Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Astronomi. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 13, 2013

Saintis ramal asteroid langgar bumi pada 16 Mac 2880


Saintis ramal asteroid langgar bumi pada 16 Mac 2880

Sebuah asteroid diramal akan melanggar Bumi pada 16 Mac 2880, kata saintis. Penyelidik Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), menyatakan, berdasarkan analisis radar di Makmal Jet Propulsion di Pasadena, California milik agensi itu, kemungkinan asteroid dikenali 1950 DA untuk merempuh bumi adalah 1 nisbah 300.

Laman web berita Mashable, melaporkan, asteroid 1950 DA kali pertama kali dikesan pada Februari 1950 dan mempunyai ukur lilit 1.1 kilometer. Ia berjaya dipantau selama 17 hari sebelum menghilang selama 50 tahun. Kali terakhir asteroid itu dilihat semula pada 31 Disember 2000 dan Mac 2001.

Kejayaan mengesan semula 1950 DA pada malam tahun baru itu berlaku 200 tahun selepas saintis berjaya kesan asteroid pertama dikenali sebagai Ceres.

“Saintis mendapati 1950 DA akan melintas pada kedudukan paling hampir dengan bumi selama 20 minit pada 16 Mac 2880 dan kemungkinan ia merempuh bumi tidak boleh dinafikan,” kata laman web itu.

- AGENSI
 


Khamis, Ogos 15, 2013

Lokasi kelihatan fenomena Hujan Meteor Perseid


Fenomena pancuran meteor Perseid atau hujan tahi bintang dapat disaksikan orang ramai di beberapa lokasi di seluruh negara bermula malam kelmarin hingga awal pagi semalam, 13 Ogos 2013.

Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mhd Fairos Asillam, berkata antara kawasan di Semenanjung ialah Tanjung Bidara dan Duyong, Melaka; Teluk Kemang, Negeri Sembilan; Pantai Acheh, Pulau Pinang dan Pantai Morib, Selangor; Pasir Gudang, Pontian Kecil, Bertam, Perlis, Bandaraya Melaka, Kajang dan Kuantan.
Sarawak pula seperti Bintulu dan Sibu, manakala Sabah di sekitar Labuan.


Pemerhati hampa

Bagaimanapun, pemerhati di kawasan utara Semenanjung dan Kuala Lumpur dilaporkan hampa berikutan hujan sejak jam 1 pagi semalam.

Penolong Pegawai Sains Observatori Negara Langkawi, Karzaman Ahmad, berkata pihaknya hanya berjaya merakam empat kelibat meteor Perseid selama setengah jam bermula 1 pagi semalam.

“Balai Cerap Langkawi, Kedah mula melakukan cerapan jam 12.30 tengah malam hingga 6 pagi (semalam) dan hasilnya kurang memberangsangkan berikutan awan hujan menyelubungi kawasan utara tanah air,” katanya.
Fenomena pancuran meteor Perseid yang berlaku setiap tahun, iaitu pada Ogos, dinantikan rakyat Malaysia kerana dikatakan antara pancuran meteor yang paling menarik dan jelas dilihat dengan mata kasar.

INFO: Fenomena meteor Perseid
- Malaysia mengalami tiga pancuran meteor setahun iaitu pancuran meteor Quadrantids (Mac), Perseid (Ogos) dan Leonid (November).
- Pancuran meteor Perseid daripada buruj Perseus paling cantik dan terang.
- Kelajuan meteor Perseid boleh mencapai 200 kilometer sesaat.

- BERITA HARIAN
 

Selasa, Julai 16, 2013

Teleskop NASA kesan bulan Neptune yang baru



NASA mengesahkan teleskop angkasa Hubble menemui bulan baru yang mengorbit di planet Neptune.

Bulan ini merupakan planet yang ke-14 mengelilingi planet berkenaan.

Ia juga muncul sebagai bulan paling kecil dalam sistem yang berukuran hanya 20 kilometer dan melengkapkan satu putaran di Neptune setiap 23 jam.

NASA menambah, bulan itu juga adalah 100 juta kali lebih malap berbanding bintang lain yang mampu dilihat dengan mata kasar.

- SINAR HARIAN


Ahad, Mei 12, 2013

Gerhana matahari separa di utara Australia


SYDNEY, AUSTRALIA - Sejumlah peminat astronomi berkunjung ke utara Australia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa semalam.

Fenomena itu berlaku apabila bulan bergerak di antara bumi dan matahari.

Sebelum ini, gerhana penuh dapat dilihat di utara Australia pada November tahun lalu menyebabkan pemandangan menjadi gelap selama dua minit.

Bagaimanapun, gerhana matahari separa itu menyebabkan bulan hanya melindungi 97 peratus matahari.

Gerhana separa itu juga dapat dilihat di beberapa bahagian di Australia, Indonesia, New Zealand dan Pasifik Selatan.

Seorang ahli astronomi Amerika Syarikat, Jay Pasachoff sanggup datang ke Australia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari itu. Ia merupakan gerhana matahari kali ke-57 yang pernah dilihatnya.

Dia memandu ke sebuah bukit kecil di Outback yang terletak kira-kira 100 kilometer ke utara bandar Tennant Creek.

Pasachoff dan 100 orang lagi peminat amatur astronomi merakamkan fenomena itu dengan menggunakan kamera.

- Agensi




 

Ahad, April 28, 2013

Pencarian manusia pertama ke Planet Marikh


Sebuah organisasi Belanda di New York, Mars One sedang mencari manusia pertama menginjakkan kaki di planet Marikh.

Dipetik The Guardian, pengasas organisasi itu, Bas Lansdorp berkata, manusia yang dihantar ke planet itu bagaimanapun, tidak akan kembali ke bumi.

“Manusia di Marikh akan mengalami penurunan ketahanan tulang dan otot sekiranya dihantar kembali ke bumi. Mereka berpotensi terdedah kepada radiasi tinggi sekali gus meningkatkan risiko kanser kerana penurunan imunisasi tubuh dan berhadapan dengan kemandulan,” katanya.

Menurutnya, calon harus memiliki kekuatan psikologi dengan akan dikirimkan dengan ubat-ubatan dan pihaknya akan mengajar cara bercucuk tanam kerana keperluan tenaga seperti matahari dan air wujud di sana.

“Empat calon akan ke sana dan misi ini akan bermula pada 2023 dengan menggunakan teknologi jentera seperti SpaceX,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan mengambil masa lapan bulan untuk sampai ke planet itu.

Kini, seramai 10, 000 individu berusia antara 18 hingga 62 tahun disahkan mendaftar untuk mengikuti program tersebut.

- The Guardian / SINAR HARIAN

 

Recent Posts