Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keluarga. Papar semua catatan

Rabu, Jun 05, 2013

Peluk tanda penghargaan

Sudahkah anda berdakapan dengan pasangan anda hari ini? Dalam sehari berapa kali sebenarnya anda berdakapan dengan pasangan? Atau langsung tidak pernah.

Memberikan dakapan kepada pasangan sama ada secara spontan atau berbentuk penghargaan sebenarnya memberikan satu sentuhan fizikal yang paling rapat di antara anda berdua.

Pakar terapi kekeluargaan, Virginia Satir dalam artikel yang ditulis oleh Parveen Chopra berkata, setiap pasangan memerlukan sekurang-kurangnya empat dakapan sehari untuk meneruskan kelangsungan hidup, lapan dakapan sehari untuk memperbaiki rasa kejiwaan dalam diri dan 12 dakapan sehari untuk cinta terus mekar.

"Dua belas dakapan sehari?" Mungkin itu terlalu banyak tetapi sebenarnya amalan untuk memeluk pasangan bukanlah sesuatu yang sukar - semudah memakai tali pinggang keledar, tidak sampai pun lima saat.

Anda hanya perlu lingkarkan tangan kepada tubuh pasangan anda, erat dan mesra dan rasailah perbezaan perasaan ketika anda berdua sedang berdakapan.

Bukanlah satu yang keterlaluan sekiranya anda mengamalkan tatacara berdakapan dengan pasangan. Cuma lakukan dengan tertib, jangan pula keterlaluan ketika di khalayak awam.

Mungkin boleh lakukannya pada waktu pagi sebelum anda berpisah ke tempat kerja, ketika bertemu pada waktu makan tengah hari, pada minum petang, sebelum makan malam atau selepas makan malam (menyatakan keterujaan anda memakan makanan hasil masakan isteri anda).

Anda juga boleh berdakapan seketika ketika sedang membasuh pinggan bersama-sama. Mungkin ketika menonton rancangan kegemaran anda berdua, sebelum waktu tidur dan ketika waktu pagi apabila bangun dari tidur.

Mungkin ada yang mengatakan ini sudah keterlaluan. Pasangan tidak akan berdakapan terlalu banyak dalam sehari seperti mana pasangan pengantin yang baru berkahwin.

Malah mungkin ada yang menggambarkan perbuatan itu akan menjadi satu rutin yang memenatkan. Kita mungkin setuju dengan pandangan ini, jadi kita kurangkan jumlah dakapan.

Seorang doktor dari United Kingdom, Dr. Miriam Stoppard berkata, rahsia kebahagiaan rumah tangga adalah sekiranya anda mendakap pasangan sekurang-kurangnya empat kali sehari.

Sebenarnya, berapa kali pun anda mendakap pasangan, dakapan sebenarnya merupakan satu penawar bagi mengubati hubungan suami isteri yang sedang 'sakit', menjadi penggalak kepada jiwa untuk meneruskan hubungan cinta antara suami dan isteri.

Pakar sains telah menggariskan, sejak berabad lalu sentuhan menerusi dakapan mengundang kepada kepercayaan dan kejujuran individu.

Apabila anda mendakap pasangan secara tidak langsung anda sebenarnya sedang melakukan komunikasi tanpa suara sambil menyalurkan perasaan kepada si dia.

Antara perasaan yang anda ingin sampaikan - dialah insan yang paling penting dalam hidupnya, dialah insan yang paling istimewa dan sebagainya.

Dakapan boleh mengembalikan pemikiran pasangan ke arah yang positif, mengurangkan stres, menstabilkan tekanan dan rasa kurang keyakinan.

Lagipun perbuatan ini percuma dan mudah dilakukan.

Namun, jangan disalahertikan dakapan sebagai dorongan untuk melakukan seks.

Sebagai contoh, jangan anda merasakan, kemahuan isteri anda untuk minta dipeluk atau didakap sebagai satu dorongan permintaan seks.

Golongan ini sebenarnya memerlukan dakapan di saat mereka merasakan kesedihan dan rasa tidak selamat dan perlukan jaminan anda sebagai seorang suami.

Perasaan cinta sebenarnya tidak diukur sebanyak mana anda menyentuh pasangan anda, tetapi berapa kali anda cuba merapatkan diri anda dengan pasangan.

- UTUSAN

http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130604/kn_03/Peluk-tanda-penghargaan


Jumaat, Mei 17, 2013

Jangka hayat Wanita Malaysia kini 79 tahun - Kajian

Kajian akademik terbaharu mendapati purata jangka hayat wanita Malaysia kini meningkat kepada 79 tahun berbanding 77 tahun yang dilaporkan dua tahun lalu manakala jangka hayat lelaki pula kekal di paras 77 tahun.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Khalid Yusof berkata, jangka hayat lelaki yang lebih pendek berpunca daripada kegagalan mereka mengamalkan cara hidup lebih sihat dan mudah terdedah kepada risiko pelbagai jenis penyakit.

"Perbezaan ini berlaku kerana golongan lelaki adalah individu yang lebih terdedah kepada risiko mendapat pelbagai jenis penyakit seperti sakit jantung, strok, buah pinggang, diabetes, kanser dan banyak lagi.

"Kurangnya amalan menjaga kesihatan kerana lebih mementingkan urusan kerja seharian menyebabkan golongan lelaki lebih berisiko berbanding wanita," katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Hipertensi Sedunia di Balai Rukun Tetangga Ketereh di Kota Bharu, Kelantan.

Laporan Taburan Penduduk Mengikut Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Mukim 2010 dan Produk Statistik 2011/2012 dikeluarkan pada tahun 2011 mendapati, jangka hayat lelaki Malaysia ketika itu adalah secara purata 71.9 tahun manakala golongan wanita ialah 77 tahun.

Dr. Khalid berkata, golongan wanita di negara ini lebih peka kepada penjagaan kesihatan malah kesedaran untuk berjumpa dan mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan amat tinggi berbanding lelaki yang lebih gemar bergantung kepada ubat-ubatan tanpa rawatan susulan.

"Inilah yang berlaku iaitu wanita sanggup menerima rawatan tetapi lelaki lebih gemar ambil ubat tanpa berjumpa pakar dan disebabkan terlalu bergantung pada ubat inilah pelbagai jenis penyakit lebih banyak menyerang orang lelaki," katanya.

- UTUSAN


Selasa, Mei 07, 2013

Tidak sesuai jadi ibu bapa jika tak romantik

Kajian terbaru di Britain mendapati, ibu bapa yang tidak romantis atau mengelak untuk berkelakuan romantis kurang sepadan menggalas tugas sebagai ibu bapa bersama.
Ia berkait rapat dengan sifat semula jadi perlu ada untuk menjadi pasangan yang memahami iaitu sensitif dan sanggup untuk memberikan pertolongan. Sifat sama turut diperlukan untuk bergelar ibu bapa.


Penyelidik di University of Bristol, Abigail Millings, berkata jika seseorang itu peka dan bertanggungjawab terhadap pasangan, ia menjadi petanda dia bagus dalam hubungan lain.

Kuncinya kata Millings, keupayaan seseorang untuk bergaul secara sihat dengan orang lain.

Tambahnya lagi, mereka yang mempunyai masalah pergaulan cenderung emosi manakala orang yang berasa tidak yakin dengan hubungan pula didapati lebih bergantung dengan pasangan.

Individu yang bijak bergaul lebih santai dan berdikari dalam hubungan dan sedar, ada insan lain bersama mereka mengharungi kehidupan berkeluarga, lapor LiveScience.
Kajian itu dijalankan Millings bersama kumpulan penyelidiknya terhadap 125 pasangan British yang memiliki anak berusia antara tujuh hingga lapan tahun. Responden diminta menyenaraikan perlakuan romantis mereka terhadap pasangan, perasaan romantis dan gaya keibubapaan.

Kumpulan responden itu dikelaskan kepada tiga kumpulan - paling ideal adalah yang berwibawa (mesra, berkomunikasi tetapi dalam kawalan), kurang sepadan adalah berkuasa mutlak (masih boleh dikawal tetapi tidak mesra) dan permisif (memberi kebebasan) mesra tetapi komunikasi tidak terkawal.

Keputusan menunjukkan, ibu bapa yang tidak mesra (tidak romantik dalam hubungan) tidak sesuai menjadi ibu bapa dan hasilnya, mereka didapati jenis yang menggunakan kuasa veto terhadap pasangan atau jenis lepas tangan terhadap tanggungjawab dalam keluarga.

Kajian ini sudah disiarkan dalam talian di jurnal Buletin Psikologi Personaliti dan Sosial.

Kajian terdahulu menunjukkan, individu tidak yakin dengan hubungan juga menyebabkan mereka memandang dunia keibubapaan sebagai cabaran yang menakutkan, selain mereka terpaksa bekerja keras untuk melaksanakan tugas itu, lapor LiveScience.

Petua cinta suami isteri

Mengekalkan hubungan cinta dalam rumah tangga tidak semudah mendirikannya. Saban tahun, ribuan pasangan mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing, lantaran tiada kesefahaman dalam melayari bahtera perkahwinan.

Mengapa hal ini perlu terjadi? Sedangkan perkahwinan yang dibina atas dasar cinta seharusnya dapat dilalui dengan bahagia sehingga ke akhir hayat.

Banyak petua dan kaedah dalam menjaga hubungan. Ramai percaya membina pemikiran positif dapat mempengaruhi seseorang untuk membentuk sikap positif dalam diri.

Memetik tulisan Pakar Cinta dalam artikel bertajuk, Tips Menjaga Rumah Tangga dan Perkahwinan, lima panduan dititipkan untuk dijadikan panduan.

1. Fokus pada tanggung jawab, bukan menuntut hak.

Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakan manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan hak.

Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “aku sepatutnya tidak dilayan begini.”

Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu. Pada hal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan. Justeru, penting fokus kepada apa yang aku boleh lakukan untuk melaksanakan tanggungjawab.

2. Sering berdamping dengan orang yang positif.

Siapa kita lima tahun akan datang dicorakkan oleh dengan siapa kita bergaul dan buku apa yang kita baca. Begitu ditegaskan oleh orang bijaksana. Dengan siapa kita meluangkan masa kita sangat menentukan sikap kita. Kata pepatah, burung yang sama bulu akan terbang bersama. Rasulullah SAW menegaskan, agama seseorang ditentukan oleh temannya.

Justeru, berhati-hatilah memilih orang untuk kita dampingi.

3. Jadikan sekarang masa paling gembira.

Jika orang bertanya bilakah masa yang paling gembira dalam hidup berumah tangga kita, jawablah, “sekarang!” Usah berpaling ke belakang dengan mengatakan semasa mula-mula kahwin dulu atau melangkau ke masa hadapan dengan berkata, “Bila anak-anak sudah besar dan hidup lebih stabil.”

Dengan berkata demikian, kita ‘membunuh’ potensi hari ini.

4. Cari jalan untuk mengatasi tekanan.

Tekanan akan menyebabkan keletihan dalam pemikiran dan perasaan yang lama-kelamaan akan membentuk sikap yang negatif. Oleh itu, suami atau isteri mesti menemukan cara untuk mengawal stres.

Antara kaedah terbaik ialah dengan melakukan aktiviti fizikal, hobi atau minat kita. Boleh jadi dengan berkebun, menenun, membaca, berjoging atau bersukan.

5. Jangan terlalu serius.

Kehidupan berumah tangga ialah sesuatu yang serius tetapi perlu dijalani dengan tidak terlalu serius. Jalani kehidupan dengan sedikit gurau senda dan berhibur.

Doa supaya suami dan isteri saling mengasihi
“Ya Allah, jadikanlah hambaMu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku.

- BERITA HARIAN

Rabu, April 10, 2013

Berkomunikasi agar lebih intim suami isteri

BERKOMUNIKASI adalah cara yang paling 'mudah' bagi memastikan kebahagiaan rumah tangga yang dibina kekal dan juga cara terbaik untuk melengkapkan hari-hari bagi setiap pasangan.

Menurut Perunding Terapi Kekeluargaan Annabella House Of Theraphy, Suhana Ahmad Marzuki, faktor kesibukan menguruskan kerjaya dan rumah tangga serta anak-anak menjadikan komunikasi antara suami isteri semakin kurang.

Malah mengikut kajian, pasangan suami dan isteri pada hari ini hanya berkomunikasi sebanyak 20 hingga 25 peratus sahaja dalam sehari, manakala baki 75 peratus lagi sekadar menggunakan bahasa badan atau 'faham-faham' antara mereka sendiri sahaja.

Ada dalam kalangan mereka yang hanya dapat berkomunikasi selepas si isteri melakukan kerja-kerja rumah atau setelah si suami pulang lewat dari pejabat dan terus berehat di atas katil sebelum melelapkan mata.

Itupun mungkin hanya beberapa minit sebelum kedua-duanya lena dibuai mimpi.

Malah, ada yang mengambil kesempatan untuk bercakap dengan pasangan masing-masing hanya dalam soal-soal berat, tentang hal anak dan rumah tanpa sempat bertanyakan mengenai keadaan pasangan masing-masing.

Perkara ini bukan sahaja berlaku terhadap pasangan yang berkerjaya. Lebih malang apabila isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa juga berhadapan dengan masalah sama apabila suami balik ke rumah, isteri telah penat menguruskan rumah tangga dam tidak dapat berbual dengan suami yang segera ke bilik tidur untuk berehat.

''Ini pastinya akan menyebabkan isteri rasa tertekan kerana tidak dapat berbual dengan suami mereka dalam hal-hal berkaitan anak-anak atau rumah.

"Si isteri rasa terbeban kerana menanggung sesuatu situasi itu seorang diri tanpa dapat berkongsi dengan suami.

''Begitu juga yang dialami oleh pasangan suami isteri yang berlainan masa kerja atau kerja syif dan hanya bertemu beberapa jam di rumah," katanya.

Dalam perkara ini menurut Suhana, pasangan perlu bijak menangani keadaan agar suasana rumah tangga mereka tidak terus suram tanpa komunikasi dua hala daripada kedua-dua pihak.

''Pandai-pandailah cari masa yang sesuai untuk berkomunikasi dengan pasangan.

"Takkanlah dalam tempoh 24 jam atau tujuh hari seminggu itu sekalipun tidak dapat luangkan masa untuk berbual mesra dengan pasangan.

''Perbualan yang dimaksudkan ini bukan hanya setakat berbicara mengenai hal yang penting atau sepatah dua kata sahaja, malah sebenarnya bicara yang mencakupi isi hati pasangan anda," jelasnya.

Tambah Suhana, komunikasi bukan sahaja diperlukan bagi merungkai konflik atau permasalahan rumah tangga malah dengan berbual dapat mencetus dan menjalinkan hubungan erat dalam kalangan suami isteri.

''Komunikasi boleh mencambahkan perasaan sayang, apatah lagi dalam perbualan itu disulami dengan kata-kata romantis, humor dan sebagainya," katanya.

Suhana turut memberi tip kepada pasangan suami isteri bagaimana mencari masa yang sesuai untuk berkomunikasi dengan pasangan mereka.

Namun katanya, perbualan itu perlu disulami dengan rasa gembira dan ceria serta tidak membosankan.

Usah sesekali menyemarakkan komunikasi atau memulakannya dengan rasa amarah dan dendam agar perbualan yang dimulakan dengan elok tidak bertukar kepada kebencian dan kemarahan.

Menurutnya, seelok-elok komunikasi yang ingin dijalinkan oleh pasangan perlulah diungkap berdua dan tiada gangguan daripada anak-anak pada waktu itu.

1 Suami dan isteri boleh memanfaatkan cuti hujung minggu dengan melakukan aktiviti bersama-sama seperti berjogging dan bersenam atau memasak bersama-sama.

Ketika ini suasana lebih terasa santai dan suami dan isteri boleh berbual dengan lebih mesra ketika sedang makan bersama.

Sekiranya inginkan keadaan lebih menarik, carikan masa sewaktu anak-anak sedang bermain di halaman rumah, sediakan juadah petang dan anda makan bersama suami sambil berbual.

2 Suasana di kamar tidur lebih tenteram, lapang, tanpa gangguan dan anda boleh menggunakan keadaan ini di atas katil untuk berbicara dengan pasangan anda sebelum tidur.

Biarpun sekejap, pastikan setiap minit yang digunakan memberikan manfaat yang besar kepada diri anda berdua.

3Habiskan waktu lewat malam ketika anda menghabiskan masa berdua menonton televisyen sehingga lewat malam.

Waktu itu anak-anak telah tidur, jadikan waktu itu suasana yang romantik untuk anda berdua berbicara.

4 Bawa anak beriadah pastikan anak-anak anda melakukan aktiviti mereka dan pada waktu itu anda dapat berbual bersama.

5 Ketika dalam perjalanan perbualan mesra dalam kalangan suami isteri boleh dimulakan ketika dalam perjalanan jauh ke kampung atau ketika suami menghantar isteri ke tempat kerja.

- UTUSAN

Rabu, Mac 20, 2013

Lelaki suka wanita humor

Biarpun personaliti dan perangai golongan Adam adalah berbeza antara satu sama lain, namun terdapat empat perkara yang golongan ini bersetuju tentang wanita yang mereka minati.

Jika anda seorang wanita, sekiranya anda hendak memenangi hati seorang lelaki terutamanya suami, pastikan anda mempunyai ciri-ciri berkenaan.

Apatah lagi sekiranya anda berkawan dengan seseorang dan mahu hubungan itu kekal sampai ke akhirnya, mungkin anda boleh memenangi hati insan yang menjadi impian anda itu menerusi ciri yang menjadi dambaan golongan ini.

Lelaki mahukan ciri-ciri seorang teman yang boleh membuatkannya rasa 'kasual' dan senang ketika berdampingan.

Seorang lelaki mahukan teman wanitanya pandai memainkan suasana, sentiasa gembira dan ceria.

Kaum Adam gemar dengan wanita yang aktif, pandai bersukan, lasak dan pandai beraksi.

Bagi kita orang Melayu, mungkin lelaki ini melihat wanita istimewa ini pandai bergaul, ringan tulang dan pandai mencipta suasana yang meriah.

Dalam perhubungan pastikan anda menyuntik suasana humor dan kegembiraan dalam perhubungan anda.

Anda boleh melakukannya menerusi 'usikan main-main', godaan, lawak jenaka dan apabila berbicara selain bertanyakan apa yang dia buat dalam hidupnya, tanyakan apa yang dia hendak buat bagi menggembirakan dirinya.

Maksudnya di sini, mereka tidak berapa gemar dengan wanita yang pasif dan berdiam diri (kecuali lelaki yang suka bersifat pendera dan berkuasa).

Mereka juga suka sekiranya wanita pandai bermain sesuatu seperti terlibat dengan sukan dan aktiviti lasak contohnya yang akan membuatkan mereka rasa teruja dengan diri anda.

Sebenarnya, lelaki ini akan merakamkan kenangan suasana pengalaman yang anda ciptakan untuk dia dan bukannya bagaimana anda mengeluarkan kata-kata indah untuk dia.

Menonton atau bermain sukan bersama pasangan juga adalah cara bagaimana diri anda menarik minat golongan Adam.

Lebih kompetitif sesuatu sukan itu lagi baik seperti bermain ping pong dan tambahkan sedikit 'usikan' di sana-sini, pastinya ia merupakan daya penarik kepada diri anda.

Ramai dalam kalangan wanita yang secara salah mentafsirkan dan percaya lelaki akan mencari wanita yang lemah kerana ia menyebabkan lelaki itu kelihatan bijak dan berkuasa.

Namun sebenarnya, lelaki yang sejati akan lebih tertarik kepada wanita yang boleh memberikan mereka inspirasi.

Namun ini tidak pula bermakna lelaki itu akan tertarik dengan kejayaan dan semangat berdikari wanita itu, tetapi mencari masih adakah ruang bagi lelaki di hati wanita berkenaan tanpa membataskan kejayaan yang wanita itu miliki.

Apa pun, lelaki sebenarnya gemar dengan wanita yang pandai berdikari justeru, sibuk dengan kehidupan sendiri dan jangan hanya menjadikan si dia sebagai satu-satunya 'dunia' anda.

Seboleh-bolehnya jangan buang minat, tanggungjawab dan kawan-kawan anda semata-mata untuk bersama si dia.

Apabila anda bersama si dia, berikan sepenuhnya respons dan perhatian kepadanya terhadap apa yang anda lakukan bersama.

Lelaki yang sejati juga mahukan seorang wanita yang benar-benar matang dari segi emosi.

Wanita yang matang tidak sewenang-wenangnya menyalah atau mengkritik teman lelakinya mengenai apa yang dirasainya, tetapi cuba berkongsi perasaan dengan sepenuh kejujuran sambil membantu memulihkan keadaan.

Persefahaman ini yang benar-benar menyentuh naluri lelaki, dalam erti kata lain sekiranya wanita itu boleh menzahirkan perasaannya secara tenang dan tidak terlalu emosi, dialah wanita yang bakal memenangi hati lelaki.

Kerana di sini dia boleh melihat anda dapat mengendalikan pelbagai perkara dengan tenang dan boleh mengawal stres.

Lelaki takut untuk menjalinkan hubungan dengan wanita yang kurang daya penarik dan kurang ghairah (bukan hanya dari segi seks sahaja).

Ciri-ciri lain yang boleh mematikan daya penarik wanita itu termasuklah terlalu sukar untuk mendapatkannya atau wanita yang inginkan hubungannya menjadi serius terlalu cepat.

Sebagai wanita, pastikan semuanya berada dalam keadaan tenang dan rasa cinta itu akan datang secara semula jadi tanpa paksaan.


- UTUSAN


Recent Posts