Memaparkan catatan dengan label Kajian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kajian. Papar semua catatan

Khamis, November 10, 2011

Separuh Pekerja Malaysia Bekerja Lebih Lapan Jam Sehari - Kajian

Hampir separuh pekerja Malaysia bekerja lebih lapan jam sehari dan membawa pulang kerja secara tetap untuk diselesaikan pada sebelah malam, demikian menurut dapatan kajian global terbaharu dari Regus.

Regus, penyedia tempat kerja fleksibel terbesar di dunia telah mendapatkan maklum balas dari lebih 12,000 ahli perniagaan di 85 negara.

Alasan tekanan pada waktu bekerja yang boleh dipertikaikan telah meningkat sejak beberapa tahun ke belakangan disebabkan pemulihan ekonomi yang perlahan diekonomi matang dan sebaliknya sangat pantas di ekonomi baharu muncul, kata Regusdalam satu kenyataan di sini, Selasa. Kajian itu mendapati 32 peratus daripada pekerja Malaysia dan 38 peratus daripada pekerja global biasanya bekerja antara sembilan hingga 11 jam setiap hari manakala 15 peratus pekerja di Malaysia bekerja secara tetap lebih 11 jam sehari berbanding dengan 10 peratus di seluruh dunia.

Naib Presiden Regus Australia, New Zealand dan Asia Tenggara William Willems berkata kajian itu mendapati terdapat kekaburan mengenai garisan kerja dan rumah. Kesan jangka panjang terlebih kerja ini boleh merosakkan kesihatan pekerja dan produktiviti keseluruhan apabila para pekerja memaksa diri mereka bekerja teruk dan menjadi melawan, murung dan malah tidak sihat di segi fizikal, katanya. “Sambil kajian kami mendapati pekerja yang bekerja di tempat yang jauh dan mudah bergerak bekerja dalam tempoh yang lama, wujud bukti yang menunjukkan bahawa para pekerja yang bekerja di tempat yang jauh lebih produktif, mempunyai kepuasan bekerja dan paras tekanan yang rendah," katanya,sambil menyatakan para pekerja sedemikian biasanya kurang melakukan perjalanan,sekaligus membolehkan mereka menggunakan lebih banyak masa bagi pekerjaan masing-masing.

Perniagaan yang membolehkan warga kerja masing-masing bekerja dari lokasi yang berdekatan rumah dan menguruskan masa secara bebas akan menyeimbangkan tekanan keseimbangan kerja dan kehidupan dan menjadi lebih produktif, komited dan lebih sihat, katanya.

- BERNAMA

Sabtu, Oktober 29, 2011

Pengguna Malaysia berhemah berbelanja

KUALA LUMPUR 28 Okt. - MasterCard Worldwide (MasterCard) dalam kajiannya baru-baru ini mendedahkan para pengguna Malaysia lebih berhemah dalam berbelanja untuk barangan mewah berbanding pengguna di negara-negara rantau Asia, Asia Pasifik dan Asia barat.

Kajian yang dinamakan Kajian Keutamaan Pembelian Pengguna - Beli-belah Barangan mewah mendapati 22 peratus responden dari Malaysia mengakui memiliki barangan mewah yang menunjukkan perbezaan ketara dengan responden dari Singapura (57 peratus), Jepun (50 peratus) dan India (47 peratus).

Manakala Indonesia, katanya, sebanyak lapan peratus responden di republik itu memiliki barangan mewah dan 23 peratus lagi responden di kalangan warga Filipina.

''Kajian tersebut telah dikendalikan dari Mac sehingga April lalu melibatkan 6,022 pengguna dari lapan pasaran dunia," kata MasterCard dalam kenyataannya di sini hari ini.

Pengumpulan data katanya, adalah menerusi kajian internet, peribadi, telefon dan temubual secara komputer dengan bantuan telefon.

Setiap soalan yang dikemukakan kepada responden turut diterjemah kepada bahasa ibunda negara masing-masing mengikut keperluan.

"Hasil kajian dan laporan itu bagaimanapun tidak mewakili prestasi kewangan MasterCard secara keseluruhannya,'' jelas kenyataan tersebut.

Tambah MasterCard, kajian yang diperoleh itu turut mendapati para pengguna di Malaysia tidak 'merindui' untuk memiliki barangan mewah.

Katanya, ia dibuktikan dengan statistik iaitu hanya 20 peratus daripada responden di Malaysia berminat untuk memiliki barangan mewah dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Dalam 20 peratus responden yang berminat membeli barangan mewah, 15 peratus daripadanya telah membuat perancangan untuk membeli barangan lebih murah iaitu di bawah AS$1,000 (RM3,100),'' kata MasterCard.

Tambah MasterCard, para pengguna di Malaysia turut didapati kurang berminat untuk memiliki barangan mewah berbanding negara-negara lain kerana rakyat Malaysia telah dikategorikan sebagai berhati-hati.

Kata kenyataan itu, statistik kajian menunjukkan sebanyak 59 peratus responden dari negara ini sanggup untuk membeli barangan mewah tempatan dan hanya sewaktu tempoh jualan murah.

"Secara keseluruhannya, kajian itu menunjukkan para pengguna Malaysia amat berjimat cermat dan pandai menguruskan kewangan mereka.

"Sebagai sebuah negara membangun yang menuju sebagai negara maju, semakin ramai rakyat Malaysia memastikan barangan yang dibeli mereka adalah berkualiti dan menepati kepuasan perkhidmatan yang dikehendaki,'' ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Kanan Malaysia dan Brunei, MasterCard Worldwide, Jim Cheah berkata, pihaknya akan berterusan menjalin kerjasama dengan beberapa pemain industri bagi memberi nilai yang lebih kepada pengguna di negara ini.

- UTUSAN

Khamis, Oktober 20, 2011

Televisyen tidak sesuai untuk budak - Pakar Kanak-Kanak

NEW YORK: Kanak-kanak berusia kurang dua tahun tidak digalakkan menonton televisyen atau video kerana ia boleh menjejaskan perkembangan dan melambatkan keupayaan mereka bertutur, kata sekumpulan pakar pediatrik Amerika Syarikat (AS) dalam satu kajian disiarkan semalam.

Pakar pediatrik dari Akademi Pediatrik Amerika (AAP), Ari Brown, berkata ibu bapa seharusnya bercakap dengan anak, menggalakkan mereka bermain secara bebas, bertujuan menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan minda kanak-kanak.

Berdasarkan kajian dikemas kini, kami memperoleh bukti media elektronik seperti televisyen dan video berpotensi memberi kesan negatif kepada kanak-kanak berusia kurang dua tahun. Justeru, itu AAP tidak menggalakkan mereka menonton televisyen dan video, katanya.

Kajian terbaru itu bagaimanapun, tidak merujuk kepada permainan interaktif seperti permainan video, telefon pintar atau peralatan lain, hanya menjurus kepada media tontonan pasif ke atas mana-mana jenis layar sama ada telefon, komputer, televisyen atau lain.

Brown berkata, pemantauan diperlukan berikutan ledakan DVD bayi menyasarkan kumpulan usia dari satu hingga dua tahun, selain pengakuan 90 peratus ibu bapa yang menjadi responden bayi mereka menonton media elektronik.

Apa yang jelas ramai ibu bapa tidak peduli dengan hasil kajian ini. Dalam dunia layar yang berada di mana-mana, saya fikir kita perlu mencari jalan mengendalikan dan menjadikan satu diet media sihat.

AAP menggesa pakar pediatrik membincangkan penggunaan media dengan ibu bapa dan menyatakan golongan dewasa perlu sedar betapa terganggunya mereka apabila televisyen bersiaran.

- AFP

Selasa, September 27, 2011

Polis lebih stres berbanding guru


Lambakan beban kerja dan kerap mendapat tugasan di luar waktu pejabat atau on call menyebabkan ramai anggota polis mengalami tekanan atau stres, berbanding penjawat awam di sektor lain, iaitu doktor, jururawat, guru serta bomba.

Lambakan beban kerja termasuk kerja lebih masa yang perlu mereka lakukan kerana menyertai pelbagai operasi dan serbuan yang kebiasaannya dilakukan di luar waktu pejabat, iaitu antara jam 5 petang sehingga 6 pagi.

Hasil kaji selidik Jabatan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) juga mendapati responden merasai tekanan apabila dihantar ke sesuatu lokasi untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman serta menyertai pasukan pengaman di luar negara atau sering diarahkan bertugas ketika cuti umum, termasuk musim perayaan.

Kajian pada tahun 2007 hingga 2009 itu mendapati 53.7 peratus daripada 453 sampel kajian di enam balai polis di Wilayah Persekutuan, dipercayai mengalami stres di tempat kerja. Angka itu menunjukkan polis berada di kedudukan teratas mengatasi enam organisasi lain, iaitu bomba (47.3 peratus), guru (45.8 peratus), jururawat (42.3 peratus) serta doktor (40.7 peratus).

Hasil kajian juga menunjukkan 61.1 peratus anggota polis berpangkat sarjan ke atas mengalami kadar stres lebih tinggi berbanding anggota pangkat rendah, iaitu koperal dan konstabel dengan peratusan masing-masing 56 peratus dan 51.3 peratus.

Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar yang juga penganalisis jenayah, berkata stres yang dihadapi anggota polis berpunca daripada tiga sebab utama, iaitu profesion kepolisan, peraturan atau polisi dalam organisasi serta masalah individu.

Bekerja tanpa ketentuan masa atau 24 jam sehari dengan panggilan on call pada bila-bila masa, selain perlu mengikut arahan pegawai lebih tinggi boleh mengganggu kesihatan dan kehidupan anggota polis. Malah, sesetengah kes yang disiasat seperti kes bunuh atau yang membabitkan golongan berpengaruh ada kalanya memberikan tekanan terutama tahap kerisauan yang harus diterima serta risiko ancaman terhadap diri dan keluarga, katanya.

Akhbar berkata, anggota polis yang mengalami stres boleh menghadapi masalah sakit jiwa berpanjangan dan mengakibatkan banyak perkara tidak diingini berlaku, termasuk pembunuhan sesama rakan atau bunuh diri serta salah guna kuasa sehingga menyebabkan nyawa orang lain terancam.

Malah, dikhuatiri, jika tahap tekanan yang dihadapi begitu kritikal, senjata yang dimiliki digunakan sebagai alat untuk melakukan ugutan atau sebarang aktiviti jenayah termasuk rasuah, katanya.

Namun, katanya, stres dalam kerjaya kepolisan juga boleh berlaku kerana mereka sering dilabel sebagai perasuah dan prasangka negatif masyarakat terhadap mereka.

Sedangkan mereka menjalankan tugas, tetapi tuduhan sesetengah pihak kononnya pasukan polis korup sama sekali tidak berasas kerana jumlah yang terbabit adalah kecil. Di Malaysia, masyarakat jarang memuji polis, sedangkan merekalah yang menjaga keselamatan sehingga kita selesa untuk bergerak ke mana-mana. Jika dibandingkan di Amerika Syarikat, ia tidak sama seperti apa pasukan polis kita nikmati di negara ini.

Walaupun tidak dinafikan masih ada jenayah kecil berlaku di negara ini, keseluruhannya masih terkawal, mungkin disebabkan banyak rondaan polis di kebanyakan lokasi, termasuk yang menjadi tumpuan penjenayah, katanya yang pernah menginap dua tahun di Detroid, Amerika Syarikat, iaitu bandar yang mempunyai kadar jenayah tertinggi di negara itu.

- BERITA HARIAN

Jumaat, Ogos 12, 2011

Generasi baru Malaysia tidak pentingkan risiko kesihatan & kerjaya

Generasi X dan Y di Malaysia berumur antara 20 hingga 40 tahun didapati tidak kisah tentang kesihatan dan kerjaya jika dibandingkan dengan negara-negara di Asia-Pasifik termasuk Singapura.

Swiss Re yang menjalankan tinjauan itu mendapati hanya 60 peratus merancang untuk membeli produk insurans hayat/kesihatan dalam masa 12 bulan akan datang disebabkan kebimbangan tentang bil perubatan.

Untuk industri insurans, mereka yang berumur 20 hingga 40 tahun bukan hanya pembeli insurans masa depan tetapi turut mewakili peluang perniagaan paling besar sekarang.

Swiss Re telah menjalankan satu tinjauan-pendapat besar-besaran meliputi 13,800 pengguna yang berumur di-antara 20 hingga 40 tahun, meliputi 11 bandar-bandar utama di pasaran Asia-Pasifik antara April hingga Mei 2011.

Kajian itu bertujuan mengenal pasti risiko sikap pengguna jika dibandingkan dengan kajian sulung yang di jalankan semasa krisis kewangan

Sedunia pada 2009 dengan menggunakan Indeks Risiko Selera Pengguna Swiss Re(CAFRI).

Bidang kajian telah diperluaskan pada 2011 untuk meninjau keperluan insurans dan tabiat membeli responden.

Di Malaysia, mereka yang berumur 20 hingga 40 tahun masih lagi enggan mengambil kira risiko meskipun selepas berlakunya krisis kewangan sedunia.

Malaysia menduduki tangga kelapan dalam senarai CAFRI, satu tangga di atas Vietnam dan Indonesia dan di belakang Singapura keempat.

Eric Gan, Ketua Swiss Re Malaysia dan Pengurus Pemasaran Pelanggan Insurans Semula berkata: ''Jika dibandingkan dengan rakan-rakan negara Asia-Pasifik, orang Malaysia berumur 20 hingga 40 tahun kurang mementingkan risiko kesihatan dan kerjaya mereka dan lebih bersedia tentang risiko untuk gaya-hidup mereka,".

- UTUSAN

Khamis, Mac 31, 2011

Sebenarnya Lebih Ramai Lelaki Kemalangan Berbanding Wanita - MIROS

Kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati bilangan pemandu lelaki yang terlibat dalam nahas jalan raya adalah 2.4 kali lebih tinggi berbanding wanita.

Ketua Pengarah MIROS, Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam satu kenyataana hari ini berkata, kajian itu turut disokong statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan sejumlah 244,336 kemalangan membabitkan pemandu lelaki berbanding 103,153 bagi wanita, pada 2009.

Mengambil kira bilangan penduduk, beliau berkata lelaki mempunyai purata kadar nahas jalan raya sebanyak 1,351.74 untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 537.97 bagi wanita, dan ini membuktikan lelaki 2.5 kali lebih berisiko berbanding wanita.

Bagaimanapun, katanya, Miros mendapati wanita menunjukkan peningkatan kemalangan yang kurang sihat pada 2009 berbanding 2006.

"Jumlah pemandu wanita yang terlibat dalam kemalangan bertambah daripada 26.4 peratus pada 2006 (berbanding lelaki 73.6 peratus) dan telah meningkat kepada 29.7 peratus pada 2009," katanya ketika mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin bahawa wanita memandu sambil lewa di jalan raya.

Kenyataan Bung Moktar pada persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu telah mencetuskan perdebatan hangat dan membangkitkan kemarahan kaum wanita ke atas kenyataannya itu.

Dalam hubungan ini, Ahmad Farhan berkata, kajian itu juga menunjukkan lelaki dan wanita mempunyai ciri berbeza yang mempengaruhi pemanduan mereka seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri.

"Semasa memandu, seorang wanita akan memikirkan beberapa perkara, tetapi memandangkan pemanduan memerlukan gandingan aksi dan reaksi, ada kalanya, sesetengah wanita akan melakukan kesilapan," katanya.

Beliau berkata, dari sudut pemanduan, lelaki pula dikenal pasti memiliki kemahiran lebih tinggi berbanding wanita, dan ini menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan seringkali juga "terlebih yakin" sehingga memandu di luar kawalan serta secara berbahaya.

Bagaimanapun, katanya, kes kemalangan jalan raya kini sering berlaku tanpa mengira jantina.

- MSTAR

Rabu, Januari 05, 2011

Rakyat Malaysia belanja RM6,000 dalam talian

Rakyat Malaysia membelanjakan secara purata lebih daripada RM6,000 dalam talian sejak 12 bulan lalu, demikian menurut Pemantauan Pengguna eCommerce Visa 2010 mengenai tabiat membeli-belah dalam talian dan motivasi.

Dalam satu kenyataan hari ini, Visa berkata kaji selidik itu menunjukkan yang rakyat Malaysia membeli tiket penerbangan dan penginapan pengembaraan secara dalam talian.

"Menurut kaji selidik itu, 82 peratus daripada responden Malaysia berkata mereka membeli tiket penerbangan di Internet sejak 12 bulan lepas sementara 72 peratus dilaporkan membeli penginapan pengembaraan dalam talian," katanya.

Pengurus negara Visa Malaysia, Stuart Tomlinson berkata, menempah tiket kapal terbang dan membeli perkhidmatan kewangan atau peranti elektrik telah kian meningkat.

"Malah, ramai pembeli Malaysia yang membeli secara dalam talian merasakan yang ia lebih selesa membeli-belah di Internet berbanding pergi ke kedai sebenar kerana mereka boleh membandingkan harga dengan mudah dan membeli pada masa yang sesuai," kata beliau.

Penemuan itu adalah berdasarkan kepada 3,516 temubual dalam talian dengan pengguna tetap Internet yang berusia 18 tahun dan ke atas di enam pasaran eCommerce yang pesat berkembang - tanah besar China, India, Indonesia, Malaysia, Taiwan dan Thailand.

- Bernama

Jumaat, Oktober 08, 2010

Wanita selalu guna alasan insan lemah

LONDON - Satu kajian terbaru di Britain mengesahkan ungkapan 'saya cuma seorang wanita' kerap digunakan oleh kaum hawa bagi menutup kelemahan atau kegagalan diri, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kajian tersebut mendapati 88 peratus responden wanita pernah menggunakan jantina mereka sebagai alasan manakala lebih separuh mengakui membuat alasan itu secara tetap.

Antara yang cenderung berlaku, wanita akan menyalahkan jantina kerana kelemahan skil memandu atau meletak kereta.

Alasan tersebut turut popular bagi wanita untuk mengelak mengangkat benda berat, menangkap serangga, membuka penutup ketat, mengelak konfrontasi, bertukang dan cemerlang dalam bidang sukan selain kelemahan pemanduan arah.

Hasil kaji selidik itu diumumkan selepas selebriti Britain, Katie Price mengaku di sebuah mahkamah majistret pada minggu lalu bahawa kenderaan yang dipandunya tiba-tiba melencong kerana dia cuma seorang pemandu wanita biasa.

Alasan model itu tidak diterima oleh majistret di mahkamah tersebut menyebabkan dia didapati bersalah kerana cuai mengendalikan kenderaan.

- Agensi

Isnin, Oktober 04, 2010

Melayu paling banyak didera fizikal, emosi - Kajian

Satu kajian mendapati bangsa Melayu paling ramai mengalami penderaan fizikal dan emosi, terutama warga tua yang kebanyakannya tinggal bersama anak.

Kajian dijalankan Institut Gerontologi Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga mendapati daripada 480 orang warga tua yang ditemui, 125 atau 26 peratus daripada mereka mengaku pernah mengalami penderaan fizikal dan emosi.

Pengarahnya, Prof Madya Dr Tengku Aizan Hamid, berkata penderaan dari segi emosi terhadap warga tua paling membimbangkan dan boleh membawa kepada beberapa faktor lain seperti hilang kewarasan dan hidup melarat.

“Kebanyakan warga tua mengalami penderaan fizikal dan emosi adalah wanita atau ibu. Walaupun bukan semua wanita yang terbabit adalah golongan ibu, tetapi peratusan mereka lebih tinggi berbanding yang lain.

“Dari segi taraf hidup pula, golongan berpendapatan rendah paling banyak mengalami penderaan fizikal dan emosi. Mungkin kerana faktor kehidupan kita yang membuatkan merekamenjadi mangsa penderaan.

“Ini agak membimbangkan kerana seharusnya warga tua dilayan dengan baik, tetapi apa yang kita lihat kini, konsepnya sudah berubah seolah-olah masyarakat kita sudah tidak mempunyai nilai moral,” katanya ketika ditemui Berita Minggu.

Kajian juga menunjukkan penderaan fizikal tidak terhad kepada wanita, malah berlaku di kalangan lelaki. Daripada 26 peratus mengaku didera, 14 peratus alami penderaan emosi; penderaan membabitkan harta dan kewangan (10.2 peratus); penderaan fizikal (9.6 peratus) dan seksual (0.4 peratus).

“Mungkin juga faktor kehidupan kini yang semakin mencabar sehingga membuatkan anak terlupa percaturan sebenar hidup. Jika ingin diberikan sebab kenapa perkara ini berlaku, pada saya terlalu banyak puncanya.

“Apa yang penting institusi kekeluargaan itu sendiri kena kukuh. Jika diberikan pendidikan sempurna dan terbaik kepada anak, tidak mungkin perkara ini akan berlaku,” katanya.

- BERITA MINGGU

Rabu, Ogos 25, 2010

Malaysia ke-37 senarai Negara Terbaik Dunia - Newsweek

Majalah antarabangsa Newsweek meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-37 dalam senarai Negara Terbaik Dunia dan ketiga di rantau Asia sebagai negara pilihan yang mampu menyediakan tempat untuk hidup lebih selesa dan sihat, selamat, sejahtera serta maju.

Majalah keluaran 23 hingga 30 Ogos itu turut menyenaraikan Malaysia pada kedudukan kelapan daripada 10 negara pendapatan sederhana tinggi dalam bidang pendidikan.

Dalam keluaran khas yang pertama kali menilai negara terbaik dunia membabitkan 100 negara, Malaysia berada di bawah Jepun (kesembilan) dan Singapura (20), tetapi di atas Thailand (58), Filipina (63) dan Indonesia (73).

Negara rantau Asia lain yang turut tersenarai adalah China (59), Sri Lanka (66), India (78), Vietnam (81), Bangladesh (88) dan Pakistan (89), manakala tiga negara teratas yang menjadi pilihan ramai adalah Finland, Switzerland dan Sweden.

Penilaian dibuat menerusi soal selidik mudah tetapi kompleks yang bertanya: Jika anda lahir hari ini, negara manakah yang menyediakan peluang terbaik kepada anda untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sihat, selamat, sejahtera dan maju?.

Newsweek memilih pencapaian itu berdasarkan lima kategori kesejahteraan negara iaitu pendidikan, kesihatan, kualiti kehidupan, daya saing ekonomi dan persekitaran politik.

Mengikut majalah itu, usaha menilai tahap negara terbaik dilakukan selama beberapa bulan dan mendapat bantuan lembaga penasihat termasuk pemenang anugerah Nobel, Prof Joseph E Stiglits dari Universiti Columbia.

Senarai itu menggambarkan keadaan negara terbabit pada 2008 dan 2009 dan bukan saja berkisar kepada latar belakang sejarah atau jangkaan masa depan sesebuah negara.

- BERITA HARIAN

Khamis, Ogos 19, 2010

60 peratus berzina kerana pengaruh video lucah

Satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr. Khaizil Ismail berkata, Kajian Remaja Berisiko Tinggi yang dijalankan selama enam bulan itu dijalankan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun.

“Biasanya gadis yang sudah berzina dengan pasangan akan mengandung dan kemudian mengambil keputusan membuang bayi yang dilahirkan bagi mengelakkan rasa malu atau diketahui keluarga.

“Perzinaan yang berlaku akan menyebabkan terhasilnya anak luar nikah. Jadi, saya menyokong kenyataan bahawa kes-kes buang bayi yang semakin banyak sekarang ini adalah berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

- KOSMO!

Rabu, Ogos 04, 2010

Wanita lebih tertarik pada lelaki berbaju merah - Kajian


NEW YORK – Satu kajian di Amerika Syarikat (AS) menyatakan wanita lebih tertarik pada lelaki yang memakai pakaian berwarna merah, lapor sebuah akhbar semalam.

Penyelidik di Universiti Rochester yang melakukan kajian tersebut, Profesor Andrew Elliot berkata, warna merah berupaya menjadikan lelaki kelihatan lebih bertenaga sekali gus membuatkan wanita tertawan.

“Kami mendapati wanita melihat lelaki yang berpakaian warna merah sebagai memiliki status lebih tinggi, lebih cenderung memiliki kekayaan dan pengaruh. Tanggapan berkaitan status tinggi ini menyebabkan wanita tertarik kepada mereka,” katanya.

Menurut profesor di bidang psikologi itu, beberapa kajian mendapati wanita tidak menyedari tentang kesan warna merah tersebut.

Kajian itu yang menggunakan gambar sejumlah lelaki berpakaian berlainan warna dengan wajahnya dikaburkan mendapati kebanyakan responden wanita memilih lelaki berpakaian merah sebagai lebih menarik. .

Saintis-saintis percaya kesan itu disebabkan kombinasi faktor budaya dan biologi. Kesan serupa dilihat dalam kehidupan beruk seperti babun mandrill dan babun gelada apabila haiwan jantannya mempunyai warna merah yang menandakan dominasi spesies jantan.

– Agensi

Khamis, Julai 22, 2010

Melayu paling ramai tengok porno?


Satu kajian terbaru membuktikan remaja Melayu paling ramai melayari laman web lucah sekali gus mendorong mereka terjebak dengan gejala seks bebas berbanding kaum Cina dan India.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia itu mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah mahupun di kafe siber.

Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa 15 peratus remaja Melayu suka melepak, menghisap rokok (13.7 peratus) manakala ponteng sekolah dan memaki hamun orang masing-masing 11.5 peratus.

Pengarah IPSAS, Profesor Dr. Md. Salleh Hassan yang mengetuai kajian itu berkata, bahan pornografi yang terlalu mudah dibeli dan diakses menerusi Internet menjadi punca utama remaja Melayu terjebak dengan gejala tersebut.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan, ibu bapa yang ditemu bual tidak mengaku kesilapan anak masing-masing sedangkan si anak mengakui kesalahan salah laku yang dilakukan mereka ketika disoal selidik.

"Dulu, ponteng sekolah yang mendominasi salah laku pelajar tapi kini, mereka yang ditemu bual oleh kumpulan penyelidik kami mengaku lebih suka tengok pornografi dengan ke kafe siber,'' kata Md. Salleh ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

- KOSMO!

Khamis, Julai 15, 2010

'Melayu bukan pendatang' - Kajian

Rumpun Melayu adalah penduduk asal bumi Malaysia sejak 40,000 tahun lalu dan bukannya berhijrah dari tanah besar utara di China, demikian menurut hasil kajian arkeologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ketua Pakar Arkeologi UKM, Prof Dr Nik Hassan Shuhaimi, berkata artifak yang ditemui di lebih 100 kawasan ekskavasi adalah berbentuk tempatan dan bukannya dibawa dari luar.

Katanya, artifak terbabit ditemui di kawasan ekskavasi di Pulau Kalumpang dan Beruas di Perak; Kota Johor Lama, Kota Seluyut, Kota Sayong Pinang, dan Muar di Johor; Kota Melaka di Melaka; Kota Lukut di Negeri Sembilan, serta beberapa tapak di Tasik Kenyir di Terengganu.

“Perkara ini turut dibuktikan dengan penemuan tengkorak manusia di Gua Niah, Sarawak oleh Kurator Museum Sarawak, Tom Harrison dan isterinya, Barbara pada 1958.

“Penemuan itu dan kajian yang dijalankan ahli arkeologi UKM menolak teori migrasi oleh Heine-Geldern dan penyelidik dari Vienna School of Thought yang dikemukakan pada 1930-an,” katanya.
Beliau mengemukakan teori itu ketika membentangkan kertas kerja bertajuk `Tiga Puluh Lapan Tahun Arkeologi di UKM’ di Seminar Penanda Arasan Arkeologi di UKM, kelmarin.

Nik Hassan yang juga Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) berkata, teori itu menyatakan penemuan kapak batu di Malaysia dikatakan mempunyai ciri sama dengan kapak batu dari sebelah utara yang menunjukkan bahawa orang Melayu berpindah dari tanah besar utara.

Bagaimanapun, katanya, penemuan kapak itu tidak bermakna orang Melayu
berhijrah dari sebelah utara kerana ia membuktikan orang Melayu juga pan-
dai membuat alatan berkenaan.

“Kajian arkeologi UKM turut berjaya menemui data baru mengenai asal usul kerajaan Melayu tertua di Malaysia iaitu Kataha atau Kedah Tua di kawasan ekskavasi di Sungai Mas, Kedah,” katanya.

Beliau turut menyatakan proses Indianisasi adalah isu penting dalam zaman kerajaan awal kerana proses itu boleh ditukar kepada proses pembumiputeraan kebudayaan India.

“Kebudayaan India di Alam Melayu bukan dibawa melalui proses penaklukan, tetapi dipanggil oleh masyarakat tempatan dan disesuaikan dengan kebudayaan tempatan,” katanya.

- BERITA HARIAN

Ahad, Jun 20, 2010

Isteri berleter 6 hari setahun

LONDON: Satu kajian terbaru mendapati isteri tidak merasa bersalah berleter terhadap suami mereka manakala si suami secara rahsia merasakan bahawa mereka sentiasa betul.

Golongan isteri juga dianggarkan menghabiskan kira-kira 7,920 minit setahun untuk berleter kepada suaminya mengenai rutin rumah tangga, tabiat minum dan kesihatan mereka. Ia bersamaan dengan dua jam setengah setiap minggu atau keseluruhan 11 jam sebulan atau hampir enam hari setahun.

Satu kajian membabitkan lebih 3,000 orang dijalankan kumpulan kempen kesihatan Everyman merumuskan, perkara biasa yang dileteri wanita mengenai pasangan mereka adalah tidak membantu mengemas rumah.

Satu kajian membabitkan lebih 3,000 orang dijalankan kumpulan kempen kesihatan Everyman merumuskan, perkara biasa yang dileteri wanita mengenai pasangan mereka adalah tidak membantu mengemas rumah.
Aduan lain termasuk tidak membantu membersihkan pinggan mangkuk, terlalu banyak minum dan tidak mendapatkan rawatan doktor.

Majoriti wanita tidak berasa malu suka berleter dengan 87 peratus mengakui sukar untuk memastikan pasangan melakukan sesuatu.

Manakala lelaki berkata, mereka tidak mengakui perkara itu dengan 83 peratus merasakan mereka sentiasa betul.

Walaupun berleter adalah satu perkara yang tidak disukai dalam satu perhubungan, strategi berkenaan kadang kala dilihat lebih efektif berdasarkan kepada kajian.

– Agensi

Khamis, Mei 06, 2010

Anugerah Jenama Yang Dipercayai Reader's Digest 2010

Malayan Banking Bhd. (Maybank) berjaya meraih dua anugerah untuk sektor kewangan dan pengeluar utama kad kredit di negara ini dalam Anugerah Jenama Yang Dipercayai Reader's Digest 2010.

Anugerah itu yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi berdasarkan kaji selidik majalah antarabangsa itu yang menilai kecenderungan jenama dalam kategori produk dan perkhidmatan.

Daripada 42 kategori, jenama "Buatan Malaysia" diumumkan pemenang dalam 23 kategori dan menjadi pilihan ramai pengguna.

Senarai penuh pemenang:

1. Kategori Vitamin/Makanan Kesihatan Tambahan - Amway Nutrilite

2. Kategori Minuman Beralkohol - Carlsberg

3. Bank Paling Dipercayai - Maybank dan Public Bank

4. Bank Pengeluar Kad Kredit Tertinggi - Citibank dan Maybank

5. Perkhidmatan Kewangan Islam - Bank Islam

6. Syarikat Kewangan Pelaburan Paling Dipercayai - Public Mutual

7. Kategori Perlindungan Insurans - AIA, Great Eastern dan Prudential.

8. Pengendali Perkhidmatan Telefon - Maxis

9. Pengendali Perkhidmatan Internet - Streamyx

10. Syarikat Penerbangan - Malaysia Airlines

11. Kawasan Tarikan Pelancongan Keluarga - Genting Highlands dan Langkawi

12. Kereta - Honda, Proton dan Toyota

13. Tayar - Dunlop, Goodyear dan Michelin

14. Stesen Petrol - Petronas dan Shell

15. Perkhidmatan Udara/Courier - DHL, FedEx dan PosLaju

16. Pemaju Hartanah Berdaya Saing Tinggi - Sime Darby Property

17. Universiti Bertaraf Tinggi - Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Teknologi MARA

18. Agensi/Jabatan Kerajaan - Jabatan Imigresen Malaysia

19. Hospital Utama - Hospital Kuala Lumpur

20. Restoran Berkonsepkan Kekeluargaan- KFC, McDonald's dan Pizza Hut

21. Cat - ICI Dulux dan Nippon Paint

22. Ubin Dinding dan Lantai- White Horse

23. Tilam - Dreamland dan Duplopillo

24. Pendingin Hawa - Panasonic dan York

25. Kamera - Canon, Nikon dan Sony

26. Televisyen Skrin Rata- Panasonic, Samsung dan Sony

27. Komputer Peribadi- Acer, Dell dan HP

28. Mesin Pencetak Pelbagai Fungsi - Canon dan HP

29. Kedai Barangan Elektrik - Senheng

30. Pen - Kilometrico, Parker dan Pilot

31. Fesyen Kanak-Kanak- Kikilala dan Kiko

32. Pakaian Dalam Wanita - Triumph

33. Minyak Wangi - Calvin Klein, Dior, Estee lauder dan Hugo Boss

34. Peti Sejuk - Panasonic

35. Penapis Air- Amway, Diamond, Elken dan Panasonic

36. Minyak - Buruh, Knife dan Seri Murni

37. Produk Bahan Perisa- Adabi, Ajinomoto dan Maggi

38. Beras- Jasmine dan Jati

39. Minuman Kotak- Yeo's, Dutch Lady dan Nestle

40. Susu - Dutch Lady

41. Pencuci Pakaian- Dynamo, Fab dan Top

42. Pewarna Rambut - L'Oreal - BERNAMA

Lebih ramai gemar bekerja sendiri - Kajian

Kemelesetan ekonomi Malaysia telah menyaksikan kelahiran generasi baru usahawan tempatan dengan seorang daripada enam responden menganggap diri mereka sebagai 'bekerja sendiri'.

Hasil itu adalah sebahagian daripada Indeks Tenaga Kerja Global Kelly, yang mendapatkan pandangan kira-kira 134,000 kakitangan, termasuk 2,000 di Malaysia.

Tinjau selidik itu juga mendapati hampir separuh daripada responden mahu memulakan perniagaan mereka sendiri, dengan golongan Gen Y yang berusia 18 hingga 29 tahun lebih berminat memulakan perusahaan komersial.

Pengarah Urusan Kelly Services Malaysia, Melissa Norman menjelaskan, ramai di antara mereka yang kehilangan kerja akibat krisis ekonomi global kini bertukar menjadi kontraktor dan pekerja bebas serta perunding.

Hari ini, lebih ramai orang ingin menentukan jalan kerjaya mereka sendiri dan menganggap bekerja sendiri sebagai cara untuk mencapai kejayaan peribadi dan profesional.

Hasil tinjau selidik di Malaysia mendedahkan sebanyak 17 peratus daripada responden kini bekerja sendiri.

Minat terhadap pekerjaan sendiri adalah seiring dengan trend ke arah penggunaan sumber luar bagi menjalankan fungsi bukan teras yang menyaksikan banyak organisasi mengurangkan tenaga kerja tetap, mewujudkan peluang baru bagi kontraktor bebas.

''Apabila dilihat dari segi perspektif generasi, terdapat kecenderungan bagi pekerja muda untuk menunjukkan lebih minat berbanding pekerja yang lebih tua untuk melaksanakan kerja yang fleksibel dan bersifat keusahawanan,'' menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Industri yang melibatkan kumpulan pekerja sendiri paling besar ialah pendidikan, pelancongan dan riadah, perkhidmatan perniagaan dan kejuruteraan.

Kelly Service berkata, hasil tinjau selidik turut menunjukkan semakin ramai orang terlibat atau merancang untuk menceburi satu bentuk aktiviti keusahawanan.

Walaupun menghadapi ketidakpastian, idea untuk keluar daripada kepompong pekerjaan makan gaji biasa menjadi daya tarikan bagi mereka yang mahukan kebebasan apabila bekerja sendiri, tambah Norman.

- UTUSAN

Sabtu, Januari 16, 2010

Ramai faham 1Malaysia

Satu tinjauan pendapat yang dikendalikan kerajaan tahun lalu menunjukkan kira-kira 60 peratus daripada tujuh juta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya setakat ini, memahami maksud gagasan 1Malaysia.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mengumumkan hasil kajian itu di sini, semalam, berkata 40 peratus lagi meminta kerajaan memberi lebih penerangan mengenai pengisian gagasan berkenaan.

"Kementerian bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi dan menghantar tinjauan pendapat kepada rakyat Malaysia secara rawak. Soalan yang ditanya adakah rakyat faham konsep 1Malaysia.

"Hasilnya, kita menerima 14 juta maklum balas.

Daripada jumlah itu, 7 juta sudah diproses dengan 60 peratus darinya memahami gagasan 1Malaysia, manakala 40 peratus lagi meminta penjelasan lanjut," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Pegawai Kanan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dari seluruh negara di Angkasapuri.

Rais berkata, kementeriannya juga mengadakan menemuduga terus rakyat mengenai pemahaman masyarakat mengenai gagasan 1Malaysia.

"Sejumlah 12,212 responden ditemuduga dan kira-kira 62 peratus mengatakan mereka faham dan maklum mengenai maklumat dan matlamat murni gagasan 1Malaysia.

"Jadi kedua-dua kumpulan data ini akan kita buat satu pangkalan dan kemudian kita buat satu cerakinnya supaya lebih mudah bagi kita menentukan aspek mana 1Malaysia ini yang harus kita beri penumpuan lebih daripada sekarang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjadualkan segmen kedua maklum balas SMS itu bagi membolehkan responden memberikan huraian kepada jawapan mereka.

"Bagi segmen pertama, soalannya mudah, misalnya 'Fahamkah anda tentang Gagasan 1Malaysia?... tidak ada huraian. Bagi segmen kedua, kita akan mengisi pertanyaan dalam bentuk jawapan yang lebih menjurus kepada fahaman yang lebih mendalam," katanya.

Mengulas lanjut, Rais yakin peratusan rakyat yang memahami gagasan 1Malaysia akan meningkat apabila jumlah keseluruhan SMS yang diterima kementeriannya diproses.

"Bagaimanapun, kita tidak berpuas hati di sini saja. Saya sudah arahkan pegawai saya di setiap daerah untuk bergerak lebih aktif dengan masuk ke kampung dan estet bagi memberi penerangan mengenai gagasan 1Malaysia.

"Kita akan menyusun lebih banyak program pemahaman seperti bersemuka secara langsung di kampung, kampung baru, sekolah dan menerusi siaran televisyen yang mengandungi program pemahaman.

"Pengisian program-program tersebut akan meliputi penerangan dari segi perpaduan, kandungan Perlembagaan, pendekatan Rukun Negara, hak-hak asasi beragama, susunan kontrak sosial yang wujud, pembelajaran dan pelajaran yang ada," katanya.

- BERITA HARIAN

Isnin, November 09, 2009

Kajian - Penyokong muda Pas paling tadah

Sokongan golongan muda kepada Pas berpaling arah dengan mendadak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 tahun lalu.

Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata 70 peratus golongan muda yang percaya pentadbiran Pas sangat baik ketika PRU-12, kini berubah pantas.

Perubahan ketara berlaku di kalangan golongan muda berusia 21 hingga 30 tahun dan golongan pertengahan 31 hingga 40 tahun.

Menurutnya, selepas PRU-12 juga kewibawaaan kepemimpin Pas dipersoalkan oleh rakyat, termasuk mereka yang sebelumnya menyokong parti itu.

Dr Abu Hassan mendedahkan hasil kajiannya bertajuk "Kajian Mikro Kepercayaan Politik di Malaysia Dari Persepsi Pola Kepercayaan Untuk PRU ke 13 akan datang" pada Seminar Memperkasakan Parti di Markas Pas Taman Melewar, Gombak, dekat sini, semalam.

Kajian membabitkan 2,100 responden di negeri-negeri di utara dan Pantai Timur, tidak termasuk Sabah dan Sarawak.

Hasil kajian juga mendapati golongan muda cuma mengenali lima pemimpin Pas iaitu, Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden), Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Bekas Menteri Besar Perak), Mohamad Sabu dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Menteri Besar Kedah).

Beliau menjelaskan, sepanjang tempoh selepas PRU 12, keberkesanan politik dan pentadbiran pucuk pimpinan Pas mula tidak mendapat kepercayaan rakyat, Pas juga gagal menonjolkan pemimpin muda parti itu.

"Strategi politik menghadapi PRU ke-13 sangat lemah. Keberkesanan kempen dalam PRU lalu kini mula dipersoalkan dan golongan yang menentang meningkat 400 peratus,"

Abu Hassan berkata, kepercayaan mikro kepada Pas serta kebijaksanaan pentadbiran kini merudum.

Sehubungan itu, beliau berkata, kepercayaan itu akan berubah 100 peratus menjelang PRU 13.

"Sokongan media alternatif termasuk penulis blog, jurnal amat mengejutkan kerana laporan negatif meningkat 213 peratus berbanding sebelum PRU 12. Mereka mula beralih arah atau berada di atas pagar," katanya.

Beliau berkata, antara isu negatif yang sering diutarakan ialah masalah kepemimpinan, ideologi, jentera, individu dan manifesto.

Mengenai persoalan adakah Pas perlu bersetuju mengenai cadangan mewujudkan satu parti gabungan Pakatan Rakyat, kajian menunjukkan 288 responden cuma bersetuju Pas kekal sebagai ahli bersekutu.

"Mereka percaya Pas mampu berdiri sendiri dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat cuma sebagai ahli bersekutu, tak boleh lebih daripada itu," katanya.

- BERITA MINGGU

Recent Posts