Rabu, Februari 28, 2024

Filariasis & Hepatitis C bawaan pekerja asing


 Jumlah penghidap penyakit Filariasis (untut) dan Hepatitis C menunjukkan peningkatan di seluruh negara sejak empat tahun lalu, khususnya dalam kalangan pekerja asing.

Filariasis adalah penyakit bawaan cacing filaria yang menular daripada pelbagai jenis nyamuk dan sukar sembuh jika tidak ditangani dengan cepat, selain mengakibatkan risiko cacat kekal, terutama pada pembesaran kaki, lengan dan beberapa anggota lain.

Penyakit Filariasis atau penyakit kaki gajah berpunca daripada cacing berbentuk benang (pita) yang dipanggil filaria. Nyamuk yang menggigit pesakit dijangkiti filariasis limfatik (penyakit untut) akan menyebarkan penyakit itu melalui gigitan kepada individu lain.

Hepatitis C pula adalah penyakit berjangkit yang menjejaskan kesihatan terutama hati, yang disebabkan oleh virus Hepatitis C. Jangkitan ini sering kali tidak kelihatan/asimptomatik, tetapi boleh menyebabkan parut pada hati dan akhirnya sirosis.

Sirosis akan menyebabkan kegagalan hati dan barah hati yang mengancam nyawa.

Dapatan pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 2020 juga mendapati, trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja asing di negara ini juga meningkat.

Peningkatan kedua-dua penyakit itu mendorong FOMEMA Sdn Bhd (FOMEMA) selaku agensi pemantau dan pemeriksaan perubatan pekerja asing, menetapkan tiga syarat baharu bagi saringan kesihatan terhadap mereka untuk terus bekerja di negara ini.

Menjelaskan tindakan itu, Ketua Pegawai Eksekutif FOMEMA, Dr Mohd Afiq Farhan Md Hanif, berkata penetapan tiga ujian tambahan bagi mengesan penyakit Filariasis dan Hepatitis C serta penyalahgunaan Methamphetamine dalam kalangan pekerja asing adalah pendekatan proaktif bagi mengawal penularan penyakit berkenaan di negara ini.

Langkah itu juga katanya, dapat membantu mengawal bebanan kos yang terpaksa ditanggung sistem penjagaan kesihatan awam negara.

Atas sebab itu, beliau berkata, penetapan kadar penyelarasan fi serta kekerapan pemeriksaan pekerja asing baharu dibuat selaras dengan penambahan tiga ujian saringan terbabit.

Ia termasuk pelaksanaan perkhidmatan masa pemprosesan yang lebih pantas (TAT), yang beliau jamin keputusan pemeriksaan perubatan boleh dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari bekerja daripada tarikh pemeriksaan perubatan dibuat.

"Selaras garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), KKM menetapkan matlamat menghapuskan Filariasis sebagai masalah kesihatan awam menjelang 2025 dan HCV pada 2030. Tambahan dalam ujian pemeriksaan kesihatan adalah antara usaha diambil untuk mencapai matlamat itu.

"Malaysia antara negara yang mempunyai sistem kesihatan awam terbaik di Asia Tenggara. Justeru, aspek penjagaan kesihatan awam memperoleh subsidi yang besar dalam belanjawan dan ini adalah beban yang ditanggung rakyat Malaysia.

"Adalah tidak adil bagi rakyat Malaysia menanggung beban penjagaan kesihatan pekerja asing di pusat kesihatan awam, walaupun kadar dibayar warga asing lebih tinggi, tetapi masih lagi mendapat subsidi tinggi.

"Justeru, keputusan FOMEMA menambah tiga ujian kesihatan setiap tahun ini dibuat dengan mengambil kira kos beban penjagaan kesihatan dan keselamatan kepada negara dan rakyat Malaysia, " katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian mengulas kritikan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang membantah tindakan FOMEMA menaikkan kadar yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan pekerja asing tanpa sebarang perbincangan dengan pihak berkepentingan.


Yuran pemeriksaan kesihatan naik hingga 14 peratus

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Yusman dilaporkan berkata, FOMEMA menaikkan yuran pemeriksaan kesihatan antara 10 hingga 14 peratus dan dengan anggaran dua juta pekerja asing di negara ini, majikan perlu menanggung kira-kira RM414 juta setahun untuk pemeriksaan kesihatan pekerja asing.

Berdasarkan rekod, lapan negeri diklasifikasikan sebagai endemik penyakit Filariasis, iaitu Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Pahang.

Sepanjang empat tahun lalu, data menunjukkan kes Filariasis dihidapi pekerja asing di negara ini meningkat daripada 32.4 peratus dan mencecah 43.9 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

Bagi Virus Hepatitis C (HCV), kes membabitkan pekerja asing di negara ini melonjak hampir lima kali ganda, daripada 34 kes pada 2020 kepada 167 kes tahun lalu.

Dengan perangkaan itu sekali gus menunjukkan kemungkinan terdapat jangkitan pada pekerja dari negara asal mereka, menyaksikan bebanan penyakit ini terhadap sistem kesihatan negara adalah signifikan.

Sebagai contoh, kos rawatan selama 12 minggu untuk Hepatitis C di negara ini, boleh mencecah sehingga RM356,000.

Kes penyalahgunaan dadah di negara ini turut dikesan semakin meningkat setiap tahun apabila data menunjukkan peningkatan sebanyak 11.4 peratus kepada 137,176 kes dilaporkan pada 2022.

Mengulas lanjut syarat baharu dikenakan kepada pekerja asing, Dr Mohd Afiq berkata, pemeriksaan perubatan tahunan memastikan status kesihatan pekerja asing dapat dipantau secara berkala.

Beliau berkata, dengan mengesan dan merawat penyakit pada peringkat awal, beliau optimis pihak berkuasa dapat mengambil langkah pencegahan untuk melindungi pekerja asing dan penduduk tempatan.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts