Memaparkan catatan dengan label Kajian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kajian. Papar semua catatan

Selasa, Februari 05, 2013

Gula-gula getah mampu tingkat tahap kecerdasan

Satu kajian terbaru di London menemui bukti saintifik yang menyokong slogan iklan mendakwa bahawa gula-gula getah mampu mempercepatkan tindak balas dan meningkatkan kecerdasan.

Penyelidik dari Institut Kebangsaan Radiologi Sains di Jepun dan beberapa pusat lain mendapati bahawa masa tindak balas meningkat 10 kali lebih cepat ketika mengunyah gula-gula getah manakala sekurang-kurangnya lapan kawasan berlainan di dalam otak akan terbabit aktif, lapor The Independent.

Satu teori mendapati bahawa mengunyah akan meningkatkan rangsangan dan membawa kepada peningkatan sementara aliran darah ke otak, yang membantu menerangkan mengapa ia digunakan secara meluas di kalangan pengurus pasukan bola sepak yang berjaya antaranya termasuk pengurus pasukan Manchester United, Sir Alex Ferguson.

Sukarelawan di dalam uji kaji terbabit diuji ketika mereka mengunyah dan tidak mengunyah gula-gula getah. Gula-gula getah yang digunakan tidak berperisa untuk mengelak daripada gangguan.

Otak lelaki dan wanita turut diimbas dengan Pengimejan Resonans Magnetik fungsi (fMRI) untuk melihat kawasan mana yang paling aktif.

Dalam ujian 30 minit membabitkan sukarelawan menekan satu butang pada ibu jari kanan atau kiri mereka berdasarkan arah satu anak panah pada skrin di hadapan mereka. Satu ujian lebih sukar berbanding yang lain. Ketika kedua-dua ujian, kadar kecerdasan dan masa tindak balas diukur.

- Agensi

Rabu, Januari 30, 2013

Hanya 25% rakyat beli produk baru lancar - Kajian

Hanya suku atau 25 peratus dari pengguna dalam talian di Malaysia menganggap diri mereka sebagai pembeli peringkat awal bagi sesuatu produk inovasi terbaharu, menurut kajian Nielsen.

Daripada jumlah itu, lima peratus daripadanya bersetuju sepenuhnya bahawa mereka menyokong kuat inovasi terbaharu.

Menurut kenyataan Nielson, peratusan itu adalah lebih rendah berbanding peratusan di rantau Asia Pasifik dan purata di peringkat antarabangsa iaitu masing-masing 38 dan 34 peratus.

Kajian Nielsen Global Survey of New Product Purchase Sentiment melibatkan 29,000 responden internet daripada 51 negara telah menunjukkan bahawa 'konsep yang terbukti' (proof of concept) memberi pengaruh besar dalam membeli inovasi baharu.

Hampir 65 peratus responden di negara ini menyatakan bahawa mereka akan menunggu sehingga inovasi baharu itu terbukti bagus sebelum membelinya.

Bagi keutamaan jenama pula, 65 peratus pengguna negara ini memilih untuk membeli produk baharu yang dikeluarkan oleh jenama yang sudah dikenali iaitu lebih tinggi berbanding jumlah purata bagi Asia Pasifik dengan 55 peratus.

Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Richard Hall berkata, walaupun pengguna gemar melihat produk baharu, tetapi untuk menjadi pembeli pertama, pengguna akan memikirkan mengenai apa yang akan terjadi kepada produk berkenaan selepas dibeli.

Katanya, perkara tersebut termasuk penjagaan selepas membelinya bagi jangka masa pendek dan pertengahan.

"Walaupun kepercayaan terhadap jenama yang sudah terkenal dan dipercayai membantu menarik perhatian bila produk baharu dilancarkan, namun budaya 'tunggu dan lihat' rakyat Malaysia sudah menjadi norma dalam membuat pembelian.

"Apa yang penting, harga untuk persamaan nilai kekal menjadi faktor utama dalam kejayaan sesuatu produk, begitu juga pengalaman peribadi yang positif dan juga pengesahan secara lisan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berbanding 64 peratus di Asia Pasifik, 49 peratus pengguna Malaysia didapati akan memberitahu orang lain mengenai produk yang mereka beli.

Menurut kajian itu juga, pengiklanan secara tradisional dan komunikasi secara lisan adalah cara pemujukkan yang paling berkesan untuk memperkenalkan produk baharu di Malaysia.

Katanya, 69 peratus pengguna akan yang mendapat sampel percuma adalah lebih tertarik untuk membeli produk baharu itu.

Teknik yang sama juga diikuti dengan mendengar nasihat dari keluarga dan rakan dengan 69 peratus dan nasihat pakar (67 peratus).

Selain itu, kesedaran meyakinkan mengenai produk juga diperolehi dengan melihat produk di kedai dengan 67 peratus, iklan televisyen (56 peratus) dan internet (56 peratus).

- UTUSAN

Rabu, September 05, 2012

Orang Kelantan adalah Melayu terawal

SIAPAKAH yang dikatakan Melayu dan paling Melayu? Sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) menggunakan kaedah analisis genetik atau ciri pewarisan untuk merungkai masalah bahawa siapakah yang paling Melayu. Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Mara pula (UiTM) menggunakan kaedah yang sama untuk membantu dalam rawatan penyakit.

Bagi saintis, kajian mengenai genetik melibatkan aspek teknikal. Tetapi dari satu sudut lain ia membongkar banyak perkara baru mengenai benda hidup, termasuk asal-usulnya.

Lebih daripada itu, saintis boleh menemui kaedah baru dalam rawatan penyakit manusia berdasarkan profil gen yang dimiliki.

Secara mudahnya, genetik merupakan bidang sains yang mengkaji fenomena pewarisan dan variasi benda hidup.

Unit asas untuk semua benda hidup ialah sel yang mengandungi nukleus.

Di dalam nukleus, terdapat kromosom yang di dalamnya tersimpan maklumat pewarisan atau keturunan.

Kromosom ialah makro-molekul yang terdiri daripada asid deoksiribonukleik (DNA) yang memberi maklumat kod pewarisan atau keturunan dalam bentuk gelungan dua bebenang yang terdiri daripada ulangan jujukan empat nukleotida iaitu A (Adenine), T (Thymine) , C (Cytosine) dan G (Guanine) sahaja.

Setiap kromosom mengandungi beberapa ratus hingga beberapa ribu gen.

Setiap gen terbentuk daripada jujukan DNA yang spesifik dan boleh ditafsir untuk pembinaan protein. Manusia mempunyai 23 pasang kromosom yang terdiri daripada lebih kurang 25,000 gen.

Bagaimanapun, terdapat variasi mutasi genomik antaranya polimorfisma nukleotida tunggal atau SNP iaitu apabila nukleotida (A,C,T atau G) dalam jujukan DNA berbeza dalam individu berkenaan.

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, saintis kini memfokuskan kepada kerja-kerja penjujukan DNA bagi mencari variasi yang berbeza pada manusia.

Berlandaskan latarbelakang itu juga, sekumpulan saintis dan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai pensyarah Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Zilfalil Alwi melancarkan Malaysian Node bagi Projek Variome Manusia (Human Variome Project).

Ia bertujuan mengenal pasti variasi SNP yang terdapat pada pelbagai subetnik Melayu di negara ini.

Projek berkenaan melibatkan pengambilan sampel darah subetnik Melayu iaitu Melayu Kelantan, Jawa, Bugis, Minang, Kedah, Pattani, Champa dan Banjar yang telah bermula pada 2006.

‘‘Kajian ini dilaksanakan bagi membandingkan profil DNA antara pelbagai sampel daripada subetnik Melayu berkenaan seterusnya menghasilkan pangkalan data variasi SNP ini untuk menjadi rujukan kepada penyelidik lain amnya," ujarnya ketika ditemui di ibu negara baru-baru ini

Beliau berkata , SNP berlaku apabila terdapat satu nukleotida dalam DNA manusia (sama ada A,C,T atau G) yang berbeza daripada individu-individu lain. Perbezaan itu berlaku pada sekurang-kurangnya dua peratus individu dari populasi atau kumpulan etnik berkenaan.

Sebarang variasi dalam DNA seperti SNP boleh menyumbang kepada kemungkinan berlakunya penyakit pada individu berkenaan termasuk penyakit yang diwarisi atau penyakit yang disebabkan oleh gabungan faktor genetik dan faktor-faktor persekitaran seperti pendedahan kepada radiasi bahan kimia dan sebagainya.

Kajian beliau tertumpu kepada mencari jenis variasi atau kepelbagaian yang berlaku dalam gen manusia dan dibuktikan kemudiannya bagi meramal penyakit dan asal usul subetnik Melayu di samping penghasilan pangkalan data SNP.

Menurut beliau, pelbagai kumpulan etnik yang terdapat di negara ini boleh memberi gambaran corak sejarah penghijrahan dan cabang bahasa yang berbeza.

Pelbagai budaya telah bercampur di Malaysia sejak sejarah awal lagi.

Katanya, lebih daripada 1,500 tahun yang lalu, kerajaan Melayu yang ada mengalu-alukan semua pedagang antaranya dari China, India dan Arab dan dengan ketibaan mereka membawa bersama budaya serta agama berlainan seperti Islam, Buddha dan Hindu.

Keunikan budaya Malaysia dipengaruhi oleh pelbagai budaya yang berbeza, namun hanya segelintir yang mempunyai pengaruh yang berkekalan terutamanya pada negara.

Walaupun setiap budaya ini telah bersungguh-sungguh mengekalkan tradisi dan struktur masyarakat, percampuran antara mereka juga telah mencipta pelbagai warisan kontemporari Malaysia yang unik.

‘‘Pemetaan genom kumpulan subetnik Melayu ini akan memberikan kita peta genetik bagi menghuraikan sejarah penghijrahan negara serta mendedahkan sejauh mana persamaan genetik antara pelbagai populasi.

‘‘Ia juga dapat menjelaskan teka-teki sejarah dan latar belakang demografi setiap etnik yang mungkin mengalami faktor evolusi yang berbeza.

‘‘Dengan penubuhan pangkalan data genetik ini, pelbagai kajian penyelidikan ke arah kelestarian manusia sejagat dapat dilaksanakan. Ia termasuk kajian forensik dan implikasi etika, undang-undang dan sosial pada masyarakat,’’katanya,

Beliau bersama pelajarnya Wan Nur Hatin Wan Isa dan Nur Shafawati Ab. Rajab beserta penyelidik lain dari pelbagai institusi telah memulakan kajian dengan mengambil sampel di beberapa tempat di Semenanjung Malaysia.

Mereka dibantu oleh orang kampung terutama ketua-ketua kampung yang terlibat.

Kajian dibiayai menerusi geran dari Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang dibahagi bersama penyelidik lain dari USM dari Pusat Pengajian Sains Perubatan, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Pusat Pengajian Sains Kesihatan dan juga Pusat Pengajian Sains Kemanusiaan.

Kajian tersebut bertujuan memeta genom kumpulan etnik berkenaan bagi menghuraikan sejarah penghijrahan dan kajian latar belakang mereka.

Kajian ini menggunakan kaedah berteknologi tinggi iaitu cip microarray yang mampu melaksanakan kerja-kerja penjujukan SNP dalam masa yang pantas.

Kajian tersebut yang tamat tahun lalu mendapati beberapa kesimpulan menarik dapat dibuat berdasarkan kepada perbandingan pemetaan genom yang dilakukan.

Antara hasil penyelidikan tersebut menunjukkan perkaitan beberapa subetnik Melayu kepada masyarakat Indonesia serta persamaan masyarakat di Selatan Thailand dengan Melayu Kedah dan Melayu Kelantan di samping mengandungi komponen Cina dan India dalam genom mereka.

Daripada tujuh kumpulan atau subetnik tersebut, hasil kajian beliau dan kumpulannya juga mendapati setiap kumpulan sub-etnik Melayu mempunyai genom campuran dan Melayu Kelantan dan Melayu Kedah mungkin dipengaruhi oleh tamadun Langkasuka pada era sejarah dulu.

Ini menunjukkan bahawa Melayu Kelantan terawal di Semenanjung Tanah Melayu berdasarkan perbandingan profil genetik yang diperoleh. Ini kerana sampel Melayu Kelantan tidak mempunyai persamaan atau unsur yang sama dengan semua sampel subetnik Melayu yang dianalisis kecuali dengan subetnik Melayu Pattani dan Melayu Kedah yang mana apabila dikaitkan dengan sejarah, era Langkasuka mennjukkan adanya kaitan Melayu, Kedah dan Pattani.

- UTUSAN

Selasa, September 04, 2012

BH, Harian Metro kekal akhbar pilihan pembaca 2012


BH dan Harian Metro kekal sebagai akhbar pilihan pembaca bagi segmen bahasa Melayu bagi tempoh Julai tahun lalu hingga Jun tahun 2012 ini.

Mengikut kajian terbaru Indeks Media Nielsen, jumlah pembaca akhbar bahasa Melayu di negara ini terus meningkat daripada 35.1 peratus kepada 36.1 peratus, mencecah 5.74 juta pembaca.

Akhbar BH yang berwajah baru mulai 1 Julai lalu, mengekalkan 6.9 peratus membabitkan 1.1 juta pembaca, menurut kajian itu.

Harian Metro pula merekodkan 23.2 peratus mewakili 3.69 juta pembaca sekali gus kekal sebagai akhbar paling ramai pembaca di negara ini.

Jumlah pembaca akhbar Utusan Malaysia pula, mengikut kajian itu, kekal pada 696,000.

Satu lagi akhbar terbitan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), New Straits Times, mencatatkan 277,000 pembaca.

Kajian itu juga menyebut jumlah pembaca akhbar berbahasa Inggeris meningkat daripada 7.8 peratus kepada 9.5 peratus membabitkan 1.51 juta pembaca berbanding tempoh sama sebelumnya.

Kajian itu dilakukan terhadap lima akhbar berbahasa Melayu dan dua berbahasa Inggeris utama negara.

Jumaat, Ogos 31, 2012

Hanya 38 peratus pekerja puas hati dengan pengurusan

Gaya kepimpinan dan pengurusan memainkan peranan penting di tempat kerja dan 38 peratus responden puas hati dengan gaya kepimpinan pengurusan mereka sekarang, kata Kajian Tenaga Kerja Global Kelly Services Inc.

Menurut kajian itu, penilaian yang paling memberangsangkan adalah dari Amerika, yang mana 45 peratus berkata mereka puas hati dengan kepimpinan pihak pengurusan mereka sekarang, jauh mendahului kedua-dua Eropah, Timur Tengah dan Afrika (EMEA) pada 34 peratus dan Asia-Pasifik pada 39 peratus.

Hampir 170,000 pekerja di 30 negara mengambil bahagian dalam kajian itu, termasuk lebih 2,000 di Malaysia, kata Kelly Services dalam satu kenyataan.

"Berbanding dengan negara-negara lain, rantau Asia-Pasifik berada pada kedudukan yang agak baik bagi kepimpinan pengurusan dengan India (65 peratus), Indonesia (58 peratus), Malaysia (58 peratus), New Zealand (52 peratus), Singapura (52 peratus) berada di tempat-tempat teratas.

"Thailand, China, dan Hong Kong menerima markah yang rendah pada masing-masing 44 peratus, 40 peratus dan 38 peratus daripada pekerja," katanya.

Kelly Services berkata pekerka di Asia-Pasifik didapati paling kurang untuk memuji majikan mereka berbanding responden dari wilayah Amerika dan EMEA.

"Bagaimanapun, 60 peratus pekerja di China, Thailand, India dan New Zealand berkata positif tentang majikan mereka, manakala di Malaysia dan Singapura adalah pada 52 peratus dan Indonesia 50 peratus," katanya.

Pengarah urusan Kelly Services, Malaysia, Melissa Norman berkata, salah satu daripada sasaran utama ketua yang efektif adalah untuk menggalakkan pekerja mencapai kecemerlangan.

"Kurang daripada separuh yang dikaji (48 peratus) berkata mereka terinspirasi oleh pihak pengurusan mereka untuk memberikan prestasi terbaik di tempat kerja," kata beliau.

- BERNAMA

Recent Posts