Memaparkan catatan dengan label Guru. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Guru. Papar semua catatan

Khamis, Oktober 11, 2012

Kajian Mendalam Modul Baru Tingkatkan Kemahiran Guru - PM

Kerajaan akan menjalankan kajian mendalam berhubung modul baharu menggunakan teknologi maklumat (IT) bagi menaik taraf dan meningkatkan kemahiran guru dan bukan membandingkannya dengan cara tradisional dan konvensional, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata modul baharu itu boleh membawa kepada kemungkinan yang sangat menarik daripada menghantar mereka ke institut semasa cuti persekolahan.

"Kita perlu mengenal pasti beberapa guru cemerlang dalam setiap subjek pada setiap tahun, mendapatkan mereka bagi membangunkan kandungan dan meletakkannya dalam talian manakala guru-guru lain menjadi mentor dan fasilitator," katanya pada akhir mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC Malaysia (IPA) di sini, Selasa.

Najib berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada mesyuarat itu bersetuju untuk meneliti perkara itu.

"Ini adalah kelebihan utama dalam soal bagaimana kita boleh menggunakan dan mengembangkan IT bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan bakat yang kita ada dalam negara," katanya.

Najib berkata trend di Amerika pada masa ini adalah bagi profesor terkemuka untuk mengajar secara online dan mereka boleh mencapai 100,000 hingga 150,000 pelajar berbanding saiz bilik darjah tradisional.

Dalam mesyuarat hari ini, beliau berkata satu spektrum baharu diperlukan dalam pendidikan.

"Kita boleh menyebarkan spektrum pendidikan bukan sahaja dalam hasil yang asas tetapi membuka lebih banyak peluang bagi perkongsian dengan sektor swasta untuk menghasilkan lebih banyak peluang pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Najib berkata kerajaan mengiktiraf mereka yang berpencapaian tinggi atau ikon dalam industri IT bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan ICT sebagai satu pendekatan baharu dalam negara.

Sambil memberikan contoh, beliau berkata seorang usahawan rumpai laut dari Kunak, Sabah dengan pendapatan RM450 sebulan tetapi hari ini beliau meraih pendapatan RM20,000 sebulan selepas menggunakan IT bagi mengintegrasi produk-produknya ke pasaran dunia.

"Itu adalah satu cerita yang menarik. Apabila kita sebut ICT sebagai pendekatan baharu, ia adalah satu bukti nyata mengenai apa yang membolehkan wanita itu (petani rumpai laut) meraih pendapatan begitu banyak dengan menggunakan teknologi IT dan mengintegrasikan produknya ke pasaran dunia.

"Kita perlu lebih ramai orang yang sedemikian. Kita perlu mengiktiraf kejayaan mereka agar mereka boleh menjadi pemangkin dan ikon bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan IT.

"Kita percaya konsep mengiktiraf mereka yang berpencapaian tinggi, mereka yang menggunakan IT dengan cara pendekatan baharu yang signifikan tidak sepatutnya dihadkan kepada usahawan tetapi juga kepada golongan profesional termasuk guru-guru yang boleh menjadi ikon kepada guru-guru lain dan pelajar-pelajar," katanya.

Najib menyifatkan mesyuarat IAP hari ini sebagai sangat produktif kerana banyak kemungkinan baru yang menarik dibincangkan.

- BERNAMA

Selasa, September 25, 2012

IKLAN PENGAMBILAN GURU DIPLOMA PERGURUAN LEPAS IJAZAH SEKOLAH RENDAH (DPLI-SR) j-QAF AMBILAN 2013



KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU

DIPLOMA PERGURUAN LEPAS IJAZAH SEKOLAH RENDAH (DPLI-SR) j-QAF
(sebelum ini dikenali sebagai Kursus Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (KPLI-SR) j-QAF)
MOD LATIHAN PERGURUAN BERASASKAN SEKOLAH (LPBS)
AMBILAN TAHUN 2013

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mempelawa calon yang berkelayakan, berpotensi, berminat dan beriltizam untuk mengikuti Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI-SR) j-QAF Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) di Institut Pendidikan Guru (IPG), KPM.

1. NAMA PROGRAM: Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI-SR) j-QAF

2. MOD LATIHAN: Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS)

3. TEMPOH PENGAJIAN : 18 BULAN

4. SYARAT-SYARAT KELAYAKAN ASAS
Calon-calon hendaklah:
4.1 Warganegara Malaysia.
4.2 Sihat fizikal dan mental.
4.3 Berumur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2013 iaitu lahir pada atau selepas 1 Januari 1978.
4.4 Memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengajian Islam atau Pengajian Bahasa Arab atau al-Quran atau bidang yang berkaitan yang setaraf dengannya daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tempatan atau luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Pemohon perlu merujuk laman sesawang JPA di alamat berikut:
http://www.interactive.jpa.gov.my/webinteraktif/frmMainIktiraf.asp
4.5 Memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat SPM atau SPM(V) serta lulus ujian lisan atau Prinsipal Bahasa Melayu di peringkat STPM.

5. KEUTAMAAN
5.1 Calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dengan PNGK 2.75 ke atas.
5.2 Calon yang memiliki ijazah yang bertepatan dengan bidang pengkhususan.
5.3 Calon yang memiliki pengalaman mengajar dalam bidang pendidikan.
5.4 Calon yang aktif dalam kegiatan kokurikulum.
5.5 Calon yang bersedia dilatih di mana-mana kampus IPG, KPM dan bersedia ditempatkan di mana-mana sekolah termasuk di kawasan pedalaman seluruh negara.

6. CALON TIDAK LAYAK MEMOHON
6.1 Calon yang telah memiliki kelayakan ikhtisas perguruan seperti Ijazah Sarjana Muda dengan Pendidikan, Diploma dengan Pendidikan, Diploma Pendidikan, Diploma Perguruan atau Sijil Perguruan.
6.2 Calon yang masih terikat dengan Kontrak Perkhidmatan Agensi Kerajaan termasuk yang sedang mengikuti Kursus Perguruan Lepas Ijazah Mod Latihan Perguruan Kursus Dalam Cuti (KDC) atau Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS) kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia.
6.3 Calon yang diisytihar bankrap.
6.4 Calon yang dikenakan tindakan tatatertib atau sedang dalam proses tindakan tatatertib semasa dalam perkhidmatan atau dalam latihan.
6.5 Calon yang pernah mengikuti program ikhtisas di IPG, KPM tetapi gagal dalam peperiksaan dan ditamatkan daripada program.
6.6 Calon yang pernah atau sedang disabitkan dengan kesalahan penyalahgunaan dadah atau jenayah.

7. BIDANG PENGKHUSUSAN YANG DITAWARKAN
Diploma Perguruan Lepas Ijazah Sekolah Rendah (DPLI-SR) j-QAF Mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS)
7.1 Bidang pengajian yang ditawarkan adalah seperti berikut :
(i) Bahasa Arab
(ii) Pendidikan Islam
(iii) Pendidikan Khas j-QAF

8. CARA MENGEMUKAKAN PERMOHONAN
8.1 Permohonan hanya boleh dibuat secara dalam talian (online) dengan melayari laman sesawang Kementerian Pelajaran Malaysia di alamat : http://www.moe.gov.my mulai 26 September 2012 (Rabu) jam 9.00 pagi.
8.2 Permohonan dalam talian boleh dibuat dengan menggunakan Nombor Pengenalan Individu (PIN) yang boleh dibeli di Bank Simpanan Nasional di seluruh negara mulai 26 September 2012 (Rabu) dengan bayaran RM6.00 (Ringgit Malaysia Enam sahaja) melalui saluran kaunter, mesin ATM, Perbankan Internet dan Perbankan Sistem Maklumat Ringkas (SMS Banking). Pembelian nombor PIN melalui saluran mesin ATM, Perbankan Internet dan Perbankan Sistem Maklumat Ringkas (SMS Banking) adalah bagi pemohon yang mempunyai akaun dengan Bank Simpanan Nasional.
8.3 Pemohon dinasihatkan melayari laman sesawang : http://www.moe.gov.my bagi mendapatkan maklumat iklan, bidang pengkhususan dan gred minimum serta kalendar aktiviti sebelum membuat permohonan.
8.4 Calon dibenarkan mengemukakan SATU permohonan sahaja.
8.5 Calon boleh menggunakan nombor PIN yang sama untuk membuat pindaan butiran dalam borang e-permohonan. Borang tersebut boleh dikemaskini pada bila-bila masa sahaja dan hendaklah dihantar sebelum tarikh tutup permohonan. Permohonan yang BERJAYA dihantar akan menerima nombor rujukan sebagai pengesahan.
8.6 Maklumat yang tidak benar dan tidak lengkap boleh mengakibatkan permohonan ditolak.

9. TARIKH TUTUP PERMOHONAN : 3 OKTOBER 2012 (RABU), JAM : 11.59 MALAM

10. Sila hubungi alamat berikut sekiranya ada sebarang pertanyaan berkaitan permohonan :

BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
ARAS 3, BLOK E13, PARCEL E
KOMPLEKS PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62604 PUTRAJAYA
(u.p : Sektor Pengambilan dan Pendaftaran Latihan)
No. Telefon : 03-88841260/1230/1249/1253/1259/1280

BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
Cawangan Sabah
d/a Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya
Peti Surat 10491
88805 Kota Kinabalu, Sabah.
No Telefon : 088-236804

BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
Cawangan Sarawak
Jalan Kolej
93259 Kuching, Sarawak.
No Telefon : 082-258045

APLIKASI PERMOHONAN ON-LINE DPLI-SR j-Qaf
http://apps1.moe.gov.my/smg/02/020002/dpli-jqaf2012/index.cfm

Isnin, Ogos 06, 2012

11,000 Guru J-Qaf diperlukan

Kementerian Pelajaran masih mengalami kekurangan 11,000 guru bagi mengajar subjek J-Qaf (Jawi, al-Quran, Arab dan Fardhu Ain) di seluruh negara.

Terpaksa tangguh

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kekurangan itu memaksa pengajaran mata pelajaran berkenaan yang dijadualkan dilaksana di sekolah menengah mulai tahun depan terpaksa ditangguhkan.

Katanya, antara punca termasuk kurangnya bekalan guru berijazah untuk mengajar J-Qaf serta masalah permohonan perjawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang masih tidak diluluskan sehingga kini.

Minta percepat kelulusan

“Jadi, kita minta JPA percepatkan kelulusan perjawatan (guru J-Qaf) dimohon kementerian membolehkan kekurangan itu diisi segera.

“Sekarang ini kita tumpu untuk penuhi permintaan guru J-Qaf di sekolah rendah sebelum melaksanakan sepenuhnya di sekolah menengah,” katanya selepas majlis berbuka puasa di Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, Kampung Batu Muda di sini, semalam.
Pada majlis itu, Mohd Puad turut menyampaikan sumbangan kepada 60 asnaf termasuk anak yatim terdiri dikalangan pelajar sekolah berkenaan serta masyarakat setempat.

Disember lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program perintis j-Qaf menengah dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini dan pelaksanaan sepenuhnya pada 2013 di sekolah menengah.

Muhyiddin dilaporkan berkata, pelaksanaan J-Qaf di 4,747 sekolah rendah sejak 2005 berkesan apabila 94 peratus murid menguasai empat kemahiran iaitu Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain.

- BERITA HARIAN

Khamis, Julai 19, 2012

7,975 guru PPPS naik gred

Seramai 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS) akan menikmati kenaikan Gred DG41 dalam tempoh terdekat selepas tertangguh dua tahun. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihaknya baru menerima waran kenaikan pangkat bagi Pegawai Pendidikan Lepasan Diploma (PPLD) yang berjaya menamatkan pengajian PPPS, masing-masing, 23 Mei lalu.
Katanya, kementerian sedar penangguhan kenaikan gred di kalangan guru lepasan PPLD yang menyertai PPPS sejak dua tahun lalu, menimbulkan perasaan negatif guru belum siswazah.

“Kementerian akan berusaha mempercepatkan kenaikan Gred DG41 yang membolehkan pelbagai faedah dapat dinikmati.

“Saya akui penangguhan kenaikan gred ini menyebabkan ramai guru PPLD tidak mahu menyertai PPPS,” katanya di Butterworth, semalam.

Mohd Puad berkata, melalui PPPS yang diwujudkan pada 2006, seramai 70,062 guru menyertainya dengan peruntukan RM1.4 bilion disediakan kerajaan bagi tempoh sehingga 2020.
“Bagi pengambilan September ini, kita menjangka 22,102 guru akan menyertainya.

“Bagaimanapun, masih ada 16,574 kekosongan sehingga semalam (kelmarin) kerana hanya 3,528 memohon, puncanya dipercayai berkaitan isu penangguhan kenaikan Gred DG41,” katanya.

- BERITA HARIAN

Khamis, Julai 12, 2012

Graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia perlu ikhlas berkhidmat


Graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) diminta supaya berkhidmat dengan penuh ikhlas, amanah, berintegriti dan proaktif untuk membangunkan murid.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan berkata, mereka juga mesti memainkan peranan membentuk murid supaya menjadi warganegara yang sempurna sesuai dengan haluan Falsafah Pendidikan Negara.

Katanya, khidmat guru ketika ini amat diperlukan sesuai dengan kepesatan dan pembangunan negara bagi membina modal insan yang akan memacu perubahan dalam menuju dan mencapai Wawasan 2020.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada para graduan sesungguhnya dunia pendidikan kian mencabar dan memaut pelbagai disiplin ilmu dan kerjaya, maka, seorang guru mestilah menyesuaikan diri dengan keadaan semasa mengikut arus globalisasi.

"Pendekatan, strategi dan kaedah pengajaran serta pembelajaran merentas kurikulum mesti mempunyai unsur tambah nilai supaya tugas untuk mendidik tidak statik," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen IPG bagi sidang keempat di sini hari ini.

Turut hadir, Rektor IPGM, Datuk Dr. Haili Dolhan dan timbalannya Dr. Lee Boon Hua.

Bagi sesi hari ini seramai 1, 266 daripada 9, 279 graduan daripada 26 IPGM seluruh negara menerima diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula 10 Julai.

- UTUSAN

Ahad, Jun 24, 2012

7,975 guru lepasan diploma naik taraf ke gred DG41

23 Jun - Seramai 7,975 guru perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (PPLD) yang telah melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah akan dinaik taraf sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah (PPS) gred DG41 tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan perjawatan baru itu kepada guru-guru tersebut pada Mei lalu.

Beliau menjelaskan, golongan itu merupakan sebahagian daripada guru-guru PPLD yang diberi peluang melanjutkan pelajaran secara jarak jauh dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menerusi program pensiswazahan guru.

"Baru-baru ini, timbul isu guru-guru yang telah disiswazahkan belum disahkan perjawatan ke gred DG41 terutama bagi kohort dua, tiga, empat dan lima.

"Kita dan universiti melahirkan guru, tetapi hendak melantik perlukan kelulusan Perbendaharaan (treasury) sebab 'dia' akan bayar gaji dan luluskan perjawatan. Jadi, ini menyebabkan guru yang telah disiswazahkan ini kena menunggu untuk dinaikkan daripada PPLD kepada PPS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat Parlimen Batu Pahat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa di Senggarang di Batu Pahat.

Difahamkan sehingga kini, seramai 13,558 guru yang sebelum ini mempunyai kelulusan diploma berjaya 'disiswazahkan' menerusi program pensiswazahan tersebut.

Sementara itu, Mohd. Puad berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang berakhir 2016, Kementerian Pelajaran menyasarkan seramai 66,124 guru lagi akan menyambung pengajian ke peringkat ijazah bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Katanya, matlamat itu semakin hampir apabila hanya tinggal 2,464 guru belum berpeluang menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

"Seramai 20,102 orang akan mengikuti program pensiswazahan guru pada September ini sekali gus menjadikan baki sasaran yang belum disiswazahkan sebanyak 32,464 orang.

"Bagaimanapun, daripada jumlah baki tersebut, 30,000 didapati tidak layak kerana berusia lebih 50 tahun justeru hanya tinggal 2,464 lagi yang perlu disiswazahkan," katanya.

Mohd. Puad berkata, sehingga kini, guru berijazah mewakili 98 peratus tenaga pengajar di sekolah menengah manakala di sekolah rendah, 39.8 peratus.

- MINGGUAN MALAYSIA

Isnin, Jun 04, 2012

PROGRAM PENGIJAZAHAN GURU BUKAN SISWAZAH AMBILAN SEPTEMBER 2012



SILA PATUHI ARAHAN DAN FAHAMI SEMUA TERMA-TERMA SYARAT YANG DIIKLANKAN.
 
Tempoh Permohonan bermula pada 04 Jun 2012 (Isnin) hingga 30 Jun 2012 (Sabtu)
 
PROGRAM AMBILAN SEPTEMBER 2012 BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN BUKAN SISWAZAH (PPPBS) DARI LANTIKAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN (SPP) YANG BERUMUR bawah 50 tahun pada 31 Disember 2012 (lahir pada 1963 dan ke atas), opsyen bersara wajib bagi yang berumur 46 tahun ialah 58 dan 60 dan bagi yang berumur 47,48 dan 49 ialah 60.
 
A Kalendar Program Pensiswazahan Guru
B Iklan/Surat Siaran Program - Lampiran 1
                                                - Lampiran 2
C Bidang Pengajian
D Garis Panduan
E Panduan Mengisi Borang Permohonan
F Contoh Permohonan
G Contoh Cetakan Borang Permohonan
H FAQ bagi permohonan PPG Ambilan 2012

 
 

APPLIKASI PERMOHONAN ONLINE : http://apps.moe.gov.my/kdp/ppg92012/permohonan/index_utama.cfm
 





            

Kalendar Program Pensiswazahan Guru Ambilan 2012
Bil
Keterangan
Tarikh
Tindakan
1.
 Permohonan dalam talian
 04 Jun 2012 - 30 Jun 2012
 Pemohon
2.
 Sokongan dalam talian
 09 Jul 2012 - 22 Jul 2012
 Guru Besar/Pengetua/Ketua Jabatan
3.
 Pengesahan dalam talian
 25 Jul 2012 - 03 Ogos 2012
 BPG,BTP,JPN
4.
 Semakan Permohonan
 19 September 2012
 Pemohon
5.
 Pendaftaran
 29-30 Sept 2012
***Tertakluk kepada kalendar akademik IPG/IPTA/IPTS
 Pemohon

 

Rabu, Mei 30, 2012

KURSUS KPLI & KDPM UNTUK GURU KONTRAK SABK

Guru-guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang dilantik secara kontrak di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan ditawarkan untuk mengikuti Kursus Diploma Perguruan Malaysia Kursus Dalam Cuti (KDPM-KDC-SABK) dan Kursus Perguruan Lepas Ijazah Kursus Dalam Cuti (KPLI-KDC-SABK). Sila hubungi Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing untuk semakan nama dan tempat kursus yang ditawarkan.

Maklumat Kursus:
Tarikh Mendaftar : 4 Jun 2012
Tempoh Kursus :
Untuk KPLI - 18 Bulan
Untuk KDPM KDC - 3 Tahun 6 Bulan
Mod Kursus : Kursus Dalam Cuti (KDC)

Sila hubungi Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing untuk semakan nama dan tempat kursus yang ditawarkan.

1. JPN Perlis (En.Ahmad Nordin bin Awang)
2. JPN Kedah (En. Nazri bin Hamid)
3. JPN Pulau Pinang (En.Suhaimi Osman)
4. JPN Perak (En. Wan Salahuddin)
5. JPN Selangor (En. Abd Najeh bin Asmuin)
6. JPN Negeri Sembilan (En. Adnan bin Abdul Hamid)
7. JPN Melaka (En. Ridzuan)
8. JPN Pahang (En. Hasdan bin Hasan)
9. JPN Kelantan (En. Azlisham)
10. JPN Johor (En. Lokmanulhakim)
11. JPN Terengganu (En. Awang bin Sulong)
12. JPN Sarawak (Puan Julia)
13. JPN Sabah (En. Suffian Jasmani@ Amran)
14. JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (En. Suhaimi bin Mustafa)


http://www.moe.gov.my/?id=13&aid=2705

Sabtu, Mei 26, 2012

SEMAKAN KEPUTUSAN PERTUKARAN GURU -eGTukar JUN 2012

SEMAKAN KEPUTUSAN PERTUKARAN GURU -eGTukar JUN 2012

Keputusan Permohonan dan Maklumat Penempatan ke Sekolah bagi Pertukaran Guru Sesi Jun 2012 boleh disemak di: http://apps.moe.gov.my/epgo/ 

26 Mei 2012

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)


 

Rabu, Mei 23, 2012

Tempoh kontrak guru tabika dilanjut 3 tahun

PUTRAJAYA 22 Mei - Tempoh kontrak guru dan penolong guru Tabika Perpaduan seluruh negara yang sebelum ini ditetapkan setahun sahaja, akan dilanjutkan tiga tahun mulai tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata, keputusan itu dibuat berikutan dasar memperbaharui kontrak secara tahunan selama ini telah menimbulkan kebimbangan di kalangan guru dan penolong guru tabika terbabit.

Katanya, mulai tahun ini juga emolumen kakitangan kontrak tersebut diperolehi sepenuhnya menerusi belanjawan tahunan.

"Sehingga kini kita mempunyai 3,400 guru dan penolong guru Tabika Perpaduan dan 1,732 kelas.

"Saya berharap dengan insentif itu mereka akan terus mempertingkatkan lagi mutu pengajaran untuk generasi muda kita melalui tabika yang merupakan sebahagian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pendidikan di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berucap di Majlis Meraikan Kecemerlangan Warga Kerja Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan.

Pada majlis itu, seramai 315 kakitangan JPNIN menerima anugerah masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Tsu Koon berkata, mulai tahun ini kadar perlindungan insurans kepada anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang kini RM20,000 dinaikkan kepada RM40,000 seorang.

Katanya, ia perlu sebagai pengiktirafan kerajaan kepada orang ramai yang kini menunjukkan minat mendalam terhadap SRS.

"Sambutan terhadap SRS amat menggalakkan walaupun mereka tidak dibayar elaun meronda dan yang diperolehi mereka cuma waktu perlepasan, itu pun kalau meronda selepas pukul 2 pagi," katanya.

- UTUSAN

Sabtu, Mei 19, 2012

Hari Guru istimewa buat cikgu Nani


WALAUPUN baru empat tahun bergelar pendidik, anak kelahiran Alor Star, Kedah, ini amat menyukai kerjaya yang disandangnya hari ini.

Tidak pernah menyesal mengambil keputusan untuk mendidik anak-anak bangsa, bagi ibu kepada dua cahaya mata ini kerjaya sebagai seorang guru mempunyai kelebihan dan cabaran tersendiri.

Dia berpendapat selain dapat memberikan pelajaran dan pendidikan kepada anak bangsa secara tidak langsung dapat berbakti kepada negara.

Menyingkap penglibatannya dalam profesion perguruan ini, jelas pemilik nama Nur Hanani Ismail, dia sememangnya suka kepada kanak-kanak dan menyimpan cita-cita untuk bergelar cikgu sejak di bangku sekolah lagi.

Dalam masa yang sama, kedua ibu bapanya juga merupakan guru, maka tidak hairanlah sekiranya Nur Hanani atau lebih mesra disapa Nani meminati bidang perguruan.

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tetapi ujar Nani, terdapat perbezaan antara guru hari ini jika hendak dibandingkan dengan zaman sebelumnya.

Ini kerana menurutnya, guru hari ini bukan sahaja perlu mengajar malah mereka juga perlu menghadapi kerenah masyarakat dan disiplin para pelajar.

"Jika dilihat apa yang mak Nani alami dahulu sebagai seorang guru memang jauh beza dengan cikgu hari ini.

"Dahulu seorang cikgu bebas untuk mengajar dan menegur kesalahan anak murid masing-masing tanpa menghadapi sebarang masalah.

"Tetapi hari ini cikgu bukan sahaja perlu mencari bahan untuk mengajar anak-anak murid yang lebih cerdik tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah ibu bapa dan disiplin anak-anak murid," ujarnya ketika ditemui Mega baru-baru ini.

Cikgu manis berusia 31 tahun ini bagaimanapun tidak pernah menjadikan masalah-masalah tersebut satu beban, malah Nani tetap meneruskan kerjayanya seperti biasa untuk membimbing anak bangsa.

Begitupun, jika disingkap perjalanan hidup wanita ini, ia agak menarik untuk dikongsi bersama.

Ini kerana sebelum terjun ke dalam dunia pendidikan, anak sulung daripada tiga beradik ini terlebih dahulu bergelar seorang wartawan hiburan di Stesen Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).

Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Nani memberitahu, penglibatannya dalam dunia kewartawanan adalah secara tidak sengaja kerana permohonan pertamanya untuk memasuki maktab perguruan tidak diterima.

Sehubungan itu, dia telah ditawarkan menyambung pengajian dalam Ijazah Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Tanpa berfikir panjang dan sememangnya ingin menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, dia telah mengikuti kursus tersebut selama dua tahun.

Jadi untuk tidak membazirkan ilmu yang dipelajari ketika di UiTM, Nani membuat keputusan untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kewartawanan di RTM sebelum meneruskan kerjayanya di salah sebuah syarikat penerbitan terkenal.

Selepas itu, tanpa jemu membuat permohonan untuk memasuki Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Nani akhirnya telah diterima.

Tanpa berfikir lama, Nani telah menerima dan sanggup melepaskan kerjaya wartawan yang baru hendak dibinanya.

Selain itu, satu lagi sisi menarik mengenai Nani ialah, dia bukanlah calang-calang guru kerana peminat barangan Hello Kitty ini merupakan seorang cikgu pemulihan (kelas istimewa) di Sekolah Kebangsaan Alam Megah 3, Seksyen 28, Shah Alam, Selangor.

Baginya, menyandang jawatan cikgu pemulihan tanggungjawabnya lebih besar dan lebih berisiko kerana berhadapan dengan murid yang menghadapai masalah pembelajaran.

Selain corak pengajaran yang berbeza, dia juga perlu banyak bersabar apabila berhadapan dengan anak-anak muridnya.

"Menjadi cikgu pemulihan ini amat berbeza corak pengajarannya dengan cikgu-cikgu biasa yang lain. Walaupun kelas Nani hanya sekitar lima orang murid tetapi ia menuntut Nani lebih kreatif dan berinisiatif apabila mengajar.

"Berhadapan dengan murid-murid istimewa ini kita perlu pandai berkomunikasi selain mencari bahan pengajaran yang menarik untuk meraih perhatian mereka.

"Secara tidak langsung ia memerlukan Nani bekerja lebih keras dan sabar untuk memastikan mereka menjadi seorang murid yang normal (pandai membaca dan mengira)," katanya lagi.

Bagaimanapun, jelas Nani pada awalnya dia memohon untuk mengajar Bahasa Inggeris tetapi memandangkan ketika itu keperluan untuk cikgu pemulihan amat diperlukan, dia tidak menolak.

Lagipun, sepanjang mengikuti kursus KPLI, dia turut mengikuti kelas psikologi untuk berhadapan dengan murid-murid istimewa kelak.

Setinggi manapun tahap kesabaran seseorang individu itu, ia pasti tidak dapat dibendung.

Begitu juga dengan Nani, sekiranya kerenah murid mencabar tahap kesabarannya, dia mengambil pendekatan dengan keluar kelas untuk menenangkan diri sebelum masuk semula untuk mengajar selepas dirinya kembali tenang.

Nani juga tanpa berselindung, ada ketika dia menangis mengenangkan nasib anak-anak muridnya yang tidak mampu menguasai pembelajaran ketika di dalam kelas.

Yang pasti, kesemua anak muridnya akan terus kekal di kelas pemulihan selagi mereka tidak boleh membaca ataupun mengira. Sebagai seorang cikgu, Nani hanya mampu berusaha dan beriktiar agar para pelajar mampu menjadi seperti kanak-kanak normal yang lain.

Siapa sangka, daripada seorang wartawan hiburan yang lincah, Nani akhirnya bergelar seorang cikgu.

Dia yang kini ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik tidak pernah terfikir untuk berpatah balik ke kerjaya asal. Malah dia tidak menafikan, pengalamannya di dalam dunia kewartawanan banyak membantunya hari ini untuk memberikan yang terbaik ketika bertugas.

Berbicara mengenai sambutan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun, menurut Nani, sepanjang bergelar cikgu, hanya sekali dia menerima hadiah daripada anak muridnya.

Walaupun hadiah tersebut hanyalah tiga batang pen yang berwarna merah, biru dan hitam, ia tetap menggembirakan hati Nani kerana dia tidak pernah mengharapkan apa-apa 'habuan' daripada anak muridnya.

Dia tetap bersyukur kerana walaupun tanpa hadiah mereka (anak murid) tidak pernah lupa untuk memberikan ucapan "Selamat Hari Guru" kepadanya setiap tahun.

Dia yang memahami masalah setiap anak muridnya hanya berharap agar segala ilmu yang dicurahkan dapat membantu mereka pada masa hadapan.

Benarlah bagai dikata, 'guru ibarat lilin membakar diri menerangi orang lain' yang membawa maksud, guru terpaksa menempuh pelbagai kesukaran demi melihat kejayaan anak-anak bangsa.

Melihat wajah cikgu yang amat meminati warna merah jambu ini ternyata dia amat gembira dengan kerjaya yang disandangnya hari ini. Dia amat berharap agar segala keringat yang dicurahkan digunakan sebaik mungkin oleh para pelajarnya dalam meniti kejayaan pada masa hadapan.

- UTUSAN

Jumaat, Mei 18, 2012

14 isu beban guru ditangani

Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru termasuk memperkenalkan sistem tunggal kemasukan data.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu antara lain memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah bagi menangani keluhan guru yang terbeban dengan penggunaan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.

''Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013," katanya ketika berucap merasmikan perayaan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.

Selepas kajian itu, katanya, satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi memperluaskan penempatan kakitangan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah kementerian.

''Bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendaliannya di peringkat sekolah.

''Oleh itu, pada tahun ini, hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuat kuasa mulai 2013, iaitu semuanya akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah menjelang tahun 2015.

Sehingga kini, katanya, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikut pengajian di institusi pengajian tinggi.

- UTUSAN

Guru unggul miliki kesabaran dan kasih sayang

PROFESION keguruan adalah profesion tertua dunia dan Islam meletakkan guru di kedudukan sangat mulia hingga guru ditempatkan setingkat di bawah kedudukan nabi dan rasul.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi.” (Sunan Ibn Majah, Tirmizi dan Musnad Imam Ahmad)

Selain itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan yang tidak boleh dipandang ringan hak mereka, sesiapa yang meremehkannya adalah munafik; orang tua yang berpengalaman, guru-guru dan pemimpin yang adil.” (Hadis riwayat At-Thabrani)

Kini dalam era serba moden dan canggih, kerjaya guru semakin mencabar. Dilaporkan adanya segelintir kecil guru tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas hingga masyarakat dikejutkan dengan berita kematian murid yang berpunca daripada tindakan guru.

Justeru, guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah.

Panduan ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa. Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik unggul untuk dicontohi, yang tetap relevan di sepanjang zaman.

Selain itu, guru hendaklah berusaha menyesuaikan diri dengan semua pelajar supaya segala ajarannya akan memberi kesan.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menyatakan, sifat guru itu menjadi berkesan dalam jiwa murid melalui tiga peringkat iaitu ilmu pengetahuan, perubahan hasil daripada ilmu diperoleh dan guru cemerlang akan melahirkan anak didik gemilang.

Rasulullah SAW adalah pendidik yang cemerlang sehingga lahirlah di zaman baginda sahabat yang hebat seperti Khulafa’ Ar-Rasyidin, Abdul Rahman bin A’uf, Abu Huraira dan Saad bin AbiWaqas.

Hari ini, guru perlu menerima hakikat adanya ibu bapa yang hanya mementingkan kecemerlangan akademik anak dan beranggapan pembentukan sahsiah terpuji tidak penting. Anggapan sebegini menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur, walaupun ternyata melakukan kesalahan.

Kesannya, murid berasa lebih hebat dan berani untuk melawan guru. Jadi, bukan sesuatu yang pelik banyak kes berlaku hari ini membabitkan disiplin pelajar sehingga berlaku pergaduhan dengan guru. Sebab itu tiada keberkatan ilmu kepada pelajar ekoran tidak menghormati guru.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu daripada mereka.” (Hadis riwayat At-Thabrani)

Guru juga berdepan dilema sikap ibu bapa yang tidak dapat menerima kenyataan anak mereka melakukan kesalahan. Sepatutnya ibu bapa perlu mendapatkan penjelasan dan berbincang dengan guru, bukan terus memihak kepada anak mereka.

Cabaran lain dihadapi guru masa kini ialah melakukan transformasi kerana zaman guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan sudah berlalu sebaliknya tugas mereka kini menjadi pemudah cara kepada murid menimba ilmu pengetahuan.

Sebagai pemudah cara, guru perlu lebih sedia, peka serta menggunakan situasi pembelajaran secara cekap dan berkesan. Murid perlu selalu dirangsang untuk berfikir secara kreatif dan kritikal. Tambahan dengan adanya sumber maklumat serta teknologi terkini yang canggih.

Guru juga berperanan menentukan corak pembangunan sesebuah negara. Sumbangan guru itu menjadikan mereka jurutera yang membentuk manusia.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak Ku jadikan jenis makhluk jin dan manusia melainkan untuk beribadat padaKu semata.” (Surah az-Zariat, ayat 57)

Kerjaya guru membuka luas ruang untuk mendapatkan pahala dan reda Allah kerana keikhlasan menjadikan setiap amal perbuatan dikira sebagai ibadat.

Oleh itu, walau apa pun cabaran dihadapi, guru dapat mengharunginya kerana niat serta perjuangan mereka adalah jelas demi membina modal insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Marilah kita hayati kata-kata Saidina Ali yang bermaksud: “Hak orang alim ada tujuh. Pertama, jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. Kedua, jangan halangi jika guru hendak berdiri. Ketiga, jangan membuka rahsia di hadapan guru. Keempat, jangan mengumpat orang di hadapan guru. Kelima, hormatlah guru kerana Allah. Keenam, jangan duduk membelakangi guru dan ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakan keperluan guru.”

Menjadi tanggungjawab kita menjaga kemuliaan dan mengangkat martabat guru, sejajar dengan apa yang diwartakan Allah SWT dalam firman bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

- BERITA HARIAN

Selasa, Mei 15, 2012

Semakan Penempatan Guru - Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Keluaran IPTA - Mei 2012

SEMAKAN PENEMPATAN FASA 2 -PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH (PPPS) BAGI GRADUAN IPTA (SEKOLAH MENENGAH) boleh dibuat di : http://apps.moe.gov.my/gsst/Mei_SemakanSekMenengah_1505/

SEMAKAN Penempatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Keluaran IPTA (SEKOLAH RENDAH) – SK/SJKC/SJKT boleh dibuat di : http://apps.moe.gov.my/gsst/IPTARendah_SKSJKCSJKT/

Tuan/puan yang membuat semakan diminta untuk menghubungi Jabatan/Bahagian sebagaimana yang tertera di ruang MAKLUMAN untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan penempatan tuan/puan.

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM) 

www.moe.gov.my/

 

 

Jumaat, Mei 04, 2012

Guru Prasekolah Wajib Miliki Diploma Di Bawah RMK10

Kementerian Pengajian Tinggi pada Jumaat menekankan keperluan bagi guru prasekolah menyambung pengajian sekurang-kurangnya ke peringkat diploma bagi mengubah sistem pendidikan negara di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, setakat ini kira-kira 93peratus guru terbabit tidak memiliki kelayakan Penjagaan dan Pendidikan AwalKanak-kanak (ECCE).

"Bagi mencapai sasaran ini, ada keperluan untuk meningkatkan kemahiran guru sedia ada dan menyediakan latihan praperkhidmatan. Kami berharap untuk melihat lebih banyak penyertaan sektor swasta dalam membangunkan pusat latihan ECCE bagi meningkatkan kualiti guru," katanya kepada pemberita di Petaling Jaya.

Seiring dengan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) berkaitan pendidikan, Mohamed Khaled berkata, pembangunan pusat ECCE swasta akan menjana pendapatan kasar negara sebanyak RM338 juta pada 2020 dan menawarkan 370 pekerjaan.

Pada 2010, di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP), 6,580 guru prasekolah swasta dilatih oleh pusat ECCE swasta selama tiga minggu.

Pada 2011, 6,421 guru prasekolah mendapat manfaat dan pada 2012, seramai 6,999 dijangka menerima latihan baik di pusat milik kerajaan mahupun swasta, kata MohamedKhaled.

"Inisiatif ini mensasarkan pengeluaran 218,500 guru pendidikan awal kanak-kanak bagi menampung keperluan," katanya.

Bagi merealisasikan visi itu, Mohamed Khaled berkata Kumpulan SEGi telah menyatakan ikrar untuk menyumbang RM398 juta bagi menubuhkan hab ECCE di Kota Damansara dan pusat ECCE satelit di seluruh negara.

Setakat ini terdapat 6,767 pusat asuhan kanak-kanak swasta di seluruh negara.

Beliau berkata, objektif utama inisiatif ECCE ialah meningkatkan pendaftaran prasekolah kepada 87 peratus tahun ini dan 92 peratus pada 2015 serta meningkat kepada 97 peratus pada 2020 di bawah GTP.

"Bagi memenuhi sasaran itu, kementerian akan memainkan peranan utama mengawal selia pusat terbabit sama ada daripada segi standard, kualiti dan akses kepada pendidikan di pusat ECCE swasta," katanya.

- BERNAMA

Rabu, Mei 02, 2012

Menu Perkataan dan Daftar Istilah Sains dan Matematik

Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan Menu Perkataan dan Daftar Istilah Sains dan Matematik bagi kemudahan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran sains dan matematik.

Semua guru dan murid boleh mengakses menu tersebut sebagai rujukan untuk pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Perincian Panduan Penggunaan Menu Perkataan dan Daftar Istilah tersebut adalah seperti dalam Lampiran : http://www.moe.gov.my/upload/galeri_awam//2012/1335771592.pdf

Menu Perkataan dan Daftar Istilah Sains & Matematik

- Perkataan Dan Daftar Istilah Sains BM-BI
http://www.moe.gov.my/index.php?id=329&lang=my

- Perkataan Dan Daftar Istilah Sains BI-BM
http://www.moe.gov.my/index.php?id=330&lang=my

- Perkataan Dan Daftar Istilah Matematik BM-BI
http://www.moe.gov.my/index.php?id=332&lang=my

- Perkataan Dan Daftar Istilah Matematik BI-BM
http://www.moe.gov.my/index.php?id=331&lang=my

- Perkataan Dan Daftar Istilah Matematik untuk SKJT
http://www.moe.gov.my/index.php?id=346&lang=my

- Perkataan Dan Daftar Istilah Sains Untuk SKJT
http://www.moe.gov.my/index.php?id=347&lang=my

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)
http://www.moe.gov.my/

Isnin, April 30, 2012

Panggilan Temuduga Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) KPLSPM Ambilan Jun 2012

Semakan Keputusan Panggilan Temuduga  bagi  Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian (PISMP) Ambilan Jun 2012 untuk Kursus Perguruan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh dibuat di : http://apps.moe.gov.my/kplspm/kplspmjun2012/temuduga/login.cfm

Bahagian Pendidikan Guru
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM)
http://www.moe.gov.my

Selasa, April 24, 2012

Calon Guru perlu fasih BM dan BI

Kementerian Pelajaran disaran supaya memperketatkan pengambilan pelajar ke institut pendidikan guru (IPG) demi meningkatkan profesion keguruan dengan melahirkan guru yang fasih dalam bahasa Melayu (BM) dan bahasa Inggeris (BI).

Bagi menjayakan saranan ini, pelajar perlu mendapat kepujian dalam kedua-dua subjek di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bukannya sekadar mendapat kredit untuk BM atau lulus bagi BI.

Hal ini penting untuk merealisasikan dasar Memartabatkan BM Memperkasakan BI (MBMMBI) di samping untuk mengatasi masalah sekiranya guru, atas pelbagai sebab, 'terpaksa' mengajar salah satu subjek bahasa berkenaan apabila ditempatkan di sekolah.

Paling tidak, dengan asas yang kukuh dalam kedua-dua subjek ini, guru terbabit tidak akan berdepan masalah besar untuk mengajar mata pelajaran bahasa walaupun mengambil opsyen subjek lain ketika di IPG.

Malah dengan menguasai serta memiliki kemahiran berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa secara fasih akan melonjakkan martabat guru dan dipandang tinggi terutama ketika bermesyuarat atau membuat pembentangan di luar negara.

Pada masa yang sama, guru yang hebat dalam kedua-dua subjek ini akan turut melahirkan murid yang cemerlang serta mempunyai kemahiran berbahasa yang tinggi.

Bagaimanapun, untuk meningkatkan kemahiran berbahasa di kalangan murid, sukatan pelajaran subjek BM serta BI perlu disemak semula untuk membolehkan guru berinovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Sukatan pelajaran sedia ada agak padat dan perlu dihabiskan dalam tempoh masa ditetapkan menjadi faktor mengekang guru daripada menerapkan kaedah P&P yang menyeronokkan seperti melalui pendekatan bercerita atau secara drama.

Walhal pengajaran subjek bahasa memerlukan banyak latihan yang melibatkan pengungkapan kata, pengucapan awam dan komunikasi berkesan.

Akibat hambatan sukatan pelajaran juga menyebabkan pusat sumber sekolah yang dipenuhi banyak bahan bacaan tambahan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ia turut menjejaskan usaha membangun modal insan yang dapat menguasai kedua-dua bahasa dengan baik.

Sungguhpun begitu, dalam memperkasa BI, Kementerian Pelajaran telah mengambil beberapa langkah proaktif seperti menempatkan penutur jati di sekolah terpilih, mengambil guru bersara mengajar semula secara kontrak dan latihan khas kepada guru yang masih dalam perkhidmatan.

- UTUSAN

Ahad, April 22, 2012

Guru perlu dihormati bukan dimusuhi


Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid

JIKA disoroti kisah guru dan pelajar dulu, wujud persoalan mengapa kedua-dua golongan itu ibarat bermusuhan kini.

Biarpun terkenal tegas dan garang, rasa hormat pelajar pada guru masih tinggi dan tidak tergamak bersengketa hanya kerana dihukum.

Malangnya, zaman kini berbeza kerana pantang dicuit, kedua-dua pihak pasti berbalah dan bertegang urat mempertahankan pandangan serta hak masing-masing.

Guru juga dikatakan sudah berani bertindak di luar batas profesionalisme manakala pelajar semakin galak mengambil tindakan sendiri ‘memalukan’ guru.

Persoalannya, di manakah nilai kedudukan guru di mata pelajar juga hak pelajar di sisi guru?

Adakah pelajar sengaja mencipta masalah dan masihkah guru menjadi golongan dihormati atau sebaliknya?

Mantan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata sukar mentafsirkan taraf kedudukan guru hari ini kerana pelajar tidak mempunyai rasa hormat kepada golongan itu.

Malah, lebih mendukacitakan apabila mereka menjadikan guru sebagai musuh yang perlu diperangi.

“Inilah hakikat terpaksa ditelan guru hari ini. Mereka terpaksa berdepan pelajar yang tidak langsung mahu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru.

“Malah, ada yang menjadikan guru sebagai golongan sasaran untuk melepaskan dendam.

“Semakin moden cara berfikir, semakin kecil peranan guru di mata pelajar hingga hilang rasa hormat,” katanya.

Akuinya, pelajar hari ini sudah semakin berani dan nekad mengambil tindakan sendiri sekiranya dihukum.

“Dulu, rasa takut dan hormat pelajar pada guru menggunung tinggi. Sekarang mereka lihat guru semakin kecil dengan peranan yang terbatas.

“Kuasa guru juga semakin terikat seperti tidak boleh merotan sesuka hati dan ibu bapa juga mudah melenting jika anak mereka ‘disentuh’,” katanya.

Beliau berkata, pelajar hari ini tidak memahami hasrat murni guru apabila dikenakan hukuman dan menganggapnya mencabul hak asasi individu.

Manakala guru pula dianggap menggunakan status dan kuasa untuk ‘mengikat’ pelajar bagi menurut perintah.

“Keadaan ini menimbulkan kerumitan kerana masing-masing ada hujah untuk menegakkan pendirian. Isu kecil menjadi besar terutama jika membabitkan penggunaan fizikal.

“Ditambah lagi sikap kedua-dua pihak yang tidak sebulu menjadikan pertelingkahan semakin serius dan meletakkan nilai murni di tangga paling bawah,” katanya.

“Keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya konflik hubungan kedua-dua pihak biarpun berada di bawah satu bumbung.

“Guru mahupun pelajar seharusnya perlu bijak menilai dan jangan babitkan emosi kerana tidak menyelesaikan masalah.

“Juga, usah menyalahkan antara satu sama lain kerana masing-masing ada kelemahan dan berhak menerima teguran demi kebaikan bersama,” katanya.

Deretan isu panas membabitkan guru dan pelajar kini mengundang pelbagai persepsi kerana kedua-duanya tidak pernah berhenti bertingkah, sekali gus menggugat keharmonian dunia pendidikan negara.

Pertelingkahan itu turut menimbulkan pertanyaan mengapa mereka ibarat seteru dan begitu kontras hingga dihambat kontroversi.

Sikap saling tidak memahami juga penggunaan simbolik ‘perintah dan menurut’, katanya, menjadi punca mereka bermusuhan walaupun hanya isu kecil.

“Ada segelintir guru atau pelajar lebih suka ia menjadi sensasi supaya boleh diketahui ramai.

“Sepatutnya kedua-dua pihak perlu hormat antara satu sama lain, bukan merendahkan maruah masing-masing,” katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju tindakan guru yang merotan, menghukum atau melakukan perkara di luar batas kemanusiaan wajar dikenakan tindakan tegas.

“Jika guru memang bersalah wajar tindakan tegas diambil. Status disandang bukan bermaksud boleh menghukum atau menganiaya pelajar sesuka hati.

“Pelajar yang melanggar peraturan dan tidak berdisiplin juga wajar dikenakan hukuman. Jangan ada sikap pilih kasih,” katanya.

Katanya, bukan mahu menyalahkan, namun ramai ibu bapa lebih mementingkan kerjaya berbanding mengambil tahu persekolahan anak sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu pada guru.

“Apabila anak mengadu, mereka drastik mengambil tindakan tanpa menyelidik lebih lanjut,” katanya.

Beliau yakin insiden buruk membabitkan guru-pelajar hanya kes terpencil yang boleh diperbaiki.

“Guru, ibu bapa dan pelajar juga perlu bersikap lebih terbuka, realistik, saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Pendidikan perlu berlangsung secara harmoni bagi menjamin hak semua.

“Jangan kerana persengketaan, hubungan renggang. Kita akan rugi dan menanggung sesalan kelak,” katanya.

- HARIAN METRO
 

Isnin, April 02, 2012

Biasiswa Perguruan Persekutuan KPM (Ijazah Pendidikan Nov 2010 / Semester 1 2011)

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mempelawa calon-calon Ijazah Pertama (Pendidikan) di Institusi Pengajian Tinggi Awam ambilan Nov / Dis 2010 dan Semester 1 2011 untuk mendapatkan tawaran Biasiswa Perguruan Persekutuan di bawah KPM. Permohonan boleh dibuat secara atas talian / online melalui laman web KPM di alamat URL: http://apps.moe.gov.my/ijazah1/

Permohonan secara atas talian / online dibuka mulai 2 April 2012 hingga 30 April 2012

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
http://www.moe.gov.my