Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 20, 2011

Penghuni Syurga Ialah Sebaik-baik Muslim

Hadith:

DARI Abdullah, katanya: "Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada kami: "Tidakkah kamu gembira bahawa seperempat dari penghuni syurga itu dari kamu? "Kata Abdullah kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula beliau: "Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu dari kamu?

"Kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata: "Sesungguhnya saya mengharap bahawa seperdua) dari penghuni syurga itu dari kamu. Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah dalam memeluk agama yang benar dan diredhai Allah SWT. Namun fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain (murtad).

Betapa mudahnya iman mereka tergoyah dek kerana godaan dan hasutan duniawi. Oleh itu benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai namun nilaian mereka hanyalah seperti buih-buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan.

Mereka mudah dipermain-mainkan oleh pihak musuh bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain. Justeru meskipun peluang untuk kita menghuni syurga Allah amat besar namun peluang tersebut tidak direbut oleh semua orang.

Ramai yang berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang yang kafir.

Selasa, September 27, 2011

Doa Intipati Segala Ibadah

Hadith:

RASULULLAH s.a.w bersabda yang maksudnya: "Tiadalah di atas dunia ini seorang Muslim yang berdoa melainkan akan diperkenankan Tuhan atau dipalingkan daripadanya kejahatan selama dia tidak berdoa perkara-perkara yang berdosa atau membuat perkara yang memutuskan tali persaudaraan. Lantas seorang lelaki berkata: Kalau begitu kita perbanyakkan doa? Jawab baginda: Di sisi Allah (penerimaan) lebih banyak."

Riwayat at-Tirmizi

Huraian Hadith:

Pengajaran hadith:

i) Setiap umat Islam dituntut supaya berdoa kerana doa adalah inti pati kepada segala ibadah. Orang yang enggan berdoa dianggap sebagai orang yang sombong, takbur dan bongkak.

ii) Ketika berdoa, kita hendaklah peka kepada apa yang didoakan (dipohon), janganlah berdoa dengan mulut sahaja sedangkan hati kita lalai. Sebaliknya hadirkan hati serta hayati apa yang dipohonkan itu serta yakin bahawa Allah akan menerima doa tersebut kerana sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan memperkenankan doa orang yang hatinya lalai dan alpa.

iii) Supaya doa dimakbulkan, hendaklah kita mematuhi adab-adab berdoa serta memilih masa dan tempat yang sesuai kerana Allah dengan sifat-Nya yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya selama mana apa yang diminta itu merupakan perkara-perkara yang baik. Begitu juga Allah yang sifat-Nya yang Maha Pengampun tidak akan menolak doa hambanya yang beristighfar dan berdoa memohon keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Khamis, September 22, 2011

Gambaran Kehidupan Orang Yang Beriman

Hadith:

SABDA Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Gambaran kehidupan orang yang beriman dari segi kasih sayang, saling bersimpati dan saling cinta mencintai samalah seperti anggota tubuh yang jika salah satu daripadanya mengadu kesakitan, ia melibatkan seluruh anggota lain yang tidak tidur malam dan demam".

Riwayat Ahmad dan Muslim

Huraian Hadith:

Pengajaran Hadith:

i) Kerjasama adalah kunci kejayaan dalam segala aspek kehidupan. Ia boleh mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dan stabil kerana daripada kerjasama akan menerbitkan kemesraan berkomunikasi, kasih sayang serta saling bersimpati di antara satu sama lain. Bak kata pepatah cubit peha kiri, peha kanan terasa sakit.

ii) Makhluk Allah adalah saling perlu memerlukan di antara satu sama lain di mana manusia tidak mungkin hidup tanpa alam persekitarannya dan alam persekitaran pula tidak akan membangun tanpa ada manusia yang mengusahakannya.

iii) Kejayaan Rasulullah s.a.w. melahirkan masyarakat yang berkasih sayang dapat dijadikan contoh yang paling baik bagi mewujudkan suasana bekerjasama dalam masyarakat masa kini. Ia berpunca daripada sikap dan suasana positif yang dibentuk oleh Rasulullah menerusi pendidikan dan program motivasi yang berjalan secara berterusan sehingga wujudnya individu yang berperibadi mulia dan kukuh sehingga naluri kerjasama dan saling memerlukan itu berkembang subur menjadi satu tenaga yang mampu menggerakkan masyarakat Islam membawa perubahan besar kepada tamadun dunia.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Rabu, September 07, 2011

Haram Berkahwin Dengan Saudara Sesusu

Hadith:

DIRIWAYATKAN oleh Abdullah Mulaika r.a: Uqbah bin Harith r.a berkata bahawa ia menikahi anak perempuan Abi Ihab bin Aziz. Tidak lama kemudian seorang perempuan menemuinya dan berkata : "Akulah yang menyusui Uqbah dan perempuan yang dinikahinya. Uqbah berkata kepadanya : "Aku tidak tahu kamu telah menyusui ku dan kamu tidak mengatakannya kepada ku. "Kemudian dia pergi menemui Rasulullah SAW di Madinah dan bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hal itu. Rasulullah SAW menjawab: Bagaimana kamu boleh (memperisterikannya) padahal telah dikatakan kepada mu (bahawa ia saudara sesusu mu) ? Kemudian Uqbah menceraikan isterinya dan kemudian isterinya berkahwin dengan orang lain.

Riwayat Al-Bukhari

Huraian Hadith: Apabila seorang perempuan menyusukan seorang bayi di bawah umur dua tahun sebanyak lima kali susuan atau lebih, maka anak tersebut menjadi anak susuannya dan anak suaminya.

Oleh yang demikian anak susuan itu menjadi mahram kepada perempuan yang menyusukan dan suaminya, begitu juga terhadap keturunan kedua suami isteri tersebut. Berikut disenaraikan orang-orang yang menjadi mahram kepada anak susuan itu:

i. Perempuan yang menyusukan

ii. Suami ibu susuan

iii. Ibu bapa kepada ibu susuan

iv. Ibu bapa kepada suami ibu susuan

v. Adik beradik kepada ibu susuan

vi. Adik beradik kepada bapa susuan

vii. Anak-anak kepada ibu dan bapa susuan

viii. Anak-anak kepada ibu susuan

ix. Anak-anak kepada bapa susuan

Manakala orang-orang yang menjadi mahram kepada ibu susuan dan bapa susuan adalah anak susuan yang disusukannya, begitu juga anak kepada anak susuannya hingga ke bawah.

Tetapi ibu bapa, nenek, ibu atau bapa saudara dan adik beradik kepada anak tersebut tidak menjadi mahram kepada ibu dan bapa susuan berkenaan.

Ini kerana susuan itu tidak menjadikan mahram kepada usul bagi anak yang menyusu seperti bapa, nenek sehingga ke atas dan hawashinya seperti adik beradik dan ibu atau bapa saudara.

Hukum mahram itu hanya kepada anak yang menyusu itu hingga furu˜nya seperti anak-anaknya, cucu sehingga ke bawah.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT, yang maksudnya: "Dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu dan saudara kamu yang sesusu" (an-Nisa': 23).

Serta sabda Rasulullah SWT yang maksudnya: "Sesuatu yang diharamkan dengan sebab penyusuan sebagaimana apa-apa yang diharamkan oleh sebab nasab."

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Ahad, Ogos 28, 2011

Ganjaran Puasa Ramadan

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: "Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. "Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk."

Riwayat Bukhari & Muslim

Huraian Hadith:

Pengajaran Hadis:

i) Puasa merupakan perkara ˜dharuriah' dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

ii) Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadan berlangsung.

iii) Bulan Ramadan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah S.W.T bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah S.W.T.

iv) Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah s.a.w.

v) Ramadan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadan ini kerana bulan Ramadan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah S.W.T.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Rabu, Ogos 10, 2011

Kelebihan Menyegerakan Berbuka Puasa

Hadith:

DARIPADA Sahal bin Said r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Orang yang menyegerakan berbuka puasa setelah masuk waktunya akan mendapat kebaikan yang berterusan".

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

1. Orang yang berpuasa disunatkan segera berbuka setelah diyakini masuknya waktu Maghrib, sebaliknya makruh hukumnya jika sengaja dilewat-lewatkan tanpa sebarang sebab yang munasabah.

2. Antara hikmah disunatkan agar segera berbuka puasa ialah supaya kita tidak tergesa-gesa dalam mengejar waktu solat di mana ia memberi kesempatan untuk kita rehat seketika sebelum mengerjakan solat Maghrib dan sebelum bergegas menunaikan solat Isyak dan terawih pula selepasnya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Selasa, Ogos 02, 2011

Sepuluh Pertama Bulan Syawal

Hadith:

DARI Aisyah r.a katanya: "Apabila Rasulullah s.a.w hendak iktikaf pada sepuluh yang akhir bulan Ramadhan, baginda solat Subuh terlebih dahulu, sesudah itu barulah baginda masuk ke tempat iktikaf, iaitu sebuah bilik kecil yang dibuatkan khusus untuknya.

Baginda bermaksud hendak iktikaf selama sepuluh akhir bulan Ramadhan. Tetapi Zainab minta dibuatkan pula bilik kecil untuknya, begitu juga para isteri baginda yang lain. Maka dibuatkan orang semuanya.

Ketika Rasulullah s.a.w solat Subuh, dilihatnya banyak bilik-bilik kecil berderet-deret. Lalu baginda bersabda: "Kebajikan bagaimanakah yang kalian inginkan? "Lalu baginda perintahkan supaya bilik-bilik itu dirobohkan semuanya dan baginda kurangkan iktikafnya pada Ramadhan itu dan menggantinya dengan iktikaf pada sepuluh awal bulan Syawal."

Riwayat Muslim

Jumaat, Julai 22, 2011

Sifat Malu Mendatangkan Kebaikan

Hadith:

RASULULLAH s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith:

1. Sifat malu adalah suatu sifat yang terpuji. Sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan kerana dengan adanya sifat malu kita tidak akan melakukan segala keburukan.

2. Sifat malu juga akan meninggikan darjat keimanan orang yang memilikinya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Recent Posts