Khamis, Julai 13, 2023

Anak pemandu teksi raih 4A STPM


Terpaksa membahagikan masa membantu ibu menjahit pakaian selepas sesi persekolahan dan pada hujung minggu, tidak menghalang Erin Ezayu Emylia Abdul Mutalib memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.

Erin Ezayu Emylia, 20, adalah antara 43 pelajar terbaik Negeri Sembilan dalam STPM 2022. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin ini berkata, ibunya, Norlela Abdul Latif, 53, adalah seorang suri rumah dan mengambil upah menjahit baju bagi menampung pendapatan dan keperluan keluarga.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, bapanya Abdul Mutalib Mohd Noor, 55, pula bekerja sebagai pemandu teksi sehingga ke kawasan Petaling Jaya dan ibu negara.

Saya menggunakan masa lapang, terutama selepas sesi persekolahan dan hari cuti untuk membantu ibu bagi memudahkan beliau menyiapkan tempahan.

"Namun begitu, tugasan itu tidak menjadi halangan untuk saya ulang kaji pelajaran dan menyiapkan tugasan sekolah walaupun kadang kala bangun seawal jam 3 pagi untuk ulang kaji pelajaran.

"Saya hadapinya dengan baik dan tenang kerana di situ ada keberkatannya dan kesudahannya berjaya mendapat keputusan yang baik," katanya ketika ditemui selepas pengumuman STPM di Dewan Kolej Tingkatan Enam Forest Height, di sini, hari ini.

Erin Ezayu Emylia berkata, dia belajar bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan cemerlang itu bagi tujuan mengubah nasib keluarga, malah kedua-dua orang tuanya menitiskan air mata kegembiraan apabila mendapat keputusan berkenaan.

Dia yang tinggal di Taman Indah Tampin mengakui bertindak nekad menduduki STPM selepas hanya mendapat 5A pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Pada peringkat awal memang rasa susah, tetapi saya kuatkan semangat dan terus fokus kepada pelajaran dengan mendapatkan bimbingan daripada guru.

"Alhamdulillah, akhirnya dapat apa yang saya inginkan. Saya berharap dapat menyambung pengajian dalam jurusan komunikasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) selepas ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts