Selasa, Oktober 04, 2022

Tahap kesedaran orang bekerja sendiri daftar, carum SKSPS masih rendah

 


Tahap kesedaran Orang Bekerja Sendiri (OBS) untuk mendaftar serta mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO masih rendah walaupun skim itu sudah dikuatkuasa pada Jun 2017.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata hanya 175,499 pekerja p-hailing sama ada penghantar makanan atau barangan daripada 568,686 OBS yang berdaftar SKSPS, mengikut rekod pertubuhan itu.

Beliau berkata, bayaran caruman bagi kategori berkenaan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Akta 789) hanya RM46.60 setahun iaitu 20 peratus di bawah Pelan Caruman Kedua SKSPS.

Katanya, baki bayaran caruman 80 peratus lagi iaitu RM186.20 dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

"Saya berharap kepada yang belum mendaftar serta mencarum tampil untuk berbuat sedemikian dan jangan menganggap ia (caruman) sebagai beban.

"Kita bukan semata-mata ingin mengambil caruman tetapi ia lebih kepada jaringan keselamatan sosial kepada pekerja serta waris demi kesinambungan hidup," katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan faedah PERKESO kepada Nur Izwana Othman di Rantau Panjang dekat Klang.

Nur Izwana adalah balu kepada Allahyarham Muhaimin Mohd Said, 34 yang maut dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat pada 23 September lalu.

Dalam pada itu, Mohamed Azman berkata, semakan mendapati Allahyarham Muhaimin pernah mencarum mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta 789.

Justeru katanya, balu Allahyarham layak menerima pencen penakat mengikut Skim Keilatan berjumlah RM882.98 sebulan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat.

"Selain itu, balu Allahyarham juga akan menerima Faedah Orang Tanggungan berjumlah RM837 sebulan yang dibayar seumur hidup serta Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar mengikut SKSPS.

"Bagaimanapun, agak mendukacitakan dan menyedihkan bagi seorang lagi penghantar yang cedera kedua belah kaki apabila tidak berdaftar dan mencarum dengan PERKESO.

"Justeru, jika kita menyayangi keluarga kita sama ada isteri, anak dan ibu bapa, jangan anggap pendaftaran dan caruman ini satu bebanan," katanya.

Sumber : Berita Harian

1 ulasan:

  1. Info yang baik. Semoga yg bekerja sendiri sedar dan mula berdaftar untuk diri dan keluarga tersayang

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts