Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Malaysia. Papar semua catatan

Rabu, Jun 14, 2023

Harimau Malaya tundukkan Kepulauan Solomon


 

Harimau Malaya membuktikan ranking lebih rendah tidak menghalang mereka untuk melakar kemenangan selepas menewaskan Kepulauan Solomon dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Terengganu.

Skuad kendalian Kim Pan-gon yang berada di ranking ke-138 dunia berbanding lawan di tangga 134, mempamerkan taring apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih kemenangan 4-1.

Harimau Malaya bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan pendahuluan pelawat menerusi Raphael Le Ai pada minit ke-11 selepas penjaga gol negara, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed tersilap langkah apabila keluar dari posisinya.

Tersentak dengan jaringan itu, barisan pemain negara menggandakan usaha untuk meburu gol penyamaan dan usaha mereka berhasil apabila pemain naturalisasi, Paulo Josue meledak gol sulungnya bersama Harimau Malaya pada minit ke-40.

Pada masa kecederaan babak pertama, giliran pemain muda Arif Aiman Mohd Hanapi pula membuka akaun jaringan bersama skuad kebangsaan apabila menyudahkan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pertahanan lawan, Calvin Ohasio.

Pemain gantian, Safawi Rasid membalas kepercayaan jurulatih apabila dia tidak melepaskan peluang terbaik untuk menambah jaringan ketiga Harimau Malaya pada minit ke-76.

Lee Tuck kemudian melengkapkan malam gemilang Harimau Malaya apabila meledak gol keempat pada masa kecederaan.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Oktober 05, 2022

Jalan raya Malaysia antara 59 terburuk di dunia


Kualiti jalan raya di Malaysia menurun lebih 5 peratus dalam tempoh lima tahun lalu, dengan jumlah kematian jalan raya direkod kedua tertinggi dunia, 22.76 bagi setiap 100,000 orang.

Selain Malaysia, Kuwait disenarai negara yang mempunyai jalan raya terburuk dunia diikuti Costa Rica, Georgia, Panama dan New Zealand.

Menurut laporan kajian bertajuk 'Worst and Best Roads - US and International Ranking' yang dijalankan firma pendidikan pemandu, Zutobi - Malaysia disenarai pada kedudukan ke-12 terbawah dalam kalangan 59 negara yang memiliki jalan raya terburuk.

Menurut kaji selidik itu, selain memiliki jalan terburuk Kuwait juga mempunyai jumlah kematian jalan raya ketiga tertinggi bagi setiap 100,000 orang iaitu hampir 19.

Kajian menganalisis keseluruhan 59 negara itu memberikan Malaysia skor keselamatan keseluruhan 3.32 daripada 10 berdasarkan empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya, dan saiz relatif rangkaian jalan raya.

Data sama menyenaraikan Singapura sebagai negara yang merekodkan skor keseluruhan tertinggi kualiti jalan raya iaitu 9.44 daripada 10.

Singapura juga dilapor merekodkan kadar kematian jalan raya paling sedikit iaitu 1.69 bagi setiap 100,000.

Selain Singapura, empat lagi negara yang mencatatkan skor kualiti jalan raya paling tinggi ialah Belanda dengan 8.62 daripada 10, diikuti Switzerland (8.58 peratus), Japan (8.41) dan Denmark (7.59).

Laporan Zutobi berasingan yang diterbitkan pada Mei meletakkan Malaysia antara 10 negara paling berbahaya untuk memandu bersama Thailand, India, Argentina, AS dan Afrika Selatan.

Namun, Malaysia mempunyai bilangan kematian jalan raya paling rendah berkaitan alkohol iaitu hanya 0.1 peratus, walaupun antara yang menetapkan peratusan had kepekatan alkohol dalam darah yang dibenarkan paling longgar untuk pemandu iaitu 0.08 peratus.

Berdasarkan Seksyen 45G(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, had kandungan alkohol yang ditetapkan untuk pemandu adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 milimeter nafas: 80 miligram alkohol dalam 100 milimeter darah atau 107 miligram alkohol dalam 100 milimeter air kencing.

Sumber : Berita Harian

Jumaat, September 04, 2020

Pakej istimewa Cuti-Cuti Malaysia kepada penjawat awam



Tourism Malaysia hari ini, melancarkan pakej istimewa sempena kempen Cuti-cuti Malaysia khas untuk penjawat awam sebagai penghargaan kepada mereka yang mencurah khidmat bakti khususnya ketika negara dibelenggu pandemik COVID-19.

Program dengan kerjasama Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu adalah inisiatif jangka masa pendek untuk meningkatkan usaha promosi pelancongan domestik dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata sebagai permulaan, pakej itu akan mempromosikan produk-produk dan destinasi pelancongan di sekitar Lembah Klang.

"Saya berharap pakej ini akan diperluaskan ke daerah-daerah serta negeri-negeri yang lain pada masa akan datang untuk memberi peluang melihat keindahan tempat menarik dalam negara," katanya ketika berucap merasmikan program itu di sini hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan program itu adalah hasil daripada kajian keinginan melancong dalam kalangan masyarakat tempatan oleh Tourism Malaysia baru-baru ini yang mendapati 71.3 peratus responden menyatakan minat untuk melancong dalam negara.

Nancy berkata, daripada 13,797 jumlah responden yang ditinjau, 31.4 peratus adalah penjawat awam. "Berdasarkan hasil kajian ini saya percaya di samping menikmati keindahan semula jadi, penjawat awam juga mampu menyumbang ke arah membangunkan sektor pelancongan negara," katanya.

Sementara itu, bercakap pada sidang media, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata pihaknya menganggarkan sebanyak RM3 bilion pendapatan boleh dijana menerusi program itu dalam tempoh setahun.

Beliau berkata rata-rata pelancong domestik membelanjakan wang mereka untuk membeli-belah dan perbelanjaan minyak yang akan meningkatkan ekonomi negara.

"Kalau sekarang kita ada 1.2 juta penjawat awam yang masih bekerja, kita ada juga penjawat awam yang sudah bersara. Mereka juga ada pencen yang mana digunakan untuk melancong sekali gus menyumbang kepada pelancongan domestik," katanya.

Antara pakej istimewa yang ditawarkan adalah percutian 2 hari 1 malam dan juga 3 hari 2 malam yang melibatkan hotel ternama di sekitar Lembah Klang dengan tawaran harga sekitar RM120 seorang dan bagi produk pelancongan lain, pengunjung harian akan mendapat tawaran diskaun sehingga 30 peratus untuk pembelian tiket.

Mereka yang menempah pakej ini juga berpeluang untuk mendapatkan tiket lawatan sekitar Kuala Lumpur dengan menaiki bas Hop On Hop Off secara percuma tetapi terhad kepada 5,000 tiket sahaja.

Penjawat awam digalak mengambil peluang ini kerana terdapat pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan domestik sehingga 31 Dis 2021 susulan pengumuman pakej rangsangan PENJANA.

Mereka boleh mendapatkan pakej ini menggunakan pas pekerja penjawat awam di agensi pelancongan terpilih dan pakej ini boleh dilayari di lawan sesawang Tourism Malaysia www.malaysia.travel.

Tempoh tempahan pakej sehingga 30 Sept 2020 manakala tempoh sah lawatan ialah sehingga 31 Dis 2020.

Sumber: BERNAMA

Rabu, September 19, 2018

Teori asal usul nama Malaysia






Sebelum nama Malaysia, negara kita dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Selepas merdeka pada tahun 1957, namanya berubah kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Persoalannya, bagaimana asal usul Malaysia tercipta? Berdasarkan catatan sejarah, ia bukan ilham Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman seperti yang disangka oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Arkib Malaysia juga secara asasnya tidak mempunyai dokumen rasmi yang menyatakan siapa individu yang mereka nama Malaysia. Bagaimanapun, terdapat pelbagai andaian dan teori yang dizahirkan seperti yang tercatat dalam beberapa penulisan seperti buku, rencana mahu pun peta.

Sebagai contoh, dalam sebuah rencana berjudul Sur:Es Iles Du Grand Ocean (On The Island of The Great Ocean) yang diterbitkan dalam Bulletin De La Societe de Geographie pada tahun 1832 yang ditulis oleh penjelajah Perancis, Dumont d’Urville.

Urville mencadangkan agar Lautan Pasifik Selatan dinamakan Oceania yang dibahagikan kepada empat bahagian iaitu Polynesia, Melanesia, Micronesia dan Malaisie. Perkataan Malaisie kemudian ditukar kepada Malaysia oleh seorang ahli geografi Amerika Syarikat, Thomas G. Bradford (1835).

Satu lagi sumber ialah sebuah peta yang dilakar oleh Alexander Keith Johnston pada tahun 1845 yang diberi tajuk South Eastern Peninsula and Malaysia.

Johnston berkata, Malaysia sebenarnya merangkumi Semenanjung Melayu dan Kepulauan Melayu (termasuk Sumatera, Tanah Jawa, Tanah Melayu, Pulau Pinang, Singapura, Kemboja, Siam, Burma, Brunei dan Filipina). Ujar beliau, Malaysia juga merujuk kaum Melayu mempunyai kuasa dominan pada ketika itu dan peneroka pertama di Tanah Melayu.

Selain itu, nama Malaysia turut disebut dalam buku bertajuk Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule (1937) hasil tulisan Rupert Emerson dan The People of Malaysia (1945), tulisan Fay Cooper Cole. Berdasarkan dua buah buku itu, Malaysia ialah Kepulauan Melayu (Malay Archipelago) yang meliputi Tanah Melayu, Hindia Timur, Borneo termasuk Filipina.

Duit syiling aluminium pada zaman pendudukan Jepun (1942) juga menjadi pendebatan tentang asal usul nama Malaysia. Syiling 20 sen itu difahamkan dikeluarkan pada tahun 1942. (Namun tertulis 2602, merujuk kepada kalendar Jepun).

Seperti yang ditulis oleh seorang penyelidik dalam buku bertajuk The Japanese Occupation Of Malaya (Singapore), Kementerian Kewangan di Jepun mengesahkan bahawa nama Malaysia pada duit syiling itu mewakili nama umum penduduk Malaya pada masa itu.

Semasa penjajahan, Jepun dikatakan mengiktiraf Melayu sebagai pribumi.

Bagaimanapun, terdapat satu penulisan yang telah mengutarakan plot teori yang sangat menarik dan berpatutan untuk dibincangkan.

Penulis yang tidak menyatakan namanya berkata, lazimnya, nama-nama utama di dunia akan berakhir dengan perkataan land (bahasa Inggeris), tan (bahasa Parsi) dan ia (bahasa Latin). Tiga perkataan berbeza itu, semuanya bermaksud tanah.

Antaranya ialah Scotland (tanah bangsa Scott), England, Thailand, Iceland, Pakistan (tanah suci), Afganistan, Kazakhstan, Algeria (tanah bangsa Algiers), Rusia, India dan Columbia.

Nama Malaysia pula ialah gabungan Malays dan ia. Daripada hujah tersebut, barangkali andaian itu ada logiknya kerana Malays-ia bermakna Land Of Malays (tanah bangsa Melayu).

Bilakah nama Malaysia secara rasminya digunakan? Adakah selepas merdeka atau sebelum? Pada tahun 2009, seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara Sabah, Prof. Madya Mat Zin Mat Kib telah memperbetulkan kenyataan Arkib Negeri Sabah.

Mat Zin berkata, penggunaan nama Malaysia telah mula digunakan sejak tahun 1889 bukannya pada tahun 1929 seperti yang direkodkan oleh Arkib Negeri Sabah. Kenyataan itu adalah bersandarkan sebuah artikel dalam akhbar The British North Borneo Herald bertarikh 1 Januari 1889.

Artikel yang bertajuk Geographical Notes in Malaysia and Asia yang ditulis J.E Tenison Woods memberi maklumat ringkas mengenai catatan perjalanannya ke Semenanjung Tanah Melayu, Labuan, Brunei, Sandakan dan Sulu pada tahun 1883 hingga 1886.

Penemuan itu, ujar Mat Zin telah membuktikan nama Malaysia digunakan lebih awal daripada tarikh kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

“Ia turut menunjukkan (nama Malaysia) telah digunakan secara meluas oleh orientalis Barat bagi merujuk kawasan Semenanjung Tanah Melayu,” katanya.

 Sekiranya kajian Mat Zin diiktiraf, ini menunjukkan nama Malaysia telah digunakan sejak 129 tahun lalu!

Sumber : Kosmo 1 Sep 2018

Sabtu, Ogos 28, 2010

53 sebab Malaysia istimewa


Kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Kalau difikirkan secara mendalam, pepatah yang diakhiri dengan baris ‘lebih baik di negara sendiri’ itu ada benarnya.

Sepatutnya, semakin jauh kita mengembara ke destinasi yang di luar sempadan negara, kita perlu rasa semakin dekat dan rindu pada asal-usul dan keistimewaan di tanah air sendiri.

Selain taat pada konsep Rukun Negara, ada banyak cara untuk rakyat Malaysia mengisi konsep kecintaan mereka terhadap bumi yang bertuah ini.

Sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-53 tiga hari lagi, apa kata kita imbas entiti kembara dan pelancongan yang menjadikan Malaysia tiada duanya di dunia ini.

53 pilihan rawak bagi edisi Horizon kali ini adalah mewakili variasi elemen yang telah lama menjadi sebahagian daripada kebanggaan, sejarah dan gaya hidup rakyat Malaysia.

Selain destinasi popular, senarai ini turut mengetengahkan seleksi istimewa kulinari, budaya, warisan seni bina dan pencapaian prasarana unggul.

Setiap satunya bukan sahaja telah melonjakkan nama Malaysia di peta pelancongan dunia, malah ia menjadi permata yang dekat dengan hati, lalu menjadikan kita semua rakyat Malaysia!

1. Teh tarik – Apabila larutan teh bersama susu krim manis dan dicurah menggunakan kole pada kedudukan tinggi, maka terciptalah minuman rutin warga Malaysia yang dinikmati tidak kira waktu.

2. Songket – Fabrik tenunan tangan yang diserikan motif berbenang perak atau emas. Kekuatan nilai estetika dan identiti bangsa menjadikannya antara tekstil warisan yang elegan.

3. Taman Negara – Kekayaan khazanah alam dilindungi di banyak kawasan yang diwartakan sebagai taman negara. Masing-masing menyimpan tarikan ekosistem yang bernilai tambah.

4. Malaysia Airlines (MAS) – Syarikat penerbangan nasional utama dan banyak memenangi pengiktirafan dan anugerah antarabangsa.

5. Hari Raya Aidilfitri – Sambutan penting selepas sebulan umat Islam berpuasa, selain Hari Raya Aidiladha. Keraian ini merapatkan hubungan ahli keluarga dalam semangat ‘balik kampung’.

6. Menara Berkembar Petronas – Hingga kini, statusnya kekal sebagai menara berkembar tertinggi di dunia dengan ketinggian 452 meter. Bangunan ikonik ini umpama salam pengenalan Malaysia kepada dunia.

7. Nasi lemak – Hidangan warisan ini memerlukan beras ditanak dengan santan kelapa dan dihidangkan bersama sambal, bilis goreng dan telur.

8. Wau bulan – Permainan tradisional persis layang-layang yang terkenal di negeri Kelantan.

9. Genting Highlands – Resort pelancongan tertinggi di Malaysia iaitu pada aras 2,000 meter dari aras laut ini menawarkan penginapan, taman tema dan tema percutian kelas satu.

10. Rangkaian lebuh raya – Jaringan lebuh raya utama negara melancarkan perhubungan darat di Semenanjung Malaysia.

11. Tahun Baru Cina – Perayaan besar bagi kaum Tionghua yang bercerita tentang kedatangan tahun baru. Sambutannya dimeriahkan dengan limau mandarin, pemberian ang pau, tarian singa dan bingit mercun.

12. Menara Kuala Lumpur – Menara telekomunikasi tertinggi yang terletak di Bukit Nenas di tengah-tengah ibu negara. Lokasi ini menyediakan pusat rekreasi, restoran berputar dan dek peninjau.

13. Pulau Langkawi – Pulau bebas cukai yang terletak di negeri Kedah ini terkenal dengan kisah Mahsuri dan pelbagai lagi tarikan buatan selain taman geologi berusia jutaan tahun.

14. Roti canai – Hidangan sarapan popular yang dimakan bersama kuah dal dan teh tarik.

15. Batik lukis – Seni tekstil indah hasil daripada teknik melukis, mencanting dan mewarna. Penggunaannya juga telah dipelbagaikan.

16. Proton – Pengeluar kereta nasional pertama ini telah dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pelbagai model berprestij telah menambat hati pemandu tempatan dan juga luar negara.

17. Pulau Tioman – Pernah tersenarai sebagai 10 pulau tercantik dunia dan kewujudannya kini sedang dipertahankan sebagai antara syurga aktiviti selaman skuba dan gaya hidup pulau yang menyeronokkan.

18. Masjid Negara – Menjadi lambang kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Siap dibina pada 27 Ogos 1965 dan mampu menampung seramai 15,000 jemaah.

19. Litar Antarabangsa Sepang – Prasarana kelas dunia untuk perlumbaan Grand Prix A1, Grand Prix Motosikal dan Formula Satu.

20. Deepavali – Festival cahaya yang disambut penuh adat oleh penganut Hindu. Ia jatuh pada hari ke-14 bulan Aipasi, kalendar Tamil.

21. Perak Man – Rangka tulang berusia 10,000-11,000 tahun di Gua Gunung Runtuh, Hulu Perak. Penemuan fosil manusia era Paleolitik paling sempurna di Asia Tenggara itu melakar sejarah tersendiri.

22. Bandar Raya Melaka – Kota warisan sejarah yang sarat nilai pertembungan budaya Melayu, Cina, India, Portugis serta Baba dan Nyonya.

23. Perodua – Syarikat pengeluar kereta nasional kedua dan ditubuhkan pada 1993.

24. Tasik Kenyir – Merupakan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dan terletak di Hulu Terengganu.

25. Orang Utan - Haiwan primat yang menjadi maskot negara ketika Sukan Komanwel 1998. Sebuah pusat pemeliharaan orang utan sering dikunjungi di Sepilok, Sabah.

26. Krismas – Keraian 25 Disember yang disambut secara berbeza oleh kaum Cina, India serta bumiputera Sabah dan Sarawak yang beragama Kristian.

27. Pulau Pinang – Selain Melaka, negeri ini turut melestari pelbagai nilai sejarah hebat Negeri Selat.

28. Vaisakhi – Diraikan penganut agama Sikh pada tarikh 14 April.

29. Muzium Negara – Ia dirasmikan pada 31 Ogos 1963, berlokasi di Kuala Lumpur dan merupakan lokasi wajib bagi anak Malaysia untuk mengenali sejarah.

30. LIMA – Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi dijayakan secara dwitahunan. Pameran berprestij itu mengumpulkan jentera udara dan maritim yang berkaitan komersial dan pertahanan.

31. Pulau Sipadan – Terletak berhampiran bandar Sampoerna, Sabah, ia adalah antara pulau terindah di dunia dan ibarat syurga buat komuniti penyelam skuba.

32. Homestay – Konsep inap desa yang berjaya melonjakkan industri pelancongan domestik. Masyarakat kampung didekati melalui acara seni, masakan dan gaya hidup.

33. Kereta Api Tanah Melayu – Nostalgia pengangkutan bijih timah kini menghubungkan penduduk di sepanjang laluan landasan 1,699km di seluruh negara.

34. Batu Caves – Formasi gua batu kapur semula jadi yang menjadi meriah terutamanya ketika penganut Hindu menyambut Thaipusam.

35. Gua Niah – Gua batu kapur terbesar di dunia iaitu seluas 12 hektar di Miri, Sarawak. Fosil manusia berusia 40,000 tahun pernah ditemui di situ.

36. Citrawarna 1M alaysia – Ibu negara disimbahi warna kebudayaan dari 14 buah negeri di seluruh negara pada setiap penghujung Mei.

37. Cendol – Hidangan pencuci mulut yang diperbuat daripada tepung beras dan dihidang bersama ais parut, santan dan gula melaka.

38. Putrajaya – Pada tahun 1999, Putrajaya telah menggantikan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan dengan ciri-ciri bandar raya pintar.

39. Rumah panjang – Rumah tradisional masyarakat Iban di Sarawak. Setiap rumah mengandungi sehingga 20 bilik dan diketuai oleh tuai rumah.

40. Gunung Kinabalu – Berketinggian 4,095 meter, ia adalah gunung tertinggi di Malaysia dan terletak di Kota Kinabalu, Sabah.

41. Piala Monsoon – Kejohanan kapal layar antarabangsa mengumpulkan jaguh-jaguh dunia di Pulau Duyung, Terengganu setiap musim tengkujuh.

42. Petaling Street – Bekas penempatan kaum Cina yang kini menjadi lokasi niaga gerai paling terkenal di tengah-tengah Kuala Lumpur.

43. Istana Negara – Tempat bersemayamnya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang turut menjadi lokasi istiadat pertabalan dan upacara rasmi.

44. KLIA – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor menjadi pintu masuk udara utama dengan akses jaringan kereta api elektrik dan lebuh raya canggih.

45. Pasar Seni – Turut dikenali sebagai Central Market, ia menjadi pusat yang mengumpulkan barangan seni, kraf dan cenderamata tempatan.

46. Le Tour de Langkawi – Kejohanan lumba basikal terbesar yang mengumpulkan para peserta dari seluruh dunia.

47. Raflesia – Selain bunga raya sebagai bunga kebangsaan, bunga eksotik terbesar di dunia ini sinonim dengan diversiti belantara Malaysia khususnya di Malaysia Timur.

48. Lemang – Diperbuat daripada beras pulut dan santan yang dimasak di dalam buluh. Makanan ini popular dimakan bersama rendang.

49. AirAsia – Syarikat penerbangan nasional kedua dan syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia.

50. Hari Gawai – Diraikan oleh kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu di Sarawak sebagai meraikan musim menuai padi.

51. Wat Phothivihan – Patung Buddha tidur yang kedua terbesar di dunia terletak di Tumpat, Kelantan.

52. Bangunan Sultan Abdul Samad – Sebuah bangunan warisan kebangsaan yang menjadi saksi kepada penurunan bendera Union Jack dan digantikan dengan Jalur Gemilang pada 31 Ogos 1957.

53. Hari Kebangsaan – Sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang wajib dihayati demi menyuntik semangat patriotisme dan kesetiaan pada negara.

- KOSMO!

Recent Posts