Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kemalangan. Papar semua catatan

Rabu, November 21, 2012

Kamera AES diletak di 'kawasan hitam'

Semua 831 lokasi pemasangan kamera sistem penguatkuasaan automatik (AES) disahkan sebagai kawasan hitam atau kawasan yang mencatatkan kadar kemalangan tertinggi di negara ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jaafar Mohamed kepada BH semalam, sekali gus menafikan dakwaan lokasi pemasangan kamera itu sengaja diwujudkan untuk memerangkap pengguna jalan raya.

Beliau berkata, senarai kawasan berbahaya itu diperoleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Daripada senarai itu, mereka lakukan penyelidikan dan mengenal pasti 831 lokasi yang dianggap paling kritikal kerana kadar kemalangan yang lebih tinggi berbanding kawasan lain, katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas keraguan sesetengah pihak mengenai pemilihan lokasi pemasangan kamera berkenaan yang dikatakan hanya bertujuan memerangkap pengguna jalan raya.

Jaafar berkata, walaupun kawasan itu dikenal pasti oleh MIROS, pemilihan akhir dilakukan kerajaan selepas mengambil kira laporan kadar kemalangan yang disediakan oleh PDRM.

Jadi dakwaan lokasi itu direka untuk memerangkap pengguna jalan raya supaya disaman memang tidak tepat dan sangat tidak berasas.
Semua maklumat itu dibuat berdasarkan data kemalangan dari simpanan PDRM, katanya.

Pemasangan kamera AES sehingga kini mendapat maklum balas negatif dari orang ramai walaupun keberkesanannya dalam mengurangkan kemalangan dan meningkatkan tahap keselamatan di jalan raya telah terbukti.

Satu kajian keselamatan jalan raya peringkat global yang dijalankan oleh Perancis mendapati penggunaan kamera AES mampu mengurangkan kadar kemalangan sehingga 48 peratus berbanding negara yang tidak menggunakan sistem itu.

- BERITA HARIAN

Sabtu, November 10, 2012

22,054 saman lampu isyarat

Warga kota di Lembah Klang sanggup membazirkan wang mereka berjumlah RM6.6 juta hanya kerana sikap tidak sabar menunggu di lampu isyarat.

Sikap mereka itu menyebabkan polis Kuala Lumpur mengeluarkan 22,054 saman untuk tempoh Januari hingga September tahun ini kerana kesalahan melanggar lampu isyarat.

Bagi setiap kesalahan lampu isyarat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, setiap pesalah trafik dikenakan denda RM300.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, untuk tempoh sama tahun lepas, sebanyak 35,185 saman dikeluarkan bagi kesalahan melanggar lampu isyarat menjadikan jumlah saman RM10.55 juta.

"Ramai pemandu menganggap remeh terhadap menghormati lampu isyarat namun hakikatnya ia menjamin keselamatan pemandu dan melancarkan laluan trafik di ibu negara agar jalan raya tidak sesak sepanjang masa," katanya kepada Bernama.

Rusly berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu bukan saja mengundang bahaya kepada pemandu yang melanggar lampu isyarat tetapi juga kepada pemandu lain.

"Ramai orang tak faham, lampu isyarat kuning bukan bermaksud anda perlu meningkatkan kelajuan, tetapi ia bermaksud anda perlu bersedia untuk berhenti, perlahankan kenderaan atau lebih elok, terus berhenti," katanya.

Beliau berkata, saman-saman yang dikeluarkan itu berdasarkan rakaman kamera yang diletakkan di persimpangan lampu isyarat dan oleh anggota trafik yang ditempatkan mengawal lalu lintas di sekitar ibu kota.

- KOSMO!

Sabtu, Oktober 27, 2012

Persepsi salah terhadap Sistem Penguatkuasaan Automatik AES


PEMASANGAN kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengawal tingkah laku dan pemanduan melebihi had laju dalam kalangan pengguna jalan raya tiba-tiba menimbulkan polemik.

Ia menjadi kontroversi apabila ada pihak beranggapan sistem itu menyebabkan rakyat terbeban dengan belenggu saman. Lebih hangat apabila isu ini telah dijadikan modal kempen politik yang mungkin tidak menyelesaikan isu kemalangan jalan raya itu sendiri.

Tidak dapat dipastikan sama ada kamera ini yang bermasalah atau kita mempunyai persepsi salah terhadap budaya selamat di jalan raya.

Cuba fikirkan, mengapa ketika kita memandu di negara lain yang ketat peraturan lalu lintas, kita boleh mematuhi peraturan yang dikenakan, tetapi kita seolah-olahnya tidak dapat menerimanya di negara kita sendiri.

Benarlah, sistem AES akan menyebabkan lebih ramai pengguna yang akan disaman, khususnya apabila ada yang memandu dengan kelajuan melebihi had yang dibenarkan.

Ia mungkin menyebabkan sebahagian pengguna jalan raya, khususnya mereka yang berpendapatan rendah akan terbeban dengan sistem ini.

Bagaimanapun, kita mungkin perlu juga melihat kepada beban lain yang mungkin tidak disedari. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dalam kajiannya merekodkan bahawa terdapat lebih 400,000 kes kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2010.

Pada tahun yang sama, dilaporkan sebanyak 6,872 kes kematian kerana kemalangan jalan raya.

Kes kemalangan jalan raya semasa pergi dan pulang daripada kerja juga nampaknya meningkat. Daripada lebih kurang 17,000 kes pada tahun 2001, ia mencecah lebih 22,000 kes pada tahun 2010.

Impak daripada kemalangan jalan raya ini mungkin bukan sedikit. Ia memberi kesan kepada individu, keluarga dan negara. Akibat kemalangan, ada yang mungkin berubah daripada manusia normal kepada individu kelainan upaya.

Kesulitan hidup

Ini akan menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan. Ada pula yang mungkin meninggalkan balu dan anak yatim di rumah sekali gus berdepan pula dengan kesulitan hidup yang lain.

Semua ini sebenarnya antara kesulitan yang terpaksa dihadapi hanya kerana kecuaian memandu di jalan raya.

Dalam kebanyakan kes kemalangan jalan raya, ia sebenarnya bermula dengan sikap manusia itu sendiri. Kemalangan berlaku kerana ada segelintir pengguna yang tidak mengambil berat terhadap aspek keselamatan dan tidak bertimbang rasa terhadap pengguna yang lain.

Sikap buruk yang ada pada segelintir individu ini akan menyebabkan orang lain turut menjadi mangsanya.

Pemasangan kamera AES tidak menyelesaikan semua masalah kemalangan di jalan raya. Tidak semestinya juga memandu laju itu satu-satunya sebab kemalangan di jalan raya.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya, ia sedikit sebanyak membantu kita mengubah sikap pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan.

Untuk permulaan, ia mungkin sedikit 'mengganggu' kehidupan kita yang biasanya mungkin memandu tanpa mengikut peraturan. Namun, untuk jangka masa panjang, ia mungkin membantu mewujudkan persepsi baharu kita terhadap budaya selamat di jalan raya.

Kajian-kajian menunjukkan bahawa hanya ada satu cara untuk menghidupkan budaya selamat ini. Ia mesti bermula dengan polisi dan penguatkuasaan.

Di kebanyakan negara maju misalnya di Australia, pemasangan kamera AES ini bukanlah merupakan isu yang besar. Kita akan melihat begitu banyak kamera yang dipasang, bukan sahaja di lebuh raya, malah di kebanyakan lampu isyarat di tengah bandar.

Walau bagaimanapun, kamera ini bukan masalah yang besar kepada masyarakat yang mengutamakan peraturan dan keselamatan jalan raya.

Menegur pengguna

Malah, orang awam sendiri boleh melaporkan kepada pihak polis sekiranya ada pemandu yang melakukan kesalahan, misalnya tidak memakai tali pinggang keledar atau memandu secara cuai. Orang awam juga boleh menegur pengguna yang lain sekiranya ada yang tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Negara-negara maju ini melaksanakan undang-undang yang jauh lebih ketat daripada apa yang cuba kita terapkan.

Tidak hanya had kelajuan maksimum, bahkan kenderaan tidak boleh diparkir sesuka hati. Kereta yang diparkir di tepi jalan tidak boleh menghadap arah yang bertentangan dengan arah jalan.

Ada kawasan-kawasan tertentu, kenderaan hanya boleh diparkir tidak lebih daripada 15 minit. Itu belum termasuk udang-undang yang menghalang merokok di dalam kenderaan sekiranya ada kanak-kanak bersama di dalamnya.

Bagaimanapun, budaya selamat dan berhemah ini belum lagi muncul dalam budaya kita. Tatkala orang lain berlumba-lumba untuk memastikan masyarakatnya mematuhi peraturan di jalan raya, kita pula masih berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling hebat di jalan raya dengan memandu secara laju dan membahayakan.

Persepsi salah kita terhadap budaya selamat itulah sebenarnya menjadi punca mengapa ada pihak yang tidak mampu menerima pelaksanaan peraturan yang diperkenalkan oleh pihak berwajib.

Satu-satunya cara untuk kita semua mengelakkan disaman ialah mematuhi peraturan jalan raya.

- KOSMO!

Isnin, Ogos 27, 2012

Penjaga Gol Apek terlibat kemalangan di Bachok


KOTA BHARU - Penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau Apek berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya terbabit dalam kemalangan ketika keluar dari simpang di Kampung Badak, Bachok dekat sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Khairul Fahmi yang memandu kereta jenis Audi milik bapanya, Che Mat Hussain hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanan.

Khairul Fahmi ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam memberitahu, kemalangan tersebut berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas pulang beraya di rumah saudaranya di Bachok.

"Kemalangan tersebut berlaku ketika saya hendak keluar dari simpang dan berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua MyVi.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana terselamat dan ia tidak melibatkan kecederaan serius kepada diri saya," ujarnya.

- KOSMO!

Ahad, Ogos 12, 2012

Negara Rugi RM10 Bilion Setahun Akibat Kemalangan Jalan Raya

Negara mengalami kerugian lebih RM10 bilion setiap tahun akibat 7,000 kematian dalam kemalangan di jalan raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata ini kerana kebanyakan mereka yang terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan kematian adalah dari golongan produktif iaitu yang berusia antara 15 hingga 30 tahun yang mana mereka ini mampu memberikan sumbangan kepada kerajaan.

"Purata kematian membabitkan satu kematian mengakibatkan kerugian RM1.43 juta iaitu jumlah yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan kerana kita membelanjakan wang yang banyak dari mula mereka lahir, pendidikan mereka dan kos rawatan di hospital.

"Jumlah ini untuk orang biasa tidak termasuk golongan profesional kerana kerajaan juga akan kehilangan tenaga pakar yang mampu bersama-sama menjana ekonomi negara," katanya kepada pemberita di Butterworth.

Beliau ditemui selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) di Plaza Tol Sungai Dua. Turut hadir Pengarah JKJR Pulau Pinang, S. Jegan.

Nor Mohamed yang juga Anggota Parlimen Tasek Gelugor berkata jika mereka tidak meninggal dunia, kerajaan boleh menggunakan wang tersebut untuk melaksanakan pembangunan dan kemudahan asas bagi keperluan rakyat.

Sehubungan itu, katanya kemalangan boleh dielakkan jika rakyat mengambil pelbagai langkah termasuk mematuhi peraturan di jalan raya, memandu dengan berhemah dan bersabar ketika di jalan raya.

"Selain kerugian banyak wang, kerajaan juga tidak mahu keluarga menanti kepulangan kita dengan kematian dan ada yang hilang tempat bergantung serta sumber pendapatan," katanya.

Beliau berharap pengguna jalan raya berhati-hati apabila berada di jalan raya untuk pulang ke kampung dengan selamat semasa musim perayaan ini.

- BERNAMA

Ahad, Mei 13, 2012

Pemandu Malaysia Perlu Ubah Sikap

Sikap pengguna jalan raya di negara ini yang tidak sabar, kelam-kabut, suka memandu laju dan menukar lorong dengan sesuka hati, perlu diubah untuk mengurangkan kemalangan.

Anggota Majlis Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan Tan Sri Lee Lam Thye berkata kempen keselamatan jalan raya memang perlu diadakan, tetapi ia tidak akan berhasil selagi pengguna tidak mematuhi perkara asas berkaitan keselamatan dan sikap berhemah serta tidak mengubah sikap angkuh dan tidak bertanggungjawab masing-masing ketika di jalan raya.

"Mereka sedar tentang bahaya di jalan raya, tapi reaksi mereka berubah apabila mereka memandu, dan membahayakan nyawa sendiri serta nyawa orang lain apabila mereka menganggap jalan dan lebuh raya sebagai trek perlumbaan Formula 1," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Lee berkata Malaysia mengalami kerugian lebih kurang RM9 bilion setahun akibat kemalangan jalan raya melalui perbelanjaan untuk membaiki kerosakan, membayar insurans dan bil perubatan.

"Kajian menunjukkan lebih separuh daripada kemalangan jalan raya melibatkan mereka yang berusia antara 18 dan 40 tahun, yang merupakan aset penting negara," katanya.

Lee berkata pada 2010, 414,421 kes kemalangan jalan raya dilaporkan, berbanding 397,330 pada tahun sebelumnya, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus.

Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pula meningkat dua peratus kepada 6,872 pada 2010 daripada 6,745 pada 2009.

Katanya kemalangan kenderaan bermotor merupakan kes tertinggi berkaitan kemalangan dan kematian berkaitan kerja.

"Masalahnya, ada orang yang tidak pernah mengambil pengajaran daripada gambar-gambar mengerikan mengenai kenderaan yang remuk, mayat, mangsa yang mengerang kesakitan dan kepiluan yang dialami keluarga mereka," katanya.

- BERNAMA

Selasa, April 24, 2012

Pelajar UPSI hadapi masalah kemurungan

Pelajar perempuan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut selepas terjatuh dari bangunan lima tingkat di kampus itu, kelmarin, menghadapi masalah kemurungan sebelum memasuki universiti sehingga ada kala terpaksa ditemani ahli keluarganya sepanjang berada di kampus.

Sehubungan itu, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar, menafikan pelajar berkenaan menghadapi masalah akibat tekanan pembelajaran atau terkena gangguan makhluk halus di kampusnya.
“Arwah bukan menghadapi masalah ketika berada di UPSI, sebaliknya sebelum masuk universiti ini lagi.
“Sebelum ini tidak pernah ada kes pelajar menghadapi masalah akibat diganggu makhluk halus di universiti ini.

“Jika ada pelajar bermasalah, biasanya kita akan merujuk individu terbabit ke Bahagian Kaunseling dan menghubungi ahli keluarganya untuk membantu,” katanya ketika dihubungi, di Tanjong Malim, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Fatimah Mina Md Juferi, 22, dari Bakri, Muar, ditemui mati di tingkat bawah bangunan E-Learning dengan kesan luka di beberapa bahagian badan, termasuk patah rusuk kiri dan kanan, kaki kanan serta bahu kiri dan kanan.

Mayat pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak itu ditemui lengkap berpakaian dan bertudung oleh beberapa pelajar yang kebetulan melalui kawasan itu.

Junaidi sebelum ini dilaporkan berkata, arwah difahamkan mempunyai sejarah diganggu makhluk halus dan dikatakan sedang mengikuti beberapa rawatan perubatan tradisional serta Islam bagi mengatasi masalahnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nayan, berkata siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah atau orang kedua terbabit dalam kematian pelajar berkenaan.

Katanya, laporan bedah siasat juga mendapati punca kecederaan dialami mangsa sehingga menjurus kepada kematiannya adalah akibat terjatuh dari bangunan tinggi.

- BERITA HARIAN

Ahad, Mac 18, 2012

Ferrari lebih RM1 juta hangus di Lebuhraya Lekas


NILAI - Seorang lelaki hanya mampu melihat kereta Ferrari F430 bernilai lebih RM1 juta yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Kilometer 28.2, Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas) dekat Mantin di sini semalam.

Difahamkan, ketika kejadian lelaki tersebut memandu jentera mewahnya itu dalam satu konvoi kenderaan menghala ke Seremban.

Bagaimanapun, enjin kereta itu tiba-tiba mengeluarkan asap sebelum pemandunya yang berusia 50-an bertindak memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum ia terbakar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Pegawai Bomba Jayagaren Jaganatha Thevar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kes itu kira-kira pukul 10.21 pagi.

"Apabila sampai di lokasi kejadian kereta itu sudah hangus sama sekali.

"Pemandu itu terselamat apabila sempat keluar dari kenderaannya sebelum kereta itu dijilat api," katanya di sini semalam.

Menurutnya, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

- KOSMO!

Khamis, Januari 19, 2012

4 maut nahas tiga kenderaan di Terengganu


KUALA TERENGGANU 18 Jan. - Empat maut dalam satu kemalangan ngeri melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Sultan Mizan berdekatan Taman Semarak di sini petang ini.

Tiga daripada mangsa tersepit dalam kenderaan yang remuk menyebabkan pihak bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mereka.

Seorang lagi mangsa dikatakan tercampak keluar dalam nahas yang berlaku pukul 6.15 petang itu.

Empat yang maut itu ialah Nor Azmi Mat Jusoh, 21; Mohd. Zaini Abdul Razak, 43; Mohamad Faris Shaimi, 26 dan Mohd. Rizal Ibrahim, 30.

Nahas dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda yang dinaiki Mohamad Faris dan Mohd. Rizal terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta Kancil dinaiki Nor Azmi dan Mohd. Zaini.

Berikutan itu, tiga daripada mereka tersepit, manakala Mohd. Rizal pula tercampak lebih lima meter ke dalam semak di tepi jalan.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan ketiga iaitu Noraini Mohamad, 32, tidak mengalami kecederaan sebaliknya kereta jenis Proton Persona dipandunya hanya remuk di bahagian hadapan.

Noraini ketika ditemui berkata, dia sedang memandu di belakang kereta Kancil sebelum ternampak sebuah kereta Honda yang dipandu laju dari arah bertentangan.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan pulang dari bandar Kuala Terengganu ke rumah di Wakaf Tengah. Tiba-tiba saya nampak kereta Honda itu terbabas lalu 'terbang' dan merempuh kereta di depan dan kereta saya.

"Saya tergamam dan tak sempat buat apa-apa," katanya yang tidak mengalami kecederaan akibat kemalangan itu.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Abdullah Zawawi Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.26 petang dan tiba tujuh minit kemudian dengan sebuah jentera yang disertai enam anggota.

Berdasarkan keterangan polis, Nor Azmi berasal dari Felda Mengkawang, Ajil, Hulu Terengganu manakala rakannya, Mohd. Zaini pula berasal dari Ayer Keroh, Melaka.

Mohd. Rizal pula difahamkan berasal dari Baling, Kedah manakala rakannya Mohd. Faris berasal dari Perak dan kedua-duanya dipercayai tenaga pengajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gong Badak di sini.

- UTUSAN

Sabtu, Disember 03, 2011

Negara Rugi RM9 Bilion Setahun Akibat Kemalangan Jalan Raya

Negara mengalami kerugian kira-kira RM9 bilion setahun atau dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar bernilai RM528 bilion pada tahun 2010 akibat kes-kes kemalangan jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata isu keselamatan jalan raya merupakan isu sejagat dan dikenal pasti sebagai penyebab utama kematian bagi golongan di bawah umur 16 hingga 25 tahun di dunia.

Menurutnya selain mencari jalan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian, MKJR juga mampu menyumbang sehingga 2 peratus kepada pertumbuhan ekonomi negara sekiranya masalah kemalangan jalan raya dapat ditangani secara berkesan.

"Pertemuan hari ini merupakan peluang terbaik untuk melihat dan menilai semula isu-isu semasa keselamatan jalan raya termasuk kemajuan pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya 2006-2010," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) Kali Ke-52 di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MJKR Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari; Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Pengangkutan, Datuk Yap Kin Sian dan Ketua Pengarah JKJR merangkap Setiausaha Agung MKJR, Gerard Leslie Leon.

Kong berkata hasil daripada pelbagai kempen dan program kesedaran yang dijalankan secara berterusan oleh MKJR, kadar kematian jalan raya di negara menunjukkan penurunan.

Beliau berkata berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang Januari hingga September tahun ini, kadar kematian di kalangan pemandu dan penumpang kereta menurun 4.2 peratus berbanding tahun lepas.

"Bagi pejalan kaki pula, ia turun 14.6 peratus, pemandu dan penumpang bas lima peratus, manakala bagi pemandu atau penumpang van berkurangan sebanyak 24.1 peratus," katanya.

Bagaimanapun katanya kadar kematian bagi kategori penunggang dan pembonceng motosikal meningkat 5.4 peratus dan merupakan kategori terbesar yang mencatatkan kematian akibat kemalangan.

"Kadar kematian bagi tempoh Januari hingga September 2011 meningkat 1.2 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas, iaitu daripada 5,114 kepada 5,175 tahun ini," katanya.

Pada majlis yang sama hari ini, Kong meluluskan peruntukan RM140,000 kepada MKJR iaitu RM10,000 bagi setiap MKJR Negeri untuk membiayai aktiviti peningkatan kesedaran pengguna jalan raya terhadap pelaksanaan 'Automated Enforcement System (AES)' yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

- BERNAMA

Khamis, November 03, 2011

Pesawat Boeing 767 LOT selamat mendarat tanpa roda di Warsaw


WARSAW 2 Nov. - Sebuah pesawat Boeing 767 membawa seramai 231 orang selamat mendarat selepas ia mengalami kegagalan peralatan pendaratan di Lapangan Terbang Warsaw, hari ini.

Jurucakap syarikat penerbangan LOT Polish Airlines di Poland berkata, anggota bomba dan ambulans dikerah ke tempat kejadian dan kesemua 220 orang penumpang serta 11 orang krew selamat dikeluarkan dari pesawat penumpang itu.

Menurut jurucakap LOT, Leszek Chorzewski, pesawat Boeing 767-300 itu yang dalam perjalanan dari Newark, Amerika Syarikat berjaya melakukan pendaratan kecemasan selepas mengalami kegagalan pada gear pendaratan.

"Pesawat tersebut selamat mendarat pada badannya di landasan itu yang telah disembur dengan bahan perencat api yang istimewa.

"Kesemua penumpang selamat diturunkan (dari pesawat) dan tiada sesiapa yang cedera," katanya.

Rakaman video pendaratan kecemasan yang disiarkan beberapa minit selepas kemalangan tersebut menerusi stesen televisyen tempatan, TVN24 menunjukkan badan pesawat tersebut tergelincir di landasan dan mengeluarkan asap putih.

Percikan api turut kelihatan di enjin jet yang terletak di kepaknya ketika pesawat itu tergelincir.

Penumpang kemudian keluar dari pesawat tersebut menggunakan gelongsor kecemasan dengan bantuan krew lapangan terbang.

- AFP

Selasa, November 01, 2011

Kereta api rempuh lori tangki di Sabah


KOTA KINABALU 31 Okt. – Hampir 200 penumpang kereta api yang dalam perjalanan dari sini ke Papar terselamat apabila kenderaan itu merempuh sebuah lori tangki minyak mengakibatkan berlaku kebakaran dan letupan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini petang ini.

Kejadian pukul 5.30 petang itu menyebabkan kesesakan trafik yang teruk apabila jalan hadapan KKIA menghala Putatan terpaksa ditutup pada pukul 6 petang kerana api yang marak.

Difahamkan lori tangki membawa muatan 27,000 liter petrol itu terbakar serta-merta selepas dirempuh, seterusnya berlaku letupan kuat dan asap hitam tebal menjulang setinggi 30 meter.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan daripada kejadian malang tersebut dan hanya sembilan orang penumpang dilaporkan cedera.

Beliau berkata, pemandu lori tangki minyak dan pemandu keretapi juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius kerana sempat menyelamatkan diri.

“Lori tangki itu dilaporkan cuba melintas laluan keretapi yang terletak berhampiran jalan besar dekat KKIA bagi menghantar minyak ke sebuah stesen terletak berhampiran dengan laluan keretapi tersebut.

“Namun ia dipercayai tidak sempat melintas dan menyebabkan dirempuh keretapi yang menuju ke Papar,” katanya pada sidang akhbar di sini, malam ini.

Menurut pemandu lori tangki itu yang ingin dikenali sebagai Pouleh Dansun, sebelum kejadian, dia terdengar hon kuat tetapi menyangka ia dibunyikan oleh kenderaan di belakangnya.

“Namun setelah ditoleh ke kiri sebuah kereta api menuju ke arah saya. Saya cuba memecut lori itu untuk melintas laluan keretapi tersebut tetapi gagal.

“Kereta api itu lalu merempuh bahagian belakang lori dan menyebabkan ia terbakar dan meletup,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut saksi, penumpang-penumpang dalam kereta api itu berjaya menyelamatkan diri selepas pelanggaran berlaku dengan melarikan diri ke bahagian belakang keretapi.

Mangsa-mangsa yang cedera segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Nordin Fauzi berkata, lima kereta bomba dari balai bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Katanya, mereka juga dibantu dengan sebuah kereta tangki air dan dua kereta bomba dari Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat lapangan terbang itu.

- UTUSAN

Isnin, Oktober 24, 2011

Pelumba MotoGP Simoncelli meninggal dunia kerana kemalangan di Sepang


SEPANG: Pelumba, Marco Simoncelli dari pasukan San Carlo Honda Gresini meninggal dunia selepas berlaku kemalangan pada pusingan pertama Perlumbaan Motosikal Grand Prix (MotoGP) Shell Advance Malaysia 2011di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Ahad.

Topi kaledar yang dipakai Simoncelli, 24 tertanggal selepas terjatuh.

Dua lagi pelumba yang terlibat dalam kemalangan, Colin Edward (Monster Yamaha Tech 3) hanya mengalami kecederaan di bahu dan Valentino Rossi(Ducati) tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut Pengarah Perubatan, Dr Michele Macchiagodena, Simoncelli telah diberi bantuan pernafasan namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada pukul 4.56 petang.

Simoncelli dilaporkan mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala, leher dan dada.

- MSTAR

Khamis, September 29, 2011

Kemalangan Di Tempat Kerja Menurun 50 Peratus

Kes kemalangan di tempat kerja di negara ini mencatatkan penurunan lebih 50 peratus dalam tempoh 10 tahun iaitu daripada 75,386 kes pada tahun 2000 kepada 35,616 kes tahun lepas.

Sambil menyifatkannya sebagai perkembangan yang baik, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye bagaimanapun mahu statistik itu diturunkan lagi.

"Tumpuan kita ialah mengurangkan kadar kemalangan dalam industri hospitaliti termasuk pelancongan, perhotelan dan industri sokongan. Untuk itu pekerja di sektor itu akan diberi pendedahan mencukupi mengenai aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya kepada pemberita.

Beliau yang ditemui selepas merasmikan Bengkel Kesedarana Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk Industri Hospitaliti di sini, berkata usaha itu penting kerana turut melibatkan tetamu termasuk pelancong asing.

"Sebarang kemalangan yang menimpa khususnya ke atas pelancong asing akan memberi imej dan gambaran kurang baik ke atas industri hospitaliti negara," katanya.

Dalam pada itu, Niosh katanya bimbang dengan peningkatan kes kemalangan membabitkan pekerja yang dalam perjalanan ulang alik ke tempat kerja bagi tempoh yang sama.

Lee berkata pada tahun 2000, sebanyak 19,620 kes kemalangan ulang alik ke tempat kerja dilaporkan dan meningkat kepada 22,040 kes tahun lepas.

"Kebanyakan kes melibatkan penunggang motosikal dan bagi mengatasi perkara ini kursus pemanduan berhemah khususnya kepada penunggang motosikal perlu dilakukan menerusi inisiatif majikan," katanya.

- BERNAMA

Ahad, September 25, 2011

Penggunaan Tayar Toreh Punca Kemalangan Jalan Raya - JPJ

TEMERLOH: Pemilik kenderaan diminta tidak menggunakan tayar toreh dan tayar musim sejuk kerana ia dilihat antara punca berlaku kemalangan jalan raya di negara ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Datuk Zakaria Man berkata tayar toreh atau terpakai kini popular di kalangan pemilik kenderaan kerana harganya lebih murah.

"Walaupun setakat ini belum ada kajian yang dibuat bagi membuktikan kedua-dua jenis tayar tersebut menjadi punca kemalangan tetapi penggunaannya perlu disekat segera kerana banyak kemalangan yang berlaku dilihat membabitkan penggunaan tayar berkenaan.

"Tayar tersebut semakin popular kerana harganya yang jauh lebih murah berbanding tayar baru yang mahal berikutan harga getah yang meningkat sejak beberapa tahun lepas di pasaran dunia," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri JPJ Temerloh di sini.

Beliau berkata tayar toreh dilihat mudah meletup kerana lapisan tayar menjadi nipis apabila ditoreh untuk membuat bunga baru.

"Manakala tayar musim sejuk iaitu tayar terpakai dari luar negara yang tidak sesuai dengan permukaan dan suhu jalan raya di negara ini yang panas dan dipercayai menyebabkan banyak kenderaan mudah terbabas," katanya.

Pada perkembangan lain, Zakaria berkata kemalangan di Pahang berjaya dikurangkan semasa perayaan Aidilfitri baru-baru ini berikutan penguatkuasaan di beberapa lokasi yang dikenal pasti berisiko kemalangan. "Kita berharap pengguna jalan raya semakin sedar betapa pentingnya sikap berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan semua pihak," katanya.

- BERNAMA

Rabu, September 14, 2011

Kita kurang kemahiran memandu

Oleh Prof Dr Abd Rahim Md Nor
Pakar Pengangkutan Awam dan Timbalan Dekan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

SEPANJANG tempoh 15 hari Ops Sikap ke-24 sempena hari raya baru-baru ini, 19 orang maut setiap hari menjadikan jumlah terkorban 289 orang dalam masa dua minggu saja. Ketua Polis Negara pada sidang medianya di Bukit Aman pada 8 September lalu berpendapat operasi kali ini gagal dan kecewa dengan sikap orang ramai.

Di Malaysia, antara waktu subuh hari ini hingga waktu subuh esok, kira-kira 17 maut di jalan raya kerana kemalangan. Ini terjadi setiap hari. Jumlah ini besar bagi sebuah negara yang penduduknya pada ketika ini berjumlah sekitar 28 juta orang saja.

Kajian yang saya lakukan terhadap data kemalangan jalan raya di Malaysia mendapati angka 17 kematian sehari ini semakin stabil sejak lima tahun lalu. Maknanya kadar turun naik harian itu tidak berbeza sangat iaitu purata ini memang amat boleh dipercayai, tidak kira sama ada hari biasa atau hari cuti hujung minggu. Bagaimana pun, angka ini belum berjaya menakutkan orang ramai di negara ini.

Sebenarnya kalau berhati-hati, kemalangan tidak semestinya terjadi, tetapi di negara kita, masih ramai yang menganggap kemalangan jalan raya tidak boleh dielak dan ditentukan oleh takdir.

Ramai percaya setiap kemalangan jalan raya sudah ada tandanya. Misalnya, isteri atau suami atau anak atau saudara mangsa bercerita kononnya kelakuan orang yang meninggal dunia itu agak aneh beberapa hari sebelum peristiwa kemalangan.

Ada juga menyebut mangsa meninggal dunia kerana berpatah balik mengambil barangan tertinggal selepas beratus kilometer memulakan perjalanan. Kepercayaan tahyul ini menyebabkan mereka masih tidak sedar dan insaf bahawa punca kemalangan ialah kecuaian diri sendiri bukan kerana sudah takdir atau kerana suratan seperti dibayangkan perlakuan ganjil mereka beberapa hari sebelum peristiwa kemalangan.

Ops Sikap menunjukkan kesannya tetapi kejayaannya belum sampai pada tahap yang disasarkan kerana kebanyakan pemandu di Malaysia tidak mempunyai ‘kemahiran’ memandu.

Mereka hanya tahu memandu. Lesen memandu yang mereka peroleh itu bukan bukti mereka mahir memandu; mereka hanya tahu serba sedikit mengenai prinsip memandu lalu terus diberikan lesen.

Apabila mendapat lesen, mereka bebas bergerak di jalan raya, padahal ramai sebenarnya belum layak menempuh arus trafik dan akhirnya membahayakan diri dan orang lain.

Cara negara maju seperti di United Kingdom, Jepun dan Australia menguji calon yang memohon lesen memandu kereta dan motosikal amat berbeza dengan negara kita. Di Malaysia pemandu motosikal hanya diuji di litar memandu dalam pagar pusat ujian, sedangkan di negara lain mereka diuji juga di jalan raya seperti ujian terhadap pemandu kereta.

Kira-kira 15 tahun lalu, saya gagal dalam ujian memandu kali pertama di United Kingdom walaupun saya memiliki lesen memandu Malaysia selama lima tahun. Saya hanya lulus dan dianugerahkan British Driving License selepas mengambil ujian ulangan.

Penekanan ujian memandu di negara maju untuk mengesan kemahiran, bukan menguji pengetahuan.

Di negara kita latihan singkat selama 16 jam sudah mencukupi untuk melayakkan mereka diuji. Hakikatnya, mereka berlatih bukan dengan sekolah memandu tetapi hanya secara trial and error di jalan raya selepas mendapat lesen.

Keadaan negara kita kini sama keadaan di Jepun pada 1950-an. Ketika itu, kelakuan pemandu di Jepun seperti pemandu di Malaysia pada hari ini. Tetapi, setengah abad kemudian, iaitu Jepun kini antara segelintir negara yang kadar kemalangannya paling rendah di dunia.

Ini bermakna, dari segi kelakuan pemandu di jalan raya, Malaysia ketinggalan 50 tahun di belakang Jepun. Tetapi Malaysia mempunyai masa depan cerah dalam mengurangkan kemalangan jalan raya. Kajian yang saya lakukan terhadap data kemalangan jalan raya selama 15 tahun mendapati kadar kemalangan jalan raya di negara kita menurun dengan konsisten.

Bilangan kemalangan memang terus bertambah, tetapi kadar kemalangan berkurangan setiap tahun bagi tempoh 1995-2010. Dalam kajian kemalangan jalan raya, ‘kadar’ merujuk bilangan kemalangan berbanding sesuatu parameter yang relevan seperti jumlah kenderaan, bilangan pemandu dan ukuran panjang jalan raya.

Pada hari ini, dengan bilangan penduduk 28 juta, jumlah kematian di jalan raya di Malaysia ialah 17 orang setiap hari. Data sejarah membuktikan kita tidak mungkin menghapuskan angka positif ini.

Manusia tetap manusia, dengan segala kelebihan dan kekurangannya. Dengan kata lain, setiap hari mesti ada orang terkorban di jalan raya di negara ini, sampai bila-bila. Cuma matlamat kita dalam jangka masa terdekat ialah menurunkan angka kematian kepada digit tunggal, misalnya sembilan kematian sehari atau kurang.
Saya mencadangkan prosedur ujian memandu di Malaysia dirombak semula supaya dapat menghasilkan bakal pemandu yang bukan saja mempunyai ‘pengetahuan memandu’ tetapi juga ‘mahir memandu’.

- BERITA HARIAN

Sabtu, September 03, 2011

Jurukamera BernamaTV Maut, Wartawan TV3 Cedera Akibat Terkena Peluru Sesat Di Somalia


Jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor, 39, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, petang Jumaat waktu tempatan.

Manakala wartawan TV3 Aji Saregar Mazlan cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru, menurut wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam ini.

Beliau berkata kejadian itu berlaku pada pukul 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh kebelakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat," katanya.

Sementara itu, wartawan BernamaTV Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata tembakan peluru sesat itu mengenai bahu Noramfaizul dan menembusi parunya, dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 6.10 petang waktu tempatan.

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mertuanya di Serdang Raya dekat sini, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.

Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham telah berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara, dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di sini.

Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada pukul 5.30 pagi waktu tempatan Sabtu.

Beliau berkata ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi Sabtu.

Misi tersebut berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dalam misi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

- BERNAMA

Rabu, Ogos 24, 2011

Pandu secara berhemah elak tragedi

FAKTOR kemalangan jalan raya khususnya setiap kali pada musim perayaan seakan tiada penghujungnya.

Biarpun pelbagai kempen keselamatan jalan raya dilakukan pelbagai pihak sebelum ini, namun kemalangan dan angka korban yang dicatatkan terus meningkat saban tahun.

Sebagai perbandingan statistik kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2010 ialah sebanyak 6,260, meningkat sebanyak 42 orang berbanding tahun 2009.

Begitu juga peningkatan kadar kemalangan yang meningkat kepada 414,421 berbanding 397,330 pada tahun yang sama.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Gerald Leslie Leon berkata, peningkatan kenderaan di atas jalan raya pada musim perayaan antara punca kepada peningkatan kadar kemalangan yang dicatatkan.

"Apabila bilangan kenderaan bertambah sehingga dua hingga tiga kali ganda di atas jalan raya, ia pasti meningkatkan risiko kemalangan," katanya semasa pelancaran Kempen Keselamatan Proton 1Malaysia baru-baru ini.

Katanya, usaha untuk mengatasi masalah ini tidak seharusnya terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya harus dipikul semua pihak.

Tambah beliau lagi, berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

"Pertama ialah sikap manusia iaitu sebanyak 67 peratus, faktor jalan raya (28 peratus) dan kenderaan (lima peratus).

"Jelas sekali sikap manusia menjadi faktor utama. Oleh yang demikian, pengguna jalan raya yang ingin pulang ke kampung semasa musim perayaan ini dinasihatkan supaya mengamalkan sikap berhemah dan tidak terburu-buru untuk tiba ke destinasi," ujarnya.

Katanya, beliau memuji beberapa usaha yang dilakukan oleh pihak pengeluar kenderaan yang mengadakan kempen keselamatan jalan raya terhadap pengguna sempena ketibaan Aidilfitri nanti.

- KOSMO!

Isnin, Ogos 15, 2011

Penggunaan Pengangkutan Awam Kurangkan Risiko Kemalangan - KP JPJ

Satu kajian menunjukkan risiko kemalangan menggunakan pengangkutan awam didapati tujuh kali lebih rendah daripada menggunakan kenderaan persendirian, dan 48 kali lebih selamat daripada motosikal.

"Hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang dibentangkan kepada kami baru-baru ini mendapati pengangkutan awam dilihatlebih selamat untuk orang ramai untuk pergi ke destinasi masing-masing," kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Solah Mat Hassan.

Segelintir pengguna kenderaan persendirian berdepan risiko kemalangan disebabkan pelbagai faktor seperti baru mendapat lesen, tidak pakar menggunakanlebuh raya dan belum bersedia menangani kesesakan, katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Operasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini, yang turut dihadiri PengarahBahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Mustafar Ali.

Solah berkata lebih 1,500 bas ekspres yang bakal digunakan pada musim raya tahun ini lulus pemeriksaan JPJ, dan agensi itu akan menempatkan kira-kira 3,500kakitangan untuk bertugas sepanjang musim perayaan.

Sementara itu, kejujuran 37 anggota dan pegawai JPJ menolak tawaran rasuah sepanjang tahun ini diiktiraf pada majlis berkenaan.

Solah berkata anggota JPJ itu ditawar rasuah supaya tidak mengenakan tindakan terhadap kesalahan seperti cukai jalan tamat tempoh, memandu di laluankecemasan dan sebagainya.

"Dianggarkan antara RM50 dan RM5,000 menjadi tawaran rasuah. Orang ramai diingatkan supaya tidak melanggar peraturan jalan raya dan kemudian menawarkansuapan untuk melepaskan diri, termasuk di musim perayaan ini," katanya.

Anggota dan pegawai terbabit menerima sijil penghargaan.

Mustafar berkata sebanyak 414 kes rasuah melibatkan anggota penguatkuasa undang-undang seperti JPJ dan polis dicatatkan setakat ini, dengan 185 kesdiambil tindakan seperti dihadapkan ke mahkamah atau telah dijatuh hukuman.

Menurutnya fenomena rasuah berubah sejak empat tahun lalu dengan lebih banyak kes melibatkan pemberi rasuah diterima berbanding kes mereka yangmenerima rasuah.

- BERNAMA

Selasa, Mei 24, 2011

Senarai Nama Mangsa Tragedi Tanah Runtuh Di Hulu Langat

Berikut adalah senarai mangsa tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkas, Batu 14, Hulu Langat pada Sabtu lalu.

Terbunuh:

1. Mohd Azret Azahari, 8

2. Mohd Naerzein M.Nor, 8

3. Mohd Imal Fahad, 9

4. MOhd Riezman Abdul Latif, 9

5. Shahrul Nurimran Adnan, 9

6. Mohd Aiman Abdullah, 10

7. Mohd Hazim Sapri, 10

8. Ahmad Lokman Hakim, 11

9. Mohd Kamarul Amizan, 11

10. Wan Ahmad Hasril Hazim, 11

11. Mohd Mustakim Mamat, 12

12. Mohd Zid Azahari, 14

13. Nurahimi Rosdi, 14

14. Dzahir Haziq M.Muin, 18

15. Zahid Asswal Zamri, 19

16. Farid Ibrahim, 34

Terselamat:

1. Khairul Anuar Nasri, 9

2. Mohd Akmal Mohd Jefri, 10

3. M.Harris Izuddin Shahrul, 11

4. M.Aizat Khusairi Abd Karim, 12

5. Zulkhairi Aminuddin, 13

6. M.Allaudin Sobri, 14

7. M.Syatiq Ibrahim, 21

8. Izzuddin Abdullah, 30

9. Mohd Izuan Zakaria, 33

10. Siti Fatimah Ibrahim, 21

- MSTAR

Recent Posts