Mazda3 CKD


Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN

BERADA di Malaysia yang cukai kenderaannya cukup tinggi, berita mengenai harga kereta murah mesti mendapat perhatian meluas. Keghairahan orang ramai untuk ambil tahu pasti lebih memuncak sekiranya ia melibatkan jenama atau model-model kereta yang terkenal.

Ada beberapa inisiatif lazim yang diambil oleh pengeluar untuk merendahkan sedikit harga kenderaan yang mereka jual.

Selain usaha mendapatkan status 'kereta nasional' atau menjual model-model dengan spesifikasi asas, satu lagi cara paling popular (tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan) adalah dengan memasangnya di dalam negara atau lebih mudah dipanggil CKD.

Program CKD boleh dilaksanakan sekiranya beberapa faktor dapat dipenuhi. Antaranya, pengeluar mendapati sesebuah model itu mampu dijual dalam jumlah tertentu pada setiap bulan. Jika jumlahnya terlalu sedikit, pelaburan yang dibuat mungkin tidak berbaloi.

Bukan itu sahaja, program CKD juga bergantung kepada keupayaan vendor-vendor tempatan untuk menghasilkan komponen yang menepati piawaian tinggi pengeluar induk. Kalau komponen yang dihasilkan asyik rosak sahaja, jangan harap ia boleh melepasi pagar kilang pemasangan.

Lagi satu, kualiti kenderaan yang dihasilkan mestilah par dengan standard kilang di luar negara. Namun, saya berpendapat itu bukan satu masalah besar. Sebabnya, kilang-kilang kenderaan di Malaysia pun sudah bagus dan canggih. Para pekerjanya juga berkemahiran.

Jika tidak, takkan Mercedes-Benz menghasilkan model S-Class di kilangnya di Pekan, Pahang. Sementara Volvo pula memasang sebahagian besar model yang dijualnya di pasaran tempatan di kilangnya di Shah Alam.

Itu belum lagi dicampur dengan pengeluar-pengeluar lain seperti Honda, Toyota, Nissan, Isuzu, Hyundai, Kia, Peugeot, BMW, Changan dan banyak lagi yang memiliki kilang masing-masing di seluruh negara.

Meriah juga industri automotif Malaysia rupa-rupanya. Walaupun ia agak jauh ketinggalan berbanding Thailand dan Indonesia berikutan polisi yang mungkin kurang menarik untuk membuatkan pengeluar terus melabur dalam kuantiti mega di negara ini.

Murah sedikit

Satu lagi kelemahannya, majoriti kenderaan CKD itu untuk pasaran tempatan dan bukannya diimport seperti yang dipraktiskan oleh Thailand dan Indonesia.

Biarpun bukan model pertama yang dipasang tempatan, Mazda pada awal tahun ini menawarkan pengguna Malaysia dengan model popularnya, Mazda3 CKD. Jentera yang hadir dalam varian hatchback dan sedan itu sememangnya dikenali dengan rekabentuk yang sporty.

Ya, harganya adalah murah sedikit berbanding unit yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Tetapi kualitinya tetap sama seperti apa yang dinikmati oleh pengguna di Jepun.

Baiklah, saya bukan hendak bercerita mengenai harga. Sebabnya, kalau sembang bab harga, sampai minggu depan pun tidak habis. Nanti semua orang mahukan kereta yang berkuasa, spesifikasi penuh, cantik, jimat minyak dan ada nilai jualan balik tinggi, tetapi harganya macam Myvi. Biar betul.

Sempena cuti Hari Raya Korban minggu lalu, saya memandu uji Mazda3 versi hatchback yang menjadi idaman ramai itu. Memandangkan semua orang mahu balik kampung, jadi lebuh raya Karak dan Lebuh raya Pantai Timur (LPT) jadi sesak. Jadi, terpaksalah saya memandu Mazda3 dalam mode perlahan sahaja.

Berada di dalam kabin, Mazda3 menawarkan ambien memuaskan. Tempat duduknya yang bersalut kulit memberi keselesaan sewajarnya walaupun dihuni oleh lima orang penumpang bertubuh sederhana.

Unit itu hadir bersama aksesori tambahan. Maksudnya, ada sistem navigasi dan audio dengan skrin sentuh yang dipadankan dengan enam pembesar suara. Kualiti bunyi, bagus juga.

Berbanding dengan pesaingnya yang lebih senior seperti Civic dan Altis, Mazda3 telah menggunakan warna hitam untuk kabinnya sejak sekian lama. Selain nampak dan rasa lebih sporty, warna gelap juga membuatkan usia material dalamannya mampu bertahan lebih lama.

Sebagai sebuah jentera yang berorientasikan pemandu, posisi tempat duduknya ergonomik. Semua butang boleh dicapai dengan mudah. Suis kawalan audio dan tombol pendingin hawa tersusun atas rekaan papan pemuka yang nampak mahal. Tidak berapa tinggi? Jangan risau, laraskan sahaja (secara manual) tempat duduk pemandu sehingga anda rasa selesa.

Mazda3 cukup menjaga penampilannya. Rekabentuk luarannya dikatakan tidak jauh beza dengan apa yang dilukis oleh pereka bentuk ketika ia ingin dihasilkan dahulu. Baru memasuki generasi kedua, model yang dikenali sebagai Axela di Jepun itu memiliki hala tuju rekaan cukup berbeza dengan pesaing sekelasnya.

Perkadaran (proportion) rekaan hadapan dan belakangnya seimbang. Lampu hadapan yang tirus digabungkan dengan bampar dan gril radiator lebar. Sementara bahagian belakangnya menyerlah menerusi gugusan lampu dalam perumah berwarna jernih itu.

Rasanya, Mazda antara pengeluar yang benar-benar berjaya menjadikan lampu jernih nampak kena dan kelas pada setiap model keluarannya.

Mode pemanduan laju akhirnya dapat saya nikmati sewaktu perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Mengetahui reputasi Mazda, jentera itu memang tidak membuatkan anda berpeluh ketika mengambil selekoh-selekoh dalam kelajuan sedikit tinggi.

Kawalan sterengnya tepat, digabung dengan sistem suspensi hadapan dan belakang yang sedaya upaya membuatkan tubuh Mazda3 melekat di atas jalan raya.

Dari aspek kuasa pula, janaan enjin bersesaran 2.0 liter itu sudah memadai. Anda tidak akan berasa sakit jiwa mendengar enjin melahu kuat, tetapi tidak memecut selaju mana seperti yang biasa kita tengok pada kereta-kereta ‘racing’ di atas jalan raya.

Enjin berkod MZR itu dipadankan dengan kotak gear automatik lima kelajuan Activematic. Anda boleh menukar kedudukan gear secara manual, cuma paddle shifter pada Mazda3 agak pelik.

Biasanya tuil untuk menaik atau menurunkan gear terletak pada sebelah kiri atau kanan. Tetapi, Mazda3 memerlukan pemandu menurunkan kedudukan gear dengan menekan butang pada bahagian atas sterengnya. Sementara kalau hendak menaikkan gear pula, gunakan paddle shifter di belakang stereng itu seperti biasa. Keliru juga dibuatnya.

Apa pun, Mazda3 nyata boleh menjadi alternatif berpotensi jika anda mahu memiliki sesuatu yang lain daripada produk keluaran Honda dan Toyota. Cuma, ia mungkin ada sedikit kelemahan. Mahu tahu, pandu ujilah sendiri.

- KOSMO!

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.