Memaparkan catatan dengan label Komentar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komentar. Papar semua catatan

Jumaat, November 11, 2011

Integriti dan generasi muda

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia

SAMBUTAN Hari Integriti Nasional 2011 yang diamanahkan kepada Institut Integriti Malaysia (IIM) adalah bertemakan Agenda Integriti Nasional: Peranan Generasi Muda.

Dalam persekitaran politik, ekonomi dan sosial tanah air kini; isu integriti merupakan antara elemen utama yang sering menjadi tumpuan oleh kesemua lapisan anggota masyarakat termasuk kepimpinan kerajaan, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau pernah menyatakan bahawa untuk memulihkan keyakinan ke atas kerajaan; sikap telus, bercakap benar dan keterbukaan menjadi agenda beliau.

Ini kerana banyak kepimpinan mahupun empayar besar dunia dirobek oleh isu integriti yang tidak kukuh bukan sahaja antara penggubal, pelaksana dan kumpulan sasar sesuatu dasar tetapi lebih daripada itu, ia ketara dalam kalangan pemimpin dan rakyat terutamanya generasi muda yang seolah-olah mewujudkan satu lompong besar atau jurang komunikasi sesama mereka mengenai peri pentingnya isu ini.

Tanpa ada integriti, tidak akan berlaku sebarang transformasi nasional termasuk ke atas Pelan Transformasi Kerajaan (PTK), Pelan Transformasi Ekonomi (PTE), Model Ekonomi Baru (MEB), Rancangan Malaysia Ke-10 (RM Ke-10) dan Bajet 2012 yang turut mempengaruhi kependudukan dan hubungan antara etnik di negara ini.

Titik keseimbangan 'masa depan bersama' bergantung kepada kekuatan setiap individu termasuk 'generasi muda'. Sudah pasti, generasi muda dalam konteks hari ini menjadi 'ejen transformasi' yang akan memain peranan serta mempunyai fungsi tertentu dalam memberi maksud dan makna kepada integriti. Ia adalah tanggungjawab bersama.

Generasi muda mahu difahami dan sudah pasti yang mudah memahami mereka adalah pemimpin muda sendiri. Generasi muda menjadi benteng kekuatan negara dan harus terus diiktiraf, dihormati dan diberikan penghargaan sewajarnya atas kedudukan tersebut kerana tanpa sumbangan mereka, negara ini tidak akan kemana-mana.

Integriti generasi muda perlu diperhebatkan secara pembudayaan berterusan. Integriti berpaksikan kepada nilai murni seperti jujur, benar, amanah, adil, kebertanggungjawaban, telus, cekap dan bijaksana. Ia bermula dalam diri setiap individu yang subur dalam hati, minda dan emosi yang memberi roh dan jasadnya kepada karakter.

Melihat kepada kepentingan integriti, Pelan Integriti Nasional (PIN) dilaksana pada tahun 2004 dan pendefinisian integriti individu dirujuk kepada - 'keselarasan antara apa yang dikata dan dikota, antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang, kepentingan diri dan umum'.

Isunya adalah sikap dan mindset generasi muda; sejauh manakah mereka merungkai, meneliti dan menggarap nilai integriti sebagai sebahagian amalan kehidupan? Adakah proses modenisasi, industrilisasi dan pertumbuhan dan pembangunan negara seiring dengan nilai integriti generasi hari ini?

Sebagai ejen transformasi yang menyumbang kepada perkembangan negara bangsa, adakah generasi hari ini proaktif sebagai penyuntik, penjana ataupun pemangkin kepada pembudayaan integriti?

Isunya juga tertumpu kepada faktor dalaman dan luaran; bagaimanakah nilai kendiri dipertingkatkan dalam mencari keselarasan dengan faktor luaran yang semakin mendesak terutama keinginan bersifat materialistik dan dunia individualistik?

Bagaimana pula peluang yang diberikan kepada generasi ini; adakah memadai untuk mereka memperlihatkan elemen kreatif, inovatif dan melahirkan nilai kualiti yang tinggi untuk menyalurkan maklumat integriti kepada umum dengan pendekatan sendiri?

Sejauh manakah generasi muda dibenar untuk terbabit dalam 'pengisian' ke atas isu integriti walhal sering dipertanggungjawabkan dengan kepincangan struktur sosial termasuk isu mat rempit, bohsia, hamil luar nikah, seks bebas, keruntuhan akhlak, penagihan dadah, jenayah remaja, pembunuhan, kecurian, gangsterisme.

Cabaran besar hari ini adalah untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman dan penghayatan integriti dalam diri generasi muda ini melalui aktiviti, program serta diri masing-masing. Pembudayaan integriti memerlukan komitmen dan tanggungjawab besar dari segala lapisan masyarakat.

Begitu juga untuk menangani persepsi ke atas generasi muda yang dilabel sebagai bersikap kompetitif dalam era individualistik dan materialistik. Hari ini stereotaip 5C sudah berubah menjadi 5B dalam kalangan generasi muda.

Jika dahulu mereka dikaitkan dengan generasi Cash, Car, Credit Card, Condominium dan ahli Country Club; hari ini ia berubah kepada Billions, Bunglow, Benz, Brain dan Body.

Saya khuatir cabaran akan datang akan berpusat kepada pertembungan isu kelas; kemelut inter-etnik yang cuba ditangani kerajaan akan menjadi pertembungan inter dan intra kelas yang akhirnya membawa kepada gejala sosial kerana sukar berhadapan dengan persaingan mempertingkatkan gaya dan kualiti kehidupan semasa.

Pengumuman Laporan Audit Negara baru-baru ini menunjukkan bagaimana usaha berterusan merendahkan nilai integriti, misalnya nilai teropong Bushnell Binocular yang harga asal adalah RM2,827 boleh berubah kepada 56,350; peningkatan 1,893%.

Generasi muda memerhati tingkah laku seperti ini dan jika golongan lain tidak mengamalkan integriti sebenar, wajarkah generasi ini dikatakan memiliki motivasi rendah ke atas integriti, termasuk integriti politik dalam kalangan pembesar politik negara?

Sebagai ejen transformasi negara, maka penguasaan dan pemahaman ke atas isu integriti sangat penting. Perlu ada kesedaran dan kefahaman yang tinggi dalam kalangan generasi muda. Dalam mahu keperluan dan kemahuan dipenuhi, mereka juga perlu mengubah mindset atau pemikiran agar seiring dengan norma pembangunan pendidikan negara.

Cabaran ke atas persaingan kelas perlu diteliti secara menyeluruh terutama jurang antara etnik; jurang dalam etnik; jurang bandar dan luar bandar yang turut menyumbang kepada darjah dalam dan luaran integriti seseorang.

Di peringkat sistem penyampaian dan tadbir-urus, perlu ada rombakan cara kerja. Kod etika dan amalan baik perlu diusahakan secara terancang; diperkuatkan dengan latihan dan didikan berterusan yang boleh diterjemah dalam bentuk praktis dan amalan.

Pemantauan berterusan akan membolehkan jati diri diawasi dan sentiasa diperiksa diri sendiri agar tidak bertindak di luar kawalan.

Yang penting, generasi muda harus disediakan saluran untuk dilibat sama dalam proses penjanaan nilai integriti, barangkali ada elemen konsultansi yang boleh diperkasa agar ia dimanfaat untuk meneruskan benteng kesinambungan kepimpinan kepada golongan yang berwibawa dan mampu melahirkan legitimasi politik.

Transformasi integriti dalam kalangan generasi muda akan berlaku dengan lebih besar jika ada mindset positif dan perkongsian ilmu mengenainya dengan pelbagai kumpulan dan ejen sosialisasi lain seperti keluarga, media, guru, rakan sebaya, pemimpin dan diri sendiri mengambil iktibar untuk mengetahuinya.

Sumbangan dalam menyulam kegemilangan ketamadunan negara bangsa dari generasi muda tidak boleh dinafikan. Mereka sebenarnya boleh menentukan jatuh bangun sesebuah negara bangsa.

Segala inisiatif dan intensif kerajaan hanya akan berjaya sepenuhnya dengan kehadiran golongan muda untuk turut memikul beban tersebut untuk memastikan output dan outcome yang positif dalam komitmen bersifat resiprokal kerana kerajaan tidak boleh keseorangan untuk merealisasikan kesemua gagasan besar di bawah kepimpinan hari ini untuk kepentingan generasi muda sebenarnya.

Golongan muda adalah tulang belakang negara ini yang harus diiktiraf, diberikan penghormatan dan penghargaan sewajarnya agar dapat memobilisasi rasa tanggungjawab holistik untuk memperkasakan agenda integriti demi mempertahankan kehidupan berukun dan kesejahteraan yang perlu diwarisi dari generasi ke generasi.

- UTUSAN

Isnin, Oktober 31, 2011

Keselamatan negara tugas semua

Oleh Datuk Ibrahim Ali
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

Berkait rapat dengan soal ekonomi, dasar-dasar afirmatif dan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan adalah soal kemajuan pendidikan dan biasiswa bagi anak- anak Melayu dan Bumiputera.

Dalam aspek ini, terlebih dulu Perkasa mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberikan fokus kepada kebajikan para pelajar tanah air dalam Belanjawan 2012.

Seluruh program kewangan membabitkan pelajar dan pendidikan dalam belanjawan ini membuktikan bahawa pemerintah cukup prihatin terhadap masa depan anak- anak Malaysia semua bangsa.

Dalam pada itu, Perkasa akan terus menyuarakan hasrat dan kehendak orang Melayu dan Bumiputera mengenai biasiswa yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam berdasarkan semangat dan roh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut sejarahnya, biasiswa ini dianugerahkan mengikut kuota 90 peratus Melayu serta Bumiputera dan 10 peratus bukan Melayu. Kemudiannya, kuota ini bertukar kepada kadar 80:20.

Pada hari ini, kuotanya adalah 51:49. Penurunan kadar kuota bagi pelajar Melayu dan Bumiputera ini adalah penghakisan kepada hak mereka yang dijamin oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab itu, penghakisan kuota biasiswa ini wajar dikaji semula. Hakikatnya demikian "kerana daripada 40 peratus jumlah penduduk miskin" di Malaysia "80 peratus daripadanya adalah kaum Melayu dengan pendapatan di bawah RM3,000 sebulan."

Maka, oleh kerana pendidikan adalah satu-satunya mekanisme untuk meningkatkan taraf sosioekonomi Melayu dan Bumiputera, soal penghakisan kuota biasiswa ini perlulah dipandang serius dan diatasi dengan sewajar-wajarnya.

Tetapi, jika pemerintah berani bertindak radikal, ambillah pandangan saya sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada 11 Oktober 2011. Dalam ucapan tersebut, saya mencadangkan supaya pemerintah memansuhkan pemberian dan tajaan biasiswa oleh Jabatan Perkhidmatan Awam kepada para pelajar yang melanjutkan pelajaran ke seberang laut. Sebagai gantinya, mereka yang berhasrat belajar di luar negara hanya perlu diberikan bantuan menerusi dana pinjaman.

Dengan cara ini, dana sejumlah RM1.4 bilion yang dikhaskan untuk pendidikan di negara asing ini boleh digunakan untuk menaja lebih ramai pelajar mengaji di universiti-universiti tempatan.

Ini kerana IPTA dan IPTS di Malaysia yang tumbuh seperti cendawan, kini mempunyai mutu pendidikan serta tahap kecemerlangan akademik yang membanggakan. Saya membuat cadangan ini kerana penajaan pelajar ke seberang laut melibatkan jumlah wang besar.

Contohnya, pemerintah terpaksa membiayai sejumlah RM 1.2 juta bagi seorang pelajar di bidang perubatan di Britain. Jumlah ini boleh menaja tiga orang pelajar jurusan perubatan di dalam negara.

Selain itu, pemerintah juga kerugian jika pelajar ini enggan pulang ke tanah air atas sebab-sebab tertentu. Lantaran itu, pertimbangkanlah cadangan ini secara serius.

Seterusnya, Perkasa juga mencadangkan supaya seluruh lapisan pelajar Malaysia, dari sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi, diberikan pendedahan mengenai sejarah negara dan Perlembagaan Persekutuan dengan secukup-cukupnya.

Pendedahan ini perlu untuk membolehkan generasi muda Malaysia mengenal, menginsafi serta menghayati sejarah negara kita yang majmuk, dan pada waktu yang sama, mereka menjadi warganegara yang sentiasa memelihara keluhuran Perlembagaan negara.

Selain itu, Perkasa juga mengingatkan pemerintah bahawa tuntutan pihak tertentu agar kelulusan sijil UEC boleh diterima sebagai kelulusan untuk memasuki IPTA di Malaysia hendaklah ditolak dan tidak perlu dilayani. Ini kerana ia bertentangan dengan dasar pendidikan negara.

Sehubungan dengan ini, Perkasa juga mengulangi pendiriannya menyokong pemansuhan PPSMI supaya mata pelajaran Sains dan Matematik terus diajar kepada pelajar hanya dalam Bahasa Melayu.

Namun demikian, oleh kerana Perkasa tidak menafikan pentingnya rakyat Malaysia menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, pemerintah perlulah meningkatkan penguasaan bahasa ini menerusi kaedah lain, termasuk memanjangkan waktu pembelajaran untuk mata pelajaran ini.

Perkasa menggesa pemerintah menambahkan peruntukan kepada Sekolah Agama Rakyat yang mendaftar dengan Kementerian Pelajaran dan juga Maktab Rendah Sains Mara. Ini kerana jumlah RM100 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2012 kepada Sekolah Agama Rakyat dan MRSM ini adalah kecil dan tidak mencukupi.

Apa yang saya huraikan ini, segala-galanya adalah menjurus kepada soal keselamatan rakyat, keselamatan pemerintah, keselamatan ekonomi dan akhirnya, keselamatan negara.

Ini kerana konsep keselamatan mutakhir ini sudah banyak berubah. Konsep keselamatan pada hari ini lebih banyak memfokus kepada aspek keselamatan masyarakat, keselamatan insan dan lain-lain cabang keselamatan bukan tradisional. Inilah sebabnya dikatakan bahawa keselamatan adalah mengenai survival atau kelangsungan sesebuah negara dan rakyat jelatanya.

Dalam konteks ini, Perkasa menentang seluruh tindakan yang boleh mengancam ketenteraman awam. Oleh sebab itulah Perkasa di seluruh negara, baru-baru ini menentang perhimpunan haram Bersih di Kuala Lumpur pada 9 Julai 2011.

Perkasa tidak menganjurkan demontrasinya pada hari yang sama, sebab Perkasa tidak mahu membebankan pihak keselamatan dan juga tidak mahu mengeruhkan lagi suasana ketenteraman awam pada hari tersebut, apatah lagi bergaduh sesama Melayu.

Negara Malaysia yang majmuk tidak boleh dihuru-harakan menerusi tindakan jalanan. Dalam konteks ini, Perkasa sebagai pemangkin perpaduan, menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya mengambil iktibar daripada peristiwa ini.

Oleh itu, hentikanlah apa jua bentuk politik yang membabitkan Islam, menghina Raja-Raja Melayu dan yang mengeksploitasikan kematian mana-mana individu yang terbabit dalam siasah.

Perkasa menyeru pihak-pihak ini, hentikanlah semua ini. Malaysia yang kucar-kacir tidak akan membawa apa-apa faedah kepada kita semua, terutamanya keturunan Cina yang hidup dengan berdagang dan berniaga di seluruh pelosok Malaysia yang aman, damai, makmur dan sejahtera.

Seterusnya, Perkasa juga menyeru seluruh orang Melayu dan umat Islam supaya kembali bersatu. Ini kerana perpaduan Melayu dan Islam adalah teras kepada perpaduan seluruh bangsa di Malaysia.

Hakikatnya demikian kerana perpecahan Melayu dan Islam tidak dapat menjamin kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia. Lantaran itu, ayuh kita tentang sesiapa sahaja yang menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara untuk mendapatkan sokongan politik dalam keadaan mereka sedang ketandusan isu.

Insaflah, keselamatan negara adalah milik semua rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, sesiapa yang cuba untuk menghuru-harakan keselamatan negara mestilah kita tentang habis-habisan menerusi kaedah yang demokratik.

Lantaran itu, seluruh rakyat Malaysia yang majmuk perlu sentiasa berganding bahu, untuk mengelakkan tragedi 13 Mei daripada berulang.

Dalam konteks ini, Perkasa mendesak supaya pemerintah menggunakan undang-undang preventif atau pencegahan ke atas pihak yang bertindak untuk mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara. Ini termasuklah sesiapa sahaja yang berusaha memperlekehkan Islam, menyemarakkan sentimen perkauman, menghina Raja-Raja Melayu, atau menghasut rakyat membenci pemerintah.

Tetapi, oleh kerana baru-baru ini pemerintah telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, dan berjanji akan menggantikannya dengan undang-undang yang baru, maka Perkasa berharap supaya undang-undang gantian ini akan meneruskan semangat dan roh ISA yang telah dibentuk berdasarkan Perkara 149 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam aspek ini, walaupun Perkasa terkejut dengan tindakan memansuhkan ISA, Perkasa telah menyampaikan satu memorandum kepada Menteri Dalam Negeri mengenai bentuk serta kandungan undang-undang gentian ISA.

Ini kerana undang-undang yang meneruskan semangat dan roh ISA ini masih diperlukan di Malaysia. Oleh itu, pemerintah tidak perlu takut dan gentar terhadap apa jua reaksi alternatif mengenai undang-undang gantian kepada ISA ini.

Perkasa meminta pemerintah menggubal serta melaksanakan undang-undang gantian ISA ini secara bijaksana supaya ia turut mencakupi aspek keselamatan masyarakat, keselamatan insan, keselamatan pemerintah, keselamatan nasional dan juga kelangsungan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa perjuangan Perkasa adalah untuk memangkin perpaduan. Untuk membolehkan seluruh rakyat Malaysia bersatu padu, mereka mesti terselamat daripada sebarang ancaman dan terbebas daripada ganggu-gugat.

Untuk mereka terselamat daripada ancaman dan gugatan, kita semua perlu memelihara dan melindungi keluhuran undang-undang utama kita, iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Pada waktu yang sama, ingin saya tegaskan bahawa Perkasa bukannya pertubuhan politik. Sebaliknya, Perkasa adalah pertubuhan bukan kerajaan. Oleh sebab itu, Perkasa tidak akan menyertai mana-mana pilihan raya. Biar pun begitu, Perkasa dan seluruh ahli-ahlinya boleh turut mencorakkan politik tanah air, jika Perkasa terus dikecam, dihina dan diperlekehkan.

Paling tidak, Perkasa boleh mengenal pasti calon-calon yang perlu kita nyahkan kerana menghina agama dan bangsa kita serta tidak mendaulatkan Perlembagaan negara.

Akhir sekali, keberkesanan serta kejayaan Perkasa sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan dalam meneruskan perjuangan membentengi Alif (agama) Ba (bangsa) dan Ta (tanah air), adalah memerlukan jemaah kepimpinan yang komited, berdedikasi, ikhlas dan jujur.

- UTUSAN

Isnin, Julai 25, 2011

Haram cetak rompak jadi modal perniagaan

Oleh Ustaz Zaharuddin A.Rahman

Sehingga hari ini, boleh dikatakan masih ramai tertanya-tanya atau ragu dengan isu bahan ciplak atau nama lainnya barangan cetak rompak yang kini semakin banyak disalin secara tidak sah.

Walaupun ada halaman buku yang ingin disalin cetak tertulis perkataan ‘Hakcipta Terpelihara’ serta ‘Tidak Dibenar Ulang Cetak’, masih ramai tidak mengendahkannya dan terus membuat salinan, khususnya membabitkan salinan fotostat.

Kita lihat hari ini, perkara ini terlalu biasa dalam kehidupan seharian umat Islam. Sehingga ada yang menjadikan cara ini sebagai modal perniagaan mereka.

Terutama pada musim harga minyak dan barangan semakin meningkat, semua perkara yang dikira mampu menjimatkan kos akan menjadi pilihan ramai hingga kerap melupakan pandangan Islam atau hukumnya.


Bagaimanakah sebenarnya pendirian Islam dalam hal ini? Adakah terus mengharamkannya tanpa bicara?

Sampai kepada saya satu soalan seperti berikut: “Ustaz, saya menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan di sebuah universiti awam. Masalahnya, saya menggunakan perisian Windows dan Microsoft Office yang cetak rompak. Saya tahu tindakan saya salah, tetapi harga tulen terlalu mahal.

“Saya harap dapat ustaz jelaskan hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak dan harap dapat ustaz berikan jalan untuk saya selesaikan masalah ini.”

Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila orang yang bertanya itu sendiri mengerti bahawa ia salah. Ini kerana, harta intelek diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan ulama sedunia sebagai harta persendirian yang terpelihara.

Justeru, kita tidak boleh mengambil dan menggunakan produk cetak rompak, khususnya apabila perisian itu digunakan untuk diniagakan, sebagai contoh dibuat salinan demi salinan dan dijual pada harga rendah.

Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai tulang belakang perniagaannya, perniagaan itu adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, iaitu yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram).” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban)

Rasulullah SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain yang haram bagi umat Islam, mereka (Yahudi) membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya.

Apabila Rasulullah SAW mendapat tahu, baginda terus berkata: “Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini, apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hasil daripada kumpulan hadis ini, bentuk tindakan dilakukan yang ingin saya tekankan adalah, ia sama seperti cetak rompak kerana haram daripada sudut hukum Islam.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia (Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi.

Mungkin ada yang berhujah bahawa perisian Windows itu adalah milik seorang kafir yang merujuk kepada Bill Gates dan tiada masalah untuk menggunakan yang cetak rompak selain ada juga yang menyatakan beliau terlalu kaya, oleh itu penggunaan bahan berkenaan tidak memberi apa juga kesan pada kekayaannya.

Sebenarnya, hujah ini meleset dan tertolak dalam fiqh Islam kerana Muslim tidak dibenarkan mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika di Iraq).

Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, perisian Windows harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa saja dicerobohi sesuka hati.

Dalilnya terlalu banyak, iaitu paling mudah apabila Rasulullah SAW dan sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi dan mesti membelinya dengan cara halal.

Namun begitu, menurut sebahagian ulama, jika pelajar ingin menggunakan perisian untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan, terutama jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang tulen.

Sedangkan dia memerlukan komputer dan sesuatu perisian khas untuk tujuan pembelajarannya, tatkala itu, ada ulama mengharuskan atas asas:

‘Hajat Mendesak’ dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh: Ertinya: “Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak, sama ada ia berbentuk umum atau khusus.” (Al-Ashbah Wa An-Nazair)

Hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk tujuan komersial

Bertempoh. Ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, dia perlu membeli yang tulen

Demikian juga halnya keadaan pelajar di universiti. Sebagai contoh, ada pensyarah menjadikan buku tertentu sebagai ‘silibus’ dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga lima atau enam buku digunakan.

Sudah tentu pelajar tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli buku yang mungkin tebal dengan harga tinggi.

Lalu tatkala itu, pelajar dibenarkan membuat salinan fotostat halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya. Maka, pada waktu itu ia diharuskan.

Kembali kepada keadaan seperti dinyatakan, jika benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang (hanya beliau dan Allah yang tahu) untuk membeli perisian tulen yang mahal harganya berbanding kemampuannya, maka ada keringanan untuk beliau menggunakan produk tiruan itu dulu buat sementara waktu.

Ketika perniagaan seseorang itu sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil serta tiada lagi keperluan mendesak, tatkala itu wajib untuk bertukar dan membeli yang tulen.

- HARIAN METRO

Khamis, Mei 19, 2011

Mengetahui kesihatan melalui Google

Oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai ialah Menteri Kesihatan Malaysia. (www.liowtionglai.com/blog) atau Twitter (@liowtionglai)

Baru-baru ini saya terjumpa dengan satu perkataan yang menarik iaitu ‘cyberchondria’. Menurut huraiannya bermaksud orang yang melayari internet untuk mengetahui mengenai penyakit dan simptomnya sebagai jawapan terhadap masalah kesihatan yang kononnya mereka hadapi, tetapi sebenarnya hanya dalam khayalan mereka.

Memandangkan masyarakat kini lebih celik teknologi dan mahu menjaga kesihatan, cyberchondria sering berlaku. Ini digalakkan lagi dengan informasi tanpa batasan yang boleh diperoleh melalui internet, walaupun tidak semua maklumat itu berguna atau tepat.

Saya yakin kita sendiri pernah mencari maklumat melalui Google mengenai simptom penyakit seperti sakit kepala yang berlarutan atau gatal kulit atau mencari diagnosa serta mencetak maklumat diperoleh itu dan menyerahkannya kepada doktor mengenai kemungkinan mengubatinya.

Sungguhpun usaha untuk mengetahui mengenai kesihatan anda dan memperoleh pengetahuan sedalam yang mungkin itu memang baik, tetapi langkah ini juga boleh merosak dan mengelirukan sekiranya anda mendapat maklumat salah.

Secara umumnya, doktor mempunyai pendapat berbelah-bahagi mengenai trend yang berleluasa di kalangan pesakit mereka. Pada satu pihak, pendirian autokratik ‘Saya lebih tahu’ yang diamalkan dalam bidang perubatan semakin berkurangan dan doktor menghargai apabila pesakit mereka mengambil berat mengenai kesihatan mereka.

Sementara itu, pada satu pihak yang lain pula doktor mengakui keadaan menjadi lebih rumit apabila pesakit mereka dikelirukan dengan maklumat yang salah yang diperoleh daripada internet.
Cubaan mendiagnosa sendiri adalah kesilapan yang sering berlaku sekiranya anda cuba menjadi ‘Dr Google’. Contohnya, anda mula mencari maklumat mengenai ‘sakit kepala berpanjangan’ dan anda akan dapat pelbagai penjelasan akan puncanya seperti stres hinggakan ketumbuhan atau tumor otak. Lebih mendalam anda membaca maklumat itu, anda mungkin terpengaruh dan menyangka yang anda menghidap penyakit yang tidak boleh diubati.

Ada bahaya cara mendiagnosa sendiri kerana ia mengambil masa, membabitkan kos dan menjadikan anda amat risau hingga sanggup pergi bertemu pakar perubatan dan menjalani pemeriksaan dan ujian kesihatan yang berisiko. Pada akhirnya, anda mendapati masalah kesihatan anda itu sebenarnya terlalu kecil dan boleh dirawat oleh doktor keluarga saja!

Satu kajian dijalankan oleh Microsoft pada 2008 mendapati bahawa satu pertiga daripada 250,000 pengguna laman web yang melayari isu berhubung dengan kesihatan melalui fungsi pencarian Windows Live, mendalami pencarian untuk memberikan fokus terhadap keadaan penyakit yang lebih serius dan luar biasa.

Kita lupa bahawa internet bukanlah doktor, sebaliknya sekadar mengandungi pelbagai maklumat yang tidak mempunyai kepakaran dimiliki oleh doktor sebenar yang boleh mengkaji sejarah kesihatan anda, memberikan pemeriksaan kesihatan secara fizikal dan membuat keputusan selepas menimbangkan semua kemungkinan.

Lebih membimbangkan doktor ialah selepas membuat diagnosa sendiri, pesakit mungkin mencari ubat sendiri tanpa nasihat dan panduan pakar. Jika keadaan ini berlaku, mereka mungkin gagal mengubati pesakit sebenar yang dihadapi, sebaliknya memburukkan lagi keadaan dengan mengambil ubat yang salah. Malahan, ubat yang dibeli di kaunter farmasi boleh memudaratkan sekiranya diambil dengan cara yang salah, manakala perubatan alternatif dan terapi tambahan kebanyakannya belum terbukti kemujarabannya.

Tiada salahnya anda cuba mendapatkan maklumat daripada internet. Tetapi kita harus ingat bahawa bagi setiap laman web lengkap yang kita layari, ada banyak lagi diwujudkan oleh mereka yang tidak mempunyai kepakaran dan mempunyai muslihat yang diragui.

Oleh itu, bagaimanakah anda boleh menilai kesahihan laman itu.

Satu caranya ialah dengan melihat siapakah yang mewujudkan laman web itu, adakah ia mempunyai kredibiliti dan sumber yang layak untuk memberikan anda maklumat? Anda seharusnya mengikuti laman web dibangunkan oleh agensi kesihatan kerajaan (iaitu laman .gov), universiti (edu) atau pertubuhan profesional (org).

Satu kajian dijalankan penyelidik Universiti Nottingham pada 2010 mencari jenis maklumat yang diperoleh daripada pencarian Google bagi lima soalan biasa mengenai kesihatan kanak-kanak. Hasilnya mendapati bahawa laman dibangunkan oleh agensi kerajaan memberikan nasihat yang sama, manakala laman berita (seperti BBC) memberikan nasihat yang betul dalam separuh kes. Bagaimanapun, penasihat mendapati laman yang ditaja tidak memberikan nasihat yang betul.

Sebahagian daripada laman yang ditaja juga boleh memberikan sumber yang baik, walaupun ia disertai dengan kepentingan komersial. Satu cara untuk memastikan kesahihannya ialah dengan melihat sama ada laman itu menyediakan senarai ahli lembaga penasihat atau konsultan.

Anda perlu melihat sama ada pakar ini adalah doktor daripada hospital yang diiktiraf. Persatuan Perpustakaan Perubatan AS mempunyai paduan baik untuk menilai maklumat mengenai kesihatan daripada atas talian (www.mlanet.org/resources/userguide).

Persoalannya, bukan sama ada harus menggunakan Google atau sebaliknya. Khidmat internet amat berharga dan sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita. Tetapi ingat bahawa ia hanya sekadar tambahan bagi nasihat yang anda dapati daripada doktor anda. Tiada sesuatu yang boleh menggantikan seni sebenar atau sains perubatan. Oleh itu, terus gunakan pencarian Google, tetapi lakukanlah dengan bijak.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Mei 13, 2011

Perihal barang naik, barang turun

Oleh ABDUL JALIL ALI

Sehari dua ini ada yang naik, ada yang turun. Baik naik atau turun, terbukti kedua-duanya menyusahkan kita. Sebelum menyentuh yang naik, saya hendak bercakap mengenai yang turun.

Ada pun yang turun ialah kualiti udara. Menurut Jabatan Alam Sekitar cuaca panas dan jerebu menyebabkan indeks kualiti udara kita menurun 17 peratus Isnin lalu, iaitu dari 61 peratus menjadi 44 peratus.

Dalam waktu sama Jabatan Meteorologi merekodkan 19 kawasan di seluruh negara teruk dilanda jerebu termasuk Melaka, Kuantan, Kuching, Kota Kinabalu, Sepang, Ipoh dan Petaling Jaya.

Apabila kualiti udara menurun tentu sekali menimbulkan kesusahan. Pandangan menjadi kabur, kerja-kerja mengintip pun tergendala sebab banyak benda terlindung. Agaknya jika jerebu melanda Abbotabad minggu lalu, pasti tentera elit Amerika Syarikat tidak dapat mengesan Osama.

Menurut pihak berkuasa, jerebu melanda akibat cuaca panas dari ribut Tropika Aere yang dikesan di utara Filipina, dan melonjakkan suhu di tempat kita 36.2 darjah Celsius. Sudahlah pandangan kabur, tidur pun tidak selesa sebab jam 12 dini hari, dalam bilik panas membahang macam 12 tengah hari.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr David Quek menasihatkan orang ramai minum banyak air dalam cuaca panas begini untuk elak ‘dehydration’ yang memungkinkan kesukaran bernafas, pening dan lain-lain masalah.

Selain minum banyak air, saya suka mengingatkan kawan-kawan – terutama wanita, juga suami isteri – supaya jangan mendedahkan tubuh ketika tidur malam. Tidak kira panas macam mana, tubuh mesti ditutup dan tidurlah dengan gaya paling sopan.

Sebab, walaupun panas, dalam bilik tidak ada jerebu. Apabila tidak berjerebu, pandangan menjadi jelas lagi nyata. Almaklumlah sekarang musim video, takut-takut gelagat anda di katil tiba-tiba muncul di YouTube.

Demikianlah apabila kualiti udara menurun, kehidupan menjadi tidak selesa. Sekarang saya hendak cerita benda naik pula, iaitu perihal gula. Mulai Selasa lalu harga bahan pemanis itu naik 20 sen menjadi RM2.30 sekilogram.

Seperti biasa apabila ada barang naik harga, kita akan mendengar nyanyian dengan lirik sama, sengaja didendangkan untuk menyedapkan hati. Apakah kita masih suka dan terhibur dengan lagu ini?

Seperti ‘nyanyian’ Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Mohd Zin Mohd Dom: “Harga runcit (gula) di Malaysia masih lebih rendah berbanding negara serantau seperti Indonesia (RM3.80), Singapura (RM3.61), Thailand (RM2.31) dan Filipina (RM4.50).”

Juga lirik sama: “Dengan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM283.4 juta setahun, iaitu kadar subsidi 20 sen sekilogram.

"Langkah ini selari dengan strategi jangka panjang kerajaan untuk merasionalisasikan subsidi secara berperingkat-peringkat, dan kerajaan dapat melakukan penjimatan sebanyak RM116.6 juta setahun. Penjimatan ini boleh digunakan untuk membiayai projek kemudahan rakyat, termasuk pengangkutan awam.”

Harap-harap selepas beberapa kenaikan dan penjimatan ini sistem pengangkutan awam kita akan menjadi lebih baik – komuter dan LRT betul-betul menepati masa, bas yang sesak nafas lagi nyawa-nyawa ikan itu dinyahkan dari jalan raya kita. Marilah sama-sama kita berdoa, dan bertaruh.

Adalah diharapkan dengan kenaikan harga ini orang kita akan mengurangkan pengambilan gula seharian. Saya menyokong kenaikan harga gula, memandangkan kita adalah antara masyarakat termanis di dunia. Orang kita mengambil antara 17 hingga 26 sudu gula setiap hari, sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan hanya 10 sudu.

Akibat terlalu bergula-gula, air kencing kita pun manis tidak terkira. Berdasarkan kajian Persatuan Diabetes Malaysia bilangan pesakit diabetes di negara ini kini berjumlah 1.2 juta orang, dan dijangka meningkat sehingga 2.5 juta orang menjelang 2030.

Tetapi, lebih ramai yang kencing tawar dan berasa resah dengan kenaikan harga gula 20 sen. Ada satu lagi lirik lagu yang sama setiap kali harga barang naik: “Kenaikan ini tidak akan membebankan pengguna.”

Untuk sehari dua ini lirik itu mungkin relevan. Sekurang-kurangnya 3,700 ahli Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) berjanji tidak akan menaikkan harga minuman.

Harap-harap janji itu tidak akan dimungkiri. Muslim tidak boleh mungkir janji! Demikianlah perihal barang naik dan barang turun yang terjadi sehari dua ini. Seyogia diingat dulu, kini dan selamanya, ada juga barang yang sekejap naik sekejap turun. Malah, ada yang naik tidak kira masa, di mana sahaja. Ini kita kena hati-hati juga!

- SINAR HARIAN

Ahad, Disember 26, 2010

Komentar - Pelihara aib orang lain

Oleh Harussani Zakaria

Sejenak merenung di dada akhbar mahupun coretan di laman sesawang, membuatkan saya beristighfar panjang bila menyelusuri bahan berita, coretan mahupun komentar dari pihak yang rata-ratanya agak kritis dan kadangkala memualkan.

Setiap bahan berita, coretan dan komentar lebih banyak menyentuh hal-hal bersangkutan diri seseorang yang bukan sahaja boleh menjatuhkan maruahnya, malah lebih dari itu sehingga menghinakan diri dan keluarganya.

Adakalanya komentar dan catatan yang dipaparkan sarat dengan fitnah, umpatan dan cacian daripada sesuatu pernyataan yang membina. Saya menyedari hakikat umat Melayu ini yang pandai berbahasa dan berkias, namun sejak mutakhir ini gaya bahasanya sudah tidak berlapik dan beralas lantas menerjah maruah diri seseorang sehingga menusuk ke tulang putihnya.

Malah, bukan sekadar menerusi penulisan, pelbagai medium digunakan termasuklah menggunakan kehebatan berkata-kata, berpidato dan berjenaka bagi menyampaikan hasrat menjatuhkan maruah dan membuka keaiban orang lain. Apakah kita sudah lupa pesanan agung Rasullullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Al Imam Ahmad dari Anas Ibnu Malik r.a, bahawa Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud “Tidak akan lurus keimanan seorang hamba sehingga lurus pula hatinya, dan tidak lurus hatinya, hingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.”

Anggota lidah seperti mana yang telah disebutkan oleh Imam Al-Ghazali adalah antara sebesar nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan lidah kita berzikir, tilawah Al-Quran dan berkata-kata dengan perkataan yang baik. Menerusi lidah juga dakwah Islam disebar siarkan di serata alam, dengannya juga terlaksana proses saling ingat-mengingati antara satu sama lain supaya hati sentiasa dekat dengan Allah dan Rasul-Nya.

Namun sebesar nikmat itu, maka besar juga tanggungjawab untuk menjaganya. Dengan lidah jugalah manusia boleh terjerumus ke dalam kehancuran, malah boleh mengundang ke lembah neraka Allah SWT. Hal ini mengingatkan saya bahawa Al Marhum Said Hawwa pernah menyatakan besarnya bahaya lidah hingga tiada siapa yang mampu selamat darinya kecuali dengan diam. Bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al Imam Al Bukhari dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa beriman dengan Allah dan hari qiamat, maka berkatalah yang baik atau pun berdiam saja.”

Teringat saya bagaimana sejarah menaqalkan bahawa Saidina Abu Bakar r.a pernah satu ketika meletakkan batu kerikil di mulutnya, semata-mata mencegah dirinya dari berbicara.

Lalu ditanya mengapa beliau berkelakuan begitu, ia menunjukkan kepada lidahnya seraya berkata, “Inilah yang menjerumuskan aku ke dalam kehancuran.” Al Imam Al Bukhari meriwayatkan dari Sahl bin Sa‘ad bahwa Baginda SAW bersabda yang bermaksud, “Siapa yang menjamin untukku apa yang ada di antara janggutnya dan dua pahanya maka aku menjamin untuknya syurga.” Dalam hal ini juga, apakah umat Melayu sudah lupa pepatah yang berbunyi “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.”

Bahaya fitnah

Al-Quran yang diturunkan Allah SWT sebagai manual yang memandu hidup manusia telah mencatatkan bahawa di dalam surah Al-Hujurat ayat 12, Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu mengumpat setengah yang yang lain. Adakah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.” Imam Al-Qurtubi ketika membahaskan ayat di atas menukilkan sebuah hadis tentang erti ghibah (mengumpat) seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud “Mengumpat itu adalah anda menyebut perihal saudaramu dengan suatu yang di bencinya.”

Ibnu Abi Dunya meriwayatkan dari Al-Barra beliau berkata bahawa Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami hingga terdengar oleh kaum wanita di rumah-rumah mereka. Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman dengan lidahnya tetapi tidak beriman dengan hatinya, janganlah kalian mengumpat orang-orang muslim dan mencari keaibannya. Sesungguhnya orang yang mencari-cari keaiban saudaranya, maka Allah akan mencari-cari keaibannya. Dan siapa yang keaibannya di cari-cari Allah, maka pasti Allah akan membongkarnya di tengah rumahnya.”

Biarpun sekian banyaknya peringatan al-Quran dan hadis tentang telatah buruk ini, namun umat ini seakan-akan tidak pernah mendengar dan mengambil tahu. Bayangkan apa akan terjadi sekiranya masyarakat kita dipenuhi dengan tingkahlaku yang “jelek” ini, dipenuhi saban hari dengan sikap fitnah memfitnah dan mencerca sesama kita. Hanya ilmu dan penghayatannya sahaja mampu mengekang penularan sikap keji ini sepert imana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dari Abu Umamah dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Akan muncul berbagai fitnah, di pagi hari seseorang dalam keadaan mukmin lalu kafir di petang harinya, kecuali orang yang dihidupkan Allah dengan ilmu.”

Tentang keburukan orang lain.

Seringkali kita mendengar pihak-pihak beralasan dengan menyatakan “Saya tidak mengumpat atau memfitnahnya, saya berkata yang benar! Saya punya bukti itu dan ini!. Pernyataan yang seolah-olah ingin menghalalkan perbuatan mereka. Al Marhum Sa‘id Hawa menyebutkan bahawa Al-Hassan berkata yang bermaksud, “Mengatakan tentang hal orang lain itu terbahagi kepada tiga : (1) ghibah : iaitu kamu menyatakan apa yang ada pada dirinya; (2) buhtan :iaitu kamu menyatakan apa yang tiada pada dirinya; (3) ifkun : iaitu kamu menyatakan apa yang kamu dengar tentang dirinya.”

Biar dalam situasi apapun, menyembunyikan kelemahan dan keaiban seseorang adalah lebih utama dari menzahirkannya. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah taala akan menutup keaibaannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah taala sentiasa menolong seseorang hamba, selama dia menolong hambanya.”

Walau bagaimanapun, Imam Al Ghazali menyebut bahawa menyatakan keburukan seseorang dibenarkan di dalam beberapa keadaan yang diperlukan sahaja dengan syarat yang tertentu. Antaranya seperti aduan seorang yang dizalimi oleh seorang yang lain kepada seorang hakim, meminta suatu hukum dalam satu perbuatan atau perkara, berniat untuk memberi peringatan kepada masyarakat atas seseorang yang terang-terangan dan bermegah-megah dengan melakukan maksiat dan beberapa perkara lain.

Politik, umpat dan fitnah

Akhir-akhir ini, politik, umpat dan fitnah seolah-olah suatu perkataan yang tidak mungkin dipisahkan. Baik pihak manapun, ia seolah-olah dibolehkan dengan beralaskan hujah-hujah yang tertentu. Segala keburukan pihak lawan didedahkan untuk pengetahuan umum. Lebih mendukacitakan, saya melihat medium penting bagi membincangkan isu dan kebajikan rakyat seperti sidang Dewan Rakyat dan sidang DUN hari ini sudah menjadi medan umpatan, tuduh-menuduh dan fitnah memfitnah berkait dengan isu-isu peribadi. Apakah kita tidak menyedari betapa terlalu banyak masa dan ruang telah kita habiskan bagi memenuhi selera buruk ini, sedangkan di hadapan kita terlalu banyak isu dan perkara yang perlu dilangsaikan. Apabila ini terjadi, fokus utama ke arah mengutamakan kepentingan rakyat terpaksa dikesampingkan bagi memberi ruang menjawab tohmahan dan fitnah yang dilemparkan.

Ledakan ICT

Ledakan sumber maklumat pada abad ke-21 ini menyaksikan era baru dunia maklumat. Menerusi e-mel, SMS, blog, facebook, twitter dan sekarang era wikileaks, maklumat disampaikan dengan begitu mudah dan pantas. Kebebasan bersuara dalam menyampaikan kritikan, penyebaran maklumat kontroversi mahupun khabar-khabar angin menjadikan dunia maklumat ICT berjaya menarik jutaan penggemar. Menurut sumber internetworldstats.com menyatakan bahawa pengguna Internet hari ini sudah mencapai 1.9 billion dan Asia sahaja mencapai 110 juta pengguna.

Manakala pengguna facebook di Asia sudah mencapai 93.5 juta. Namun apa yang merisaukan saya hari ini, kecanggihan memindah maklumat hari ini telah dicemari dengan medan menabur fitnah dan umpatan. Adakah ini termasuk dalam apa yang kita bincangkan di atas. Imam Al-Ghazali menyatakan mengumpat itu sebenarnya bukanlah semata-mata dengan lidah, namun merangkumi isyarat-isyarat dan tulisan. Tidak keberatan saya katakan bahawa penggunaan medium ini bukan lagi semata-mata menyebarkan berita mahupun maklumat yang bermanfaat, tetapi terselit agenda-agenda tersembunyi yang didokongi oleh mereka yang punya niat untuk membobrokkan orang lain.

Jika amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan ia ke dalam neraka.”

Maruah manusia terlalu berharga hingga menyebabkan setiap manusia perlu memeliharanya. Kemakmuran beragama, bermasyarakat dan bernegara sukar dikecapi melainkan setiap warga menghormati antara satu sama lain.

- MINGGUAN MALAYSIA

Jumaat, Disember 24, 2010

Ya Allah, hapuskan ego diriku

Oleh SRI DIAH

Tiada nikmat lain yang lebih besar bagi saya sepanjang 2010 dan mungkin juga selamanya, melainkan mendapat jemputan menjadi tetamu Allah baru-baru ini. Berada selama lebih 40 hari dalam lingkungan umat Islam dari seluruh pelosok dunia dengan pelbagai bangsa dan adat, merupakan momen paling bahagia.

Keberangkatan ke Tanah Suci sudah pasti memberi keinsafan tersendiri apatah lagi bagi jemaah yang mungkin pengalaman pertama ke Makkah dan Madinah. Selama di tanah suci pelbagai pengorbanan perlu dilalui oleh tetamu Allah termasuk wang ringgit, meninggalkan keluarga, pekerjaan selain memastikan kesihatan sentiasa pada tahap terbaik.

Golongan lelaki dan makcik Tibet yang kental tubuhnya, keturunan Negro yang bertubuh tegap, lasak, nona-nona Indonesia yang mantap licik dan kami dari Malaysia yang sopan-santun mewarna hari-hari kami bermula di Madinah, hingga ke Makkah, Arafah, Mudzalifah, Mina dan balik ke Makkah semula sebelum berangkat ke Jeddah untuk kembali ke tanah air tercinta.

Sesungguhnya perjalanan menguji iman ini amat besar impaknya. Bersyukurlah kepada yang telah melalui dan merasainya; hanya yang telah pergi dan mengalaminya sahaja tahu.

Oleh itu kepada yang sedang ternanti-nanti jemputan paling istimewa ini teruskanlah berdoa, bersolat hajat dan berzikir sementara menanti jemputan itu benar-benar datang.

Bayangkan tatkala bersolat di Masjid Nabawi di Madinah, tiba-tiba nafas jadi sesak dan sebak tanpa disangka-sangka. Wajah-wajah mereka yang telah pergi lebih dahulu ke alam barzakh muncul satu persatu.

Wajah-wajah itu tersenyum manis, bersih bersinar-sinar rupa mereka. Segera air mata jatuh berderai. Rindu menggamit rasa. Hiba menunda-nunda dalam dada. Apa yang boleh dilakukan? Wajah dan tubuh itu menghilang apabila ingin disentuh...

Kemudian pada hari lain pula ketika menanti giliran berziarah ke makan Nabi, telah dikejutkan dengan panggilan kuat, ”Hajah! Hajah! Mari sini! Solat sini! Di sini!” Hah? Dan saya terpinga-pinga seketika. Tangan wanita berpurdah itu melambai-lambai dengan cepat.

Rasa terkejut itu tambah menggetarkan perasaan apabila sedar-sedar sahaja kaki sudah hampir ke kawasan Raudah. Mudahnya Allah SWT lorongkan laluan. Mudahnya mendapat saf di hadapan sekali untuk solat sunat melawat makam Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya Abu Bakar dan Umar.

Sebagai tetamu Allah, ia adalah satu perjalanan yang begitu hebat. Bermula sahaja 10 Zulhijjah, umat Islam tanpa mengira pangkat, kedudukan dan status akan bersama-sama memulakan ‘misi’ penting melakukan satu persatu ibadat tertentu bagi membuktikan mereka hamba yang kerdil kepada pencipta-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap manusia (orang-orang mukmin) mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Barang siapa yang kufur (ingkar), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada pihak lain (alam).”

Padang Arafah yang luas terbentang memang sukar diduga. Begitu juga godaan bermalam di Mudzalifah. Paling mengesankan ialah pengalaman tiga hari tiga malam di Mina... apalah daya kita sebagai insan yang kerdil di bumi Tuhan ini apabila berada dalam lautan jutaan umat Islam dari seluruh dunia?

Tatkala berada di ketiga-tiga jamrah, janganlah kita menidakkan ketentuan Allah. Ada yang gementar kakinya mahu melangkah menuju ke jamrah. Ada yang tersesat jauh hingga ke Makkah sebaik habis melontar. Malah ada yang tidak jumpa langsung Terowong Muassim untuk kembali ke khemah.

Di dalam Masjidil Haram, air mata menitik ketika melihat Kaabah buat pertama kali, memang dibiarkan sahaja meluncur laju, hangat menimpa pipi. Dikesat dan ia turun lebih lebat lagi. Biarkan.

Saat melakukan tawaf dan tangan melambai ke Multazam, kemudian selepas itu memandang batu keras di Safa diikuti dengan memijak batu hitam di Marwah, sebanyak tujuh pusingan, semua aktiviti itu menguji ego, meruntun iman.

Di sini doa saya ketika bertahalul: ”Ya Allah Ya Tuhan, inilah ubun-ubunku, di dalam genggamanmu. Maka jadikanlah tiap-tiap sehelai rambutku ini cahaya bagiku di hari kiamat dan ampunilah dosa-dosaku wahai Tuhan yang amat luas pengampunan... amin”

Dan pandangan ke Masjidil Haram menjadi kelam dek air mata....

- SINAR HARIAN

Selasa, Ogos 17, 2010

Ramadan Bulan Kemerdekaan

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU)
UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Tanpa disedari bulan Ramadan menjanjikan seribu kemerdekaan dan kebebasan untuk umat Islam. Apatah lagi bagi yang berusaha bermati-matian untuk memperoleh kurniaan itu. Bahkan mereka yang sedar akan keistimewaan Ramadan bercita-cita pula agar Ramadan berlaku sepanjang tahun. Tidak lain kerana sekolah Ramadan mendidik manusia akan erti kemerdekaan yang sebenar yang dapat diperhatikan melalui proses pentarbiyahan ilahi sepanjang bulan al-Mubarak ini.

Kesempatan syaitan dibelenggu merupakan peluang terbaik untuk meraih cinta hakiki. Ini bermakna manusia kini merdeka daripada cengkaman musuh iaitu Iblis yang dilaknat oleh Allah SWT. Sayugianya peluang sebegini tidak dibiarkan pergi tanpa berbuat kebajikan semaksimum yang termampu. Oleh itu belajarlah mengurus nafsu dengan baik agar setelah tamat Ramadan, dunia yang penuh pancaroba boleh berjaya diharungi dengan pedoman wahyu ilahi.

Di dalam bulan ini juga umat Islam dikehendaki sentiasa memelihara segenap pancaindera daripada kutukan dosa. Semuanya bertujuan membentuk puasa yang berkualiti dan diterima dengan sempurna. Secara tidak langsung masyarakat Islam merdeka daripada sifat mazmumah seperti mengumpat, bergosip dan mencela individu lain.

Ramadan juga adalah bulan untuk menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT dengan mengeluarkan zakat fitrah dan bersedekah. Oleh itu para Muslimin diseru untuk bersegera menunaikan kewajipan ini agar bantuan dapat disampaikan kepada fakir miskin dan orang yang memerlukan sebelum menjelang hari raya.

Amalan sunat seperti bersedekah, sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal dan yang mengharapkan bantuan juga tidak patut diabaikan, berikutan ganjaran penghapusan dosa yang dijanjikan.

Malahan dengan kaedah ini manusia boleh memerdekakan diri daripada sifat bakhil dan tamakkan harta kemewahan dunia yang sementara. Walau bagaimanapun niatnya mesti ikhlas dan diharapkan agar berterusan bukan sempena Ramadan dan sambutan hari raya sahaja.

Apatah lagi tiada siapa yang sanggup menanggung derita kembali ke alam baqa' dengan bekalan dosa yang bertimbun-timbun. Inilah masa untuk setiap insan, menjernihkan jiwa dan memerdekakan diri daripada dosa dengan dengan bertaubat nasuha dan beramal saleh dan memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya amalan-amalan yang saleh mampu menghapuskan dosa ibarat air memadamkan api.

Selain itu Ramadan adalah bulan mustajab doa. Peluang keemasan untuk diperkenankan segala doa adalah lebih tinggi berbanding bulan-bulan yang lain. Seolah-olah Ramadan dan doa tidak dapat dipisahkan.

Malah bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-53 yang jatuhnya dalam bulan Ramadan ini setiap warga 1 Malaysia terutama yang beragama Islam patut merenung dan menilai akan tingginya nilai kebebasan sesebuah negara daripada unsur-unsur penjajahan.

Sedarilah tanpa nikmat kemerdekaan itu peluang untuk solat tarawih dan qiamullail di masjid dengan sebebasnya mungkin tidak akan dapat dirasai jika tanahair masih dijajah.

Oleh itu bersyukurlah dengan nikmat kemerdekaan negara yang diwarisi daripada titisan darah perwira terdahulu dengan mengelak daripada dipengaruhi oleh pemikiran negatif, budaya songsang dan amalan tidak berperikemanusiaan seperti membuang dan membunuh bayi yang tidak berdosa.

- UTUSAN

Recent Posts