Sabtu, September 17, 2022

Mas Idayu kini bergelar isteri, akhir hidup solo 15 tahun

 


Selepas 15 tahun hidup solo, penyanyi Mas Idayu, 50, disatukan dengan penerbit eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, dengan sekali lafaz di sebuah premis acara di sini, pada jam 10.40 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan Imam dan Penolong Pendaftar Nikah Masjid Jamek, Kampung Baru, Azizi Abd Hamid berwalikan bapa pengantin perempuan, Mesnun Hassan.

Majlis dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga dan kenalan rapat itu menyaksikan pengantin perempuan menerima mas kahwin RM1,001 dan tujuh dulang hantaran berbalas lima dulang.

Nilai wang hantaran bagaimanapun dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Sebelum ini, dilaporkan pernikahan Mas Idayu dan Muhammad Sufian mendapat tajaan RM7 juta merangkumi busana, aksesori, premis acara dan katering.

Memilih Hari Malaysia untuk memateri ikatan cinta mereka, penyanyi lagu Cintaku 100% itu memberitahu, tiada simbolik tertentu atas tarikh berkenaan.

Sebaliknya, Mas Idayu atau nama sebenar, Masidayu Mesnun berkata, tarikh berkenaan dipilih suaminya.

"Alhamdulillah, saya bersyukur majlis lancar. Terima kasih kepada keluarga, saudara mara dan peminat yang mendoakan kebahagiaan saya selama ini," katanya.

Teruja akhirnya kembali memegang status isteri, Mas Idayu mengaku tidak menyangka perkahwinan kali kedua mendapat perhatian ramai sehingga banyak pihak sudi memberi tajaan.

Acara pernikahan Mas Idayu dan Muhammad Sufian dikatakan bakal mencipta rekod dalam Buku Rekod Malaysia (MBR) sebagai 'wedding of the year'.

Mas Idayu dan Muhammad Sufian berkenalan sejak terbabit dalam program Mentor 3 pada 2008.

Namun, selepas Mas Idayu terbabit dalam program Lagu Cinta Kita (LCK) yang diterbitkan Muhammad Sufian, tahun lalu, hubungan jadi rapat.

Bermula dengan usikan kawan-kawan, mereka akhirnya membuat keputusan membawa perhubungan ke jenjang pelamin.

Sebelum ini, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan aktor, Aman Graseka pada 1997, namun, bercerai pada 2006.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Dayini Ashiqah, 25.

Sumber : Berita Harian

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts