Memaparkan catatan dengan label Automotif. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Automotif. Papar semua catatan

Khamis, April 05, 2012

PREVE model terbaharu Proton


Proton Holdings Bhd memilih "PREVE" sebagai nama model kereta terbaharunya, bagi menarik perhatian pasaran tempatan dan global.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata nama baharu model itu, yang sebelum ini dikenali dengan nama kod P3-21A, bermaksud bukti, atau telah terbukti, kepada dunia bahawa Proton mampu mengeluar kereta yang memenuhi spesifikasi ketat global.

"Kami mahu menjadi pembuat kereta global dengan penampilan global, pemikiran global dan yang nyata memerlukan nama yang menunjukkan tahap syarikat itu hari ini dan ke mana arah tujunya di peringkat dunia.

"Oleh itu, kami memilih nama PREVE, yang juga untuk mengetengahkan syarikat itu setelah 27 tahun berada dalam industri automotif," katanya pada sidang media di Putrajaya.

Media juga diberikan peluang untuk menguji pandu keerta baharu itu sejauh 156 kilometer.

Syed Zainal Abidin berkata PREVE mampu menjana margin keuntungan yang lebih tingi dengan julat harga antara RM62,000-RM75,000, bergantung kepada versi.

Beliau berkata PREVE dijadual dilancarkan bulan ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Proton memberi keutamaan kepada gaya kereta bagi menarik pengguna global manakala model-model sebelumnya, lebih disesuaikan untuk persekitaran domestik.

Syed Zainal juga yakin kereta baharu global itu mampu mencatat jualan bulanan sebanyak antara 4,000 dan 4,500 unit.

Beliau juga yakin PREVE akan terbukti menarik pembeli luar negara, dan untuk itu Proton sedang menguji kereta itu untuk jualan di Asia Tenggara, Australia dan Timur Tengah.

Proton memberi perhatian terhadap ciri-ciri keselamatan, termasuk mengukuhkan badan kereta, kelajuan dan penggunaan minyak, aksesori, selain sistem pengendalian, dalam membangunkan kereta global.

- BERNAMA



Rabu, April 04, 2012

Sistem Tukar Hak Milik Sementara kereta dilancar

Sistem Tukar Hak Milik Sementara untuk membolehkan pemilik kereta menukar hak milik sementara kepada pengedar kereta terpakai bagi memudahkan penjualan kereta terpakai, dilancarkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, semalam. “Penukaran hak milik kereta sementara hanya sah bagi tempoh maksimum enam bulan. Jika dalam tempoh itu, kenderaan itu tidak dijual, dengan itu syarikat kereta terpakai akan diberikan hak milik kekal kenderaan itu dan tempoh sementara itu secara automatik terbatal,” katanya selepas majlis pelancaran sistem itu.

Beliau berkata, sistem itu menyediakan transaksi lebih selamat antara pemilik kereta dan pengedar kereta terpakai, dengan pemilik kereta terdahulu bebas daripada sebarang isu berkaitan kereta itu ketika fasa transaksi sebelum kereta itu dijual kepada pemilik baru.

“Dengan penukaran hak milik sementara, pengedar kereta terpakai akan bertanggungjawab atas segala kemalangan, saman, aduan dan sebagainya.

“Kita harap pengguna iaitu penjual faham bahawa mereka akan mendapat satu slip yang membuktikan yang kereta itu telahpun dijual (dan ditukar hak milik sementara) lengkap dengan butirannya.

Cho Ha berkata, tempoh penukaran hak milik sementara itu bukan untuk membeli kereta terpakai.
Katanya, sistem itu masih belum diwajibkan kepada semua pengedar kereta terpakai, sebaliknya ia akan bertindak sebagai alternatif kepada pemilik kereta dan pengedar kereta dalam mengendalikan transaksi dengan lebih selamat.

Beliau berkata, sistem online sudah dilaksanakan sejak Januari dan dibangunkan oleh eAuto.com dan MyEG Services Bhd, dijangka kira-kira 3,000 pengedar kereta di seluruh negara berdaftar dengannya menjelang akhir tahun ini.

“Setakat ini, kira-kira 100 pengedar kereta berdaftar dan kita harap lebih ramai lagi akan berbuat demikian,” katanya.

Katanya, di bawah sistem itu, transaksi tukar hak milik kenderaan akan dikenakan caj kerajaan sebanyak RM10, dan RM15 oleh penyedia perkhidmatan dan kos itu akan ditanggung oleh syarikat kereta terpakai dan bukannya pemilik atau penjual kereta.

– BERNAMA

Jumaat, Mac 16, 2012

Proton P3-21A Kereta Global


Model baharu Proton Holdings Bhd, dengan nama kod P3-21A, merupakan kereta global dalam banyak aspek, kata Pengarah Operasi Kanannya Dr Wolfgang Karl Epple.

Epple berkata ini kerana pakar-pakar dari seluruh dunia terlibat dalam proses membangunkan dan mereka bentuk kereta berkenaan.

"Kami mempunyai proses penanda aras antarabangsa seperti simulasi. Pasukan yang membangunkan kereta itu juga antarabangsa. Kami mempunyai pakar dari Itali, Perancis, Jerman, Korea, (terlibat) dalam pembangunan kereta itu," katanya kepada pemberita pada acara Proton, "Power of 1" di Stadium Bukit Jalil, di sini Khamis.

Komponen untuk P3-21A juga datang dari pelbagai pelosok dunia termasuk Australia, Eropah, Korea dan Jepun, katanya.

"Komponen dan kelengkapan juga global. Jika anda meletakkan kelengkapan global dalam komponen, orang, proses, gaya dan pakej, anda dapat suatu yang global," kata Epple.

P3-21A dibina dengan empat teras iaitu gaya, keselamatan, prestasi dan kemudahan, katanya.

Ketua Bahagian Kejuruteraan Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd Azlan Othman berkata P3-21A merupakan hasil daripada kerjasama dengan firma berpangkalan di Itali, Italdesign Giugiaro, yang akan membawa Proton ke tahap baru dalam aspek rekabentuk.

"Ia merupakan kereta global yang akan membawa Proton ke peringkat berikutnya. Ia suatu yang menarik dan menunjukkan imej dan hala tuju korporat baru Proton. Tema P3-21A ialah reka bentuk dan kecantikan yang berkekalan, yang mampu mengatasi masa," katanya kepada pemberita di sini.

Azlan berkata Proton melihat kepada semua perspektif dalam aspek elemen kereta.

"Di bahagian hadapan, terdapat ilustrasi yang jelas dalam penampilan korporat yang baru bagi Proton. Kami panggilnya imej grafik tunggal," katanya.

Menurut Azlan, pasukan beliau mengambil masa hampir setahun di Itali untuk bekerja dengan Italdesign Giugiaro dalam usaha mewujudkan reka bentuk P3-21A.

"Kami mahu mempunyai idea baru, pandangan dan perspektif berbeza," kata beliau.

Azlan yang menyifatkan P3-21A sebagai "arca bergerak" berkata membeli kereta itu seperti membayar untuk "banyak kereta" kerana ia benar-benar sebuah kereta global.

- BERNAMA

Rabu, Februari 29, 2012

Tempahan Nombor Pendaftaran Kenderaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 'WWW' Mulai 30 April 2012

Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan "WWW" yang bermaksud "World Wide Web" boleh membuat tempahan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 30 April ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, tempahan akan dibuka selama 14 hari mulai 8 pagi hingga 12 tengah hari sehingga 14 Mei depan.

"Kita telah menerima banyak pertanyaan dan panggilan telefon tentang nombor pendaftaran "WWW'. Salah satu sebab kenapa mereka mahu sangat nombor itu kerana ia membawa maksud "World Wide Web"," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, terdapat empat kategori nombor yang boleh ditempah iaitu nombor bernilai utama, nombor menarik, nombor popular dan nombor semasa.

Katanya, nombor bernilai utama iaitu nombor satu angka 1 hingga 10 akan dibuka dengan harga jualan minimum RM10,000 manakala nombor menarik dijual dengan harga minimum RM2,000 manakala nombor popular dan nombor semasa masing-masing dibuka dengan harga minimum RM300.

Kong berkata, beliau percaya tempahan terhadap nombor pendaftaran "WWW" bukansahaja akan mendapat sambutan hangat daripada orang ramai, malah akan mencatatkan harga tempahan yang paling tinggi dalam sejarah tempahan terhadapnombor pendaftaran kenderaan di negara ini.

"Setakat ini harga nombor pendaftaran yang paling tinggi ialah pendaftaran kenderaan "MCA 1" yang dijual dengan harga RM300,100.

"Secara puratanya JPJ meperoleh pendapatan RM1.7juta setiap tahun daripada tempahan nombor kenderaan. Pada tahun lepas lebih RM1.8juta diperolehi daripada tempahan nombor kenderaan berbanding hampir RM1.6 juta dalam tahun sebelumnya" jelas beliau. Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai yang ingin membuat tempahan nombor agar mengikuti prosedur yang telah ditetapkan oleh JPJ termasuk mengisi borang dan membayar deposit yang ditetapkan.

Katanya, borang tempahan itu boleh dimuat turun dari portal JPJ di www.jpj.gov.my

- BERNAMA

Selasa, Februari 28, 2012

EON perkenal skim pajakan kenderaan

EDARAN Otomobil Nasional Bhd (EON), sebuah anak syarikat DRB-Hicom Bhd melancarkan perkhidmatan My Lease, iaitu satu skim pemajakan kenderaan komprehensif pertama di Malaysia.

Konsep itu yang popular di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), akan ditawarkan menerusi anak syarikat EON, DRB-Hicom Leasing Sdn Bhd.

Buat permulaan, My Lease akan ditawarkan kepada pengguna korporat sebelum diperluaskan kepada individu sebelum hujung tahun ini.

Skim itu akan memberikan pilihan kepada pengguna dalam pemilikan kenderaan, selain daripada skim sewa yang ditawarkan institusi kewangan ketika ini.

Ketua Pegawai Operasi EON, Azman Idris berkata, tidak seperti skim sewa beli, My Lease membolehkan pelanggan menggunakan kenderaan tanpa perlu memikirkan beberapa aspek pemilikan utamanya, iaitu servis dan penyelenggaraan serta pembaharuan insurans dan cukai jalan.

Menerusi My Lease pengguna kenderaan tidak perlu lagi bimbang memikirkan hal servis dan penyelenggaraan kereta, pembaharuan insurans, cukai jalan dan banyak lagi kerana semuanya akan ditanggung sepenuhnya oleh pemajak iaitu DRB-Hicom Leasing, sekali gus memberikan ketenangan dan kesenangan dalam menggunakan kenderaan setiap hari.

Pemajakan kenderaan ini juga menyediakan pilihan menarik kepada pengguna kerana secara amnya tanggungan bulanannya adalah lebih rendah berbanding sewa beli, katanya kepada media selepas pelancaran skim itu dan perasmian cawangan EON Chan Sow Lin yang di naik taraf kepada 4S di Kuala Lumpur, semalam.

Ia disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha. Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil; Pengerusi EON, Tan Sri Marzuki Mohd Noor; Pengerusi Institut Automotif Malaysia, Datuk Kamarudin Ismail; dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Lukman Ibrahim.

Azman berkata, bagi pelanggan korporat yang melanggan skim pemajakan, mereka antara lain akan menikmati penjimatan dari segi perbelanjaan modal yang rendah bagi pemilikan kenderaan kerana tidak perlu membuat bayaran pendahuluan yang tinggi berbanding sewa beli serta bebas dari menanggung kos penyelenggaraan.

Mereka juga tidak perlu bimbang mengenai nilai jualan semula kerana bila tamat tempoh pajakan atau bila mereka ingin menggantikan kenderaan dengan yang baru, kenderaan lama akan dikembalikan kepada DRB-HICOM Leasing, jelasnya.

Katanya, DRB-HICOM Leasing turut menyediakan pakej tambahan seperti, khidmat selepas pajakan, pusat khidmat pelanggan 24 jam, perkhidmatan tunda kenderaan di seluruh Malaysia, kemudahan pengambilan dan penghantaran kenderaan dan program penggantian kenderaan.

- BERITA HARIAN

Khamis, Februari 23, 2012

Proton dan Yes tawar akses internet 4G dalam kereta pertama Malaysia


Proton Holdings dan Yes, penyedia rangkaian 4G di bawah YTL Communications Sdn Bhd, hari ini mengumumkan kerjasama untuk menawarkan akses internet 4G dalam kereta yang pertama di Malaysia dalam kereta-kereta mewah dan sedan baru P3-21A Proton yang akan dilancarkan bulan depan.

Dalam kerjasama itu, pengguna Proton akan menikmati saling hubung 4G sebagai ciri standard tambah nilai yang baharu. Ia akan memanfaatkan rangkaian internet mudah alih 4G Yes yang pada masa ini meliputi lebih 65 peratus daripada kawasan berpenduduk negara.

Pengarah urusan kumpulan Proton, Datuk Seri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata inovasi ini, usaha pertama dalam langkah penjenamaan semula Proton, membuka kemungkinan spektrum baharu dan menawarkan para pengguna dengan kelajuan, keselesaan dan produktiviti yang lebih hebat ketika berada di jalan raya.

"Kami telah bekerjasama dengan YTL selama setahun dan menandatangani perjanjian tahun lepas. Hari ini, ia cuma satu langkah kecil. Selepas ini, kami akan bekerjasama untuk mengintegrasikan lebih banyak ciri untuk diletakkan di dalam kereta," katanya kepada pemberita selepas pelancaran majlis itu.

Beliau berkata inisiatif ini akan menjadikan jenama Proton lebih menarik dan menambah pendapatan kepada syarikat. Kos yang terlibat dalam kereta internet 4G Proton baru adalah amat minimal kepada pengguna kerana tujuan utama ialah menyediakan mereka kereta yang berkualiti dan mampu milik, kata Syed Zainal sambil menyatakan Proton telah berunding mendapatkan pakej yang baik dengan YTL.

Yes merupakan satu-satu pengendali rangkaian wayarles di Malaysia yang menawarkan saling hubung 4G tanpa sempadan sepanjang 960km Lebuh Raya Utara-Selatan dan sebahagian besar Lebuh Raya Pantai Timur.

Sebanyak lima peranti mudah alih boleh dihubungkan ke rangkaian wayarles mikro kereta pada masa yang sama.

- BERNAMA

Jumaat, Februari 17, 2012

JPJ Akan Wajibkan Syarikat Kereta Terpakai Guna Sistem E-Tukar Hak Milik

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mewajibkan semua syarikat kereta terpakai menggunapakai sistem E-Tukar Hak Milik Sementara sebagai penyelesaian sepenuhnya proses pindah hak milik kenderaan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata sistem yang diperkenalkan sejak Disember lepas merupakan inisiatif Persatuan Penjual Kereta Terpakai bagi melindungi kepentingan pengguna.

"Kami sedang memantau bagaimana sistem ini beroperasi. Sistem itu juga telah sedia dan (JPJ) berkemungkinan akan mewajibkan syarikat kereta terpakai menggunakan sistem berkenaan bagi semua urusan proses tukar milik kenderaan," katanya kepada pemberita di sini selepas merasmikan bangunan baru JPJ cawangan Batu Uban, Georgetown.

Beliau berkata ketika ini JPJ hanya meminta semua syarikat kereta terpakai menggunakan sistem itu bagi mengelak berulangnya kes pemilik kenderaan berhadapan pelbagai masalah walaupun selepas kenderaan sudah dijual atau ditukar beli dengan syarikat kereta terpakai.

Tahun lepas, kabinet memutuskan untuk melaksanakan Sistem e-Tukar Milik Sementara selepas JPJ menerima banyak aduan daripada orang ramai yang menghadapi pelbagai masalah walaupun selepas kenderaan sudah dijual atau ditukar beli dengan syarikat kereta terpakai.

Menerusi sistem itu, transaksi pertukaran hak milik kenderaan perlu didaftarkan dengan JPJ dan dikenakan bayaran RM10 bagi membolehkan pemindahan nama kepada pemilik sementara.

Syarikat kenderaan terpakai akan menjadi pemilik sementara kenderaan itu bermula dari tarikh borang itu ditandatangani sehingga kenderaan berkenaan dijual kepada pelanggan baru.

Sementara itu, bangunan dua tingkat pejabat JPJ cawangan Batu Uban terletak di kawasan seluas 0.8 hektar dengan kos pembinaan sebanyak RM9.376 juta dan mengambil masa selama 15 bulan untuk disiapkan.

Cawangan baru itu mula beroperasi pada 30 Jan lepas dengan waktu urusniaga bermula pukul 7.45 pagi hingga 5 petang setiap hari bekerja.

Sebanyak 25 kaunter disediakan bagi kemudahan pelanggan menyelesaikan urusan masing-masing.

- BERNAMA

Khamis, Februari 02, 2012

Motosikal Spyder dipasang di Gurun


DRB-HICOM Bhd. menerusi anak syarikatnya USF HICOM (Malaysia) Sdn. Bhd. (USF HICOM) melabur RM2 juta untuk operasi pemasangan tempatan (CKD) model motosikal tiga roda berkuasa tinggi, Can-am Spyder Roadster (Spyder).

Pemasangan tersebut telah dilakukan di fasiliti Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) di Gurun, Kedah.

Ketua Pegawai Operasi USF HICOM, Iqbal Sharom berkata, model yang dikeluarkan di Kanada itu akan diceraikan sepenuhnya di Australia sebelum dibawa masuk ke Malaysia untuk dipasang di Gurun bagi memenuhi keperluan taraf kenderaan CKD.

“Sehubungan itu, kami mampu menawarkannya pada harga yang lebih rendah kepada pengguna,” katanya pada majlis pelancaran model Spyder CKD pertama di sini semalam.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi DRB-HICOM Bhd., Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza.

Spyder mempunyai rangka berbentuk Y, dengan dua roda di bahagian hadapan dan satu roda di bahagian belakang yang memberikan lebih kestabilan berbanding motosikal biasa dan dilengkapi enjin berkuasa 998cc dengan kemampuan menghasilkan sehingga 106 kuasa kuda.

Sungguhpun ia sebuah kenderaan tiga roda, Spyder turut dilengkapi dengan teknologi keselamatan yang setanding seperti kereta moden masa kini seperti Anti Lock Braking System (ABS), Stability Control System (SCS) dan Traction Control System (TCS).

- KOSMO!

Ahad, Januari 22, 2012

Pasaran Kereta Manual Kekal

Kereta manual akan terus berada di pasaran walaupun ujian memandu menggunakan kereta automatik mula diperkenalkan.

Beberapa syarikat pembuat dan pengedar kereta berpendapat kereta manual masih relevan dalam pasaran tempatan walaupun berlaku perubahan polisi.

Jurucakap syarikat pengeluar kereta nasional Proton Holding Bhd berkata masih terlalu awal untuk mengatakan perubahan polisi ini akan memberi kesan kepada industri automotif negara,

Bagaimanapun kerana ramai pelanggan Proton memilih untuk membeli kereta automatik, pihaknya percaya bahawa polisi berkenaan akan lebih mesra pengguna.

"Peningkatan permintaan kereta model automatik sudah boleh dijangka, namun kita tidak menjangkakan perubahan serta-merta nisbah permintaan antara kereta automatik dan manual dalam masa terdekat.

"Namun peningkatan permintaan bagi model automatik boleh disebabkan oleh banyak faktor seperti peningkatan pendapatan atau perubahan dalam persekitaran memandu (dari luar bandar ke bandar)," kata jurucakap itu.

Pada masa ini, nisbah pengeluaran am Protol bagi model kereta automatik dan manual berdasarkan permintaan pasaran adalah 60:40.

Proton juga tidak menjangkakan untuk menghentikan pengeluaran kereta manual dalam masa terdekat.

"Di negara-negara lain di mana dasar lesen memandu yang sama telah diamalkan untuk jangka masa yang panjang, masih ada permintaan untuk kereta manual," kata Proton.

Antara negara yang mempunyai dasar-dasar lesen memandu yang serupa ialah Britain, Australia, New Zealand dan Singapura.

Dalam pada itu Naza Group tidak melihat apa-apa kesan ke atas pengeluaran kereta atau jualan mereka kerana kebanyakan model yang dijual adalah jenis automatik.

Dalam lapan model kereta Kia, hanya satu model menggunakan sistem manual, manakala bagi enam kereta Peugeot, hanya satu model menawarkan pelanggan pilihan antara manual ataupun automatik.

"Oleh itu, peraturan ini mungkin tidak mempunyai kesan besar ke atas trend jualan," kata jurucakap Naza Group.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan cadangan penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu yang akan dilaksanakan pada Mei setelah pengubahsuaian terhadap Kurikulum Baru Pendidikan Pemandu siap.

Bagaimanapun mereka yang memegang lesen memandu selepas diuji dengan kenderaan transmisi automatik hanya dibenarkan memandu kenderaan jenis itu sahaja.

- MSTAR

Sabtu, Januari 14, 2012

Proton Exora kian berkuasa



Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

RASA-RASANYA, tiada satu pun produk Proton Holdings Berhad (Proton) yang tidak pernah mendapat perhatian meluas. Selaku pemegang status pengeluar kereta nasional, Proton sentiasa mendapat penilaian kritikal daripada pengguna Malaysia.

Pasti semua masih ingat ketika Proton mengeluarkan kenderaan serba guna (MPV) pertamanya pada tahun 2009. Pada masa itu, ramai ‘pakar’ automotif yang tampil beri pandangan. Dalam blog, di kedai kopi, malah di dalam bilik pameran Proton, macam-macam komen diberikan tentang MPV tersebut.

Kutukan paling keras pastinya terhadap kemampuan enjin Campro CPS 1.6 liter itu. Tidak dapat dinafikan bahawa enjin itu memang kurang berkuasa. Kalau hendak berlumba dengan kereta lain di lampu isyarat, baik lupakan sahaja. Tetapi, kalau sudah meluncur di atas lebuh raya, kuasanya boleh tahan juga sebenarnya.

Masalahnya, ada juga MPV lain yang kurang kuasa dan guna plastik murah untuk bahagian dalamannya, tetapi tidak pula kita kecoh lebih-lebih.

Pertengahan Disember lalu, Proton memperkenalkan dua varian terbaharu Exora. Dikenali sebagai Exora Bold Premium dan Exora Prime, ada banyak perkara yang membuatkan saya menyatakan inilah MPV terbaik untuk takat harga di bawah RM100,000.

Kedua-dua Exora itu bukan sekadar varian tambahan saja-saja dengan sedikit pembaharuan. Sebaliknya, ia menjadi model pertama Proton yang menerima unit enjin Campro turbo atau CFE (Charge Fuel Efficiency). Enjin turbo itu sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu. Semua orang mahu tahu sejauh mana berkuasanya enjin turbo buatan Proton.

Sebelum anda menjadi teruja tidak tentu pasal, harus saya ingatkan bahawa Campro CFE ialah unit enjin dengan sistem soft turbo. Maksudnya, turbo bertekanan rendah. Turbo sebegini biasanya menggunakan unit pendesak turbo yang kecil. Kuasa kuda yang dihasilkannya juga rendah. Namun, apa yang penting ialah teknologi itu digunakan untuk mendapatkan tork lebih tinggi.

Harus tahu juga bahawa enjin CFE bukannya unit enjin CPS yang ditambah dengan turbo. Sebaliknya, 70 peratus komponen yang membentuk CFE adalah baharu. Hasilnya, enjin itu mampu menjana kuasa sehingga 138hp @ 5,000rpm dan tork puncak 205nm pada putaran enjin serendah 2,000rpm - 4,000rpm.

“Menerusi enjin 1.6 liter CFE yang lebih cekap, pelanggan akan rasa lebih prestasi seperti enjin bersesaran 2.0 liter tetapi pengguhaan bahan api menjimatkan.

“Varian ini juga menawarkan gayaan yang eksklusif dan elegan, disertakan bersama kualiti pengendalian Lotus. Malah, ia dipakejkan pada harga yang berpatutan jika dibandingkan dengan kenderaan sekelas dengannya,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Selepas sesi uji pandu yang diadakan oleh pihak Proton ke Tanjung Jara, Dungun di Terengganu baru-baru ini, boleh disimpulkan bahawa matlamat itu dapat dijayakan dengan baik. Hantaran kuasa yang ditawarkan oleh Campro CFE terasa lebih cepat dan tidak membuatkan enjin mengaum secara berlebihan.

Kalau enjin Campro CPS boleh membuatkan sesetengah orang sakit jiwa dengan low end torque yang dihasilkannya, Campro CFE seakan-akan sudah menyelesaikan masalah itu dengan agak cemerlang.

Kotak gear CVT

Campro CFE digandingkan bersama kotak gear CVT. Transmisi CVT itu bukannya yang sama dengan kotak gear CVT pada model Saga FLX. Tetapi ia merupakan kotak gear CVT baru yang dikenali sebagai CVT3 yang dibina khas buat model Exora Bold Premium dan Prime.

Jadi, seperti biasa ia menawarkan pertukaran gear yang lancar dan tanpa senggukan. Tetapi kalau kelancaran itu tidak memuaskan hati anda, jangan lupa tekan butang SAT (Stepped-Automatic Transmission) yang ada pada perumah tuil gear. SAT berfungsi memberikan sedikit rasa gear ditukar untuk pemanduan lebih sporty.

Kualiti kawalan Exora boleh dianggap bagus. Dengan tubuh yang besar, tinggi dan tayar bersaiz 16 inci, ia masih berupaya tidak membuatkan pemandu serta penumpang berasa kecut perut ketika mengambil selekoh dengan laju.

Berada di tempat duduk pemandu, saya berpuas hati dengan rasa stereng dan tombol gear yang dibalut kulit. Konsol tengah yang menempatkan unit audio dan butang kawalan pendingin hawa itu juga tidak nampak murah. Untuk kelihatan lebih mewah, panel sisi dan tempat duduknya juga dibalut kulit.

Jika anda duduk di tempat duduk belakang, tidak perlu bimbang tentang keselesaan. Selain boleh mengawal sendiri butang pendingin hawa, penumpang juga tidak kebosanan dengan adanya skrin LCD dan pemain multimedia yang boleh memainkan filem daripada kad SD, USB atau DVD.

Sebagai seorang yang kurang gemar memandu kenderaan besar seperti MPV, saya sangat menghargai kewujudan kamera undur pada Exora.

Sebaik sahaja gear undur dimasukkan, paparan berwarna lengkap dengan garisan sudut berwarna hijau dan oren akan terpapar pada cermin pandang belakang. Garisan sudut itu sememangnya banyak membantu pemandu untuk memarkir Exora dengan lebih mudah dan tepat.

Melihat dari luarannya, varian terbaharu Exora itu memang lebih menarik. Di samping perumah lampu hadapan dan belakang yang digelapkan, MPV itu turut menerima bampar hadapan dengan rekaan baharu. Di sekeliling tubuhnya juga dipasang dengan skirting. Jadi, MPV itu tidaklah nampak pakcik-pakcik sangat.

Kalau dahulu anda memberi alasan Exora CPS tidak laju, kurang kuasa, tidak ada TV dan macam-macam lagi sehinggakan tidak jadi membelinya, sekarang semua itu sudah ada. Jadi, mahu apa lagi?

- KOSMO!

Tiga kereta jimat bahan api


TIGA kereta nasional, PERODUA Myvi, PROTON Saga dan PROTON Inspira meraih Anugerah Kecekapan Bahan Api 2011 Asian Auto AmBank dalam kategori berlainan.

PERODUA Myvi 1.3 baru memenangi anugerah itu di bawah kategori kereta kompak bandar kerana kecekapan bahan api 6.2 liter bagi setiap 100 kilometer (km) perjalanan, PROTON Saga 1.3 (M) bagi kategori keluarga kecil (enam liter bagi setiap 100km) dan PROTON Inspira 2.0 bagi kategori kereta keluarga mewah (6.2 liter bagi setiap 100km).

Ketua Eksekutif Proton Edar, Ahmad Suhaimi Mohamed Anuar, dan Pengarah Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad, masing-masing menerima anugerah itu daripada Ketua Eksekutif AmIslamic Bank Berhad, Datuk Mahdi Murad , dan Pengarah Sapporo Malaysia, Lim Chee Yeang, pada satu majlis di Kuala Lumpur, malam kelmarin.

AmBank adalah penaja utama bagi anugerah automotif tahunan itu yang memberikan pengiktirafan kepada jenama kereta yang menawarkan kenderaan paling cekap bahan api dalam kategori masing-masing di Malaysia.

Program anugerah tahunan yang pertama seumpamanya di Malaysia itu menggalakkan pengeluar kereta menawarkan kenderaan berkualiti dengan teknologi dan kejuruteraan terbaru yang menggalakkan kecekapan bahan api.

Pengarah Urusan AmBank (Perbankan Runcit), Datuk Mohamed Azmi Mahmood, dalam ucapannya berkata, sebagai syarikat pembiayaan pembelian automotif di negara ini, AmBank sentiasa sedia menemui pelanggan dan memenuhi keperluan mereka dalam pembelian kenderaan dan insurans.

“Anugerah seperti ini sejajar dengan usaha kami untuk menyokong pelanggan kami membuat pilihan dan keputusan yang lebih baik,” tegasnya.

Sejumlah 34 syarikat kereta mengambil bahagian untuk merebut 54 anugerah yang ditawarkan dalam 18 kategori pada acara yang diadakan bagi tahun keempat itu.
Mercedes-Benz C-Class 200 CGI, Volvo S60 1.6 Turbo dan Audi A4 1.8T memenangi anugerah berkenaan di bawah kategori kereta eksekutif.

– BERNAMA

Khamis, Januari 05, 2012

Kereta 200cc dikeluarkan di India


NEW DELHI - Pengeluar kereta Bajaj Auto di India mendedahkan sebuah kereta berkuasa 200cc yang hanya mengeluarkan 60 gram karbon dioksida bagi setiap kilometer.

Kereta itu yang dinamakan RE60 yang bergerak sejauh 35 kilometer bagi setiap satu liter petrol akan memasuki pasaran kenderaan berharga murah di negara ini.

Namun, harga kereta itu tidak didedahkan oleh Pengarah Urusan Bajaj Auto, Rajiv Bajaj.

Kereta itu untuk dinaiki seramai empat orang yang mempunyai kelajuan 70 kilometer sejam dan berat hanya 400 kilogram.

Ia dibina khas untuk kegunaan pengguna bandar.

- AFP

Jumaat, Disember 30, 2011

Proton Lanjut Kempen Tali Pinggang Belakang

Proton pada Khamis mengumum melanjutkan kempen pemasangan tali pinggang belakangnya dari 31 Dis, 2011, kepada 31 Jan, 2012, sebagai sebahagian daripada Kempen Tali Pinggang Belakang yang sedang dijalankan sekarang.

Sejak Kerajaan kali pertama mengumumkan pada Jun 2008 peraturan mewajibkan kenderaan dipasang dengan perkakas keselamatan, Proton telah memasang tali pinggang belakang tanpa sebarang kos kepada pemilik model Proton yang terbabit model Saga LMST dan Gen.2 yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008.

"Kami mahu menggesa pelanggan kami dengan kereta-kereta terbabit, dan rakyat Malaysia secara umumnya, supaya bukan hanya mematuhi peraturan baharu itu bagi mengelak disaman oleh pihak berkuasa, tetapi mengguna pakai amalan menggunakan tali pinggang belakang bagi penumpang yang duduk di belakang atas faktor keselamatan," kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings Berhad Datuk Seri Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu kenyataan.

Bagi memantapkan lagi usaha-usaha itu, lapan Pasukan Proton Mobile yang setiap satunya terdiri daripada empat kakitangan teknikal juga dihantar ke kedai kereta terpakai dan lokasi lain seperti masjid, pasar raya besar dan stesen minyak di seluruh negara pada awal bulan ini untuk menyediakan perkhidmatan kepada pemilik kereta Proton. Bagaimanapun, hanya kira-kira 17 peratus daripada 225,930 kereta yang terbabit telah dipasang dengan tali pinggang belakang.

- BERNAMA

Rabu, Disember 28, 2011

Khidmat Honda Penuhi Kehendak Pelanggan terbaik


MASA penghantaran yang pendek dan hubungan di antara peniaga dan pelanggan selepas jualan telah menyumbangkan kepada peningkatan keseluruhan kepuasan jualan kenderaan-kenderaan baru di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif di J.D. Power Asia Pacific, Singapura, Mohit Arora, walaupun jualan kenderaan baru di Malaysia semakin meningkat, para pengilang dan pengedar di negara ini telah melaksanakan tugas yang cemerlang dalam pengurusan masa penghantaran untuk pelanggan baru mereka.

Antara sembilan jenama yang termasuk dalam tinjauan ini, Honda berada di kedudukan teratas dengan markah sebanyak 815 selain mencatat prestasi yang cemerlang dalam empat daripada tujuh faktor iaitu inisiatif jualan, fasiliti pengedar, jurujual dan proses penghantaran.

Kedudukan kedua adalah Nissan (813), Suzuki (806) dan Toyota (803). Nissan mencatat prestasi baik dalam faktor kertas kerja dan waktu penghantaran.

Nissan meningkat sebanyak 29 mata pada 2011, berbanding tahun 2010, lebih daripada jenama-jenama lain.

Menurut Tinjauan Indeks Kepuasan Jualan (SSI) melalui SM J.D. Power Asia Pacific 2011 Malaysia yang diterbitkan baru-baru ini, ia mengukur kepuasan pemilik kenderaan baru terhadap jualan dan pengalaman penghantaran serta menilai tujuh faktor yang menyumbang kepada kepuasan keseluruhan.

Prestasi SSI dilaporkan dalam markah indeks berdasarkan skala 1,000 mata, di mana markah keseluruhan SSI yang lebih tinggi menunjukkan kepuasan lebih tinggi terhadap jualan kenderaan baru dan proses penghantaran.

Purata kepuasan jualan untuk tahun 2011 ialah 799 markah, meningkat sebanyak 18 mata berbanding 781 markah pada tahun 2010.Tinjauan juga mendapati bahawa purata masa penghantaran kenderaan baru telah menurun kepada 16.3 hari pada tahun 2011, iaitu penurunan hampir empat hari berbanding tahun 2010.

Kira-kira 38 peratus pelanggan menyatakan bahawa mereka menerima kenderaan dalam tempoh seminggu atau kurang daripada seminggu. Di kalangan pelanggan ini, kepuasan terhadap waktu penghantaran purata 24 markah lebih tinggi daripada purata industri.

Sementara itu, bilangan pelanggan yang menyatakan bahawa penghantaran kenderaan baru mereka mengambil masa lebih daripada sebulan telah menurun daripada 13 peratus pada 2010 kepada 7 peratus pada 2011.

Namun di kalangan pelanggan ini, kepuasan terhadap waktu penghantaran adalah 100 markah lebih rendah daripada purata industri.

Tinjauan ini juga mendapati bahawa peratusan pemilik kenderaan baru yang mengatakan bahawa pengedar menghubungi mereka selepas penghantaran kenderaan telah meningkat daripada 65 peratus (2010) ke 70 peratus pada 2011.

Di kalangan pelanggan yang menyatakan bahawa mereka dihubungi oleh pengedar selepas penghantaran kenderaan telah mencatat purata markah kepuasan sebanyak 812, 13 mata.

Sebaliknya, mereka yang tidak dihubungi selepas penghantaran kenderaan telah mencatatkan 30 markah lebih rendah daripada purata industri.

“Semakin banyak pengedar telah mengambil langkah untuk menghubungi pemilik kenderaan selepas penghantaran untuk mengetahui sama ada kenderaan mereka memuaskan ataupun tidak.

“Usaha ini bukan sahaja membolehkan pengedar jualan mengekalkan hubungan dengan pelanggan serta membantu membina kesetiaan, ia juga membolehkan pengedar untuk mengambil tindakan segera sekiranya masalah atau aduan mengenai proses jualan dilaporkan,” jelas Arora.

Kajian SSI Malaysia 2011 adalah berdasarkan maklum balas daripada 2,478 pemilik kenderaan baru yang membeli kenderaan mereka di antara September 2010 dan April 2011.

Kajian itu dilakukan antara Mac dan Jun 2011.

- MSTAR

Sabtu, Disember 24, 2011

Proton Saga FLX SE Varian Saga paling sporty

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN


Menjadi model penting buat pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Berhad (Proton), kereta subkompak itu tidak pernah jemu menerima penambahbaikan.

Bermula dengan model BLM pada tahun 2008, Saga mengalami revolusi menerusi model-model seperti BLM SE (2009), FL (Disember 2010) dan FLX (Ogos 2011) sebelum pada minggu lalu Proton memperkenalkan pula varian yang dikenali sebagai Saga FLX SE.

Karekter utama yang membentuk Saga FLX SE ialah enjin Campro IAFM bersesaran 1.6 liter dan kotak gear CVT (Continuously Variable Transmission). Ciri itu kemudian digabungkan bersama pelbagai aspek lain, sekali gus menjadikannya sebuah jentera yang berbaloi untuk dimiliki.

Sedia maklum bahawa Saga dengan enjin 1.6 liter pada asalnya cuma untuk dijadikan teksi. Namun, memandangkan permintaan terhadapnya terus meningkat, Proton bersetuju untuk menawarkannya kepada kelompok pengguna yang lain.

Saga FLX SE disifatkan sebagai Saga yang paling sporty dan memiliki pelbagai ciri menarik setakat ini. Perubahan dapat dilihat dengan jelas sama ada pada luaran dan dalamannya.

Saya sempat memandu uji kereta itu bersama satu lagi model baharu Proton, Exora Bold menuju ke Tanjung Jara, Terengganu pada awal minggu ini. Tetapi, untuk kali ini, kita fokuskan dahulu kepada apa yang mampu ditawarkan oleh Saga FLX SE.

Laluan kampung di bandar Al-Muktafi Billah di Dungun Terengganu menyerlahkan kemampuan sebenar jentera tersebut. Terpaksa memandu dalam hujan renyai, kelajuan maksimum yang berani diperah hanya sekadar 120 kilometer sejam.

Bunyi enjin

Itu sahaja kelajuan yang berani saya tekan memandangkan rasa sistem breknya yang kurang meyakinkan. Bagaimanapun, kekurangan itu diseimbangkan menerusi stereng yang agak berat, di samping tahap pengendalian mantap ketika mengambil selekoh.

Harus diakui bahawa respons enjin 1.6L IAFM itu agak bagus. Sebaik sahaja pedal minyak ditekan, enjin mengaum untuk mencari gear terbaik demi memproleh momentum, tipikal kotak gear CVT. Bunyi enjin juga dapat didengar dengan jelas dari dalam kabin, mungkin aspek itu harus diperbaiki oleh Proton.

Untuk merasai lebih kuasa, jangan lupa menekan butang SAT (Stepped-Automatic Transmission). Butang ini membolehkan pemandu merasa pertukaran gear seperti kotak gear manual konvensional.

Sekiranya SAT masih belum mampu memuaskan hati anda, tolak tuil gear ke kolum “L”. Harus tahu bahawa ia bukan digunakan untuk mendaki laluan berbukit, sebaliknya bertindak seperti mode sport. Hasilnya, jarum rpm akan melonjak setinggi 800rpm, sekali gus memberi kuasa ekstra untuk memotong atau memecut.


Mahu menjadikannya berasa lebih mahal, ruang dalaman Saga FLX SE disertakan dengan kemasan kulit hitam bersama jahitan benang merah pada stereng, konsol tengah, tuil gear dan tempat duduk. Saya harus beritahu juga bahawa tempat duduk belakangnya cukup selesa, walaupun jika anda terpaksa menempuh perjalanan yang jauh.

Misi menarik minat golongan muda untuk memiliki Saga FLX SE mungkin tidak terlalu sukar menerusi penampilannya yang garang. Selain disalut dengan warna merah menyala (warna baru selain warna putih solid) jentera itu turut hadir bersama kemasan lampu kabus berwarna kelabu.

Sekeliling kereta juga dilengkapi dengan skirting berwarna kontras (kelabu). Bahagian hadapan menyerlah melalui sepasang lampu utama berbentuk tirus. Sementara bahagian belakangnya tampil menawan dengan lampu LED.

Penampilannya disempurnakan lagi menerusi padanan rim aloi bersaiz 15 inci baharu yang dibalut tayar bersaiz 195/50 R15. Pendek kata, jentera itu tidak memerlukan apa-apa solekan lain untuk nampak cantik.

Berminat? Anda sudah boleh melihatnya di mana-mana pusat pameran Proton berhampiran. Mahal RM2,900 berbanding model Saga FLX, ia ditawarkan pada harga RM49,449 seunit.

- KOSMO!

Jumaat, Disember 16, 2011

Exora Bold jimat guna bahan api


PROTON Holdings Bhd kini menawarkan dua varian baru Exora iaitu Exora Bold Premium dan Exora Prime yang dilengkapi enjin kecekapan bahan api (CFE) Campro 1.6 liter serba baru dengan prestasi setanding enjin dua liter.

Pengeluar kereta nasional itu dalam kenyataannya berkata, kedua-dua model berkenaan akan boleh didapati untuk pendaftaran pada minggu kedua Januari ini. Mengulas perkembangan itu Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata enjin CFE itu boleh didapati pada Exora Bold Premium baru dan model Exora Prime yang mempunyai transmisi berubah berterusan (CVT) yang memberi kecekapan pengguna bahan api, sekali gus lebih menjimatkan.

“Didorong dengan enjin yang lebih cekap 1.6 liter, pelanggan akan menikmati prestasi pemacuan yang berkuasa yang setanding dengan enjin dua liter, dengan penggunaan bahan api yang lebih rendah,” katanya.

Harga di atas jalan Exora Bold 1.6 Premium CVT adalah RM79,998, Exora Bold 1.6 Executive MT (RM70,998) dan AT (RM74,998), Exora Prime 1.6 Premium (RM88,998) manakala Exora 1.6 Standard MT (RM59,998).

PROTON yakin jualan bulanan kenderaan Exora akan mencecah 2,000 unit sebulan berbanding purata 1,800 unit ketika ini didorong pengenalan dua variasi baru itu.
Sejak model Exora dilancarkan pada April 2009, sejumlah 65,049 unit model itu didaftarkan dengan pengeluar kereta nasional itu menerima 82,854 tempahan.

Tahun lalu, Exora adalah satu-satunya MPV yang disenaraikan dalam 10 kenderaan terkenal di Thailand oleh surat khabar Bahasa Inggeris terkenal di Bangkok.

Tahun ini, Exora Star memenangi dua anugerah di Indonesia -- MPV Bajet Terbaik 2011 di Anugerah Automotif Indonesia dan MPV Kecil Terbaik 2011 oleh majalah MobilMotor.

- BERITA HARIAN

Khamis, Disember 01, 2011

Proton Perkenal Saga Baru - Saga FLX SE


Dalam usaha mengembangkan rangkaian model Saga, Proton Holdings Bhd pada Rabu memperkenalkan kemasukan baharu variasi Saga yang dinamakan Saga FLX SE.

Variasi baru ini bersedia untuk menarik generasi muda di kalangan pembeli kereta.

Berharga RM49,449 dan digerakkan oleh enjin 1.6 liter Campro Intake Air-Fuel Module (IAFM), Saga FLX SE bertujuan memberikan pemilik kereta dengan prestasi yang lebih dan penjimatan dari segi pengunaan bahan bakar.

"Ia mengesahkan lagi Saga sebagai kereta pilihan ramai kerana kemampuan yang luar biasa dan nilai wang yang termasuklah penjimatan bahan bakar yang lebih baik, prestasi yang hebat dan pemanduan dan pengemudian yang cemerlang," kata Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kombinasi enjin 1.6-liter Campro IAFM dengan transmisi automatik transmisi boleh laras berterusan (CVT) memberikan antaranya pengurangan penggunaan bahan bakar dengan tambahan empat peratus berbanding dengan Saga 1.6 liter pada masa ini.

Berharga RM2,900 lebih tinggi daripada Saga FL automatik 1.6 liter pada masa ini, Saga FLX SE mengetengahkan perubahan lapan hiasan luaran dan tiga hiasan dalaman.

Syarikat itu berkata, sejak Saga dilancarkan pada Januari 2008, kini terdapat 274,469 unit Saga di jalan raya dengan Proton menerima kira-kira 331,768 tempahan.

Saga terus kekal sebagai model jualan terbaik Proton setakat ini dengan purata 6,500 unit dijual setiap bulan.

Proton juga meletakkan sasaran menjual kira-kira 78,752 unit Saga dalam tahun kewangan semasanya yang berakhir 31 Mac, 2012, di mana ia menjangkakan Saga FLX SE yang baharu ini dijual di rantau ini sebanyak 500 unit sebulan.

Boleh diperolehi dalam dua warna pilihan - Putih dan Merah - Saga FLX SE didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 100,000km, yang mana terdahulu.

Proton juga berkata pengguna yang menempah Saga dan masih menantikan penghantaran boleh memilih untuk menukar tempahan mereka untuk mendapatkan Saga FLX SE di bilik pameran yang mereka buat tempahan.

Para pembeli boleh melihat model baharu ini di semua bilik pameran Proton mulai 1 Disember 2011.

- BERNAMA

Sabtu, November 19, 2011

Hibrid Manual Honda - Pertama di Asia Tenggara


HONDA sememangnya suka mencipta sejarah. Inovasi-inovasi entiti yang dilahirkan oleh Soichiro Honda itu seringkali mengejutkan. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan produk keluarannya mengubah bagaimana manusia melihat sesuatu teknologi.

Mahu bukti? Honda merupakan syarikat pertama yang berjaya memenuhi piawaian ketat emisi Amerika Syarikat (AS) tahun 1970 menerusi enjin CVCC. Enjin bersih dan menjimatkan minyak itu kemudian menjadi tunjang ke arah pembinaan model sedan Civic yang diterima hangat di pasaran dunia.

Robot humanoid Honda, Asimo pula membuatkan pemerhati teknologi dunia ternganga kekaguman. Dengan tinggi 130 sentimeter, generasi kedua Asimo nyata memiliki beberapa kemampuan baru yang signifikan.

Misalnya, ia mampu berlari selaju 9 kilometer sejam (sebelum ini 6 km/j), melompat mengguna sebelah atau kedua-dua belah kaki dan berdiri dengan stabil di permukaan tidak rata. Asimo juga boleh membuka penutup botol minuman dan menuang air ke dalam gelas.

Compact Renaissance Zero

Itu hanya sekelumit daripada pencapaian Honda. Kalau hendak ditulis semuanya, jadi buku sejarah Honda pula rebiu saya pada minggu ini.

Awal bulan lalu, pengedar dan pengeluar kenderaan jenama Honda di Malaysia, Honda Malaysia Sdn. Bhd. (Honda Malaysia) sekali lagi mencipta sejarah menerusi pengenalan model hibrid CR-Z. Kalau hendak tahu, CR-Z ialah jentera hibrid ketiga yang diperkenalkan oleh Honda Malaysia selepas model Civic Hybrid dan Insight.

Apa istimewanya CR-Z? Tidak dibina berinspirasikan kepada model hot-hatch popular Honda tahun 1980-an, Honda CR-X, CR-Z merupakan jentera hibrid pertama yang dipasang dengan transmisi manual enam kelajuan di dunia. Memang sports habis!

Honda Malaysia juga menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara untuk menawarkan hibrid hot-hatch tersebut.

“Selaku perintis dalam memperkenalkan teknologi hibrid di Malaysia, kami berbangga untuk mengetengah satu lagi pilihan kenderaan hibrid kepada pengguna Malaysia. Selepas menyaksikan kejayaan model Honda Insight sejak dilancarkan pada tahun lalu, kami yakin dengan penerimaan teknologi hibrid yang kian meningkat di Malaysia, sekali gus mengambil keputusan untuk melancarkan CR-Z,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno.

CR-Z merujuk kepada “Compact Renaissance Zero” yang membuktikan komitmen Honda untuk kembali kepada asas dan menerima cabaran membina sebuah kereta kompak, tanpa terikat dengan nilai-nilai sebuah kenderaan hibrid tradisional.

Di pentas dunia, CR-Z telah dinobat sebagai kereta terbaik (Car of the Year, COTY) di Jepun untuk tahun 2010/2011 dan anugerah Kereta Hijau Terbaik pada tahun 2010 (2010 Top Gear Green Car of the Year) di United Kingdom.

Sistem Hibrid IMA

Ketua Projek Honda CR-Z, Norio Tomobe menyatakan jentera yang menawarkan keterujaan pemanduan itu sebenarnya dibina atas tiga nilai utama iaitu emosional, keterujaan dan pintar.

Konsep rekaan CR-Z secara efektif menggabungkan estetika sebuah kenderaan dengan imej bersih serta maju sebuah jentera hibrid. Selari dengan konsep keseluruhannya, rekabentuk CR-Z yang penuh gaya, aerodinamik dan seperti peluru itu memudahkan aliran udara untuk mengurangkan kadar seretan.

Kuasa pada CR-Z dijana oleh unit enjin 1.5L SOHC i-VTEC yang berupaya menghasilkan kuasa sehingga 114PS dan motor elektrik berkuasa 14PS. Di samping Intelligent Power Unit (IPU) yang sofistikated. Fleksibiliti Sistem Hibrid IMA membolehkannya digunakan bersama kotak gear manual enam kelajuan untuk pemanduan responsif.

Transmisi manual pada CR-Z juga dilengkapi dengan fungsi Hill-Start Assist (HSA). HSA mampu mengenal pasti darjah kecondongan dan meningkatkan keyakinan pemandu dengan membantu mengelakkan kenderaan daripada terundur ketika hendak memulakan perjalanan di laluan berbukit.

Demi meningkatkan lagi pengalaman pemanduan, CR-Z menjadi model pertama yang menampilkan Sistem Pemanduan 3 Mode (3-Mode Drive System) Honda yang versatil.

Sistem itu membolehkan pemandu memilih dan menukar mode dengan mudah berdasarkan kepada gaya pemanduan dan situasi jalan raya.

Tiga mode pada CR-Z mengubah maklum balas pendikit, stereng, pemasaan melahu ketika berhenti, kawalan suhu dan tahap bantuan yang disediakan oleh Sistem Hibrid IMA. Mode-mode individual itu juga ditunjukkan menerusi nyalaan lampu berwarna pada gelung Illuminated Advance Sports Meter.

Dari segi standard keselamatan, CR-Z serba baharu dinilai sebagai salah sebuah kereta paling selamat di Jepun pada tahun 2010 apabila dianugerahkan dengan enam bintang dalam penarafan JNCAP.

CR-Z dilengkapi dengan Vehicle Stability Assist (VSA) yang menawarkan pemanduan lebih stabil dan mantap. Sementara kerangka tubuh Advanced Compatibility Engineering (ACE) pula meningkatkan tahap perlindungan. CR-Z turut menepati Keperluan Impak Pejalan Kaki (Pedestrian Impact Requirements) yang membolehkan kecederaan kepala dan dada pejalan kaki diminimumkan jika berlaku kemalangan.

Ueno turut menyambut baik pengumuman kerajaan Malaysia dalam Bajet 2012 baru-baru ini untuk meneruskan pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais ke atas model-model hibrid hingga Disember 2013. Sebab itu jugalah CR-Z dapat ditawarkan pada harga yang cukup kompetitif. Lebih tepatnya, RM115,000 seunit.

CR-Z hadir dalam warna putih sahaja. Honda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 100 unit CR-Z menjelang akhir tahun 2011. Maklumat lanjut, sila hubungi nombor Honda Toll Free di talian 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my

- KOSMO!

Khamis, November 17, 2011

Peraturan Pemasangan Cermin Gelap @ Tinted Kenderaan


Kaedah 5 (1) dan Kaedah 5 (3),Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000, menetapkan cermin cermin (tinted) depan hendaklah telus cahaya tidak kurang 70%, manakala cermin belakang dan tepi hendaklah telus cahaya tidak kurang dari 50%.

Pengecualian khas pemasangan cermin gelap

Pemasangan kaca gelap diberikan kepada orang-orang tertentu sahaja seperti di bawah kaedah 11(a) dan 11(b),Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991. Mana-mana orang yang tidak termasuk dalam kaedah 11(a) dan 11(b) yang menghadapi masalah kesihatan kulit terdedah atau dengan ancaman keselamatan boleh memohon pengecualian khas untuk pemasangan khas untuk pemasangan cermin gelap.
Pemilik atau pemandu kenderaan yang tidak mematuhi kaedah ini akan dikenakan denda :-
  1. Tidak melebihi RM 500.00 atau penjara tidak melebihi 2 minggu untuk kesalahan pertama;dan
  2. Tidak melebihi RM 1000.00 atau penjara tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya.

Cara-cara memohon

Permohonan hendaklah dibuat menggunakan icon Borang CG1 yang boleh didapati daripada Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya. Semua permohonan perlu disertakan dengan dokumen-dokumen berikut :-
  1. Salinan kad pengenalan yang telah disahkan.
  2. Surat pengesahan daripada Pegawai Perubatan Kerajaan termasuk rekod-rekod Perubatan yang terkini.
  3. Bagi permohonan untuk tujuan keselamatan,sertakan dokumen-dokumen sokongan.

Kelulusan

Semua permohonan akan dipertimbangkan dan akan dikemukakan kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan untuk persetujuan. Selepas itu akan dibawa kepada Y.B. Menteri Pengangkutan untuk kelulusan.

Tempoh

Tempoh kelulusan penggunaan cermin gelap adalah satu tahun sahaja dan perlu diperbaharui.

Pembaharuan

Permohonan memperbaharui kelulusan cermin gelap hendaklah dibuat tiga (3) bulan sebelum tamat tempoh kelulusan dengan menyertakan dokumen berikut :
  1. icon Borang CG1 yang telah diisi dengan lengkap.
  2. Salinan kad pengenalan yang telah disahkan.
  3. Surat pengesahan daripada Pegawai Perubatan Kerajaan seta rekod-rekod Perubatan yang terkini. Salinan Surat Kelulusan Y.B Menteri Pengangkutan.
  4. Salinan Kad Pendaftaran Kenderaan
Sumber : JPJ


http://myadha.blogspot.com/2011/09/pemilik-kenderaan-cermin-gelap-akan.html

Sabtu, November 12, 2011

Mazda3 CKD


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

BERADA di Malaysia yang cukai kenderaannya cukup tinggi, berita mengenai harga kereta murah mesti mendapat perhatian meluas. Keghairahan orang ramai untuk ambil tahu pasti lebih memuncak sekiranya ia melibatkan jenama atau model-model kereta yang terkenal.

Ada beberapa inisiatif lazim yang diambil oleh pengeluar untuk merendahkan sedikit harga kenderaan yang mereka jual.

Selain usaha mendapatkan status 'kereta nasional' atau menjual model-model dengan spesifikasi asas, satu lagi cara paling popular (tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan) adalah dengan memasangnya di dalam negara atau lebih mudah dipanggil CKD.

Program CKD boleh dilaksanakan sekiranya beberapa faktor dapat dipenuhi. Antaranya, pengeluar mendapati sesebuah model itu mampu dijual dalam jumlah tertentu pada setiap bulan. Jika jumlahnya terlalu sedikit, pelaburan yang dibuat mungkin tidak berbaloi.

Bukan itu sahaja, program CKD juga bergantung kepada keupayaan vendor-vendor tempatan untuk menghasilkan komponen yang menepati piawaian tinggi pengeluar induk. Kalau komponen yang dihasilkan asyik rosak sahaja, jangan harap ia boleh melepasi pagar kilang pemasangan.

Lagi satu, kualiti kenderaan yang dihasilkan mestilah par dengan standard kilang di luar negara. Namun, saya berpendapat itu bukan satu masalah besar. Sebabnya, kilang-kilang kenderaan di Malaysia pun sudah bagus dan canggih. Para pekerjanya juga berkemahiran.

Jika tidak, takkan Mercedes-Benz menghasilkan model S-Class di kilangnya di Pekan, Pahang. Sementara Volvo pula memasang sebahagian besar model yang dijualnya di pasaran tempatan di kilangnya di Shah Alam.

Itu belum lagi dicampur dengan pengeluar-pengeluar lain seperti Honda, Toyota, Nissan, Isuzu, Hyundai, Kia, Peugeot, BMW, Changan dan banyak lagi yang memiliki kilang masing-masing di seluruh negara.

Meriah juga industri automotif Malaysia rupa-rupanya. Walaupun ia agak jauh ketinggalan berbanding Thailand dan Indonesia berikutan polisi yang mungkin kurang menarik untuk membuatkan pengeluar terus melabur dalam kuantiti mega di negara ini.

Murah sedikit

Satu lagi kelemahannya, majoriti kenderaan CKD itu untuk pasaran tempatan dan bukannya diimport seperti yang dipraktiskan oleh Thailand dan Indonesia.

Biarpun bukan model pertama yang dipasang tempatan, Mazda pada awal tahun ini menawarkan pengguna Malaysia dengan model popularnya, Mazda3 CKD. Jentera yang hadir dalam varian hatchback dan sedan itu sememangnya dikenali dengan rekabentuk yang sporty.

Ya, harganya adalah murah sedikit berbanding unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Tetapi kualitinya tetap sama seperti apa yang dinikmati oleh pengguna di Jepun.

Baiklah, saya bukan hendak bercerita mengenai harga. Sebabnya, kalau sembang bab harga, sampai minggu depan pun tidak habis. Nanti semua orang mahukan kereta yang berkuasa, spesifikasi penuh, cantik, jimat minyak dan ada nilai jualan balik tinggi, tetapi harganya macam Myvi. Biar betul.

Sempena cuti Hari Raya Korban minggu lalu, saya memandu uji Mazda3 versi hatchback yang menjadi idaman ramai itu. Memandangkan semua orang mahu balik kampung, jadi lebuh raya Karak dan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) jadi sesak. Jadi, terpaksalah saya memandu Mazda3 dalam mode perlahan sahaja.

Berada di dalam kabin, Mazda3 menawarkan ambien memuaskan. Tempat duduknya yang bersalut kulit memberi keselesaan sewajarnya walaupun dihuni oleh lima orang penumpang bertubuh sederhana.

Unit itu hadir bersama aksesori tambahan. Maksudnya, ada sistem navigasi dan audio dengan skrin sentuh yang dipadankan dengan enam pembesar suara. Kualiti bunyi, bagus juga.

Berbanding dengan pesaingnya yang lebih senior seperti Civic dan Altis, Mazda3 telah menggunakan warna hitam untuk kabinnya sejak sekian lama. Selain nampak dan rasa lebih sporty, warna gelap juga membuatkan usia material dalamannya mampu bertahan lebih lama.

Sebagai sebuah jentera yang berorientasikan pemandu, posisi tempat duduknya ergonomik. Semua butang boleh dicapai dengan mudah. Suis kawalan audio dan tombol pendingin hawa tersusun atas rekaan papan pemuka yang nampak mahal. Tidak berapa tinggi? Jangan risau, laraskan sahaja (secara manual) tempat duduk pemandu sehingga anda rasa selesa.

Mazda3 cukup menjaga penampilannya. Rekabentuk luarannya dikatakan tidak jauh beza dengan apa yang dilukis oleh pereka bentuk ketika ia ingin dihasilkan dahulu. Baru memasuki generasi kedua, model yang dikenali sebagai Axela di Jepun itu memiliki hala tuju rekaan cukup berbeza dengan pesaing sekelasnya.

Perkadaran (proportion) rekaan hadapan dan belakangnya seimbang. Lampu hadapan yang tirus digabungkan dengan bampar dan gril radiator lebar. Sementara bahagian belakangnya menyerlah menerusi gugusan lampu dalam perumah berwarna jernih itu.

Rasanya, Mazda antara pengeluar yang benar-benar berjaya menjadikan lampu jernih nampak kena dan kelas pada setiap model keluarannya.

Mode pemanduan laju akhirnya dapat saya nikmati sewaktu perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Mengetahui reputasi Mazda, jentera itu memang tidak membuatkan anda berpeluh ketika mengambil selekoh-selekoh dalam kelajuan sedikit tinggi.

Kawalan sterengnya tepat, digabung dengan sistem suspensi hadapan dan belakang yang sedaya upaya membuatkan tubuh Mazda3 melekat di atas jalan raya.

Dari aspek kuasa pula, janaan enjin bersesaran 2.0 liter itu sudah memadai. Anda tidak akan berasa sakit jiwa mendengar enjin melahu kuat, tetapi tidak memecut selaju mana seperti yang biasa kita tengok pada kereta-kereta ‘racing’ di atas jalan raya.

Enjin berkod MZR itu dipadankan dengan kotak gear automatik lima kelajuan Activematic. Anda boleh menukar kedudukan gear secara manual, cuma paddle shifter pada Mazda3 agak pelik.

Biasanya tuil untuk menaik atau menurunkan gear terletak pada sebelah kiri atau kanan. Tetapi, Mazda3 memerlukan pemandu menurunkan kedudukan gear dengan menekan butang pada bahagian atas sterengnya. Sementara kalau hendak menaikkan gear pula, gunakan paddle shifter di belakang stereng itu seperti biasa. Keliru juga dibuatnya.

Apa pun, Mazda3 nyata boleh menjadi alternatif berpotensi jika anda mahu memiliki sesuatu yang lain daripada produk keluaran Honda dan Toyota. Cuma, ia mungkin ada sedikit kelemahan. Mahu tahu, pandu ujilah sendiri.

- KOSMO!

Recent Posts