Memaparkan catatan dengan label Kereta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kereta. Papar semua catatan

Rabu, Disember 09, 2020

Honda CR-V baharu catat lebih 1,700 tempahan


 

Honda Malaysia menerima lebih 1,700 unit tempahan untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) CR-V Baharu dengan peningkatan 180 peratus selepas sebulan ia diperkenalkan ke dalam pasaran.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toichi Ishiyama berkata, model 1.5 TC-P 2WD adalah paling laris dengan menyumbang 46 peratus jumlah tempahan keseluruhan.

"Wilayah tengah mencatatkan jumlah tempahan tertinggi sebanyak 45 peratus tempahan manakala selatan dan utara masing-masing dengan 20 dan 19 peratus.

"Daripada jumlah itu 30 peratus memilih warna Olive Metalik Gelap sebagai pilihan popular dan setakat ini sebanyak 1,300 unit CR-V baharu sudah diserahkan kepada pembeli," katanya dalam kenyataan hari ini.

CR-V yang turut membawa maksud 'Comfortable Runabout Vehicle' adalah model pemasangan tempatan (CKD) pertama yang diperkenalkan oleh Honda Malaysia pada 2003.

Ia juga model pertama Honda di negara ini yang menerima sistem keselamatan termaju Honda Sensing sebelum dipasang pada model-model lain selepas itu.

Sesuai sebagai kenderaan SUV serba guna ia juga kini dilengkapi Honda LaneWatch, prestasi dinamik dengan pilihan sistem pacuan empat roda (4WD) selain ruang dalaman yang luas serta selesa dengan kapasiti but 522 liter sehingga 1,084 liter sebaik kerusi belakang dijatuhkan.

Model ini tampil dengan gril kemasan hitam serta lampu hadapan signatur Honda dan bampar hadapan dengan gaya sayap baharu 'fascia' krom.

Bahagian belakang tampil dengan krom gelap, lampu belakang 'smoke', bampar dengan ekzos berkembar dan rim aloi 18 inci dwi-tona rekaan terkini.

Selain pintu but dengan kuasa elektrik, CR-V Baharu juga didatangkan dengan Penghidup Enjin Kawalan Jauh membolehkan pemiliknya menghidupkan enjin dan pendingin hawa dari luar tanpa perlu membuka kunci kenderaan.

"Tempoh pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini adalah tempoh terbaik pembeli mendapatkan model Honda CR-V Baharu pada harga yang menarik serta tempahan boleh dilakukan di kesemua pengedar sah Honda di seluruh negara yang turut mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk kesihatan dan keselamatan pelanggan," katanya.

Lima pilihan warna ditawarkan iaitu Perak Metalik Lunar, Merah Mutiara Passion, Steel Metalik Modern, Olive Metalik Gelap dan Putih Mutiara Platinum.

Untuk pasaran Malaysia, Honda CR-V ditawarkan dengan tiga varian pada harga RM139,912 (2.0L 2WD), RM157,615 (1.5L TC-P 2WD) dan RM162,910 (1.5 TC-P 4WD) (semua harga atas jalan tanpa insurans dengan pengecualian cukai jualan).

Sumber : Harian Metro

 

Jumaat, Oktober 02, 2020

Nombor plat kereta J4 dijual lebih RM2 juta

 

Sekeping nombor plat kenderaan di Pulau Jersey, dalam jajahan Britain yang menampilkan dua karakter iaitu J4, mencatatkan harga jualan £380,000 (RM2.03 juta)  dan dibeli oleh seorang pembida misteri baru-baru ini, lapor portal berita Solent News.

Nombor plat J4 itu merupakan nombor pendaftaran bagi kenderaan jenis Chrysler Vo­yager milik Leftenan Gabenor Jersey, Sir Stephen Dalton yang mewakili Ratu Elizabeth II.

Ia juga merupakan nombor plat satu angka pertama yang dikeluarkan oleh pulau tersebut.

Meskipun nombor plat berharga lebih RM2 juta itu sudah dijual, namun mengikut undang-undang pendaftaran di Kepulauan Channel, semua plat yang bermula dengan huruf J adalah hak milik kerajaan.

Jersey merupakan salah sebuah pulau di Kepulauan Channel dan terletak dalam jajahan Britain.

Pembeli nombor plat tersebut hanya mendapat hak untuk mengunakan nombor pendaftaran berkenaan pada kereta milik persendirian.

Menurut pelelong bertanggungjawab menganjurkan acara lelongan tersebut, Simon Drieu, harga nombor plat kereta bergantung kepada bilangan angka yang tertera.

“Angka lebih kecil pada nombor plat menyebabkan nilainya bertambah mahal,” kata Drieu lagi.

Harga nombor plat tersebut juga berjaya memasuki carta 10 nombor plat harga paling mahal di Britain.

Pemegang ‘takhta’ carta tersebut adalah nombor plat 25 O yang dijual pada harga £518,480 (RM2.77 juta) dalam 2014.

Nombor plat termahal dunia ialah D5 yang didaftarkan di Dubai berharga £7,324,207 (RM39.17 juta)

Sumber : Agensi

 

Khamis, Oktober 01, 2020

SUV Citroen C3 Aircross

 

CITROEN C3 Aircross mula diperkenalkan di Malaysia pada bulan April tahun lalu sebagai sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Crossover sempena ulang tahun ke-100 Citroen.

Rupa paras yang ranggi dengan rekaan tersendiri mungkin agak pelik bagi sesetengah orang namun, bagi mereka yang meminati hasil sentuhan dari Perancis itu pasti tahun menilainya dari sudut berbeza.

Model ini juga amat sesuai bagi mereka yang meminati suatu kenderaan berbeza, contohnya dengan opsyen pilihan warna berbeza untuk pasaran tempatan.

Pada masa sama, pembeli juga berpeluang memilik pakej warna bumbung dengan trim berbeza. Baru-baru ini, penulis diberi peluang oleh Citroen Malaysia melalui Kumpulan Naza untuk memandu uji model berkenaan selama beberapa hari.

Bukan SUV konvensional

Pada kesempatan yang diberi, saya cuba mendalami dan meneroka apa keistimewaan pada model pertama C3 Aircross ini.

Kita bermula pada bahagian luaran SUV. Bahagian depan termasuk lampu utama terletak di bahagian bampar dengan satu bingkai berwarna oren yang kelihatan sedikit pelik bagi kebanyakan pengguna di Malaysia.

Bagaimanapun, konsep seumpama ini lazimnya dapat disaksikan pada model Jeep Cherokee dan Hyundai Santa Fe.

Rekaan di bahagian belakang pula menyaksikan aplikasi lampu berbentuk tiga dimensi, bampar warna gelap dengan difuser crossover. Model ini juga didatangkan spoiler berwarna gelap.

Beralih ke bahagian sisi, kita mula dari atas rel bumbung berwarna oren, cermin freeglass beserta jalur oren dan rim 4ever sebesar 17 inci.

Sebaik membuka pintu dan melangkah ke dalam kabin, anda akan menyaksikan rekaan yang agak ringkas tetapi cukup teliti lebih-lebih bahagian papan pemukanya tidak sarat dengan susunan butang.

Apa yang saya maksudkan ialah jika pemandu mahu mengawal suhu pendingin hawa, tetapan fungsi itu boleh dibuat dengan menggunakan skrin pelbagai guna berukuran tujuh inci.

Corong pendingin hawa ini juga berkonsep minimalis dengan mengetengahkan reka bentuk bulat selain aplikasi tona oren untuk menceriakan ruang kokpit SUV ini.

Harus diakui, SUV ini tidak sebesar model pesaing lain tetapi kenderaan ini nampaknya tidak memenatkan jika dipandu jauh.

Hal ini disebabkan model C3 Aircross ini didatangkan dengan Citroen Advanced Comfort yang mengutamakan soal keselesaan pemandu mahupun penumpang.

Enjin 1.2 liter turbo

Di bawah hud, enjin tiga silinder 1.2 liter dengan bantuan pengecas turbo yang digunakan sebagai nadi penggerak ternyata agak menakjubkan dan tidak menghampakan penulis.

Jentera SUV ini tidak rasa seperti satu bebanan semasa mendaki kawasan berbukit atau sewaktu menekan pedal untuk memotong kenderaan lain di laluan lurus.

Bebanan kereta ini dikurangkan kerana SUV ini menggunakan bahan binaan ringan untuk membantu mengurangkan berat kasar dan antara komponen dimaksudkan ialah cermin freeglass.

Enjin yang dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan itu membantu SUV ini mengekstrak kuasa maksimum 112PS pada 5,500rpm dan tork puncak 205Nm pada pusingan enjin seminit serendah 1,500rpm.

Kelajuan maksimum yang tercatat di atas kertas ialah 200 kilometer sejam (kmj) dan pecutan dari keadaan pegun hingga 100 kmj hanya mengambil masa 10.4 saat.

Penggunaan bahan api juga ternyata amat menjimatkan sepanjang sesi pandu uji. Saya mendapati untuk perjalanan 100 km, SUV ini hanya memerlukan bekalan minyak petrol 6.5 liter sahaja.

Sebagai makluman, C3 Aircross didatangkan dengan tangki petrol berkapasiti 45 liter.

Sarat teknologi keselamatan

Ruang simpanan but adalah sebesar 410 liter dan boleh ditingkatkan kepada 520 liter dengan hanya menurunkan kerusi barisan belakang.

Aspek keselamatan SUV ini tidak diabaikan. Citroen memastikan kabin SUV ini dilengkapi enam beg udara dan pemandu dapat menikmati banyak ciri teknologi keselamatan termaju seperti Program Kestabilan Elektronik (ESP), Sistem brek antikunci (ABS), Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek Kecemasan (EBA).

C3 Aircross juga menerima pengiktirafan penarafan lima bintang pada ujian Euro NCAP. Selain pilihan warna Natural White seperti model yang dipandu uji penulis, pelanggan ada tiga warna pilihan lain iaitu Soft Sand (kelabu lembut), Passion Red (merah) dan Breathing Blue (biru).

Citroen C3 Aircross ini ditawarkan pada harga RM110,140.69 tidak termasuk insurans untuk kenderaan persendirian. Fakta menarik bagi model ini ialah sejak dilancarkan, Citroen Malaysia sudah menjual lebih 60 unit. Majoriti pembeli model ini adalah daripada bahagian utara Semenanjung Malaysia.

Info Citroen C3 Aircross

Enjin : 1.2 liter turbo
Kapasiti enjin: 1,199cc
Transmisi: Enam kelajuan automatik dengan Steptronik
Kuasa maksimum: 112PS @ 5,500 rpm
Tork maksimum: 205Nm @ 1,500 rpm
Harga: RM110,140.69 (tidak termasuk insurans)

 

 

 

 

 

Khamis, September 17, 2020

Ekzos bocor mungkin penyebab empat sahabat lemas gas karbon monoksida

 

Kebocoran ekzos mungkin menjadi punca empat sahabat  mengalami keracunan gas karbon monoksida ketika sedang berehat di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV).

Perkara itu disahkan juruteknik syarikat kenderaan Honda cawangan Bukit Mertajam di sini, Ng Teik Khuan ketika melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, juruteknik itu berpendapat berlaku kebocoran selepas mendapati ekzos tersebut mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat ketika melakukan pemeriksaan.

“Akibat kebocoran itu menyebabkan asap disedut masuk ke dalam ruang kenderaan MPV tersebut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian tengah malam tadi, tiga sahabat maut manakala seorang kritikal selepas dipercayai lemas gas karbon monoksida ketika sedang berehat di dalam kenderaan MPV jenis Honda Odyssey di sebuah stesen minyak di Samagagah dekat sini.

Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Ayuni Shazwanie Shabri meninggal dunia di HSJ.
Nor Adilah Mohd. Safwan pula disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera, Lumut, Perak kira-kira pukul 4.20 petang manakala adik kembarnya, Nor Aqilah dilapor kritikal dan dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Kesemua mereka yang berusia 21 tahun berhenti rehat di stesen minyak itu ketika dalam perjalahan pulang ke rumah di Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak di sini. 

 Sumber : Utusan

Rabu, September 16, 2020

Tempahan Proton X50 dibuka

 

PROTON Holdings Bhd (PROTON) akhirnya memperkenalkan secara rasmi model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharunya, PROTON X50 kepada media hari ini.

Ia sekali gus mengakhiri penantian rakyat Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat SUV kedua PROTON itu yang mana ia akan dipamerkan di bilik pameran terpilih bermula Sabtu ini.

Pelanggan yang berminat boleh segera membuat tempahan dengan bayaran tempahan hanya RM500 bermula esok di mana-mana cawangan pengedar PROTON di seluruh negara.

PROTON X50 dipercayai mampu memberikan saingan sengit kepada SUV lain dalam kategori segmen B terutamanya tawaran harga jualan yang dijangkakan amat kompetitif.

Biarpun harga rasminya masih belum didedahkan kepada umum, namun telah tular dimedia sosial bahawa SUV itu mungkin ditawarkan pada harga bermula kurang daripada RM80,000.

Proton X50 didatangkan dengan empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship dan mempunyai enam warna pilihan iaitu snow white, armour silver, jet grey, ocean blue, passion red dan citric orange.

Bagi tiga varian pertama,setiap model dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo manakala varian flagship dikuasakan enjin 1.5 liter TGDI dan digandingkan bersama transmisi 7-kelajuan DCT.

Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi sehingga enam beg udara, kamera undur, kamera 360 darjah untuk varian premium dan flagship serta advanced driver assistance system yang ditawarkan untuk varian flagship sahaja.

Model berkenaan juga didatangkan dengan paparan skrin sentuh bersaiz antara lapan hingga 10.25 inci mengikut varian dan boleh dihubungkan dengan internet menggunakan eSim.

Antara ciri baharu menarik lain yang ditawarkan ialah pengguna boleh menghidupkan enjin dan penyaman udara di telefon pintar mereka menggunakan aplikasi PROTON Link.

Sumber : Berita Harian

Isnin, Julai 03, 2017

Perodua Bakal Keluar Beberapa Model Baharu Antara 2017-2021



Perusahaan Automobil Kedua (Perodua) merancang mengeluarkan beberapa model baharu kenderaan jimat minyak (EEV) untuk terus kekal bersaing dalam segmen kereta kompak menerusi rancangan lima tahun 2017-2021.

Pemangku Pengurus Besar Kanan Perodua Manufacturing Sdn Bhd, Mohd Saifuzzaman Mohammad berkata perancangan juga bagi memenuhi permintaan ke atas kereta kompak jimat minyak dalam tempoh tersebut.

"Saya tidak boleh bagi tahu (model yang akan dikeluarkan) sekarang kerana ini strategi perniagaan, namun model-model baharu ini akan lebih berkualiti, murah, lancar dan jimat minyak," katanya.

Beliau ditemui selepas membuat penyerahan rasmi lima unit mesin perkomputeran (CNC) terpakai pembuatan engin kereta kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang diterima oleh Naib Canselornya, Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal di Kampus Uniciti, Sungai Chuchuh, Rawang.

Mohd Saifuzzaman berkata pemilihan model Bezza yang meneirma penarafan lima bintang Asean NCAP baru-baru ini dan model Axia yang mendapat sambutan hangat pembeli, akan dipertingkatkan.
Mengenai CNC yang disumbangkan itu, beliau berkata dalam jangka masa panjang fungsi asas mesin tersebut dalam industri automotif, relevan untuk satu jangka masa yang agak panjang.

"Kami telah memiliki beberapa mesin baharu bagi mengeluarkan model baharu, namun mesin ini sangat berguna untuk tujuan pendidikan kerana pelajar dapat meyesuaikan diri dengan bidang yang diceburi kelak," katanya.

Menurut Mohd Saifuzzaman harga mesin baharu antara RM800,000 dan RM1.3 juta seunit dan tapi bagi harga terpakai termasuk kos penghantaran, hanya RM330,000.

Sementara itu Zul Azhar berkata hubungan strategik UniMAP-Perodua sejak lima tahun lepas telah meningkatkan nilai kebolehpasaran graduannya selain mereka dapat menjalani latihan praktikum dalam suasana sebenar industri automotif.

"Cara ini akan melahirkan graduan yang holistik, relevan dan kompeten kerana keupayaan mereka menerap nilai-nilai yang diperlukan oleh industri menerusi latihan amali," katanya" katanya.

Zul Azhar mencadangkan syarikat automotif menjalin kerjasama lebih erat dengan UniMAP bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan.

- Bernama

Isnin, Oktober 05, 2015

Cara Tukar Hakmilik Kenderaan


Mulai 1 April 2014, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menguatkuasa peraturan baru untuk urusan tukar hakmilik kenderaan. Semua pemilik kenderaan (penjual kenderaan) dan pemilik baru (pembeli kenderaan) wajib hadir sendiri ke pejabat JPJ untuk membuat pengesahan biometrik (cap jari). Tidak boleh menghantar wakil. Ini adalah kerana:
  • untuk mengurangkan kes-kes penipuan dalam urusan penukaran hakmilik yang telah meningkat
  • JPJ sudah menambahbaik sistem mereka dengan aplikasi biometrik
  • untuk mengurangkan urusan tidak perlu seperti mendapatkan pengesahan pesuruhjaya sumpah.
Penggunaan borang pengesahan kad pengenalan (TM-AB) dan juga surat akuan berkanun pesuruhjaya sumpah sudah tidak perlu.

Proses Tukar Hakmilik Kenderaan


Sila baca dan ikuti panduan ini dengan teliti kerana proses tukar hakmilik kenderaan sudah tidak boleh menggunakan ejen atau wakil.

  • Pastikan kenderaan adalah mengikuti standard asal seperti dalam geran kenderaan. Kesemua modifikasi sudah dibuang atau telahpun mendapat kelulusan JPJ. Warna kenderaan juga mesti ikut seperti yang dinyatakan dalam geran kenderaan.
  • Pastikan tiada gangguan pada nombor casis dan enjin kenderaan.
  • Pastikan anda tidak menggunakan bahagian “kereta potong” atau potong sambung bahagian kenderaan.
  • Pastikan cermin kenderaan mengikuti garis panduan cermin gelap JPJ.
  • Bawa salinan mykad untuk urusan dengan JPJ untuk penjual dan pembeli.
  • Bawa geran kereta / perakuan pendaftaran kenderaan (JPJK2)
  • Mula-mula sekali, pergi ke PUSPAKOM dan buat pemeriksaan untuk tukar hakmilik kenderaan (Caj RM30).
  • Anda akan diberi satu laporan pengesahan tukar hakmilik kenderaan (VR1) yang sah untuk tempoh 1 bulan sahaja.
  • Pergi ke syarikat insuran untuk membeli atau menukar insuran kereta baru atas nama pembeli baru berkuatkuasa pada hari tersebut. Anda tidak boleh tukar hakmilik kenderaan jika pembeli tiada insuran kenderaan.
  • Pergi ke JPJ untuk urusan tukar hakmilik kenderaan secara sukarela. Kedua-dua penjual dan pembeli kena hadir.
  • Dapatkan surat e-Hakmilik pembatalan tuntutan hakmilik bank, jika belum berbuat demikian. Geran asal kenderaan akan dicop batal hakmilik berdaftar pada ruangan depan geran kenderaan.
  • Apabila ke Pejabat JPJ, ambil 2 salinan borang senarai semak (TM-1) dan 2 salinan borang (JPJK3). Isi borang dengan lengkap dan harus ditandatangan oleh penjual dan pembeli.
  • Proses menampal salinan mykad di atas borang TM-AB sudah tidak diperlukan lagi kerana JPJ menggunakan sistem biometrik. 
  • Ambil nombor giliran dan tunggu, sampai giliran anda, bayaran caj RM100 dikenakan.
  • Pembeli harus semak maklumat nama, alamat dan nombor mykad diruangan pertukaran-pertukaran milikan dan alamat sebelum tandatangan geran kereta (JPJK2) sebagai pemilik baru.

Sumber



Isnin, Mac 19, 2012

Mara tawar 38,952 tempat di 273 institusi bagi sesi pengambilan Julai 2012

KUALA LUMPUR 17 Mac - Mara menawarkan sebanyak 38,952 tempat kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pelajaran di 273 institusi pendidikannya bagi sesi pengambilan Julai ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ia termasuk Kolej Profesional Mara (KPM) dengan 2,052 tempat, Institut Kemahiran Mara (2,481), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (799), German Malaysia Institute (450), Universiti Kuala Lumpur (4,950) dan GiatMARA (22,800).

Katanya, kesemua institusi tersebut mempunyai sistem latihan kemahiran lengkap dan menyeluruh yang menawarkan pelbagai program, sesuai dengan kelayakan lepasan SPM dan STPM seluruh negara.

"Kita mahu memastikan pelajar yang layak sentiasa mempunyai peluang untuk terus melanjutkan pelajaran bukan hanya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA)," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara 2012 di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, Mara kini berusaha menempatkan pelajar yang menamatkan pengajian di luar negara bekerja di syarikat terkemuka di negara ini dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Bhd. (TalentCorp).

Mohd. Shafie berkata, menerusi hubungan strategik itu, pelajar tajaan Mara diharap dapat menyumbang guna tenaga terbaik bagi menjayakan pembangunan negara berlandaskan Pelan Transformasi Kerajaan dan Ekonomi.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, karnival itu menjanjikan 15,000 peluang pekerjaan oleh 50 majikan yang berdaftar dengan JobsMalaysia.

- MINGGUAN MALAYSIA

Recent Posts