Sabtu, April 08, 2023

JAKIM nafi sudah tetapkan tarikh Aidilfitri


 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan kenyataan yang dibuat pihak tertentu berhubung penetapan tarikh hari raya Aidilfitri bagi tahun 1444H /2023M yang mendakwa dikeluarkan oleh jabatan berkenaan.

JAKIM menerusi perkongsian di Faceebok rasminya, menasihati semua pihak agar menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini, yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak yang diamanahkan Majlis Raja-Raja.

Pemberitahuan hari akhir Ramadan 1444H yang disebarkan menerusi media sosial menunjukkan pada 20 April manakala 1 Syawal pada 21 April.

Paparan itu menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri 2023.

Masyarakat Islam dinasihatkan untuk kekal tenang dalam keadaan harmoni menunggu pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April ini bagi penentuan tarikh permulaan 1 Syawal.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dalam kenyataan berkata, hitungan ahli falak adalah sesuatu yang bersifat tidak muktamad dalam penentuan 1 Syawal khususnya.

Keputusan akhir adalah pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam berkenaan tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di 29 lokasi yang telah ditetapkan.

"Atas titah perintah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya selaku Mufti Selangor ingin menasihatkan umat Islam khususnya di negeri ini untuk menghormati semua proses yang telah ditetapkan serta menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawal 1444H kepada pihak berautoriti," katanya.

Jelasnya, permulaan awal bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal (anak bulan) serta data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di satu-satu negara dan penentuan awal Syawal di satu-satu negara tidak tertakluk kepada hasil kenampakan hilal atau data kedudukan hilal di negara lain.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.