Isnin, Julai 17, 2023

Aeon Credit mula perniagaan perbankan digital Islam

 


Aeon Credit Service (M) Bhd memeterai perjanjian pemegang saham dengan Aeon Financial Service Co Ltd untuk memulakan perniagaan perbankan Islam digital.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat perkhidmatan kewangan itu berkata langkah itu akan dilaksanakan menerusi ACS Digital Bhd (ACSD) yang bersedia untuk dilesenkan sebagai bank Islam digital di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA) 2013.

Aeon Credit akan melanggan sehingga 175 juta saham biasa dalam ACSD pada harga RM1.00 sesaham dan apabila selesai, ACSD akan menjadi sebuah syarikat bersekutu, katanya.

Katanya jumlah perbelanjaan pelaburan dan modal saham akhir untuk ACSD dianggarkan berjumlah RM550 juta dalam tempoh lima tahun awal apabila perniagaan perbankan Islam digital itu dimulakan.

Struktur ekuiti akhir dalam ACSD dijangka 35 peratus bagi Aeon Credit, Aeon Financial Service (35 peratus) dan pemegang saham Malaysia (30 peratus), menurut Aeon Credit.

Perkara itu akan dimuktamadkan dalam tempoh lima tahun daripada operasi bank Islam digital itu dimulakan, manakala usaha sama yang dicadangkan itu akan dibiayai sepenuhnya menerusi penjanaan dana dalaman.

Pengarah Urusan Aeon Credit, Daisuke Maeda, berkata perintegrasian perniagaan perbankan Islam digital itu akan membolehkannya memenuhi keperluan kitaran hidup pelanggan dan mengembangkan asas keahliannya menerusi aktiviti penjualan silang.

Katanya, langkah ini akan mendorong jumlah urus niaga dan bahagian pasaran untuk kesemua perniagaannya.

"Bank digital akan berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding saluran tradisional untuk memberikan perkhidmatan kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan," kata Aeon Credit.

Sumber dari Bernama.



0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts