Memaparkan catatan dengan label Gaji. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gaji. Papar semua catatan

Selasa, Disember 05, 2023

Gaji penjawat awam, pencen pesara naik tahun depan

 


Kerajaan memberi bayangan akan mengumumkan peningkatan gaji penjawat awam dan elaun pesara bermula tahun 2024, selari usaha kerajaan untuk merancakkan ekonomi negara.

Menteri Komunikasi dan Digital yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah menyemak perkara itu dan menjelang tahun depan, ia dijangka akan direalisasikan.

"Memang sebelum ini ada beberapa keputusan sudah diambil. Saya serahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali atau Perdana Menteri sendiri untuk mengumumkannya nanti.

"Tetapi dalam masa yang sama kerajaan juga sudah meluluskan kertas putih cadangan Dasar Gaji Progresif sebagai usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Forum Alumni Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD).

Fahmi berkata, dua perkara itu penting memandangkan tahun hadapan adalah tempoh penting di mana ekonomi mula rancak dengan pelbagai pelaburan diperoleh pada tahun ini.

"Jadi banyak kerja-kerja yang akan bermula dan cabarannya pasti ada untuk memastikan pelaksanaan tidak terencat atau tergendala akibat proses," katanya.

Menyentuh mengenai dakwaan kecekapan penjawat awam semakin berkurangan, beliau menafikan perkara itu memandangkan pelbagai isu boleh timbul antaranya beberapa sistem tertentu perlu dinaik taraf bagi mengelakkan perkara itu berlaku.

"Dalam masa yang sama, kadang-kadang isu bajet dan masa juga boleh berlaku, jadi individu yang bertanggungjawab perlu meluangkan sedikit masa untuk memahami di mana kecekapan dan intervensi boleh diperbaiki.

"Sebagai contoh di kementerian saya juga pernah berlaku di mana projek tidak berjalan dengan lancar hingga menimbulkan persepsi buruk, tetapi sebenarnya sistem pemantauan perlu dipertingkatkan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Rabu, Oktober 28, 2020

Gaji purata pekerja dijangka naik 4.5 peratus tahun hadapan

 

Pekerja di Malaysia diunjurkan akan menikmati kenaikan gaji purata sebanyak 4.5 peratus pada tahun hadapan, demikian menurut Mercer.

Menurut firma perunding kekayaan dan kerjaya itu dalam satu Tinjauan Jumlah Imbuhan (TRS), jumlah itu bagaimanapun berkurang daripada kadar 5.0 peratus yang diramalkan pada separuh pertama tahun ini.

"Walaupun syarikat di Malaysia meramalkan kenaikan gaji 5.0 peratus secara keseluruhan untuk tahun 2021 ketika ditinjau pada separuh pertama tahun 2020, namun tinjauan terbaru menunjukkan penurunan kepada 4.5 peratus, dengan 14 peratus syarikat meramalkan pembekuan kenaikan gaji.

"Laporan ini adalah berdasarkan TRS 2020 membabitkan 529 syarikat yang dibuat secara tahunan dan dijalankan di antara April dan Jun tahun ini. Tinjauan tambahan juga dibuat pada Julai dan Ogos lalu susulan daripada perubahan pesat persekitaran pasaran," katanya.

Tambahnya, tinjauan itu juga mendapati yang gaji di Malaysia secara purata meningkat 4.7 peratus pada tahun ini di sebalik cabaran yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19.

Bagaimanapun katanya, hampir dua daripada 10 syarikat melaporkan telah melaksanakan pembekuan kenaikan gaji.

"Ini menandakan buat kali pertama dalam tempoh empat tahun, kenaikan gaji secara keseluruhan telah jatuh di bawah paras lima peratus.

"Jangkaan kenaikan gaji ini didokong oleh unjuran ekonomi Malaysia yang lemah, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menguncup di antara 3.5 peratus ke 5.5 peratus pada tahun ini dan tekanan berterusan terhadap perniagaan untuk mempastikan pengurangan kos di tengah-tengah ketidaktentuan yang disebabkan oleh COVID-19," katanya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Mercer di Malaysia, Godelieve van Dooren, berkata ekonomi negara dijangka kembali melantun dalam jajaran 5.5 peratus-8.0 peratus pada tahun depan.

Katanya, perniagaan mungkin akan lebih berhati-hati dan mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap strategi pampasan mereka, bergantung kepada hala tuju yang dibawa oleh pandemik.

"Ini berita baik buat pekerja memandangkan inflasi yang memperlahan juga akan memberikan dorongan kepada peningkatan gaji sebenar.

"Namun dari sudut lain, disebabkan oleh ketidaktentuan ini, syarikat mungkin memutuskan untuk menangguhkan kenaikan gaji atau merendahkan bajet dengan lebih lanjut, bergantung kepada segmen industri syarikat itu.

"Ini kerana, di akhirnya kebolehupayaan kekal menjadi kunci penting dalam menentukan bajet untuk gaji," katanya pada sidang media maya di sini, hari ini.

Dalam pada itu mengulas mengenai trend bekerja dari jarak jauh, Godelieve berkata ia dilihat tidak menjejaskan produktiviti pekerja.

Katanya, syarikat telah mula melihat kejayaan dalam bekerja dari jarak jauh dengan 50 peratus mengatakan yang ia tidak memberi kesan kepada tahap produktiviti mereka.

"Kami jangkakan untuk melihat lebih banyak majikan melaksanakan bekerja secara fleksibel pasca pandemik, yang mungkin memberi syarikat peluang untuk mempertimbangkan bagaimana mereka boleh memberi pampasan kepada pekerja dan menyemak semula keseluruhan pakej ganjaran mereka.

"Polisi yang meliputi kos perjalanan atau manfaat sukarela lain seperti elaun parkir yang sebelum ini memang diperlukan sebelum peralihan mungkin sudah tidak perlu apabila membabitkan kerja dari jarak jauh.

"Sebaliknya, syarikat boleh mempertimbangkan elaun sokongan kerja dari rumah bagi menyediakan pengalaman kerja yang baik di rumah," katanya.

Sumber : Kosmo!

 

Khamis, Januari 01, 2015

Jadual Tarikh Pembayaran Gaji Kakitangan Kerajaan Malaysia 2015


Jadual Tarikh Pembayaran Gaji Kakitangan Kerajaan Malaysia 2015 (Mengikut Bulan)

22 Januari 2015 (Khamis)
12 Februari 2015 (Khamis) Tahun Baru Cina 19, 20 Februari
25 Mac 2015 (Rabu)
23 April 2015 (Khamis)
21 Mei 2015 (Khamis) Pesta Keamatan 30, 31 Mei
25 Jun 2015 (Khamis) Hari Gawai 1, 2 Jun
9 Julai 2015 (Khamis) Hari Raya Aidilfitri 17, 18 Julai
25 Ogos 2015 (Selasa)
17 September 2015 (Khamis) Hari Raya Aidiladha 24 September
22 Oktober 2015 (Khamis)
25 November 2015 (Rabu) Hari Deepavali 10 November
17 Disember 2015 (Khamis)



Recent Posts