Memaparkan catatan dengan label GST. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label GST. Papar semua catatan

Isnin, Jun 19, 2017

Cadangan GST 6% Lebih 60 Makanan Dibatalkan


Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada Isnin mengumumkan pembatalan cadangan kerajaan untuk mengenakan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas lebih 60 makanan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Subromaniam Tholasy berkata pembatalan itu dilakukan selepas perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklum balas mengenai cadangan tersebut.

Jelas beliau, laporan media itu merujuk kepada Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No.2) 2017 yang diwartakan pada 6 Jun lalu.

"JKDM telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklum balas dan telah membuat keputusan supaya P.U (A) 162 Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No.2) 2017 dibatalkan.

"Justeru JKDM memohon kerjasama semua pihak supaya mengambil maklum tentang perkara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Subromaniam dipetik sebagai berkata lebih 60 barang makanan akan dikenakan GST termasuk beberapa jenis makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan mi berkuat kuasa 1 Julai ini.

Makanan laut seperti ikan belut, ikan todak, jagung, sayuran sejuk beku, buah-buahan import (avocado, apricot, anggur, ceri, buah pic, plum) buah tin dan marjerin akan tertakluk kepada GST enam peratus.

Kerajaan memperkenalkan GST enam peratus ke atas barangan dan perkhidmatan pada April 2015.

- mSTAR

Khamis, Oktober 13, 2016

Datuk Vida Berdepan 32 Tuduhan Akta GST



Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, 45, atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh atas 32 pertuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Vida mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu didakwa gagal mengemukakan penyata dan gagal membayar cukai GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM1.76 juta bagi kesemua pertuduhan dan pasport serta dokumen perjalanan milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil dan Syed Ahmad Syed Abas.

Vida tiba di kompleks mahkamah Ipoh kira-kira pukul 9 pagi, manakala prosiding hanya bermula 12.15 tengah hari sebelum ditangguhkan kira-kira pukul 2 petang. Sebutan semula kes pada 15 November ini. 

- Bernama

Isnin, Mac 23, 2015

GST: Kos Operasi Kesihatan Swasta Dijangka Naik 4%

Kos operasi penjagaan kesihatan swasta dijangka meningkat daripada dua hingga empat peratus selepas pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April berikutan bekalan yang bercampur, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings Bhd, Ahmad Shahizam Mohd Shariff.

Beliau berkata, tidak semua bekalan untuk hospital swasta dikecualikan GST kerana barangan tertentu yang diperoleh daripada kontraktor adalah di bawah kategori penarafan standard yang tertakluk kepada cukai enam peratus.

"Akan terdapat kos tambahan kerana sebahagian besar tidak boleh dilepaskan kepada pesakit.

"Sebagai pengendali hospital, kebanyakan aktiviti dicaj kepada pesakit adalah dikecualikan cukai, yang bermakna tidak ada tuntutan balik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Bagaimanapun, kenaikan dua hingga empat peratus dalam kos bukanlah isu besar kerana ia agak terkawal," katanya kepada pemberita di majlis taklimat mengenai Dana Penjagaan Kesihatan Khazanah-IHH.

Selain isu GST, Ahmad Shahizam berkata, berikutan perjumpaan di antara Persatuan Hospital Swasta Malaysia dan JKDM pagi ini, yuran perundingan bebas swasta telah diperjelaskan untuk berada di bawah bekalan penarafan standard dan tertakluk kepada cukai enam peratus.

Ini adalah isu hangat di kalangan mereka di hospital swasta sebelum ini mengenai kejelasan yuran dikenakan perunding bebas swasta yang menawarkan perkhidmatan di hospital swasta, katanya.

Walaupun kebanyakan bil di hospital swasta dikecualikan GST, komponen berkaitan yuran perundingan akan tertakluk kepada cukai enam peratus yang akan dikenakan kepada pesakit," tambahnya.

Sumber : mStar

GST - Insurans Kereta Naik 6 Peratus

Insurans kereta akan naik sebanyak enam peratus ekoran pihak penyedia insurans tertakluk di bawah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Insurans akan naik. Tapi jangan percaya kepada khabar agin bahawa cukai jalan juga akan turut naik. Ia tidak akan naik," kata Pengarah GST, Datuk Subromaniam Tholasy pada Khamis.

Bagaimanapun bagi sesiapa yang memperbaharui cukai jalan di pejabat pos, mereka akan dikenakan GST sebanyak 12 sen.

Sementara itu Timbalan Pengarah Kastam, Tan Sim Kiat menggesa rakyat Malaysia supaya tidak terpengaruh dengan 'skim pemasaran' yang mensensasikan GST.

"Jika premium insurans anda adalah RM500, maka 6 peratus adalah RM30. Kirakan kos itu dahulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subromaniam juga mengingatkan penduduk bahawa agensi keselamatan kejiranan akan dikenakan GST walaupun yuran penyelenggaraan kondominium dikecualikan daripada cukai itu.

Syarikat keselamatan yang menyediakan perkhidmatan kepada kawasan perumahan akan dikenakan GST maka bayaran perkhidmatan boleh meningkat sebanyak 6 peratus.

Sumber : mStar

GST - Cukai Kad Kredit Dihapuskan


Pemegang kad kredit perlu membayar enam peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas yuran tahunan kad, tetapi cukai perkhidmatan RM50 akan digugurkan. Beberapa bank bagaimanapun boleh mengetepikan yuran tahunan atas permintaan.

"Dalam beberapa kes, tidak akan ada GST yang perlu dibayar," kata Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank di Malaysia Chuah Mei Lin.

Sumber perbankan itu menjelaskan bahawa GST terhadap yuran tahunan mungkin berbeza-beza, dari RM53 kepada RM500, bergantung kepada jenis kad.

Mereka berkata, pemegang kad boleh menggunakan mata ganjaran atau rebat untuk mengimbangi cukai enam peratus.

Chuah berkata, pelaksanaan GST juga bermakna bahawa cukai perkhidmatan RM50 kerajaan terhadap pemegang kad utama dan RM25 bagi setiap kad tambahan yang telah dikenakan mulai 1 Januari 2010 akan dihapuskan.

"Bermula 1 April, cukai perkhidmatan ini akan dimansuhkan mengikut Akta GST," katanya dalam satu kenyataan.

Chuah juga menyatakan dengan jelas bahawa GST tidak akan dikenakan ke atas caj bayaran lewat dan caj kewangan.

"Caj bayaran lewat merujuk kepada caj apabila pemegang kad gagal membayar sekurang-kurangnya bayaran bulanan minimum sebelum tarikh tamat tempoh," katanya.

Katanya, caj kewangan, adalah caj yang dikenakan ke atas pemegang kad terhadap baki yang belum dijelaskan pada atau sebelum tarikh tamat tempoh.

Chuah juga menolak cakap-cakap bahawa pemegang kad perlu membayar GST setiap kali kad mereka digunakan. GST tidak dikenakan apabila kad kredit digunakan untuk membuat pembayaran.

"Sebagai contoh, jika anda makan di restoran yang berdaftar untuk GST dan bil anda adalah RM50, anda akan dikenakan cukai enam peratus GST ke atas jumlah bil. Jadi jumlah yang anda perlu bayar akan menjadi RM53 (iaitu RM50 + 6 peratus)."

"Jika anda memilih untuk membayar bil menggunakan kad kredit/ debit, anda tidak akan dikenakan lagi cukai enam peratus pada jumlah RM53," katanya.

Pengarah Jabatan Kastam GST Datuk Subromaniam Tholasy berkata pemansuhan cukai perkhidmatan RM50 akan memberi manfaat kepada pemegang kad kerana mereka kini hanya perlu membayar enam peratus dari bayaran tahunan.

"Sebagai contoh, jika yuran tahunan bagi pemegang kad platinum adalah RM500, maka pemegang kad akan hanya perlu membayar RM530 (RM500 + RM30, yang merupakan cukai enam peratus)."

"RM30 adalah jelas jumlah yang lebih kecil yang perlu dibayar oleh pemegang kad berbanding cukai perkhidmatan RM50," katanya.

Sumber : mStar

 

Khamis, September 30, 2010

Rabu, April 28, 2010

Semakan Panggilan Temu Duga Guru Sandaran Terlatih Siswazah (GSTS) Keluaran IPTA - 2010

Semakan Panggilan Temu Duga Guru Sandaran Terlatih Siswazah (GSTS) Keluaran IPTA boleh dibuat di Laman Web KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM) : http://apps.emoe.gov.my/egst/tduga/

Semakan ini adalah untuk calon-calon yang telah memohon melalui Sistem Permohonan Temu Duga Guru Sandaran Terlatih Keluaran IPTA (e-gst) yang telah dibuka pada 1 Mac 2010 hingga 31 Mac 2010 yang lalu.

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM)
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
http://www.moe.gov.my

Recent Posts