Memaparkan catatan dengan label Isu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu. Papar semua catatan

Rabu, Disember 25, 2013

Isu gaji lelaki dan wanita

kreatif dan pemasaran besar di Malaysia membayar gaji pekerja lelaki pada purata 27 peratus lebih tinggi daripada wanita, manakala firma yang lebih kecil dalam bidang sama menawarkan gaji yang sama, demikian mengikut hasil satu kaji selidik.

Mengikut kaji seilidik font, sebuah agensi pengambilan pekerja, wanita didapati memperoleh 10 peratus kurang daripada lelaki dalam sektor dikaji, tetapi mereka yang kekal dalam pekerjaan mereka selama sembilan hingga 10 tahun lebih cenderung untuk mencapai gaji yang sama berbanding dengan rakan lelaki mereka.

Pengarah Serantau Asia font Karin Clarke berkata, gaji lebih rendah di syarikat kecil berbanding syarikat besar, tetapi budaya berkenaan cenderung untuk meletakkan lebih nilai terhadap kesaksamaan.

Font membuat tinjauan terhadap 4,350 peserta dengan 988 daripadanya rakyat Malaysia, membandingkan gaji berdasarkan saiz syarikat, tahun pengalaman, jantina dan kelayakan, di seluruh sektor pengiklanan, pemasaran, kreatif dan multimedia.

Di semua empat sektor itu, wanita yang mempunyai pengalaman lebih daripada sembilan tahun memperoleh gaji purata sembilan peratus lebih daripada rakan lelaki mereka.

Namun, kajian itu mendapati lelaki dengan pengalaman 16 hingga 20 tahun didapati memperoleh lebih daripada wanita.

Kajian itu juga mendapati wanita lebih cenderung untuk bertukar tempat kerja.
Wanita akan meninggalkan pekerjaan mereka jika ditawarkan kenaikan 10 peratus, manakala lelaki tidak akan meninggalkan kerja mereka kecuali ditawarkan kenaikan 16.7 peratus.

- BERNAMA

Ahad, Oktober 06, 2013

Perkahwinan bawah umur meningkat

Di Malaysia, dari segi undang-undang, kanak-kanak perempuan di bawah umur 16 tahun tidak boleh memandu atau membeli rokok.

Mereka juga tidak boleh menonton filem tertentu atau pergi ke kelab malam. Tetapi mereka boleh berkahwin - dan ia sah di sisi undang-undang.

Malah, semakin ramai yang berbuat demikian, berdasarkan statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Pada tahun 2012, terdapat kira-kira 1,165 permohonan untuk berkahwin, di mana satu pihak, kebiasaannya bakal pengantin perempuan, adalah lebih muda berbanding usia yang dibenarkan dalam undang-undang berkahwin.

Mahkamah Syariah telah meluluskan 1,022 daripada permohonan itu.

Ini merupakan peningkatan berbanding rekod 2011, iaitu kira-kira 900 perkahwinan.

Sehingga Mei tahun ini, JKSM menerima 600 permohonan perkahwinan, di mana 446 telah diluluskan.

Di Malaysia, undang-undang umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun, tetapi 16 tahun untuk anak gadis Muslim.

Mereka yang berusia di bawah 16 tahun boleh berkahwin dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Malaysia, bersama-sama dengan lebih daripada 90 negara-negara lain, menerima pakai satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan perkahwinan awal atau paksa kanak-kanak, pada Majlis Hak Asasi Manusia minggu lepas.

Bagaimanapun, data JKSM menunjukkan bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah sangat berleluasa di Malaysia.

Sisters in Islam (SIS) berkata adalah mengejutkan apabila perkahwinan kanak-kanak masih wujud di negara ini kerana kelemahan undang-undang perkahwinan dan kepercayaan yang berterusan bahawa kanak-kanak perempuan perlu dibenarkan berkahwin apabila mereka mencapai akil baligh.

"Kami berdiri bersama-sama PBB bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah berbahaya kepada kanak-kanak dan anak gadis, khususnya terdedah kepada penderaan, masalah kesihatan, masalah dalam mengakses pendidikan dan kehilangan zaman kanak-kanak dan remaja," kata Pegawai Undang-Undang SIS Kartina Mohd Sobri.

Memandangkan bilangan yang ketara, kerajaan perlu mengkaji semula peruntukan-peruntukan dalam undang-undang Syariah, adat dan sekular yang kini membenarkan kanak-kanak perempuan di bawah umur 18 tahun untuk berkahwin, kata Penasihat Program United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia Saira Shameem.

"Kita perlu membangunkan alternatif dan pilihan yang lebih progresif yang akan membolehkan anak-anak kita sepenuhnya mencapai tahap potensi mereka.

"Terdapat juga risiko terhadap kesihatan fizikal kanak-kanak perempuan yang berkahwin dan hamil terlalu awal.

"Hasilnya, hari ini di Malaysia kita mempunyai kanak-kanak perempuan bawah umur yang mati kerana komplikasi kesihatan ibu semasa bersalin," katanya.

"Ini tidak boleh diterima, dan usaha-usaha perlu diambil untuk menyediakan alternatif dan pilihan yang sebenar untuk menyelamatkan nyawa orang-orang muda."

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Haji Othman Mustapha, berkahwin pada usia awal "tidak dilarang dalam Islam tetapi pasangan yang berkahwin perlu cukup matang untuk memahami bahawa perkahwinan datang tanggungjawab yang besar".

"Pasangan itu perlu tahu bahawa mereka telah bersedia untuk kehidupan di alam perkahwinan dan bahawa mereka telah dilengkapi dengan pengetahuan yang betul, terutamanya maksud dan peranan sebenar sebagai suami atau isteri dalam Islam. Paling penting, mereka perlu memahami sebab sebenar mengapa mereka berkahwin," katanya.

"Jika ia semata-mata untuk memuaskan nafsu seksual mereka, mereka perlu tahu bahawa ia tidak akan membawa kepada penyatuan yang bahagia dan berkekalan."

Beliau menegaskan bahawa Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) menyatakan bahawa umur minimum undang-undang untuk kanak-kanak lelaki Islam adalah 18 tahun, dan anak-anak gadis Islam 16 tahun.

"Mereka yang berusia lebih muda dibenarkan untuk berkahwin dengan kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah selepas kedua-dua belah ibu bapa membuat permohonan untuk melangsungkan upacara perkawinan anak mereka," katanya.

"Perkahwinan dan memulakan sebuah keluarga adalah satu tanggungjawab yang besar, sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan," kata Othman, sambil mengakui persoalan sama ada anak-anak muda hari ini mampu untuk mengendalikan perkahwinan pada usia muda timbul.

"Tetapi Mahkamah Syariah akan membuat penilaian yang teliti terhadap kesediaan mereka," katanya, sambil menambah Mahkamah Syariah juga akan melakukan pemeriksaan terhadap ibu bapa sebelum memberi kelulusan.

- mSTAR

Ahad, Ogos 18, 2013

Ibu Lina Joy terus berdoa mohon anak kembali Islam


KUALA LUMPUR 17 Ogos - Ibu kepada Azlina Jailani atau Lina Joy, wanita Melayu yang mengaku murtad, tidak pernah berhenti berdoa agar anaknya kembali ke pangkuan agama Islam.

Wanita berkenaan, Kalthum Omar tetap bersabar dengan dugaan yang menimpa keluarganya biarpun dirinya dalam keadaan tua dimamah usia dan terpaksa berkerusi roda.

Menurutnya, sejak keputusan kes mahkamah pada tahun 2007, dia tidak lagi bertemu dengan anak perempuannya yang meninggalkan negara untuk berada di Australia.

"Sedih memang sedih tetapi saya tidak berhenti berdoa agar dia kembali kepada agama Islam dan balik kepada keluarga," katanya dalam program Wacana Agenda Kristian Sedunia: Rujukan Khas Malaysia di sini hari ini.

Program itu merupakan anjuran bersama Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM).

Lina Joy pernah menggegarkan negara kerana pengakuan murtadnya, namun dia gagal dalam usahanya untuk menggugurkan perkataan 'Islam' daripada MyKad setelah penghakiman Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007.

Menurut Kalthum, dia langsung tidak menyangka perhubungan anaknya dengan seorang lelaki bukan Islam telah membawa kepada murtad.

"Dia ada telefon saya dua hari sebelumAidilfitri (baru-baru ini) tetapi dia tetap macam itu juga (masih murtad)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pembela, Dr. Yusri Mohamad berkata, kemuliaan agama Islam perlu dipertahankan dengan ketegasan di negara ini.

"Memang kita sedih bila mendengar mengenai keluarga Puan Kalthum tetapi kalau kita berlembut dan tidak pertahankan Islam, ia akan buka pintu masalah kepada keluarga-keluarga lain," katanya.

Dalam pada itu, Yusri turut menyeru kepada umat Islam di negara ini agar memberi tumpuan serius terhadap perbicaraan isu kalimah Allah di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 22 Ogos ini.

"Implikasi amat besar sekiranya kalimah Allah dibenarkan penggunaan oleh bukan Islam. Mari kita berdoa untuk kemenangan kes ini dan beramai-ramai beri sokongan kepada barisan peguam di Mahkamah Putrajaya pada Khamis ini," katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memberi taklimat mengenai perkembangan perbicaraan kes itu.

Bulan lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Ogos ini untuk mendengar permohonan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur bagi membatalkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah akhbar mingguan Katholik The Herald menggunakan kalimah Allah.

- UTUSAN
 


Sabtu, Ogos 17, 2013

Seluruh dunia kepanasan

Sama ada kita sedar atau tidak, gelombang suhu panas akibat pemanasan global nampaknya sedang melanda seluruh dunia.

Beberapa negara dilaporkan melalui suhu panas berpanjangan seperti di Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Penduduk Eropah misalnya, berhadapan cuaca panas luar biasa untuk bulan kedua berturut-turut sejak Julai lalu, sekali gus meningkatkan kadar penggunaan tenaga di rantau itu.

Di Jerman, suhu negara itu meningkat sebanyak 8 darjah Celcius pada 1 Ogos lalu berbanding sebelumnya.

Manakala sesetengah kawasan di United Kingdom mencatatkan suhu sehingga 32 darjah Celcius, tahap tertinggi yang pernah dicatatkan sepanjang tahun ini.

Pakar-pakar meteorologi berpendapat, fenomena cuaca panas melampau akan berterusan di seluruh Eropah sepanjang bulan ini sebelum beransur-ansur berkurangan seperti sediakala.

“Antara punca utama gelombang panas di Eropah ialah pemanasan suhu permukaan laut merentasi seluruh Atlantik Utara,” kata Bradley Harvey, ahli meteorologi di MDA Information Systems Inc. yang berpangkalan di Gaithersburg, Maryland, AS.

Bagi penduduk di negara-negara terlibat, kehadiran musim panas ini dimanfaatkan sebaik mungkin dengan pelbagai aktiviti menarik bersama teman atau keluarga.

Justeru, tidak hairanlah apabila banyak kawasan tumpuan seperti pantai, taman rekreasi dan kolam air pancut sesak dengan pengunjung.

Ada yang bersantai, bermandi-manda dan tidak kurang juga berjemur sambil menikmati pancaran terik matahari.

Selain manusia, suhu panas turut memberi kesan kepada haiwan di zoo.

Haiwan seperti anjing laut, penguin dan burung flamingo enggan berganjak dari kolam kerana mahu terus menyejukkan badan.

Beberapa pihak pengurusan zoo juga menyediakan ketulan ais yang dibekukan bersama buah-buahan untuk diberikan kepada haiwan di bawah jagaan mereka bagi mengelak berlakunya penyahhidratan sepangang musim panas ini.

- KOSMO!



Isnin, Julai 29, 2013

Automatik keluar Pas jika anut fahaman Syiah

Setelah beberapa kali menafikan laporan kononnya terdapat pemimpin kanan parti itu terbabit dengan ajaran Syiah, Pas hari ini menerusi suatu kenyataan media melabelkan ia sebagai tuduhan jahat.

Ketua Penerangannya, Datuk Tun Ibrahim Tuan Man berkata, isu Syiah ini bukan isu politik namun ia melibatkan soal aqidah, justeru memberi amaran mereka yang mahu bermain politik menggunakannya.

"Ahli Pas mesti berpegang kepada ahli Sunnah Wal Jamaah. Jika ada yang menganut amalan Syiah, maka ia secara automatik terkeluar dari menjadi ahli Pas," katanya menerusi satu kenyataan media.

"Tiada pimpinan utama Pas terlibat dengan ajaran Syiah. Oleh itu, Pas mengecam tindakan media arus perdana yang cuba memberikan bayangan sebaliknya," tambahnya lagi.

Pas katanya kesal dengan tuduhan yang dilemparkan dan menganggap ia perbuatan yang berniat jahat.

"Tindakan tersebut lebih bersifat politik, dengan menghalakan tuduhan tanpa bukti kukuh hanya bersandar kepada andaian semata mata," tegasnya.

Menurut Tuan Ibrahim, pihaknya sendiri mempunyai sistem pemantauan dalaman yang bergerak aktif bagi memastikan seluruh ahlinya tidak terbabit dalam aktiviti seumpama itu.

"... dan kita mengalu-alukan sebarang bukti yang melibatkan ahli parti dapat dikemukakan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti.

"Kerajaan jangan hanya nampak Syiah sebagai ancaman negara, sedangkan ajaran Qadyani yang telah diwartakan sebagai ajaran sesat dan bercanggah dengan aqidah terus berjalan tanpa sebarang tindakan," ujar beliau lagi.

Pas katanya sama sekali tidak akan termakan dakyah lawan yang cuba memanipulasi isu Syiah ini apatah lagi menjelang pemilihan parti itu November ini.

- SINAR HARIAN

Rabu, Julai 24, 2013

Bilik persalinan sekolah jadi kantin


SUNGAI BULOH - Sekumpulan pelajar bukan beragama Islam Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di sini mendakwa terpaksa menjamu selera di bilik persalinan selepas kantin sekolah tersebut ditutup sepanjang bulan Ramadan.

Perkara itu mengundang kontroversi apabila salah seorang ibu kepada pelajar di sekolah itu merakam gambar-gambar suasana di dalam bilik persalinan tersebut sebelum ia dimuat naik ke laman sosial Facebook milik wanita berkenaan pada pukul 3 petang kelmarin.

Berdasarkan 10 keping gambar yang dimuat naik, kira-kira 15 pelajar berkenaan kelihatan menggunakan bilik persalinan terletak bersebelahan tandas yang digunakan untuk mandi sebagai tempat berehat dan menjamu selera.

Turut kelihatan di dalam beberapa keping gambar itu botol minuman serta bekas makanan pelajar diletakkan di atas meja panjang di tengah-tengah bilik persalinan tersebut.

Wanita yang dikenali sebagai Guneswary Kelly menerusi status Facebook miliknya memberitahu, dia mengetahui perkara itu sewaktu melawat sekolah anaknya dan mendapati kantin tersebut tidak beroperasi.

Dakwa wanita itu, pihak sekolah menyediakan satu bilik persalinan di sekolah itu yang dilengkapi meja panjang dan kerusi sebagai kantin sementara untuk pelajar-pelajar yang bukan beragama Islam pada waktu rehat sekolah.

- KOSMO!

 

Isnin, Julai 15, 2013

SKMM Siasat Pasangan Persenda Ramadan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyelesaikan siasatan ke atas penulis blog berunsur seks, Alvin Tan dan Vivian Lee secepat mungkin kerana melibatkan kepentingan awam.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Industri Pengawasan Zulkarnain Mohd Yassin,berkata kedua-dua individu tersebut telah merekodkan kenyataan mereka di pejabat SKMM berhubung posting yang memaparkan gambar mereka sedang makan bak kut teh (sup tulang babi) dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa'di laman Facebook mereka.

"Orang ramai tahu perkembangan mengenai isu ini. Sebagai agensi penguatkuasa, kita mahu segera menyiapkan siasatan kes ini secepat mungkin," katanya sambil menambah kertas siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Punca masalah dalam isu ini masih belum dikenalpasti. Kita berharap untuk menjalankan siasatan dalam tempoh yang singkat namun pihak kami tidak akan tergesa-gesa.

"Masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian atau spekulasi. Biar pihak kami menyelesaikan siasatan dan kami akan maklumkan kepada anda hasilnya nanti," kata Zulkarnain.

SKMM berkata mereka membantu pihak polis dalam menjalankan siasatan di bawah Kanun Keseksaan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak mengemukakan komen, video dan gambar yang sensitif serta memuat naik bahan berkenaan di laman media sosial mereka.

"Jangan menghantar semula bahan yang sensitif ini. Sila lapirkan sesuatu yang anda lihat di media sosial kepada kami," kata Penasihat Komunikasi Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sheikh Raffie Abdul Rahman.

Alivin dan Vivian hadir ke pejabat SKMM di bangunan Sultan Abdul Samad pada Isnin untuk memberi keterangan mereka dalam isu berkenaan.

"Kami dimaklumkan pasangan berkenaan tiba untuk membantu siasatan pada pukul 10.46 pagi dan kedua-duanya hadir secara sukarela," kata Zulkarnain.

Pasangan berkenaan telah memadamkan posting sensitif tersebut dengan menggantikan dengan sekeping gambar baru yang memaparkan mereka sedang makan ketupat, rendangan dan karipap sebelum akaun Facebook mereka terus ditutup.

Mereka juga memuat naik sebuah video memohon maaf atas tindakan mereka itu yang disiarkan di laman Youtube petang ini susulan reaksi negatif pelbagai pihak yang mengecam tindakan mereka.

Dalam video berdurasi 1 minit 22 saat yang berbahasa Melayu beserta sari kata Bahasa Inggeris, Alvin berkata mereka tidak berniat menghina, mempersenda atau memperlekehkan Islam mahupun mencetuskan perbalahan kaum.

"Kami amat menyesali perbuatan kami yang tidak hormat kepada kepercayaan dan sensitiviti agama di Malaysia yang berbilang kaum ini," katanya di dalam videoitu.

Pasangan berkenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Mengikut akta berkenaan, jika sabit kesalahan pasangan terbabit boleh didenda sehingga RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

- mSTAR

Selasa, Julai 02, 2013

60 Peratus Graduan Universiti Dapat Kerja Dalam 6 Bulan Selepas Tamat Pengajian

Sebanyak 60 peratus graduan universiti mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, sebanyak 15 peratus graduan pula sedang menyambung pengajian manakala 25 peratus lagi mengambil sedikit masa untuk mendapat pekerjaan.

Beliau berkata, berdasarkan kajian susulan yang dilakukan kerajaan terhadap graduan pada 2012, hampir kesemua siswazah mendapat pekerjaan dalam tempoh dua tahun selepas tamat pengajian.

"Kita juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan sebanyak 385,000 pekerjaan pada 2011 dengan perkembangan ekonomi sebanyak 5.1 peratus. Malah jumlah itu terus meningkat kepada 438,800 dengan pertumbuhan ekonomi pada 2012.

"Ini bermakna kadar pengangguran telah menurun daripada 3.1 peratus kepada 3 peratus pada 2012. Ia merupakan kadar yang amat rendah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketika mengemukakan soalan tambahan, Anwar berkata kadar pengangguran siswazah mencecah kira-kira 80,000 orang dan kadar pengangguran tiga peratus itu tidak termasuk dalam kategori tidak mendapat pekerjaan.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Abdul Wahid berkata, kerajaan telah menawarkan pelbagai program seperti Jobs Malaysia dan Skim Latihan 1Malaysia untuk memadankan pekerja dengan majikan.

"Program itu berjaya melatih graduan untuk mendapat pekerjaan sesuai dan meningkat kebolehpasaran kerja di kalangan mereka," katanya.

- mSTAR


Recent Posts