Memaparkan catatan dengan label Cinta. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cinta. Papar semua catatan

Khamis, Jun 07, 2012

Jaga emosi suami anda

SETIAP isteri sering mendambakan kata-kata cinta dan sayang yang lahir daripada mulut suami masing-masing hampir setiap hari.

Sebagaimana isteri, suami juga sebenarnya mempunyai keinginan yang serupa. Mereka ingin dibelai manja dan juga 'disimbahi' dengan kata-kata sayang daripada isteri mereka.

Mungkin cara setiap individu adalah berbeza dari segi pengucapan dan ada di kalangan isteri yang jarang-jarang memberi pengucapan kata-kata itu kepada suami masing-masing melainkan si suami terlebih dahulu mengucapkan kata-kata hikmat itu.

Ini kerana ada di kalangan isteri yang malu untuk menzahirkan ucapan sayang akibat daripada runtunan perasaan yang berbelah bahagi, malu untuk melakukannya mahupun atas rasa ego dan merasakan tidak penting kata-kata berkenaan berbanding pengucapan yang terlahir daripada mulut suami.

Sebenarnya, menzahirkan perasaan sayang itu bukan hanya sekadar daripada kata-kata. Sekiranya sebagai seorang isteri anda malu atau tidak mudah untuk menzahirkan kata-kata itu ia sebenarnya boleh diperlihatkan menerusi perbuatan.

Anda juga boleh menunjukkan rasa sayang anda dengan melakukan beberapa perkara asas:

1. Hormati dia

Cara yang paling berkesan untuk membuktikan cinta ialah belajar menghormati dia khususnya di depan sanak saudara. Buatlah sesuatu yang baik untuk membuktikan anda menyayangi suami anda dan jangan sesekali memperlakukan yang anda lebih berkuasa daripada dia di depan orang lain.

Sentiasalah menjaga maruah dan 'air muka' suami anda.

Sekiranya di dalam telefon pun tidak perlulah anda bercakap dengan nada sinis mahupun garang kepada suami anda seolah-olah untuk menunjukkan kuasa anda kerana anda tahu pada masa itu orang yang berhampiran dengan anda dapat mendengarnya. Jangan sesekali memperlihatkan suami anda dayus di depan anda.

2. Sentiasa meminatinya

Kata-kata seperti "saya suka tubuh abang" atau " abang ni kelakarlah", umpama pujian yang meresap ke dalam tubuhnya. Siapa yang tidak sukakan pujian tambahan pula ia dikeluarkan oleh insan yang dicintainya.

3. Biar dia mendengar pujian anda

Katakanlah anda sedang berbicara dengan rakan-rakan di rumah, sesekali pujilah suami anda dan biarkan dia mendengarnya sebaik apabila dia melintas di belakang anda. Pastinya dia berasa senang dengan pujian anda itu.

4. Tinggalkan segalanya

Sebaik dia pulang ke pejabat atau berada di rumah, fokuskan diri anda hanya untuk dia. Jauhkan diri daripada komputer, tutup televisyen, biarkan anak-anak anda bermain sendiri, berhenti memasak dan berikan tumpuan sepenuhnya untuk dia dalam beberapa minit. Ini pastinya memberikan suami anda terasa diutamakan.

Ini tidak, ada di kalangan isteri yang asyik menonton televisyen sedangkan suaminya sudah melangkah kaki ke dalam rumah baru pulang dari kerja.

5. Perasan akan kekuatannya

''Tolong bang, ketatlah balang ini" atau "abang kuatlah boleh membukanya," atau ''cantiklah cat ini, sesuai abang pilih," adalah contoh berbentuk pujian ikhlas yang boleh menyebabkan suami anda berasa dihargai dan disayangi.

Namun jangan sesekali memuji 'palsu' suami anda dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu. Dia boleh mengetahuinya.

6. Maafkan kelemahannya, terima seadanya

Semua daripada kita mempunyai kelemahan masing-masing. Maafkan kelemahan suami anda dan terima dia seadanya dan jangan gunakan kelemahannya untuk menentangnya.

7. Jangan bandingkan

Jangan sesekali bandingkan suami anda dengan lelaki lain. Golongan Adam ini masing-masing mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri. Jika selalu sangat membandingkan suami anda dengan lelaki lain, dia akan terasa kelemahannya dan akan timbul emosi negatif dan menjarakkan hubungan dengan anda.

- UTUSAN

Rabu, Mei 30, 2012

Belajar jadi setia

BERCERAI, bercerai, bercerai... Mungkin perkataan itu yang berada di dalam fikiran dua individu bergelar suami dan isteri sebaik berlaku masalah rumah tangga.

Biarpun benar, terdapat pelbagai masalah yang boleh mencetuskan konflik rumah tangga. Namun banyak daripada kes perceraian terjadi akibat faktor kecurangan atau ketidaksetiaan terhadap pasangan.

Untuk menjadi setia, apa yang anda perlu lakukan ialah sentiasa mengingati persetujuan bersama yang telah dicapai ketika diijabkabulkan.

Orang kata berakad nikah, berwali dan bersaksi merupakan satu ikrar taat setia yang seharusnya tidak dirungkai sewenang-wenangnya oleh pasangan.

Menerusi ijab dan kabul, anda berdua telah melakukan ikrar setia terhadap pasangan dalam apa jua keadaan.

Justeru, ketika anda berada di alam rumah tangga, inilah masanya saling meletakkan tahap kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain.

Syak wasangka hanya akan menyebabkan anda dan pasangan hidup dalam kegelisahan.

Sepatutnya semakin lama sesuatu tempoh perkahwinan itu, lagi banyak kepercayaan terhadap pasangan dapat ditingkatkan.

Sekiranya kepercayaan ditingkatkan, andai satu hari ada pihak menuduh pasangan anda, pastinya hubungan tidak tergugat kerana anda `kenal’ siapa pasangan anda.

Anda telah memilih si dia menjadi pasangan untuk sehidup semati. Jaga tingkah laku kerana setiap perlakuan yang boleh membuatkan pasangan anda rasa tergugat atau rasa was-was boleh membawa kepada keraguan dan menyebabkan dia rasa tidak selamat.

Jangan cuba-cuba untuk bermain ‘api’ dengan mengapi-apikan hubungan sekadar untuk melihat reaksi pasangan anda. Kerana sekali pasangan anda tergugat kesetiaannya, sukar untuk dia menerima anda seperti biasa.

Anda perlu terima kenyataan yang anda kini tidak lagi bujang kerana mempunyai tanggungjawab terhadap pasangan dan begitu juga sebaliknya.

Anda tidak boleh pergi ke mana-mana dan pulang sesuka hati. Ada yang memerlukan keputusan yang dipersetujui bersama.

Jika sudah berumahtangga, banyak yang perlu anda korbankan. Begitu juga dengan perilaku. Belajarlah berkorban demi untuk melunaskan tanggungjawab terhadap pasangan dan keluarga.

Sebenarnya cinta adalah kepercayaan dan tanggungjawab dan bukannya dijadikan alat untuk mengawal pasangan anda.

Sekiranya mempunyai cincin perkahwinan, pakai cincin itu untuk memberi peringatan yang anda telah berumahtangga.

Bagi yang telah agak lama berumahtangga, cuba perbaharui cara berasmara dengan isteri agar ia tidak membosankan.

Sekiranya terdapat sebarang masalah dari segi hubungan seksual, sentiasalah berbincang mengenainya.

Perbuatan berkasih sayang seperti pelukan, ciuman, interaksi dan bisikan cinta sebenarnya adalah cara membuktikan perasaan cinta kepada pasangan anda selain membangkit api asmara dan kenangan terindah ketika bersama.

Sentiasa ingat mengapakah anda jatuh cinta dengan pasangan anda.

Selain itu, elakkan daripada segala bentuk pergaulan yang boleh mendatangkan ‘kesalahan’ kepada perhubungan anda. Sebagai contoh, jika ada seseorang yang memberikan ‘respons’ kepada anda, jangan panik.

Paling mudah, anda cuma memikirkan yang anda kini sudah berumahtangga dan bahagia dengan perkahwinan itu dan nyatakan ke dalam diri, anda tidak berminat dengan si dia.

Elakkan diri daripada terus terjebak dengan insan-insan perosak rumah tangga seperti itu.

Lebih senang, jangan biarkan diri anda bersendirian dan jangan sesekali berjumpa sama ada rakan lelaki atau perempuan secara bersendirian di luar rumah.

- UTUSAN

Jumaat, Mei 25, 2012

Penangan cinta online


DAHULU, orang menulis surat sambil menyapukan minyak wangi, lalu diposkan kepada kekasihnya yang jauh yang mungkin tidak dikenalinya.

Berbulan-bulan ditunggu, adakalanya dijawab, adakalanya tidak. Bernasib baik kalau surat itu dijawab. Kini, posmen tidak lagi perlu menjadi orang tengah menghantarkan surat cinta.

Dunia hari ini, semua jenis aplikasi online seperti Facebook, Twitter, MySpace dan e-mel menjadi medium baharu manusia menjalinkan hubungan cinta.

Medium baharu ini juga tidak mengenal usia, sama ada tua atau muda. Sebab itulah, kita selalu mendengar banyak rumah tangga yang musnah kerana cinta online. Ada yang mula menjalin semula cinta dengan kekasih lama, walaupun pada masa yang sama sudahpun berumah tangga. Hal sebegini selalu kita dengar.

Cinta online itu juga adakalanya menyebabkan ramai anak gadis kita yang terpedaya. Tidak kurang juga wanita yang berkerjaya. Bahkan, ada yang terperangkap dengan cinta palsu hingga sanggup melabur puluhan ribu ringgit ke akaun kekasih online yang tidak mereka kenali.

Inilah hebatnya cinta dalam talian, malah ada yang patah hati dan tidak kurang juga yang membawa kebinasaan.

Tahun 2006, Megan Meier, gadis berusia 13 tahun telah membunuh diri hanya kerana teman lelakinya, Jose, menyakiti hatinya dengan tiba-tiba memutuskan hubungan mereka secara dalam talian.

Dua minggu setelah Jose tidak lagi membalas mesejnya, Megan akhirnya membunuh diri. Malang sekali, 'Jose' sebenarnya tidak pernah wujud. Ia hanya nama samaran yang Megan sendiri tidak ketahui siapakah jejaka palsu itu.

Lantaran medium online merupakan penghubung ikatan manusia zaman moden, banyak laman web muncul sebagai medium penjalin hubungan. Online Dating Magazine salah satu daripadanya. Tahun 2007, dalam tempoh sebulan sahaja, lebih 20 juta pengunjung melakukan janji temu secara online sekurang-kurangnya sekali.

Sifat terbuka

Secara psikologinya, apakah bentuk emosi yang terjalin setiap kali manusia melakukan komunikasi secara dalam talian? Anda sebagai pengguna Facebook atau Yahoo Messenger tentu pernah merasainya walaupun anda tidak tahu menghuraikannya.

Dikatakan bahawa melalui komunikasi online, manusia akan mengalami disinhibition effects. Dalam erti kata lain, dalam keadaan yang bersifat anonymous, didapati bahawa manusia lebih cenderung untuk bersikap terbuka dan meluahkan emosi tanpa segan silu. Dikatakan juga bahawa manusia lebih cenderung menyatakan rasa hati dengan lebih baik jika dibandingkan secara bersemuka.

Kajian juga mendapati bahawa perhubungan melalui internet menjadikan manusia lebih cepat mesra. Komunikasi secara bertulis, menjadikan manusia berfikir dahulu apa yang patut ditulis dan bagaimana untuk mempersembahkan diri. Ia sukar dalam keadaan perhubungan secara fizikal kerana ada hal-hal yang tidak boleh dilakonkan.

Dikatakan juga, komunikasi melalui internet ini adakalanya lebih memungkinkan manusia menunjukkan diri mereka yang sebenar (true self). Mereka mungkin menyembunyikan nama sebenar tetapi watak, sifat dan diri mereka sebenar banyak ditonjolkan melalui tulisan.

Sebab itulah, dalam banyak situasi, ada ramai manusia baik yang boleh kita temui secara dalam talian. Bagaimanapun, jangan pula terpedaya. Ada manusia yang pandai memanipulasi keadaan ini.

Kita sering didedahkan dengan kisah mangsa yang telah dijual ke luar negara kerana terpedaya dengan cinta palsu, sama ada sebagai keldai dadah atau pelacur. Ini adalah antara musibah di sebalik tabir keindahan dunia online.

Kecurangan

Jalinan online juga sebenarnya memberikan kesan terhadap perasaan cemburu manusia. Dulu, rasa cemburu akan timbul kalau ada pasangan yang bermain mata dengan orang lain. Sekarang ini orang tidak bermain mata lagi. Facebook telah menjadi medium baharu yang tidak ada pada zaman sebelumnya.

Bagaimana agaknya sifat cemburu manusia kalau tahu pasangannya ada hubungan online dengan orang ketiga?

Kajian mendapati bahawa cybersex atau komunikasi yang terarah kepada rangsangan seks dianggap sebagai sama dengan perlakuan melakukan hubungan seks dengan orang lain. Ia dianggap sebagai satu bentuk kecurangan.

Wanita juga didapati sangat marah kalau mendapat tahu bahawa pasangan lelakinya mempunyai hubungan online dengan wanita lain, seolah-olah pasangan lelakinya itu ada ikatan emosi dengan wanita lain. Ini dibuktikan dalam banyak kajian.

Bahkan, wanita juga lebih besar kemungkinannya jika dibandingkan lelaki untuk sanggup memutuskan hubungan kalau mendapat tahu pasangannya menjalinkan hubungan online dengan wanita lain.

Bagaimana dengan anda?

Hakikatnya, medium online bukan sekadar menjadikan kita lebih mudah menjalin hubungan dengan teman-teman lama atau rangkaian perniagaan tetapi ia juga satu cabaran terhadap rumah tangga dan hubungan cinta.

Ia cabaran baharu yang sedang kita lalui. Bergantung sejauh manakah kita bijak memanfaatkannya, ia juga bakal menjadi medium menjadikan hidup manusia semakin huru-hara.

- KOSMO!

Sabtu, April 07, 2012

Buku : Istikharah Cinta



Manusia sering menghadapi dilema dan kesulitan dalam membuat pilihan.
Tersilap langkah, keputusan yang dipilih menjadikan situasi menjadi lebih sukar.
Tepat memilih pula, membuatkan hati menjadi teruja dan lega, sehingga kadangkala terlupa,
itu semua ilham daripada Tuhan yang Maha Esa.

Istikharah Cinta turut mengupas:

    Mengenal pasti pilihan berkualiti menurut Islam

    Tip mengurus, memelihara, dan menyuburkan keserasian cinta

    Kisah menarik bagaimana Ummu Sulaim membuat pilihan dengan menolak pinangan Abu Thalhah

    Pernikahan luar biasa Muslim bin Umran, saudagar terkaya di Kota

    Landasan ikhlas menurut Profesor Dr. Yusuf al-Qaradhawi



“Ya Allah, aku memohon ketentuan pilihan menurut pengetahuan-Mu dan memohon penetapan dengan kekuasaan-Mu, juga aku memohon kurnia-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau yang Maha Mengetahui dan aku tidak mengetahui apa-apa. Engkau yang Maha Mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah, sekiranya dalam ilmu-Mu urusanku ini baik untuk aku dan agamaku, kehidupanku serta akibat urusanku, takdirkan untuk aku dan mudahkan serta berikan berkat kepada aku melaluinya. Sebaliknya, apabila dalam ilmu-Mu urusan ini buruk untuk aku dan agamaku, kehidupanku serta akibat urusanku, lalu jauhkan hal itu daripada aku dan jauhkan aku daripada urusan itu serta takdirkan untuk aku yang lebih baik daripada urusan itu walau di mana jua. Kemudian, puaskan hatiku dengan takdir-Mu itu.”



PENDAHULUAN : ANTARA DUA PILIHAN

BAHAGIAN PERTAMA : MENGHAYATI ERTI ISTIKHARAH
: MENGENALI CINTA

Bab 1: Apa Itu Cinta?

    Bagaimana Bermula Cinta

    Apa Gunanya Cinta

Bab 2: Cinta Itu Fitrah

    Salahkah Jatuh Cinta

    Cinta Pertama

Bab 3 : Perlukah bercinta?

    Bercinta Usia Muda

    Tips Mengurus Perasaan Cinta

Bab 4 : Tuhan Cinta Hamba-Nya

    Cinta-Nya Mengasihani Hamba-Nya

    Anugerah Kasih-Nya

 Bab 5: Manusia Cintakan Tuhan

    Tanda-tanda Cintakan Tuhan

    Natijah Cintakan Tuhan

BAHAGIAN KEDUA : MEMILIH CINTA

Bab 6 :  Ke mana Arah Cinta?

    Hati Penentu Arah Cinta

    Melaraskan Cinta

Bab 7 :  Di mana Cinta Hakiki

    Membuktikan Cinta

    Pengorbanan Cinta

Bab 8 :  Siapa Kekasih Sejati

    Cinta Di Jalan Allah

    Menyuburkan Persaudaraan Islam

Bab 9 :  Mari Bercinta

    Mengikat Cinta Sejati

    Tips Memelihara Keserasian

    Tips Memelihara Kemesraan



BAHAGIAN KETIGA : BERKAHWIN MENYEMPURNAKAN  CINTA

Bab 10 :  Haruskah Berkahwin?

    Cinta Disusuli Pernikahan

    Menerima Amanah dan Tanggungjawab

Bab 11 :  Siapa Pilihan Hati?

    Calon Ideal

    Menyingkap Teladan

Bab 12 :  Mencari Calon Serasi

    Fikir dan Pilih

    Pilihan Terbaik

    Indah di Hati Jelita di Wajah

Bab 13 :  Menentukan Calon Setaraf

    Meraih Restu Keluarga

    Menerima Jodoh Barakah

Bab 14 :  Istikharah Cinta

    Kenapa Perlu Istikharah

    Langkah-langkah Istikharah



BAHAGIAN KEEMPAT: MEMELIHARA  CINTA

Bab 15 : Menyediakan Tapak Semaian Cinta

    Cinta Bermuala Di Hati

    Tips Menyuburkan Kasih Di Hati



Bab 16 :  Menanam Benih Cinta Berkualiti 

Bab 17 :  Mengawasi Pertumbuhan Tunas Cinta

Bab 18  :  Ikhlas Membajai Cinta

    Menahan dan Mengawal Pandangan

    Membatasi Pergaulan

    Tips Menundukkan Pandangan

    Melaraskan Keikhlasan Cinta

Bab 19 :  Indahkah Cinta Kita?

    Takwa Mengindahkan Cinta

    Tips Beroleh Cinta Bahagia

    Tips Mengukuhkan Cinta

Bab 20 :  Ikhlas Mengekalkan Cinta

    Tips Menyegarkan Cinta

    Perisai Cinta

    Bekalan Cinta Rasulullah.

Bab 21 :  Manisnya Buah Cinta

    Mawaddah wa Rahmah

    Bercinta Di Dunia, Bercinta Di Syurga



BAHAGIAN KELIMA : BERJAYA DALAM CINTA.

Bab 22 :  Berterusan Koreksi Diri

    Mensyukuri Nikmat Menyubur Cinta

    Membina Rasa Syukur

Bab 23 :  Terikat Pada Janji

Bab 24 :  Setia Pada Cinta

Bab 25 :  Hati Tulus Mengekalkan Cinta

Bab 26 :  Ketaatan Menyempurnakan Cinta

    Saling Lengkap- Melengkapi

    Membina Komunikasi Positif

    Kesetiaan Memilih Berkorban


Buku ini boleh dibeli secara online di : http://www.bookcafe.com.my/en/cinta-and-perkahwinan/istikharah-cinta-en.html

Selasa, Januari 31, 2012

Jatuh hati pada kawan baik

Jatuh hati pada kawan baik sendiri kadang kala sesuatu yang tidak dapat dielak. Mungkin kerana cara layanannya terhadap anda berbeza dan dia mempunyai ciri-ciri yang diidamkan serta sentiasa ada di samping di saat memerlukan perhatian.

Namun, untuk meluahkan rasa hati mungkin agak sukar kerana bimbang menjejaskan hubungan persahabatan sedia ada dan anda sendiri sarat dengan rasa malu.

Lebih teruk jika luahan hati tiada sambutan kerana dia hanya menganggap anda sebagai rakan biasa. Sedangkan hati anda sentiasa tertanya-tanya, sukakah dia pada anda?

Usah tertanya-tanya lagi, berikut beberapa panduan untuk mengenal pasti sama ada lelaki yang anda idamkan itu mempunyai perasaan yang sama.

* Si dia gelisah bila bersama anda.

Lelaki yang sukakan seseorang wanita akan berasa gelisah atau sering kali rasa tidak kena dan gelabah apabila berdepan dengan gadis yang dia sukai. Lihatlah ciri-ciri itu, mungkin anda perasan dengan ciri-ciri yang ada pada si dia.

* Perhatikan gerak-gerinya.

Adakah dia selalu cuba merenung anda? Senyum pada anda? Gemar memandang anda biarpun ketika jauh? Memuji anda atau sering memulakan perbualan dan selalu berdiri berdekatan anda biarpun dia berusaha untuk mengelakkan agar anda tidak terperasan dengan perbuatannya itu.

* Sentuhan

Si dia suka menyentuh anda (bukan gangguan seksual) namun perilaku yang sejujurnya. Dia mungkin menepuk lembut bahu anda atau geselan tidak sengaja yang boleh menyemarakkan perasaan anda dan sebagainya. Lelaki yang sukakan anda akan mencari peluang untuk menyentuh anda dengan niat yang baik.

* Si dia suka telefon anda

Ini memang terang-terang menunjukkan si dia menyukai anda apabila dia selalu menelefon anda biarpun bertanyakan soalan yang remeh. Kadang kala ketika dia berkata dia terlepas cakap sebenarnya dia suka bercakap dengan anda ataupun dia menipu 'tersalah dail' pada hal dia sebenarnya ingin berbicara dengan anda.

* Sanggup berkorban

Si dia berbuat apa sahaja demi anda. Pinjamkan duit, belikan sesuatu untuk anda atau apa sahaja tanpa perlu anda bersusah-payah memikirkan untuk meminta bantuan daripada rakan-rakan lain.

* Cemburu

Ini memang sah si dia sukakan anda apabila dia terasa cemburu ketika anda bercerita mengenai rakan lelaki lain. Ini bermakna dia tidak mahu ada orang lain selain dia dalam hati anda.

* Senang memperkenalkan anda kepada rakan atau keluarganya

Si dia tidak akan malu memperkenalkan anda kepada rakan-rakan dan keluarganya, biarpun ketika memperkenalkan itu dia akan menyebut anda sebagai hanya rakan tetapi cara dia memperkenalkan diri anda pasti berlainan dan anda akan tahu kelainan caranya itu.

* Suka ambil tahu

Dia sentiasa mengambil tahu mengenai diri anda, keluarga anda , kegemaran anda dan mungkin tarikh hari jadi anda. Itu maknanya dia berminat hendak mengetahui segalanya tentang anda.

- UTUSAN

Rabu, November 30, 2011

Pencari jodoh untuk bujang sibuk

ANDA masih solo dan tiada pasangan hidup. Alasan yang sering diberikan adalah kesukaran mencari pasangan sesuai atau terlalu sibuk dengan kerja sehingga tidak punya waktu terluang untuk memikirkan tentang cinta. Namun, anda masih berhasrat untuk merasai keseronokan hidup berpasangan seperti orang lain.

Kebimbangan seperti itu tidak perlu dipanjangkan kerana terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk menemui teman istimewa yang boleh disunting sebagai cinta sejati.

Kesibukan kerjaya di kota besar seperti Kuala Lumpur yang pantas membangun secara tidak langsung mempengaruhi ketinggian cita rasa diri golongan profesional. Berikutan itu, cabaran bagi golongan yang 'gila' bekerja untuk mencari teman sesuai semakin meningkat.

Kebanyakan golongan profesional muda hari ini terlalu 'leka' dengan kerjaya masing-masing hingga menyebabkan mereka terlupa untuk meluangkan masa mencari teman hidup.

Walaupun janji temu dengan rakan atau teman yang baru dikenali menjadi sebahagian gaya hidup hari ini namun, ia sering kali tidak berkesudahan dengan baik dan tidak membawa makna dalam mencari pasangan hidup.

Menyedari senario itu, syarikat janji temu pertama di Asia Tenggara, Lunch Actually, mengambil kesempatan menyediakan perkhidmatan janji temu makan tengah hari bagi golongan profesional yang 'gila' bekerja tetapi masih berhasrat mencari cinta.

Kisah seorang pegawai bank, Ian Wong, 30, yang dipertemukan dengan Dr. Vanessa Chin, 30, melalui alam maya sehingga membawa mereka ke alam perkahwinan adalah sesuatu yang pasti dikenang sepanjang hayat mereka.

"Kami tidak pernah bayangkan bahawa kami akan bertemu antara satu sama lain melalui agensi janji temu alam maya yang diaturkan Lunch Actually.

"Tetapi pertemuan kami menjadi realiti dengan bantuannya. Terima kasih atas perkhidmatan profesional dan susun atur janji temu yang sempurna untuk kami sehingga hubungan kami sampai ke peringkat ini," kata Ian.

Tambah pasangan itu, model perniagaan dan janji temu makan tengah hari tersebut adalah luar biasa. Vanessa memberitahu, pekerja syarikat laman web janji temu itu sangat komited dalam menjalankan tugas mereka.

"Kakitangan Lunch Actually bagus dan bersemangat. Mereka benar-benar cuba melakukan yang terbaik untuk menjayakan janji temu yang berpotensi.

"Kami bermula dengan baik pada janji temu makan tengah hari yang pertama. Ia merupakan janji temu yang sangat bernilai dalam hidup dan tidak dapat dilupakan," kata Vanessa dan Ian.

Keserasian diatur

Seorang peguam, Christy Chong, 31, berkata, dia pada mulanya tidak pernah percaya dengan soal pencarian jodoh. Dia selama ini percaya bahawa jodoh akan hadir sendiri dalam hidup seseorang.

Namun selepas 'mengaku kalah' pada keadaan semasa dan kesibukan kerja, Christy telah menyertai Lunch Actually dan amat berterima kasih dengan pengasas agensi mencari jodoh terbaik Asia Tenggara itu.

"Dalam kesibukan bidang pekerjaan saya ini, saya berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan ramai orang. Pada masa yang sama, ramai orang cuba melamar saya. Namun, tiada seorangpun daripada mereka memenuhi kriteria yang saya inginkan hinggalah saya berjumpa dengan seseorang yang telah diaturkan.

"Kami mempunyai banyak persamaan dan mula menyukai antara satu sama lain. Semuanya kerana Lunch Actually," katanya yang kini sudah mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Ben CK Leong, 32.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lunch Actually, Violet Lim, berkata, perkhidmatan janji temu makan tengah hari untuk mencari teman hidup yang bermula di Singapura pada April 2004 itu sudah terbukti berjaya di republik tersebut.

Menurutnya, Lunch Actually yang beroperasi secara maya menjadi platform yang sesuai bagi golongan bujang berkerjaya yang terlalu sibuk untuk bertemu pasangan ideal melalui cara yang selamat, mudah dan selesa.

Laman maya yang secara rasmi diperkenalkan di Malaysia pada September 2005 dan diasaskan bersama suaminya, Jamie Lee, itu disahkan oleh Matchmaking Institute di New York.

Katanya, syarikat itu kini bersedia untuk melaksanakan kaedah janji temu yang dipraktikkan secara meluas di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia di negara ini.

"Melalui pemerhatian, saya dapati rata-rata golongan muda profesional mempunyai rutin jadual yang sibuk.

"Selain itu, mereka yang berkahwin pada usia sepatutnya sudahpun berkenalan dengan teman hidup mereka ketika di sekolah atau di universiti. Namun, jika bernasib baik, perhubungan berkenaan dapat berkekalan," jelas Violet.

Bagaimanapun, dakwa pengasas laman web itu, apabila golongan bujang sudah bekerja, mereka akan mula sibuk sehingga terlupa soal teman hidup. Tanpa disedari, usia mereka terus meningkat tua.

Violet yang juga penulis buku Lessons from 15,000 First Dates itu berpendapat bahawa pendekatan mengadakan pertemuan santai pada waktu makan tengah hari merupakan idea yang menarik untuk mencari pasangan.

Berbanding mengadakan temu janji makan malam, mungkin ada yang menganggap ia terlalu romantik atau terlalu terikat dengan hasrat asas mencari jodoh.

Cara baharu

Violet menambah, zaman yang berubah menyaksikan ramai individu berkerjaya kini lebih cenderung mengambil pendekatan lebih realistik dalam bercinta berbanding cara lama.

"Cara lama iaitu ibu bapa yang memain peranan menjodohkan anak mereka kini semakin kurang diamalkan. Justeru, Lunch Actually memperkenalkan satu usaha alternatif," ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Violet berkata, dari tinjauan tabiat janji temu yang dilakukan ke atas kira-kira 2,000 orang responden, kaum lelaki di Malaysia kini berfikiran lebih terbuka berkenaan teman wanita mereka.

Sementara itu, sebaliknya, wanita di negara ini masih inginkan teman lelaki yang lebih tinggi, berpelajaran dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding diri mereka.

"Hasil tinjauan yang dilakukan syarikat saya mendapati 70 peratus wanita Malaysia tidak akan menjalin hubungan dengan lelaki yang lebih rendah daripada mereka," dedah Violet.

Sementara itu, 55 peratus lelaki di Malaysia pula berkata mereka hanya akan menjalin hubungan dengan wanita yang lebih tinggi.

Penemuan itu didedahkan oleh satu tinjauan yang telah dilaksanakan oleh agensi janji temu, Lunch Actually, membabitkan 1,895 responden dari Hong Kong, Singapura dan Malaysia.

Tinjauan yang dijalankan atas talian dari 25 Ogos sehingga 14 September 2011, melibatkan 654 orang rakyat Malaysia, dengan 76.1 peratus daripadanya berusia di antara 26 hingga 40 tahun. Sejumlah 75.1 peratus daripada mereka merupakan lepasan ijazah sarjana muda atau lebih.

Menurut statistik itu, lelaki pada hari ini bersifat lebih terbuka dan akan mempertimbangkan menjalin hubungan dengan wanita yang lebih tinggi, berpelajaran dan memperoleh pendapatan yang lebih banyak daripada mereka.

Ciri pilihan wanita

"Bagaimanapun, keadaan yang berbeza dapat dilihat dalam kalangan wanita Malaysia. Mereka menolak lelaki yang lebih rendah, kurang berpelajaran dan berpendapatan lebih rendah daripada diri mereka," kata Pengasas Bersama Lunch Actually, Jamie Lee.

Tinjauan itu juga mendapati wanita di negara ini semakin fokus terhadap wang dan kuasa pendapatan teman lelaki mereka yang berpotensi.

Menurutnya, 60 peratus daripada mereka berkata bahawa mereka tidak akan menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang berpendapatan kurang daripada mereka.

Angka tersebut merupakan yang tertinggi berbanding wanita Singapura sebanyak 47 peratus dan Hong Kong sebanyak 27 peratus.

Jelasnya, sungguhpun perkahwinan dilihat sebagai satu perkara penting dalam kalangan sebahagian besar lelaki, namun sebanyak 72 peratus lelaki ramai mengakui bahawa mereka takut dengan komitmen kerana bimbang dikongkong dan mengalami masalah kewangan.

Terang Violet, tinjauan itu turut mendapati, satu perkara yang akan menarik perhatian lelaki serta-merta terhadap wanita tidak berubah iaitu muka yang cantik, sementara bagi wanita, ialah keyakinan dan perwatakan lelaki terbabit.

"Di Malaysia, Singapura dan Hong Kong, golongan lelaki dan wanita bujang berpendapat bahawa usaha menjadikan penampilan diri mereka lebih menarik berkait rapat dengan mencari cinta.

"Berbanding tahun-tahun sebelum ini, terdapat peningkatan ketara dalam bilangan individu yang menggunakan kaedah janji temu dalam talian Internet bagi mencari cinta. Ini boleh disebabkan oleh peningkatan keyakinan terhadap janji temu dalam talian dan sifat celik Internet," katanya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web www.lunchactually.com

- KOSMO!

Ahad, Mei 15, 2011

Surat cinta 24 muka Prof Muhaya


Pertemuan kali pertama di Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor, pada April 1976 merupakan detik bersejarah buat pasangan Profesor Dr. Muhaya Mohamad, 52, dan Dr. Azmi Jamion, 54.

Ini kerana, pertemuan tersebut bukan sahaja menyatukan kedua-dua pasangan tersebut malah ia cinta pandang pertama buat mereka.

Ternyata kedua-duanya menyimpan perasaan antara satu sama lain dan tanpa diduga teguran pertama daripada Dr. Azmi mengeratkan lagi persahabatan mereka.

Menurut Dr. Muhaya yang merupakan Pengerusi Persatuan Oftalmologi MMA dan Pengarah Pusat Mata dan LASIK, Pusat Perubatan Prince Court, pertemuannya dengan Dr. Azmi adalah secara kebetulan dan mereka tidak mengenali antara satu sama lain sebelum itu.

“Dr. Azmi ke Sekolah Tun Fatimah menghadiri Pertandingan Perbahasan Piala Perdana Menteri yang mana sekolah saya menjadi tuan rumah ketika itu.

“Buat kali pertama saya terpandang Dr. Azmi sewaktu dia berada di padang menonton pertandingan bola tampar yang diadakan semasa itu.

“Ketika itulah hati saya terdetik ‘hensemnya dia’, dan saat itu juga saya jatuh cinta pandang pertama padanya,” ujarnya sambil tersenyum ketika ditemui di kediamannya di Country Height, Kajang baru-baru ini.

Mengimbas memori tersebut, baik Dr. Muhaya atau Dr. Azmi, masing-masing menyatakan, peristiwa tersebut tidak pernah luput daripada ingatan kerana sememangnya peristiwa tersebut merupakan detik terindah yang ingin kenang sampai bila-bila.

Tanpa diduga Dr. Muhaya, dia tidak bertepuk sebelah tangan kerana tanpa pengetahuannya, Dr. Azmi juga ada menyimpan perasaan terhadapnya.

Ujar Dr. Azmi, dia yang merupakan pelajar matrikulasi ketika itu memberanikan diri menegur Dr. Muhaya sewaktu isterinya itu berjalan dibelakangnya dan soalan pertama ditanya ialah, “Form berapa?”

Selepas Dr. Muhaya menjawab soalan Dr. Azmi, mereka seterusnya berjumpa untuk berbual-bual dan sebelum ‘berpisah’, mereka saling bertukar-tukar alamat.

Jelas Dr. Azmi, dia yang memulakan dahulu perkenalan yang lebih serius dengan menulis surat pertama kepada Dr. Muhaya yang berada di Terengganu.

Menurut Dr. Muhaya, surat pertama yang dikirim Dr. Azmi amat menggelikan hatinya kerana kandungan surat tersebut bertanyakan cita-citanya.

‘‘Bayangkan, surat pertama isi kandungannya bertanyakan cita-cita saya dan balasannya sudah pasti saya beritahu saya ingin menjadi seorang doktor.

‘‘Susulan itu, Dr. Azmi beritahu dia juga bercita-cita ingin menjadi seorang doktor dan apa kata kita sama-sama mengejar cita-cita menjadi doktor dan terus jadi steady.

“Pandai Dr. Azmi ni dan saya pun terima kerana dia (Dr. Azmi) merupakan teman lelaki pertama saya dan terakhir, insya-Allah,” katanya lagi sambil ketawa.

Akhirnya setelah berkawan hampir tiga tahun, mereka mengikat tali pertunangan pada 15 November 1979.

Berbicara lanjut mengenai hubungan mereka, ujar Dr. Muhaya, seperkara lagi yang pasti menjadi kenangan sampai bila-bila ialah rekod kiriman surat antara mereka kerana ia tidak pernah putus dan setiap kali mendapat surat, balasan pasti dipos keesokan harinya.

Surat yang paling panjang pernah diterima Dr. Muhaya ialah 24 helai dan beliau sendiri tidak mengingati apa yang ditulis oleh Dr. Azmi ketika itu sehingga ia menjadi begitu panjang.

Walaupun dilihat Dr. Azmi merupakan seorang yang begitu ringkas tetapi ternyata anak kelahiran Ulu Tiram, Johor ini romantik dan penyayang.

Ini dibuktikan apabila Dr. Muhaya menerima kiriman surat sebaik sahaja melangkah keluar dari dewan peperiksaan ketika menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bukan itu sahaja malah Dr. Azmi pernah mengirimkan surat dan juga kaset yang mengandungi lagu yang dimainkan dengan gitar dan dinyanyikan sendiri olehnya.

Sebelum mengakhiri zaman bujang, Dr. Muhaya pernah menyuarakan hasrat memutuskan persahabatan atas alasan ingin menyambung pelajaran ke Kaherah, Mesir selama tujuh tahun.

Bagi Dr. Muhaya, tempoh itu terlalu panjang dan tidak mungkin dapat menunggu Dr. Azmi.

Bagaimanapun, sudah tertulis jodoh kedua-duanya, akhirnya Dr. Muhaya membatalkan hasrat menyambung pelajaran kerana selain kasihankan Dr. Azmi, bapanya juga tidak mengizinkan.

“Saya teruskan pelajaran ke tingkatan enam sebelum masuk ke Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Seterusnya setelah bertunang enam bulan, kami diijab kabul pada 11 Mei 1980 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata,” katanya.

Kini, pasangan yang gemar berkaraoke dan menonton drama Korea ini telah pun bergelar datuk.

- UTUSAN

Rabu, April 20, 2011

Jangan takut bercinta lagi

Bagi yang pernah bercinta, pasti biasa melalui saat suka dan duka. Maklumlah dunia orang bercinta penuh dengan pancaroba.

Kecewa akibat bercinta memang sangat perit untuk dilalui dan sukar untuk di atasi.

Cara terbaik untuk pulih daripada perasaan kecewa dan kembali ceria mungkin dengan meyakinkan diri untuk bercinta lagi dan melupakan buat selama-lamanya si dia yang mengecewakan anda.

Sebagai seorang yang matang, terimalah hakikat bahawa setiap manusia mempunyai naluri untuk berkongsi perasaan sayang.

Namun kita juga harus sedar bahawa setiap perhubungan itu tidak semestinya berakhir dengan perkahwinan dan mencapai bahagia.

Ada perhubungan yang hanya bertahan separuh jalan. Itulah yang dinamakan takdir.

Memang mengecewakan, namun ia bukan bermaksud anda perlu menutup semua peluang baru yang akan datang.

Tindakan sedemikian sebenarnya hanya merosakkan diri sendiri dan boleh menjadikan diri mengalami kemurungan.

Buka minda dan terima perhubungan baru sebagai sesuatu pengalaman berbeza dalam kehidupan anda. Berusahalah mencari kebahagiaan yang anda impikan.

Namun ada juga yang menyalahkan diri sendiri kerana mengalami kekecewaan dalam perhubungan.

Sekali gus menolak untuk bercinta lagi kerana takut dikecewakan untuk kali kedua.

Seharusnya keadaan itu tidak perlu dijadikan isu kerana bukan semua pasangan akan membuat anda kecewa. Ramai lagi insan boleh memberikan anda kebahagiaan.

Sebenarnya, ramai lagi orang lain yang ikhlas untuk terus bercinta dengan anda. Tetapi janganlah menjadi seseorang yang pentingkan diri sendiri dan menolak cinta lain.

Cubalah memberikan ruang dan peluang kepada orang baru supaya anda terus dicintai dan mencapai kebahagiaan yang ingin anda kecapi.

Dalam situasi ini, jangan sesekali mengenang kisah lama dengan si dia yang pernah mencintai anda, tetapi berikan tumpuan sepenuhnya kepada si dia yang baru hadir dalam dunia anda.

Berusaha sebaiknya untuk membuatkan diri anda terlalu istimewa kepadanya.

Hakikatnya, kecewa itu sebenarnya sesuatu yang perit dan sukar untuk diterima lebih-lebih lagi orang yang kita pernah sayangi itu kini sedang berbahagia dengan cinta barunya.

Tetapi, jangan kecewa dengan situasi sedemikian dan cubalah melupakan si dia dengan membuka peluang baru kepada orang lain untuk terus bercinta diri anda.

Perkara penting yang anda fikirkan adalah semua insan di dunia ini mampu untuk memiliki kehidupan yang bahagia.

- UTUSAN

Recent Posts