Rabu, Ogos 23, 2023

Operasi 'saman ekor' bermula di seluruh negara, kompaun RM300 dihantar ke rumah




Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sedang melaksanakan operasi saman tembak laju atau saman ekor di seluruh negara, bermula 22 Ogos 2023.

Operasi dilaksanakan itu bagi mengesan pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Susulan itu, pesalah trafik yang dikesan melakukan kesalahan itu di jalan Persekutuan dan lebuh raya akan dikenakan saman dan notis saman K170A yang akan diposkan ke alamat kediaman masing-masing.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, berkata pada hari pertama pelaksanaannya, sebanyak 8,718 kenderaan dikenakan saman K170A iaitu 8,352 kereta, motosikal (44) dan 322 saman kenderaan perdagangan/perkhidmatan.

Beliau berkata, penguatkuasaan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju ini akan dijalankan secara berterusan di semua kontinjen dan daerah.

"Tindakan ini bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan dalam negara.

"Anggota JSPT akan menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju ditetapkan.

"Saman kompaun bernilai RM300 akan dikenakan kepada mereka yang dikesan melakukan kesalahan itu," katanya kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nasri berkata, memandu melebihi kelajuan adalah antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini selepas pemandu gagal mengawal kenderaan sehingga hilang kawalan.

"Semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mengikut peraturan ditetapkan dan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi tanpa kompromi.

"Kerjasama orang ramai diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran ke atas kepentingan menjaga keselamatan diri dan orang lain," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts