Selasa, April 16, 2024

Lelaki lebih mudah terdedah kepada penipuan skim pelaburan

 


Satu kajian analisis tingkah laku mengenai kerentanan pelabur terhadap penipuan skim pelaburan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendapati lelaki lebih mudah terdedah kepada penipuan.

Kajian analisis itu yang dijalankan oleh SC pada 2023 menunjukkan 384 orang atau 30 peratus daripada 1,302 responden yang ditinjau didapati lebih mudah terdedah kepada penipuan dengan 59 peratus daripada jumlah itu adalah lelaki.

Kajian berkenaan juga mendapati golongan belia berumur antara 31 tahun hingga 40 tahun juga lebih mudah terdedah, mewakili 34 peratus daripada 384 responden itu.

Mengikut kumpulan pendapatan pula, didapati isi rumah B40 dengan pendapatan kurang RM5,000 dilihat lebih mudah terpedaya, mewakili 44 peratus.

"Kajian analisis itu juga mendapati 70 peratus (daripada 384 responden yang mudah terdedah kepada penipuan skim pelaburan) mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan diploma," menurut suruhanjaya itu dalam Laporan Tahunan SC 2023.

SC berkata, kajian itu juga menunjukkan bahawa kumpulan yang paling berisiko berpaut kepada keluarga dan rakan untuk membuat keputusan pelaburan daripada bergantung pada pertimbangan, pengalaman dan pengetahuan mereka sendiri.

Malah, mereka juga didapati lebih mudah dipujuk untuk melabur apabila dipengaruhi individu tidak berlesen dan tidak berkelayakan.

Pelaburan secara sukarela

Katanya, penemuan daripada kajian itu menunjukkan peningkatan untuk kumpulan berkenaan didedahkan terhadap peluang pelaburan secara sukarela termasuk penipuan.

"Hasil daripada kajian itu akan membantu SC untuk lebih memahami profil pelabur yang berisiko dan berkhidmat sebagai maklumat penting untuk merumuskan intervensi yang diperlukan melalui sasaran program jangkauan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai penipuan skim pelaburan, SC berkata, kebanyakan penipuan pelaburan membabitkan promosi produk yang tidak wujud.

Katanya, ia berlaku di mana pelaku membuat dakwaan palsu bahawa pelaburan itu akan dijadikan produk pasaran modal seperti saham atau mata wang kripto, walhal sebenarnya peluang atau produk pelaburan berkenaan tidak wujud.

Dalam kebanyakan kes, pengawal selia pasaran modal itu berkata, penipuan pelaburan akan menawarkan pulangan tinggi yang luar biasa.

Sebagai contoh, adalah sesuatu yang kerap berlaku untuk skim sedemikian menjanjikan pulangan 1,000 peratus dalam masa 24 jam bahkan dalam masa beberapa jam.

Skim sebegini juga menawarkan pakej pelaburan yang dianggarkan bermula daripada serendah RM300 hingga lebih kurang RM1,000.

"Selain dilihat sebagai sahih, situasi ini juga akan membolehkan pelaku untuk memujuk kumpulan mangsa berpotensi yang lebih luas, termasuk mereka yang berada dalam kelompok berpendapatan rendah," katanya.

Dalam kebanyakan penipuan, SC menjelaskan, pelaku menggunakan laman web palsu, halaman media sosial dan akaun bank keldai untuk mempromosi dan menjalankan aktiviti haram mereka.

Dalam sesetengah kes, pelaku menyalahgunakan nama agensi seperti SC, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pengantara berlesen, visual selebriti tempatan serta pemimpin agama untuk memberi jaminan kesahihan terhadap skim pelaburan terbabit.

Katanya, kebanyakan daripada skim itu juga mendakwa mereka menjalankan aktiviti patuh Syariah untuk menarik sentimen pelabur Islam.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts