Memaparkan catatan dengan label Ismahalil Hamzah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ismahalil Hamzah. Papar semua catatan

Isnin, Julai 17, 2023

Bekas penyampai radio Ismahalil Hamzah bebas, lepas hukuman gantung

 


Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Sebaik keputusan dibacakan Muhammad Jamil, Ismahalil yang berada dalam kandang tertuduh melaungkan 'Allahuakbar' sambil menangis dan melakukan sujud syukur manakala keluarganya yang berada di galeri awam turut berpelukan dan menangis tanda kesyukuran.

Dalam penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, beliau menerima keterangan Ismahalil bahawa bilik di rumah sewanya di mana beg mengandungi dadah itu ditemui, boleh diakses oleh penyampai radio lain, kru, pengurusan kedai dan tetamu stesen radio Bapakku FM (yang beroperasi di rumah sewa berkenaan).

Menurut hakim itu, keterangan Ismahalil disokong oleh keterangan empat saksi pembelaan lain termasuk isterinya yang tidak menunjukkan hanya dia seorang mempunyai akses kepada bilik berkenaan.

Keterangan saksi pembelaan juga menunjukkan bahawa beg berkenaan juga tidak mengandungi barang peribadi tertuduh, bermakna tidak ada kaitan antaranya dan beg terbabit.

"Begitu juga tiada keterangan yang menunjukkan kaitan tertuduh dengan beg terbabit, dengan itu tertuduh sudah menimbulkan keraguan munasabah berhubung jagaan dan kawalannya terhadap dadah berkenaan.

"Pihak pendakwaan juga gagal membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa dadah itu dalam jagaan dan kawalan tertuduh, dengan itu, milikan tertuduh ke atas dadah terbabit gagal dibuktikan melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan.

Pada 21 Februari lalu, Ismahalil, 50, mengaku tidak bersalah di atas dakwaan mengedar dadah jenis kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, di sini, pada jam 5.35 petang 27 Ogos 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.

Sumber : Berita Harian

Recent Posts