Memaparkan catatan dengan label Automotif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Automotif. Papar semua catatan

Rabu, September 16, 2020

Tempahan Proton X50 dibuka

 

PROTON Holdings Bhd (PROTON) akhirnya memperkenalkan secara rasmi model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharunya, PROTON X50 kepada media hari ini.

Ia sekali gus mengakhiri penantian rakyat Malaysia untuk melihat dengan lebih dekat SUV kedua PROTON itu yang mana ia akan dipamerkan di bilik pameran terpilih bermula Sabtu ini.

Pelanggan yang berminat boleh segera membuat tempahan dengan bayaran tempahan hanya RM500 bermula esok di mana-mana cawangan pengedar PROTON di seluruh negara.

PROTON X50 dipercayai mampu memberikan saingan sengit kepada SUV lain dalam kategori segmen B terutamanya tawaran harga jualan yang dijangkakan amat kompetitif.

Biarpun harga rasminya masih belum didedahkan kepada umum, namun telah tular dimedia sosial bahawa SUV itu mungkin ditawarkan pada harga bermula kurang daripada RM80,000.

Proton X50 didatangkan dengan empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship dan mempunyai enam warna pilihan iaitu snow white, armour silver, jet grey, ocean blue, passion red dan citric orange.

Bagi tiga varian pertama,setiap model dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo manakala varian flagship dikuasakan enjin 1.5 liter TGDI dan digandingkan bersama transmisi 7-kelajuan DCT.

Bagi ciri keselamatan, ia dilengkapi sehingga enam beg udara, kamera undur, kamera 360 darjah untuk varian premium dan flagship serta advanced driver assistance system yang ditawarkan untuk varian flagship sahaja.

Model berkenaan juga didatangkan dengan paparan skrin sentuh bersaiz antara lapan hingga 10.25 inci mengikut varian dan boleh dihubungkan dengan internet menggunakan eSim.

Antara ciri baharu menarik lain yang ditawarkan ialah pengguna boleh menghidupkan enjin dan penyaman udara di telefon pintar mereka menggunakan aplikasi PROTON Link.

Sumber : Berita Harian

Ahad, Ogos 25, 2013

Perodua Keluar Model Baru Berharga Rendah Tahun Depan

RAWANG: Perodua akan mengeluar model baharu pada harga paling rendah dalam pasaran tempatan tahun depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata pengeluaran model baharu itu kelak akan membolehkan pengguna memiliki kereta mampu milik canggih serta dilengkapi ciri keselamatan yang diperkukuh.

Najib berkata Perodua telah membuat pelaburan mencecah RM1.3 bilion untuk kilang baharunya yang bakal siap Oktober tahun depan, dengan tahap kecanggihan yang tinggi, sekali gus dapat mengeluarkan model baharu yang lebih kompetitif.

"Saya harap melalui kilang ini, Perodua dapat mengeksport lebih banyak lagi unitnya, terutama ke negara jiran. "Perodua kini mengeksport 10,000 unit setahun, dan saya harap jumlah ini dapat ditingkatkan lagi, katanya ketika berucap pada majlis sambutan Gala Raya Perodua sempena ulang tahun ke-20, di sini Sabtu.

Najib berkata strategi Perodua selanjutnya ialah mengekalkan kelebihan pasarannya iaitu mengeluarkan kereta kompak berkualiti serta mencari jalan untuk meningkatkan kualiti dan mengurangkan kos pembinaan kereta.

Pada masa ini, ekosistem Perodua yang terdiri daripada vendor-vendor dan rangkaian pengedar di seluruh negara, melebihi 130,000, katanya.

"Dengan mengambil kira ekosistem yang besar ini, sudah tentu kejayaan Perodua akan memberi kesan kepada bukan sahaja 130,000 rakyat Malaysia terbabit, malah pengguna di negara kita akan mendapat kesan menerusi kejayaan Perodua," kata Najib.

Perdana Menteri turut menggesa syarikat-syarikat kereta supaya mengkaji kos struktur dan model perniagaan mereka supaya lebih efisien, memandangkan keadaan pasaran kini semakin kompetitif selain pelaksanaan dasar liberalisasi di Asean dan global.

Beliau berkata kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menggalakkan syarikat pengeluar kereta supaya secara sukarela mengurangkan secara beransur-ansur kos kereta yang dijual.

"Langkah seperti ini sangat tepat sekali, kita boleh tawar harga kereta yang begitu kompetitif kepada rakyat Malaysia, malah pengurangannya dapat kita berikan kepada rakyat," katanya.

Pada majlis yang dihadiri 20,000 orang itu, Najib turut melancarkan buku khas "Coffee Table Book" yang mencatatkan perjalanan Perodua sejak 20 tahun lepas dan harapan syarikat itu untuk masa hadapan.

- BERNAMA


Ahad, Ogos 18, 2013

Proton Suprima S dilancar



KUALA LUMPUR 17 Ogos - Proton Suprima S, model kereta terbaharu yang dilancarkan pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton) dilihat sebagai kereta keluaran negara terbaik yang bertaraf dunia pada harga mampu milik.

Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, model 'hatchback' terbaharu itu yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk dari segi keselamatan terkini dilihat mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk memiliki Proton Suprima S.

Malah beliau memberitahu, model kereta itu yang akan dieksport dalam tempoh terdekat dilihat mampu menembusi pasaran antarabangsa dan seterusnya dapat melonjakkan syarikat automotif negara itu ke satu tahap baharu.

"Model terbaharu ini memenuhi cita rasa pelanggan tempatan dan global yang seterusnya akan menjadikan Proton sebagai pengeluar kereta berkualiti antarabangsa pada harga berpatutan.

"Saya juga berharap orang ramai akan terus menyokong kereta keluaran Proton dengan membeli model Suprima S ini yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini pada harga mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan model kereta terbaharu keluaran Proton, Suprima S 'hatchback' di dewan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton, Hisham Othman.

Harga jualan atas jalan bagi varian Suprima S Eksekutif diumumkan RM76,338 seunit manakala varian Premium pula pada harga RM79,638 seunit.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir melahirkan melahirkan rasa bangga dengan kelengkapan canggih serta kejuruteraan Suprima S yang semakin menunjukkan peningkatan ketara.

Kata beliau, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh pakar-pakar dalam kalangan anak tempatan itu menjadikan model Suprima S itu sebagai kereta terbaik keluaran Proton yang dapat memenuhi kehendak pasaran termasuk antarabangsa.

"Saya harap persepsi Proton merupakan pengeluar kereta murah dengan berkualiti rendah dapat ditamatkan kerana syarikat ini telah berjaya mengeluarkan kereta setanding dengan pengeluar kereta berjenama terkenal lain," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Khamil pula memberitahu, model Suprima S itu akan mula dieksport dalam tempoh terdekat bermula di ASEAN dan seterusnya ke negara lain seperti Australia.

Menurutnya, Proton telah memberi perhatian dalam meningkatkan semua aspek Suprima S khususnya ciri-ciri keselamatan.

"Proton Suprima S ini merupakan model yang didatangkan dengan standard keselamatan terbaik termasuk Australian New Car Assesment Program (ANCAP).

"Ini adalah masa depan kita membayangkan untuk semua produk dan perkhidmatan kami serta tanda aras kepada standard kualiti yang ingin diberikan kepada pelanggan," katanya.

Proton Suprima S 'hatchback' serba lengkap, penuhi kehendak pengguna

Proton Suprima S berenjin 1.6 liter berharga antara RM76,338 seunit hingga RM79,638 seunit.

Nama Suprima yang dipinjam daripada kata asal Inggeris supreme yang membawa maksud tertinggi dilihat sesuai kerana model itu memiliki semua kehendak serta keperluan semasa lebih moden sekarang.

Kereta terbaharu ini merupakan model dilengkapkan dengan produk terkini yang tidak pernah dimiliki model Proton terdahulu seperti lampu siang (DRL), Android-based Operating System, lampu LED di belakang dan Hill-hold Assist serta Park Assist bagi varian premium.

Proton Suprima S merupakan sebuah model lima pintu yang dinamik serta memiliki reka bentuk luaran dan dalaman yang sporty lagi premium dengan prestasi enjin yang unggul.

Kereta model tersebut menggunakan enjin 1.6 liter dengan ProTonic Continuous Variable Transmission (CVT), tujuh kelajuan automatik yang menawarkan kuasa maksimum 140 PS pada 5,000 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 205 Newton meter (Nm) pada 2,000 hingga 4,000 rpm, berkuasa sama seperti enjin 2.0 liter lain.

Malah, Suprima S juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan terbaik dengan enam beg udara, tingkap kuasa anti-perangkap, Sistem Anti Kekunci Membrek (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta bagi model premium disertakan Park Assist dan kamera undur.

Selain itu, Proton turut menawarkan program lima bintang kepada pembeli Suprima iaitu jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer dan bantuan jalan raya secara percuma selama lima tahun.

Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, model itu terhasil daripada pelbagai kajian dari dalam dan luar negara bagi memastikan Suprima S dapat memberi kepuasan kepada pelanggan.

"Sekali lagi, Proton telah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia kami komited untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menghasilkan pelbagai produk yang seronok di pandu lagi selamat," katanya.

- UTUSAN

 

Isnin, Julai 01, 2013

MODENAS lancar model 118EFI motor enjin 120cc


Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyasar purata jualan keseluruhan bagi motosikal keluarannya yang terkini, MODENAS 118EFI sehingga 7,000 unit setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Halim Ismail, berkata sasaran berkenaan membolehkan MODENAS memperbaiki penguasaan pasaran motosikal di negara ini sebanyak 15 peratus pada akhir tahun ini.
Memiliki motosikal adalah satu pelaburan yang penting untuk kegunaan seharian dan MODENAS memang berhasrat untuk menjadi peneraju dalam menyediakan produk yang dijamin berkualiti.


Model motosikal baru ini dilengkapi dengan tayar tanpa tiub, brek cakera hadapan dwipiston untuk kuasa brek yang lebih cekap dan tangki minyak berukuran 4.3 liter yang mampu mencatat perjalanan sehingga 250 kilometer, katanya dalam satu kenyataan di Georgetown.

Kenyataan Abdul Halim itu dikeluarkan sempena pelancaran MODENAS 118EFI, yang disempurnakan Pengarah Urusan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil pada DRB-Hicom Autofest 2013 di Pusat Arena Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) semalam.

Ciri istimewa

Abdul Halim berkata, MODENAS 118EFI dijual pada harga RM4,755 seunit tidak termasuk insurans serta cukai jalan dan dikuasakan dengan enjin 120cc teknologi Kawasaki serta dilengkapi sistem pancutan bahan api yang dibekalkan firma automotif antarabangsa, Synerject.
Katanya, model baru itu mempunyai ciri istimewa seperti transmisi empat kelajuan dengan sistem gear berputar dan didatangkan dengan dua warna iaitu hijau alam dan biru semesta, menepati cita rasa semua golongan pengguna.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, bersempena dengan pelancaran model baru itu, MODENAS melanjutkan jaminan untuk motosikal itu kepada dua tahun atau 25,000 kilometer membabitkan beberapa variasi model berkenaan.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, DRB-Hicom Autofest 2013 adalah acara kedua tahun ini yang bertujuan meningkatkan imej kumpulan itu sebagai peneraju automotif menerusi jenama yang pelbagai dan disegani di negara ini.

Katanya, acara itu disambut selama tiga hari, bermula Jumaat lalu dan menarik lebih 15,000 pelawat, dengan tawaran dan promosi yang menarik terhadap kenderaan, pacuan empat roda dan motosikal serta cabutan bertuah.

- BERITA HARIAN

Khamis, Jun 27, 2013

Proton adakan peraduan namakan model kereta terbaru

PROTON Holdings Bhd akan melancarkan kenderaan jenis kompak serba baru, yang juga kereta mampu milik tanpa kompromi dari segi kualiti, pada awal tahun depan.

Pengenalan model itu disasarkan kepada semua lapisan masyarakat yang gemarkan gaya hidup aktif dengan peningkatan dari aspek pemanduan serta ciri keselamatan.

Model dari jenis kompak ini, hasil usaha bahagian penyelidikan dan pembangunan PROTON selama kira-kira tiga tahun lalu, kata Mohd Khamil Jamil, Pengerusi Eksekutif PROTON

Pengerusi Eksekutif PROTON, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, berkata model kompak itu menjadi titik permulaan kepada pelancaran beberapa lagi barisan model baru lain di bawah jenama Proton.

Ia katanya, bakal membantu meningkatkan semula prestasi pengeluar kereta nasional itu untuk merampas kembali kedudukan sebagai peneraju pasaran kenderaan tempatan daripada Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), menjelang 2015.

“Kini, syarikat sedang dalam proses untuk melancarkan sebuah model serba baru dalam pasaran awal tahun depan.

“Model dari jenis kompak ini, iaitu hasil usaha bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) PROTON selama kira-kira tiga tahun lalu, akan menjadi titik permulaan kepada pengenalan beberapa lagi model baru lain di masa depan.
“Kami yakin bersandarkan kepada kerja keras warga kerja serta peningkatan kembali sokongan rakyat Malaysia khususnya bagi model Saga SV, PROTON mampu merampas kembali kedudukan peneraju pasaran kenderaan tempatan dalam tempoh dua tahun lagi,” katanya kepada media selepas melancarkan peraduan ‘Nama Siapa Hebat’ di Shah Alam, semalam.

Semua kategori

Mohd Khamil berkata, pengenalan beberapa lagi model baru PROTON nanti akan mewakili semua kategori kenderaan, bermula dari segmen A,B,C dan D.

Segmen A mewakili kenderaan jenis kompak; segmen B adalah kereta sedan bersaiz kecil (seperti Proton Saga); segmen C adalah jenis sedan yang sederhana besar, iaitu sesuai untuk yang berkeluarga seperti Persona dan Waja; manakala segmen D merujuk kepada kereta jenis sedan mewah.

Terdahulu, Mohd Khamil berkata, peraduan ‘Nama Siapa Hebat’ diperkenalkan bagi memberi peluang kepada semua warga negara yang berumur 12 tahun ke atas untuk menamakan kereta kompak baru yang bakal diperkenalkan PROTON awal tahun depan.

“Kami adalah syarikat automotif negara. Justeru kami ingin berkongsi hak ‘sebagai syarikat automotif negara’ ini bersama seluruh rakyat Malaysia. Adalah menjadi kebanggaan kami untuk membabitkan semua lapisan rakyat dalam menamakan kereta PROTON yang baru ini,” katanya sambil menambah model kompak serba baru itu bakal dikeluarkan di kilangnya di Tanjung Malim, Perak.

Pemenang utama peraduan yang bermula semalam dan berakhir pada 25 Julai itu akan memenangi versi premium model kompak berkenaan, manakala hadiah menarik lain termasuk pakej percutian, hadiah wang tunai dan alat elektrik bernilai lebih daripada RM120,000.

Orang ramai yang berminat menyertai peraduan tersebut boleh melayari laman sesawang namasiapahebat.proton.com

- BERITA HARIAN



Recent Posts