu buluh di kampung tersebut pada kira-kira 1 pagi, 28 Mei lalu ialah Azril Idris, 25.

Pada waktu itu Azril berehat bersama rakannya, Syed Fadzil Syed Mohdin sebelum dikejutkan dengan kemunculan seorang jiran wanita menjerit-jerit mengatakan terserempak lembaga dekat rumahnya.

- KOSMO!

Jumaat, Jun 19, 2009

Lambaian puteri


Amalan sesat dan syirik memuja patung supaya wajah kelihatan jelita setanding artis selain menundukkan lelaki mendorong ramai wanita muda termasuk isteri orang kenamaan (VIP), kini sanggup menjual akidah dengan membeli tangkal azimat Siam dipanggil patung puteri.

Tangkal terbabit yang mempunyai fungsi persis minyak dagu atau minyak pengasih bagi golongan lelaki, sebaliknya hanya berkesan jika dipakai wanita dengan niat ‘mengikat’ hati lelaki.

Difahamkan, penjualan patung terbabit yang mendapat permintaan tinggi, didalangi beberapa pengamal perubatan tradisional tempatan yang menjadikan ibu negara sebagai pusat transit untuk memasarkan patung kecil berkenaan dengan harga tidak kurang RM600 setiap satu.

Wartawan Harian Metro yang menjejaki individu yang membekalkan patung tangkal pengasih berkenaan akhirnya mengatur temu janji di sebuah hotel berhampiran Jalan Tiong Nam, Chow Kit di sini, selepas kira-kira sebulan cuba meyakinkannya.

Wanita tempatan dari Parit Buntar, Perak, berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ani, 40-an, memberitahu dia ke Kuala Lumpur untuk menghantar ‘bekalan’ patung pengasih berkenaan sebanyak dua atau tiga kali sebulan.

Dia yang berketurunan Melayu Siam mendakwa menjual patung tangkal sebesar ibu jari berkenaan lengkap dengan rantai pada harga kadangkala melebihi RM600 setiap satu.

“Patung ini saya bawa khas melalui seorang kawan di Thailand yang akan menghantarkannya ke sempadan negara setiap kali bekalan saya kehabisan. Tidak setakat patung itu, malah saya turut membawa masuk pelbagai jenis minyak pengasih serta besi pelaris dari negara itu.

“Semua benda ini diserahkan kepada saya dalam keadaan ‘kosong’ dan menjadi tugas saya seterusnya untuk menjalankan upacara pemujaan khas di rumah untuk memasukkan ‘isi’ di dalamnya,” katanya.

Menurutnya, dia yang mempelajari ilmu kedukunan dan mantera Siam daripada arwah ibunya mendakwa akan melakukan pemujaan dalam bilik khas di rumahnya dengan membaca jampi terhadap patung itu pada tiga malam Jumaat berturut-turut.

“Bagaimanapun, upacara ini hanya boleh dilakukan selepas wanita yang menempah patung ini memberikan nama penuhnya bagi memastikan nama terbabit digunakan ketika proses puja patung berkenaan.

“Patung puteri yang siap ‘diisi’ dengan semangat itu kemudian akan dimasukkan ke dalam bekas khas dan dipasang dengan rantai sebelum dijual,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini, lebih 1,000 tangkal pengasih itu dijual kepada pelanggan terutama di kalangan wanita Melayu.

“Pemakaiannya mempunyai pelbagai khasiat istimewa terutama sebagai penambat kasih dan membuat lelaki tergila-gilakan si pemakai.

“Lelaki yang memandang si pemakai ini akan sentiasa rindu dan tidak lena tidur akibat teringatkan wajah wanita yang memakainya. Bagi mereka, wanita terbabit yang sebelum ini nampak hodoh di mata bertukar umpama primadona memukau,” katanya.

Menurutnya, kehebatan patung puteri itu yang ‘mujarab’ di kalangan pengguna menyebabkan ia laris dan menjadi buruan di kalangan wanita termasuk golongan mak nyah.

“Patung Puteri turut menjadi kegilaan pelayan pelanggan (GRO) kelab malam, pelacur, isteri VIP serta perempuan simpanan bertujuan dijadikan pelaris atau mengikat hati suami.

“Bagaimanapun, pemakaian tangkal ini turut mempunyai pantang larang berikutan individu yang menggunakannya dilarang berjalan di bawah ampaian baju. Jika pantang ini dilanggar maka ‘khasiat’ patung berkenaan akan lenyap dan pemiliknya perlu memulangkan semula patung berkenaan untuk dijampi semula,” katanya.

Sementara itu, Kak Ani yang mendakwa berjinak dengan dunia pengamal perubatan tradisional sejak 20 tahun lalu, sempat menunjukkan contoh dua Patung Puteri yang akan diserahkan kepada pelanggannya.

Pemerhatian mendapati setiap patung terbabit yang berlainan saiz mempunyai bentuk hampir sama iaitu ukiran seorang wanita dengan satu daripada tangannya seolah-olah sedang melambai.

“Patung ini ditempah seorang isteri penjawat awam dan seorang perempuan simpanan bagi tujuan yang awak sedia maklum,” katanya.

Kak Ani yang ditanya tidakkah perbuatannya itu menjurus kepada syirik memberitahu, dia kerap menasihati pelanggannya supaya membukanya ketika sembahyang.

“Saya tidak suruh mereka meletakkan sepenuhnya kepercayaan terhadap patung itu sebaliknya menganggap patung itu hanya sebagai alat pengantara untuk menunaikan hajat,” katanya sambil meminta wajahnya tidak didedahkan.

- HARIAN METRO

Rabu, Jun 10, 2009

Burung cenderawasih mempunyai sakti?


Kewujudannya dianggap membawa unsur sakti, tuah dan kuasa pelaris. Tercetus daripada fantasi manusia, kecantikan makhluk ini terlalu dipuja hingga tersasar matlamatnya.

Sedang kita duduk di sebuah restoran di utara Semenanjung Malaysia, mata akan terpandang sebuah potret hitam putih di dindingnya. Ia mendapat tempat sebaris potret pembesar dan pemerintah negeri yang lain.

Setelah dipastikan gerangannya ialah Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim (1882-1943) yang pernah memerintah Kedah, kepala diangguk perlahan. Cuma, apakah istimewanya gerangan figura itu hingga potretnya digantung di restoran yang bukan di atas bumi Darul Aman?

"Kamu lihat di kepala baginda, nampak tak bulu-bulu itu? Itu ialah bulu burung cenderawasih. Almarhum ialah Sultan yang hebat. Bulu burung itu ada kuasa dan tuah. Bos saya mahu kedai ini pun mendapat tempiasnya," kata seorang pekerja restoran.

Oh, sampai begitu sekali? Pelaris rupanya!

Selama ini terlalu banyak kepercayaan yang kuat terhadap makhluk yang bernama burung cenderawasih. Kononnya ia berasal dari kayangan dan hanya minum air embun. Teringat juga pada bait lagu yang memujuk fikiran kita supaya berfantasi bahawa ia wujud tinggi di awan.

Di kalangan masyarakat Nusantara khususnya, cenderawasih diburu kerana membawa tuah, kuasa dan pengaruh. Selain turut dikaitkan dengan khasiat tinggi dalam dunia perubatan tradisional, ia juga diburu kerana bahagian tubuhnya memberi kelebihan kepada sesiapa yang memilikinya.

Legenda cenderawasih diuar-uarkan dari mulut ke mulut. Akal yang terbuai dengan cerita itu tentunya akan percaya pada kisah burung ini yang kononnya dikatakan menjadi dampingan para wali, berkicau memanggil malaikat dan juga minyaknya yang unggul untuk dijadikan ubat pengasih.

"Kalau nak tahu, cenderawasih ini dipercayai penjaga sejenis batu zamrud yang tinggi nilainya. Bertuah siapa yang menemuinya. Oleh kerana tempatnya nun di langit, burung ini akan mati kalau ia terjatuh ke tanah.

"Tapi bangkainya tidak mereput atau berbau busuk, malah mengeluarkan haruman tersendiri," ujar seorang lagi yang bersungguh-sungguh percaya bahawa burung ini boleh jatuh di hutan Malaysia.

Tiada di belantara Malaysia

Menurut Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Saharudin Anan, agak mustahil untuk menemukan cenderawasih dalam habitat semula jadi negara ini.

"Cenderawasih yang kita miliki dibeli dari luar negara atas permit ketat. Indonesia juga sebenarnya tidak berapa menggalakkan burung ini dieksport ke luar negaranya. Kalau ada yang ditemui di negara ini seperti yang dirampas penguatkuasa tempatan, ia selalunya sudah mati dan telah diawet," ujarnya.

Saharudin mengingatkan, barang siapa yang memiliki, menyeludup dan menjual cenderawasih boleh ditahan di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Seksyen 76) dan dihukum di bawah Seksyen 68 akta yang sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tiga bulan.

"Memang mustahil untuk ia ditemui di hutan negara ini. Kebanyakan yang menjaja cerita tentang penemuannya boleh dikatakan berbohong, sama seperti cerita-cerita tentang keajaibannya," kata seorang bekas pemburu, Mohd. Yaman Hassan Basri, 76, dari Mersing, Johor ketika dihubungi Jurnal.

Mohd. Yaman yang arif dalam selok-belok dunia hutan dan unggas turut kesal dengan penipuan yang dilakukan oleh individu atau kumpulan tertentu yang memperdaya orang untuk membeli pelaris cenderawasih dalam bentuk bulu, minyak atau tangkal dengan harga ribuan ringgit.

Percaya pada pelaris

Sementara itu, penceramah dan perunding motivasi, Siti Nor Bahiyah Mahmood mengingatkan bahawa sebarang bentuk tangkal atau azimat untuk tujuan melariskan perniagaan adalah bertentangan dengan Islam kerana ia meletakkan sesuatu kepercayaan selain daripada Allah.

"Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda, jampi serapah dan tangkal azimat adalah syirik. Untuk tujuan yang sama, lebih baik menggunakan ayat-ayat suci al-Quran seperti amalan membaca surah al-Waqi'ah, Yasin dan Ayat Seribu Dinar," ujarnya.

Tapi ramai antara kita tidak lari daripada turut menyebut tentang Kitab Tajuk Muluk. Ia pernah meriwayatkan tentang khasiat perubatan yang pelbagai tentang bahagian anatomi burung cenderawasih. Namun, hari ini siapa yang boleh membuktikannya?

Alangkah rugi rasanya jika bangsa Melayu yang berbangga dengan catatan kalam kitab itu sekadar mengangkat darjat burung ini dari sudut kesaktian tanpa mendalami kepentingan aspek lain yang lebih rasional.

Jika benar pun misteri khasiat itu, kita tidak mampu lagi untuk mengorbankan burung yang diancam kepupusan ini di makmal atas dasar membuktikan semua persoalan tersebut. Sememangnya cenderawasih terlalu cantik dan berharga namun ketaksuban manusia membawa malang kepadanya.

- KOSMO!

Selasa, Jun 09, 2009

Tiada sial dalam tubuh

Antara kasihan, kesal dan kecoh. Semua perasaan itu tergumpal menjadi satu apabila mendengar luahan seorang warga emas berusia 59 tahun. Dia menceritakan pengalamannya kehilangan semua wang dan barangan kemas miliknya bernilai hampir RM240,000.

Di pejabat Biro Pengaduan MCA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu, ada yang tidak percaya apabila semua kerugian itu gara-gara dia diperdaya muslihat membuang sial oleh tiga wanita yang tidak dikenalinya.

Menurutnya, mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an itu mendekatinya di Plaza Kota Raya, Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu. Lakonan 'meyakinkan' trio yang bijak mencipta situasi itu mendakwa anaknya akan ditimpa musibah dan meninggal dunia.

Ketika berbual dalam sebuah restoran, mangsa diberi minum dan sebentar kemudian dia terasa khayal. Ketika itulah, semua kata-kata wanita-wanita penipu itu dipercayainya.

"Seorang wanita itu memberitahu saya bahawa mereka mengenali seorang bomoh yang hebat tetapi saya perlu menyerahkan semua wang kepada mereka," katanya.

Tanpa banyak soal, mangsa ditemani salah seorang daripada suspek untuk menaiki teksi ke rumahnya di Cheras dan kemudian mengeluarkan semua wang daripada akaun simpanannya termasuk mengambil barangan kemas seperti gelang, rantai dan anting-anting yang dianggarkan bernilai RM30,000.

Satu bungkusan beg plastik telah diserahkan kepada Wong dan warga emas malang itu diingatkan supaya ia hanya boleh dibuka selepas tiga hari. Wong pun menurut sahaja. Namun, alangkah terkejut dan luluh hatinya apabila mendapati bungkusan itu hanya berisi sebotol air mineral, tiga peket garam, tujuh biji epal dan beberapa helai surat khabar lama.

Realiti segelintir masyarakat kita kini tidak mengira sama ada bangsa Melayu, Cina atau India masih mempercayai amalan karut yang dikatakan boleh membuang sial.

Melengkapi ketaksuban ritual membuang sial itu ialah orang yang mendakwa diri sebagai bomoh, baik secara individu atau usaha berkumpulan yang menjadi perantara.

Berulang kali juga, media mendedahkan kesan dan akibat daripada penipuan dengan modus operandi sebegini. Antara lain, wang ringgit, harta serta kehormatan diri menjadi taruhan. Realitinya, tiada sial yang dibuang, sebaliknya bala pula yang datang.

Upacara membuang sial

Di seluruh dunia, kepercayaan karut sekadar memberi harapan palsu kepada pengikutnya. Kesan keaiban dan kerugian sememangnya tidak mengenal bangsa, agama, status sosial atau kedudukan geografi si mangsa. Malah, di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam, masih terdapat segelintir yang masih mengamalkan amalan tertentu untuk membuang sial.

Seperti upacara berandam, misalnya, mak andam tradisional akan mencukur bahagian-bahagian tertentu tubuh pengantin perempuan, sama ada daripada sebahagian alis, pada lengan dan bahagian muka.

Bulu, kening atau rambut yang dicukur itu tidak boleh dilangkah atau diambil orang jika pelakunya tidak mahu ditimpa kesengsaraan. Seterusnya, ia akan dibuang di sungai atau laut dan disusuli pula dengan upacara menggunakan asap kemenyan dan jampi mentera kononnya untuk melindungi diri si pengantin.

Bagi bayi yang baru lahir pula, sesetengah bidan yang mengamalkan kepercayaan tertentu akan memberi tangkal yang digantung pada leher, pergelangan tangan ataupun kaki bertujuan mengelakkan diri daripada sebarang keburukan yang dipanggil sial, malang atau kecelakaan.

Itu belum lagi mendalami amalan menggolek-golekkan telur pada tubuh ketika mandi, dan kemudiannya direbus dan dimakan bagi melenyapkan unsur tidak baik daripada kekal dalam tubuh.

Berfikiran lebih realistik

Mengulas isu 'membuang sial', penceramah agama, Datuk Dr. Amran Kasimin memberitahu, tubuh manusia tidak mempunyai sial sama ada pada muka, kuku, tangan ataupun mana-mana anggota tubuh yang lain.

"Tidak terdapat dari mana-mana sumber, sama ada daripada ayat al-Quran ataupun hadis, yang membicarakan kewujudan sial pada tubuh manusia.

"Realitinya semua ini wujud kerana pengaruh animisme yang wujud sebelum kedatangan Islam. Pengaruh ini semakin melebar dengan kedatangan aliran agama tertentu ke Nusantara. Ironinya, kepercayaan itu menjadi ikutan sebahagian orang Melayu walaupun mereka telah memeluk Islam," katanya.

Beliau menambah, seorang Muslim seharusnya benar-benar beriman kepada Allah serta percaya kepada qada dan qadar-Nya.

"Mereka tidak seharusnya mempercayai bahawa sesuatu benda itu (zat atau sifat) boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan. Kepercayaan yang boleh menafikan kesempurnaan tauhid seperti itu adalah warisan jahiliah yang sudah dihapuskan oleh Islam," ujarnya.

Katanya lagi, amalan khurafat akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud dan mudah berputus asa.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Malaya, Prof. Dr. Mahmood Zuhdi pula berpendapat telah tiba masa masyarakat, terutama kaum Melayu, untuk berfikiran lebih realistik.

"Memang sukar untuk mengikis pengaruh sebegini, namun ia perlu dilakukan kerana umat Islam tidak boleh mencampur aduk antara budaya dan agama.

"Ia boleh menyebabkan mereka mudah hanyut. Lebih membimbangkan, akidah mereka turut tergelincir," katanya.

- KOSMO!

Isnin, Mei 25, 2009

Lokasi paling berhantu

Kawasan perkuburan, rumah tinggal, tempat penyembelihan haiwan dan lokasi kejadian bunuh dikenal pasti paling tinggi dengan aktiviti hantu. Mungkinkah lokasi terbaru adalah lebuh raya berikutan kemunculan misteri hantu kebaya merah di Gurun, Kedah?

Mungkin ada yang tersenyum menonton iklan terbitan Proton yang memaparkan adegan puntianak ditegur ibunya kerana tidak memakai tali keledar penumpang belakang.

Akibatnya dia terhumban ke jalan raya apabila pemandu wanita kereta Proton itu terkejut sewaktu menekan brek kecemasan.

Iklan 30 saat itu cukup popular sekitar akhir 2007 kerana ia dipaparkan dalam bentuk lucu biarpun sekadar kempen kerajaan berhubung kesedaran pemakaian tali pinggang keledar.

Ironi, ramai pasti seram sejuk jika paparan sedemikian adalah realiti dalam kehidupan sebenar.

Namun ada juga yang pesimis kononnya hantu tidak wujud dan sekadar mainan perasaan semata-mata. Malah berdasarkan rekod saintifik, belum pernah ada manusia mati akibat dibunuh oleh hantu.

Terbaru, kawasan Gurun di Kedah mendapat perhatian ramai ekoran pendedahan beberapa pihak yang mendakwa melihat hantu hingga mereka terlibat dalam kemalangan.

Anehnya, lembaga eksentrik itu dikenali berdasarkan jenis pakaiannya - baju kebaya merah.

Kisahnya bertambah menarik apabila 'wanita kebaya merah' itu dipercayai roh jelmaan mangsa kemalangan maut yang tidak tenteram.

Kawasan lebuh raya makhluk itu berlegar kebetulan pernah mencatatkan banyak nahas ngeri suatu ketika dulu.

"Hakikatnya sejak dulu lagi manusia mudah takut kepada hantu akibat pengaruh filem cereka yang sebetulnya tidak berasaskan logik," jelas Ketua Penyelidik Kumpulan Pengkaji Paranormal terkenal tempatan atau PSI, Syed Abdullah Hussien Alattas.

Popular dengan gelaran Uncle Seekers, beliau mendedahkan Malaysia kemungkinan besar ialah negara yang paling banyak memiliki hantu.

Lebih menarik, perkara itu disahkan pula ramai pengkaji Barat berdasarkan kepada buku tulisan mereka sejak tahun 1896 hingga 1960-an.

Peliknya dalam tempoh kurang 100 tahun itu, ribuan buku penulis asing bercakap mengenai hantu di Malaysia mendedahkan negara kita 'mewah' dengan lebih 700 jenis hantu. Itu setakat jumlah yang baru sahaja dikenal pasti dan didaftarkan di dalam katalog.

"Angka sebenar mungkin banyak lagi tetapi mujur Malaysia selepas dibentuk pada 1963, menyaksikan semakin kurang penulisan ilmiah berkaitan hantu.

"Jika tidak tentu jumlah hantu negara kita sudah mencecah lebih 1,000 jenis," terang beliau dalam nada berseloroh.

Mengulas mengenai kepercayaan kepada hantu, masyarakat Orang Asli dikenal pasti paling tinggi memiliki jumlah hantu.

Ini berkait rapat dengan faktor kehidupan mereka yang banyak bergantung kepada alam sekeliling kerana mereka tinggal di dalam hutan.

Manakala kaum Melayu, ujar Syed Abdullah, tidak ketinggalan mempercayai sejumlah besar hantu, menjadikan mereka sebagai bangsa bertamadun moden yang 'meriah' dengan pelbagai makhluk halus.

Setakat ini, bilangan hantu dalam masyarakat Melayu dianggarkan ada 300 jenis.

Ini berdasarkan kajian beliau selama 19 tahun sejak 1989 dengan sokongan 17 penyelidik tetap dan 26 lagi separuh masa yang membentuk kumpulan PSI.

Mereka turut mendapat bantuan daripada sembilan bomoh dan 85 sukarelawan yang menjelajah ke seluruh negara.

Tidak hairanlah tema hantu juga menjadi pilihan pembikin filem genre seram bermula dengan Pontianak pada 1957 membawa kepada 33 filem. Antaranya Sumpah Orang Minyak (1958), Badang (1962), Si Tora Harimau Jadian (1964), Puaka (1974) dan Toyol (1981).

Namun, hantu biarpun sering dikaitkan dengan orang mati tetapi berdasarkan tinjauan Uncle sendiri ke atas bilik mayat Hospital Kuala Lumpur mendapati para petugasnya langsung tidak bimbang diganggu oleh makhluk halus itu walaupun bekerja keseorangan pada lewat malam.

Jurnal yang sempat menemu bual beberapa pekerja mortuari awam di sebilangan hospital kerajaan turut terkejut melihat mereka bertugas seperti biasa. Bagi individu terbabit, tiada apa yang perlu ditakutkan apatah lagi momokan hantu.

"Mengarutlah, mana mungkin orang mati boleh hidup!" Itu jawapan standard mereka.

Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, ada juga yang mengamalkan petua tertentu seperti membaca ayat Kursi selain tidak takbur dan yang penting, jangan panik!

"Mungkin sudah biasa bertugas di situ namun pemerhatian pasukan saya menunjukkan tiada aktiviti paranormal di sekitar bilik mayat atau kejadian aneh meskipun dipenuhi dengan ribuan mayat termasuk yang mati dibunuh, lemas atau terbakar," terang beliau lagi.

Bagaimanapun, pada umumnya kawasan perkuburan dan jirat Cina merupakan tempat paling banyak aktiviti hantu dicatatkan diikuti rumah tinggal atau bangunan terbiar lama, tempat penyembelihan haiwan ternakan, lokasi kejadian bunuh dan langgar lari mati.

Bercakap mengenai makhluk halus, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menjelaskan bahawa umat Islam perlu mempercayai kewujudan hantu sebagai ciptaan Allah berpandukan kepada pelbagai dalil al-Quran dan hadis Nabi.

"Namun Islam sebagai agama yang lengkap berasaskan sumber kitab Allah dan sunah Rasulullah mendidik umatnya menitikberatkan soal ilmu.

"Ini bermakna kita perlu melakukan banyak kajian tertentu berhubung kehadiran hantu di alam dunia," katanya.

Justeru beliau merujuk usaha pihak tertentu menggunakan teknologi canggih untuk mengesan makhluk halus yang boleh dianggap sebagai pendekatan sesuai bagi mendedahkan masyarakat dengan kewujudan hantu secara ilmiah selain memperbetulkan salah tanggapan umum selama ini.

- KOSMO!

Sabtu, Mei 23, 2009

Risalah judi cemar Islam


“Saya bersyukur mendapat pertolongan Tok. Saya membalas jasa Tok dengan menderma sebahagian wang dan mencetak risalah untuk disebarkan kepada penganut lain supaya mereka boleh menjadi seperti saya,” demikian pengakuan seorang lelaki Islam selepas dikatakan memenangi sejumlah wang hasil berjudi nombor ekor dengan bantuan seorang sami.

Pengakuan lelaki terbabit disebarkan menerusi satu risalah menggunakan nama Sulaiman bagi memesongkan akidah umat Islam terutama mereka yang gila nombor atau sedia terjebak dengan kegiatan negatif itu.

Melalui risalah terbabit, lelaki berkenaan mendakwa menghadapi masalah kewangan dan mendapatkan bantuan sami berkenaan dikenali sebagai Tok Cai Bo Ting dengan membuat satu panggilan telefon.

Menerusi panggilan itu, Sulaiman meminta tunjuk ajar daripada sami itu untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan dihadapi.

“Tok menilik nasib dan memberitahu akan ada peluang memiliki kekayaan dan menyuruh saya membeli nombor 7007.

“Nombor itu memang menjadi memenangi hadiah pertama judi nombor ekor. Saya amat bersyukur,” katanya.

Selain meminta orang ramai menghubungi nombor tertera untuk sebarang tilikan, risalah diedarkan sindiket nombor ekor haram itu turut memaparkan gambar sami dimaksudkan bagi mempengaruhi kaki judi.

Pengakuan lelaki itu walaupun mungkin rekaan, tetapi sedikit sebanyak mencemarkan kesucian Islam.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Ab Aziz Ab Rahman ketika dihubungi, berkata kegiatan pengedaran risalah judi yang menggunakan nama umat Islam itu seolah-olah sengaja menjatuhkan maruah dan mencemar kesucian Islam kepada masyarakat lain.

Beliau berkata pengedaran risalah menggunakan individu Islam itu mungkin boleh mempengaruhi umat Islam lain terutama kaki judi supaya percaya kepada tilikan dan bergantung nasib selain Allah.

- HARIAN METRO

Jumaat, Mei 22, 2009

Eksentrik pemindah kubur


Shun Feng mengakui tidak pernah gentar berdepan dengan benda ghaib mahupun roh kerana percaya hantu dan roh jahat tidak dapat menjejaskan individu yang berniat baik.

Wong Shun Feng menyatakan pengalaman melihat hantu, mengalami fenomena luar biasa dan dinasihati dewa-dewa merupakan sebahagian asam garam dalam pekerjaannya.

Dikenali dengan panggilan Tua Ya Pek iaitu nama dewa kematian dalam kalangan rakan-rakannya, Shun Feng adalah seorang penggali kubur yang bertugas memindahkan mayat ke kawasan perkuburan baru di Singapura bagi memberi ruang pada pembangunan di negara itu.

Menurut kepercayaan Taoisme, Shun Feng adalah antara orang yang perlu memberi penghormatan kepada si mati sebelum mereka meneruskan perjalanan ke liang lahat yang baru.

Tugas yang dijalankannya adalah menghantar mereka (roh-roh) ke satu tempat rehat baru untuk memberi ruang bagi pembangunan jalan raya, perumahan dan perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, menurut Shun Feng, kerja menggali kubur menjadi sukar kerana roh si mati enggan berpindah dan tidak mahu jasad mereka diganggu.

"Saya pernah melihat roh-roh melayang di sebelah saya apabila menggali kubur mereka dan ada juga yang berbisik dengan berkata, Ah Tee (pemuda), jangan pindahkan saya," kata Shun Feng sambil mengimbas peristiwa itu secara tepat.

Menurutnya, bukan semua roh berkelakuan baik.

Lelaki yang berusia 53 tahun dan mempunyai pengalaman menggali kubur selama lebih daripada 30 tahun itu berkata, pernah sekali, sebatang pokok berhampiran sebuah kubur yang digalinya bergoncang walaupun tiada angin bertiup.

Dia juga pernah 'dihukum' oleh roh-roh kerana tidak menghormati mereka apabila bersumpah di tanah perkuburan.

"Pada sebelah petang setelah selesai menggali, tangan kiri saya terasa lumpuh kerana mencarut di kawasan kubur. Saya kembali pulih pada keesokan harinya," ujar Shun Feng.

Shun Feng mengakui tidak pernah gentar berdepan dengan benda ghaib mahupun roh kerana percaya bahawa hantu dan roh jahat tidak dapat menjejaskan individu yang berniat baik.

Bagaimanapun, dia risau kemungkinan besar masyarakat tempatan memandang rendah terhadapnya kerana menganggap pekerjaan itu ketinggalan zaman.

"Orang ramai menganggap pekerjaan ini bercanggah dengan pantang larang keagamaan, namun saya selesa dengan pekerjaan ini," katanya.

Dalam pada itu, seorang lelaki pendek tekun melukis pelbagai jenis tatu di atas badan Shun Feng. Tatu yang dilukis itu memaparkan imej-imej Tua Ya Pek dan Li Ya Pek dan ia merentasi dada dan belakang badan Shun Feng.

Katanya, imej dua dewa Taoisme itu bertanggungjawab menjaga roh-roh dan bukan dilukis sebagai bahan hiasan diri.

"Saya memuja dan menghormati tuhan, jika tidak mengapa saya hendak mencacah mereka pada badan saya," kata Shun Feng yang turut mendakwa beliau pernah melihat penjelmaan tuhan dan mendapat pengajaran tentang kehidupan menerusi pekerjaannya.

Kerja-kerja menggali yang diselia oleh pihak berkuasa tanah di Singapura untuk memindah dan membersihkan tanah perkuburan yang terletak di utara negara itu, memerlukan khidmat Shun Feng dan tiga orang rakannya yang menggali hampir tiga jam sebuah lubang sempit sedalam empat meter (12 kaki).

Dengan menggunakan peralatan biasa seperti cangkul dan bakul rotan, mereka menggali tanah, pasir dan simen yang dibina untuk si mati yang dipercayai seorang individu kaya.

Mengumpil penutup keranda, Shun Feng dan seorang lagi penggali kubur mengumpul tulang-tulang dan mencucinya dengan air beras sebelum menyerah ketulan tulang itu kepada kaum keluarga yang memberi sampul merah mengandungi wang sebagai tanda penghargaan.

Sampul-sampul tersebut menjadi sumber pendapatan penggali-penggali kubur berkenaan kerana bayaran sebanyak AS$65 (RM227) untuk setiap penggalian hanya boleh dimiliki seorang individu sahaja maka penggali tersebut memperoleh sampul itu secara bergilir-gilir.

"Pendapatan yang diterima tidak tetap. Ia bergantung pada sikap murah hati kaum keluarga yang menyediakan sampul merah itu," ujar Shen Fung.

Memandangkan pekerjaan itu tidak stabil, dia terpaksa mencari pendapatan sampingan dengan melakukan kerja-kerja seperti mengecat rumah dan membaik pulih.

Bagaimanapun, buat masa ini, tangannya 'penuh dengan wang' kerana tanah perkuburan Guang Xiao Shan seluas 7,000 meter persegi yang terletak berhampiran sempadan Malaysia memerlukan khidmatnya untuk menukar wajah kawasan itu sebagai gudang kereta api.

Fasa pembangunan di Singapura memberi pengertian bahawa di antara tahun 1970 dan 1998, lebih daripada 240,000 buah kubur yang terletak di 100 tanah perkuburan telah digali.

Menurut Shun Feng, kesemua si mati termasuk mereka yang menjadi 'ahli' baru mesti ditenteramkan.

"Hantu sama seperti manusia. Mereka juga memiliki perasaan. Bagaimana emosi anda jika terpaksa berpindah selepas tinggal di sesuatu tempat selama 50 tahun?"soalnya.

Apabila ditanya mengenai hari terakhirnya sebagai penggali dan pemindah kubur, Shun Feng mengangkat bahu dan menuding pada tatu yang menunjukkan imej dewa Li Ya Pek tersenyum dengan tenang.

"Saya belum berfikir mengenai perkara tersebut. Lihatlah apa yang dikatakan oleh 'abang besar' saya," ujarnya sambil ketawa.

- AFP

Khamis, Mei 21, 2009

Hantu lebuh raya


Seorang guru bahasa Arab, Mohd. Fitri Mohamad tidak dapat melupakan keanehan yang beliau sekeluarga alami ketika bercuti selama tiga hari ke Cameron Highlands dan Kuala Lumpur minggu lepas.

Sepanjang percutian itu, guru Sekolah Yayasan Islam Perlis, Kangar itu mendakwa anak saudaranya yang berusia dua tahun yang menaiki kereta Proton Wira yang dipandunya berperangai aneh apabila asyik menangis.

Tidak cukup dengan itu, Mohd. Fitri juga mendakwa keretanya terasa begitu ‘berat’ dan beliau ternampak kelibat ‘lembaga’ semasa berhenti di Padang Besar.

Namun, peristiwa paling mengejutkan mereka ialah kemunculan imej ‘lembaga’ dipercayai wanita berbaju merah yang dirakam dalam sekeping gambar di sebuah stesen minyak di Hentian Rehat & Rawat (R & R) Gurun arah selatan sewaktu mereka memulakan percutian pada Jumaat lalu.

Mohd. Fitri, 29, mengakui semasa mengambil gambar isterinya, Shatini Shahidan, 28, yang berdiri di sebelah kereta mereka pada pukul 5.30 pagi itu, tiada sesiapa dilihat berjalan di belakang Shatini.

Lembaga itu muncul dengan wajahnya kabur dan berambut panjang.

“Sepanjang perjalanan selepas itu, kereta saya terasa berat semacam sehingga kos minyak dari Kuala Lumpur balik Perlis mencecah RM100 sedangkan biasanya dalam lingkungan RM60 sahaja,” katanya.

Sewaktu dia menurunkan abangnya di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar sebaik habis cuti pada Isnin lalu, Mohd. Fitri mendakwa ternampak kelibat satu lembaga keluar dari keretanya.

“Saya sempat membaca ayat Kursi bagi memastikan kami tidak terus diganggu,’’ ujarnya.

Peristiwa itu kemudian dilupakan sehinggalah dia melihat semula gambar yang dirakam di stesen minyak itu menggunakan kamera digital Nikon milik majikan isterinya.

“Berdasarkan gambar itu dan pengalaman saya melihat kelibatnya, ia amat mengerikan iaitu seakan-akan muka beruk dengan pipi lebar dan mulut muncung panjang serta berambut panjang,” ujarnya.

Sementara itu, Shatini yang merupakan seorang kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memberitahu, ketika gambar itu diambil, dia tidak berasa sesuatu yang aneh.

Kejadian yang mereka alami itu berlaku hanya kira-kira 20 minit perjalanan dari lokasi dua kemalangan jalan raya yang berlaku pada tahun ini di Sungai Petani.

Kemalangan itu membabitkan seorang pemandu kereta Perodua Kancil yang cedera parah pada 5 Februari. Ia diikuti dengan insiden seorang pemandu lori serta kelindannya cedera apabila kenderaan mereka terbabas di Kilometer 105, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Sungai Petani pada 19 April.

Dalam kejadian tersebut, mangsa-mangsa mendakwa cuba mengelak ‘wanita berkebaya merah’ yang dilihat melintas lebuh raya di situ.

- KOSMO!

Selasa, Mei 19, 2009

JAIM serbu Pulau Besar

“Saja datang jalan-jalan.”
Itulah antara alasan yang diberi oleh pengunjung Pulau Besar ketika disoal oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) ketika menyerbu pulau berkenaan malam kelmarin.

Namun alasan yang diberikan itu agak meragukan kerana ketika ditemui ada di kalangan mereka berada di Makam Sultan Al-Arifin walaupun ketika itu sudah pukul 9.30 malam.

Seorang wanita berumur 55 tahun dari India dilihat memegang tasbih sambil berzikir di hadapan sebuah makam di situ manakala seorang lelaki bangsa India dari Kuala Lumpur turut berada di hadapan makam berkenaan dan terdapat sekotak colok berhampiran makan tersebut yang kemudian menafikan itu miliknya.

Serbuan itu dilakukan ekoran pendedahan bersiri Kosmo! bermula 9 Mei lalu mengenai kegiatan khurafat di pulau tersebut seperti bertapa, berzikir dan memuja makam. Bagaimanapun timbul persoalan mengapa ia diadakan pada malam hari dan pada hari Ahad sedangkan tumpuan pengunjung adalah pada Jumaat dan Sabtu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIM, Rahimin Bani berkata, serbuan pada pukul 8 malam itu melibatkan 11 anggota penguat kuasa JAIM dan enam anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Lilin, colok dan tembakau di kubur-kubur lama telah dimusnahkan dan sembilan pengunjung Pulau Besar termasuk tiga warga asing telah diambil butirannya,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui dalam serbuan itu.

Menurut beliau, ketika serbuan dijalankan tiada pengunjung ditemui melakukan amalan khurafat di kubur-kubur lama di pulau berkenaan walaupun kebanyakan kubur lama di situ dipenuhi colok, lilin dan tembakau.

- KOSMO!

Recent Posts