Jumaat, Mei 12, 2023

Semakan kurikulum Tingkatan Enam

 


Langkah penjenamaan semula Tingkatan Enam dengan sasaran menambah baik sukatan mata pelajaran yang ditawarkan dilihat tindakan tepat sesuai dengan perkembangan semasa dan keperluan negara.

Apatah lagi, semakan itu seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini akan dibuat supaya ia selaras dengan sukatan A-Level yang dikelolakan Cambridge Assessment International Education (CAIE), United Kingdom (UK).

Hal ini tentu sahaja demikian kerana kerana Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf setaraf dari segi standard dengan A-Level kelolaan CAIE itu sejak 1982.

Menurut kementerian, semakan sukatan mata pelajaran berkenaan dijangka selesai pada 2025 dan akan mula diperkenalkan pada Semester Satu 2016.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Mohd Syaubari Othman, berkata jika dilihat, sistem pendidikan Tingkatan Enam sudah mengalami perubahan sejak ia beralih daripada kaedah STPM Terminal kepada STPM baharu (modular) sekitar 2012.

Katanya, sistem modular adalah kaedah yang sama dipraktikkan di universiti iaitu membabitkan sesi pengajian tiga semester.

Menerusi sistem itu, 20 hingga 30 peratus keputusan STPM diambil daripada tugasan kursus atau projek dan penilaian lain selain kerja amali, manakala 70 hingga 80 peratus bergantung kepada peperiksaan akhir pengajian.

Bagaimanapun tegas Mohd Syaubari, terdapat keperluan meningkatkan taraf Tingkatan Enam seiring dengan A-Level. Hal ini disebabkan A-Level mendapat pengiktirafan yang diakui oleh kebanyakan universiti di seluruh dunia.

"A-Level terkenal dengan standard tinggi dalam kursus-kursus peringkat prauniversiti dan diiktiraf secara meluas oleh universiti di seluruh dunia.

"Pensijilannya bukan sahaja diiktiraf di UK tetapi ia juga diterima banyak negara maju yang lain termasuk Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Singapura," katanya.

Justeru katanya, amat penting untuk menstrukturkan semula STPM selari dengan A-Level, sekali gus memberikan pilihan yang sangat luas untuk pelajar menyambung pelajaran.

Tambahnya, penambahbaikan itu juga diyakini menyediakan kepelbagaian pengetahuan yang mendalam memandangkan kandungan pembelajarannya lebih terperinci dan berfokus.

Hal ini tegasnya sangat penting bagi memastikan setiap pelajar Tingkatan Enam dapat menguasai ilmu atau silibus seiring dengan apa yang akan dipelajari di peringkat universiti nanti.

"Apa yang perlu difahami pelajar lepasan SPM atau Tingkatan Enam itu sendiri, A-Level adalah program yang dilaksanakan untuk prauniversiti. Ia memang ditawarkan di Malaysia berdasarkan kerangka sistem pendidikan di UK atau GCE Advanced Level.

"Umumnya pelajar diberikan pilihan untuk mengambil kursus ini selepas menamatkan SPM dan sebelum mengikuti kursus di universiti," katanya.
Katanya, jika sebelum ini ramai pelajar tidak berminat atau beranggapan Tingkatan Enam sebagai 'susah', hal sedemikian mungkin tidak lagi terjadi berdasarkan peluang lebih luas untuk lulusan STPM termasuk mampu menjadi tiket menyambung pengajian ke luar negara.

Tambah Mohd Syaubari, anjakan paradigma sebegini penting seiring dengan usaha KPM untuk menjenamakan semula pengajian di peringkat Tingkatan Enam.

Ibu bapa katanya perlu melihat Tingkatan Enam sebagai satu lagi alternatif untuk melanjutkan pengajian selari dengan perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan pada masa kini.

Sementara itu, Timbalan Naik Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Ismi Arif Ismail, berpandangan jika kurikulum Tingkatan Enam disemak semula ia perlu mengambil kira beberapa perkara.

Antara paling utama katanya, keperluan memahami kehendak industri selain elemen yang menyediakan kepada kesediaan ke arah kerjaya (career readiness).

Beliau berkata, justeru langkah penyelarasan dengan CAIE adalah baik kerana ia akan memastikan standard Tingkatan Enam di Malaysia adalah bertaraf antarabangsa.

"Ini akan memudahkan pelajar kita diterima untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi di seluruh dunia.

"Hal itu tentu saja atas kapasiti kualiti antarabangsa yang diselaraskan dalam semakan kurikulum tahap ini.

"Namun beberapa perkara lain perlu terus ditingkatkan termasuklah menerapkan elemen kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS) bagi menyediakan pelajar yang lebih kreatif dan inovatif," katanya.

Untuk rekod, ketika ini sistem STPM dijalankan dengan pembahagian tiga penggal dengan setiap satunya mengambil masa sekitar enam bulan. Calon wajib menduduki peperiksaan STPM pada hujung pengajian semester ketiga.

Bagi setiap semester pula, pelajar akan menduduki peperiksaan dengan keputusannya diumumkan pada setiap awal penggal. Jika murid tidak memperoleh keputusan memuaskan, mereka boleh mengambil peperiksaan ulangan untuk memperbaiki gred.

Kesemua markah dari tiga penggal akan dikumpulkan dan dikira pada akhir ketiga-tiga peperiksaan untuk mendapatkan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) pada peperiksaan STPM sebenar.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts