Memaparkan catatan dengan label Bisnes. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bisnes. Papar semua catatan

Rabu, Mei 01, 2013

Iklan jenama tingkatkan jualan dan raih keyakinan pengguna


Jenama Samsung muncul sebagai pemenang utama Anugerah Jenama Putra 2013 anjuran Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As), apabila ia dinobatkan sebagai Putra Brand of the Year.

Acara itu turut menyaksikan 31 jenama memenangi pingat emas, 33 pingat perak dan 27 pingat gangsa membabitkan 21 kategori berlainan bermula daripada peralatan dan pakaian sehingga kepada pengangkutan dan pelancongan.

Jenama yang melakukan perbelanjaan besar dalam penawaran jenama mereka kepada pelanggan menerusi pelbagai platform pengiklanan adalah jenama paling disambut pengguna” Johnny Mun, Presiden Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia

Pilihan pengguna

Antara jenama lain yang memenangi pingat emas adalah Nike, 100 Plus, Toyota, Maxis, Taylor’s University College, Gardenia, Dynamo, Sime Darby Property dan McDonald’s.

Mengulas perkembangan itu, Presiden 4As, Datuk Johnny Mun, berkata 106 pemenang dalam pelbagai kategori dipilih oleh 6,000 pengguna dari seluruh negara.

Katanya, pada anugerah kali ini, 4As mendapati media sosial membawa perubahan dalam trend komunikasi pemasaran dan ia menjangkakan perubahan itu adalah sesuatu yang kekal dan bukan bersifat sementara atau bermusim.
“Apa yang penting, kita sebagai peserta industri khususnya pemilik jenama dan pengiklan perlu memahami bagaimana media baru berfungsi dan bagaimana ia memberikan kesan kepada masyarakat secara realiti.

“Selain itu, kami turut mendapati bahawa jenama yang melakukan perbelanjaan besar dalam menyampaikan mesej dan penawaran jenama mereka kepada pelanggan menerusi pelbagai platform pengiklanan adalah jenama yang paling disambut pengguna,” katanya kepada media selepas acara pengumuman pemenang Anugerah Jenama Putra 2013 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Dr Wong Lai Sum serta ketua agensi pengiklanan kreatif, pemimpin jenama utama dan ketua pegawai eksekutif pelbagai syarikat terkemuka tempatan dan antarabangsa.

Mencetus inspirasi

Wong berkata, syarikat perlu meneruskan tumpuan mereka terhadap usaha pengiklanan jenama sebagai kaedah utama untuk meningkatkan jualan, membina identiti boleh dipercayai dan meraih keyakinan pengguna.

“Setiap jenama mesti mempunyai kisah tersendiri yang boleh disampaikan dengan menarik dan mencetus inspirasi. Selain itu, kekalkan prinsip berpegang pada janji, kotakan janji itu dan anda akan menambat hati pengguna dalam jangka panjang,” katanya.

- BERITA HARIAN

 

Ahad, April 28, 2013

Hidangan RM3 di Taiping, Perak



Seawal pukul 10 pagi lagi, beberapa buah kereta mula memasuki pekarangan rumah Hamidah Hamid yang terletak di Batu 7, Cangkat Baru, Matang, Taiping, Perak.

Situasi itu menjadi lebih meriah menjelang tengah hari hingga pukul 4 petang berikutan semakin ramai pelanggan yang datang untuk menikmati juadah yang disediakan wanita berumur 52 tahun tersebut.

Terdapat empat set meja makan sahaja yang diletakkan di bahagian anjung rumah, namun bilangan itu memadai buat Hamidah yang mesra disapa Kak Midah sementelah dia menguruskan gerai tersebut bersendirian.

Tetapi, jika pelanggan yang datang lebih ramai berbanding biasa, Kak Midah akan menjemput mereka duduk di bahagian ruang tamu rumahnya. Ruang itu sengaja dikosongkan tanpa perabot agar pelanggan boleh menikmati hidangan dengan selesa.

"Seronok kerana dapat menjamu orang ramai makan. Cukuplah empat set meja makan sahaja kerana saya tidak menang tangan untuk menguruskan gerai ini secara bersendirian. Tetapi jika ada ramai pelanggan yang datang serentak, mereka boleh makan bersila," tutur Kak Midah yang tersenyum simpul menyambut kedatangan kru Jurnal.

Premis itu bukanlah sebuah kedai makan, sebaliknya hanya sebuah rumah kampung biasa yang dibuat daripada batu. Tiada tempat memasak khas mahupun dapur besar yang dibina kerana Kak Midah memasak di bahagian dapur rumahnya sahaja.

Sepuluh lauk

Setiap hari seawal pukul 8 pagi, Kak Midah sudah mula memasak. Jumlahnya tidak banyak dan memadai untuk pelanggannya yang tidak ramai. Jika lauk hampir kehabisan Kak Midah akan memasak sekali lagi. Dia sentiasa menjaga kesegaran lauk yang dihidangkan.

"Pada setiap hari, menu yang disediakan adalah berbeza. Sekurang-kurangnya enam jenis lauk akan disiapkan. Ada makanan laut, ikan, ayam, ulaman dan sayuran," katanya yang pernah berkhidmat di sebuah kilang tekstil.

Dalam kunjungan Jurnal pada minggu lalu, kami dihidangkan dengan sepuluh jenis lauk bersama nasi putih termasuklah ayam masak merah, ikan kembung goreng, sotong masak merah, kerang rebus, pajeri nenas, peria masak asam, gulai lemak nangka, air asam, sambal belacan dan timun.

Pada hari kedua, Kak Midah menyediakan ketam masak cili, ikan kembung goreng, kari ikan, asam pedas keladi, sayur campur, jelatah timun dan sambal belacan bersama buah mangga sebagai pencuci mulut.

Namun, jenis masakan yang disediakan bukan satu-satunya faktor istimewa di gerai tersebut. Harga yang dikenakan kepada setiap pengunjung merupakan tangkal penarik pelanggan.

"Saya mengenakan bayaran sebanyak RM3 untuk setiap orang. Tidak kiralah sama ada datang bersendirian atau berkumpulan, jenis hidangan adalah sama. Kesemua lauk-pauk yang saya masak pada hari itu akan dihidangkan di meja seperti makan di rumah," ujar Kak Midah sambil melayan pelanggannya.

Tambah Kak Midah lagi, dia tidak berniat untuk mengaut keuntungan daripada perniagaan itu kerana hasrat asalnya adalah untuk melakukan amal. Dia juga tidak merancang untuk menaikkan harga pada masa akan datang biarpun ramai yang menasihati untuk berbuat demikian.

"Sebenarnya saya bukanlah mahu jadi kaya atau mengaut keuntungan lebih. Tetapi perniagaan ini adalah untuk menunaikan nazar saya sebelum ini.

"Kira-kira sepuluh tahun lalu, saya terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa pulang daripada kerja. Akibat kejadian itu, kaki saya hampir dipotong. Namun, atas takdir Allah, kaki saya kembali pulih biarpun remuk kerana digilis lori.

"Pada ketika itu, dunia terasa gelap seketika mengenangkan masa depan keluarga sekiranya kaki sudah tiada. Apatah lagi kami bukanlah orang senang dan sudah pasti saya tidak akan mampu bekerja lagi. Suami juga hanya berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.

"Saya pernah bernazar untuk melakukan amal jariah kepada masyarakat sekiranya boleh berjalan semula. Kini saya bersyukur kerana sudah mampu untuk bekerja semula biarpun kaki kiri masih terkesan dengan kemalangan itu," katanya yang terpaksa meneruskan hidup dengan lebih 50 batang skru yang masih terpasang pada beberapa bahagian di kaki kirinya.

Biarpun RM3 tidak memberi nilai yang besar kepada sesetengah orang, namun Kak Midah menganggapnya sebagai sebuah perkongsian rezeki sesama manusia.

"Memang ramai yang terkejut dan bertanya sama ada saya boleh mendapat pulangan modal dengan harga itu, tetapi saya sendiri dapat merasa keajaiban rezeki Allah. Kadangkala ada pelanggan yang ikhlas membayar lebih.

"Walaupun masih lagi mampu mendapat pusingan modal, tetapi saya juga mendapat bantuan pinjaman daripada AIM (Amanah Ikhtiar Malaysia). Namun, jumlah pinjaman itu tidaklah banyak dan cukup untuk membeli set meja makan dan menambah modal pusingan.

"Syukur kerana rezeki masih cukup untuk memberi wang saku kepada empat orang anak yang masih bersekolah," ujar ibu kepada tujuh orang cahaya mata itu.

Saiz sederhana

Untuk mengekalkan kesegaran hidangannya, Kak Midah akan mengunjungi Pasar Matang dan pasar malam di sekitar Matang bagi mendapatkan barangan mentah.

Dengan kos sebanyak RM70 sehari, Kak Midah boleh membeli beberapa jenis barangan termasuklah ikan, ayam, sayuran dan makanan laut kerana sudah mengenali peniaga di pasar. Biarpun perlu menguruskan perbelanjaan yang terhad, dia tidak akan sesekali membeli ikan busuk ataupun sayur yang sudah layu.

"Semua bahan yang saya beli setiap hari adalah segar-segar. Memang barangan dapur sudah mahal pada masa kini, tetapi saya memilih ikan, sotong dan ketam bersaiz sederhana kerana harganya lebih murah," katanya berkongsi rahsia.

Siti Rohani Mat Saad, 45, yang sudah beberapa kali ke gerai tersebut menjelaskan, dia pada mulanya tidak percaya tentang harga tersebut dan menganggapnya sebagai tidak masuk akal.

"Dari segi hidangan memang ia menepati cita rasa saya yang menggemari makanan ala kampung. Cuma sedikit tidak percaya pada harganya yang sangat murah untuk hidangan nasi bersama sepuluh jenis lauk. Minuman juga diberi percuma," katanya yang berasal dari Taiping, Perak.

Bagi mereka yang pertama kali ke situ mungkin berdepan sedikit kesukaran untuk menemui gerai tersebut kerena ia terletak di dalam kawasan perkampungan.

Menurut pelanggan yang pertama kali singgah ke gerai Kak Midah, Faizah Ismail, 47, sekiranya mencari lokasi gerai tersebut, pengunjung perlulah melalui jalan menuju ke Kuala Sepetang dari arah Taiping.

"Anda akan melepasi Kota Ngah Ibrahim iaitu kira-kira 500 meter untuk ke sini. Dari bandar Taiping pula, jaraknya adalah 10 km. Anda perlu bersedia untuk memasuki sebuah lorong kecil di sebelah kiri sekiranya sudah sampai ke kawasan Masjid Tengku Menteri. Lorongnya adalah bersebelahan sebuah pam minyak lama," katanya.

- KOSMO!

 

Saiz payudara bukan ukuran seksi - My Couture


Bagi kebanyakan lelaki, kecantikan wanita diukur daripada wajahnya namun jantung kaum Adam pasti berderau tatkala melihat kehebatan aset wanita. Maka tidak hairanlah jika ramai wanita amat teliti dalam aspek pemakaian coli terutama aspek keselesaan tetapi pada masa sama ia harus memberi ilusi payudara yang lebih montok.

Berbicara mengenai coli pada suatu masa dahulu mungkin sesuatu yang tabu tetapi wanita moden kini lebih terbuka. Seseorang wanita perlu mengenal rupa bentuk dan posisi payudara masing-masing sama ada berbentuk bulat, pendulous, kecil atau di dalam posisi normal, jauh dan dekat.

Waktu paling sesuai mengenakan pakaian dalam adalah selama lapan hingga 10 jam sehari tetapi Pengarah Kreatif My Couture Sdn. Bhd., Hanim Shahrom menyarankan wanita tidak memakai coli ketika tidur.

Cerita Hanim, pemilihan saiz dan bentuk pakaian dalam yang bersesuaian sangat penting kerana secara tidak langsung ia memberikan pengaruh kepada bentuk payudara seseorang wanita.

“Pakai coli untuk diri sendiri dan ia perlulah selesa. Ada wanita beranggapan memakai coli yang menampakkan payudara lebih besar sebagai petanda seksi tetapi tanggapan itu sebenarnya salah.

“Wanita perlu sedikit ilmu tentang cara memilih dan mengetahui saiz sendiri. Kesesuaian rekaan coli dengan tubuh badan perlu diberi perhatian oleh setiap wanita kerana masih ramai yang tidak memahami konsep jenis mangkuk dan saiz ukur lilit masing-masing,” jelas wanita kelahiran Kluang, Johor ini.

Tambahnya, teknik tiga segi digunakan bagi mengenal pasti kiraan tepat untuk jenis payudara dengan menjadikan titik puting payudara dan tulang dada sebagai penanda aras.

“Boleh dikatakan hampir 70 peratus wanita Malaysia memiliki payudara bersaiz sederhana dan besar manakala selebihnya memiliki payudara kecil. Proses pembuatan pakaian dalam juga tetap rumit tanpa mengira saiz payudara seseorang wanita.

“Proses pembuatan bermula dengan penghasilan sehelai saiz prototaip, contohnya saiz 34B. Saiz ini akan diuji pakai ke atas model sebenar yang bersaiz 34B dan proses teknikal akan dilakukan ke atas pakaian dalam ini dari pelbagai aspek untuk memastikan keselesaan dan kesesuaian menurut piawaian berpandukan standard antarabangsa.

“Saya sentiasa berfikir yang terbaik untuk kaum wanita dengan menyediakan produk yang digemari. Kadangkala saya menyamar untuk mendapatkan maklum balas mengenai produk keluaran saya,” tutur isteri kepada Ahmad Dzulkifflee Mohd. Yusof, 50, itu.

Warna berani

Jelasnya, persaingan dengan jenama antarabangsa membuatkannya berusaha untuk menghasilkan rekaan unik agar dapat menarik hati pelanggan.

“Untuk menghasilkan satu rekaan pakaian dalam yang benar-benar berkualiti dan selesa, pihak syarikat memerlukan jangka masa sehingga empat bulan kerana pembuatan coli merangkumi segala aspek daripada segi pemilihan fabrik, warna dan ujian pemakaian.

“Warna-warna asas seperti hitam, coklat, kelabu serta merah jambu merupakan warna yang paling popular dan laris dalam kalangan wanita Malaysia berbanding wanita Barat yang lebih gemar warna putih dan krim.

“Pemilihan warna sangat subjektif dan berkait rapat dengan emosi seseorang wanita selain ia turut dipengaruhi oleh iklim sesebuah negara tetapi ramai juga yang teruja untuk mempelbagaikan koleksi pakaian dalam mereka dengan memilih warna-warna berani seperti merah, terracota, hijau, ungu dan warna-warna lain,” jelasnya sambil memberitahu, jangka hayat pakaian dalam bergantung kepada cara penjagaan si pemakai.

Ujarnya, selain memenuhi kepuasan emosi wanita Malaysia yang sukakan fabrik jenis renda, Hanim turut memberikan sokongan yang mantap untuk wanita tampil lebih yakin, kemas dan langsing dengan hanya dengan memakai pakaian dalam yang menepati saiz sebenar si pemakai.

“Saya meletakkan perancangan untuk menguasai sepenuhnya bidang perniagaan pakaian dalam di Malaysia, memandangkan jenama My Treasure sudah berada di pasaran sejak 1998. My Treasure menjanjikan produk terbaharu dengan kualiti dan keselesaan setanding dengan jenama antarabangsa,” tambahnya yang memiliki kilang pembuatan pakaian dalam di Kampung Jawa, Klang.

Jelasnya, koleksi My Treasure boleh dibeli dengan harga bermula RM20 hingga RM70 melalui internet dan di lebih 70 lokasi pasar raya besar AEON dan Giant.

Cerita Hanim, dia terlibat dalam keseluruhan aspek pembuatan coli bermula dengan cetusan ilham, lakaran prototaip, seni, fesyen, renda, fabrik, melatih pekerja, menilai kualiti, memahami emosi dan hati pelanggan,

Hanim mempunyai formula keselesaan sendiri dengan setiap rekaan yang diperkenalkan melalui proses dan menepati piawaian antarabangsa yang kemudian disesuaikan dengan bentuk tubuh wanita Malaysia.

“Menceburkan diri di dalam bidang ini bukan sahaja memerlukan kepakaran dari segi penghasilan produk tetapi ia lebih kepada memberikan keselesaan dan pilihan yang tepat serta paling berbaloi dengan harga yang dibayar oleh pelanggan.

“Mengekalkan pelanggan yang setia dengan produk yang dihasilkan adalah suatu cabaran perniagaan yang agak sukar memandangkan pakaian dalam berkait rapat dengan faktor keselesaan di mana perkara itu adalah sangat subjektif,” ujar wanita berumur 47 tahun ini.

My Couture boleh dilayari di : http://www.facebook.com/MyCouture.com.my

- KOSMO!

 
 

Isnin, April 22, 2013

Khasiat ekstrak delima


Mengamalkan sunnah junjungan Nabi Muhammad SAW bukan sahaja tertumpu kepada perbuatan dan aktiviti seharian, malah melalui pengambilan makanan seharian juga digalakkan di sisi Islam.

Makanan yang diambil secara berkhasiat dan kaya dengan bahan yang baik dapat membantu menyihatkan badan. Antara buah-buahan yang digalakkan dalam Islam adalah buah delima.

Khasiatnya turut disebut dalam hadis mauquf di mana antara lain Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa buah delima adalah antara daripada buah-buahan syurga, tidak ada satu pun buah delima yang kalian tanam melainkan ia dibuahi dengan biji buah delima syurga.

Menyedari kekurangan produk minuman yang dihasilkan berlandaskan minuman sunnah, Pemilik Gofocus International Sdn. Bhd., Rumawi Kasolan mengetengahkan minuman BioDelima.

"Di pasaran ketika ini terdapat pelbagai jenis minuman jus buah-buahan dari luar negara, tetapi tidak semua jus yang kita beli itu terjamin dari segi halal dan cara pembuatan yang berlandaskan syariat Islam.

"Sebagai umat Islam kita bertuah kerana Allah telah sebutkan beberapa jenis buah-buahan syurga dalam al-Quran yang baik untuk kesihatan.

"Bertitik tolak dari situ, saya bersama-sama rakan iaitu Dr. Abdul Razak Ibrahim telah menghasilkan produk BioDelima ," katanya.

Ujar Rumawi, syarikatnya yang beroperasi sejak dua tahun lalu, kini mempunyai lima produk minuman berasaskan ekstrak buah delima di samping gabungan buah-buahan lain.

"Produk pertama yang dihasilkan oleh syarikat kami adalah Jus Biodelima yang kaya dengan kandungan phytochemical untuk kebaikan jantung dan kelancaran saluran darah.

"Jus delima mengandungi pelbagai khasiat seperti mineral dan vitamin yang amat diperlukan bagi membantu mengekalkan dan menangani masalah kesihatan serta menyihatkan tubuh badan.

"Produk ini boleh digunakan seawal peringkat bayi dalam kandungan sehinggalah kepada warga emas.

"Kini produk ini boleh didapati dalam lima jenis yang berlainan bentuk iaitu BioDelima kolagen, BioDelima Steamcell, Kopi BioDelima, Jus BioDelima Kolagen dan BioDelima Minda," katanya.

Menurut Rumawi, bahan-bahan untuk menghasilkan produk tersebut diimport dari negara-negara Asia Barat selain madu yang diambil dari Malaysia.

Antara bahan utama yang digunakan untuk produk itu adalah buah delima, kurma, zaitun, biji anggur, madu, habbatus sauda, menna dan goji.

"Mengikut buku perubatan Parsi, buah delima boleh membantu membaik pulih fungsi hati dan limpa. Juga membantu mencuci buah pinggang dan salur kencing serta sistem penghadaman.

"Di samping itu ia juga membantu membuang lemak-lemak berlebihan, membantu membaik pulih masalah jantung, membantu mengelakkan alahan bagi wanita mengandung, membantu merawat pesakit kencing manis dan menambahkan tenaga," kata Rumawi.

Ujarnya, ketika ini Jus BioDelima premium paling mendapat sambutan di kalangan pelanggan yang mengamalkan pemakanan sunnah.

Kesemua produk Bio Delima melalui proses Amalan Pengilangan Islam atau lebih dikenali dengan IMP (Islamic Manufacturing Practice).

"IMP diwujudkan untuk pengusaha industri yang beragama Islam atas kesedaran keperluan umat Islam pada zaman ini kepada pemakanan yang suci dari aspek rohani dan jasmani.

"Kesucian dari aspek rohani bermaksud tangan-tangan yang mengusahakan produk adalah tangan Muslim.

"Mereka yang memahami dan terikat dengan hukum-hukum Islam serta patuh kepada perintah Allah akan menambah keberkatan terhadap apa yang diusahakannya.

" Ini adalah kerana nur Islam yang ada pada dirinya adalah nilai yang tidak terdapat pada pengusaha bukan Islam," katanya.

Kata Rumawi lagi, bagi membantu orang ramai menambah pendapatan dengan menjadi pengedar produk BioDelima, syarikatnya telah menganjurkan Program Usahawan BioDelima Nasional.

"Program ini dianjurkan kepada lulusan universiti yang masih menganggur, belia dan suri rumah yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan menambah pendapatan.

"Selain itu, syarikat kami juga sedang mencari pekerja yang berminat untuk memohon jawatan sebagai eksekutif pemasaran yang mempunyai kelayakan diploma dan ijazah sarjana muda," katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai produk ini boleh hubungi talian 013-2834777/ 03 5512 0058 atau berkunjung ke No 72A, Jalan Pelabur A, 23/A, Seksyen 23, 40300 Shah Alam Selangor. Pelanggan juga boleh layari laman sesawang www.biodelima.com.my


 - UTUSAN 

Khamis, April 18, 2013

Maybank lancar Maybank2u Pay untuk Peniaga Bisnes Internet


Maybank mempelbagaikan lagi kemudahan transaksi dalam taliannya menerusi pelancaran Maybank2u Pay, sekali gus menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya lima peratus daripada 3,000 peniaga yang menggunakan laman blog di seluruh Malaysia tahun ini dengan nilai transaksi sebanyak RM5 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, Maybank2u Pay menawarkan pemilik kedai blog keupayaan menguruskan urus niaga mereka dengan cara profesional dan bersistematik. Katanya, perkhidmatan baru ini juga adalah sistem yang pertama diperkenalkan di Malaysia dan peniaga boleh melihat maklumat terperinci transaksi jualan seperti tarikh dan masa transaksi itu dibuat, nama pembeli dan alamat e-mel serta jumlah wang yang dipindahkan.

“Maybank mendapati terdapat peningkatan dagangan dalam laman sosial yang menggunakan Maybank2u sebagai kemudahan pembayaran dan bagi permulaan ini kami juga menyasarkan 108,000 transaksi urus niaga.
“Bilangan pelanggan juga dijangka meningkat lagi kepada 30 peratus dengan anggaran transaksi berjumlah RM105 juta dalam tempoh lima tahun,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Maybank2u Pay.

Menurutnya, pembelian dalam talian kini semakin popular di Malaysia dan perangkaan menunjukkan terdapat lebih daripada 1.1 juta rakyat Malaysia berbelanja RM1.8 bilion pada 2010.

Abdul Wahid berkata, nilai itu dijangka berkembang kepada RM5 bilion tahun depan dan daripada jumlah pelanggan pula, terdapat 2.3 juta pengguna aktif yang membuat lebih daripada 2.5 juta transaksi beli-belah dalam talian dengan nilai RM675 juta tahun lalu.

“Menjadi tanggungjawab Maybank sebagai bank yang mementingkan masyarakat untuk mendorong pertumbuhan ini dengan menawarkan kemudahan dan kepelbagaian dalam dunia e-dagang,” katanya.

Beliau berkata, Maybank telah menjadi peneraju dalam perbankan Internet sejak memperkenalkan perkhidmatan Maybank2u di Malaysia pada 2000 dan sehingga kini, Maybank menguasai hampir 50 peratus pengguna berdaftar di pasaran.

Maybank2u Pay adalah inisiatif berterusan kami untuk meneroka pasaran baru menerusi inovasi dan dengan sistem baru ini, kami bukan saja mampu mengukuhkan kedudukan kami dalam perbankan dalam talian, tetapi juga menjadikannya lebih mudah dan selesa untuk digunakan pelanggan dan pada masa sama membolehkan komuniti yang memberi kesan kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Maybank juga menawarkan rebat tunai kepada pencadang perniagaan blog dan peniaga yang mendaftar di Maybank2u Pay serta berpeluang mendapat publisiti percuma di laman web Maybank2u. Promosi berakhir pada 31 Mei 2013.

- HARIAN METRO

Khamis, April 04, 2013

Freelancer.com tarik 7 juta pengguna


Freelancer.com, portal pasaran pekerja bebas terbesar dunia dijangka memudahkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selain menjana pendapatan lebih tinggi bagi pekerja bebas di negara ini dengan  mengembangkan pangkalan data pengguna di Malaysia.

Naib Presiden Pembangunan Freelancer.com, Willix Halim berkata, pemilik PKS sentiasa mencari cara berjimat semasa menjalankan perniagaan dan melalui Freelancer.com, PKS mempunyai cara yang cekap dan berkesan dari segi penjimatan kos dalam menguatkan potensi sumber manusia dalam kalangan pengguna Internet.

"Sebagai peneraju dunia dalam pasaran pekerja bebas, berdasarkan jumlah trafik (Alexa.com), Freelancer.com kini mempunyai lebih daripada tujuh juta pengguna dari 234 negara.

"Di peringkat antarabangsa pula, laman ini menarik lebih daripada 4,500 pengguna baru setiap hari," katanya.

PKS adalah bahagian penting yang melengkapi ekonomi Malaysia, merangkumi 97.3 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan dan menyumbang 32.5 peratus kepada ekonomi pada 2011. Industri itu juga merupakan sumber pekerjaan utama negara, di mana lebih daripada 645,000 syarikat PKS menggaji 4.5 juta pekerja.

Menurut Halim, di seluruh dunia, PKS telah menggunakan Internet untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan dari segi penjualan barangan, kos pentadbiran serta operasi.

“Pasaran terbuka pekerjaan bebas yang didorong oleh Freelancer.com sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadi sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan.

"Selain memupuk, menarik, dan mengekalkan bakat, Freelancer.com turut menawarkan peluang mendekati pasaran dunia dengan memanfaatkan kebolehan berkomunikasi dalam berbilang bahasa,” katanya.

Dunia peluang pekerjaan tanpa sempadan itu dijangka memberi impak hebat kerana statistik  menunjukkan 17.5 juta daripada 29 juta penduduk negara ini adalah pengguna Internet, termasuk 5 juta pengguna jalur lebar, 2.5 juta pengguna jalur lebar tanpa wayar dan 10 juta pelanggan 3G.

Malaysia juga negara ke-15 mempunyai paling ramai pengguna Freelancer.com iaitu 6,724 majikan dan 39,084 pekerja bebas.

- SINAR HARIAN

 

 

Rabu, April 03, 2013

Klinik Usahawan Warga Industri 1Malaysia (KUW1M) bersama Dr. Azizan Osman

Klinik Usahawan Warga Industri 1Malaysia (KUW1M) bersama Dr. Azizan Osman yang diilhamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat penyertaan kira-kira 14,000 peserta di lima lokasi baru-baru ini.

Setakat ini lebih 35,000 orang mendaftar secara online untuk menyertai program yang memberi peluang kepada golongan muda warga industri (kolar biru) menceburi bidang perniagaan secara sepenuh masa atau separuh masa.

Pengerusi Sekretariat Pekerja Muda BN, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, program itu bermula di Kuala Lumpur pada 23 Mac dengan penyertaan 3,000 peserta diikuti Melaka pada 24 Mac melibatkan hampir 2,000 peserta.

Pada 29 Mac, KUW1M di Kota Bharu mencatatkan kehadiran 3,000 peserta diikuti 30 Mac di Kuantan (2,000 peserta) dan pada 31 Mac di- Shah Alam (hampir 4,000 peserta).

"Jumlah kehadiran ini menunjukkan sambutan luar biasa terhadap penganjuran yang pertama kali dianjurkan di negara ini dengan melibatkan agensi-agensi kerajaan melalui kaedah 'non political'," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, matlamat utama KUW1M adalah untuk memberi ilmu atau tip-tip perniagaan kepada peserta-peserta yang berminat menceburi bidang perniagaan melalui pelbagai peluang yang ditawarkan kerajaan.

Menurut Nazir Hussin, sebagai mentor, Dr. Azizan yang juga Pakar Potensi Diri dan Pemasaran telah memberi jalan atau ilmu terbaik kepada peserta-peserta bagi membantu kejayaan dalam bidang perniagaan.

"Sebahagian besar kegagalan khususnya Bumiputera dalam bidang pernigaan adalah disebabkan tiadanya ilmu perniagaan yang berkesan atau secara praktikal dan terperinci," katanya.

Melalui KUW1M juga, peserta-peserta didedahkan dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat berkenaan peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan selama ini melalui agensi-agensi tersebut.

"Sebahagian besar peserta atau rakyat negara ini masih tidak menyedari bahawa kerajaan di bawah Perdana Menteri telah mewujudkan pelbagai skim bantuan perniagaan melalui geran dan pinjaman dengan peruntukan besar dalam Bajet 2013," katanya.

Melalui program ini, para peserta juga diterapkan dengan sikap berani mengubah hidup melalui bidang perniagaan walaupun menceburi bidang perniagaan secara separuh masa.

Beliau berharap, melalui KUW1M, golongan muda khususnya warga industri (kolar biru) tidak lagi menuding jari menyalahkan mana-mana pihak dengan apa yang mereka alami dalam hidup hari ini kerana peluang untuk membina kejayaan sehingga menjadi jutawan amat terbuka.

"Bagi pihak penganjur KUW1M, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas komitmen dan sokongan beliau bagi merealisasikan program ini serta kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan yang terlibat,'' katanya.

Bagi mereka yang berminat bolehlah mendaftar dan memilih lokasi KUW1M yang akan diadakan pada 5 April di Kolej Insaniah, Alor Star, Kedah; 6 April di Sunway Convention Centre, Seberang Jaya, Pulau Pinang; 7 April di Hotel Riverfront, Ipoh, Perak, 13 April di Menara PGRM, Cheras, 14 April di The Zon Expo, Johor Bahru dan pada 4 Mei di Kota Kinabalu.

Pendaftaran dan maklumat lanjut boleh dilayari di laman web rasmi program www.beraniberniaga.com

- UTUSAN


Kedai Online Pakaian Lawa-Lawa


Apabila nama Stylo Queen dirasakan tidak sesuai dengan konsep dan produk yang dijual, Wan Rizazurina Abdul Rahim, 34, mula mencari-cari nama yang lebih bersesuaian.

Stylo Queen itu kata Wan Rizazurina nampak terlalu besar dan gagah. Beliau bimbang jika pelanggan takut untuk memasuki butiknya kerana disangka terlalu eksklusif dan mahal.

Beliau mahukan nama yang lebih mudah disebut dan diingati oleh pelanggan. Lantas nama Lawa-Lawa terlintas di fikiran dan nama itulah yang dipilih untuk butiknya yang terletak di Ukay Boulevard, Jalan Hulu Klang, Kuala Lumpur.

Ditemui di butik yang ringkas namun cukup selesa bagi setiap pengunjung, Wan Rizazurina berkata, butik yang dibuka pada September 2011 itu sebenarnya bermula dengan perniagaan secara dalam talian sejak tahun 2008.

''Saya bermula dengan RM500 dan waktu itu saya masih bekerja. Bagaimanapun saya tidak pernah merasakan kepuasan diri kerana minat saya lebih kepada berniaga pakaian dan fesyen.

''Tidak mahu menipu diri dan berlaku tidak jujur semasa menjalankan tugas kerana sambil bekerja melayan pesanan pelanggan melalui Internet, saya mengambil keputusan meletakkan jawatan.

''Waktu itu saya baharu sahaja habis tempoh berpantang. Nekad dengan keputusan, saya menghantar surat berhenti kerja biarpun sudah lapan tahun bekerja makan gaji,'' kata bekas pengurus akaun sebuah syarikat telekomunikasi tempatan itu.

Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, kini masanya begitu fleksibel dan boleh memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan.

Pun begitu, beliau tetap mengutamakan keluarga dan anak-anak yang masih memerlukan perhatian dan tumpuannya.

Tambah Wan Rizazurina, koleksi pakaian yang terdapat di butiknya diperoleh dari Bangkok kerana trend fesyen di sana lebih cepat bertukar dan setiap tiga minggu pasti terdapat fesyen terbaru.

Begitu juga dengan baju-baju yang terdapat di Lawa-Lawa. Setiap tiga atau empat minggu pasti terdapat koleksi terbaru yang lebih cantik dan menarik.

''Biasanya setiap tiga atau empat minggu saya akan ke Bangkok bagi membeli pakaian untuk butik saya. Sekali pergi, saya akan membeli sehingga 800 helai baju.

''Sebelum ke sana, saya akan membuat kajian dahulu pasaran yang disukai di Malaysia. Saya banyak mendapatkan idea daripada majalah tempatan dan luar negara tentang fesyen-fesyen terkini.

''Bagaimanapun saya banyak mendapatkan koleksi fesyen yang ringkas dan tidak keterlaluan kerana lebih mudah dijual.

''Selain itu rekaan yang trendy turut digemari kerana mudah disuai-padan,'' ujar isteri kepada Hazree Hashim ini.

Wan Rizazurina berkata, warna hitam putih, warna terang atau neon, corak polka dot dan belang dilihat amat disukai oleh pelanggan yang datang ke butiknya.

Namun demikian warna-warna blok masih lagi menjadi ikutan pada hari ini.

Daripada segi harga, tambahnya, koleksi pakaian Lawa-Lawa dijual pada harga yang amat berpatutan. Paling mahal pun berharga RM90 bagi sehelai dres labuh sementara bagi sehelai baju berharga di bawah RM70.

Kini Lawa-Lawa sudah pun menambahkan koleksi bajunya untuk wanita yang berbadan besar kerana mendapat permintaan ramai. Turut disediakan ialah sudut untuk baju muslimah.

Selain pakaian, dia turut melengkapkan butiknya dengan koleksi aksesori, beg kain dan sebagainya.

Beliau turut membantu rakan-rakan niaga dengan meletakkan produk mereka seperti tudung, selendang, lukisan dan baju muslimah.

Jika anda ingin melihat koleksi terbaru Lawa-Lawa boleh layari facebook www.facebook.com/lawalawalah
 
 

Recent Posts