Memaparkan catatan dengan label Kerja. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kerja. Papar semua catatan

Jumaat, Mac 29, 2013

Penjawat awam sementara dan kontrak terima faedah Perkeso mulai 1 Mei 2013

Seramai 63,000 anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak akan turut menikmati pelbagai faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 Mei ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kerajaan mengambil keputusan itu bagi memastikan kebajikan pekerja dan anggota keluarga mereka turut dijamin di bawah Skim Perlindungan Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat seperti pekerja di sektor swasta.

"Keputusan ini memberi faedah kepada semua pekerja sementara dan kontrak di dalam perkhidmatan awam, termasuk 15,000 pekerja yang sedang berkhidmat di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan taraf sementara dan kontrak sekian lama," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, di sini hari ini.

Dr. Subramaniam berkata, Perkeso akan mengambil tindakan serta-merta untuk mendaftar semua pekerja bertaraf sementara dan kontak yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan awam persekutuan/negeri, badan berkanun persekutuan/negeri dan pihak berkuasa tempatan.

"Jemaah Menteri membuat keputusan itu minggu lalu...Dengan ini semua pekerja terbabit secara automatik akan didaftarkan di bawah Perkeso. Perkeso akan menghubungi jabatan dan agensi berkenaan untuk menguruskan pendaftaran ini," katanya.

Dr. Subramaniam berkata, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM30 juta setiap tahun dengan perluasan skim itu.

Katanya, skim bencana pekerjaan akan melindungi pekerja ditimpa kemalangan semasa waktu kerja, kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja dan juga penyakit khidmat.

Skim ilat pula akan memberi perlindungan 24 jam akibat daripada keuzuran atau penyakit dan pencen penakat pula disebabkan oleh kematian kepada pekerja yang menikmati keilatan atau disebabkan oleh penyakit.

Faedah-faedah lain yang turut dinikmati ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat dan kemudahan pemulihan untuk pekerja kembali bekerja.

Semua faedah ini akan diterangkan oleh Perkeso dalam taklimat kepada pekerja terlibat di jabatan dan agensi berkenaan, katanya.

Dalam pada itu Dr. Subramaniam berkata, sebanyak 1,912 majikan, dikesan gagal mendaftar pekerja mereka di bawah Perkeso, tahun lalu.

"Mereka dikenal pasti di bawah Ops Kesan yang dilakukan terhadap 20,003 majikan tahun lalu, dan majoriti daripada mereka ialah majikan sederhana dan kecil.

"Daripadanya sebanyak 1,802 kes didakwa di mahkamah (sivil) kerana gagal mencarum, gagal mendaftar, lewat daftar atau kesalahan-kesalahan berkaitan," jelasnya.

Menurutya bagi kesalahan itu majikan boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

- BERNAMA



Isnin, Mac 25, 2013

Lemah bahasa Inggeris faktor utama gagal dapat kerja sesuai

Tahap komunikasi dan penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah adalah faktor utama siswazah tempatan gagal mendapat pekerjaan sesuai sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor, berkata faktor itu diakui dan sering kali dibangkit kalangan industri pekerjaan di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kebolehpasaran Graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Kota universiti itu di Kota Bharu.

Turut hadir, Naib Canselor UMK merangkap Setiausaha Majlis Profesor Malaysia Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose.

Ab Rahim berkata, program itu adalah kolaborasi antara kementerian dan universiti di seluruh negara yang bertujuan memperkasa kebolehpasaran siswazah.

"Pelajar kita ini, dari segi periksaan mereka bagus, tetapi dari segi penguasaan dan komunikasi mereka lemah. Mereka boleh menjawab soalan, tetapi bercakap, temu duga, ceramah tidak sampai tahap yang memuaskan. Kita harap kita akan memperkasa penguasaan bahasa Inggeris ini," katanya.

Ab Rahim, berkata langkah yang dikenal pasti bagi mengatasi masalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan siswazah adalah dengan mengadakan program berfokus dan lestari secara berterusan.
"Maknanya, apabila masuk sahaja universiti, program memperkasa penguasaan bahasa ini akan ada, selain menunjukkan persekitaran yang membolehkan mereka ini mengunakan bahasa ini," katanya.

- BERNAMA



Khamis, Mac 14, 2013

Peluang Pekerjaan di Tahun 2013 Positif - JobStreet.com

JobStreet.com mengunjurkan suasana positif dalam pasaran pekerjaan dengan lebih banyak peluang terhidang kepada golongan pencari pekerjaan sepanjang suku pertama 2013.

Pengurus JobStreet.com Sdn Bhd Chook Yuk Yng berkata, hasil kaji selidik dilakukan mendapati 36 peratus responden terdiri daripada majikan menjangkakan peningkatan peluang kerja 12 bulan akan datang, sekali gus menyaksikan peningkatan 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sehubungan itu, 15,000 peluang pekerjaan ditawarkan di Pameran Kerjaya dan Latihan (MCTF) 2013 pada 29 hingga 31 Mac ini di Pusat Pameran Mid Valley Kuala Lumpur.

Menurut Chook, pameran itu dianjurkanbersama JobStreet.com dan AIC Exhibitions Sdn Bhd dengan 160 syarikat menawarkan pelbagai peluang pekerjaan di dalam dan luar negara.

“MCTF 13 ialah pameran kerjaya terbesar pernah dianjurkan di negara ini. Syarikat terbabit dalam pameran ini terdiri daripada pelbagai sektor utama seperti teknologi maklumat, minyak dan gas, perkhidmatan kewangan, peruncitan, kejuruteraan dan banyak lagi,” katanya.

Sumber : HARIAN METRO

Selasa, Januari 29, 2013

BN Youth Job Fair 2013 di Kedah, Terengganu, Sabah dan Kuala Lumpur

Pemuda Barisan Nasional (BN) akan meneruskan penganjuran BN Youth Job Fair di empat lokasi terpilih pada tahun 2013 ini berikutan sambutan hangat yang diterima pada setiap penganjuran sebelum ini.
  
Pengerusi Sekretariat BN Youth Job Fair Nazir Hussin Akhtar Hussin dalam satu kenyataan berkata karnival kerjaya itu akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star, Kedah pada 31 Januari hingga 1 Februari 2013 ini.
  
Lokasi kedua ialah Dewan Millenium di Terengganu Trade Centre pada 22 dan 23 Februari diikuti Dewan Masyarakat Tawau, Sabah pada 2 hingga 3 Mac dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur bagi menutup tirai 2013.
  
"Para graduan yang masih tercari-cari peluang pekerjaan mahupun yang sudah bekerja dijemput ke karnival kerjaya sepanjang tahun ini," katanya.
  
Majikan yang berminat untuk memeriahkan karnival itu boleh menghubungi pihak sekretariat dengan melayari laman sesawang www.bnyouthjobfair.my.
  
Nazir Hussin juga berkata sokongan pihak majikan memainkan peranan besar dalam pembangunan ekonomi negara.
  
BN Youth Job Fair 2012 yang berlangsung di PWTC November lepas menerima sambutan sangat menggalakkan apabila berjaya menarik 120,000 pengunjung dengan lebih 100,000 resume diterima. 

- BERNAMA

Jumaat, Januari 11, 2013

Khamis, Januari 10, 2013

Pengambilan Jawatan - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) - Jan 2013

Pengambilan Jawatan bagi Kakitangan Awam di Jabatan Kerajaan peringkat Persekutuan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA). - Bulan Januari 2013

JAWATAN:
1. Pembantu Tadbir Kewangan Gred W17 (100 Kekosongan)
2. Pembantu Antidadah Gred S17 (82 Kekosongan)

CARA MEMOHON:
Permohonan hendaklah dibuat dengan mengisi Borang Permohonan SPA8i di: http://www.spa.gov.my

Tarikh Tutup : 13 Januari 2013

Pengambilan Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 2013

Iklan Pengambilan Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 2013

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mempelawa belia tanahair untuk berkhidmat sebagai anggota TLDM peringkat rendah (Lain-Lain Pangkat) lelaki di dalam pelbagai bidang kepakaran dan cawangan.

Untuk syarat-syarat permohonan dan jadual sesi pemilihan, lihat : http://www.scribd.com/doc/119747168

Selasa, Disember 18, 2012

Gaji Minimum Bermula Tahun 2013

Syarikat-syarikat multinasional (MNC) sudah bersedia untuk melaksanakan pembayaran gaji minimum sebanyak AS$300 (RM900) sebulan kepada pekerja-pekerja Malaysia mulai awal tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, meskipun ada rungutan pada awalnya namun mereka akur dengan keputusan kerajaan.

Lagipun, keputusan itu tidak membabitkan para pekerja asing di negara ini, menurut beliau.

“Kami sudah menjelaskan perkara ini secara terperinci bahawa Malaysia bukan lagi sebuah negara berorientasikan buruh, sebaliknya menawarkan kemahiran dan pengetahuan tinggi kepada pelabur asing," katanya dalam taklimat dengan para peneraju syarikat Malaysia yang beroperasi di sini.

Jelas beliau, kerajaan mempertahankan keputusan itu kerana langkah itu selari dengan matlamat negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi dengan peningkatan pendapatan perkapita kepada AS$15,000 (RM45,000) menjelang tahun 2020.

Menurut kajian di lima sektor utama negara ini, gaji pokok purata pekerja adalah RM626.76 sebulan, manakala, gaji kasar purata termasuk elaun-elaun tetap adalah RM762.20 sebulan.

“Jika dibandingkan Malaysia dengan Korea Selatan, kita sudah jauh ketinggalan walaupun 40 tahun lalu negara itu lebih mundur.

“Keputusan gaji minimum ini menunjukkan kerajaan serius untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan menjadi negara maju," jelas beliau.

Terdahulu ketika memberi taklimat dengan syarikat-syarikat India, Mustapa menjelaskan perlindungan yang diberikan kepada kerajaan kepada bumiputera tidak seharusnya dijadikan isu untuk melabur di Malaysia.

Sebaliknya, katanya, pelabur asing digalakkan untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat bumiputera.

“Dasar (perlindungan kepada bumiputera) masih diperlukan tetapi kerajaan telah mengubah kaedahnya berdasarkan merit dan kompetitif.

“Jadi, pelabur asing sewajarnya menjadikan syarikat-syarikat bumiputera sebagai rakan kongsi," ujar beliau.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya berharap MNC dan majikan swasta dapat memahami kriteria pemberian gaji minimum kepada kakitangan masing-masing.

Beliau berkat, segala bentuk elaun mahu pun imbuhan-imbuhan lain perlu diasingkan daripada gaji pokok kakitangan.

“Gaji pokok RM900 ini dijangka memberi impak yang baik dalam konteks yang lebih besar termasuk menjana pertumbuhan ekonomi negara," katanya ketika dihubungi.

Katanya, perkara itu amat penting bagi pekerja untuk menyimpan, selain mewujudkan satu sistem pendapatan yang lebih terjamin kepada semua masyarakat.

- UTUSAN

Selasa, Disember 11, 2012

Dilema Graduan Mencari Kerja

KITA selalu mendengar keluhan dan rintihan graduan baru betapa sukarnya mencari pekerjaan walaupun mempunyai segulung ijazah.

Ternyata segulung ijazah yang diperoleh selepas berhempas pulas itu belum mampu menambat perhatian majikan menawarkan pekerjaan.

Pandangan skeptikal majikan masih tidak berubah tebal dengan andaian mereka tidak kompetitif, kurang matang, tidak sabar dan ego.

Akibatnya, graduan baru seperti keterlaluan menagih belas ihsan majikan demi mengharapkan satu pekerjaan.


Persoalannya, adilkah graduan dilabel begitu sedangkan mereka belum diberi peluang bekerja?


Bagaimana pula perasaan graduan baru apabila permohonan kerjaya ditolak tanpa pertimbangan?

Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Izwa Nadhirah Kalal, 23, berkata dia amat kecewa majikan membuat andaian salah kemampuan graduan baru.

Menurutnya, biar pun majikan memegang kuasa autonomi, mereka usah mendiskriminasikan pemilihan pekerja.

“Semua graduan selepas tamat pengajian mahukan pekerjaan, namun menghadapi kerenah segelintir majikan yang tidak memahami memang mengecewakan.

“Mereka (majikan) perlu memberi peluang sama rata kepada kami, bukan menggunakan isu graduan baru tidak pandai bekerja sebagai alasan.

“Persoalannya, benarkah graduan baru tidak boleh bekerja atau majikan hanya melihat sekilas lalu atau mendengar cakap orang lain,” katanya.

Sebagai graduan baru, mereka bersemangat untuk bekerja, malangnya bukan semua mahu melihat kesungguhan mereka sebaliknya lebih suka mengkritik.

Ditanya tidak bolehkah mereka menerima kritikan, dia berkata, tiada masalah asalkan ia untuk kebaikan.

“Malangnya kebanyakan kritikan berbaur negatif dan seperti mahu meletak kesalahan pada kami seperti tidak boleh buat kerja, mahu gaji tinggi dan besar kepala.

“Mereka seharusnya melihat dulu keupayaan dan kebolehan kami sebelum membuat andaian itu.

“Sesiapa pun mahukan yang terbaik, malangnya penerimaan majikan sebaliknya,” katanya beranggapan apabila graduan baru tanpa pengalaman mengajukan permintaan, seolah-olah mereka megah dengan ijazah dimiliki.

“Saya tidak fikir graduan baru sentiasa bermegah dengan ijazah yang ada sebaliknya hanya mahu penjelasan.

“Malangnya persepsi majikan pula sebaliknya dan menganggap kami besar kepala.

“Akhirnya, permohonan ditolak menyebabkan kami terpaksa berhempas pulas mencari majikan lain,” katanya.

Isu majikan enggan ‘mempercayai’ kemampuan graduan bukan baru biar pun sokongan penambahbaikan diri dan kemahiran semakin dipelbagaikan.

Pengenalan modul bagi membina pengukuhan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan jati diri antara pendekatan diperkenalkan bagi membantu graduan.

Bagaimanapun, isu tiada pengalaman, kursus tidak relevan selain kelemahan kemahiran diri masih tetap dijadikan alasan mengukur kemampuan graduan terbabit.

Akibatnya, mereka terpaksa menerima pekerjaan tidak setimpal kelulusan atau terpaksa menjadi penganggur terhormat.

Katanya, biar pun majikan mempunyai kuasa memilih pekerja, ia harus dilakukan dengan adil.

“Majikan belum lagi melihat kebolehan kami tapi sudah dinilai sebegitu. Adilkah?

“Betul, majikan ada kuasa memilih tapi berilah peluang atau menilai kami sewaktu tempoh percubaan. Jika tidak boleh, barulah ambil tindakan.

“Kalau semua majikan begitu, sampai bila pun kami tetap tidak memperoleh pekerjaan. Sia-sialah segala ilmu dan penat kami belajar,” katanya.

Rakannya, Nor Hashimah Hashim, 23, mengakui isu gender juga masalah besar bagi graduan baru.

Menurutnya, kalangan majikan berpendapat, graduan wanita tidak boleh melaksanakan tugasan dengan baik terutama jika membabitkan tugasan berbentuk fizikal berat.

“Ini juga satu masalah bagi graduan baru kerana ada majikan meletak persepsi bahawa tenaga dan kebolehan graduan wanita hanya terhad dalam lingkungan tertentu.

“Situasi ini menyebabkan permohonan kami ditolak biar pun dari segi kelayakan tiada masalah.

“Jika graduan baru lelaki berdepan cabaran penolakan, kami (graduan wanita) juga berdepan dilema sama malah mungkin lebih hebat,” katanya.

Dia tidak menafikan ada majikan prihatin dan tidak kisah isu remeh temeh, namun jumlahnya masih sedikit.

“Setiap tahun, lambakan graduan baru bertambah. Jika hanya sebahagian kecil saja diterima, itu tidak mencukupi,” katanya yang bagaimana pun mengakui ada graduan baru ‘bermasalah’.

“Mungkin kerana yang bermasalah inilah kami dicop serupa dan menerima tempias negatif.

“Tapi, saya beri jaminan, bukan semua begitu. Majikan usah termakan momokan dilemparkan hanya kerana seorang dua yang bermasalah,” katanya.

Dia juga berpendapat graduan baru hari ini berdepan konflik hebat meneruskan kehidupan.

“Dulu terpilih masuk universiti, masa depan sudah terjamin, kini sebaliknya berlaku.

“Universiti bukan lagi jaminan anda akan memperoleh kehidupan yang baik sebaliknya mengundang cabaran lebih hebat.

“Dengan sekeping ijazah, anda perlu bersaing dengan ribuan ijazah milik graduan lain semata-mata mahu memperoleh satu pekerjaan,” katanya.

- UTUSAN

Isnin, Disember 03, 2012

Lebih ramai anggota PDRM diperlukan 2013

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan memerlukan lebih ramai anggota menjelang 2013 selaras dengan pertambahan penduduk dan pembangunan negara khususnya di tempat awam dan perumahan yang semakin pesat berkembang.

Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, bilangan keanggotaan yang besar itu diperlukan bagi membuat rondaan di kawasan terlibat seterusnya mengurangkan kadar jenayah yang berlaku.

"Langkah itu juga mampu mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap jenayah dan rasa selamat untuk menjalankan aktiviti seharian," katanya selepas perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Konstabel Lelaki di Pulapal Air Hitam.

Dalam majlis tersebut, seramai 996 pelatih berjaya menamatkan latihan selama enam bulan yang bermula 9 Jun lalu dan akan berakhir 8 Disember ini.

Sementara itu, Konstabel Muhamad Aliff Mohd. Azhar 22, dari Selangor muncul sebagai Peserta Terbaik Keseluruhan Latihan Kursus Asas Konstabel Lelaki.

Muhamad Aliff yang meminati kerjaya sebagai polis sejak kecil lagi berkata, beliau terkejut apabila pihak pengurusan memanggilnya ke pejabat kerana bimbang ada melakukan sebarang kesalahan.

"Namun perasaan itu bertukar gembira apabila mereka memberitahu saya adalah peserta terbaik keseluruhan untuk siri ini," jelasnya yang berasal dari Shah Alam, Selangor.

Sementara itu Peserta Terbaik Akademik milik Konstabel Muhammad Farhan Rosli 22 manakala Peserta Terbaik Latihan Luar ialah Konstabel Ridzwan Abdul Rakman, 21.

- UTUSAN

Isnin, November 26, 2012

Kerja apa selepas universiti?

SEJAK kecil lagi anak-anak sering ditanya, “Sudah besar nanti hendak jadi apa?”

Soalan yang sangat klise ini boleh dikatakan ditanya kepada semua kanak-kanak, baik daripada ibu bapa si kecil itu atau orang terdekat mereka.

Mengapakah soalan itu ditanya? Soalan ini antara lain untuk memberikan bayangan kepada anak-anak bahawa suatu masa nanti, mereka akan besar dan bukan selama-lamanya menjadi kanak-kanak.

Soalan ini juga seolah-olah memberitahu kanak-kanak itu bahawa apabila besar nanti, mereka perlu bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup. Mungkin ada banyak lagi sebab lain mengikut penilaian masing-masing.


Berabad lamanya, tidak kira di mana saja, ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah demi mengubah nasib hidup dan membanggakan keluarga serta negara. Kalau tidak pun nasib ibu bapa, nasib anak itu sendiri.


Semakin moden, bukan hanya anak lelaki yang dihantar belajar tinggi-tinggi, tetapi juga anak perempuan. Kini dengan adanya sistem kelayakan, anak perempuan nampaknya lebih ramai yang menjejak kaki ke universiti. Namun kini, ada yang mengatakan menjadi lulusan universiti tidak menjanjikan apa-apa selagi empunya diri tidak berusaha meningkatkan diri untuk berjaya.

Baik lelaki atau perempuan, setelah seseorang anak itu berjaya menempatkan diri ke alam universiti, apakah harapan semua orang terhadap diri mereka?
‘Semua orang’ yang dimaksudkan ialah dirinya sendiri, ibu bapa, keluarga, orang terdekat dan ahli masyarakat secara amnya.

Tentu saja semua itu mengharapkan dia tamat pelajaran dan mendapat kerja yang baik, sekali gus dapat menyara hidupnya dan membantu keluarga.

Lulus dengan cemerlang perkara kedua. Tamat belajar dan seterusnya mendapat pekerjaan lebih utama. Itulah harapan yang menggunung tinggi.

Bagaimana sekiranya sudah lama menggenggam ijazah, tetapi belum juga mendapat kerja tetap? Jenuh mencari dan menghadiri sesi temu duga, tetapi tidak berjaya? Tentu saja kekecewaan bukan hanya melanda diri, tetapi ramai lagi pihak terbabit.

“Pelajar universiti adalah ‘bahan asas’ yang melalui proses kehidupan ketika di universiti, seterusnya ia mencorakkan masa depan kejayaan mereka mendapat kerja selepas itu. Sekiranya mereka gagal mendapat kerja, ia satu kegagalan yang menyeluruh. Mungkin kerana pensyarah, pentadbir dan industri. Mungkin kerana pelajar itu sendiri,” kata Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni (ICAN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Norsaadah Ismail.

Benar kata-kata itu. Semua pihak terbabit dalam menghasilkan pelajar yang berjaya dan kemudian mendapat kerja yang baik. Sekiranya kita menyedari hakikat berkenaan, kita tidak mudah menuding jari menyalahkan satu-satu pihak saja apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini.

“Kami melahirkan pekerja untuk industri jadi pihak industri harus membantu,” kata Dr Norsaadah.

Beliau menjelaskan, pejabat Timbalan Naib Canselor, Jaringan Industri & Masyarakat (JIM), UiTM ditubuhkan pada 2007. Ia berhubung rapat dengan Alumni UiTM dan kini Pejabat Timbalan Naib Canselor bertukar nama kepada Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (JIM&A).

Pejabat JIM&A juga dikenali dengan nama singkatan ICAN dalam versi bahasa Inggeris. Visi Pejabat ICAN adalah untuk menjadikan UiTM sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik (asas dan gunaan).

Ini bagi melahirkan golongan Bumiputera yang dinamik, berdaya saing, beretika dan bertaraf dunia dalam semua bidang. Setelah itu, graduan UiTM berjaya menempatkan diri mereka di arena pekerjaan.

“Kami tidak mahu mengecewakan pelajar, ibu bapa dan kerajaan. Inilah harapan semua orang. Apabila anak itu dihantar ke universiti, semua orang mahu dia mendapat kerja dan membantu keluarganya semula. Bagaimana setelah bertahun-tahun belajar dan bergelar siswazah, anak itu tidak mendapat kerja terutama daripada keluarga susah

yang diharap dapat mengubah nasib keluarga? Bagaimana hendak mengubah kehidupan mereka tanpa pekerjaan?” katanya.

Keadaan inilah yang dibantu ICAN. Setiap fakulti dan kampus cawangan ada petugas khas yang ditugaskan untuk melihat kebolehan pasaran graduan. Mereka mengenal pasti fakulti yang memiliki graduan bermasalah untuk mendapat kerja.

“Satu persatu kami kenal pasti punca graduan menganggur serta peratusan yang tidak bekerja berdasarkan fakulti selain kursus yang mencatatkan paling ramai graduan tidak bekerja. Kami memastikan lebih 80 peratus graduan UiTM mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas mereka menamatkan pelajaran,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan graduan yang tidak bekerja bukan semata-mata kerana mereka tidak diterima oleh pihak industri. Ada juga punca lain contohnya perkahwinan yang sering membabitkan graduan perempuan.

“Sekiranya graduan perempuan yang berkahwin, kami tidak begitu risau sebaliknya jika graduan lelaki tidak bekerja, itu yang merisaukan kami.

“Berkahwin atau tidak, graduan lelaki kena bekerja kerana mereka menyara keluarga. Tetapi ada juga graduan lelaki yang tidak bekerja makan gaji kerana mereka membuka perniagaan sendiri. Itu hal lain pula,” katanya.

Menurut Dr Norsaadah, setiap fakulti harus mengkaji sehingga ke akar umbi sebab graduan kursus mereka tidak bekerja. Sekiranya ia membabitkan kurikulum,
maka kurikulum itu harus diubah.

“Pihak kami perlu berhubung rapat dengan industri yang memerlukan pekerja. Daripada situ kami tahu apa yang mereka mahu serta boleh membuat perubahan dan penyesuaian.

“Fungsi ICAN bukanlah mencarikan kerja untuk graduan sebaliknya membantu kes tertentu. Namun dalam pada itu, kami mahu pelajar tahu sebab industri tidak
mahu mengambil mereka bekerja. Mereka harus sedar sejak awal lagi dan kesedaran ini kami jelaskan di dalam kelas sejak mereka di semester pertama.

“Baru-baru ini saya bercakap dengan pelajar tahun satu. Saya beritahu mereka jangan sangka alam universiti sebagai sambungan kepada tingkatan lima. Alam universiti ini sesuatu yang berkait rapat dengan dunia pekerjaan yang bakal mereka lalui tiga tahun lagi,” katanya.

Tambah Dr Norsaadah, Kementerian Pengajian Tinggi memang menekankan kepada pihak universiti supaya memastikan kurikulum yang ada memenuhi kehendak industri. Begitu juga kemahiran insaniah seperti kebolehan komunikasi, kerja berpasukan, keyakinan dan aspek lain yang perlu ada. Ini semua persediaan supaya pelajar tidak canggung untuk bekerja dan boleh menyesuaikan diri dengan mudah.

“Pasaran kerja tidak sekadar mencari siswazah yang lulus cemerlang, tetapi mereka juga harus ada kelebihan lain yang memikat bakal majikan. Kebolehan komunikasi dan bahasa Inggeris amat penting, begitu juga keyakinan,” katanya.

Butiran lanjut mengenai fungsi pejabat ICAN boleh diperoleh di laman http://ican.uitm.edu.my.

Selasa, November 20, 2012

Pekerja Malaysia keempat paling berdedikasi

Pekerja Malaysia adalah yang keempat paling berdedikasi di dunia selepas India, Brazil dan Itali, demikian satu kajian sebuah perkhidmatan pelancongan dalam talian.

Kaji selidik berkaitan deprivasi percutian 2012 oleh agensi pelancongan dalam talian Expedia.com.my mendapati sembilan daripada 10 pekerja di Malaysia sukar melupakan kerja, walaupun ketika bercuti.

Kaji selidik itu mendedahkan pekerja di Malaysia menghabiskan kira-kira 40 jam seminggu bekerja tetapi menerima purata 14 hari cuti tahunan dan ia antara yang terendah di dunia.

Menurut kajian itu lagi, sebab utama pekerja negara ini tidak memanfaatkan cuti mereka ialah kegagalan menyelaraskan cuti bersama rakan.

Sebanyak 40 peratus pekerja yang dikaji berkata, mereka enggan mengambil cuti kerana tidak pasti sama ada ketua meluluskan cuti, manakala 15 peratus pula bimbang percutian mereka akan memberi gambaran negatif terhadap kerjaya profesional, menurut kenyataan Expedia.com.my, semalam.

Kaji selidik itu membandingkan tabiat bercuti membabitkan lebih 8,000 orang dewasa yang bekerja di 22 negara di Asia, Australasia, Amerika Utara dan Selatan serta Eropah.

- BERNAMA

Ahad, November 18, 2012

Memilih aliran sains dengan penuh kesedaran

Oleh Zin Mahmud

Insentif yang diberikan kepada ibu bapa pelajar-pelajar sains sememangnya wajar dihargai. Tetapi bagi memilih aliran sains, seseorang pelajar hendaklah melakukannya dengan penuh kesedaran dan bukannya semata-mata kerana dorongan kewangan.

Begitu juga, janganlah memilih aliran sains kerana kedudukannya yang dipandang tinggi. Atau kerana desakan ibu bapa dan masyarakat.

Sememangnya negara dan masyarakat memerlukan lebih ramai lulusan aliran sains kerana banyak bidang masih memerlukan sumber manusia aliran ini.

Tetapi akhirnya yang akan menanggung dan menjalani kehidupan sebagai lulusan aliran sains adalah setiap individu pelajar berkenaan. Tidak semua daripada mereka berakhir dengan kejayaan. Banyak pelajar sains yang patah di tengah jalan, ketika mana kemungkinan mereka boleh lebih berjaya dalam hidup jika memilih aliran sastera.

Hakikatnya aliran sains sememangnya sukar berbanding dengan sastera. Fizik, kimia dan matematik tambahan adalah mata-mata pelajaran yang sukar, walaupun ia boleh dikuasai.

Sememangnya ada pelajar yang mempunyai bakat dalam sains. Mereka yang cerdik dalam bidang ini tidak bermasalah dalam kerjayanya.

Mereka perlu belajar dalam tahap yang sewajarnya, dan akhirnya berjaya dalam SPM dengan cemerlang. Selalunya mereka mudah memasuki sekolah berasrama penuh, kemudian ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Mereka akan pulang dengan keputusan cemerlang. Maka antara mereka dengan mudah akan menjadi doktor, jurutera dan ahli-ahli sains. Pelajar-pelajar cemerlang seperti ini tidak menghadapi masalah.

Golongan yang bermasalah adalah pelajar yang jenis sederhana. Mereka boleh menguasai bidang sains tetapi usaha mereka mesti berlipat-lipat ganda berbanding pelajar cemerlang.

Pelajar-pelajar sederhana aliran sains adalah golongan yang cemerlang juga. Termasuk dalam golongan ini ialah mereka yang sebenarnya kurang minat terhadap sains, dan cenderong kepada sastera. Andai kata mereka memasuki aliran sastera, besar kemungkinan mereka boleh mencapai kecemerlangan. Tetapi oleh kerana mereka memasuki aliran sains, maka jatuhlah mereka ke tahap sederhana.

Walaupun peluang pekerjaan bagi aliran sains adalah besar tetapi realitinya banyak daripada mereka menghadapi dilema setelah memperoleh ijazah.

Dua bidang kerjaya utama bagi pelajar aliran sains adalah perubatan dan kejuruteraan. Selain itu terdapat juga jenis-jenis pekerjaan lain yang berkaitan.

Tetapi apabila mereka tidak berminat dalam bidang pekerjaan berkaitan, atau pekerjaan yang ada terlalu khusus dan tidak menarik maka akhirnya mereka terpaksa bekerja dalam bidang yang sebenarnya tidak perlu lulus dalam aliran sains. Maka, segala susah payah belajar dalam aliran sains menjadi sia-sia.

Banyak siswazah mengharapkan pekerjaan dengan kerajaan. Maka tidak kurang pula lulusan aliran sains yang berakhir menjadi guru sains.

Tetapi ada waktunya berlaku lambakan guru sains di banyak tempat. Hinggakan sukar bagi guru sains untuk meminta pindah sekolah.

Sementara guru bidang lain pula yang berkurangan. Maka berlakulah guru lulusan sains terpaksa mengajar mata pelajaran lain seperti bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Maka segala tungkus lumus mereka belajar sains dahulu menjadi sia-sia.

Dalam pada itu, lihatlah pula keadaan masyarakat. Walaupun doktor, jurutera , pakar komputer dan ahli sains diperlukan tetapi hakikatnya mereka yang mendapat kedudukan tinggi, berkuasa dan berpengaruh bukan datangnya daripada lulusan aliran sains.

Walaupun terdapat doktor dan jurutera yang menjadi ahli politik, tetapi kebanyakan daripada mereka datangnya dari kalangan aliran sastera iaitu peguam.

Begitu juga dalam bidang keusahawanan dan korporat, kebanyakan daripada mereka datangnya daripada aliran sastera, atau disebut aliran ikhtisas, iaitu mereka yang belajar dalam bidang pengurusan, perniagaan dan perakaunan.

Dalam pentadbiran kerajaan pula, kebanyakan yang menjadi Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) adalah dari kalangan lulusan aliran sastera, sama ada dalam bidang pentadbiran, ekonomi, sains politik, kesusasteraan, sejarah dan seumpamanya.

Malah lulusan aliran sains yang cemerlang masa menjadi pelajar akan mendapati bahawa apabila mereka bekerja kelak, ketua mereka adalah dari kalangan lulusan aliran sastera.

Dalam masyarakat pula yang memperoleh penghormatan lebih tinggi adalah kalangan ustaz, ulama dan lulusan bidang agama, yang merupakan sebahagian daripada aliran sastera. Orang ramai lebih mempercayai ulama daripada ahli sains dalam banyak perkara kehidupan.

Malah dalam perubatan pun, sebilangan besar masyarakat lebih mempercayai ustaz dan usahawan perubatan alternatif berbanding doktor yang merupakan lulusan aliran sains.

Sememangnya kini adalah kebangkitan wanita dalam pelbagai bidang termasuklah aliran sains. Tetapi wanita-wanita bidang hiburan seperti penyanyi, pelakon dan pengacara tentu jauh lebih glamor.

Inilah realitinya walaupun masyarakat memerlukan lulusan aliran sains untuk berfungsi dalam zaman teknologi moden ini.

- UTUSAN

Jumaat, November 16, 2012

Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) untuk Graduan Universiti


Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) adalah program untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran (employability) atau keupayaan gaduan untuk mendapat pekerjaan dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan swasta yang melaksanakan program SL1M sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Struktur Latihan dan Modul

- Modul-modul wajib bagi memantapkan kemahiran insaniah peserta SL1M:

1. ‘Soft-Skills Training’- 2 Bulan
    (Elaun bulanan peserta semasa ‘Soft-Skills Training’ – minimum RM 1,000)
        - Communication
        - Creative and Analytical Thinking
        - Organisational Adaptability
        - Value Driven Professional and
        - Grooming and Etiquette

2.  Modul-modul tambahan bagi memantapkan mental, fizikal dan moral peserta SL1M yang bakal menjadi pekerja syarikat anda:

    Latihan di dalam kelas
       - English for Business Communication
       -  English Language Proficiency
       -  Financial Management
       -  Entrepreneurship
       -  Self-Motivation Drive
       -  Self-Discipline
       - Physical and Spiritual Enhancement
       - Interpersonal Relationships

    Latihan di luar kelas
       - Team Building
       - Event Management Activities
       - CSR Projects
       - Physical Exercise and Discipline Building
            Taekwondo
            Marching (Berkawad)
            Sports and others
       - Religious, Spiritual and Moral Values Enhancement

3. 'On-Job-Training’ - (minimum 6 bulan dan maksimum 10 bulan)
    (Elaun bulanan peserta semasa ‘On-Job-Training’ – minimum RM 1,000)

4. Penempatan Pekerjaan (Job Placement)
        Peserta dibantu oleh syarikat penaung untuk mendapatkan pekerjaan sebelum program berakhir

Untuk pendaftaran, sila ke : http://www.epu.gov.my/sl1m

Tarikh Tutup : 31 Disember 2012



Sabtu, November 10, 2012

Kadar pengangguran di Malaysia 3 peratus

BUKIT MERTAJAM 3 Nov. - Kadar pengangguran di negara ini berada di bawah paras tiga peratus berbanding negara-negara maju di Eropah yang mencecah sehingga 21 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kadar itu membuktikan Kerajaan Pusat berjaya menguruskan ekonomi negara dengan baik dan bijaksana.

Beliau berkata, banyak negara maju tidak mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan pekerja lama juga dikurangkan sehingga kadar pengangguran dalam kalangan mahasiswa mencapai 50 peratus.

"Jika kadar pengangguran di bawah tiga peratus, maka boleh dianggap tidak ada pengangguran di negara ini.

"Keadaan ini kerana kerajaan menganjurkan Karnival Kerjaya sejak beberapa tahun lalu bagi menemukan majikan dengan pekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kerja 2012 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Sebanyak 40 majikan membuka kaunter masing-masing dalam karnival selama dua hari itu yang bermula hari ini.

Karnival itu menawarkan sebanyak 1,445 peluang pekerjaan dengan lebih 1,000 daripadanya ditawarkan kepada bukan graduan manakala sebanyak 426 kekosongan ditawarkan kepada graduan lepasan universiti.

Nor Mohamed yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, selain itu, kerajaan turut mewujudkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) untuk lepasan universiti.

"Mereka yang tidak mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan dilatih selama setahun dan dibayar elaun sebanyak RM1,000 sebulan.

"Kita latih mereka untuk menguasai kemahiran berkomunikasi, kemahiran berbahasa Inggeris dan mempelajari teknologi maklumat bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan," katanya.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan turut menggalakkan lepasan sekolah mengikuti latihan kemahiran bagi meningkatkan peluang mereka menjadi pekerja mahir.

"Pekerja mahir amat diperlukan kerana mereka boleh menikmati gaji lumayan berbanding kerjaya seperti peguam dan doktor," ujarnya.

- UTUSAN

Khamis, November 08, 2012

Majikan perlu terbuka soal penawaran gaji

Oleh Pegawai Penyelidik,
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

PADA tahun 2009 sahaja lebih 49.6 peratus (%) pendapatan isi rumah dikuasai oleh golongan yang berpendapatan 20% tertinggi di negara kita. Golongan 80% lagi yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan sederhana dan kumpulan yang berpendapatan rendah, berkongsi lebihan pendapatan isi rumah yang berbaki 50% tersebut. Bumiputera yang mewakili 64.9% daripada isi rumah pada tahun yang sama, 74.7% daripadanya berpendapatan di bawah RM2,000.

Persepsi makan gaji yang dilihat ideal bagi sebilangan besar masyarakat berbanding dengan bidang keusahawan dikatakan menyumbang kepada jumlah yang menerima pendapatan kurang dari RM2,000 ini.

Salah satu aspek yang sama pentingnya untuk ditangani ialah sejauh mana sebenarnya kesediaan majikan untuk menawarkan gaji atau upah yang tinggi kepada pekerja mereka pada konteks hari ini. Selama ini kita sering mendengar ramai majikan mengeluh bahawa kebanyakan calon pekerja tidak memiliki kriteria atau kemahiran tertentu yang diperlukan dalam organisasi,

Dengan kadar keluaran graduan yang meningkat saban tahun, adakah kita masih lagi tidak dapat menyediakan tenaga kerja yang mahir dan berkemahiran tinggi? Jika benar perkara ini berlaku maka dapat disimpulkan bahawa sistem pendidikan yang sedia ada hari ini adalah tidak menepati keperluan negara.

Tidak dinafikan semakin ramai tenaga kerja mahir dalam sesuatu bidang akan menekan pasaran buruh seterusnya mewujudkan satu garisan penawaran gaji yang dilihat kompetitif oleh pihak majikan. Akan tetapi apabila wujud unsur-unsur lain seperti peluang bidang pekerjaan yang sangat tidak seimbang, kemasukan tenaga kerja asing secara besar-besaran boleh menyebabkan tenaga kerja tempatan ini dinilai dengan lebih rendah.

Kecenderungan majikan yang mengambil kesempatan atas kekurangan ini juga tidak membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk sama-sama memacu ekonomi negara dengan pendapatan dimiliki mereka.

Sememangnya faktor keuntungan menjadi punca kepada mengapa sebahagian majikan tidak mahu menawarkan pendapatan yang sepadan kepada pekerja. Memaksimakan keuntungan tidak salah akan tetapi usaha ke arah penguntungan tersebut tidak boleh sehingga menzalimi pihak lain.

Islam sendiri tidak pernah mengehadkan nisbah keuntungan yang dingini oleh majikan mahupun peniaga. Akan tetapi keuntungan sehingga membawa kepada penindasan adalah dilarang sama sekali.

Kekurangan dan ketidakseimbangan dalam perolehan pendapatan isi rumah menjerat orang ramai ke arah pembentukkan masyarakat berhutang. Individu tidak lagi bekerja untuk mendapatkan pendapatan sebaliknya bekerja bagi melangsaikan hutang. Ini kerana pendapatan yang diterima hampir keseluruhannya digunakan bagi membayar kembali pinjaman dan kos penggunaan utiliti.

Faktor kurang kemahiran bukanlah satu-satunya penyebab mengapa ramai di kalangan rakyat tidak mampu memacu ekonomi negara akibat daripada pendapatan yang rendah. Meletakkan tanggungjawab kepada pihak pemerintah semata-mata untuk menyelesaikan permasalahan agihan pendapatan isi rumah yang tidak seimbang juga bukanlah satu tindakan yang tepat.

Sebagai majikan, kita juga bertanggungjawab untuk sama-sama mengurangkan ketaksamaan jurang pendapatan dengan bersikap lebih terbuka dan bersedia untuk menawarkan gaji dan upah yang sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja juga berdasarkan prestasi organisasi semasa.

Dalam Islam, meletakkan sesuatu pada tempatnya atau 'adil yakni dalam konteks menawarkan pendapatan yang setimpal adalah lawan kepada zalim yakni penindasan terhadap pekerja dari aspek penawaran gaji adalah dituntut.

- UTUSAN

Khamis, Oktober 25, 2012

Rakyat Kelantan paling ramai mohon kerja melalui SPA

Rakyat Kelantan merupakan yang tertinggi memohon pekerjaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sejak tiga tahun lalu, kata Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam.

Beliau berkata sejak 2009 hingga 2011, seramai 495,000 rakyat negeri itu telah memohon kerja bagi Gred 1 hingga Gred 41.

"Sejak lima tahun lalu pula, seramai 12,831 daripada permohonan itu telah diterima bekerja di sektor kerajaan.

"Saya setuju mungkin faktor kenapa begitu ramai rakyat Kelantan memohon kerja ini disebabkan peluang kerja yang ada di Kelantan adalah sangat kurang dan faktor lain SPA akan buat kajian terperinci," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi interaksi Pengerusi SPA dengan ketua-ketua jabatan persekutuan, badan-badan berkanun, persatuan-persatuan dan badan-badan bukan kerajaan zon Timur di Kota Bharu.

Mahmood berkata sejak tiga tahun lalu jumlah pencari kerja di seluruh negara yang memohon melalui SPA seramai 1.2 juta.

Menurutnya jumlah yang memohon pekerjaan itu tidak termasuk melalui suruhanjaya pekerjaan yang lain seperti pelajaran, polis dan tentera.

Beliau menafikan dakwaan kononnya SPA meminggir kaum-kaum tertentu sebaliknya mereka yang layak akan diberikan keutamaan.

- BERNAMA

Khamis, Oktober 18, 2012

Persepsi Negatif 'Gugat' Kerjaya & Imej Juruterapi SPA



KEKURANGAN tenaga kerja terlatih tempatan menjadi antara faktor utama yang menyebabkan pusat-pusat spa tempatan terpaksa mengambil pekerja asing bagi memenuhi keperluan serta permintaan.

Menurut laporan berita, industri spa di Malaysia dijangka menyumbang RM666.2 juta kepada pendapatan tahunan negara selain mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan bagi pengamal terapi spa menjelang 2020.

Bagaimanapun persepsi negatif terutama dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap kerjaya terapi spa menyebabkan industri spa di Malaysia lambat berkembang berbanding perkembangan industri tersebut di negara jiran seperti di Indonesia dan Thailand.

Menurut Penolong Setiausaha 2, Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan Malaysia, Nadia Monira Mohamed Taib, sehingga kini Malaysia memerlukan 1,650 pengamal terapi spa tetapi hanya dapat diisi sebanyak 1,300 jawatan.

Malahan 60 peratus daripada pengamal terapi spa ini adalah warga asing.

KERJAYA

Menurut Nadia Monira, pihak kementerian mahu mengubah persepsi kerjaya juruterapi spa sebagai satu bidang profesional seperti mana penerimaan masyarakat dalam bidang kerjaya penjagaan kesihatan dan perubatan seperti jururawat.

"Bidang terapi spa ini juga sama seperti bidang jururawat, di mana mampu memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan serta membantu memberi ketenangan minda dan menghilangkan tekanan. "Persepsi negatif timbul dan berlegar apabila juruterapi spa perlu memberi rawatan kepada mereka yang berlainan jantina.

"Namun jika melihat kerja itu sebagai satu bidang profesional untuk memberi rawatan sepertimana yang dilakukan oleh seorang jururawat yang perlu merawat pesakit tanpa mengira jantina, persepsi itu akan berubah," jelas beliau.

Beliau sendiri pernah berhadapan dengan situasi ibu bapa yang datang 'menyerang' ke pusat latihan kerana tidak bersetuju dengan tindakan anaknya yang hadir untuk mengikuti program yang dijalankan.

Namun setelah dibawa melihat sendiri keadaan perjalanan kursus serta dijelaskan tugas dan peranan sebagai juruterapi spa, akhirnya mereka bersetuju.

"Ia memerlukan masa untuk memperjelaskan kepada masyarakat bagi menghilangkan persepsi negatif tersebut dan dalam masa yang sama kementerian meneruskan usaha secara serius bagi mengangkat industri spa ke tahap yang profesional," katanya.

INDUSTRI SPA

Industri spa ketika ini semakin mendapat permintaan dan dilihat berkembang pantas walaupun sering menerima pandangan negatif masyarakat. Ia sebenarnya mampu diangkat sebaris dengan bidang profesional lain dan diiktiraf masyarakat.

Masyarakat selama ini keliru dengan khidmat yang ditawarkandi spa dan masih ramai menyamakan ia dengan pusat urut haram beroperasi tanpa lesen atau seliaan.

Nadia Monira berpendapat cabaran paling utama ialah mengubah pandangan masyarakat terhadap bidang spa dan kecantikan kerana ia bukanlah sesuatu yang menjijikkan tetapi satu industri yang mampu memberi pulangan lumayan kepada negara dan pengusaha itu sendiri.

Melihat industri spa sebagai satu industri yang mempunyai prospek yang luas terutama dalam sektor pelancongan negara, KPM telah memperkenalkan program terapi spa dalam satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Ia bertujuan untuk membangunkan industri spa menjadi lebih maju dengan meningkatkan kepakaran tempatan selain dapat mengawalselia industri itu dengan lebih berkesan.

Ini juga akan mengurangkan kebergantungan kepada orang asing serta melatih juruterapi spa dari kalangan rakyat tempatan terutama mereka yang hidup dalam taraf kemiskinan.

"Kita mahu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dengan melatih mereka secara profesional terutama yang tinggal di kawasan luar bandar, Felda , ibu tunggal yang memerlukan pekerjaan," ujar Nadia Monira yang turut menyatakan industri itu mampu menyumbangkan sebanyak RM662 juta dan 5,644 pekerjaan menjelang 2020.

"Terdapat 153 buah spa di seluruh negara yang telah mendapat penarafan bintang daripada kementerian daripada satu hingga lima bintang mengikut piawaian yang ditetapkan," katanya.

PELUANG PEKERJAAN

Diberikan pekerjaan sebaik ditauliahkan sebagai juruterapi spa terlatih antara keistimewaan yang akan diterima mereka yang mengikuti latihan.

Mereka hanya perlu menghabiskan enam bulan latihan yang merangkumi tiga bulan teori dan tiga bulan amali di pusat latihan yang ditetapkan sebelum layak mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 2) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Setelah itu mereka akan diberi penempatan kerja selama dua tahun di spa yang dikelaskan tiga hingga lima bintang oleh KPM.

Seramai 55 peserta telah dilatih sejak program itu dilancarkan Januari lepas dan menyasarkan untuk melatih seramai 150 orang pada tahun ini di lima pusat latihan yang ditetapkan.

"Ketika menjalani latihan amali lagi mereka akan menerima elaun sebanyak RM1,000 dan setelah bekerja sepenuh masa, kebiasaanya gaji yang diberi kepada juruterapi spa junior bermula dari RM1,200 hingga RM1,800 mengikut penarafan bintang spa tempat mereka bekerja.

"Selain itu terdapat juga majikan yang memberi kemudahan lain seperti pakaian seragam, perlindungan insurans, komisyen, tempat tinggal. Ini akan dapat membantu mempertingkatkan diri serta menambah baik kehidupan yang menjadi matlamat program ini," katanya.

CARA MEMOHON

Tidak memerlukan sebarang kelulusan akademik, hanya dengan sedikit perwatakan dan penampilan yang bersesuaian, mereka yang berkelayakan terutama datang dari keluarga berpendapatan rendah di bawah RM3,000 sebulan layak memohon.

Ia terbuka kepada mereka yang berminat, berumur 18 hingga 40 tahun, lulus pemeriksaan kesihatan serta sanggup menandatangani perjanjian untuk bekerja selama dua tahun dengan bakal majikan.

"Mereka layak mendapat biasiswa penuh kerajaan yang membayar segala yuran dan pembiayaan sebanyak RM7,000 sepanjang kursus tersebut yang merangkumi yuran pembelajaran, pemeriksaan kesihatan, makan minum, penginapan dan pengangkutan," katanya.

Kementerian Pelancongan juga menyediakan biasiswa separuh kerajaan yang terbuka kepada mereka yang mempunyai pendapatan lebih RM3,000 sebulan yang mana kerajaan menyediakan RM4,000 manakala RM2,500 dibayar oleh bakal majikan yang memerlukan khidmat mereka. Pelatih hanya perlu membayar RM500 sebagai yuran komitmen untuk mengikuti kursus tersebut.

Sama seperti syarat mereka yang mendapat biasiswa penuh, pelatih juga perlu menandatangani kontrak dengan bakal majikan selama dua tahun.

Sementara itu, bagi mereka yang tidak mahu menandatangai kontrak kerja dan hanya memerlukan sijil sebagai juruterapi spa, boleh membayar sendiri yuran kursus sebanyak RM7,000.

"Mereka yang membayar sendiri tidak dikenakan sebarang syarat kontrak pekerjaan. Hanya perlu berumur 18 tahun dan lulus pemeriksaan kesihatan," katanya.

Menurut Nadia, prospek sebagai juruterapi tidak hanya terhenti di situ sahaja, sebaliknya mereka boleh memajukan diri dengan mengikuti kursus lanjutan untuk menjadi juruterapi senior, penyelia spa, pengurus spa, pengarah spa serta pemilik spa.

Mereka yang berminat boleh memohon dengan mengisi borang di laman web www.motour.gov.my
- BERNAMA

Isnin, Oktober 15, 2012

Latihan khas siswazah menganggur

Siswazah menganggur kini diberi peluang unik mengikuti program latihan selama enam minggu tajaan kerajaan bagi membantu mereka mendapatkan pekerjaan.

Dikenali sebagai Graduate Career Accelerated Programme (GCAP), program tersebut menawarkan latihan peningkatan kemahiran untuk mencerahkan peluang siswazah diambil bertugas dalam industri perkhidmatan.

Program latihan berkenaan mengutamakan pemberian pengalaman dan bersifat interaktif untuk memberi kelebihan istimewa kepada peserta, di samping mempersiap lepasan universiti untuk menghadapi cabaran pasaran kerja yang amat berdaya saing kebelakangan ini.

GCAP ditaja TalentCorp iaitu sebuah badan di bawah Pejabat Perdana Menteri yang diurus My-Partners Sdn. Bhd. dan disusun serta dilaksanakan oleh Scicom Education Group.

- KOSMO!

Jumaat, Oktober 12, 2012

Ramai Pekerja Hidapi Penyakit Akibat Stres

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengenal pasti hilang pendengaran, penyakit kulit dan penyakit paru-paru sebagai penyakit berbahaya yang sering menghantui kalangan pekerja di abad ini. Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata pekerjamenghidapi tiga penyakit itu akibat tekanan atau stres di tempat kerja. "Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) juga telah mengenal pasti tekanan di tempat kerja sebagai satu bencana paling utama dan perlu ditangani dengan segera," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Seminar Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2012 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, Khamis. Menurutnya penyakit hilang pendengaran disebabkan bunyi bising di tempat kerja mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 867 kes pada tahun lepas tetapi menurun 26 peratus berbanding 1,173 kes pada 2010 . Beliau berkata mengikut Akta Kilang dan Jentera 1967, Peraturan-peraturanKilang dan Jentera (Pendedahan Bising), pekerja tidak boleh terdedah melebihi 90desibel secara berterusan atau melebihi had-had yang dinyatakan di dalam JadualPertama atau melebihi dos bising harian serta tiada pekerja boleh terdedahkepada paras bising melebihi 115 decibel pada bila-bila masa. Menurut beliau sebanyak 102 kes penyakit kulit dilaporkan tahun lepas menurun empat peratus berbanding 106 kes pada 2010, manakala penyakit paru-paru mencatat 101 kes tahun lepas iaitu meningkat 37 peratus, berbanding 63 kes pada 2010. Pekerja yang terdedah kepada bahan kimia, habuk kayu yang membawa kepada alahan atau keradangan kulit akan mengakibatkan penyakit kulit kepada pekerja, katanya. Maznah berkata daripada 1,198 kes yang dilaporkan tahun lepas, sektorpengilangan mencatatkan bilangan penyakit dan keracunan pekerjaan disiasat paling banyak iaitu 559 kes diikuti sektor kemudahan (92 kes) dan sektor perkhidmatan awam (81 kes). Beliau berkata rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial menunjukkan bilangan kes yang terlibat dengan bencana pekerjaan dan penyakit pekerjaan meningkat setiap tahun. Sehubungan itu, beliau mencadangkan pengamal bidang kesihatan perubatanmewujudkan persatuan khas bagi menjaga kebajikan pekerja selain meningkatkanusaha menerapkan ilmu pengetahuan, kepekaan tentang keselamatan kesihatanpekerjaan dan melaporkan kes bencana tempat kerja dan penyakit pekerjaan kepadaJKKP. Seminar tersebut dianjurkan JKKP dengan kerjasama HKL dalam usaha mengurangkan kemalangan di tempat kerja melalui pendedahan mengenai hazad kesihatan selain mengenal pasti penyakit dan keracunan pekerjaan yang sering berlaku di tempat kerja. - BERNAMA

Recent Posts