Sabtu, September 16, 2023

Apa itu virus Nipah?


 

Pihak berkuasa India bertungkus lumus membendung wabak Nipah yang melanda negara itu.

Virus berkenaan yang ditularkan daripada haiwan kepada manusia yang menyebabkan kadar kematian yang tinggi.

Wabak Nipah pertama direkodkan pada 1998 selepas virus itu merebak dalam kalangan penternak babi di Ipoh, kemudian di Negeri Sembilan dan Selangor.

Pada peringkat awal penularan di Malaysia, virus itu menyerang babi di pinggir Ipoh dengan berlakunya penyakit pernafasan dan ensefalitis kepada babi dianggap disebabkan oleh ensefalitis Jepun (JE).

Virus Nipah dinamakan oleh saintis Malaysia bersempena Kampung Sungai Nipah, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan, antara kawasan jangkitan teruk kepada babi

Virus Nipah disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama Ebola, Zika dan COVID-19 sebagai satu daripada beberapa penyakit yang perlu diberi keutamaan untuk penyelidikan kerana potensinya menyebabkan wabak di peringkat global.

Ketika ini, menurut WHO, masih belum ada vaksin untuk manusia yang dijangkiti Nipah.

Nipah biasanya merebak kepada manusia daripada haiwan atau melalui makanan yang tercemar, tetapi boleh berjangkit secara langsung di antara manusia.

Kelawar ialah pembawa semula jadi virus ini dan dikenal pasti sebagai punca utama wabak yang lain.

Mereka yang dijangkiti akan mengalami gejala termasuk demam teruk, muntah dan jangkitan pernafasan. Kes yang teruk boleh menyebabkan sawan dan keradangan otak yang mengakibatkan koma.

Pesakit mempunyai kadar kematian di antara 40 dan 75 peratus bergantung kepada tindak balas kesihatan awam terhadap virus terbabit.

Wabak Nipah pertama merekodkan lebih 100 orang maut di Malaysia dan menyebabkan hampir sejuta babi dilupuskan dalam usaha membendung virus itu.

Virus Nipah juga merebak ke Singapura dengan merekodkan 11 kes dan satu kematian dalam kalangan pekerja penyembelihan yang bersentuhan dengan babi yang diimport dari Malaysia.

Sejak itu, penyakit terbabit kebanyakannya direkodkan di Bangladesh dan India, dengan kedua-dua negara melaporkan wabak pertama mereka pada tahun 2001. 

- AFP

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts