Memaparkan catatan dengan label Bisnes. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bisnes. Papar semua catatan

Rabu, April 03, 2013

Beli barang runcit secara online di tesco.com.my

Selepas penat sehari­an di tempat kerja, beratur panjang di pasar raya semata-mata untuk membeli sekilo bawang pasti mengecewakan.

Itupun jika dapat ke pasar raya sejurus meninggalkan pejabat sebelum terkandas dalam kesesakan jalan raya.

Majoriti kalangan kita gemar membeli-belah hampir setiap hari tapi apabila membabitkan barangan runcit, ramai yang lebih suka melakukannya pada hari cuti atau hujung minggu kerana suasana santai dan lebih mudah untuk memilih produk.

Tapi dengan hanya lima minit di depan komputer, kita sudah boleh membeli beras, ikan dan sayur tanpa perlu bersusah payah memandu ke kedai, berebut mendapatkan parkir dan beratur lama di kaunter pembayaran.

Dengan hanya beberapa klik di tetikus, segala barangan runcit yang diperlukan akan tiba terus di depan pintu rumah kita. Mudah, bukan?

Segalanya mungkin dengan kepesatan teknologi maklumat ketika ini. Bukan hanya baju, kasut, aksesori, buku atau barangan rumah boleh didapati dalam talian malah hampir semua keperluan runcit juga kini boleh diperoleh dengan melayari Internet.

Atas kesedaran itu, Tesco muncul selaku peneraju jualan barangan runcit dalam talian di Malaysia yang menawarkan kemudahan terbabit di laman sesawang www.tesco.com.my.

Menurut Pengarah Grocery Home Shopping, Tesco Malaysia, John Lee, sudah tiba masanya masyarakat di negara ini didedahkan dengan pembelian barangan runcit secara dalam talian susulan perkembangannya di beberapa negara Asia lain seperti Korea Selatan dan Thailand.

“Berjuta penduduk Malaysia kini menggunakan perkhidmatan belian dalam talian, justeru satu langkah tepat untuk memulakan kaedah yang sama dalam jualan barangan runcit.

“Objektif utama pembelian barangan runcit dalam talian ini adalah untuk memudahkan pembeli yang sukar ke pasar raya dan cara ini juga dapat menjimatkan masa berbanding membeli-belah secara konvensional,” katanya.

Di peringkat permulaan, Tesco menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah sehingga 20km dari Tesco Mutiara Damansara dan bakal dikembangkan lagi ke beberapa cawangan Tesco seluruh negara.

“Laman sesawang itu dibina dengan paparan ringkas bagi memudahkan pencarian produk dan menyatakan waktu penghantaran yang dikehendaki mereka. Ia intuitif dan komprehensif.

“Sepanjang tempoh percubaan baru-baru ini, kami mendapat maklum balas memberangsangkan daripada pengguna. Kini, kami dalam proses membawakan perkhidmatan ini secara menyeluruh kepada masyarakat Malaysia,” ujarnya.

Faktor segar dan berkualiti pasti menjadi isu apabila membeli barangan runcit secara dalam talian. Jelas John, daripada pemilihan produk sehinggalah ke pembungkusan dan penghantaran, ia perlu melalui proses kawalan bagi memastikan kualitinya terjamin.

Selepas pesanan dibuat, barangan akan dipilih oleh staf bertugas (personal shopper) yang kemudian akan mengasingkannya mengikut jenis.

Contohnya jika pesanan itu tertera epal, aiskrim dan Milo, tiga produk itu akan diletakkan di bahagian dingin (epal), beku (aiskrim) dan kering (Milo) sebelum dimuatkan ke dalam van penghantaran.

Apabila dibawa ke van pula, tiga produk terbabit sekali lagi diasingkan mengikut bahagian sama dingin, beku dan kering yang masing-masing mempunyai suhu tertentu.

Ruangan beku ditetapkan kepada -16∞C, dingin pula antara 5∞C hingga paling rendah 1∞C manakala kering sekitar 26∞C.

Setiap staf bertugas itu juga dilengkapi dengan latihan lengkap cara memilih produk yang berkualiti.

“Kami latih setiap ‘personal shopper’ ini memilih barangan seperti mereka memilih produk untuk diri sendiri. Jika mereka rasakan satu-satu produk itu tidak segar atau kurang kualiti, kami tidak akan menjualnya.

“Ia akan digantikan dengan produk yang hampir sama dan jika pembeli tidak bersetuju dengan pilihan itu, mereka berhak menolaknya dan hanya perlu membayar produk yang diingini.

“Selain itu, pembantu penghantaran kami juga bersedia menjawab segala persoalan mengenai produk sejurus ia tiba di rumah.

“Tugas mereka bukan semata-mata menghantar produk tapi berinteraksi dengan pembeli agar dapat membantu pembeli memahami mengenai produk pilihan mereka,” katanya.

Buat masa ini, pembayaran hanya menggunakan kad kredit dan dilakukan apabila produk tiba di rumah. Atas faktor keselamatan kepada pembantu penghantaran, wang tunai tidak diterima dan pembayaran menerusi bank dalam talian pula bakal menyusul tidak lama lagi.

- HARIAN METRO


Ahad, Mac 24, 2013

Berani Berniaga : 200,000 usahawan dijemput sertai seminar percuma Dr Azizan



Seramai 200,000 usahawan dan bakal usahawan dijangka menyertai program Klinik Usahawan Warga Industri 1Malaysia dikendalikan jurulatih kejayaan nombor satu negara, Dr Azizan Osman, bermula 23 Mac 2013.

Siri jelajah seminar anjuran Richworks Human Capital Development (M) Sdn Bhd secara percuma itu akan diadakan di 10 lokasi di seluruh negara, bermula dengan Wisma PGRM Cheras di Kuala Lumpur.

Ia diikuti Kompleks MITC Ayer Keroh, Melaka (esok), Hotel Grand Riverview, Kota Bharu (29 Mac), Bukit Gambang Resort City di Kuantan (30 Mac) sebelum ke SACC Mall, Shah Alam (31 Mac).

Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar (5 April), Sunway Carnival Convention Centre, Seberang Jaya, Pulau Pinang (6 April), Hotel Kinta Riverfront, Ipoh, Perak (7 April), Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) (13 April) dan terakhir di The Zone, Johor Bahru (14 April).

Tambah ilmu motivasi

Pengarah program yang juga EXCO Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Husin, berkata pihaknya menyasarkan pembabitan golongan muda bagi menambah ilmu motivasi perniagaan dalam usaha merebut peluang bantuan kerajaan melalui pelbagai skim disediakan.

“Kita ingin ramai jutawan Bumiputera yang menyumbang kepada transformasi negara berpendapatan tinggi melalui program yang diyakini mampu menukar corak pemikiran dan motivasi diri untuk lebih berjaya dengan bimbingan mentor,” katanya.
Sementara itu, Dr Azizan yang juga Pengasas dan Pengerusi Richworks Group of Companies yang menaungi 16 syarikat serta menerajui bidang latihan dan pembangunan manusia, berkata seminar bertujuan membangunkan bakal usahawan yang menjadi peneraju industri di dalam dan luar negara.

Kongsi pengalaman

Katanya, ia bukan sekadar seminar motivasi biasa tetapi perkongsian 13 tahun pengalamannya dalam bidang perniagaan untuk mencungkil dan mengembangkan potensi peserta menerusi perkongsian formula perniagaan, termasuk strategi lautan biru yang membezakan sesuatu syarikat dengan pesaing di pasaran.

Mereka yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi talian 019-2442244, 013-2442244 dan 019-2442400 atau layari laman web www.beraniberniaga.com.



Isnin, Mac 11, 2013

Tips Memborong Barangan Luar Negeri





  • Sekiranya anda serius mahu memborong barang, elok juga memperuntukkan kunju­ngan anda khas bagi tujuan itu saja. Ini dapat me­ngelakkan anda daripada rasa kecewa sekiranya tidak dapat berjalan-jalan dan berseronok seperti orang lain yang bercuti.

    Contohnya anda mahu memborong bara­ngan di China. Kenal pasti barang bersesuaian untuk diniagakan di persekitaran anda atau senang mendapat perhatian pelanggan. Begitu juga proses membawanya pulang. Fikirkan mengenai bayaran cukai dan sekatan lain yang dikenakan pihak negara terbabit dan negara kita sendiri.

    Tentu merugikan sekiranya barangan yang anda beli itu rupa-rupanya tidak dibenarkan dijual di negara kita kerana melanggar peraturan jualan.

  • Pakaian, beg, jam tangan, hiasan rumah, cadar, sutera, pinggan mangkuk dan gajet antara yang paling disukai oleh peniaga dari Malaysia. Ada yang terus membeli walaupun baru pertama kali berkunjung, tanpa menyelidik terlebih dulu.

    Sering terjadi, apabila sampai di Malaysia mereka menyedari kualiti barangan itu yang mengecewakan.

  • Untuk menyelidik, ia bukanlah boleh dilihat pada sekali dua kunjungan tetapi perlu beberapa kali untuk melihat corak permintaan dan pembekalan. Di China, Vietnam dan Indonesia, jangan terkejut apabila kedai yang anda temui pada kunjungan sebulan lalu sudah tiada lagi di tempat yang sama. Begitu juga corak jualannya yang mengikut musim.

    Pada musim panas dan sejuk, corak jualannya sangat berbeza. Kasut dan baju yang ada pada musim sejuk tidak akan anda temui pada musim panas.

  • Anda perlu sangat berhati-hati memilih gajet sebagai produk jualan kerana di China, jualan barangan ini sangat pantas diganti de­ngan teknologi terkini. Produk yang anda jual empat bulan lalu mungkin sudah tiada lagi stok hari ini.

    Ini bermakna anda tidak boleh sewenang-wenangnya berjanji dengan pelanggan mendapatkan barangan yang sama selagi belum melihat barangnya di hadapan mata.

  • Ada yang serius mahu mengenal pasti barang yang sesuai dijadikan jualan, mereka tinggal lama di sesuatu negara sehingga beberapa minggu. Keadaan ini membolehkan mereka meninjau barangan dan berkenalan dengan pembekal yang memberi tawaran harga terbaik.

  • Harga borong dan harga seunit. Di Vietnam contohnya, apabila kita bertanya sesuatu harga, mereka terus membalas dengan ‘How many? (Berapa banyak?)’. Ini kerana mereka suka kita membeli dalam kuantiti yang banyak.

    Namun sebenarnya, ada penjual yang sebenarnya memperdayakan kita de­ngan memberikan harga yang hampir sama walaupun kita membeli sebuah atau memborong banyak barangan mereka. Justeru, pastikan sekiranya anda membeli jumlah yang banyak, harganya mesti jauh lebih murah daripada harga satu barang.

  • Beli barang seawal yang boleh. Jangan membeli barang pada hari terakhir anda mahu pulang. Katakan kunjungan anda selama lima hari jadi anda boleh mula mencari barang dan membeli pada hari pertama dan kedua lagi. Hari seterusnya boleh digunakan untuk memeriksa barang itu sama ada ia masih berfungsi atau tidak.

    Misalnya, zip beg elok atau tidak, gajet elektronik berkeadaan baik atau sebaliknya. Gunakan masa ini untuk memastikan peralatan elektronik itu berfungsi seperti yang dikatakan termasuk ketahanan bateri dan ciri-ciri lain. Anda ada tiga hari lagi untuk menukarnya jika ia rosak. Pastikan semua resit masih berada di tangan anda.

  • Membeli barang juga harus berhati-hati dan tidak mempercayai mereka 100 peratus dalam proses pembungkusan. Anda perlu memeriksanya satu persatu bagi memastikan apa yang diminta betul-betul sama dan di dalam setiap kotak mempunyai barang.

  • Cukai dan pemeriksaan kastam. Sekira­nya anda berhajat membawa pulang barang yang dibeli bersama penerbangan pulang, harus diingat, bayaran bagasinya agak mahal. Adakah ia berbaloi?

    Sekiranya ia didaftar masuk ke bagasi, ia akan diperiksa oleh pihak kastam di negara kita. Ada juga yang membawa barangan itu sebagai beg yang dibawa sendiri contohnya gajet yang kecil. Justeru, anda harus bersedia apabila pihak kastam memeriksa setiap barangan dengan terperinci.

    Apa saja yang mempunyai bateri dalam kuantiti yang banyak tidak boleh dibawa menaiki pesawat kerana dianggap bahaya.

  • Membawa barang gajet pulang melalui kargo laut mungkin lebih murah tetapi jumlah barang yang hendak dibawa harus banyak dan jangka masa ia tiba di Malaysia pula sehingga tiga minggu.

  • Bahasa. Ada masa elok menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan perbincangan dan tawar menawar. Ada ketikanya, bahasa isyarat sudah mencukupi. Ada negara yang membuatkan kita sangat sukar berkomunikasi dengan mereka kerana bahasa Inggeris bukan digunakan dengan meluas di sana contohnya di China. Tidak mengapa, anda masih boleh tawar menawar menggunakan mesin mengira atau menulis di kertas.

  • Lebih selamat membeli barangan yang sudah sedia ditempah awal oleh pelanggan anda. Contohnya sekiranya mereka mahu beg yang sudah biasa anda beli, ambil wang pendahuluan terlebih dulu supaya mereka tidak berubah fikiran dan anda tidak berputih mata.

    Sekiranya mempunyai pelanggan yang tetap dan sudah menempah, contohnya telekung Vietnam atau Bandung, ia lebih selamat. Ini supaya anda tidak membazir wang membeli barangan berlebihan yang belum tentu dibeli ataupun tidak.

  • Bagi mereka yang sudah biasa pergi bersendirian dalam membeli barangan, mungkin sudah tahu selok-belok pembelian dan lokasinya.

    Bagi mereka mengikut ejen pelancongan pula, pastikan dia mengetahui tujuan anda ke situ dan membawa anda ke kedai yang sesuai saja untuk memborong dan mendapat harga murah.

    Sekiranya dia membawa juga anda ke kedai berjenama yang harganya lebih mahal dari negara kita walaupun sudah diberitahu anda mahu memborong, segera membuat penukaran supaya kunjungan perniagaan anda itu tidak sia-sia dan merugikan wang.

  • - HARIAN METRO


    Rabu, Februari 20, 2013

    Buku : Panduan Bisnes Mudah.my


    Buku : Panduan Bisnes Mudah.my

    Penulis : Umar Taib
    ISBN-13: 978-967-0185-45-3
    Tarikh Terbit: 8 Feb 2013
    Jumlah Muka Surat : 120

    Kategori: Komputer & Internet Umum

    Penerbit: PTS Netmedia Sdn Bhd

    Buku ini ditulis dengan penyampaian yang ringkas, padat, dan disertakan skrinsyot sebagai contoh. Semoga dengan penyampaian begini, mudah untuk pembaca mengikuti perkongsian yang ingin disampaikan. Tidak kira sama ada kita mahu berbisnes dengan Mudah.my secara sepenuh masa ataupun separuh masa, buku ini boleh dijadikan rujukan.


    KANDUNGAN

    Bab 1: Rahsia Bisnes dengan Mudah.my

    Bab 2: Kelebihan Berbisnes dengan Mudah.my

    Bab 3: Pro Niaga

    Bab 4: Daftar Akaun Pro Niaga

    Bab 5: Premium Services 

    Bab 6: Memasukkan Iklan

    Bab 7: Tajuk dan Kandungan Iklan Berkesan

    Bab 8: Menguruskan Iklan

    Bab 9: Terma dan Syarat

    Bab 10: Satu Produk ataupun Servis untuk Satu Kedai PRO Niaga

    Bab 11: Logo di PRO Niaga

    Bab 12: Gambar yang Menjual

    Bab 13: Membawa Pelawat ke Iklan

    Bab 14: Tip Memilih Produk dan Servis 

    Bab 15: Untung Lebih

    Bab 16: Khidmat Pelanggan

    Bab 17: Transaksi Bayaran Popular

    Biodata Penulis

    Bonus Percuma

    Buku ini boleh dibeli secara on-line di: http://www.bookcafe.com.my/en/gadget-perisian-and-komputer/panduan-bisnes-mudah.my-en.html


     

     

    Rabu, Januari 30, 2013

    Hanya 25% rakyat beli produk baru lancar - Kajian

    Hanya suku atau 25 peratus dari pengguna dalam talian di Malaysia menganggap diri mereka sebagai pembeli peringkat awal bagi sesuatu produk inovasi terbaharu, menurut kajian Nielsen.

    Daripada jumlah itu, lima peratus daripadanya bersetuju sepenuhnya bahawa mereka menyokong kuat inovasi terbaharu.

    Menurut kenyataan Nielson, peratusan itu adalah lebih rendah berbanding peratusan di rantau Asia Pasifik dan purata di peringkat antarabangsa iaitu masing-masing 38 dan 34 peratus.

    Kajian Nielsen Global Survey of New Product Purchase Sentiment melibatkan 29,000 responden internet daripada 51 negara telah menunjukkan bahawa 'konsep yang terbukti' (proof of concept) memberi pengaruh besar dalam membeli inovasi baharu.

    Hampir 65 peratus responden di negara ini menyatakan bahawa mereka akan menunggu sehingga inovasi baharu itu terbukti bagus sebelum membelinya.

    Bagi keutamaan jenama pula, 65 peratus pengguna negara ini memilih untuk membeli produk baharu yang dikeluarkan oleh jenama yang sudah dikenali iaitu lebih tinggi berbanding jumlah purata bagi Asia Pasifik dengan 55 peratus.

    Pengarah Urusan Nielsen Malaysia, Richard Hall berkata, walaupun pengguna gemar melihat produk baharu, tetapi untuk menjadi pembeli pertama, pengguna akan memikirkan mengenai apa yang akan terjadi kepada produk berkenaan selepas dibeli.

    Katanya, perkara tersebut termasuk penjagaan selepas membelinya bagi jangka masa pendek dan pertengahan.

    "Walaupun kepercayaan terhadap jenama yang sudah terkenal dan dipercayai membantu menarik perhatian bila produk baharu dilancarkan, namun budaya 'tunggu dan lihat' rakyat Malaysia sudah menjadi norma dalam membuat pembelian.

    "Apa yang penting, harga untuk persamaan nilai kekal menjadi faktor utama dalam kejayaan sesuatu produk, begitu juga pengalaman peribadi yang positif dan juga pengesahan secara lisan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Berbanding 64 peratus di Asia Pasifik, 49 peratus pengguna Malaysia didapati akan memberitahu orang lain mengenai produk yang mereka beli.

    Menurut kajian itu juga, pengiklanan secara tradisional dan komunikasi secara lisan adalah cara pemujukkan yang paling berkesan untuk memperkenalkan produk baharu di Malaysia.

    Katanya, 69 peratus pengguna akan yang mendapat sampel percuma adalah lebih tertarik untuk membeli produk baharu itu.

    Teknik yang sama juga diikuti dengan mendengar nasihat dari keluarga dan rakan dengan 69 peratus dan nasihat pakar (67 peratus).

    Selain itu, kesedaran meyakinkan mengenai produk juga diperolehi dengan melihat produk di kedai dengan 67 peratus, iklan televisyen (56 peratus) dan internet (56 peratus).

    - UTUSAN

    Selasa, Januari 29, 2013

    Skim biaya mikro penjaja kini dibuka

    Kira-kira 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara kini boleh memohon Skim Pembiayaan Mikro Untuk Penjaja dan Peniaga Kecil yang disalur melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.
      
    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata skim itu yang dikendalikan Bank Rakyat, menyediakan pembiayaan dari RM1,000 hingga RM50,000 bagi tujuan modal kerja atau modal pusingan serta pembelian peralatan.
      
    "Skim ini memberi keutamaan kepada peserta yang menjalankan perniagaan Menu Rakyat 1Malaysia di mana permohonan mereka akan didahului berbanding mereka yang menjalankan perniagaan lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penjaja 1Malaysia di Temerloh.
      
    Katanya bagi yang berminat, mereka boleh mengisi borang yang disediakan di semua cawangan Bank Rakyat dan dilampir salinan kad pengenalan serta salinan pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
      
    "Bagi permohonan yang lengkap, proses kelulusan akan mengambil masa antara lima hingga 10 hari sahaja," katanya menambah kerajaan memperuntukkan RM50 juta menerusi skim itu.

    Ismail Sabri berkata antara syarat permohonan skim itu ialah warganegara Malaysia, berumur 18 hingga 60 tahun, berdaftar dengan SSM di Semenanjung dan pihak berkuasa tempatan bagi Sabah dan Sarawak serta berniaga sepenuh masa.
      
    Antara keistimewaan skim itu ialah penerima tidak dikenakan faedah atau memerlukan cagaran, dikecualikan daripada semakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dan Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) serta tempoh bayaran balik antara lima dan sembilan tahun.
      
    Sementara itu, pada majlis penutup Karnival Hospitaliti Kepenggunaan di Kampung Paya Serai, Bera dekat sini, Ismail Sabri menasihati orang ramai supaya menyemak kesahihan skimm pelaburan dengan SSM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
      
    Katanya orang ramai boleh mendapatkan maklumat lengkap termasuk senarai syarikat yang menawarkan Skim Berkepentingan Khas (SIS)) dengan melayari laman web SSM di : www.ssm.com.my.
      
    "Penduduk luar bandar terutamanya perlu berbuat demikian kerana mereka adalah kumpulan sasar syarikat sedemikian dengan menawarkan pulangan pendapatan lumayan dalam masa singkat.
      
    "Setakat ini, hanya 188 syarikat yang mendapat kelulusan SSM untuk menawarkan pelaburan dalam projek yang mereka laksanakan menerusi SIS," katanya.
      
    Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai yang sudah melabur dalam syarikat yang tidak disenaraikan dalam laman web SSM menarik menarik balik pelaburan mereka dan melaporkannya kepada suruhanjaya berkenaan. 

    - BERNAMA

    Rabu, Januari 23, 2013

    PUNB sedia RM195 juta kepada usahawan peruncitan

    Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyasarkan meluluskan pembiayaan berjumlah RM195 juta tahun ini.

    Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu dapat membiayai lebih 620 usahawan menerusi empat skim, iaitu Skim PROSPER Runcit, Skim PROSPER Borong, Skim Usahawan Kecil dan Sederhana dan Skim PROSPER Usahawan Muda (PUMA) dengan tawaran pembiayaan antara RM5,000 hingga RM5 juta.

    Tahun lalu, PUNB meluluskan pinjaman bernilai RM166.78 juta kepada 539 orang usahawan, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Cabaran Pelan Perniagaan PUNB 2012 di Kuala Lumpur, semalam.

    Utama golongan muda

    Khairy berkata, perhatian akan diberikan kepada golongan muda khususnya dalam skim PUMA untuk memupuk budaya keusahawanan di kalangan generasi berkenaan.

    “Kami akan bekerjasama dengan institut pengajian tinggi dan kelab usahawan untuk mendedahkan pelajar dengan bidang keusahawanan sebagai kerjaya yang lebih menarik,” katanya.

    Beliau berkata, masalah persepsi seperti syarat permohonan yang terlalu sukar juga akan diberikan perhatian oleh PUNB.

    “Ramai usahawan yang fikir susah untuk mendapatkan pembiayaan sedangkan kami tidak seperti bank yang memerlukan cagaran untuk sesuatu pembiayaan.

    “Malah, untuk skim PUMA tidak perlu pun sediakan rekod prestasi syarikat,” katanya.

    Tak pasif

    Untuk itu, Khairy berkata PUNB tidak mengambil pendekatan pasif dengan menunggu permohonan pembiayaan tetapi sentiasa proaktif mencari usahawan yang layak untuk mendapatkannya.

    Sementara itu, Ketua Eksekutif PUNB, Dzulkifli Fadzilah berkata, Cabaran Pelan Perniagaan PUNB 2012 telah berjaya merekodkan penyertaan 299 rancangan perniagaan dari kategori pelajar dan awam.

    Daripada jumlah itu, 10 kumpulan telah di senarai pendek dan menerima hadiah wang tunai berbentuk geran perniagaan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM170,000.

    Untuk maklumat lanjut lihat laman web PUNB : http://www.punb.com.my atau mengunjungi mana-mana cawangan PUNB.

    - BERNAMA

    Isnin, Januari 21, 2013

    Bisnes Import dari China menguntungkan



    Pada masa ini negara China digelar sebagai kilang dunia kerana banyak barangan yang dihasilkan di negara mereka telah dieksport dengan kuantiti yang banyak kepada hampir kesemua negara di seluruh dunia termasuklah Malaysia.

    China adalah lubuk kepada sesiapa sahaja yang mengetahui potensinya. Tak percaya? Check tetikus anda yang anda gunakan sekarang Made in apa?

    Negara-negara lain seperti Amerika Syarikat juga turut mendapatkan bekalan daripada negara China disebabkan kos per kuantiti barang yang rendah berbanding kos per kuantiti barang yang sama yang dihasilkan di negara selain negara China.

    Oleh itu, sebagai seorang yang bijak mengambil peluang, anda sepatutnya mula mencari jalan untuk mendapatkan bekalan barangan untuk dijual daripada negara China.

    Dengan berbuat demikian, anda akan dapat menjana lebih banyak keuntungan disebabkan kos bekalan anda yang lebih rendah. Anda juga boleh mengimport pelbagai barangan yang murah dan berkualiti dan dijual pada harga tip top di Malaysia.

    Pada masa ini, pakej ebook Bisnes Import dari China ini mampu memberikan maklumat dan gambaran sebenar mengenai cara untuk mengimport barangan dari negara China. Oleh itu, sekiranya anda tidak mahu ketinggalan, dapatkan ebook Bisnes Import dari China ini http://bisnesimportchina.com/hop.php?ref=my