Hail Amir meninggal dunia

 


Penyanyi dan pelakon popular era 1970-an, Datuk Hail Amir, 76, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, kira-kira jam 3:48 petang tadi.

Berita pemergiannya Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir disahkan oleh anaknya, Cinta Hailfi.

"Iya Papa meninggal jam 3.48 petang tadi. Papa meninggal sebab jangkitan paru-paru, tapi Papa memang sakit jantung dan itu melemahkan dia," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, penyanyi itu dimasukkan ke HKL selepas mengalami masalah batuk berterusan, sejak kelmarin.

Rakan baiknya yang juga pelakon Farouk Hussain berkesempatan menziarah penyanyi lagu Wajah Kesayangan Hamba itu, kelmarin.

Farouk berkata, tahap kesihatan Hail dalam keadaan kurang memuaskan.

Katanya, Hail sedar tetapi keadaannya lemah, selain tidak mengenali orang dan menghadapi kesukaran bercakap.

"Saya kurang pasti sama ada Hail berada dalam pengaruh ubat atau apa, tetapi apa saya boleh katakan keadaannya separuh sedar.

"Bila melihatnya saya rasa sedih kerana beliau tidak seperti Hail yang saya kenal, suka ketawa dan peramah.

"Beliau sedar, tetapi keadaannya bukan macam biasa. Beliau tengok kita, tetapi macam tak kenal.

"Macam nak bercakap, tapi suaranya tak keluar," kata Farouk.

Sebelum ini, Hail pernah dimasukkan ke hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan dalam wad akibat masalah jantung.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Hail yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.

Lagu popular mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai.

Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini terkenal di layar perak. Antara filem popular lakonannya adalah Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.

Selepas lebih lima dekad terbabit dalam dunia seni, Hail dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022.

Sumber : Berita Harian

0 comment... add one now

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.