Jumaat, Mac 15, 2013

Guru hina pasukan keselamatan ditahan

Seorang guru di Kelantan ditahan polis pada pukul 7.00 petang semalam di sebuah rumah di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh, kelantan kerana menghina pasukan keselamatan dalam Operasi Daulat di Lahad Datu, Sabah melalui laman sosial Facebooknya.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd. Kamal Zainal berkata, suspek yang mengajar Pendidikan Seni di sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini ditahan di bawah Seksyen 4 (1) (a), Akta Hasutan.

"Siasatan awal polis mendapati suspek berusia 37 tahun itu mengaku mempunyai penyakit mental tetapi sudah lebih lima bulan tidak makan ubat.

"Dia juga pernah ditahan dua kali sebelum ini atas kesalahan membuat kecoh di tempat awam," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menurutnya, kali terakhir suspek ditahan polis adalah pada tahun 2009 kerana mengamuk dan mengganggu ketenteraman awam.

Dalam pada itu, Kementerian Pelajaran akan mengambil tindakan tegas terhadap guru tersebut.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata kementerian tidak akan berkompromi dengan kenyataan biadap guru itu yang menghina dan mengguris hati banyak pihak serta menjejaskan reputasi dan imej warga pendidik di negara ini.
  
"Seorang guru sepatutnya menjalankan amanah yang dipikulnya dengan penuh tanggungjawab malah sepatutnya menjadi model semangat patriotisme kepada masyarakat khususnya anak didik mereka," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi Kementerian Pelajaran.
  
Abdul Ghafar menegaskan Kementerian Pelajaran sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan polis dan tentera dengan mendoakan keselamatan mereka.
  
"Seluruh warga pendidik mendoakan pasukan keselamatan dikurnia kekuatan dan semangat kental dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara," katanya.

- BERNAMA


0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts