Jumaat, Oktober 14, 2022

PAS guna lambang Bulan pertahan kerusi Parlimen di Kedah, Kelantan dan Terengganu

 


PAS mengambil pendirian untuk mengguna logo atau lambang parti sendiri bagi semua calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di tiga negeri bawah pentadbirannya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata bagi negeri lain, mereka dijangka akan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN).

"Penggunaan logo, kita sudah putuskan bahawa Kelantan, Terengganu, Kedah kita akan gunakan logo PAS.

"Namun, negeri lain kemungkinan besar akan menggunakan logo PN, (ia) sudah dimuktamadkan dan akan bawa ke Majlis Pimpinan PN," katanya seperti dilaporkan portal rasmi parti itu, harakahdaily.

Sebelum ini, muncul cadangan dalam kalangan pendokong PAS agar PN menggunakan lambang parti itu yang lebih dikenali rakyat bagi mendepani cabaran dalam PRU ke-15.

Gesaan itu turut disuarakan secara terbuka oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang juga Menteri Besar Kedah.

Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengumumkan Jawatankuasa Kerja Parti mengambil keputusan memperkukuh kerjasama mereka dalam PN untuk menghadapi PRU-15 ini.

Berhubung keputusan PAS tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah, Tuan Ibrahim menegaskan yang parti itu tidak boleh dipersalahkan terhadap pendirian yang diambil, walaupun mengakui langkah itu akan meningkatkan kos pengendalian pilihan raya.

"Soal kos dan sebagainya, kita (PAS) akui. Tetapi (ini) kesilapan mereka, bukan kita. Kenapa mereka bubar pada waktu ini? Rakyat susah kalau banjir berlaku.

"Kemudian sekolah akan menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) jika banjir, kita bimbang takut-takut kemarahan rakyat sekarang ini kita sangat ketara," katanya.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, parti itu mengambil pendirian DUN tiga negeri di bawah PAS akan dibubarkan dalam keadaan tenang dan ancaman banjir berakhir.

"Kenapa kita (PAS) tidak bubar? Sebab kita tak mahu diheret sama dengan kemarahan rakyat sekarang.

"(PAS) yakin, kita ada lebih lapan bulan lagi masa (sehingga Mei 2023), dan dalam tempoh lapan bulan banyak benda kita boleh buat, dan kita tak perlu tergesa-gesa," katanya.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts