Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gempar. Papar semua catatan

Isnin, Mac 18, 2013

Presiden Filipina Gesa Proses Rundingan Berhubung Tuntutan Ke Atas Sabah

MANILA: Presiden Filipina, Benigno Aquino berkata proses rundingan adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah dan beliau turut mengkritik tindakan kumpulan bersenjata menyerang Malaysia.

Aquino turut mengecam konspirasi terancang pihak tidak bertanggjungjawab yang menghantar pengikut-pengikut kesultanan Sulu ke Sabah kerana ia telah mengancam keselamatan 800,000 rakyat Filipina yang tinggal dan bekerja di negeri itu.

Bercakap di Akademi Elit Ketenteraan di Filipina pada Ahad, beliau turut mengutuk tindakan pengikut Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III yang membunuh dengan kejam sembilan anggota pasukan keselamatan di Malaysia.

“Insiden seperti ini akan hanya menyebabkan lebih banyak masalah kerana anda cuba menyelesaikan dengan tergesa-gesa atau menggunakan kekearasan. Kita memerlukan perbincangan mendalam dan ikhlas jika mahu mencari jalan penyelesaian yang betul,” katanya ketika menghadiri majlis graduasi kadet tentera pada Ahad.

“Kita sudah tahu betapa rumitnya isu ini. Bolehkan mana-mana Perdana Menteri Malaysia dengan mudah melepaskan sebuah negeri yang sudah lama tertakluk di bawah undang-undang mereka?,” soal Aquino.

Lebih 200 pengikut Kiram, dengan sebahagiannya membawa senjata menceroboh Sabah dengan tujuan untuk menuntut semula Sabah yang merupakan sebahagian daripada wilayah itu satu ketika dahulu.

Pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia menyebabkan 61 anggota kumpulan bersenjata ditembak mati sementara lapan anggota polis dan seorang anggota tentera turut gugur dalam Operasi Daulat yang dilancarkan 5 Mac lalu.

Sementara itu lebih 100 orang turut ditahan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan berkenaan turut ditahan di Sabah.

Bagaimanapun, ketua kumpulan pengganas berkenaan, Azzimudie Kiram yang juga adik bongsu kepada Jamalul Kiram III tidak dapat ditangkap sehingga kini.

Minggu lalu, Tentera Laut Filipina menahan 35 suspek penceroboh Filipina kerana mereka cuba berlayar pulang ke tanah air.

Aquno turut mendakwa ada pihak ketiga yang terlibat dalam membiayai pengikut Kiram berhubung insiden pencerobohan di Sabah ia memerlukan wang yang banyak.

Dalam pada itu, jurucakap keluarga Kiram, Abraham Idjirani berkata pihak kesultanan terpaksa mengambil tindakan kekerasan kerana kerajaan Filipina tidak mengambil tindakan berhubung tuntutan mereka.

Beliau turut menafikan ada pihak menaja kumpulan penceroboh berkenaan, dengan mendakwa pengikut Sultan Sulu bertindak sedemikian atas kemahuan mereka sendiri.

Idjirani berkata beliau telah bercakap telefon dengan Azimmudie Kiram pada lewat malam Sabtu dan mengesahkan dia masih berada di Sabah dan tidak mengalami kecederaan.

Sumber : AFP


Ahad, Mac 17, 2013

Salji di Gurun Sahara



Gurun Sahara yang berkeluasan 4.6 juta kilometer persegi dengan keadaan suhu ekstrem mencecah 38 darjah Celsius pada waktu siang dan -5 darjah Celsius pada waktu malam bukan sahaja tidak menyukarkan pergerakan manusia malah tidak mesra haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Namun, terdapat beberapa kisah menarik gurun yang meliputi beberapa buah negara antaranya Senegal, Mauritania, Mali, Niger, Libya dan Mesir ini.

Percaya atau tidak, Gurun Sahara sebenarnya dihiasi sebuah tasik yang indah.

Tasik Ounianga yang terletak di Chad bergantung kepada sumber air bawah tanah yang wujud sejak zaman purba memandangkan iklim Sahara yang lembap pada masa itu.

Purata hujan tahunan tidak melebihi 2 milimeter (mm).

Pakar-pakar mendakwa 5,500 tahun dahulu tasik itu merupakan sebuah takungan besar yang panjangnya merentasi beratus-ratus kilometer.

Namun, perubahan iklim menyebabkan keluasan tasik itu menyusut.

Fosil dinosaur

Selain kisah tasik unik itu yang menjadi ikon pelancongan Chad, pada tahun 2008 pengkaji menemui kubur seorang wanita bertubuh kecil dengan dua kanak-kanak yang dipercayai berusia kira-kira 5,000 tahun. Mereka disemadikan bersama hamparan bunga-bungaan.

Peliknya, lengan kurus kanak-kanak tersebut masih ‘memeluk’ wanita itu seakan-akan pernah berlaku kejadian besar ketika itu.

Paul Sereno dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat dan rakan-rakannya sebenarnya sedang mencari fosil dinosaur di kawasan gurun itu di Niger.

“Kami telah menemui sesuatu yang paling tidak dijangkakan.

“Apabila kami menemui perkara seperti ini di tengah-tengah kawasan gurun ini, kami berasa aneh,” katanya.

Kira-kira 200 kubur manusia ditemui dalam usaha pencarian fosil dinosaur di situ pada tahun 2005 dan 2006. Tidak ketinggalan juga tulang haiwan seperti ikan besar dan buaya.

“Di mana sahaja anda pergi, anda akan menemui tulang-tulang haiwan yang tidak mendiami gurun ini.

“Kami mula sedar bahawa kami berada di ‘gurun’ yang hijau,” katanya.

Kubur-kubur tersebut yang tersembunyi di sebalik laluan angin gurun yang panas dipercayai terletak berdekatan tasik pada masa itu.

Dahulu, perubahan orbit matahari menyebabkan angin monsun bertiup jauh hingga ke utara yang membentuk landskap bertasik dan kawasan subur sekali gus menarik kedatangan haiwan dan manusia.

Syurga penternakan

Para pengkaji juga membuat kesimpulan sekitar 10,000 tahun lalu, Gurun Sahara mengalami fasa lembap Holosen Afrika menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh subur di benua itu.

Ini mendorong kepada kewujudan kawasan penternakan lembu susu.

Penyelidikan ini berdasarkan gambar yang terdapat pada tembikar dan batu-batu kuno menunjukkan bahawa sekitar 7,000 tahun lalu di Gurun Sahara terdapat lembu, sapi, biri-biri serta kambing.

Lebih meyakinkan apabila terdapat gambar pemerahan susu dan penternak yang sedang mengolah susu untuk dijadikan yogurt, keju dan mentega.

Menurut seorang pakar arkeologi dari Universiti Bristol, Kanada, Julie Dunne, ini berdasarkan hasil analisis pecahan tembikar kuno yang ditemui di Libya.

“Apa yang paling menarik adalah penemuan sebuah kendi yang didapati mengandungi sisa susu. Pakar mengandaikan susu merupakan bahan makanan yang sangat berguna bagi masyarakat zaman prasejarah. Mungkin masyarakat zaman dahulu sudah faham istilah khasiat makanan,” kata Dunne.

Tambahnya, aktiviti itu berlaku mungkin disebabkan manusia bermigrasi dari sekitar kawasan Mediterranean ke Mesir yang mendorong penghasilan susu untuk makanan di Afrika Utara.

“Ketika para imigran baru yang datang ke Afrika memulakan penternakan, maka orang pribumi (orang asli Afrika) dengan cepat melihat manfaat luar biasa daripada aktiviti penternakan.

“Anda benar-benar melihat evolusi dalam tindakan dalam jangka waktu yang sangat singkat, hanya 1,000 hingga 2,000 tahun,” kata Dunne.

Selain itu, pada tahun 2012 berlaku kejadian salji turun di Bechar, Algeria.

Kejadian selama 24 jam itu membawa salji dan hujan lebat. Malah, salji turut memenuhi jalan dan bangunan di bandar itu.

Apa yang menghairankan, pakar meteorologi sebelum itu meramalkan cuaca baik.

Namun, kejadian itu disambut baik oleh penduduk sekitar kerana salji yang tidak diduga itu dapat membunuh parasit yang terdapat pada pokok kurma sekali gus dapat menghasilkan lebih banyak kurma.

Kejadian sama dikatakan pernah berlaku pada tahun 1979 namun berlaku selama 24 jam sahaja.

Pakar-pakar cuaca agak bingung dengan keadaan ini dan mereka mendakwa ia disebabkan fenomena pemanasan global.

- KOSMO!


Ikan Paus ditangkap di Bekenu, Sarawak


MIRI 15 Mac - Seorang nelayan pesisir pantai terkejut apabila mendapati seekor ikan yu paus sepanjang lima meter dengan berat lebih 1,000 kilogram tersangkut pada pukatnya pagi ini.

Nelayan berkenaan, Samad Johny, 30-an, dari Kampung Rancah-Rancah di sini, memasang pukat tersebut di kawasan kira-kira satu batu nautika dari Pantai Peliau sejak petang semalam.

Menurut Samad, kira-kira pukul 6.30 pagi ini dia turun ke laut untuk memeriksa pukat tersebut dan mendapati keadaan pukat miliknya itu membaluti satu objek besar yang disangkanya batang kayu.

"Setelah diperiksa, barulah saya sedar objek itu sebenarnya seekor ikan gergasi yang telah mati.

"Saya pelik kerana sebelum ini tidak pernah ikan yu paus tersangkut pada pukat nelayan di kawasan ini," katanya di sini.

Dalam pada itu, Samad berkata, bagi menyelamatkan pukatnya, dia tiada pilihan selain menunda ikan berkenaan ke pantai.

Katanya, dengan hanya menggunakan bot kecil dengan enjin 40 kuasa kuda, dia mengambil masa lebih dua jam untuk tiba di Pantai Peliau.

Berita mengenai ikan gergasi itu kemudiannya tersebar pantas dan menarik perhatian masyarakat setempat yang tidak mahu melepaskan peluang melihatnya dari dekat.

Sehingga petang ini, bangkai ikan tersebut masih berada di Pantai Peliau dan menjadi tontonan orang ramai.

Sumber : UTUSAN
 


Jumaat, Mac 15, 2013

Guru hina pasukan keselamatan ditahan

Seorang guru di Kelantan ditahan polis pada pukul 7.00 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh, kelantan kerana menghina pasukan keselamatan dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah melalui laman sosial Facebooknya.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Kamal Zainal berkata, suspek yang mengajar Pendidikan Seni di sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini ditahan di bawah Seksyen 4 (1) (a), Akta Hasutan.

"Siasatan awal polis mendapati suspek berusia 37 tahun itu mengaku mempunyai penyakit mental tetapi sudah lebih lima bulan tidak makan ubat.

"Dia juga pernah ditahan dua kali sebelum ini atas kesalahan membuat kecoh di tempat awam," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menurutnya, kali terakhir suspek ditahan polis adalah pada tahun 2009 kerana mengamuk dan mengganggu ketenteraman awam.

Dalam pada itu, Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan tegas terhadap guru tersebut.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata kementerian tidak akan berkompromi dengan kenyataan biadap guru itu yang menghina dan mengguris hati banyak pihak serta menjejaskan reputasi dan imej warga pendidik di negara ini.
  
"Seorang guru sepatutnya menjalankan amanah yang dipikulnya dengan penuh tanggungjawab malah sepatutnya menjadi model semangat patriotisme kepada masyarakat khususnya anak didik mereka," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi Kementerian Pelajaran.
  
Abdul Ghafar menegaskan Kementerian Pelajaran sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan polis dan tentera dengan mendoakan keselamatan mereka.
  
"Seluruh warga pendidik mendoakan pasukan keselamatan dikurnia kekuatan dan semangat kental dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara," katanya.

- BERNAMA


Selasa, Mac 12, 2013

Kg. Tanduo diisytihar bersih

LAHAD DATU 11 Mac - Kampung Tanduo yang sebelum ini diletakkan dalam zon merah dan menjadi medan pertempuran antara pasukan keselamatan negara dan pengganas Sulu bersenjata kini diisytiharkan bersih.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, operasi pembersihan termasuk menggeledah dan mengesan pengganas di lokasi tersebut ketika ini berada dalam peringkat akhir.

"Sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan di lokasi tersebut tamat, penduduk kampung itu akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing dalam tempoh terdekat," katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, Ops Daulat akan diteruskan dan lokasi yang menjadi tumpuan seterusnya ialah Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.

Menurutnya, proses menggempur akan dilakukan di dua lokasi tersebut yang dipercayai masih menjadi tempat persembunyian saki-baki kumpulan pengganas tersebut

Beliau memberitahu, seorang lagi pengganas ditembak mati di Kampung Tanjung Batu menjadikan jumlah penceroboh yang mati setakat ini ialah 54 orang manakala 97 ditahan kerana disyaki terbabit dengan pengganas militan.

Tambahnya, setakat ini, pasukan keselamatan telah menahan 122 orang kerana berada dalam zon larangan Ops Daulat.

Hamza memberitahu, 22 mayat pengganas itu telah dibawa keluar dan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Beliau berkata, pasukan keselamatan membenarkan wartawan mengambil gambar mayat-mayat pengganas itu bagi menepis dakwaan pihak tertentu mempersoalkan jumlah pengganas yang terbunuh.

Dalam pada itu, Hamza menjelaskan bahawa kejadian tembakan di Kampung Tanjung Batu semalam yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan sehingga mengakibatkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terbunuh adalah tindakan wajar.

Jelas beliau, kanak-kanak itu berada dalam belukar begitu hampir dengan lokasi rumah yang ingin diserbu menyebabkan pihak keselamatan terpaksa melepaskan tembakan.

"Kanak-kanak itu berada di lokasi yang dilabelkan sebagai kawasan merah dan tindakan mangsa bergerak dalam belukar bersama beberapa orang lain menyebabkan pasukan keselamatan terpaksa melepaskan tembakan," katanya.

Tambah Hamza, anggota keselamatan boleh mengambil tindakan melepaskan tembakan ke arah rumah yang menjadi sasaran tanpa perlu memasukinya untuk menangkap suspek yang berada di dalamnya.

"Tetapi tindakan itu (melepaskan tembakan) tidak dilakukan, sebaliknya pasukan keselamatan memasuki rumah itu untuk menangkapnya," katanya.

Sumber : UTUSAN




Jumaat, Mac 08, 2013

Imej UFO dirakam Pelakon Russel Crowe


SYDNEY - Gambar objek terbang tidak dikenali (UFO) yang dirakamkan oleh aktor terkenal Hollywood, Russell Crowe dibincangkan dengan hangat di internet, lapor akhbar The Sydney Morning Herald semalam.

Crowe sebelum ini menyatakan imej UFO itu dirakamkan di luar pejabatnya di Sydney.

Klip video yang disiarkan di laman perkongsian sosial YouTube menunjukkan objek berwarna merah dengan cahaya berwarna kuning melintasi luar tingkap pejabatnya.

Akhbar New York Post turut melaporkan bahawa Crowe memuat naik video itu kerana dia mungkin percaya tentang makhluk asing.

Imej itu menyebabkan isu sama ada terdapat makhluk asing yang telah mendarat di Sydney dibincangkan dengan meluas di internet.

Bagaimanapun, beberapa pakar video dan gambar menyatakan imej tersebut sebenarnya sebuah bot.

Seorang pengguna YouTube memberi komen objek tersebut kelihatan ganjil kerana terdapat teknik muslihat fotografi telah digunakan.

Bagaimanapun, menurut akhbar The Sydney Morning Herald yang memetik agensi berita AAP, Crowe membuat kenyataan di Twitter bagi mempertahankan imej tersebut.

"Saya tidak mengetahui apakah sebenarnya, tetapi menganggap gambar itu sebagai palsu merupakan kebodohan," katanya.

Menurut Crowe, imej itu kelihatan semasa dia mahu merakamkan gambar kelawar keluar dari Taman Botani.

Pelakon berusia 48 tahun dari Australia itu terkenal menerusi filem Gladiator dan Les Misérables.

Sumber : Agensi





Rabu, Mac 06, 2013

Kronologi Penceroboh Kumpulan Bersenjata Di Lahad Datu, Sabah

Berikut adalah kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu:

12 Feb - Sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera dan dipercayai bersenjatayang menaiki bot pancung mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu.

14 Feb - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis mengenal pastikumpulan rakyat Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabahsebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari selatan Filipina.

14 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaanMalaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan bagi menangani isu pencerobohan itu sebelum mengusir mereka keluar dari kawasanberkenaan.

16 Feb - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Husseinmengesahkan kumpulan terbabit bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknyapenyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalahterkawal.

18 Feb - Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasabekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukansecara diplomasi tanpa pertumpahan darah.

24 Feb - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaanuntuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yangbertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Feb lepas.

26 Feb - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankanterhadap kumpulan penceroboh itu.

28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus denganSultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan diLahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.

1 Mac - Dua anggota polis, ASP Zulkifli Mamat dan Sjn Sabarudin Daudterkorban manakala 12 anggota kumpulan penceroboh terbunuh dalam pertempuranantara kumpulan itu dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo.

2 Mac - Enam anggota polis terkorban dalam serangan hendap di perkampunganair Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna. Kejadian pada pukul 8 malam itumenyebabkan enam anggota kumpulan penceroboh terbunuh.

3 Mac - Mayat enam anggota polis dikeluarkan dari kawasan perkampungan airitu dan polis turut mengeluarkan 19 anggota polis dengan selamat dari kampungitu.

4 Mac - Setiausaha Rendah Luar Filipina Jose Brillantes dan Duta BesarFilipina ke Malaysia J. Eduardo Malaya dilapor bertemu Menteri Pertahanan DatukSeri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin TunHussein untuk mencari resolusi damai.

4 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menegaskan keadaankeselamatan di Kunak, Sandakan dan Semporna di Sabah adalah terkawal.

4 Mac - Polis mengeluarkan senarai nama enam pegawai dan anggota yangterkorban dalam serangan hendap di Semporna, Sabah.

5 Mac (7 pagi) - Pasukan keselamatan melancarkan serangan menggunakan jetpejuang F18 dan Hawk ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo,Lahad Datu, Sabah diikuti tindakan susulan dan penggeledahan oleh pasukantentera dan polis di kawasan kampung itu.

5 Mac (8 pagi) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaanmesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatannegara sebagaimana yang dituntut rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkanpertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.

5 Mac (11 pagi) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam sidang mediabersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyifatkan OpsDaulat itu mencapai objektif yang ditetapkan.

5 Mac (1.30 tengah hari) - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin TunHussein dalam sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad ZahidHamidi mengesahkan tiada kematian dan kecederaan di pihak pasukan keselamatan.

5 Mac (4 petang) - Ketua Polis Negara mengadakan sidang akhbar mengatakanoperasi susulan dan penggeledahan masih diteruskan kerana polis percaya masihada musuh di kawasan itu.

5 Mac - Sehingga pukul 7 petang, polis belum mengesahkan jumlah kematian,kecederaan atau tangkapan di pihak anggota kumpulan penceroboh bersenjata itu.

Sumber : BERNAMA

Isnin, Mac 04, 2013

6 polis mati ditembak di Semporna


Seorang pegawai dan lima anggota polis terkorban selepas mereka diserang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sultan Sulu di Kampung Seri Jaya, Simunul dekat Semporna lewat petang kelmarin.

Kejadian di perkampungan atas air itu turut menyebabkan enam orang dipercayai anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar kecil) berkata, kejadian itu tercetus kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin ketika 25 orang polis mengadakan pemeriksaan di kampung berkenaan setelah menerima maklumat mengenai kehadiran sekumpulan lelaki bersenjata di situ.

Menurut beliau, sepasukan 25 orang pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna kemudian telah melakukan pemeriksaan ke kampung berkenaan yang mempunyai kira-kira 300 buah rumah.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di kampung tersebut, kumpulan bersenjata yang dipercayai daripada kumpulan penceroboh Sulu terbabit menyerang hendap pasukan berkenaan dengan melepaskan tembakan.

"Pasukan kita telah diserang dan ditembak oleh kumpulan terbabit sehingga mengorbankan seorang pegawai dan lima anggota," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Turut hadir ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rashid.

Ismail memberitahu, anggota polis itu ditembak ketika mereka sedang menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.

Menurut beliau, pihak polis kemudian telah mengerahkan pasukan bantuan ke kampung tersebut untuk membantu baki 19 orang anggota yang terperangkap di situ.

Operasi pasukan bantuan tersebut selama hampir 24 jam yang berakhir pada pukul 6.30 petang semalam berjaya menyelamatkan 19 anggota terbabit dan mengeluarkan mayat semua anggota polis serta enam anggota kumpulan pengganas.

Ismail berkata, polis juga sedang menyiasat sama ada kumpulan bersenjata itu mempunyai kaitan dengan lebih 150 orang kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Semporna.

Setakat ini, jelas beliau, kampung tersebut telah dikepung oleh pasukan keselamatan.

"Baki ahli kumpulan itu masih berada di dalam kampung berkenaan dan kita telah mengepung mereka," ujarnya.

Pada Jumaat lalu, dua anggota komando VAT 69, Asisten Superintendan Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, terbunuh sementara tiga yang lain cedera dalam insiden pertempuran di Kampung Tanduo.

Dalam kejadian itu, seramai 12 anggota pasukan penceroboh terbunuh.

Sementara itu, Ismail berkata, polis turut menahan tiga daripada lebih 150 orang kumpulan bersenjata rakyat Selatan Filipina yang menceroboh dan berpangkalan di Kampung Tanduo di sini sejak 12 Februari lepas.

"Mereka dipercayai cuba keluar daripada kumpulan itu," katanya yang enggan mendedahkan maklumat terperinci mengenai tangkapan tersebut.

Sumber : KOSMO!
 

Ahad, Mac 03, 2013

Serangan terbaru di Sabah, seorang lagi anggota polis terbunuh di Semporna

SEMPORNA 2 Mac - Kumpulan bersenjata asing dipercayai penyokong Tentera Diraja Kesultanan Sulu melancarkan serangan terbaharu mengakibatkan seorang pegawai polis terbunuh dan seorang cedera di Kampung Simunul, kira-kira tiga kilometer ke bandar Semporna, pukul 7.30 malam 2 Mac (Ahad).

Utusan difahamkan kumpulan penyerang adalah Tentera Diraja Kesultanan Sulu yang telah mula memasuki dan menetap di beberapa kawasan di Sabah secara berperingkat sejak empat bulan lalu.

Difahamkan siren kecemasan dibunyikan di Kampung Simunul dan semua penduduk termasuk di kampung berdekatan iaitu Kampung Air dan Kampung Sri Jaya diarah tidak keluar dari rumah masing-masing.


KPN sahkan tembak-menembak di Semporna ada kaitan pencerobohan di Lahad Datu

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan berlaku kejadian tembak-menembak di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna, Sabah, kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

Menurut Ismail di dalam laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia, kejadian itu susulan daripada pemeriksaan pihak polis ke atas sebuah premis di situ.

"Pemeriksaan tersebut bertujuan mengesahkan penglibatan kejadian pencerobohan di Lahad Datu.

"Pihak polis masih belum dapat mengesahkan jumlah mereka yang terlibat dalam kejadian terbabit. Bagaimanapun jumlah yang terlibat dipercayai tidak melebihi 10 orang," katanya.

Beliau berkata dalam kejadian itu beberapa anggota polis dilaporkan tercedera.

Sementara itu di LAHAD DATU, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, dua anggota polis cedera dalam kejadian tersebut.

Hamza bagaimanapun menafikan Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna diserang dan berkata keadaan di Semporna terkawal serta tidak ada perintah berkurung dilaksanakan.

Menurut Hamza setakat ini belum ada tangkapan dibuat berhubung kejadian tembakan itu dan polis masih menyiasat suspek yang bertanggungjawab.

Sumber : UTUSAN

Jumaat, Mac 01, 2013

Dua komando Malaysia dan 10 penceroboh Sulu terbunuh krisis Lahad Datu


Dua komando polis terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata  dari selatan Filipina hari ini.
   
Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.
   
Wartawan Bernama yang berada di kawasan Felda Sahabat 17 di perkampungan itu berkata mayat dua anggota keselamatan itu diusung oleh polis dan dimasukkan ke dalam sebuah trak polis untuk dibawa ke Hospital Lahad Datu.
   
"Sehingga kini tiada pengesahan polis, kami hanya melihat mayat dengan boot hijau diusung ke dalam trak tersebut," katanya yang terpaksa keluar dari kawasan Felda itu setelah diarahkan pihak berkuasa.

Pada 2 petang, beliau berkata pihak berkuasa mengarahkan wartawan keluar kerana khuatir keselamatan mereka berikutan insiden tembakan masih berlaku.
   
Setakat ini, tiada pihak berkuasa boleh mengesahkan identiti anggota yang maut.

Sementara itu, Seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.

ABS-CBNnews melaporkan jurucakap Abraham Idjirani sebagai berkata dia baru bercakap sendiri dengan adik Sultan Sulu Jamalul Kiram - Azzimudie Kiram - yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu.

Azzimudie mengesahkan bahawa 10 lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam insiden tersebut.

"Dia melihat sendiri mayat-mayat tersebut," kata Idjirani dalam satu sidang akhbar di Manila.

"Yang terbunuh termasuk seorang wanita."

Idjirani merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan serangan itu, dan berkata orang-orang Azzimudie hanya bersenjatakan bolos (parang) dan pisau dan hanya beberapa orang bersenjatakan senapang.

Beliau mendakwa bahawa komando polis Malaysia telah menggunakan penembak tepat ke atas pengikut Azzimudie.

AKhbar berbahasa Cina, China Press pula memetik sumber yang tidak disahkan di tempat kejadian, yang mendakwa dua penceroboh telah ditembak mati, manakala tiga anggota tentera Malaysia cedera.

Bagaimanapun, ABS-CBNnews melaporkan bahawa Duta Malaysia ke Filipina telah mengesahkan berlaku insiden menembak antara kedua-dua pihak tetapi tiada sebarang kematian.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) Raul Hernandez memberitahu agensi berita bahawa Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario baru sahaja berbincang dengan duta Malaysia, yang mengesahkan berlaku insiden menembak di Lahad Datu tetapi ia sudah dihentikan.

Beliau berkata Manila sedang memantau keadaan.

Sumber : MALAYSIAKINI

Khamis, Februari 21, 2013

Bumbung Stadium Terengganu runtuh ketika dibaikpulih


Bumbung Stadium Sultan Mizan di Terengganu yang sedang diperbaiki runtuh sekali lagi dalam satu kejadian yang mencederakan tiga orang pekerja tempatan pada Rabu, 20 Februari 2013.

Laporan Bernama petang ini menyebut, struktur besi untuk bumbung stadium tersebut runtuh dalam kejadian pada kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Kerangka lama bumbung stadium berkenaan, yang sedang dibaik pulih, runtuh dan mencederakan lima orang pekerja.

Tiga daripadanya cedera parah, menurut laporan itu lagi yang memetik kenyataan timbalan ketua polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil.

Katanya, runtuhan itu melibatkan sebahagian daripada struktur asal bumbung tersebut, dianggarkan sepanjang 137 meter.

Kejadian dipercayai akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung, katanya.

Laporan itu turut memetik kenyataan menteri besar Datuk Seri Ahmad Said yang mahu kontraktor bertanggungjawab atas kejadian yang dipercayai berpunca daripada kecuaian pihak berkenaan.

Katanya, kontraktor itu bertanggungjawab untuk memastikan kerja baik pulih stadium itu dilakukan dengan selamat.

Menurut laporan itu, stadium berkenaan sedang dibaikpulik dengan kos RM15 juta.

Bumbung utamanya yang bernilai RM292 juta runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah, menurut laporan itu lagi.

Mangsa kejadian kini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Tiga yang cedera parah itu dikenalpasti sebagai Mohd Nazirul Nizam Marzuki, 22, Mohd Saidi Ismail, 21, dan Safian Abdul Manaf, 21.

Dua lagi yang cedera ringan ialah ringan Wan Mohd Fajrulazmi Wan Ahmad, 26, dan Mohd Syukri Jusoh, 31.

Gambar yang merakamkan kejadian itu beredar pantas di ruang Internet hari ini dan menjadi bahan jenaka di kalangan pengguna media sosial.

Sumber : MALAYSIAKINI
 

 

Selasa, Februari 19, 2013

Polis sahkan Psy Gangnam Syle terima ancaman bunuh


TASEK GELUGOR, PULAU PINANG - Polis Pulau Pinang mengesahkan wujud ancaman bunuh ke atas penyanyi rap terkenal Korea Selatan, Psy yang terkenal dengan Gangnam Style ketika penyanyi tersebut datang membuat persembahan sempena Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina Barisan Nasional di padang Kolej Han Chiang, George Town pada 11 Februari 2013 lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, ancaman itu diterimanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali.

"Pada 10 Februari lalu, lebih kurang pukul 8 malam iaitu sehari sebelum penyanyi itu membuat persembahan, kita terima satu SMS daripada pengurusnya yang memberitahu ada ancaman bunuh ke atas penyanyi itu.

"Dalam SMS itu juga, pengurus Psy meminta kawalan keselamatan ketat diberikan kepada penyanyi tersebut semasa beliau tiba di lapangan terbang sehinggalah pulang," katanya.

Sumber : KOSMO!

 

 

Banjir Kilat Terburuk di Puchong


Beberapa buah kenderaan terperangkap selepas ditenggelami banjir kilat sedalam 1.5 meter berhampiran pusat beli-belah IOI Mall di Bandar Puchong Jaya, Selangor pada petang Isnin.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, hujan lebat tanpa henti sejak pukul 4.30 petang menyebabkan kawasan itu ditenggelami air. Bagaimanapun, menurutnya, kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa.

"Bomba menerima panggilan pada pukul 5.30 petang dan setibanya anggota ke lokasi mendapati beberapa buah kenderaan telah ditenggelami air.

"Punca air naik begitu cepat adalah disebabkan banjir kilat dan hujan lebat tanpa henti sejak pukul 4.30 petang," katanya ketika dihubungi. Menurut beliau, banjir di kawasan itu surut kira-kira pukul 6 petang.

"Banjir kilat sedalam 1.5 meter itu merupakan pertama kali melanda kawasan Bandar Puchong Jaya sejak beberapa tahun lalu dan ia boleh dikatakan agak teruk kerana melibatkan kerosakan beberapa buah kenderaan," katanya lagi.

Sumber : KOSMO!

 

Pengikut Sultan Sulu tidak akan tinggalkan Lahad Datu


MANILA, FILIPINA: Pengikut Sultan Sulu yang menceroboh masuk ke Sabah minggu lalu tidak akan meninggalkan negeri itu kerana mendakwa kawasan tersebut merupakan wilayah nenek moyang mereka, kata Sultan berkenaan pada Ahad berhubung insiden yang berlaku.

Sultan Jamalul Kiram berkata kira-kira 400 pengikutnya termasuk 20 penembak – tetap bertegas untuk tinggal di tempat berkenaan walaupun mereka dikepung oleh pasukan keselamatan, serta desakan kerajaan Malaysia yang mahu kumpulan itu pulang ke Filipina.

"Mengapa kami harus meninggalkan rumah kami sendiri? Hakikatnya mereka (rakyat Malaysia) membayar sewa (kepada kami)

"Pengikut kami akan tinggal di Lahad Datu, Sabah. Tiada siapa akan dihantar pulang ke Filipina. Sabah ialah rumah kami,” katanya kepada pemberita di Manila.

Kesultanan Islam yang berpangkalan di Selatan Filipina pernah mentakluki Borneo dan menerima pampasan nominal tahunan dari Malaysia di bawah satu perjanjian lama kerana memiliki Sabah.

Kiram berkata beliau memutuskan untuk menghantar kumpulan pengikutnya ke Sabah selepas kesultanan itu dipinggirkan dalam satu rangka kerja perjanjian yang ditamatkan pada Oktober antara Manila dan kumpulan pemberontak Islam di selatan Filipina.

Perjanjian itu membuka jalan perdamaian di selatan Filipina yang merupakan rumah kepada kumpulan minoriti masyarakat Islam dan sebahagian besar orang Kristian.

Jurucakap Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani kemudian berkata adik kepada sultan, Raja Muda Abimuddin Kiram, yang mengetuai kumpulan ke Sabah telah menyatakan kepada beliau melalui telefon bahawa mereka akan tinggal di sana.

"Objektif untuk tinggal di Sabah adalah untuk selama-lamanya, dengan mengambilkira hak kedaulatan kami ke atas Sabah," katanya kepada AFP.

Idjirani berkata terdapat kira-kira 400 pengikut Kesultanan Sulu, termasuk 20 orang yang membawa senjata.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jumlah mereka yang bersenjata adalah 80 hingga 100 orang.

Idjirani berkata kumpulan berkenaan tidak akan bertindak ganas namun mereka akan menentang jika ada provokasi.

"Kami mengiktiraf keupayaan Malaysia. Kami tidak mempunyai senjata dan keupayaan namun kami mempunyai kebenaran sejarah," katanya sambil menambah bahawa kumpulan itu 'sanggup mati demi mempertahankan hak nenek moyang mereka'.

Idjirani berkata pembantu kanan Presiden Benigno Aquino telah menghubungi sultan dan mereka sedia menghantar surat kepada kerajaan Malaysia bagi pihaknya dalam urusan perundingan.

Sumber : AFP


 

Beruang Matahari Dan Kuda Lumba Ditemui Mati Di Zoo Melaka


Beruang Matahari dan kuda lumba spesis 'Thoroughbred' ditemui mati disyaki diracun melalui makanan di Zoo Melaka dan Safari Malam di Melaka.

Pegawai Veterina zoo tersebut, Dr Zubaidah Kamarudin berkata beruang betina berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditemui mati 5 petang semalam sementara kuda lumba yang diberi nama 'Basket', 17, ditemui mati 7 pagi Isnin.

Beliau berkata dalam kejadian pertama pada Ahad, beruang itu dilaporkan dalam keadaan pelik oleh pelawat yang mengunjungi zoo tersebut.

"Apabila penjaga haiwan dan penyelia zoo tiba di kandang menempatkan beruang itu, ia masih hidup tapi mengalami sawan, air liur meleleh dan cirit-birit sebelum mati dalam masa yang singkat kira-kira lima minit," katanya kepada pemberita ketika ditemui di zoo tersebut, Isnin.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan 8 malam tadi, beruang yang dijaga sejak tahun 2000 itu mati disebabkan makan pisang yang disyaki mengandungi sejenis serbuk racun.

Katanya kematian tersebut terlalu cepat berpunca daripada kerosakan saluran makanan yang teruk.

Dr Zubaidah berkata dalam kejadian kedua, Basket ditemui mati dalam keadaan rebah di kandangnya 7 pagi tadi dan bedah siasat akan dijalankan hari ini.

Beliau berkata pihak zoo turut menjumpai sebungkus beg plastik mengandungi buah limau, pisang dan tebu yang dipercayai telah dimasukkan sejenis serbuk dipercayai racun di kandang haiwan Cimpanzi.

Katanya bagaimanapun buah-buahan yang dipercayai dibawa dari luar itu tidak dimakan Cimpanzi tersebut.

"Kita syak ia adalah perbuatan sabotaj kerana selalunya haiwan di sini diberi makan selepas 5.30 petang namun kejadian yang berlaku sebelum ia diberi makan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata sampel makanan yang ditemui dalam kedua-dua perut haiwan tersebut dan serbuk dalam buah-buahan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengetahui jenis racun yang digunakan.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata ekoran kejadian itu, kerajaan negeri mengambil keputusan melarang orang ramai memberi makanan kepada haiwan di zoo tersebut serta-merta berkuat kuasa Isnin.

"Kalau mereka nak bagi haiwan makan, mereka perlu membeli makanan daripada pihak zoo dan hanya haiwan yang dibenarkan sahaja boleh diberi makanan sebagai langkah mengelak kejadian sama berlaku," katanya kepada pemberita selepas diberi taklimat oleh Dr Zubaidah di zoo itu.

Beliau berkata pihak pengurusan zoo juga diminta memasang kamera litar tertutup yang besar sebagai langkah keselamatan.

Katanya kerajaan negeri juga menawarkan RM10,000 kepada individu yang menyalurkan maklumat berhubung kejadian tersebut sehingga tertangkapnya individu yang melakukan perbuatan sabotaj itu.

Mohd Ali berkata kuda lumba yang merupakan milik persendirian itu ditempatkan di zoo berkenaan sejak tiga tahun lepas sementara Beruang Matahari adalah milik zoo yang mempunyai empat ekor haiwan jenis itu.

Beliau berkata kejadian tersebut menyebabkan zoo berkenaan kerugian RM5,000 dan laporan polis dibuat hari ini.

Sumber : BERNAMA


Khamis, Februari 14, 2013

Askar Diraja Kesultanan Sulu mendarat di Lahad Datu, Sabah

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di persisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.

Beliau berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

"Kita telah hantar pasukan untuk berunding dengan mereka dan perbincangan berjalan baik dan kita beritahu mereka bahawa mereka kena tinggal (Sabah) secara baik dan kita tidak mahu apa-apa keadaan yang boleh menggugatkan keselamatan rakyat di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Ismail berkata kumpulan itu yang kini berada di Kampung Tandau, Labian di Lahad Datu memberi jaminan akan meninggalkan tempat itu (Sabah) secepat mungkin dengan syarat tuntutan mereka dipenuhi.

Beliau berharap anggota kumpulan berkenaan akan meninggalkan negeri ini secepat mungkin dan menegaskan tuntutan seharusnya dibuat secara diplomatik, bukan secara mengejut seperti yang dilakukan itu.

"Kita lihat perbincangan dalam keadaan terkawal dan pasukan keselamatan telah mengambil tindakan awal dengan mengepung kampung itu sejak semalam dan saya percaya perkara ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata pihaknya mengganggarkan kumpulan itu melebihi 100 orang dan tidak menolak kemungkinan mereka bersenjata, namun demikian polis mengambil pendekatan 'berhati-hati' bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Setakat ini keadaan tidak tegang dan mereka kelihatan berkelakuan baik.

Kita percaya kumpulan itu mempunyai sahabat di kampung itu tetapi tidak mempunyai rumah di situ. Mereka pergi duduk di surau dan menumpang rumah-rumah di kampung," katanya sambil menambah kumpulan itu tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana kumpulan militan di Filipina.

Pada peringkat ini, katanya, rundingan sedang berjalan dan beliau menasihati penduduk di sekitar Lahad Datu supaya tidak percaya pada khabar angin.

Beliau turut memberi jaminan bahawa keadaan adalah baik serta selamat dan polis Sabah akan melakukan yang terbaik untuk menangani kemelut itu segera.

Katanya kumpulan itu difahamkan menggunakan bot pancung dan pihaknya akan menyiasat bagaimana mereka berjaya memasuki negara ini.

Sumber : BERNAMA

Selasa, Februari 05, 2013

Wartawan Malaysia mati tertembak di Lubnan

Rakyat Malaysia yang bertugas sebagai wartawan online stesen televisyen Al-Jazeera, Claudia Theophilus, mati dipercayai tertembak diri sendiri ketika bercuti di Baakleen, sebuah daerah di kawasan pergunungan di Lubnan pada 3 Februari 2013.

Meninggal di hospital

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi waktu Lubnan, Claudia, 42, yang bertugas dengan rangkaian berita antarabangsa berpangkalan di Doha, Qatar itu dikatakan berada di daerah berkenaan untuk melawat kenalannya sejak 28 Januari lalu.

Ketika kejadian, dua rakan mendiang yang juga penduduk Lubnan berada bersamanya di tempat kejadian dan salah seorang daripada mereka melaporkan kejadian kepada polis.

Claudia yang pernah bertugas dengan akhbar The Sun dan portal berita Malaysiakini disahkan meninggal dunia sejurus tiba di unit kecemasan sebuah hospital di Baakleen.

Difahamkan, bedah siasat sudah selesai dan mayat dihantar ke sebuah hospital di Beirut sebelum dibawa pulang beberapa lagi hari lagi.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan ketika dihubungi semalam, mengesahkan kejadian dan memaklumkan sudah menghantar pegawainya untuk berjumpa polis di Baakleen.
“Maklumat awal yang kita terima, mendiang dikatakan tertembak diri sendiri menggunakan sepucuk raifal, namun masih menunggu laporan lengkap polis,” katanya.

Keluarga Theophilus di Seremban dan Wisma Putra sudah dimaklumkan dan kedutaan sedang menguruskan dokumen untuk membawa mayat pulang.

Di Seremban, keluarga Theophilus terlalu sedih apabila menerima berita kematian anak mereka. Bapanya tidak mahu menemui wartawan sambil memberi alasan belum mendapat berita lengkap.

Seorang saudaranya yang enggan dikenali berkata, mereka hanya mendapat berita itu daripada majikan Theophilus di Kuala Lumpur, semalam.

Bapa bimbang

“Kali terakhir Theophilus pulang ke rumah ketika sambutan Krismas lalu dan dia memang sering pulang tiga bulan sekali. Apabila dia beritahu hendak bercuti di Lubnan, bapanya bimbang dan beritahu tempat itu bahaya.

“Bagaimanapun, Theophilus kata dia hanya bercuti pendek, iaitu kira-kira tiga hari,” katanya ketika ditemui di Taman Bukit Kepayang dekat sini.

Anak sulung tiga beradik itu adalah lulusan undang-undang universiti tempatan dan menyertai akhbar The Sun pada 1995 dan Malaysiakini pada 2005, sebelum beralih ke Al-Jazeera berpangkalan di Doha, Qatar, sejak dua tahun lalu.

Saudaranya berkata, berita itu menambah kesedihan bapanya kerana adik bongsu Theophilus kini koma selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari, baru-baru ini.

Sementara itu menurut BERNAMA, Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan masih menunggu laporan lengkap daripada pihak berkuasa Lubnan berhubung kematian wartawan Malaysia, Claudia Theopolis.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata laporan awal pihak polis Lubnan memaklumkan kematian mendiang disebabkan kemalangan ketika menggunakan senjata api.

Kes masih disiasat

“Kes ini masih dalam siasatan pihak polis Lubnan dan keluarga mendiang sudah dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Claudia, 42, petugas di syarikat penyiaran Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar, dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu, 2.30 pagi waktu Lubnan.

Laporan media menyebut mendiang dipercayai melakukan kunjungan tiga hari ke Baakleen, Lubnan bersama dua rakannya yang juga rakyat negara itu.

Anifah berkata kementeriannya akan memberi kerjasama untuk membantu siasatan selain memberi khidmat konsular kepada keluarga mendiang.

Dalam satu kenyataan berasingan, Malaysia mengecam serangan bom ke atas Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Ankara, Turki pada Jumaat yang mengorbankan seorang pengawal keselamatan warga Turki.

Turut terbunuh suspek yang meletupkan bahan letupan itu.

Anifah melahirkan rasa simpati Malaysia dengan kematian dan kecederaan terhadap orang awam akibat letupan itu.

- BERNAMA

Sabtu, Februari 02, 2013

Salman Khan hadapi tuduhan membunuh


MUMBAI, INDIA - Aktor Terkenal Bollywood, Salman Khan menghadapi tuduhan cubaan membunuh kerana terlibat dengan kemalangan maut dalam kejadian lebih sepuluh tahun lalu. Jika sabit kesalahan aktor itu berhadapan dengan kemungkinan dipenjarakan sehingga sepuluh tahun.

Peguam kepada Salman iaitu Deepesh Mehta berkata, mahkamah telah menerima permohonan pihak pendakwa untuk mendakwa Salman kerana membunuh dan bukannya kes menyebabkan kematian kerana kecuaian yang hanya memperuntukan penjara maksimum selama dua tahun.

Dalam kejadian pada September 2002, seorang lelaki terbunbuh sementara tiga lagi cedera apabila Salman didakwa merempuh keretanya ke dalam kumpulan orang gelandangan yang tidur sekitar kaki lima di Bombay, India.

Perbicaraan kes tersebut akan diadakan pada 31 Mac ini selepas sekian lama tertunda di mahkamah India yang terkenal dengan kes-kes tertangguh.

- AP

Rabu, Januari 30, 2013

Tengkorak rambut panjang tergantung dicelah pokok di Sepang



SEPANG – Seorang pekerja landskap terkejut menemui tengkorak wanita berambut panjang tergantung di celah sebatang pokok rimbun di pintu masuk Pusat Pentadbiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, 29 Januari 2013.

Kejadian pukul 11 pagi itu disedari oleh pekerja itu kira-kira 100 meter dari bangunan Terminal Penerbangan KLIA.

Satu sumber berkata, tengkorak manusia warga China itu ditemui oleh seorang pekerja yang ditugas menebas rimbunan pokok di kawasan itu.

Sumber itu berkata, pokok itu dipercayai pokok mengkuang.

“Semasa melakukan kerja-kerja di situ, pekerja itu terkejut menemui tengkorak manusia tergantung di celah pokok manakala rangkanya pula bersepah di tanah.

“Rangka manusia itu berseluar jeans dan berbaju serta berambut panjang,” kata sumber itu ketika dihubungi

- KOSMO!

 

Selasa, Januari 29, 2013

Buaya tembaga 300kg terperangkap dalam sangkar


KUCHING - Beberapa pekerja ladang di rumah rehat Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Kampung Selang, Jalan Telaga Air di Kuching gempar apabila menemui buaya seberat 300 kilogram (kg).

Kehadiran buaya tembaga sepanjang lima meter di muara Sungai Teruntum itu dipercayai haiwan yang sama membaham haiwan peliharaan mereka sebelum ini.

Kejadian disedari salah seorang pekerja ladang, Johari Resal, 63, yang turun meninjau sangkar milik Sarawak Forestry Corporation (SFC) di sungai itu pukul 7 pagi ini.

Katanya, dia mulai mencurigai sesuatu selepas mendengar bunyi salakan anjing yang agak kuat pada malam sebelum itu.

“Ketika turun ke pokok bakau ini, saya mulai perasan terdapat seekor buaya terperangkap di dalam sangkar tersebut.

“Saya segera menghubungi pihak SFC selepas mendapati kepala buaya tersebut terkeluar dari sangkar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pemangku Pengurus Besar SFC, Oswald Braken Tisen berkata, ketika anggotanya tiba di tempat kejadian, mereka mendapati buaya tersebut cuba melepaskan diri dengan menggigit sangkar.

Bagaimanapun, katanya, buaya itu gagal melepaskan diri apabila pihaknya berjaya menarik sangkar tersebut ke darat bagi menghalang reptilia tersebut daripada mengganas.

“SFC memang meletakkan sangkar khas sepanjang empat meter dengan umpan bangkai ayam di sungai ini selepas menerima aduan reptilia tersebut sering naik ke darat dan memakan haiwan peliharaan.

“November lalu pihak SFC berjaya menangkap seekor buaya, namun buaya yang ditangkap hari ini adalah yang terbesar pernah ditangkap di sungai ini dan akan dipindahkan ke Matang Wildlife pagi esok," katanya.

Tambahnya, sungai tersebut merupakan habitat utama reptilia itu kerana dihubungkan dengan sungai di Santubong, Bako dan Taman Negara Kuching.

Katanya, pihaknya akan meletakkan semula sangkar tersebut di sungai itu kerana tinjauan sebelum ini mendapati masih terdapat sekurang-kurangnya tiga ekor buaya bersaiz besar di sungai berkenaan.

Tangkapan tersebut turut dimaklumkan kepada Tun Abang Muhammad Salahuddin dan isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah yang kemudian turun ke tempat kejadian, pukul 4.20 petang.

- UTUSAN